Categories
NASIONAL SELANGOR

Desakan Supaya Pakatan Beri Fakta Penyelewengan Umno-BN Memakan Diri

ng suee lim sapu tanah satu malaysia SAT1M

SHAH ALAM, 2 JULAI: Desakan Adun Permatang Sulaiman Razak dari Umno-BN terhadap Adun Pas Dr Abdul Rani Osman agar menyatakan bukti mengenai tuduhan penyelewengan yang didakwa berlaku ketika BN menerajui Kerajaan Selangor akhirnya memakan diri sendiri.

Dr Abdul Rani, yang merupakan Adun Meru, kemudian menyenaraikan skandal penyelewengan 24 bidang tanah yang diberikan kepada parti komponen Umno-BN semasa gagasan itu memerintah dari 2000 ke 2008.

Menurut Dr Abdul Rani, dalam Skandal Tanah Satu Malaysia (SAT1M) itu, Umno memperolehi 15 bidang tanah, MCA lima bidang, MIC tiga bidang dan Gerakan sebidang tanah dengan bayaran masing-masing membayar hanya RM 1 bagi satu kaki persegi.

“Kemudian Umno membisu atas isu Kondominium Suria Damansara yang dibina atas tanah Umno di Kelana Jaya.

“BN sebutkan di tanah inilah dia bagi tahu kononnya mereka nak naikkan dewan serbaguna untuk buat tadika. Tetapi rupa-rupanya kondominium Suria Damansara 200 unit kediaman RM450,000 setiap satu.

“Bila kita hubungi ketua Penerangan Umno ketika itu, YB Shukor kata dia tak tahu. Serah kepada Datuk Bushro yang juga tak dapat beri jawapan dan kemudian serah kepada Datuk Seri Noh Omar… ‘refuse to comment’, saya nak bagi tahu semuanya tutup mulut.”

Dr Abdul Rani berkata demikain ketika perbahasan menjunjung kasih titah ucapan DYMM Sultan Selangor dalam Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) yang masuk hari ke dua hari ini.

Sebelum itu, Dr Abdul Rani turut membangkitkan isu penipuan dan penyelewengan yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke 13 lalu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Ketua Pembangkang Selangor Terkedu Gagal Kemuka Fakta

Samsuddin Lias Sungai burong

SHAH ALAM, 1 JULAI: Ketua Pembangkang, Datuk Shamsudin Lias terkedu apabila diminta menyatakan mana-mana perkara daripada Perlembagaan Negara atau undang-undang negara ini yang menghalang rakyat negara ini melakukan protes terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) lalu.

Sebaliknya apabila ditanya Mohd Khairuddin Othman (PAS, Paya Jaras) beliau (Shamsudin) cuba berdalih.

“Yang Berhormat Ketua Pembangkang, boleh jelaskan fasal mana satu yang dilanggar?” soal Khairuddin selepas diberikan laluan untuk mencelah.

“Ia hanya secara prinsip saya sahaja,” jawab Shamsudin ringkas ketika membahaskan titah ucapan DYMM Sultan Selangor di persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini.

Sebelum itu, Shamsuddin dilihat gagal mengemukakan fakta yang sahih dalam ucapannya.

Shasudin turut mengecam pemimpin politik yang terlibat dengan perhimpunan aman #Blackout505 yang diadakan di seluruh negara bagi membantah penipuan dan penyelewengan yang berlaku dalam PRU-13 lalu.

Menurut Shamsudin kedua-dua tindakan tersebut sebagai tidak menghormati undang-undang negara.

Shamsudin sekali lagi tidak terkata apa-apa apabila Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad turut meminta beliau menjelaskan samada hak rakyat untuk berhimpun secara aman itu dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Categories
SELANGOR

Elizabeth Wong Bangga Sultan Selangor Prihatin Pemuliharaan Alam Sekitar

dewan-rakyat

eli-dewanSHAH ALAM 28 JUN: Exco Alam Sekitar, Elizabeth Wong melahirkan rasa bangga terhadap keprihatinan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap usaha pemuliharaan alam sekitar di negeri ini.

Menurut Elizabeth, titah ucapan baginda jelas menunjukkan keprihatinan baginda terhadap isu alam sekitar di Selangor.

Beliau yang juga Adun Bukit Lanjan memberitahu Kerajaan Negeri perlu melihat beberapa langkah untuk penambahbaikan dan pemuliharaan alam sekitar.

“Ini merupakan satu agenda atau startegi Kerajaan Negeri untuk menjana pembangunan ekonomi di Selangor iaitu dengan menggalakkan teknologi hijau digunakan oleh pihak swasta dan kerajaan sendiri,” katanya sejurus selesai Majlis Perasmian Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor (DNS)  di sini.

Teknologi hijau merujuk kepada pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memelihara alam sekitar dan alam semulajadi dengan meminimumkan atau mengurangkan kesan negatif alam sekitar daripada aktiviti manusia.

Terdahulu, ketika menyampaikan titah ucapan perasmian, Sultan Sharafuddin bertitah agar Kerajaan Negeri haruslah tingkatkan usaha bagi menarik pelabur industri berteknologi tinggi yang mengamalkan teknologi hijau.

“Usaha-usaha ini perlulah juga ditumpukan kepada industri berteknologi tinggi, industri yang mengamalkan teknologi hijau supaya alam dan persekitaran Negeri Selangor terhindar daripada pencemaran,” titah baginda.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Portfolio Penerangan Pastikan Rakyat Dapat Maklumat Tepat

Exco Selangor Baru

KLANG 30 MEI : Portfolio Penerangan diwujudkan bagi memastikan rakyat Selangor mendapatkan maklumat tepat dan jelas mengenai segala program yang dirangka Kerajaan Negeri menerusi hebahan media.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim langkah ini mengambil pengajaran ketika pentadbiran penggal pertama lalu ,biarpun banyak program dijalankan seperti agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) namun ia tidak sampai kepada rakyat secara menyeluruh.

“Oleh sebab itu salah satu tugas portfolio ini ialah memberikan penerangan yang lebih tepat, jelas dan terus kepada rakyat.

“Ini akan kita bincangkan supaya sebarang maklumat dan komunikasi kepada rakyat dapat dilaksanakan melalui pelbagai usaha seperti hebahan melalui TVSelangor, radio dan semua media,” katanya dalam sidang media selepas majlis angkat sumpah exco Kerajaan Negeri di Istana Alam Shah di sini hari ini.MB exco baru

Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri komited meneruskan agenda MES dalam penggal terbaru ini di mana kekayaaan negeri diagihkan kepada rakyat.

Menurutnya, beliau dan barisan exco yang baru dilantik menerima segala nasihat DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan akan memastikan kesinambungan pentadbiran bersih dan telus yang ditunjukkan Kerajaan Negeri  sepanjang lima tahun lalu.

‘Kepada rakan yang baru dilantik, saya yakin mereka mampu memberikan komitmen yang tinggi terhadap bidang tugas yang diamanahkan demi meneruskan kecemerlangan kerajaan Selangor,” katanya.

Antara muka baru dilantik adalah Adun Sabak, Sallehen Mukhyi selaku Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa; Adun Kota Alam Shah, V Ganapathi Rao (Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin dan Adun Sementa, Dr Daroyah Alwi (Kesihatan, Pembangunan Usahawan serta Sains, Teknologi dan Inovasi.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) kini disandang Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan dan Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Timbalan Speaker DNS.

Bekas Speaker DNS, Datuk Teng Chang Kim yang juga Adun Sungai Pinang dilantik Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan.

Selain itu, Menteri Besar turut memegang portfolio Kewangan, Pembangunan Tanah & Pengurusan Sumber Alam (Pemutihan Kilang Haram), Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (Pelaburan, Pembangunan Desa dan Pelancongan) serta Jawatankuasa Adat Melayu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sultan Selangor : Utama Kehendak Rakyat, Jauhi Gejala Rasuah

sultan exco baru 2013 01

KLANG, 30 MEI: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang diketuai Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengutamakan kehendak rakyat selain terus memacu negeri menjadi lebih maju.

Baginda bertitah ketika Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji Serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor menegaskan, sekarang merupakan masa untuk melaksanakan janji Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) seperti yang dinyatakan di dalam manifesto.

“Peranan utama Datuk Menteri Besar dan Ahli-ahli Yang Berhormat adalah untuk membangunkan program yang memberikan impak sebenar kepada Negeri Selangor ke arah mencapai kemajuan dan kemakmuran.

“Setiap tanggungjawab yang bakal dipikul hendaklah dikendalikan secara intelektual dan bukan secara emosi dengan mendahulukan kepentingan rakyat dan negeri berbanding kepentingan diri atau parti masing-masing.

“Beta menyeru agar keutamaan diberikan ke arah mencapai kemajuan Negeri Selangor ini disamping memastikan kehidupan rakyat yang berbilang kaum hidup dengan selesa, aman, damai dan harmoni sehingga ke generasi akan datang,” titah baginda.

Baginda juga menyeru Ahli-ahli Yang Berhormat menjauhkan diri daripada rasuah kerana ia boleh menjatuhkan maruah dan imej seseorang dan merosakkan negeri.

“Rakyat juga amat benci dengan pemimpin yang terlibat di dalam gejala rasuah,” titah baginda lagi.

Rakyat kini, titah baginda makin bijak menilai serta mengetahui kehendak dan keperluan mereka ditambah dengan bantuan media massa yang bebas dan media elektronik yang canggih untuk mendapatkan maklumat lebih pantas.

Sultan Selangor hari ini berkenan menyampaikan watikah Pelantikan Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor di Balairong Seri, Istana Alam Shah Klang.

Dua minggu lalu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sekali lagi dipilih menjadi Menteri Besar Selangor untuk penggal kedua bagi menerajui pentadbiran Negeri Selangor.

Kerajaan Selangor turut mencatat sejarah sebagai negeri pertama yang mempunyai Speaker wanita dengan perlantikan Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh ke jawatan itu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PBT Diminta Turunkan Kain Rentang Hina Individu Tertentu

suk pakatan selangor

SHAH ALAM, 8 APR : Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor diarahkan untuk menurunkan kain rentang yang berunsur menghina dan menjatuhkan maruah seseorang semasa tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, PBT juga perlu memastikan tiada perbuatan menurunkan bendera parti politik kecuali jika ia dipasang di tempat yang tidak selamat.

Katanya, mana-mana kain rentang dan papan iklan yang dipasang di bahu jalan yang mengganggu pengguna jalan raya juga hendaklah dialih ke tempat sesuai.

“Penting untuk kedua-dua pihak memastikan tiada insiden yang boleh menjurus kepada pergaduhan antara penyokong parti politik.

?Justeru, pemimpin dan penyokong mesti menjaga etika dan sentiasa mengutamakan keharmonian.

“Sebagai salah seorang pemimpin yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya kali ini, saya mahu PRU-13 diingati sebagai pilihan raya penentu masa hadapan.

?Bukannya paling kotor sehingga memalukan kita dan generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan media.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa Parlimen dibubarkan berkuatkuasa 3 April lalu, bagi membuka jalan untuk pilihanraya ke-13.

Dewan Negeri Selangor (DNS) juga dibubarkan secara rasminya pada 4 April apabila Warkah Pembubaran ditandatangani oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di hadapan Menteri Besar serta Ahli-Ahli Dewan Diraja.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Beri Insentif Kepada Atlet Lumba Basikal

yunus exco pc tie red 01

SHAH ALAM, 25 MAC : Kerajaan Selangor akan memberi insentif RM 15,000 kepada pelumba remaja, Muhammad Firdaus Mohd Zonis yang merangkul pingat emas dalam acara trek Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2013 di New Delhi, baru-baru ini.

Perkara itu diumumkan Exco Adat Melayu dan Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi dalam sidang media selepas mesyuarat Exco di Bangunan SUK, hari ini.

Menurut Dr Ahmad Yunus, insentif itu adalah bersesuaian dengan pencapaian cemerlang Muhammad Firdaus menerusi acara 200 meter pecut individu.

“Kita akan memberi insentif sejumlah RM15,000 kepada pemenang pingat emas, RM10,000 kepada pemenang pingat perak dan RM5,000 kepada pemenang pingat gangsa.

Majlis pemberian insentif itu akan diberikan dalam satu majlis rasmi Mei depan dan akan dihadiri oleh DYMM Sultan Selangor,” katanya.

Muhammad Firdaus, 17, menewaskan pelumba Korea Selatan, Jung Jea-Hee dalam acara 200m pecut individu remaja lelaki di velodrom Kompleks Sukan India Ghandi.

Kemenangan itu sekaligus menambah koleksi pingat emasnya yang diperoleh dalam acara 1 kilometer ujian masa individu.

Categories
NASIONAL

MB Ucap Takziah Kepada Keluarga Allahyarham Tan Sri Dr. Abdul Majid

takziah majid sultan khalid 01

SHAH ALAM, 25 MAC : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mewakili Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor mengucapkan takziah kepada keluarga Ahli Dewan Diraja Selangor, Tan Sri Dr Abdul Majid Ismail, yang meninggal dunia petang semalam.

Allahyarham disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4 petang semalam di kediamannya di Taman Duta, Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur kerana sakit tua.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam bagi mengenang jasa beliau yang pernah berkhidmat sebagai doktor peribadi kepada DYMM Sultan Selangor sekitar hujung tahun 70-an.

takziah majid sultan khalid 02

Menteri Besar turut mengiringi DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ke pengkebumian jenazah di Makam Diraja di Shah Alam selepas disembahyangkan di Masjid Negeri Shah Alam, pagi tadi.

?Sesungguhnya, jasa dan sumbangan beliau kepada rakyat Malaysia khususnya dalam bidang perubatan akan dikenang untuk selama-lamanya,? kata Abdul Khalid dalam satu kenyataan media.

Abd Majid, 92, merupakan rakyat tempatan pertama yang menjadi pakar bedah orthopaedic pada 1958 dan pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia yang kedua pada 1971 hingga 1976.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sultan : Jangan Mudah Terpedaya Dengan Fitnah Dan Khabar Angin

sultan mb masjid jelutong 01

SHAH ALAM 17 MAC : Umat Islam diperingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan berita fitnah dan khabar angin yang disebarkan melalui pelbagai media.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar setiap berita harus diteliti dengan lebih mendalam dan terperinci sebelum membuat sesuatu kenyataan atau mengambil tindakan.

“Setiap gerak-geri, percakapan, perbuatan, serta keputusan yang diambil akan menentukan masa depan diri sendiri, keluarga dan negara,” titah Sultan Sharafuddin.

Baginda bertitah demikian semasa Majlis Perasmian Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong di sini.

Masjid tersebut dibina dengan kos RM 25.5 juta.

Kos itu ditampung sumbangan wang wakaf Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebanyak RM 6 juta, Kerajaan Selangor (RM 11 juta), Sime Darby Property Bhd (RM 6 juta) dan kutipan ahli-ahli kariah masjid sebanyak (RM 2.5 juta).

sultan mb masjid jelutong 03

Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong yang juga Masjid Diraja dibina pada Mei 2010 dan siap sepenuhnya pada Mac 2013.

Ia mempunyai keluasan 2.07 hektar dan mampu memuatkan kira-kira 4,000 jemaah ada satu-satu masa.

Sultan Sharafuddin juga bertitah agar ahli jawatankuasa Masjid Tengku Ampuan Jemaah hendaklah terdiri daripada mereka yang sanggup memikul segala tanggungjawab yang diamanahkan.

“Beta berkenan supaya Ahli Jawatankuasa Masjid ini sentiasa bersikap amanah, berwibawa dan professional serta dapat bekerjasama antara satu sama lain dengan erat bagi merangka program yang boleh memakmurkan masjid.

“Diharap Masjid ini juga dijadikan tempat untuk umat Islam di kawasan ini bersatu padu dengan semangat persaudaraan yang kukuh dan teguh.

“Masyarakat di sini hendaklah sentiasa hidup dalam harmoni dan bersikap muhibbah,” titah Baginda Sultan.

Turut hadir dalam majlis itu Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

sultan mb masjid jelutong 02

Rakyat Bangga Miliki Sultan Yang Prihatin Dan Penyayang

KLANG, 11 DIS : Rata-rata rakyat Selangor yang ditemui melahirkan rasa amat bertuah kerana memiliki seorang Sultan yang prihatin terhadap masalah rakyat, penyayang dan juga komited membangunkan sukan di negeri ini.

Rasa kagum ini disuarakan rakyat Selangor yang ditemui sempena Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Rakyat  sempena Keputeraan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ke-67 di sini.

Menurut Tok Batin Orang Asal Pulau Indah, Intan Anak Pendek,60, berkata, Baginda Sultan merupakan tempat rakyat mengadukan permasalahan mereka yang menjadi payung kepada rakyat.

Katanya, Baginda Sultan juga amat menitikberatkan kepada pembangunan masyarakat Orang Asal di negeri itu.

“Sultan ini amat baik dan prihatin kepada rakyatnya dan selalu bertemu dengan pelbagai masyarakat,” katanya.

Bagi Setiausaha JKKK Kampung Jaya Setia, Nik Li Mohammad,42, pula Sultan Selangor merupakan pemimpin yang tidak kekok bertemu rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat dan juga pangkat.

“Kita lihat Tuanku Sultan dengan anak-anak kecil dan kanak-kanak juga amat mesra.

“Dengan ini kasih sayang antara rakyat dan Sultan akan lebih mendalam,” katanya.

Sementara itu, Pemain Bola Sepak Selangor, Mohd Amri Yahyah, 31,berkata, DYMM Sultan Selangor komited dengan pembangunan sukan khususnya dalam perkembangan sukan bola sepak sehingga Baginda berkenan membina sebuah galeri untuk bola sepak.

“Beliau merupakan Sultan yang prihatin dengan rakyat-rakyatnya dan amat mengambil berat hal ehwal pentadbiran negeri,” katanya.

Tambah Sharifah Rodziah Saiah, 46, menyatakan DYMM Sultan amat mudah didekati rakyat dan juga amat penyayang.

Ujarnya, Baginda Sultan yang juga Ketua Agama Negeri amat menitikberatkan soal pembangunan Agama Islam demi masa hadapan generasi akan datang.

“Beliau amat baik dengan rakyatnya,” ujarnya.

Majlis itu diadakan di Padang Mahkota, Istana Alam Shah Klang disini dengan kehadiran kira-kira 10,000 rakyat pelbagai bangsa yang turut dihadiri Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Exco-Exco dan Adun-Adun Selangor.

Categories
SELANGOR

Pesara Kerajaan Terharu Dirai Sultan Selangor

KLANG, 9 DIS :Pesara-pesara kerajaan melahirkan kegembiraan di atas perkenan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mencemar duli pada Majlis Jamuan Teh Diraja Bersama Pesara Kerajaan Sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Yang Ke-67.

Bertempat di Istana Alam Shah, Klang, majlis ini dianjurkan untuk tahun kedua, hasil cetusan Tuanku Sultan dimanfaatkan sepenuhnya pesara bagi beramah mesra lebih dekat bersama baginda.

Bagi bekas Ketua Inspektor Polis, Nashatan Singh, majlis ini dapat merapatkan hubungan semua kaum dan boleh bertemu sahabat baru sekaligus memperlihat suasana negara yang lebih meriah.

“Saya sangat gembira Tuanku sudi menjemput saya dan isteri pada majlis ini. Saya melihat suasana meriah dan kami lihat tuanku cukup mesra bersama pesara,” katanya.

Beliau turut memuji cara pemerintahan Kerajaan Negeri kini yang bertindak pantas dalam menyelesaikan sesuatu masalah rakyat.

“Didapati masa ini negeri Selangor kita dapat pelbagai kemudahan, pentadbiran pun bagus.

“Bila kita ke pejabat kerajaan perkara yg sepatutnya dilaksanakan, dibuat dengan baik,” katanya ketika ditemui TV Selangor.

Sementara itu, Ng Kok Chuan selaku bekas guru berharap agar Kerajaan Negeri dapat meningkatkan taraf pendidikan di negeri ini selain meneruskan kecemerlangan pentadbiran negeri yang sedia ada.

Sultan Selangor mencemar duli pada jam 3.35 petang sambil diiringi Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Tan Sri Datuk Paduka Raya Datuk Wan Mahmood Pawan Teh, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Emran Kadir dan Ketua Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi serta beberapa kenamaan lain.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negeri Selangor, diikuti dengan ucapan daripada Jeneral Tan Sri Datuk Shahrom Nordin, mewakili pesara-pesara kerajaan serta bacaan doa yang diketuai Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid.

Acara santapan turut diirngi persembahan daripada kumpulan Win Okestra, Sekolah Alam Shah, Putrajaya.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bakal menyambut ulangtahun keputeraan yang ke-67 pada Selasa, 11 Disember ini.

Sultan Selangor: Institusi Masjid Perlu Giat Latih Generasi Muda

GOMBAK 7 DIS:  Institusi masjid perlu menggiatkan lagi usaha untuk melatih generasi muda masa kini agar menjadi pelapis dan pengganti yang berwibawa pada masa akan datang.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah demikian semasa merasmikan Masjid Al-Hidayah Taman Melawati, Gombak di sini hari ini.

“Beta mahukan institusi masjid perlu giat untuk melatih generasi muda dengan memberikan ilmu pengetahuan yang secukupnya agar menjadi pelapis di masa akan datang,” titah baginda.

Turut mengiringi baginda ialah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta ahli Exco Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen serta Adun Selangor.

Baginda juga bertitah agar Ahli Jawatankuasa Masjid bersikap amanah, berwibawa dan professional serta dapat bekerjasama erat bagi merangka program yang boleh memakmurkan masjid.

“Ahli Jawatankuasa Masjid juga hendaklah memastikan bahawa di kariah tersebut tidak terdapat unsur-unsur ajaran sesat yang boleh memudaratkan umat Islam di Negeri Selangor ini,” titah baginda.

Dalam pada itu, kira-kira 1,000 masyarakat dan penduduk di sini bersama-sama baginda untuk majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat sempena hari keputeraan ke-67 baginda sebelum menunaikan solat Jumaat berjemaah.

Masjid Al-Hidayah ini siap dibina pada 6 November 2012 lalu dengan kos RM7 juta bagi menggantikan masjid lama yang tidak dapat menampung jumlah jemaah yang semakin ramai.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Marzuki Hussin dalam ucapannya berkata, masjid yang dibina akan berfungsi secara berterusan dan tidak terhad pada waktu tertentu sahaja seperti waktu solat.

“Adalah diharapkan masjid ini menjadi sebuah institusi yang dapat memenuhi fungsi ibadah yang bersepadu sebagaimana yang dituntut oleh syariat,” katanya.