Categories
NASIONAL

360 Veteran ATM terima Pingat Jasa Malaysia

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Seramai 360 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) bagi peringkat Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam satu majlis di sini, hari ini.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata, penerima pingat terdiri daripada veteran ATM berbilang kaum antaranya anggota Persatuan Veteran Cina Angkatan Tentera (MAFCA), veteran ATM di negeri itu serta penerima yang telah meninggal dunia diwakili balu penerima.

“Penganugerahan pingat ini merupakan simbolik pengiktirafan Raja-Raja Melayu dan kerajaan serta nilai kenangan budi atas pengorbanan sepanjang perkhidmatan dalam ATM khususnya semasa era perang dunia kedua serta ancaman Komunis semasa era darurat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penganugerahan PJM itu, hari ini.

PJM dikurniakan kepada warga ATM yang pernah terlibat dalam memerangi pengganas Komunis Malaya dan operasi menentang Parti Komunis Kalimantan Utara selain anggota pengaman yang berkhidmat di luar negara.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) Mejar Jeneral, Datuk Dzulkarnain Ahmad.

Sementara itu, seorang penerima pingat Sarjan (Bersara) Chan Pan Heong, 71, berkata, beliau amat berterima kasih kerana dikurniakan pingat sebagai mengenang jasa sepanjang perkhidmatan dalam ATM.

“Saya sangat berterima kasih kerana mengurniakan pingat ini setelah 22 tahun saya berkhidmat dalam ATM.

“Saya memang sangat menyayangi kerjaya dalam ATM terutamanya ketika bertugas sebagai pembantu kawalan trafik udara di Sungai Besi,” katanya.

Seorang lagi penerima pingat Pegawai Waran 1 (Bersara) Zainal Abd Hamid, 59, berkata, beliau berasa bangga atas pengurniaan PJM dan menganggap sebagai satu penghormatan kepada dirinya yang pernah bertugas dalam Rejimen Askar Melayu Diraja dan Kor Polis Tentera Darat.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

ATM ‘haram’ TikTok

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 JUL: Kementerian Pertahanan Malaysia mengharamkan semua anggotanya memuat naik video melalui aplikasi TikTok dengan berpakaian uniform berkuatkuasa hari ini.

Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui kenyataan berkata, pihaknya mendapati penggunaan aplikasi TikTok menjadi semakin tular dalam kalangan warga ATM.

“Ia dilihat menjejaskan mutu perkhidmatan ATM dan oleh itu, adalah diingatkan bahawa di bawah Perintah Am ATM Bil 3/2013 : Garis Panduan Media Sosial ATM, warga ATM bertanggungjawab mematuhi tatacara dan kriteria semasa memuat naik kandungan ke media sosial.

“Antaranya ialah tidak menjejaskan imej ATM, kedua, tidak mempunyai niat secara sengaja atau tidak bagi mengaibkan individu ataupun kumpulan tertentu dan terakhir ialah tidak memuat naik gambar yang melambangkan anda sebagai tentera,” katanya.

COOC dalam kenyataan sama turut mengingatkan anggotanya bahawa mereka bukanlah artis dan menjadi bahan publisiti murahan.

“Berhenti memalukan diri sendiri dan ATM,” demikian tegas kenyataan tersebut.

Categories
NASIONAL

Pahlawan dakwa pegawai kanan ATM terima rasuah PRU14

OLEH NADIAH ZAMLUS

PUTRAJAYA, 26 MEI: Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tujuh pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dipercayai menerima rasuah sepanjang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Presiden Pahlawan, Asri Buang berkata, pegawai-pegawai tersebut juga dipercayai menyalahguna kuasa dengan membuat paksaan undian bagi tujuan kemenangan Barisan Nasional (BN).

“Pihak kami sudah mengumpul beberapa bukti untuk diserahkan kepada SPRM hari ini termasuk jumlah wang rasuah diterima serta senarai penyalahgunaan aset kerajaan sepanjang PRU14 dan juga PRU13.

“Buat masa ini kami tidak boleh mendedahkan lagi jumlah wang berkenaan kerana ia masih di peringkat awal laporan, namun apa yang boleh Pahlawan maklumkan ialah bukti Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MIDAS) menjadikan bangunan mereka sebagai kem untuk BN ternyata adalah kesalahan paling ketara pada PRU14,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Agung Pahlawan, Husnal Az Hari Sanusi berkata, Pahlawan juga percaya terdapat pegawai kanan ATM yang memberi tekanan kepada anggota tentera untuk memilih hanya satu parti ketika membuat undian awal.

Katanya, ia jelas dilihat melalui keputusan undi awal yang memihak kemenangan kepada BN pada mulanya.

“Namun apabila undi rakyat dikira, kesemua calon BN kalah teruk, jadi kita menggesa supaya SPRM siasat segera kes ini kerana kami tidak mahu kepincangan berlaku di kalangan pegawai atasan ATM.

“Pahlawan melihat trend menekan anggota bawahan memilih parti tertentu bermula sejak PRU13, berbanding tahun 90an perkara sebegini tidak berlaku, sepatutnya anggota tentera mahupun penjawat awam berhak memilih parti yang mereka suka bukannya dipaksa,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Veteran ATM hargai peranan Selangor bantu aspek kebajikan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 18 DIS : Peranan Kerajaan Negeri membantu kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Selangor di bawah peruntukan RM1 juta, disambut baik golongan itu.

Setiausaha Kelab Veteran Komando Malaysia, Ali Din menghargai inisiatif dan komitmen berkebajikan dilaksanakan pentadbiran negeri.

“Saya pernah terlibat untuk bersama AJK Persatuan Veteran ATM cawangan Hulu Selangor menerima satu sumbangan daripada Kerajaan Selangor sebanyak RM1 juta.

“Kita lihat di Selangor ini, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sangat memandang serius kebajikan veteran seperti kami dan inisiatif ini berpatutan dengan peranan ayah beliau yang juga bekas tentera.

“Saya puji cara Dato’ Menteri Besar dan saya mewakili kempimpinan veteran ATM mengucapkan terima kasih kepada beliau dan pentadbiran Kerajaan Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, baru-baru ini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta bagi program kemasyarakatan dan kebajikan veteran ATM di Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata, peruntukan berkenaan turut meliputi bantuan keperluan perubatan dan kebajikan membabitkan 89 veteran yang cedera perang di Selangor.

Katanya, sebanyak RM500,000 pula diperuntukkan terus ke dalam Tabung Pahlawan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Categories
SELANGOR

Veteran ATM diperkasa latihan keusahawanan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 7 DIS: Lebih 120 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpeluang mengikuti latihan keusahawanan anjuran Kerajaan Negeri.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia bertujuan membantu mereka mencapai kesinambungan kehidupan yang baik selepas banyak berbakti kepada negara.

Katanya, ia sekaligus membuka peluang buat golongan pesara itu mencari rezeki menerusi bidang perniagaan.

“Kerajaan Negeri berhasrat memantapkan pesara dengan kompetensi perniagaan kerana kunci kejayaan persaraan adalah melalui perancangan teliti yang membawa kepada kehidupan dan kesihatan berkualiti.

img-20161206-wa0005“Diharap setiap peserta menerima manfaat daripada program ini dan Kerajaan Negeri juga berikrar akan terus memberi sokongan penuh kepada veteran ATM,” katanya.

Beliau berkata ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Program Latihan Veteran Angkatan Tentera Malaysia siri Ke-3 di sebuah hotel di sini, semalam.

Majlis perasmian program tiga hari itu turut dihadiri Yang Di Pertua Persatuan Veteran ATM, Mohd Din Husnin.

Nik Nazmi berkata, program dengan kerjasama HIJRAH Selangor itu dijangka melibatkan lebih ramai bekas pesara ATM pada tahun hadapan.

-nR-

LZS Terima Zakat & Beri Sumbangan Kepada ATM, PDRM Serta Asnaf

sultan buka puasa jul 12 02

SHAH ALAM 13 JULAI : Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima zakat perniagaan daripada Sime Darby Property Berhad (SDPB) berjumlah RM 1 juta untuk tahun kewangan berakhir 2012.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima bayaran zakat berkenaan daripada Pengarah Urusan SDPB, Datuk Abdul Wahad Maskan di Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di sini semalam.

sultan buka puasa jul 12 01Turut hadir, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi, dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

Juga hadir Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Tuanku Syed Putra Jamalullail, Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Marzuki Hussin serta ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri.

Pada majlis sama, LZS turut menyerahkan sumbangan zakat kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang masing-masing berjumlah RM 100 ribu.

Sumbangan tersebut untuk disalurkan kepada keluarga perajurit yang terlibat di dalam misi keselamatan dan keamanan di Lahad Datu, Sabah.

sultan buka puasa jul 12 03ATM diwakili oleh Timbalan Pengarah Operasi Kagat, Kolenel Mohamad Saodi Kasim dan PDRM diwakili oleh Pemangku Ketua Polis Selangor, SAC Datuk A Thaiveegan.

Di samping itu, nasib tiga buah keluarga anggota PDRM dari Selangor yang terkorban di dalam operasi menentang militan Sulu di Lahad Datu juga mendapat perhatian oleh LZS.

LZS menyalurkan bantuan pendidikan tinggi untuk anak-anak keluarga Allahyarham Sarjan Sabaruddin Daud, Allahyarham Supritenden Ibrahim Lebar dan Allahyarham Koperal Azrul Tukiran.

Turut diraikan di majlis berkenaan ialah 150 orang asnaf fakir, 150 orang asnaf miskin, 100 orang asnaf mualaf dan 141 orang anak yatim.

Ksemuanya menerima sumbangan RM 400 setiap seorang kecuali anak-anak yatim yang menerima RM 100 seorang.

Categories
SELANGOR

Pemindahan Tentera, Anwar Minta Penjelasan Pimpinan ATM

pc-pr

PETALING JAYA, 8 JAN: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta penjelasan pimpinan Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung dakwaan berlaku pemindahan batalion tentera ke beberapa kawasan ibu kota dan luar bandar.

Anwar memaklumkan maklumat berkenaan menunjukkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)  makin hampir.

Beliau berharap perkara ini bukan bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat memandangkan terdapat lonjakan sokongan positif kepada Pakatan Rakyat.

“Saya anggap perkara ini sebagai gerakan biasa dan saya harap pimpinan tentera memberikan penjelasan supaya ini tidak dikaitkan dengan percubaan menakut-nakutkan sebahagian penduduk di negara ini,” katanya pada sidang media Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Tegasnya, perkara penting adalah tiada pihak akan memanipulasikan pasukan keselamatan terutama menjelang PRU-13.

“Jadi kita tidak mahu mana-mana pihak menggunakan pasukan keselamatan untuk tujuan pilihan raya,” katanya lagi.