Categories
AGENDA NASIONAL

Agong berkenan serah sumbangan peribadi buat mangsa banjir di Kampung Baru

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menyerahkan sumbangan peribadi kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, di sini.

Istana Negara menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya memaklumkan sumbangan berkenaan disampaikan oleh Juruiring Tentera Darat Baginda, Brigadier Jeneral Datuk Sharizan Wan Chik.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan semoga bantuan yang dihulurkan sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban mereka,” menurut kenyataan itu.

Semalam beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur dilanda banjir kilat sehingga menyebabkan penduduk yang terjejas terpaksa dipindahkan ke PPS.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PBT SELANGOR

MBSJ pasang cerucuk besi stabilkan tanah runtuh

SHAH ALAM, 8 MAC: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengarahkan jabatan kejuruteraannya untuk melaksanakan kerja penyelenggaraan di lokasi kejadian tanah runtuh berhampiran Pangsapuri Suria, Taman Kinrara 4, Puchong.

Arahan itu dibuat susulan lawatan Datuk Bandar Subang Jaya, Dato’ Johary Anuar, Timbalan Datuk Bandar Mohd Zulkurnain bin Che Ali dan Ahli Dewan Negeri Kinrara, Ng Sze Han ke kawasan terbabit hari ini.

MBSJ dalam kenyataan di Facebook berkata, hasil pemeriksaan mendapati kejadian itu berpunca daripada peningkatan paras air di parit utama akibat hujan lebat.

“Hujan lebat telah menolak tembok ke dalam rezab parit utama.

“Oleh itu, jabatan kejuruteraan MBSJ sudah diarah untuk memasang kepingan cerucuk besi sepanjang 50 meter bagi menstabilkan keadaan tanah dalam kadar segera,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Banjir: KDEBWM bersih longkang, jalan di Taman Buana

SHAH ALAM, 8 MAC: KDEB Waste Management (KDEBWM) memaklumkan pihaknya sedang menjalankan operasi pembersihan longkang, jalan raya dan kegiatan mengutip sampah akibat banjir di sekitar Taman Buana, Petaling Jaya, hari ini.

Agensi itu memaklumkan operasi berkenaan turut disertai Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi membantu menyelesaikan masalah di kawasan berkenaan.

“Operasi hari ini lebih tertumpu kepada kegiatan membersihkan jalan raya, longkang dan sampah sarap yang dibawa arus banjir, selain mengutip sampah pukal yang dibuang oleh penduduk,” katanya di Facebook.

Sehingga jam 11 pagi tadi, seramai 1,215 mangsa banjir ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri ini.

Sementara itu, KDEBWM boleh dihubungi di talian 1-800-88-2824 atau muat turun Aplikasi iClean Selangor di play store atau google play bagi aduan kutipan sisa domestik dan pembersihan awam di Selangor.

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Johor: Rakyat Malaysia di Singapura bantu hantar kertas undi pos

SINGAPURA, 8 MAC: Ketika rakyat Johor mengundi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 pada Sabtu ini, pengundi yang bekerja dan menetap di seberang tambak turut mengundi melalui undi pos.

Justeru, sukarelawan dalam kalangan rakyat Malaysia di bawah naungan 1thirdmedia, berganding bahu mengumpul kertas undi pos tersebut di sekitar republik ini dan dihantar ke Johor.

Kira-kira 5,000 kertas undi pos dikumpul setakat ini.

“Dua penghantaran telah dibuat pada 6 dan 8 Mac. Penghantaran ketiga iaitu yang terakhir akan dibuat pada 10 Mac ini,” menurut sukarelawan Farrah Diyana Mohamad Ali kepada Bernama.

Menurut Diyana, 34, lima pusat pengumpulan ditetapkan meliputi kawasan tengah, timur, barat, utara dan selatan pulau Singapura sebelum ia disatukan untuk dihantar ke Johor.

“Ia bagi memudahkan mereka yang terikat dengan waktu kerja untuk menghantar sampul kertas undi ke perkhidmatan pos di sini. Sekurang-kurangnya ia dapat menjimatkan masa dan kos,” kata Diyana.

Untuk tiga hari pertama sejak 1 Mac Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan sudah mengeluarkan sebanyak 36,729 kertas undi pos kepada yang layak untuk mengundi secara pos pada PRN Johor.

Dari jumlah itu, sebanyak 7,814 undi pos dikeluarkan bagi kategori Borang 1B iaitu warga Malaysia yang berada di luar negara.

Semua kertas undi pos perlu dikembalikan kepada pegawai pengurus Dewan Undangan Negeri berkaitan sebelum 5 petang pada hari mengundi iaitu Sabtu (12 Mac).

Sementara itu, Hafeez A Jaz, 36, yang sanggup mengambil tanggungjawab untuk menghantar kertas undi tersebut pada 10 Mac nanti merasa bangga dapat melakukan tugas itu demi negara.

“Saya tidak rasa ia sesuatu yang membebankan. Malah ini merupakan amanah bagi menentukan hala tuju negeri Johor untuk lima tahun akan datang,” kata bapa dua anak ini.

Beliau akan menggunakan laluan perjalanan lengkap vaksin (VTL) darat pada Khamis ini dan dijangka tiba di Larkin Sentral pada 1.30 petang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Malaysia beralih ke fasa endemik, sempadan negara dibuka semula 1 April

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan bahawa negara akan memasuki fasa ‘peralihan ke endemik’ dan pembukaan semula sempadan negara mulai 1 April ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor, melakukan penilaian risiko, mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) serta meneliti syor daripada Menteri Kuartet.

“Penting untuk saya maklumkan, fasa ‘peralihan ke endemik’ ini adalah strategi keluar untuk membolehkan kita semua kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal selepas hampir dua tahun berperang dengan COVID-19,” katanya dalam sidang media khas di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Fasa peralihan itu, katanya adalah fasa sementara sebelum negara beralih ke fasa endemik yang tertakluk kepada pengumuman yang hanya boleh dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Malaysia menutup sempadan negara kepada pelancong dan pelawat asing sejak Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa pada 18 Mac 2020 untuk mengekang penularan COVID-19 dalam negara.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata bermula 1 April beberapa prosedur operasi standard (SOP) telah digariskan seperti berikut:

i. Pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam masih wajib dipatuhi oleh setiap individu.

ii. Had waktu beroperasi bagi premis perniagaan dimansuhkan.

“Pemilik premis dibolehkan melaksanakan waktu operasi premis masing-masing mengikut syarat lesen operasi premis.

“Ini bermakna anda semua bolehlah makan di kedai makan selepas jam 12 tengah malam, terutamanya dengan bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi. Bolehlah bersahur di luar,” katanya.

iii. Pendaftaran kemasukan menggunakan MySejahtera masih diwajibkan dan hanya dikecualikan untuk kawasan terbuka, tidak sesak dan tiada perhimpunan orang ramai.

Namun katanya, MYSJTrace diwajibkan untuk tempat tertutup yang dipenuhi tetamu dan pengunjung.

iv. Aktiviti solat Jemaah di masjid serta surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal. Bagaimanapun, pelaksanaan dan SOP akhir untuk masjid/surau tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri dan untuk rumah ibadat selain agam Islam tertakluk kepada Kementerian Perpaduan Malaysia/Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).

v. Keperluan vaksinasi: Had kapasiti pekerja yang sebelum ini bergantung kepada liputan vaksinasi dimansuhkan. Semua individu dibenarkan merentas negeri tanpa mengira status vaksinasi mereka.

Beliau berkata jika sebelum ini terdapat had kapasiti 50 peratus untuk aktiviti yang melibatkan perkumpulan ramai, namun dengan pengumuman terbaharu ini, had tersebut dimansuhkan secara menyeluruh.

“Tiada lagi had kapasiti 50 peratus, namun, penjarakan fizikal sangat penting dan masih digalakkan,” katanya.

Perdana Menteri menzahirkan penghargaan kepada seluruh ahli Keluarga Malaysia yang cekal, tabah, kuat semangat dan berdisiplin dalam mematuhi SOP serta menyokong setiap inisiatif kerajaan dalam memerangi COVID-19.

“Tanpa sumbangan Keluarga Malaysia, negara tidak akan boleh beralih ke fasa ‘peralihan ke endemik’. Saya juga berterima kasih kepada semua Menteri Kuartet Covid-19 yang diketuai Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein atas usaha keras mereka demi memastikan usaha negara untuk ‘Reopening Safely’ (pembukaan semula dengan selamat),” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Amaran ribut petir di Selangor, beberapa negeri sehingga 8 malam ini

SHAH ALAM, 8 MAC: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri termasuk Selangor sehingga jam 8 petang ini.

Menurut agensi itu di Facebook, daerah terbabit adalah Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat di Selangor; Kuala Lumpur; Jelebu, Seremban, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin di Negeri Sembilan; Melaka serta Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru di Johor.

Kawasan lain adalah Perlis; Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah; Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang serta Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Batang Padang dan Muallim di Perak.

Amaran turut membabitkan kawasan Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran dan Bera di Pahang; Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Pusa dan Betong, Pakan, Julau, Kanowit, Selangau, Bintulu, Sebauh, Miri, Marudi dan Limbang di Sarawak.

MetMalaysia berkata amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my, media sosial dan memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.

Categories
AGENDA NASIONAL

TH: Pendeposit berusia lebih 18 tahun diminta tukar status akaun

Categories
AGENDA AGENSI BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

PKPS jual bawang merah lebih murah sepanjang jualan prihatin rakyat

SHAH ALAM, 7 MAC: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menawarkan harga bawang besar lebih murah menerusi Jualan Ehsan Prihatin Rakyat.

Dalam kenyataan di Facebook, agensi itu berkata harga yang ditawarkan adalah RM2.80 sekilogram (kg) atau RM24 bagi seguni bawang besar seberat 10 kg.

“Bawang besar pada harga murah ini boleh diperoleh di Wisma PKPS di sini dan program Jualan Lori Ehsan PKPS di kawasan ditetapkan,” katanya.

Sebelum ini, EXCO Pertanian Ir Izham Hashim dilaporkan berkata program Jualan Prihatin Rakyat akan menawarkan empat barang keperluan harian iaitu ayam, telur, daging dan ikan pada harga murah mulai 27 Februari hingga menjelang Aidilfitri.

Katanya, program pada setiap Sabtu dan Ahad menerusi kerjasama Selangor Agro Market dan PKPS adalah kesinambungan program intervensi harga ayam dan telur yang dilancar Dato’ Menteri Besar pada bulan lalu.

Menurut Izham pihaknya menyasarkan sebanyak 10,000 ayam, 3,100 kilogram (kg) daging segar, 6,200 kg ikan kembung dan selayang serta 315,000 biji telur gred B dijual sepanjang program berkenaan.

Beliau turut mempertimbangkan untuk menambah beberapa barangan keperluan harian lain seperti minyak masak jika program jualan murah mendapat sambutan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Arab Saudi: Permohonan umrah Ramadan sudah dibuka

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Kementerian Haji dan Umrah (MoHU) Arab Saudi mengumumkan permohonan permit untuk mengerjakan ibadah umrah sepanjang bulan Ramadan sudah dibuka mulai Ahad iaitu 6 Mac lalu melalui aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna.

Kementerian itu menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Twitter rasminya menjelaskan ini bagi memudahkan bakal jemaah umrah Ramadan menyusun perancangan mereka lebih awal.

Bagaimanapun, kementerian mengingatkan jemaah yang mahu menukar tarikh tempahan permit akan diminta membatalkan permohonan terdahulu dan membuat permohonan baharu.

“Ini bagi memberi peluang sama rata kepada jemaah lain membuat tempahan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, slot tempahan umrah pada bulan Ramadan akan ditambah kepada 12 slot sehari berbanding lapan sebelum ini.

– BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Amaran ribut petir, hujan di Selangor dan negeri lain hingga 5 petang

SHAH ALAM, 7 MAC: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri termasuk Selangor sehingga jam 5 petang ini.

Agensi itu dalam pengumuman di Facebook berkata, daerah terbabit di Selangor adalah Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.

Amaran yang sama turut dikeluarkan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putajaya; Jelebu, Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah dan Rembau di Negeri Sembilan serta Alor Gajah, Melaka.

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my, media sosial dan memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.

 

 

Categories
ADN AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Jom cari kerja di Subang Jaya pada 13 Mac ini

SHAH ALAM, 6 MAC: Warga  Selangor, khususnya penduduk sekitar Subang Jaya yang sedang mencari pekerjaan dipelawa menyertai program Jom Cari Kerja pada 13 Mac depan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya berkata program anjuran bersama pihaknya dan Selangor Kerjaya itu akan diadakan di Pusat Komuniti JKP Zon 4 mulai jam 9 pagi hingga 5 petang.

“Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada orang ramai untuk menghadiri temuduga terbuka, anda juga belajar menulis resume yang betul daripada pakar bidang sumber manusia,” kata Michelle Ng Mei Sze.

Berdasarkan info grafik di Facebook, mereka yang berminat boleh mendaftar menerusi kod QR yang disediakan.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi 011-5550 2881 atau email [email protected]

Selangor Kerjaya adalah inisiatif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bagi memacu ekonomi rakyat melalui padanan kerjaya bersesuaian dan berkesan.

Dilancarkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 26 Januari 2021, Selangor Kerjaya adalah program pengurusan bakat dan tenaga kerja untuk rakyat di negeri ini yang bakal memanfaatkan 10,000 individu yang sedang mencari pekerjaan di Selangor.

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia kaji kaedah beri vaksin menerusi mulut, semburan hidung

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Malaysia menerusi Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) sedang membangunkan kaedah pemberian vaksin melalui mulut dan semburan hidung, menurut Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Beliau berkata kaedah pemberian vaksin yang berbeza selain melalui suntikan itu sedang diteliti kerana terdapat rakyat yang takut terhadap jarum picagari bagi mendapatkan vaksin.

“Seperti yang kita ketahui antara yang menjadi ketakutan rakyat (mendapatkan vaksin) ialah takut kepada jarum suntikan, maka antara pembangunan yang sedang diusahakan termasuk pemberian vaksin secara oral (mulut) dan nasal spray (semburan hidung),” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) yang bertanyakan sama ada PPVN tertumpu kepada vaksin COVID-19 sahaja atau vaksin-vaksin yang lain serta tempoh pembangunan vaksin COVID-19.

Ahmad Amzad menjelaskan PPVN tidak tertumpu kepada penghasilan vaksin COVID-19 semata-mata, tetapi turut melibatkan kapasiti secara umumnya bagi membolehkan Malaysia menghasilkan vaksin untuk penyakit manusia secara tempatan.

Beliau berkata buat masa ini, Malaysia hanya mempunyai kapasiti untuk menghasilkan vaksin haiwan sahaja.

“Berkaitan tempoh 10 tahun (PPVN) adalah daripada segi pembangunan kapasiti supaya dalam 10 tahun, kita ada kapasiti untuk menghasilkan sepenuhnya pengeluaran vaksin secara tempatan.

Berkenaan calon untuk vaksin, Ahmad Amzad berkata ada beberapa yang telah melepasi fasa praklinikal dan selepas ini akan menjalani ujian terhadap manusia.

“InsyaAllah kalau melihat kepada tahap kajian yang telah dilaksanakan itu, sekitar 2024 kita ada calon vaksin Covid-19 yang pertama,” katanya.

– BERNAMA