Sultan Selangor: Jangan Manipulasi Keprihatinan Beta Terhadap Masjid Untuk Publisiti – INFO 12


 

Sinopsis

Info 12 Untuk 03122012

Saksikan secara langsung “INFO 12” sebuah rancangan baru yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 tengahari. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 03 DESEMBER 2012 :

1. Sultan Selangor: Jangan Manipulasi Keprihatinan Beta Terhadap Masjid Untuk Publisiti
2. Prestasi Pembangkang Selangor Dalam PAC Lemah
3. Tiada Pilihan Sekira Parlimen Bubar Mac 2012

Layari http://www.selangorkini.net

Categories
SELANGOR

MB Jumpa Sultan 10 Okt Mohon Perkenan Sidang Khas DNS

BESTARI JAYA, 6 OKT : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mengadap DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 10 Oktober ini bagi memperolehi perkenan untuk mengadakan Sidang Khas Dewan Negeri Selangor (DNS).

Sidang khas DNS itu bagi membincangkan tiga kertas putih iaitu kutipan hutang Talam Corporation Berhad, laporan kempen Selangorku Bersih dan isu penyusunan semula industri air Selangor.

Abdul Khalid berkata, Sidang DNS pada 19 November pula akan memberikan tumpuan kepada pembentangan dan perbahasan Belanjawan 2013 Selangor.

“Sidang Dewan Negeri yang dipersetujui adalah pada 19 November dan Tuanku Sultan telah mempersetujui untuk sidang itu yang perlu dilakukan setiap enam bulan,” kata Abdul Khalid dalam sidang media selepas perasmian Dataran Anak Muda DUN Ijok di sini.

Abdul Khalid berkata sidang khas berkenaan membolehkan Kerajaan Negeri membentangkan kertas putih tentang ketiga-tiga isu itu secara terperinci di samping memberi peluang kepada rakyat Selangor mendapat maklumat dengan jelas dan tepat.

Sebelum ini, kempen Selangorku Bersih telah menjumpai 110,000 nama yang diragui di dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Categories
SELANGOR

Wakaf Selangor Muamalat Untuk Pembangunan Kesihatan dan Pendidikan

SHAH ALAM, 27 SEPT : Dalam usaha menambahbaik aktiviti wakaf, Bank Muamalat Malaysia Berhad dengan kerjasama Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) melancarkan “Wakaf Selangor Muamalat” bagi pengurusan dana wakaf di Selangor.

Pengerusi Bank Muamalat, Tan Sri Mohd Munir Abdul Majid berkata, Bank Muamalat melalui 18 rangkaian cawangannya di negara ini akan mengumpul dan menguruskan dana waqaf secara usahasama dengan PWS.

Beliau berkata, kutipan dana wakaf ini akan disalurkan ke arah penambahbaikan dan pembangunan kesihatan serta pendidikan.

“Sebagai permulaan untuk dana wakaf, Bank Muamalat akan memberi sumbangan wakaf sebanyak RM1 juta. Kakitangan Bank Muamalat turut memberi sumbangan wakaf sebanyak RM75,040.

“Melalui kutipan daripada pembayaran berkala, hibah dan sumbangan langsung daripada sektor runcit dan korporat, kami menjangka dana wakaf ini akan berkembang dari semasa ke semasa,” kata Munir.

Majlis pelancaran perkhidmatan terbaru Bank Muamalat ini disempurnakan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Hotel Concorde, dekat sini pagi tadi.

Hadir sama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Tambah Munir, skim ini mensasarkan kutipan dana sehingga RM 50 juta dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Menurutnya, pengurusan kutipan wakaf ini akan dilakukan menerusi pembentukan Jawatankuasa Pengurusan Bersama yang bertindak merangka serta melaksanakan aktivit-aktiviti wakaf.

“Perkhidmatan ini akan dilaksanakan tanpa sebarang bayaran kepada pelanggan sebagai tanggungjawab sosial korporat,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Boros Punca Syabas Gagal Salurkan Air Dengan Baik

BISTARI JAYA 02 Sept : Mengubahsuai pejabat dan membeli kereta baru.

Ini antara cara Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) membelanjakan wang yang sepatutnya diguna untuk menyelenggara pam dan loji rawatan air.

Pam dan loji yang tidak berfungsi dengan baik menyebabkan air bersih tidak dapat disalurkan dengan cekap kepada pengguna di Selangor dan Lembah Klang.

Ini didedahkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika mengulas isu air Selangor di dalam ucapan Rumah Terbuka Aidilfitri Dun Ijok, di sini, semalam.

Di bawah akta Konsensi Air 2004, Syabas, sebuah syarikat swasta, diberi tanggungjawab mengurus rawatan dan saluran air bersih di seluruh Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Abdul Khalid berkata Syabas memberi alasan ?tiada wang yang cukup? apabila ditanya mengapa mereka tidak menyelenggara pam dan loji rawatan air.

Katanya, punca utama itu diketuai selepas disiasat oleh Jawatankuasa Pemantau Air yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi.

“Bila saya tanya mengapa tiada wang, mereka (Syabas) memberitahu wang untuk keperluan itu mereka gunakan untuk mengubahsuai pejabat dan membeli kereta baru”.

Pada bulan Ogos, Kerajaan Selangor telah diberi mandat untuk mengambilalih operasi tersebut daripada Syabas kerana mendapati syarikat itu gagal mengurus bekalan air bersih walaupun kerap kali meminta harga air dinaikkan.

Abdul Khalid menambah, sekiranya Syabas tidak mampu, Kerajaan Negeri Selangor boleh mengeluarkan wang untuk kerja penyelenggaraan itu.

“Kita boleh bagi duit dan kita juga boleh membaikinya dengan harga yang rendah kerana kita boleh mencari kontraktor yang berkebolehan dan harga yang berpatutan,” katanya.

Sementara itu Abdul Khalid akan turun melawat ke kawasan kampung sekitar negeri bagi meninjau masalah air dan pembuangan sampah.

Katanya, walaupun kini isu sampah jarang didengari kerana masalah itu dapat ditangani oleh Kerajaan Negeri, namun beliau tetap mahu meninjau.

“Saya akan pergi ke kampung-kampung dan tanya sendiri mereka mengenai kedua-dua isu ini.

“DYMM Sultan pun ada berbincang tentang isu ini dengan saya dan memuji bahawa masalah sampah sudah kurang,” katanya.

Categories
SELANGOR

228 Fakir Miskin Puchong Terima Sumbangan Raya

PUCHONG, 2 OGOS: Seramai 228 asnaf fakir dan miskin di Puchong menerima sumbangan raya daripada Lembaga Zakat Selangor(LZS) sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Alhmarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj berkenan menyampaikan sumbangan wang tunai RM400 setiap orang di Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat yang diadakan di Masjid Al-Ehsan Bandar Kinrara, Puchong malam tadi.

Program ini bertujuan untuk mendekati seluruh rakyat Selangor di bawah pemerintahan baginda Sultan dan sumbangan tersebut sedikit sebanyak, meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan untuk menjalani ibadah ramadan dan menyambut aldilfitri kali ini.

Seorang penerima kurang upaya asnaf miskin, Kamilah Arifin, 41, berkata wang itu akan digunakan untuk keperluan empat orang anaknya bagi menyambut hari raya.

“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya duit ini dapat meringankan beban saya mempersiapkan anak-anak menyambut syawal kelak,” katanya yang sudah 11 tahun menjadi Orang Kurang Upaya (OKU).

Turut hadir di majlis ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi, Orang Besar Daerah Petaling, Datuk Emran Kadir, Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Khairi , Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS), Datuk Marzuki Hussin dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor(MAIS), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

Dalam majlis yang sama, seramai 140 saudara baru Islam dan 128 anak yatim di kawasan ini turut menerima sumbangan raya yang disampaikan oleh baginda Sultan.

Sementara itu, seorang saudara baru, Yusuf Islam Mohd Noor, yang memeluk Islam pada September tahun lepas, turut terharu kerana masih ada pihak yang sudi memberi sumbangan kepadanya.

“Syukur alhamdulillah saya sekeluarga kini memeluk Islam dan bagi persiapan raya, saya hanya membuat persiapan sederhana sahaja,” katanya yang masih mendalami Islam dengan mengikuti kelas Fardhu Ain anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia(PERKIM).

Categories
SELANGOR

Sultan Selangor : AJK Masjid Perlu Laksana Tugas Dengan Hati Yang Bersih

SEPANG 26 JULAI : Pagawai-pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid (AJK) di seluruh Selangor diperingatkan untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan bekerja secara ikhlas dan hati yang bersih.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah semasa merasmikan Masjid Kampung Meranti, Sepang di sini.

“Beta berkenan supaya seluruh rakyat terutamanya umat Islam agar melupakan sementara segala ideologi serta fahaman politik dan menumpukan sepenuhnya kepada amal ibadat,” titah Sultan Sharafuddin.

Turut mengiringi baginda ialah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Kira-kira hampir 1,500 masyarakat di Kampung Pulau Menanti di sini bersama-sama dengan Tuanku untuk majlis berbuka puasa dan solat terawih berjemaah.

Masjid baru di Kampung Pulau Meranti,Sepang yang dibina pada tahun 2006 dengan kos RM6.1 jutadan baginda berkenan mencemar duli merasmikan masjid berkenaan.

Masjid ini di namakan dengan nama Masjid Meranti.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Marzuki Hussin dalam ucapannya berkata, Lembaga Zakat Selangor (LZS) komited dalam memberikan bantuan kepada asnaf faqir dan miskin bagi daerah ini.

“Adalah diharapkan selepas menerima sumbangan ini dapat meringankan beban yabng ditanggung oleh penerima-penerima tersebut untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang,” kata Marzuki.

Pada majlis yang sama itu, Sultan Sharafuddin turut menyerahkan bantuan ramadan dan hari raya kepada 230 asnaf fakir miskin, 125 asnaf mualaf dan seramai 136 anak yatim.

Categories
NASIONAL

Sultan Selangor Hargai Sumbangan Kakitangan Awam

SHAH ALAM, 22 MEI: Jasa dan perkhidmatan cemerlang kakitangan awam Selangor terus dihargai apabila seramai 156 orang, yang mana majoritinya penjawat awam, telah menerima pingat Selangor sempena Hari Keputeraan ke 66 DYMM Sultan Selangor.

Pegawai Waran 1 TMK Mohd Idrus Abdul Rahman dan Pegawai Waran II PAP (PKL) (GI) Teruna Hassan mengetuai senarai penerima pingat kebesaran apabila dianugerahkan Pingat Keberanian Terbilang (PKT).

PKT merupakan pingat yang mengiktiraf pengorbanan dan semangat kepahlawanan apabila melakukan sesuatu yang menuntut keberanian luar biasa meskipun medatangkan bahaya kepada diri sendiri demi Selangor.

Pingat-pingat tersebut diberikan oleh Sultan Selangor, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada satu majlis di Dewan Jubli Perak, ibu pejabat Kerajaan Selangor petang tadi.

Turut mengiringi Baginda Sultan, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Speaker Datuk Teng Chang Khim dan barisan exco.

Selain dua penerima PKT tersebut, seramai 23 penerima telah mendapat Pingat Pekerti Terpilih (PPT) dan seramai 21 penerima lain pula menerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang Selangor (PPC).

Seramai 95 orang pula telah terpilih untuk menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan 15 lagi penerima Pingat Perkhidmatan Selangor (PPS).

Sementara itu, PPS dikurniakan kepada kakitangan awam bagi menghargai kakitangan awam yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 20 tahun dengan kelakuan terpuji

PPC, dikurniakan kepada seorang kakitangan Kerajaan Selangor yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya melebihi tujuh tahun dengan rekod yang cemerlang dan kelakuan yang terpuji.

PJK pula dikurniakan kepada pihak yang telah berkhidmat dan berjasa kepada Selangor dengan tekun, taat kepada kerja, mempunyai kebolehan istimewa dan mempunyai pekerti yang baik.