Categories
AGENDA NASIONAL

KKM tidak lagi tumpu imuniti kelompok, luaskan vaksin atasi varian Delta

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak lagi menggunakan formula konvensional yang menilai imuniti kelompok berdasarkan capaian sekurang-kurangnya vaksinasi 80 peratus penduduk dewasa dalam usaha membendung Covid-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pakar kesihatan dunia kini telah berhenti menggunakan formula berkenaan dan fokus memvaksinasi sebanyak mungkin populasi penduduk kerana penularan varian Delta menyebabkan sasaran imuniti kelompok sebelum ini iaitu 80 peratus, terjejas.

“Saya sebagai Menteri KKM, saya tidak lagi guna terma herd immunity. Pada waktu kita mulakan program vaksinasi, kita guna formula konvensional untuk kira herd immunity yang didapati bahawa 80 peratus (penduduk dewasa) vaksinasi baru capai herd immunity.

“Tapi pada masa itu sebelum penularan varian Delta. Delta pada dasarnya menjejaskan pengiraan imuniti kelompok dan ia adalah sukar untuk menyatakan bila kita dapat (capai) herd immunity, sebab itu kita jangan lagi melihat dengan herd immunity, kita kena lihat liputan itu (vaksinasi) seluas mungkin,” katanya ketika menggulung Usul Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau memberi penjelasan itu apabila Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang bangun dan mempersoalkan mengapa kes jangkitan dan kematian akibat Covid-19 di Malaysia masih tinggi sedangkan kadar vaksinasi penduduk dewasa melebihi 80 peratus.

Pada Selasa, negara mencapai 80 peratus populasi dewasa lengkap divaksin, lebih awal daripada sasaran melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan sejak 24 Feb, dalam usaha membendung penularan Covid-19 di seluruh negara.

Justeru, Khairy berkata program PICK kini giat melaksanakan vaksinasi terhadap remaja berusia 12 hingga 17 tahun manakala bagi golongan kanak-kanak, KKM sedang menunggu laporan ujian klinikal vaksin Pfizer untuk golongan itu.

Dalam pada itu, Khairy berkata walaupun pada ketika ini penularan kes masih tinggi namun berdasarkan indikator-indikator penting ia mula menunjukkan trend penurunan dan memberikan sinar ke arah proses pemulihan negara yang lebih baik.

Beliau berkata jika dibandingkan dengan sebulan lepas, iaitu pada 23 Ogos, jumlah penggunaan katil adalah sebanyak 14,942 kes tetapi pada hari ini, ia telah menurun kepada 10,321.

“Jumlah keperluan ICU (unit rawatan rapi) adalah sebanyak 1,542 kes tetapi hari ini menurun kepada 1,114 kes. Purata kes kematian bagi tempoh tujuh hari pada Ogos pula adalah 251 kes dan kini menurun kepada 106 kes.

“Berdasarkan kes aktif semasa yang dicatatkan pula, 83 peratus daripada keseluruhan kes adalah kategori 1 dan 2 yang hanya memerlukan kuarantin di rumah; 10.7 peratus kes dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC); kemasukan ke hospital (5.1 peratus) manakala kes yang memerlukan bantuan alat pernafasan dan rawatan rapi adalah 0.5 peratus,” katanya.

Khairy berkata bagi memastikan penularan dalam negara dapat dikawal seterusnya mengelakkan wabak di luar kawalan, KKM akan terus memantapkan strategi kesihatan awam dalam melandaikan keluk Covid-19 dan memutuskan rantaian transmisi menerusi pelan Find, Test, Trace, Isolate and Support (FTTIS).

Katanya, KKM sedang menyiapkan strategi ujian saringan kebangsaan atau National Testing Strategy untuk memastikan sesuatu kawasan itu boleh beralih ke fasa mitigasi dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) yang akan menentukan tahap jangkitan di kawasan mereka.

Mengulas mengenai kuarantin kendiri di rumah dan kebimbangan mengenai kematian di luar hospital (BID), Khairy berkata KKM kini berusaha mengenal pasti punca sebahagian besar kes BID tidak berada di bawah kawalan KKM dan fasiliti kesihatan lain.

“KKM amat mengambil berat mengenai keadaan ini. Setakat Ogos lepas sebanyak 2,417 kes BID direkodkan, tetapi yang ketara ialah 2,200 kes atau 68 peratus tidak berada di bawah KKM atau di bawah mana-mana pantauan fasiliti kesihatan swasta.

“Untuk membuat rakyat lebih yakin dengan kuarantin rumah, jika mereka berada di bawah pantauan KKM kita akan hantar peralatan seperti pulse oxymeter dan memastikan mereka sentiasa boleh dihubungi supaya jika ada red flag kita pastikan mereka tidak terlewat dihantar ke hospital,” katanya.

Mengenai tunggakan pelaporan kes kematian, Khairy berkata perkara itu tidak hanya berlaku di Malaysia, malah turut berlaku di negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan India.

“Di Malaysia, tunggakan pelaporan ini berlaku di seluruh negara, namun kesannya amat ketara di Lembah Klang memandangkan pada akhir Julai lepas hingga pertengahan Ogos, Lembah Klang mengalami peningkatan kes yang signifikan sekali gus mengakibatkan beban kerja yang tinggi dan kekangan di lapangan dari segi sumber terutamanya sumber manusia,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

80 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mencapai sasaran awal apabila 80 peratus populasi dewasa di Malaysia telah lengkap vaksinasi hari ini.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi ciapan di Twitter rasminya.

“Tahniah! Malaysia mencapai 80 peratus populasi dewasa negara telah lengkap vaksinasi. Teruskan usaha kita perangi COVID-19,” katanya yang turut menyertakan tanda pagar #LindungDiriLindungSemua.

PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas untuk memberikan vaksin kepada orang ramai dalam usaha membendung penularan COVID-19 di seluruh negara.

Di Facebook rasminya pula, Ismail Sabri menyifatkan kejayaan itu adalah hasil pengorbanan para petugas barisan hadapan dan sokongan seluruh Keluarga Malaysia.

“Hasil pengorbanan para petugas barisan hadapan dan sokongan jitu seluruh Keluarga Malaysia dalam mendapatkan vaksin, tidak mengira tua atau muda, baik yang di kota, juga yang di desa, kadar vaksinasi (dewasa) negara akhirnya telah mencapai 80 peratus populasi.

“Tahniah, ini adalah kejayaan kita semua!” katanya.

Sementara itu Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang turut berkongsi perkara sama menerusi ciapan di Twitter rasminya berkata sasaran berkenaan dicapai pada pukul 1 tengah hari ini.

“Pada pukul 1 tengah hari ini, Malaysia telah mencapai sasaran 80 peratus penduduk dewasa lengkap menerima vaksin.

“Walaupun sasaran awal adalah 80 peratus populasi dewasa, sekarang @JKJAVMY (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19) akan berusaha untuk menjejaki 20 peratus lagi yang belum atau enggan divaksinasi,” katanya.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

1.8 peratus lagi capai 80 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin

JOHOR BAHRU, 19 SEPT: Kira-kira 1.8 peratus sahaja lagi diperlukan bagi mencapai sasaran 80 peratus populasi dewasa di negara ini lengkap divaksinasi, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata sehingga semalam, Malaysia telah merekodkan 78.2 peratus daripada populasi dewasanya lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19.

“Tumpuan ketika ini kepada negeri-negeri bagi mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi menjelang akhir September.

“Kadar liputan vaksinasi pada bulan ini juga lebih tinggi di beberapa negeri setelah usaha pemvaksinan ditumpukan kepada negeri-negeri yang sebelum ini masih mencatat kadar lebih rendah seperti Kelantan, Pahang, Kedah, Perak dan Sabah,” katanya selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Pandu Lalu OKU Sentral di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Johor Bahru, Arena Larkin, di sini hari ini.

Turut mengiringi beliau Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi, yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Dr Adham menjelaskan liputan vaksinasi di kebanyakan negeri ketika ini berada di landasan yang baik terutamanya di Sarawak, Labuan dan di Lembah Klang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Bagaimanapun katanya, ini  tidak bermakna usaha vaksinasi diperlahankan sebaliknya lebih tertumpu kepada negeri dan kawasan tertentu termasuk menyasarkan kumpulan yang tercicir.

“Kadar vaksinasi (harian) negara yang dicatatkan sehingga semalam adalah sebanyak 232,559 dos dengan jumlah terbesar diberi di Sabah, Johor dan Lembah Klang,” katanya.

Mengenai vaksinasi melibatkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU), Dr Adham berkata mengikut data Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF), seramai 517,447 atau 89.9 peratus daripada 575,564 OKU telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sementara itu, seramai 401,425 OKU telah lengkap vaksinasi penuh meliputi 69.74 peratus daripada jumlah OKU yang mendaftar untuk vaksinasi, katanya.

Katanya, PPV juga akan mula dibuka untuk orang ramai secara walk-in pandu lalu mulai esok sehingga 30 Sept.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Persatuan restoran tidak wajibkan ahli buka premis, benar pelanggan makan

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) tidak mewajibkan ahlinya membuka premis masing-masing bagi tujuan pelanggan makan di premis (dine-in), sebaliknya bergantung kepada kesediaan pengusaha sendiri untuk berbuat demikian.

Presidennya Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata apa yang penting bagi ahli persatuan, ialah mereka perlu memastikan hanya petugas lengkap divaksin dibenarkan untuk bekerja.

“Pengumuman ini sesuatu yang melegakan buat pengusaha restoran khususnya di kawasan Fasa Satu PPN (Pelan Pemulihan Negara) dan kita sarankan kepada ahli agar menyediakan petugas khusus untuk menyemak sijil digital vaksinasi Covid-19 di aplikasi MySejahtera pelanggan,” katanya.

Beliau berkata bagi mencegah sebarang risiko penularan Covid-19, pemilik premis disarankan kerap mensanitasi meja makan dan kerusi sebelum serta selepas digunakan pelanggan.

Katanya pengusaha restoran dan permis makanan serta pelanggan juga dinasihatkan agar mematuhi semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti dine-in bagi individu lengkap divaksin.

Semalam, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan kebenaran aktiviti dine-in mulai hari ini (Jumaat) bagi premis makanan di kawasan berstatus Fasa Satu PPN, namun terhad bagi pelanggan yang lengkap divaksin.

Antara kelonggaran lain bagi individu lengkap divaksin di kawasan Fasa Satu PPN ialah aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan serta operasi pasar malam dan pasar minggu.

Sementara itu Jawahar Ali berkata ahli persatuan turut disaran mempamerkan poster atau gegantung makluman mengenai semua petugas premis telah divaksin bagi meningkatkan keyakinan pelanggan masing-masing.

“Kita juga berharap pelanggan berdisplin dan mematuhi semua SOP yang ditetapkan ketika makan di premis terutama jika membawa keluarga dengan anak-anak berusia 17 tahun ke bawah,” katanya.

— BERNAMA

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 10 juta individu lengkap dua dos setakat semalam

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Sebanyak 31.1 peratus atau 10,144,199 populasi negara ini telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menerusi perkongsian infografik di Twitter rasminya, beliau memaklumkan seramai 16,707,566 orang telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam sebanyak 26,851,765 dos.

Mengikut peratusan, 71.4 peratus daripada populasi dewasa negara telah mendapat dos pertama manakala 43.3 peratus telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Sementara itu, vaksinasi harian mencatatkan 462,860 dos diberikan semalam dengan 162,182 adalah dos pertama manakala 300,678 adalah dos kedua.

PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

— BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 26 juta dos vaksin diberi setakat semalam

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Sebanyak 26,388,905 dos vaksin Covid-19 telah diberikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menerusi perkongsian infografik di Twitternya, beliau memaklumkan jumlah yang menerima dos pertama ialah 16,545,384 orang manakala 9,843,521 orang menerima dos kedua.

Mengikut peratusan, 70.7 peratus daripada populasi dewasa negara telah mendapat dos pertama, manakala 42 peratus telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Sementara itu, vaksinasi harian mencatatkan 525,342 dos diberikan semalam dengan 197,962 adalah dos pertama manakala 327,380 adalah dos kedua.

PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

— BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Thailand rekod 21 korban Covid-19, angka tertinggi setakat ini

BANGKOK, 1 MEI: Thailand mencatat 21 kes kematian baharu akibat Covid-19, angka harian tertinggi sejak penularan pandemik itu pada Januari tahun lepas, menjadikan jumlah korban meningkat kepada 224 orang ketika negara tersebut memulakan sekatan lebih ketat pada Sabtu dalam usaha memerangi gelombang ketiga jangkitan virus yang merebak lebih pantas.

Sepanjang tempoh 24 jam lepas, Thailand mencatat 1,891 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan virus itu setakat ini ialah 67,044 dengan 224 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata kematian baharu membabitkan 12 wanita dan sembilan lelaki berumur lingkungan 39 hingga 90 tahun dengan purata tempoh jangkitan hingga kematian ialah lima hari.

Beliau berkata daripada 1,891 kes baharu, sebanyak 1,884 adalah jangkitan tempatan termasuk 1,799 kes yang mendapatkan rawatan di hospital dan 85 daripada pengesanan kes aktif manakala tujuh merupakan kes import.

“Sebanyak 38,181 kes baharu dan 130 kematian dilaporkan ketika gelombang ketiga jangkitan yang bermula pada 1 April. Sepanjang tempoh 24 jam lepas, sejumlah 1,821 pesakit didiscaj dari hospital manakala 28,745 masih menerima rawatan termasuk 20,750 di hospital dan 7,970 di hospital medan.

“Jumlah pesakit yang berada dalam keadaan kritikal ialah 829 dan 270 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya pada taklimat harian Covid-19 pada Sabtu.

Bermula Sabtu, Thailand mengenakan tindakan lebih keras bagi mengekang penularan Covid-19 termasuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan awam seluruh negara atau berdepan denda sehingga 20,000 baht (RM2,628).

Selain itu, pihak berkuasa melarang makan di restoran di Bangkok serta lima wilayah yang diklasifikasikan sebagai kawasan berisiko paling tinggi manakala taman awam, gimnasium, pusat hiburan dan institusi pendidikan ditutup di kesemua wilayah terbabit.

Setakat ini, sejumlah 15 wilayah mengenakan perintah berkurung yang ringan bagi mengehadkan pergerakan orang ramai dalam usaha memperlahankan kadar jangkitan.

Sementara itu, Thailand menghantar sebuah pesawat khas ke India pada Sabtu bagi membawa pulang rakyat Thailand termasuk tiga pegawai kedutaan yang dijangkiti Covid-19.

Selain itu, Thailand menghantar sejumlah 25 unit mesin oksigen dan katil sementara kepada Persatuan Palang Merah India bagi menangani peningkatan mendadak kes Covid-19.

Sementara itu, Thailand pada Sabtu memulakan pendaftaran vaksinasi Covid-19 bagi rakyat negara itu yang berusia 60 dan ke atas dengan pesakit yang menghidap pnyakit kronik seperti sindrom pernafasan yang teruk, penyakit jantung dan koronari, penyakit serebrovaskular, diabetes serta kanser diberi keutamaan.

Kementerian Kesihatan Awam menyasarkan untuk memvaksinasi 16 juta orang melalui pendaftaran kumpulan pertama, lapor akhbar The Nation.

Vaksinasi secara massa di Thailand akan bermula pada Jun apabila kumpulan pertama dos vaksin Covid-19 jenama AstraZeneca yang dihasilkan di negara itu boleh didapati.

Thailand menyasarkan untuk memvaksinasi 70 peratus penduduknya menjelang akhir tahun ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

SJMC dijadikan pusat pemvaksinan Covid-19

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) dijadikan pusat pemvaksinan Covid-19 di daerah Petaling Jaya, selepas beberapa hospital swasta turut dipilih menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Ketua Pegawai Eksekutif SJMC Trish Hogan dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya mempunyai petugas pemvaksinan terlatih untuk menguruskan pemberian vaksin kepada petugas kesihatan di Selangor yang bermula esok.

Trish berkata adalah penting inisiatif kerjasama awam-swasta ini digunakan sepenuhnya untuk memastikan program pemvaksinan negara berjalan lancar.

“SJMC komited dengan peranan kami dalam menyokong usaha kerajaan untuk mencapai 80 peratus imuniti kelompok di Malaysia yang akan memberi kesan meluas dan positif bagi kita semua,” katanya.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin sebelum ini dilaporkan berkata hospital swasta telah digunakan sebagai pusat pemvaksinan bagi petugas kesihatan swasta untuk Fasa 1 Pogram Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Katanya, kerajaan akan memasukkan lebih banyak hospital swasta bagi Fasa 2 dan 3 seperti yang diumumkan sebelum ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bank Negara kekal OPR pada 1.75 peratus

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi mesyuarat kedua Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Khamis, memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus.

Dalam kenyataannya, bank pusat itu berkata MPC juga menyifatkan keputusan serta pendirian membabitkan dasar monetari tersebut sebagai wajar dan akomodatif.

Ia menegaskan, berikutan keadaan pandemik yang terus tidak menentu, pendirian dasar monetari pada masa hadapan akan terus ditentukan oleh data dan maklumat baharu serta kesannya terhadap prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negara.

“Bank Negara Malaysia akan terus komited untuk menggunakan mekanisme dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi secara berterusan,” kata bank pusat itu.

Menurut BNM, di peringkat domestik, penunjuk terkini menunjukkan permintaan luaran bertambah baik manakala perbelanjaan pengguna berterusan.

Malah, katanya, walaupun pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan penularan Covid-19 akan menjejaskan pertumbuhan pada suku pertama, kesannya dijangka tidak seteruk yang pernah dialami pada suku kedua 2020.

“Pada masa hadapan, pertumbuhan diunjurkan meningkat mulai suku kedua dan seterusnya, didorong oleh pemulihan permintaan global, peningkatan perbelanjaan sektor awam dan swasta berikutan sokongan yang berterusan daripada langkah-langkah dasar serta langkah-langkah pembendungan yang lebih bersasar,” katanya.

BNM berkata, pertumbuhan itu akan turut disokong oleh aktiviti pengeluaran yang lebih tinggi daripada fasiliti sektor perkilangan yang sedia ada dan baharu, khususnya dalam subsektor elektrik dan elektronik (E&E) dan subsektor berkaitan sumber, serta loji pengeluaran minyak dan gas.

“Pelaksanaan program pemvaksinan Covid-19 di peringkat dalam negara akan terus meningkatkan sentimen dan kegiatan ekonomi.

“Bagaimanapun, prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan ekonomi menjadi rendah. Keadaan ini berpunca terutamanya daripada ketidakpastian berterusan mengenai perkembangan berkaitan pandemik serta cabaran yang akan dihadapi dan boleh menjejaskan (usaha) vaksinasi pada peringkat global dan dalam negara,” katanya.

Dalam pada itu, purata inflasi keseluruhan pada 2021 diunjurkan lebih tinggi terutamanya disebabkan oleh peningkatan harga minyak.

Menurut BNM, dari segi trajektori, inflasi keseluruhan dijangka naik mendadak untuk sementara waktu pada suku kedua tahun ini berikutan asas lebih rendah daripada harga runcit bahan api dalam negara pada suku sama 2020 yang menyederhana selepas itu.

“Inflasi asas juga dijangka kekal rendah dalam keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi, namun prospek ini bergantung pada perkembangan harga minyak dunia dan komoditi,” kata BNM.

Selain itu, ia juga menyifatkan pemulihan ekonomi global semakin rancak meskipun tidak sekata, disokong oleh peningkatan stabil dalam aktiviti perkilangan dan perdagangan.

Pada masa sama, program pemberian vaksin yang sedang dilaksanakan di kebanyakan negara-negara berserta sokongan dasar akan terus membantu menambah baik keadaan permintaan swasta dan pasaran tenaga kerja, katanya.

“Meskipun pasaran kewangan telah mengalami turun naik, keadaan kewangan terus menyokong kegiatan ekonomi.

“Risiko terhadap prospek pertumbuhan juga telah berkurangan sedikit tetapi terus cenderung ke arah pertumbuhan lebih perlahan yang disebabkan terutamanya oleh ketidakpastian mengenai pandemik Covid-19 serta keberkesanan program vaksinasi,” kata BNM.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit diniaga lemah 4.0630/0675 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Ringgit terus lemah berbanding dolar AS ketika dibuka pagi Jumaat ini, didorong oleh minat belian ke atas dolar AS berikutan kadar pemvaksinan Covid-19 yang tinggi serta kebimbangan mengenai kenaikan kadar faedah oleh People’s Bank of China (PBoC), kata seorang peniaga.

Unit tempatan menyusut kepada 4.0630/0675 berbanding dolar AS daripada 4.0570/0600 ketika ditutup pada petang Khamis.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata para pelabur terus yakin terhadap pertumbuhan ekonomi AS dan terdapat kemungkinan berlakunya aliran keluar pelaburan dari pasaran Asia.

“Namun, kadar faedah China yang lebih tinggi oleh PBoC akan menjejaskan kredit dan memperlahankan pertumbuhan dan pastinya akan merugikan rakan dagang tempatan seperti ringgit,” kata Innes.

Bagaimanapun, harga minyak yang lebih baik akan mengurangkan kesan penurunan ringgit kerana harga minyak telah bersedia untuk mengatasi sentimen pasaran pada suku pertama tahun ini, ujar beliau.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0378/0423 daripada 3.0374/0410 pada petang Khamis tetapi lebih tinggi berbanding yen kepada 3.8515/8562 daripada 3.8850/8582 sebelumnya.

Ringgit juga rendah berbanding pound Britain pada 5.5614/5680 daripada 5.5106/5163 tetapi mengukuh berbanding euro kepada 4.8618/8688 daripada 4.8623/8671 pada petang Khamis.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Warga Malaysia di Singapura antara terima suntikan vaksin Covid-19

SINGAPURA, 17 JAN: Sejumlah rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura menjadi antara penerima suntikan vaksin Pfizer BioN Tech di negara tersebut.

Mereka yang menerima suntikan vaksin tersebut, kebanyakkan bekerja dalam sektor yang diberikan keutamaan untuk menerima vaksin, di republik itu.

Sebahagian daripada mereka telahpun berkongsikan pengalaman mereka menerima suntikan di laman Facebook Malaysian-Singapore Border Crossers, yang kini mempunyai hampir 82,000 ahli.

Imra Astata Ibrahim yang bekerja dalam sektor marin berkata, beliau menerima suntikan vaksinnya yang pertama pada 13 Januari dan akan menerima suntikan kedua selepas 21 hari.

Ketika dihubungi Bernama, Imra Astata, 40, yang menyewa di Jurong West di sini berkata, beliau tidak teragak-agak untuk menerima suntikan vaksin tersebut bersama 10 lagi rakan dari Malaysia.

Malah, bapa kepada tiga cahaya mata itu berpandangan yang dengan mengambil suntikan tersebut, keadaan akan menjadi lebih mudah untuknya berulang-alik ke Johor seperti sebelum ini.

“Siapa tahu, mungkin akan ada satu persefahaman antara kedua negara, bagi memudahkan pergerakan untuk pekerja yang telah menerima vaksin ini,” katanya.

Imra Astata kembali ke republik itu untuk bekerja pada 24 September 2020, selepas langkah-langkah memperketatkan pergerakan antara kedua-dua sempadan negara itu diperkenalkan pada Mac tahun lepas, bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Ketika ditanya jika terdapat sebarang kesan sampingan selepas penerimaan vaksin tersebut, Imra Astata berkata, sebelum menerima suntikan itu, beliau dan rakan-rakannya dimaklumkan mengenai kemungkinan adanya kesan sampingan.

“Setakat ini, saya dan rakan-rakan masih sihat selepas mengambil suntikan. Hanya pada hari menerima suntikan, saya rasa sedikit kebas dan sakit di tempat suntikan,” kata Astata yang berasal dari Johor.

Kerajaan Singapura memperuntukkan semua rakyat Singapura dan penduduk jangka panjang di negara itu, untuk menerima vaksin sebelum akhir 2021, jika tiada gangguan yang tidak terjangka dalam penghantaran vaksin tersebut.

Singapura menerima penghantaran pertama vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 pada 21 Disember tahun lepas.

Bagi memastikan ketersediaan vaksin dan membolehkan Singapura mencapai kadar yang lebih tinggi pemberian vaksin kepada penduduk republik itu, vaksin tersebut akan diberikan secara percuma.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Singapura sehingga 12 Januari 2021, lebih daripada 6,200 individu menerima dos pertama vaksin mereka di negara itu.

Menurut MOH, jumlah itu dijangka meningkat dengan banyak dalam minggu yang akan datang, apabila mereka mempertingkatkan lagi operasi pemberian vaksin mereka.

Sejajar dengan saranan daripada Jawatankuasa Pakar mengenai Vaksinasi Covid-19 untuk mengutamakan vaksinasi kepada kumpulan yang paling berisiko, Singapura memulakan aktiviti vaksinasi kepada petugas bidang kesihatan secara progresif bermula 30 Disember 2020.

– BERNAMA