Categories
AGENDA NASIONAL

Ribut petir, hujan lebat di Selangor, Kuala Lumpur hingga 9 malam ini

SHAH ALAM, 9 MAC: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri, termasuk Selangor dan Kuala Lumpur sehingga jam 9 malam ini.

Menurut MetMalaysia di Facebook, kawasan terbabit adalah Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat di Selangor; Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru di Johor; Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong dan Temerloh di Pahang.

Kawasan lain adalah Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang, Sik dan Bandar Baharu di Kedah; Barat Daya, Timur Laut, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang serta Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim di Perak.

Amaran yang sama turut membabitkan Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang di Kelantan serta Sri Aman, Sarikei (Julau), Sibu (Kanowit), Kapit (Song dan Kapit) dan Bintulu (Tatau dan Sebauh) di Sarawak.

MetMalaysia berkata amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my, media sosial dan memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ketua Perangkawan: Kadar pengangguran negara menurun

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Bilangan penganggur di dalam negara pada Januari lepas berkurang kepada 680,400 orang, menjadikan kadar pengangguran berada pada 4.2 peratus, kata Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata jumlah itu berkurang sebanyak 1.1 peratus berbanding 687,600 orang pada Disember tahun lalu.

“Kedudukan tenaga buruh semakin baik pada Januari 2022 didorong peningkatan berterusan dalam guna tenaga manakala penganggur dalam trend menurun,” katanya dalam kenyataan Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Januari 2022 di sini hari ini.

Menurut Mohd Uzir, bilangan penduduk bekerja juga bertambah iaitu 15.69 juta orang, meningkat 0.2 peratus berbanding 15.65 juta orang pada Disember 2021, mencatatkan nisbah guna tenaga lebih tinggi iaitu 66.2 peratus.

Berikutan itu, tenaga buruh meningkat 0.2 peratus iaitu 16.37 juta orang berbanding 16.34 juta pada Disember, seterusnya meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh bulan Januari kepada 69.1 peratus berbanding 69.0 pada bulan sebelumnya.

“Situasi ini mencerminkan aktiviti ekonomi yang menggalakkan pada Januari 2022 berikutan kesemua negeri telah berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara yang membenarkan perniagaan terus beroperasi pada kapasiti penuh dengan waktu perniagaan lebih panjang,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai situasi pengangguran pada Januari, Mohd Uzir berkata daripada 680,400 penganggur, 83.7 peratus adalah mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif.

Mengikut sektor ekonomi, beliau berkata bilangan penduduk bekerja dalam perkhidmatan mencatatkan peningkatan bulan ke bulan berterusan terutama dalam aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman; perdagangan borong dan runcit serta maklumat dan komunikasi.

Katanya, trend sama juga dilihat dalam sektor pembuatan dan pembinaan dengan bilangan guna tenaga yang terus meningkat, sebaliknya guna tenaga dalam sektor pertanian serta perlombongan dan pengkuarian berada pada trend menurun sejak 18 bulan lepas.

Mengulas tenaga buruh secara keseluruhan, Mohd Uzir berkata prospek ekonomi yang lebih optimis dijangka pada bulan-bulan akan datang digambarkan oleh Indeks Pelopor yang melebihi 100 mata secara berterusan dan meningkat pada Disember 2021.

Menurutnya, prospek positif itu akan mendorong kepada peningkatan dalam aktiviti perniagaan dan seterusnya mewujudkan lebih banyak permintaan buruh dalam ekonomi.

“Pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan akan menggalakkan penyertaan buruh yang lebih ramai, sekali gus mendorong pasaran buruh untuk menjadi lebih rancak pada bulan-bulan yang akan datang,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Harga petrol RON95, diesel kekal, RON97 naik 30 sen

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Harga runcit petrol RON97 naik 30 sen seliter manakala harga RON95 dan diesel kekal bagi tempoh 10 hingga 16 Mac ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga runcit petrol RON97 naik daripada RM3.45 kepada RM3.75 seliter, manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal pada harga RM2.05 dan RM2.15 seliter.

“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua jenis minyak tersebut telah meningkat melebihi paras harga siling yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan harga runcit petrol RON97 yang ditetapkan adalah mengikut harga pasaran sebenar.

“Kerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

LZS: Bantu 63,000 ketua isi rumah asnaf peroleh perlindungan takaful

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) memeterai satu kerjasama strategik yang akan memberi peluang kepada kira-kira 63,000 ketua isi rumah asnaf yang berdaftar dengan LZS untuk mendapat perlindungan sosial melalui penebusan baucar perlindungan tenang bernilai RM75.

Ketua Pegawai Eksekutif MTA Mohamad Radzuan Mohamed berkata sebagai permulaan, kerjasama ini akan menghubungkan aliran maklumat mengenai asnaf daripada LZS, khususnya mereka yang tergolong dalam penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) 2021 atau Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), yang dijenamakan semula pada Januari 2022.

Katanya, LZS akan membantu mempromosikan program baucar perlindungan tenang (PTV) dan menyelaras proses penebusan baucar serta enrolmen untuk pelan Perlindungan Tenang.

“Objektif inisiatif ini diharap dapat mempercepatkan proses penebusan PTV kepada mereka yang layak. Secara tidak langsung, ia dapat memberi manfaat kepada industri Takaful dalam menambah baik pilihan sedia ada atau yang telah ditawarkan kepada penerima BKM,” kata beliau dalam sidang media hari ini.

Jelas Mohamad Radzuan tiada sebarang kos kewangan yang akan dikenakan kepada asnaf yang berminat untuk menyertai pelan takaful yang ditawarkan.

Malah pihak LZS juga tidak perlu membiayai sebarang kos, sebaliknya menjadi perantara antara MTA dan asnaf berdaftar di Selangor dengan menyampaikan maklumat berkaitan penebusan PTV melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), dan amil kariah masjid yang dilantik LZS, seterusnya menyarankan asnaf mengambil peluang dan manfaat yang disediakan kerajaan.

Dalam ucapan Bajet 2021 pada Oktober 2020, kerajaan mengumumkan peruntukan dalam bentuk baucar berjumlah RM50 diberikan kepada golongan B40 untuk membeli produk perlindungan tenang.

Seterusnya, dalam pembentangan Bajet 2022, kerajaan telah mengumumkan untuk program PTV yang dilancarkan pada 30 September 2021 hingga 31 Disember 2021, diteruskan bagi tahun 2022 dengan nilai baucar ditingkatkan kepada RM75 untuk pembelian produk perlindungan tenang atau membeli perlindungan komprehensif bagi motosikal 150cc dan ke bawah.

“Setakat 6 Mac 2022, sebanyak 729,173 baucar bernilai RM53 juta telah ditebus oleh penerima BKM yang layak,” kata Mohamad Radzuan.

Beliau turut menjelaskan sehingga kini, terdapat lapan syarikat pengendali Takaful yang telah menawarkan 11 produk perlindungan tenang, antaranya faedah kematian dan hilang upaya kekal, kematian akibat kemalangan, perlindungan bangunan dan atau terhadap kebakaran dan kilat.

Pengendali Takaful terlibat ialah AIA Public Takaful Bhd, Etiqa Family Takaful Bhd, FWD Takaful Bhd, Great Eastern Takaful Bhd, Hong Leong MSIG Takaful Bhd, Prudential BSN Takaful Bhd, Syarikat Takaful Keluarga Bhd dan Takaful Ikhlas Family Bhd.

Pasaran industri takaful dan sasaran 2022

Sementara itu, Mohamad Radzuan turut berkata bagi 2021, jumlah penebusan baucar perlindungan Ttnang oleh industri takaful hanya berjumlah tujuh peratus, manakala selebihnya oleh insurans konvensional.

Ini disebabkan kebanyakan pengendali takaful kurang bersedia untuk menawarkan produk-produk yang bersesuaian serta saluran untuk mengedarkan maklumat berikutan program PTV yang bermula pada suku keempat 2021.

“Namun bermula 1 Jan, 2022, kita telah berjaya melipatgandakan usaha promosi termasuk dengan adanya kerjasama LZS, iaitu antara badan pengurusan zakat yang memperoleh kutipan zakat terbesar di negara ini.

“MTA berharap ini juga dapat membuka jalan untuk badan pengurusan zakat di negeri-negeri lain untuk turut serta menghebah dan meluaskan maklumat mengenai perkhidmatan takaful,” jelasnya.

Setakat Mac 2022, Mohamad Radzuan berkata industri takaful berjaya mencapai 14 peratus daripada keseluruhan pasaran dan berharap ini akan meningkat lebih daripada 20 peratus pada hujung tahun ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan melalui Kementerian Kewangan tidak mahu program PTV menjadi program diskaun atau untuk mendapatkan perlindungan percuma, sebaliknya memberi peserta melalui pengalaman perlindungan takaful sebagai satu literasi kewangan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Guru sementara bahasa Inggeris ke jawatan tetap jika penuhi syarat

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Guru interim bahasa Inggeris (BI) yang dilantik pada 29 April 2019 dan akan tamat tempoh lantikan pada 21 April ini bakal dilantik ke jawatan tetap sekiranya memenuhi syarat, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata guru terbabit perlu memenuhi syarat penilaian Rangka Kerja Bersama Eropah Rujukan Bahasa (CEFR) pada tahap mahir (proficient) iaitu CEFR C1 dan lulus temu duga.

“Pegawai ini akan dilantik tetap sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan (PPP) Gred DG41 oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi guru yang tidak memenuhi syarat CEFR C1, Radzi berkata SPP akan turut menemu duga mereka untuk tujuan lantikan tetap sebagai PPP Gred DG41, tetapi perlu mencapai tahap CEFR C1 dalam tempoh percubaan, iaitu satu hingga tiga tahun untuk tujuan pengesahan dalam perkhidmatan.

Beliau berkata Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 menetapkan bahawa setiap murid yang melalui sistem pendidikan di negara ini perlu mahir dan fasih berbahasa Melayu serta mahir berbahasa Inggeris pada tahap ‘independent proficiency’ mengikut takrifan CEFR.

Radzi berkata berikutan itu, mulai tahun ini urusan pengambilan PPP baharu bagi opsyen BI perlu mengambil kira penguasaan Bl calon pada tahap mahir, iaitu tahap CEFR C1.

“Kementerian sentiasa berusaha meningkatkan kompetensi guru BI bagi memberi impak kepada pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Ini secara langsung meningkatkan tahap penguasaan murid dalam BI seperti yang diaspirasikan berdasarkan piawaian antarabangsa CEFR,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kanak-kanak, remaja bawah 17 tahun tidak perlu kuarantin setiba di Malaysia mulai 1 April

SHAH ALAM, 9 MAC : Kanak-kanak dan remaja berusia 17 tahun ke bawah tanpa mengira status vaksinasi tidak perlu menjalani kuarantin selepas tiba di Malaysia mulai 1 April ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, golongan terbabit bagaimanapun hanya perlu menjalani kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) sebaik tiba di Malaysia.

“Bagi pengembara yang sedang menjalani kuarantin sebagai contoh katakan individu itu tiba pada 29 Mac, tempoh kuarantin mereka akan berakhir pada 1 April.

“Bagaimanapun, bagi mereka yang belum lengkap vaksinasi atau tiada langsung vaksinasi, perlu menjalani kuarantin selama lima hari selain perlu mematuhi syarat ditetapkan Malaysia sebaik menamatkan tempoh kuarantin,” katanya pada sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Khairy turut menjelaskan kerajaan tidak bercadang untuk kembali semula kepada fasa pandemik sekiranya sudah beralih ke fasa endemik 1 April ini.

“Namun, sebagai kementerian kesihatan yang mengamalkan dasar kawalan penyakit berjangkit yang selamat dan menjaga kesihatan awam, kita sentiasa bersiap sedia dengan apa sahaja kemungkinan.

“Sekiranya muncul varian baharu bukan sahaja di Malaysia semua negara pun sudah pasti akan mengkaji protokol baharu…jika sistem kesihatan kita lumpuh kita akan mencadangkan langkah tertentu dibuat,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong berkenan kurnia biasiswa kepada 10 pelajar IPT

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) kepada 10 penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT), di Istana Negara di sini, hari ini.

Empat penerima biasiswa ialah bagi pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) manakala enam di peringkat sarjana.

Pelajar menerima biasiswa di peringkat PhD ialah Nurul Farhana Abd Ghaffar, 28, yang melanjutkan pelajaran dalam pengkhususan Pengurusan Sisa di Nanyang Technological University, Singapura; S.Mogesh, 23, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (Sel Stem), Universiti Putra Malaysia (UPM); Loke Yean Leng, 24, (Nanoteknologi, Universiti Malaya) dan Nurul Elia Aqila Ab Rahim, 26, (Kejuruteraan bio, Universiti Teknologi Malaysia).

Pelajar menerima biasiswa BYDPA di peringkat sarjana pula ialah Nur Amirah Syafiqah Salman, 24, (Agrosains, UPM); Nur Aina Izzati Mohd Mokhtar, 23, (Kimia Analisis, UPM); Ng Wan Chiew, 24, (Otorinolaringologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Too Lih Yuan, 26, dan M. Elancheleyen, 24, masing-masing dalam pengkhususan Kejuruteraan Tisu, UKM serta Muhamad Huzaifah Omar, 24, (Kaedah Elektroanalisis, Universiti Sains Malaysia).

BYDP mula diperkenalkan pada 2006 dan sehingga kini, seramai 175 penerima telah diberi penajaan untuk pengajian di universiti penyelidikan dalam negara serta universiti terkemuka dunia dalam bidang sains dan teknologi, ekonomi, undang-undang dan kewangan islam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Dr Zulkapli Mohamed.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SKMM: 162 stesen pemancar komunikasi di pantai timur kembali beroperasi

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Sebanyak 162 stesen pemancar komunikasi yang sebelum ini terjejas akibat banjir di negeri pantai timur telah kembali beroperasi sepenuhnya.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan daripada jumlah berkenaan, 113 adalah stesen pemancar komunikasi di Terengganu, 42 di Kelantan dan Pahang (tujuh).

Selain itu, kenyataan itu turut memaklumkan sebanyak 32 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di Kelantan dan Terengganu yang turut terjejas banjir, kini telah beroperasi semula.

“Sehingga hari ini tiada kes yang dilaporkan oleh pemberi perkhidmatan kepada SKMM mengenai insiden melibatkan infrastruktur komunikasi yang mengancam keselamatan orang ramai.

“Namun, SKMM dan pemberi perkhidmatan sentiasa berwaspada dan menerima aduan dari orang awam dan mana-mana pihak sekiranya ada kes yang melibatkan ancaman keselamatan infrastruktur komunikasi untuk diambil tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Jersi Selangor FC abadi nama penyokong korban Covid-19

SHAH ALAM, 8 MAC: Pasukan Selangor FC mengabadikan nama penyokong yang terkorban akibat Covid-19 pada jersi keluaran istimewa pasukan itu, semalam.

Menerusi Facebook, Selangor FC memaklumkan jersi itu hanya dijual kepada pemegang pas bermusim 2020 dengan harga RM139.

“Jersi khas ini dihasilkan bagi memperingati dan mengabadikan nama penyokong setia Selangor FC yang telah pergi meninggalkan kita akibat Covid-19.

“Semoga semangat dan memori mereka terus menjadi sumber kekuatan kelab ini,” katanya.

Pasukan itu berkata pembelian jersi secara fizikal hanya boleh dibuat menerusi FASTC Pop Up Store bermula Jumaat ini.

“Bagi pembelian secara atas talian, peminat boleh menghubungi bahagian khidmat pelanggan di talian 016-3012778.

“Ia adalah eksklusif untuk pemegang pas bermusim 2020,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba: Keadaan banjir di Selangor terkawal, air makin surut

SHAH ALAM, 8 MAC: Hujan lebat yang berlaku di beberapa kawasan sekitar Selangor petang tadi tidak menyebabkan kenaikan air sungai yang mendadak dan kesemua kawasan terjejas dengan banjir kilat semalam kini dalam keadaan terkawal.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata paras air di kawasan terjejas iaitu di sekitar Hulu Langat, Gombak dan Petaling, kini menunjukkan aliran air banjir semakin surut dan tiada perpindahan mangsa banjir baharu direkodkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Namun Norazam berkata berlaku hakisan ban di Bukit Changgang petang tadi susulan hujan akibat tekanan air Sungai Langat yang deras dan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran dalam proses melakukan kerja pembaikan di ban tersebut dan keadaan kini terkawal.

“Susulan itu juga, kita sudah tempatkan empat buah bot di kawasan berkenaan dan anggota bersiap siaga sekiranya berlaku kecemasan dan pihak kita masih melakukan pemantauan di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Terdahulu, tinjauan Bernama di PPS Dewan Kenangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini mendapati kebanyakan mangsa banjir berlindung di PPS itu atas inisiatif sendiri, selain mendapat nasihat daripada pihak berkuat kuasa susulan keadaan air Sungai Klang semalam yang berada di paras bahaya.

Penghuni PPS dari Kampung Lanchong Jaya, Edison Ali, 41, dan Fatonah Abdul Ghoni, 46, berkata walaupun kawasan rumah mereka tidak dinaiki air, pasangan suami isteri itu tetap membawa tiga anak mereka termasuk Muhammad Qhaleef Shah, sembilan tahun, yang terpaksa menjalani pantang berkhatan hari pertamanya di PPS itu.

“Balik dari program berkhatan perdana semalam, anak sempat rehat beberapa jam sahaja. Kira-kira selepas Asar, pengurusan kampung memaklumkan paras air Sungai Klang yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah di paras bahaya. Dalam satu kaki sahaja lagi mahu melimpah.

“Risau peristiwa banjir 18 Dis tahun lepas berulang kembali, saya dan isteri ambil keputusan terus berpindah walaupun air belum melimpah dan memasuki kawasan rumah,” katanya.

Seorang lagi mangsa Norliza Hussein, 54, berkata beliau dan tiga anaknya terus berkemas untuk ke PPS selepas dimaklumkan pihak pengurusan kampung berhubung situasi air Sungai Klang di belakang rumahnya yang hampir melimpah.

“Air memang tidak masuk rumah lagi. Tapi separuh yang ada di PPS ini datang dari Kampung Lanchong Jaya yang pernah rasa keadaan buruk banjir yang lepas. Takut dengan keadaan itu kami ikut sahaja segala arahan, pastikan nyawa selamat dahulu,” katanya.

Sementara itu Ahli Majlis MBSA Zon 10 Saribanon Saibon, 54, yang mengawal selia kawasan di Seksyen 26, 27, 28 dan 33 di sini berkata sehingga kini pihaknya menasihatkan 144 mangsa daripada 44 keluarga untuk kekal mendiami PPS tersebut sehingga ramalan hujan dan ribut berakhir hujung minggu ini.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerusi ciapan di Twitter rasmi memaklumkan setakat 4 petang, sebanyak tujuh PPS masih beroperasi melibatkan 1,030 individu daripada 264 keluarga dari daerah Gombak, Hulu Langat dan Petaling.

– BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Tiada laporan masjid, surau terjejas banjir

SHAH ALAM, 8 MAC: Kerajaan Negeri masih belum menerima laporan mengenai masjid dan surau yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

EXCO Hal-Ehwal Agama Islam berkata walaupun beberapa kawasan dinaiki air hingga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, namun tiada rumah ibadat yang terjejas.

“Setakat ini kita belum terima laporan, tetapi jika ada kita akan segera bertindak membaik pulih kerosakan,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni ketika dihubungi Selangorkini.

Dalam kejadian banjir Disember lalu, sebanyak 33 masjid dan 70 surau dilaporkan terjejas.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata kesemua masjid dan surau itu kembali dibuka seawal dua minggu selepas banjir.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

SPR: 87 peratus pengundi awal tunai tanggungjawab hari ini

JOHOR BAHRU, 8 MAC: Sebanyak 87 peratus atau 18,625 individu telah melaksanakan tanggungjawab mereka bagi pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung hari ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak berkata pengundi awal itu terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA), serta pasangan masing-masing.

“SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua pegawai pengurus pilihan raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada pihak PDRM, ATM, Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, Pihak Berkuasa Tempatan, media dan semua pihak yang terlibat atas segala kerjasama dan sokongan yang diberikan kepada SPR.

Dalam kenyataan berasingan, jurucakap Media PRN Johor Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Supt Ibrahim Mat Som berkata seramai 9,775 orang atau 84.3 peratus daripada 11,576 warga PDRM yang berdaftar sebagai pengundi awal telah keluar mengundi di seluruh negeri ini.

Katanya antara sebab peratusan mengundi dalam kalangan anggota polis tidak mencapai 100 peratus adalah disebabkan pengundi dikuarantin akibat dijangkiti Covid-19.

“(Juga kerana) bertukar tempat tugas ke kontinjen lain, bersara, meninggal dunia dan lain-lain sebab yang tidak dapat dielakkan,” katanya menambah tahap keselamatan semasa proses pengundian berjalan dengan aman, lancar serta terkawal.

Pengundian PRN Johor akan diadakan Sabtu ini.

– BERNAMA