Categories
AGENDA NASIONAL

30 syarikat dipilih sertai pemula niaga, bantu lonjak perniagaan

SHAH ALAM, 27 JULAI: Sebanyak 30 syarikat pemula bakal dipilih menyertai Program Pemecut Selangor (SAP) 2021, iaitu inisiatif untuk melonjakkan perniagaan yang dibiayai Kerajaan Negeri.

EXCO Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim berkata pemilihan syarikat dibuat berdasarkan lima bidang iaitu
teknologi pertanian, teknologi perbankan, teknologi hijau, e-dagang dan perbandaran pintar.

“Banyak syarikat terjejas akibat lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun perniagaan dalam lima bidang ini mampu bertahan serta diteruskan ketika pandemik.

“Ini adalah fokus utama Kerajaan Selangor untuk memulih serta melonjakkan ekonomi melalui digitalisasi selain penggunaan teknologi dalam operasi perniagaan,” katanya pada sidang media sempena pelancaran SAP 2021 melalui aplikasi Zoom hari ini.

Program terbabit merangkumi sembilan syarikat berkaitan e-dagang, masing-masing enam berkaitan teknologi pertanian dan perbankan, lima berkaitan teknologi hijau, tiga berkaitan teknologi pendidikan serta satu berkaitan perbandaran pintar.

SAP merupakan program berstruktur yang berlangsung selama tiga bulan bertujuan untuk memberi persediaan 30 syarikat pemula dalam menerima pelaburan.

Program itu dikendalikan oleh Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor lulus RM1.2 juta untuk 280 peniaga beralih konsep maya

SHAH ALAM, 6 JULAI: Selangor meluluskan dana RM1.2 juta melalui Geran Padanan Digitalisasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi membantu peniaga beralih daripada konsep fizikal kepada maya.

EXCO industri kecil dan sederhana berkata jawatankuasa penilaian khas geran telah meluluskan 280 daripada 492 permohonan untuk kumpulan pertama yang diterima pada April hingga pertengahan Jun.

“Bilangan permohonan selari sasaran kami untuk memanfaatkan 1,000 PKS pada tahun ini,” kata Dato’ Teng Chang Khim di sini hari ini.

Beliau turut mengajak usahawan PKS yang terlepas mendaftar dalam kumpulan pertama supaya berbuat demikian apabila permohonan dibuka pada 1 Ogos depan.

Geran tersebut dilancarkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 12 April untuk membantu PKS melakukan transformasi digital.

Sebanyak RM5 juta diperuntuk bagi manfaat 1,000 peniaga kecil dengan jumlah bantuan antara RM1,000 hingga RM5,000.

Lima bidang pendigitalan yang ditawarkan ialah e-dagang, sistem sumber manusia, sistem akaun, pemasaran digital dan sistem Electronic Point of Sale (e-PoS) dan gerbang pembayaran.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

62,000 syarikat minat beli vaksin negeri, suntik percuma untuk pekerja

SHAH ALAM, 5 JULAI: Lebih 62,000 syarikat membabitkan 2.9 juta pekerja mendaftar untuk mendapat bekalan pelalian melalui program Vaksin Selangor (Selvax) Industri.

EXCO perindustrian berkata sektor perkilangan dan perkhidmatan akan diberi keutamaan bagi menerima vaksin berkenaan berikutan hanya dua juta dos disediakan bagi tujuan itu.

Dato’ Teng Chang Khim menjelaskan tumpuan turut diberikan kepada syarikat yang mempunyai ramai pekerja dan perusahaan kecil dan sederhana yang menggajikan kurang 200 kakitangan.

“Antara fokus utama Selvax Industri adalah syarikat berdaftar dan beroperasi di Selangor atau Lembah Klang selain syarikat beroperasi dalam 21 sektor perlu,” katanya pada sidang media maya hari ini, yang turut disertai EXCO Perumahan Rodziah Ismail.

Sebanyak dua juta dos vaksin disediakan kepada majikan bagi diagihkan secara percuma untuk sejuta
pekerja negeri ini melalui program Selvax Industri.

Usaha Kerajaan Negeri itu bagi memelihara pekerja dan masyarakat sekitarnya memandangkan sejumlah kes positif berpunca daripada kluster tempat kerja.

Selain itu, Chang Khim berkata kira-kira 13,000 pekerja industri sudah menerima vaksin dalam fasa awal dan suntikan akan diberikan secara konsisten mulai 25 Julai sehingga Oktober depan.

Beliau juga mengingatkan majikan supaya tidak mengenakan bayaran kepada pekerja dan tidak menjual slot janji temu kepada syarikat atau individu lain.

“Kos keseluruhan program ini yang telah dipersetujui Kerajaan Selangor bagi syarikat atau majikan adalah sebanyak RM350 bagi dua dos suntikan,” katanya.

Syarikat yang ingin berdaftar boleh berbuat demikian melalui laman sesawang https;//vax.selangkah.my atau hubungi pusat panggilan 1-800-22-6600.

Berikut 21 sektor perlu yang diutamakan untuk program Selvax Industri:

1. Air, elektrik dan tenaga
2. Kesihatan
3. Makanan dan minuman
4. Kilang bahan makanan, minuman dan keperluan asas harian
5. Veterinar dan keperluan makanan haiwan
6. Barangan keperluan harian atau kendiri
7. Keselamatan, pertahanan, kecemasan, kebajikan dan bantuan kemanusiaan
8. Pengangkutan (darat, air dan udara)
9. Perkhidmatan pelabuhan, limbungan dan lapangan terbang
10. Hotel dan penginapan (bagi tujuan kuarantin)
11. Perbankan, insurans, takaful dan pasaran modal
12. Industri bahan api dan pelincir
13. Komunikasi (media, telekomunikasi dan internet)
14. Pembersihan, pengurusan sisa pepejal dan pembentungan
15. E-dagang dan teknologi maklumat
16. Pembaikan kenderaan serta alat ganti berkaitan
17. Penjualan perkakasan, peralatan serta alat ganti
18. Perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan
19. Pembinaan, penyelenggaraan, pembaikan dan pendawaian bersifat kritikal
20. Perikanan, perladangan, pertanian, penternakan dan berkaitan
21. Perundangan dan kehakiman

Categories
AGENDA NASIONAL

Lulus RM500,000 geran padanan bantu peniaga beralih konsep maya

SHAH ALAM, 23 JUN: Selangor meluluskan dana hampir RM500,000 melalui Geran Padanan Digitalisasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi membantu peniaga beralih dari konsep fizikal ke maya.

EXCO industri kecil dan sederhana berkata pihaknya menerima 500 permohonan setakat ini dan menggalakkan lebih ramai peniaga mengambil peluang sama sehingga Ogos.

“Kita menjangka 350 permohonan akan diluluskan. Setakat ini, kerajaan telah meluluskan jumlah geran keseluruhan hampir RM0.5 juta.

“Walaupun tarikh pendaftaran kumpulan pertama tamat pada minggu lepas (15 Jun), PKS masih lagi boleh mendaftar pada Ogos untuk kumpulan seterusnya,” kata Dato’ Teng Chang Khim.

Beliau berucap pada sidang media secara maya sempena pengumuman keputusan e-Bazar Raya Selangor dan pelancaran Sidec TV melalui aplikasi Zoom hari ini.

Geran tersebut dilancarkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 12 April untuk membantu PKS melakukan transformasi digital.

Sebanyak RM5 juta diperuntuk bagi manfaat 1,000 peniaga kecil dengan jumlah bantuan antara RM1,000 hingga RM5,000.

Lima bidang pendigitalan yang ditawarkan ialah e-dagang, sistem sumber manusia, sistem akaun, pemasaran digital dan sistem Electronic Point of Sale (e-PoS) dan gerbang pembayaran.

Berikut syarat-syarat kelayakan PKS:

– Berdaftar bawah undang-undang berkaitan di Malaysia
– Syarikat sekurang-kurangnya 51 peratus dimiliki rakyat Malaysia
– PKS yang mempunyai alamat berdaftar di Selangor atau beroperasi di Selangor sahaja
– Beroperasi sekurang-kurangnya setahun
– Mempunyai perolehan jualan tahunan sekurang-kurangnya RM300,000 dan tidak melebihi RM1 juta
– Terhad kepada satu permohonan bagi setiap PKS dan mereka dibenar memohon untuk tiga perkhidmatan digital dengan satu atau lebih pembekal perkhidmatan yang disahkan Sidec

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Gerbang pelaburan Asean, sidang niaga kukuh reputasi Selangor

KUALA LUMPUR, 8 APRIL: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) dijangka terus mengukuhkan kedudukan negeri sebagai destinasi pelaburan terbaik Asia Tenggara.

EXCO perdagangan dan perindustrian berkata acara tahunan itu pernah menjana nilai transaksi tertinggi sebanyak RM247.3 juta pada 2019 dan RM204.2 juta pada 2017.

“Tahun lalu acara ini dibuat secara maya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan, oleh itu SIBS tahun ini sangat penting sebagai penanda aras pembangunan semula ekonomi negeri di rantau Asean.

“Kami amat menggalakkan peserta antarabangsa kembali meneroka pelbagai peluang menerusi acara ini,” kata Dato’ Teng Chang Khim ketika praperasmian SIBS di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Sidang perniagaan itu dijadual berlangsung mulai 7 hingga 10 Oktober ini.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif Invest Selangor berkata SIBS 2021 diadakan secara hibrid membabitkan dalam talian dan fizikal.

Dato’ Hasan Azhari Idris berkata seramai 840 pempamer bakal mengambil bahagian yang dijangka disertai 15,000 pengunjung dari 24 negara.

“Terdapat enam acara utama diketengahkan iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (makanan dan minuman), Persidangan Perniagaan Asean Selangor, Konvensyen Digital Ekonomi dan Bandar Pintar Selangor.

“Sementara dua acara baharu ialah Ekspo Antarabangsa Selangor (perubatan) dan Ekspo Taman Industri Selangor,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Menang angpau RM10,000, tonton sambutan Tahun Baharu Cina secara maya

SHAH ALAM, 8 FEB: Kerajaan Selangor menganjurkan kempen Rebut Peluang Menang Angpau bernilai RM10,000 sempena Tahun Baharu Cina 2021 peringkat negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Agama Buddha dan Tao Selangor berkata orang ramai hanya perlu menonton sambutan perayaan secara langsung di Facebook pada 12 Februari dan mengirim ucapan.

Dato’ Teng Chang Khim memaklumkan sebanyak 310 angpau disediakan dengan peserta berpeluang memenangi antara RM28 dan RM168.

“Kempen ini hanya diadakan di Facebook Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Teng Chang Khim melibatkan agihan 150 angpau bernilai RM28 dan lima angpau RM168 setiap satu.

“Cabutan angpau RM168 akan diadakan pada minit ke-15, 30, 45, 60 dan selepas siaran langsung tamat. Senarai pemenang diumum pada 15 Februari,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Berikut langkah-langkah penyertaan:

1. Saksikan sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Selangor secara dalam talian pada 12 Februari, jam 9 malam dan kongsi di Facebook serta jadikan siaran umum

2. Tanda rakan dan keluarga anda sebanyak mungkin di ruangan komen, tulis ucapan selamat dan letak tanda pagar #alliwantforcnyisyou

Layari Facebook Teng Chang Khim dan linktr.ee/cnyselangor untuk maklumat lebih jelas.

Selangor menganjurkan sambutan Tahun Baru Cina dalam talian secara besar-besaran melalui rangkaian media sosial pada 12 Februari ini.

Kumpulan kebudayaan yang bakal membuat persembahan ialah:

1. Emcees’ Talk Show – Soo Wee Seng & Soo Rui Yang
2. Reunion – Hands Percussion Malaysia
3. Reminiscence – Han Fong Dance Ensemble
4. The Conqueror – Sara Heng & Hands Percussion Malaysia
5. Don’t Worry, My Dear – Fresco Harmonica Ensemble
6. Teochew Puppet Documentary – Teochew Puppet & Opera
7. A New Bloom- Ong Chia Kun & Howz & Jimmy Ch’ng
8. Lion Dance Documentary – The King of Lion Dance
9. Lion Dance – Subang Hong Teck
10. Horse Dance – Shui Tung Fang Band
11. CNY Song 2021 – Tha Jie Ying
12. Gong Xi Gong Xi – Barisan EXCO

Categories
ADN SELANGOR

PKP: Lebih RM260,000 agih bekalan makanan sekitar Bandar Baru Klang

SHAH ALAM, 3 FEB: Lebih RM260,000 diperuntuk bagi membekalkan makanan asas kepada keluarga miskin sekitar Bandar Baru Klang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Wakil rakyatnya Dato’ Teng Chang Khim berkata agihan bantuan secara berfasa mulai tahun lalu melibatkan penghuni pangsapuri dan kawasan kampung.

“Sepanjang Mac hingga Disember tahun lalu, sejumlah RM200,000 dibelanjakan untuk menyediakan barang makanan manakala tahun ini lebih RM60,000 bagi membantu 2,000 keluarga yang terjejas akibat PKP,” katanya kepada SelangorKini semalam.

Jelasnya, sumbangan berbentuk makanan menjadi pilihan untuk memastikan penduduk tidak terputus bekalan ketika pelaksanaan perintah kawalan.

“Kita pastikan kebajikan penduduk terjaga. Sumbangan ini dapat meringankan beban dan wang mereka boleh digunakan untuk tujuan lain,” kata Chang Khim.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor mampu majukan aeroangkasa, miliki kemudahan – EXCO

SHAH ALAM, 3 FEB: Industri aeroangkasa merupakan pelaburan baharu Kerajaan Selangor dalam usaha meningkatkan kadar  ekonomi negeri ini, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata Selangor mempunyai kelebihan memajukan sektor itu memandangkan terdapat dua lapangan terbang yang besar, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

EXCO Kerajaan Negeri Dato’ Teng Chang Khim semasa ditemu bual Media Selangor bagi program sambutan Tahun Baru Cina 2021 peringkat Selangor di Bangunan SUK, Shah Alam pada 2 Febuari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Kita lihat bidang ini mempunyai potensi untuk bina pusat penerbangan khusus yang lengkap dengan penyelenggaraan pembaikan dan baik pulih (MRO) untuk seluruh dunia.

“Kajian telah dilakukan. Dengan kebangkitan ekonomi Asia, pesawat persendirian akan bertambah. Jadi kita dah ada kemudahan (lapangan terbang) malah mempunyai tenaga pakar berpengalaman yang mampu mengembangkan industri ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, beliau berkata Pameran Penerbangan Selangor 2021 yang dijangka berlangsung 2 April ini masih belum diputuskan.

“Kita akan lihat perkembangan semasa pandemik Covid-19. Jika masih berterusan, ia akan ditangguhkan enam bulan lagi dan jika berlangsung, Selangor menjadi negeri pertama di Malaysia dan Asia Tenggara,” katanya.

Pada Oktober tahun lalu, ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan penganjuran pameran itu bagi menggalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa dan menyediakan platform kepada syarikat tempatan serta usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) meneroka bidang itu.

Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar selepas Sesi Taklimat dan Perkongsian: Pejabat Koordinasi Industri Aeroangkasa Selangor Darul Ehsan ( S-DAICO) di Bilik Mesyuarat MTES, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 18 Mei 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
Categories
EXCO SELANGOR

Manfaat pendigitalan, bantu usahawan kecil tambah pendapatan

SHAH ALAM, 26 JAN: Kerajaan Selangor tekad membantu peniaga kecil dan mikro negeri ini memanfaatkan pendigitalan bagi meningkatkan pendapatan.

EXCO industri kecil dan sederhana berkata usaha terus dipergiat bagi memastikan golongan itu mampu bertahan dalam situasi mencabar pascapandemik Covid-19.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memerlukan peniaga untuk mendigitalisasi perniagaan mereka supaya aliran tunai berterusan,” kata Dato’ Teng Chang Khim ketika pelancaran kempen Selangor e-Bazar Tahun Baharu Cina 2021 hari ini.

Beliau menambah kempen e-bazar raya dan 11.11 Jualan Mega tahun lalu yang mencatat jualan jutaan ringgit membuktikan agenda ekonomi digital membantu ramai peniaga.

Menurutnya, kedua-dua inisiatif terbabit menghasilkan kesan riak (ripple effect) sebanyak RM1.39 bilion melalui jualan terus sebanyak RM43.76 juta.

Perolehan itu berdasarkan pemberian RM3 juta baucar oleh Kerajaan Negeri kepada dua laman e-dagang popular iaitu Shopee dan Lazada.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kempen 11.11: Jualan laris sehingga pembekal tidak dapat tampung bekalan

SHAH ALAM, 18 JAN: Basikal, peralatan sukan dan barangan elektrik laris dijual sepanjang kempen e-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega yang berlangsung Oktober hingga Disember tahun lalu.

EXCO Industri dan Perdagangan Datuk Teng Chang Khim berkata susulan itu ada pembekal yang tidak dapat menampung permintaan tinggi pelanggan.

“Aksesori telefon bimbit, barangan rumah serta barangan kesihatan dan kecantikan juga antara kategori popular menjadi pilihan pelanggan.

“Ini membuktikan usaha Kerajaan Selangor ke arah digitalisasi membuahkan hasil. E-dagang, pembayaran digital dan logistik semakin berkembang walaupun dalam keadaan yang penuh dengan cabaran ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dalam talian ketika majlis mengumumkan kejayaan kempen berkenaan semalam. Pengumuman dilakukan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Chang Khim berkata kempen yang bermula 26 Oktober hingga 15 Disember membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas ekoran penularan Covid-19 menjana pendapatan baharu yang lebih tinggi.

“Saya beri contoh penjual pakaian muslimah, Zaharah Aris. Kedainya Az Zara sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) hanya catat jualan RM2,000 sebulan namun selepas sertai Selangor e-Bazar, jualan mencecah RM50,000 sebulan.

“Pembelian barangan dalam talian semakin berkembang. Ia bukan hanya meningkatkan jualan peniaga sebaliknya membantu ekonomi penghantar makanan serta menyenangkan pelanggan,” katanya.

Kempen e-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega dengan peruntukan RM2 juta merupakan program beli-belah dalam talian membabitkan kerjasama Shopee dan Lazada bagi membantu peniaga berdepan krisis ekonomi berikutan penularan Covid-19.

Sepanjang kempen itu, sebanyak RM1.04 bilion jualan dicatatkan termasuk RM32.06 juta diraih melalui jualan terus.

Categories
ADN SELANGOR

2,000 penduduk DUN Bandar Baru Klang terima bantuan makanan kering

SHAH ALAM, 16 JAN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Baru Klang mengagih bantuan makanan kepada 2,000 penduduk berpendapatan rendah (B40) kawasan itu sebagai usaha membantu golongan berkenaan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata sumbangan bernilai RM60,000 itu diberikan secara berperingkat pada hari ini dan minggu depan.

“Penerima akan mendapat makanan kering seperti beras, sardin, tepung, gula, biskut, bihun dan minyak.

“Hari ini 1,000 agihan dibuat di Pangsapuri Mawar, Cempaka, Dahlia, Pelangi Indah dan Rebana manakala minggu hadapan sekitar Teluk Pulai, Batu Belah dan Tepi Sungai,” katanya kepada SelangorKini.

Menurutnya, bantuan diagihkan pasukan petugas khas yang diketuai empat Ahli Majlis iaitu Dr Quah Perng Fei, Low Kwee Sia, Halid Kaab dan Gan Eu Eng.

“Kita harap bantuan ini akan meringankan beban semua penerima,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kempen 11.11 Jualan Mega Shopee, Lazada rekod jualan RM30 juta

SHAH ALAM, 4 DIS: Kempen beli-belah dalam talian, e-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega merekod hasil jualan sebanyak RM30 juta, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata inisiatif tersebut berjaya membantu peniaga menjana semula pendapatan yang terjejas teruk akibat Covid-19.

“Nilai jualan ini menunjukkan perniagaan dalam talian semakin berkembang serta mempunyai potensi besar untuk menjana pendapatan, jadi peniaga perlu memanfaatkan peluang.

“Kerajaan Negeri komited membantu peniaga meneroka ruang e-dagang kerana digitalisasi memberi harapan kepada kita untuk memulihkan ekonomi lebih cepat,” katanya dalam ucapan secara maya pada Majlis Penyampaian Hadiah Malaysia Top E-Commerce Merchant Award 2020 semalam.

Beliau berkata program beli-belah dalam talian bersama Shopee dan Lazada itu mencatat kesan limpahan ekonomi bernilai RM700 juta.

Selangor menganjurkan kempen e-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega selama sebulan bermula 26 Oktober dengan peruntukan RM2 juta.

Program itu bertujuan mendorong sektor perusahaan kecil dan sederhana memanfaat pendigitalan dalam perniagaan, sementara kedua-dua syarikat e-dagang terbabit menerima subsidi baucar RM1 juta.