Categories
AGENSI SELANGOR

Aidilfitri: Mais seru tingkatkan amal ibadat, patuhi SOP

SHAH ALAM, 12 MEI: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyeru umat Islam di negeri ini agar terus meningkatkan amal ibadat dan sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan sempena sambutan Aidilfitri.

Pengerusi Mais Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata umat Islam dimohon bersabar dan tabah dalam menghadapi ujian pandemik Covid-19 di samping memohon agar Allah mengangkat wabak penyakit dan hidup seperti sedia kala.

Beliau berkata kedatangan Syawal dapat memberi peluang kepada umat Islam untuk menggandakan pahala seperti memperbanyakkan amalan sedekah serta menunaikan zakat dan semua ini boleh dilaksanakan melalui platform dalam talian di laman web Mais.

“Mais mengucapkan terima kasih kepada umat Islam yang menyelesaikan kewajipan menunaikan zakat fitrah dan zakat harta serta penyumbang yang bersedekah untuk anak-anak yatim di Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pihaknya berharap agar umat Islam di Selangor dapat menyambut Aidilfitri dengan kemeriahan yang sederhana dan mengambil peluang meningkatkan ketakwaan kepada Allah serta mematuhi arahan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahu lindungi keluarga, pelajar UiTM pilih raya di kampus

SHAH ALAM, 12 MEI: Pengorbanan para pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam di sini yang memutuskan untuk tidak pulang menyambut Aidilfitri di kampung halaman diharap mampu melindungi keluarga masing-masing daripada jangkitan wabak Covid-19.

Seorang daripada pelajar yang mengambil keputusan untuk beraya di Kolej Kediaman Perindu, UiTM Hanafi Hanizan, 21, berkata antara sebab utama beliau tidak balik beraya ke Kota Tinggi, Johor pada tahun ini adalah demi kesejahteraan bersama.

“Kita dapat tahu bahawa sekarang kes semakin naik, jadi kita tidak mahu menjadi penyumbang kepada peningkatan kes bagi negeri Johor pula.

“Kita dari Selangor ke Johor takut kita nanti bawa kes pulak, jadi itu yang dikatakan kesejahteraan bersama untuk kita memerangi Covid-19,” ujar pelajar semester pertama jurusan Juruukur Bangunan itu kepada Bernama.

Tinjauan Bernama di UiTM mendapati pelajar yang mengambil keputusan untuk tidak pulang beraya di kampung masing-masing membuat persiapan menyambut Aidilfitri di kolej kediaman mereka termasuk memasang pelita.

Bagi Faizal Happipi Japar, 23, pelajar semester ketiga jurusan Sains Sukan dari Nabawan, Sabah berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan di seluruh negara akan menjadi pengalaman yang berguna satu hari nanti.

“Beraya tanpa keluarga tidak mengapa sebenarnya, kerana suatu hari nanti kita juga akan mengalami pengalaman ini. Jadi nasihat saya agar mereka kekal tenang sebab semua ini tidak dapat dielak,” katanya yang sudah tiga tahun tidak balik beraya di kampung halaman.

Bagi Pengetua Kolej Kediaman Perindu UiTM Shah Alam, Sumardianshah Silah, 36, berkata pelajar dari Sabah dan Sarawak merupakan pelajar yang paling ramai tidak pulang berhari raya pada tahun ini.

Beliau berkata untuk sambutan hari raya esok, pihak UiTM telah menempah juadah Aidilfitri untuk membolehkan para pelajar turut merasai suasana sambutan perayaan itu bersama rakan-rakan sekolej.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

LUAS pantau sungai 24 jam, elak gangguan air ketika Aidilfitri

SHAH ALAM, 12 MEI: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) giat memantau lembangan sungai bagi memastikan tiada insiden pencemaran air ketika sambutan Aidilfitri.

Agensi berkata usaha 24 jam itu bertujuan mengelak henti tugas loji rawatan air dan tidak mengganggu penyaluran bekalan ketika perayaan dan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Operasi pemantauan tanpa henti dilaksanakan Skuad Pantas LUAS di kawasan sensitif sumber air di Lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang termasuk empangan negeri.

“LUAS juga melaksanakan pemantauan statik (pensampelan in-situ) di kawasan strategik yang dikenal pasti berisiko selain pensampelan berkala seperti kajian kebersihan lembangan sungai bagi memantau status kualiti air dengan lebih berkesan.

Menurutnya, agensi sentiasa bersiap sedia melalui Operasi Pengepaman Air Kolam (Opak) sumber air alternatif seperti HORAS 600 dan ‘off-river storage’ (ORS) di Bestari Jaya.

“Ia bertujuan menyalurkan air sebagai sumber tambahan bagi membantu mempercepatkan langkah kawalan dan mitigasi sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini,” jelasnya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Sultan berpesan tidak ziarah raya demi kawal wabak

SHAH ALAM, 10 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyeru rakyat tidak melakukan amalan kunjung-mengunjung pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

Menerusi kenyataan Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah sedemikian susulan jumlah kes Covid-19 di negeri ini berada pada tahap membimbangkan.

“Beta amat bimbang dengan angka jangkitan baharu dan kematian di negeri ini yang semakin meningkat setiap hari.

“Justeru, beta mahu rakyat berkorban untuk tidak meneruskan amalan lazim hari raya seperti pulang ke kampung dan kunjung-mengunjung demi mengelakkan wabak ini terus merebak sehingga sukar dikawal,” titahnya.

Baginda turut berpesan supaya rakyat tidak mengambil mudah bahaya virus dan terus peka dengan situasi terkini di lokasi masing-masing.

Baginda juga mahu setiap individu yang perlu keluar ke tempat awam mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) terutama penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dan memakai pelitup muka.

“Beta tidak mahu melihat lebih banyak kematian akibat wabak ini dan menyeru rakyat agar bersama membantu pihak berkuasa menghentikan penularan ini sepenuhnya,” titah baginda.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada umat Islam.

Hari ini, Putrajaya memutuskan untuk melarang ziarah rumah ke rumah ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri susulan trend kes harian Covid-19 yang semakin meningkat.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata arahan itu susulan Majlis Keselamatan Negara bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara mulai Rabu ini hingga 7 Jun.

Categories
AGENDA NASIONAL

Cuaca diramal mendung, hujan pada hari raya

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan cuaca mendung di seluruh negara dengan kemungkinan hujan di negeri pantai barat Semenanjung Malaysia dan barat Sabah pada Hari Raya Aidilfitri minggu depan.

Ketua Pengarahnya Jailan Simon berkata pada sebelah petang pula dijangka hujan di kawasan pedalaman negeri-negeri pantai timur Semenanjung.

“Secara keseluruhannya, dijangka keadaan cuaca yang serupa berlanjutan hingga raya ketiga,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Umat Islam dijangka menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 13 Mei ini.

Jailan berkata Malaysia kini berada dalam fasa peralihan monsun yang mengakibatkan hujan dan ribut petir.

Menurutnya cuaca di negara ini akan bertambah baik menjelang pertengahan bulan ini susulan permulaan fasa Monsun Barat Daya.

Katanya kejadian ribut petir dan hujan lebat dijangka berkurangan dan kebanyakan negeri akan mengalami lebih banyak bilangan hari tanpa hujan ketika Monsun Barat Daya.

Namun akan berlaku hujan lebat pada awal pagi di pantai barat Semenanjung akibat garis badai dari Selat Melaka sekali sekala, katanya.

Beliau berkata mulai pertengahan bulan ini juga kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia dijangka menerima hujan pada paras purata antara 100 mm hingga 350 mm kecuali di Melaka dan Johor yang dijangka menerima hujan sedikit, iaitu bawah purata antara 100 mm hingga 150 mm.

“Kuching, Samarahan, Sri Aman, Bentong, Sarikei dan Sibu di Sarawak dijangka menerima hujan sedikit bawah purata antara 150 mm hingga 200 mm manakala di Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang dijangka menerima hujan pada paras purata antara 150 mm hingga 400 mm,” jelasnya.

Sabah pula dijangka menerima hujan pada paras purata antara 100 mm hingga 350 mm.

Beliau juga membayangkan kemungkinan Malaysia akan dilanda jerebu rentas sempadan pada hujung Julai atau awal Ogos jika kebakaran hutan di negara jiran tidak terkawal.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Subsidi belian daging, santan di pasar terpilih sempena Aidilfitri

SHAH ALAM, 9 MEI: Selangor menyediakan subsidi RM50,000 bagi pembelian daging lembu, ayam dan santan di 20 pasar terpilih seluruh negeri sempena sambutan Aidilfitri .

EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim berkata tawaran mulai hari ini hingga Rabu meliputi 5,000kg daging lembu, 5,000 ekor ayam dan 5,000kg santan.

“Kita peruntuk RM50,000 bagi subsidi iaitu potongan RM5 bagi sekilogram daging lembu, ayam seekor subisidi RM3 dan santan potongan RM2 untuk sekilogram.

“Kita harap dengan potongan harga ini dapat meringankan beban orang ramai khususnya umat Islam yang bakal meraikan Aidilfitri nanti,” katanya selepas melawat dan memberi kupon potongan harga kepada pengunjung Pasar Tani Stadium Shah Alam di sini.

Ir Izham berkata setiap lokasi pemberian subsidi mempunyai kuota tertentu berdasarkan jumlah pengunjung di pasar berkenaan sebelum ini.

Beliau berkata maklumat lanjut program boleh diikuti menerusi Facebook Agro Selangor.

Berikut adalah lokasi terpilih:

9 Mei
1. Pasar Tani Kota Damansara, Petaling
2. Pasar Tani Putra Height, Subang Jaya
3. Pasar Tani Taman Dato’ Ahmad Razali, Ampang
4. Pasar Tani Dataran Puchong Permai
5. Pasar Tani Taman Kosas dan Pasar Tani Stadium (1) Shah Alam

11 Mei
1. Pasar Tani Taman Melawati
2. Pasar Tani Saujana Utama Sungai Buloh
3. Pasar Tani Bandar Kinrara 5, Puchong
4. Pasar Tani Rawang Batu 17
5. Bazar Ramadan Tanah Lesen, Parit Baru
6. Taman Chempaka, Pandan
7. Pusat Operasi Fama Dengkil

12 Mei
1. Pusat Operasi Fama Dengkil
2. Pasar Tani Seksyen 17, Shah Alam
3. Pasar Tani Andalas
4. Pasar Tani Seksyen 6 Kelana Jaya (1)
5. Pasar Tani Taman Seraya, Ampang
6. Pasar Tani Dataran Puchong Permai

Categories
AGENSI SELANGOR

Air Selangor bantu komuniti kurang bernasib baik menjelang Aidilfitri

SHAH ALAM, 8 MEI: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyalur bantuan kepada komuniti kurang bernasib baik sempena Aidilfitri selama dua hari bermula kelmarin.

Ketua Komunikasi Korporat berkata menerusi program Sesama Mara pihaknya menyumbang makanan harian, barang keperluan, peralatan riadah dan pakaian raya kepada 250 individu membabitkan warga emas, orang kelainan upaya (OKU), kanak-kanak dan bekas penagih dadah.

“Penerima terdiri daripada penghuni di empat rumah kebajikan iaitu Asrama Baitul Rahmaniah, Pusat Jagaan Titian OKU Nur, Rumah Teduhan Kasih Bukit Beruntung dan Rumah Amal Raudhatul Jannah,” kata Elina Baseri dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 100 kotak makanan asas mengandungi beras, minyak, gula, barangan kering dan tepung diagih kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) sekitar Kuala Langat serta Hulu Selangor melalui Yayasan Food Bank Malaysia.

“Diharap usaha baik ini dapat meringankan beban perbelanjaan rumah komuniti untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri terutama dalam situasi mencabar pandemik Covid-19,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pasar Agro Selangor tawar potongan harga sempena Aidilfitri

SHAH ALAM, 7 MEI: Pasar Agro Selangor menawarkan potongan harga sempena Aidilfitri di 20 lokasi terpilih seluruh negeri bermula Ahad ini.

Agro Selangor menerusi Facebook memaklumkan pelbagai barangan segar dari ladang dijual dengan harga terendah selama tiga hari bermula 9 hingga 12 Mei ini.

“Antara yang menarik program promosi harga subsidi dari Kerajaan Negeri iaitu ayam dengan pengurangan harga RM3 seekor, daging pengurangan RM5 sekilogram (kg), santan segar pengurangan harga RM2 (1kg) dan sayur-sayuran dengan harga istimewa.

“Selain itu, promosi produk industri kecil sederhana (IKS), buah-buahan, kerepek, kuih raya, produk sejuk beku dan pelbagai lagi,” katanya.

Agro Selangor mengingatkan orang ramai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) selaran dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksana ketika ini.

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh diikuti menerusi Facebook Agro Selangor.

Lokasi terpilih pada 9 Mei:

  • Pasar Tani Kota Damansara, Petaling
  • Pasar Tani Putra Height, Subang Jaya
  • Pasar Tani Taman Dato’ Ahmad Razali, Ampang
  • Pasar Tani Dataran Puchong Permai
  • Pasar Tani Taman Kosas dan Pasar Tani Stadium (1) Shah Alam

Lokasi terpilih pada 11 Mei:

  • Pasar Tani Taman Melawati
  • Pasar Tani Saujana Utama Sungai Buloh
  • Pasar Tani Bandar Kinrara 5, Puchong
  • Pasar Tani Rawang Batu 17
  • Bazar Ramadan Tanah Lesen, Parit Baru
  • Taman Chempaka, Pandan
  • Pusat Operasi Fama Dengkil

Lokasi terpilih pada 12 Mei:

  • Pusat Operasi Fama Dengkil
  • Pasar Tani Seksyen 17, Shah Alam
  • Pasar Tani Andalas
  • Pasar Tani Seksyen 6 Kelana Jaya (1)
  • Pasar Tani Taman Seraya, Ampang
  • Pasar Tani Dataran Puchong Permai

Categories
AGENDA NASIONAL

UTM sedia 10 bas bawa pelajar balik kampung sempena Aidilfitri

JOHOR BAHRU, 2 MEI: Lebih 800 pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyatakan hasrat untuk pulang ke kampung halaman masing-masing setakat ini susulan keputusan kerajaan membenarkan pelajar pulang sempena Hari Raya Aidilfitri.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Prof Dr Shamsul Sahibuddin berkata angka itu diperolehi berdasarkan pengisian borang khas disediakan, meliputi kira-kira 25 peratus daripada 3,200 pelajar yang berada dalam kampus.

Ekoran itu, menurut beliau pihak universiti melalui Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) bersama UTM Fleet sedang menguruskan maklumat dan data pelajar yang memerlukan kemudahan pengangkutan.

“Setakat ini, universiti akan memperuntukkan enam bas bagi pergerakan pulang pelajar ke Zon Timur, Utara serta Tengah, dan empat buah lagi untuk Zon Selatan. Bas akan mula bergerak pada 6 Mei dengan pergerakan penghantaran terakhir ialah pada 11 Mei,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Khamis lepas Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan lebih 100,000 pelajar institusi pengajian tinggi di seluruh negara dibenarkan pulang ke kampung sempena cuti Aidilfitri, kecuali bagi Sarawak, dan beberapa mekanisme telah ditetapkan termasuk melaksanakannya secara berfasa bagi mengawal pergerakan.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

KPM tetapkan empat kaedah perjalanan pulang pelajar

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Kementerian Pendidikan (KPM) menetapkan empat kaedah perjalanan untuk pelajar asrama sekolah, Kolej Tingkatan Enam (KTE) dan Kolej Vokasional (KV) yang dibenarkan pulang bersempena Hari Raya Aidilfitri.

Menurut kenyataan KPM hari ini, kaedah itu ialah dengan menaiki bas yang disediakan pihak sekolah atau dijemput ibu bapa atau penjaga.

“Pelajar juga dibenarkan pulang menggunakan pengangkutan udara atau air (Sabah, Sarawak dan Labuan) atau menggunakan kenderaan sendiri bagi pelajar KTE dan pelajar KV,” menurut kenyataan itu.

Pelajar dibenarkan pulang secara berperingkat mulai 6 Mei bagi sekolah Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 7 Mei bagi sekolah Kumpulan B (Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Pihak sekolah, KTE dan KV akan memaklumkan jadual pergerakan pulang murid kepada ibu bapa atau penjaga selain mengeluarkan surat pengesahan untuk setiap pelajar bagi tujuan pergerakan merentas negeri atau zon sekiranya mereka dijemput ibu bapa.

Menurut KPM, kebenaran itu adalah untuk dua orang iaitu ibu bapa atau penjaga sahaja dalam setiap kenderaan.

Merujuk tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), pelajar yang sedang dalam tempoh kuarantin perlu kekal berada di asrama hingga tamat tempoh kuarantin dan murid yang asramanya berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) juga perlu kekal berada di asrama hingga tamat tempoh PKPD.

KPM menyediakan Garis Panduan Pengurusan Murid Asrama Pulang Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 2021 sebagai rujukan kepada semua pihak terlibat termasuk Institusi Pendidikan Swasta yang berdaftar dengan KPM.

Garis panduan berkenaan boleh dimuat turun di laman sesawang: https://www.moe.gov.my.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Empat artis terkenal jaya sketsa IPR Aidilfitri

SHAH ALAM, 30 APRIL: Empat artis terkenal bakal menjayakan sketsa Inisiatif Peduli Rakyat (IPR), sebahagian daripada program Senandung Aidilfitri #KitaSelangor, yang akan dipancar pada malam hari raya kedua.

Mereka adalah Raja Azura, Salih Yaacob, Ropie Cecupak dan Duta Pelancongan Selangor Che Puan Juliana Evans.

Penolong Pengarah Seksyen Sektoral Unit Perancang Ekonomi (Upen) Ahmad Nazmi Razali berkata sketsa berkenaan ditayang berselang seli dengan persembahan nyanyian artis lain.

“Matlamat kita ialah, selain berhibur, program ini menjadi wadah kepada Kerajaan Negeri untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat berkenaan insentif dan usaha yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan.

Siti Nordiana antara artis yang menjayakan program Senandung Aidilfitri #KitaSelangor. Foto Gaya Travel Magazine

“Oleh itu, artis tempatan ditonjolkan bagi menarik minat orang ramai untuk menonton program berkenaan,” katanya.

Rakaman antara 3 hingga 10 April dijalankan di beberapa lokasi di Sepang, Gombak dan Kuala Selangor. Program selama sejam itu akan disiar melalui SelangorTV dan Facebook Media Selangor.

Artis Siti Nordiana, Najwa Latif, Bunkface, Roy, Azmi Caliph Busker, Aisyah dan Ahmad Yassin yang memiliki suara mirip Allahyarham Datuk Ahmad Jais mengadakan persembahan dalam program itu.

Laungan takbir raya yang dipimpin Imam Masjid Negeri Abdul Karim Omar bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan barisan EXCO serta pegawai kanan kerajaan turut termuat dalam program tersebut.

Penerbit eksekutif Megaday Media Sdn Bhd Azhar Sulaiman bertanggungjawab menjayakan keseluruhan rakaman.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan belum umum SOP sambutan Aidilfitri

KUALA LUMPUR, 27 APRIL: Tatacara operasi piawai (SOP) mengenai sambutan Aidilfitri yang tular di media sosial hari ini adalah palsu dan tidak benar, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kerajaan belum mengeluarkan sebarang SOP mengenai perayaan itu, dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat

“Senarai SOP itu fake (palsu), tidak betul…. kononnya pada Aidilfitri nanti rentas daerah tidak dibenarkan, itu tidak benar sama sekali.

“Saya akan umumkan nanti SOP sambutan itu termasuklah tentang takbir raya, solat Aidilfitri, kunjung mengunjung dan ziarah tanah perkuburan,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Wisma Pertahanan.

Hari ini, tular senarai kononnya SOP Aidilfitri termasuklah program ziarah dan rumah terbuka tidak dibenarkan, ziarah hanya boleh dalam kalangan ahli keluarga yang terdekat dan tidak melebihi 15 orang, selain aktiviti rentas daerah tidak dibenarkan lima hari sebelum perayaan hingga lima hari selepasnya.

Sementara itu ditanya mengenai peniaga burger di Kelantan yang dikompaun RM50,000, Ismail Sabri secara peribadi menyifatkan hukuman itu terlalu tinggi dan tidak sepatutnya berlaku.

Beliau berkata jenis kesalahan dan jumlah kompaun telah dibentangkan dengan terperinci sebelum ini, dan kompaun RM50,000 adalah berkaitan dengan syarikat.

“Pengeluaran kompaun adalah di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala untuk rayuan pengurangan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan (KKM).

“Bagaimanapun perkara ini sedang diambil tindakan oleh KKM, jadi kita tunggulah pengumuman secara rasmi dari pihak mereka,” katanya sambil memberitahu mereka yang dikenakan kompaun boleh membuat rayuan kepada KKM.

Mengulas mengenai keperluan melaksanakan semula arahan bekerja dari rumah susulan kerajaan mengumumkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama dua minggu selepas cuti Hari Raya, Ismail Sabri berkata perkara itu akan dibincangkan bersama pihak berkaitan dalam masa terdekat.

“Sebelum ini, kita sudah umumkan bekerja dari rumah dan apabila keadaan berubah dengan kes semakin menurun, kita benarkan untuk bekerja di pejabat masing-masing termasuk pihak swasta.

“Dengan keadaan sekarang kes semakin meningkat, pihak berkaitan (Jabatan Perkhidmatan Awam), Miti (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) akan umumkan mengenai perkara ini (bekerja dari rumah),” katanya.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata sesi pembelajaran selepas cuti hari raya Aidilfitri akan diteruskan dengan PdPR selama dua minggu bagi menggantikan sesi bersemuka di sekolah.

Sesi pembelajaran itu bermula 16 hingga 27 Mei bagi sekolah kumpulan A (sekolah-sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan 17 hingga 28 Mei bagi sekolah kumpulan B (sekolah-sekolah di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

-BERNAMA