Categories
SELANGOR

Harap keputusan mahkamah berpihak kepada Kerajaan Negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUTRAJAYA, 27 SEPT: Kerajaan Negeri yakin keadilan pengundi di Selangor akan dikembalikan jika keputusan Mahkamah Persekutuan berpihak kepada rakyat negeri itu.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berpuas hati berhubung prosiding hujah balas oleh barisan peguam Kerajaan Negeri.

“Setakat ini, kita puas hati dengan hujah balas daripada peguam Kerajaan Negeri. Kita rasa peluang kita sangat tinggi.

“Sebelum ini, satu ketidakadilan sudah berlaku ketika keputusan dibuat di Mahkamah Rayuan, namun saya jangkakan keadilan ini akan dikembalikan kepada pengundi di Selangor,” katanya ketika ditemui di perkarangan Istana Kehakiman, petang ini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengemukakan data 136,000 pengundi yang didakwa dimusnahkan.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan menetapkan esok bagi lanjutan keputusan prosiding berkenaan.

Keputusan berkenaan akan dibuat panel tiga hakim diketuai Y.A.A. Tun Md Raus Sharif, Y.A.A Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Tan Sri Datuk Wira Aziah Ali.

Categories
SELANGOR

Budiman alih isu lawatan PM perkasa ekonomi Amerika

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 26 SEPT: Exco Kerajaan Negeri, Elizabeth Wong menyangkal dakwaan Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi, bahawa Kerajaan Negeri bersikap hipokrit dalam usaha menarik pelaburan dari China ke Selangor.

Berbanding usaha Kerajaan Persekutuan diketuai Perdana Menteri, beliau berkata, kunjungan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, ke negara itu adalah bagi meningkatkan pelaburan ke negeri termaju di negara ini.

“Ia satu kenyataan tidak cerdik, bukan sahaja daripada seorang Ahli Dewan Negeri (ADN) tetapi juga Ahli Parlimen yang mewakili Sungai Besar.

“Kerajaan Negeri khasnya Dato’ Menteri Besar pergi ke China kerana menjalin persahabatan dan hubungan baik antara kedua pihak pada masa sama ia usaha bagi mendapatkan pelaburan ke Selangor,” katanya.

AmerikaBeliau berkata demikian mengulas kenyataan Budiman yang mendakwa lawatan Mohamed Azmin ke China bagi meraih pelaburan sebagai bukti hipokrit PAKATAN ekoran usaha awal dirintis Perdana Menteri.

ADN Bukit Lanjan itu berkata, memang menjadi tanggungjawab setiap Menteri Besar bagi menarik pelaburan luar dan Mohamed Azmin tidak sekadar ke China tetapi juga ke negara lain bagi menambah hasil negeri.

“Saya rasa Budiman bercakap bagi mengalih isu berhubung lawatan Perdana Menteri ke Amerika Syarikat di mana kita lihat ia adalah berbeza jika dibandingkan usaha dirintis Mohamed Azmin untuk Selangor.

“Dato’ Menteri Besar ke China untuk mendapatkan pelaburan dan bukan menyerahkan bantuan atau sumbangan wang kepada mereka.

“Manakala Najib ke Amerika Syarikat, kita tidak tahu apa pelaburan tetapi beliau menawarkan hasrat Kerajaan Malaysia menggunakan wang rakyat bagi melabur di sana membeli kapal terbang dan sebagainya,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Atasi sasaran, catat 31.6 peratus rizab hutan simpan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 26 SEPT: Kerajaan Negeri berjaya mencatatkan 31.6 peratus dalam usaha mengekalkan rizab hutan simpan kekal dan ia berjaya melepasi sasaran ditetapkan.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, berkata Kerajaan Negeri komited dalam usaha itu bagi mengekalkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kawasan tanah biarpun Selangor adalah negeri paling padat dengan industri, penduduk dan termaju di Malaysia.

“Kita mempunyai dasar perlindungan hutan terbaik di negara ini di mana sejak 2009, telah melaksanakan moratorium selama 25 tahun tiada pembalakan komersial.

“Kita telah menggubal enakmen negeri yang baru bagi memastikan pendengaran awam sebelum sebarang warta keluar rizab hutan simpan kekal dilaksanakan,” katanya dalam majlis perasmian Muzakarah Pakar Maqasid al-Shariah 2017 di bangunan IDE, di sini, hari ini.

IDESelain perlindungan hutan, beliau berkata, Kerajaan Negeri juga melaksanakan kerangka Bandar Rendah Karbon (LCCF) bagi mewujudkan komuniti dan persekitaran lestari selain melancarkan kempen #Bebas Plastik sejak 2009 dalam usaha pemeliharaan alam sekitar juga kepelbagaian biologi.

Katanya, usaha Institut Darul Ehsan menganjurkan muzakarah membincangkan isu berkaitan alam sekitar dipuji dan sewajarnya digalakkan kerana ia mempertemukan ahli akademik, pembuat dasar dan masyarakat untuk berbicara serta berkongsi idea dalam isu berkenaan.

“Isu alam sekitar adalah isu global yang penting untuk diwacanakan.

“Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memelihara akam sekitar tetapi usaha ini dilihat masih gagal dalam mewujudkan kesedaran dan pengurusannya yang lebih berkesan.

“Dalam isu ini, saya melihat peranan agama dan budaya perlu diangkat secara serius dalam memastikan pemeliharaan dan pemuliharaan sumber alam semula jadi diberi perhatian sepenuhnya,” katanya.

Elizabeth berkata, beliau percaya setiap agama sejagat tanpa mengira bangsa dan keturunan, berpegang kepada prinsip semua makhluk adalah khalifah yang mesti menunaikan tanggungjawab menyayangi segala ciptaan tuhan.

“Ini jelas menunjukkan mana-mana agama amat menitikberatkan penjagaan alam sekitar dan menolak sebarang eksplotasi ke atasnya.

“Prinsip penjagaan alam sekitar harus ditegakkan da dilaksanakan merentasi perbezaan agama,” katanya.

Muzakarah Pakar Maqasid al-Shariah 2017 anjuran IDE bertema “Pembangunan Hijau dan Kelestarian Alam Sekitar” menghimpunkan beberapa ahli akademik dan pihak berkaitan bagi membincangkan isu berkenaan.

Turut hadir, Pengerusi IDE, Dato’ Dr Siddiq Fadzil, Ahli Lembaga Pengarah IDE, Dato’ Kamarudin Jaafar dan hadirin lain.

=EZY=

Categories
PELANCONGAN SELANGOR

Pelancongan Selangor dipertingkat dengan aktiviti, produk baru

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 SEPT: Perkembangan industri pelancongan Selangor terus mengalami kemajuan dengan pelbagai aktiviti dan produk baru bagi menarik minat pelancong domestik serta luar.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, Kerajaan Negeri turut mengiatkan promosi bagi tujuan itu termasuk menyertai program pelancongan di luar negara.

“Pada September ini, melalui Tourism Selangor, kita akan menyertai program pelancongan di Jepun yang turut disertai Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan diharap akan meningkatkan minat pelancong Asia Utara khasnya dari negara matahari terbit itu ke Selangor.

elizabeth-wong-2“Kita bersedia dengan beberapa aktiviti dan mempunyai produk baru untuk diperkenalkan bagi menarik minat pengunjung ke sini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, antara produk baru dinyatakan ialah tapak pelancongan baru seperti kawasan pembinaan jeti di Tanjung Sepat dan beberapa lokasi menarik di Kajang.

Katanya, Kerajaan Negeri bersedia bekerjasama dengan pihak berkaitan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mempromosikan pelancongan berunsur sejarah dan warisan di Kajang, pada tahun depan.

“Terdapat beberapa lokasi menarik di Kajang untuk ditawarkan dan dengan kemudahan sistem pengangkutan Transit Aliran Massa (MRT) akan lebih mudah untuk semua ke sana.

“Beberapa aktiviti juga dirancang antaranya seperti pesta makanan Selangor yang mampu menarik kehadiran ramai pelancong ke negeri ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Bukit Broga diwartakan kawasan rekreasi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 19 OGOS: Kerajaan Negeri mewartakan Bukit Broga sebagai kawasan rekreasi seperti diperuntukan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara dengan Setiusaha Kerajaan Negeri (SUK) sebagai Pegawai Pengawal dan diselenggara Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Elizabeth Wong berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada Khamis baru-baru ini.

“Pada masa sama, lot tanah Sakai Land Fruit Trees dan Sakai Dusun yang jumlah keseluruhan kawasannya seluas 31 ekar seperti catatan pada Pelan Akui 18083 dikekalkan bagi kegunaan komuniti Orang Asal,” katanya.

Elizabeth Wong berkata demikian pada Sidang Media Penutupan Rasmi Bukit Broga yang diadakan di tapak meletak kenderaan di kaki bukit berkenaan di sini, semalam.

Jelasnya, Kerajaan Negeri komited memulihara alam semula jadi di Bukit Broga disamping menjaga kepentingan masyarakat Orang Asal kawasan terbabit.

IMG_1174Terdahulu pada sidang media sama, Elizabeth Wong mengumumkan Bukit Broga secara rasmi ditutup semalam bagi memberi laluan kerja pemulihan ekoran kesan penerokaan haram.

Penutupan itu dijalankan sehingglah kerja pemulihan selesai sepenuhnya yang dijangka memakan masa selama tiga bulan.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bukit Broga ditutup tiga bulan untuk baik pulih

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 19 OGOS: Kerajaan Negeri melalui Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang bermesyuarat pada 17 Ogos memutuskan menutup sementara waktu semua aktiviti rekreasi dan pelancongan di Bukit Broga berkuatkuasa serta merta.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Elizabeth Wong berkata, penutupan dijangka selama tiga bulan itu dibuat bagi memberi laluan kerja pemulihan yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM1 juta dijalankan di atas tanah Kerajaan Negeri seluas 143 ekar itu.

IMG_1114“Penutupan ini adalah perlu bagi memastikan keselamatan pengunjung yang mendaki dan berekreasi di Bukit Broga serta mengelakkan sebarang perkara diingini berlaku akibat penerokaan tanah berkenaan.

“Pada masa ini Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor menganggarkan kerja pemulihan dapat disiapkan dalam tempoh tiga bulan, namun Kerajaan Negeri akan mengumumkan sekiranya terdapat pindaan tempoh disiapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Penutupan Rasmi Bukit Broga yang diadakan di tapak meletak kenderaan di kaki bukit berkenaan, semalam.

Jelasnya, antara kerja pemulihan dirancang adalah membina longkang tanah bagi pengaliran air hujan supaya tidak menjejaskan cerun secara langsung, menanam rumput bagi mengelakkan hakisan, pengindahan lanskap dan beberapa kerja lain.

Katanya, selain JKR Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) turut terlibat dengan kerja baik pulih itu nanti.

“RM900,000 diperuntukan kepada JKR Hulu Langat dan RM100,000 lagi kepada MPKj. Bagaimanapun ini hanya anggaran awal dan kos sebenar akan diketahui apabila kita mendapat perincian sebenar daripada agensi terlibat.

“Selain itu Kerajaan Negeri juga mempertimbangkan cadangan menaik taraf rizab jalan sedia ada ke Bukit Broga,” katanya lagi.

Terdahulu, Bukit Broga diteroka secara haram oleh sebuah agensi Kerajaan Persekutuan bagi projek penanaman pokok getah.

Akibat penerokaan haram itu, cerun bukit terbabit ditarah dan dijadikan teres untuk projek penanaman pokok getah.

Categories
SELANGOR

Pengalaman, persediaan faktor kebakaran hutan dipadam awal

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LANGAT, 18 OGOS: Pengalaman lalu dan persiapan awal merupakan faktor utama kebakaran membabitkan kawasan seluas 235 ekar Hutan Simpan Kuala Langat Utara berjaya dikawal dan dipadam lebih cepat berbanding kejadian pada 2015.

Exco Pelancongan, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong, berkata kebakaran yang bermula pada 3 Ogos itu ditamatkan petang semalam iaitu selepas 13 hari operasi pemadaman dijalankan sejak 4 Ogos lalu.

“Ada beberapa faktor, antaranya pelan tindakan lebih berkesan dan kelengkapan lebih baik berbanding 2015 di mana pada masa itu kita tiada ‘tube weld’, sumber air agak sukar berbanding sekarang kita cepat dapat air untuk membuat pemadaman dan membanjirkan kawasan ini.

KEBAKARAN“Kali ini kita juga dapat memastikan tahap air yang tinggi. Pada 2015 mengambil masa lebih kurang 45 hari dengan kekuatan anggota kira-kira 1,000 daripada pelbagai agensi termasuk lebih 300 anggota PBPM daripada pelbagai negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mendengar taklimat Timbalan Ketua Zon Selangor Selatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Abu Bakar Kadir ketika melawat operasi memadam kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Utara di sini, semalam.

Katanya, selain usaha pemadaman secara terus, kaedah ‘fire break’ atau peparitan juga berkesan menghentikan api merebak, empat buah ‘tube weld’ untuk mengepam air bawah tanah bagi membanjiri permukaan tanah dan mengairi peparitan yang dibina, dron dan pengeboman air selama enam jam.

Jelas Elizabeth Wong, pada 2016 tiada kebakaran hutan dicatatkan ekoran penggunaan kaedah sama.

KEBAKARAN 1Katanya lagi, operasi diketuai JBPM itu dijalankan selama 24 jam tanpa henti dengan melibatkan lebih sembilan agensi kesemuanya.

Selain JBPM, agensi lain terlibat adalah adalah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Mineral dan Geosains, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Parit dan Saliran (JPS), Gamuda dan lain-lain.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jaga tanah atau berdepan tindakan tegas

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 11 OGOS: Semua pemilik tanah lot di kawasan berhampiran Hutan Simpan Raja Musa digesa menjaga tanah mereka dengan baik atau berdepan tindakan tegas.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, tindakan serius larangan pembakaran terbuka sentiasa diteruskan dan sesiapa yang terbabit boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 serta penjara lima tahun.

Katanya, langkah itu bagi bagi mengelakkan insiden sama terus berulang.

“Semua pemilik tanah tidak kira di Bestari Jaya atau seluruh negeri harus ingat larangan pembakaran terbuka masih dikuatkuasakan.

“Jika ingkar, tindakan tegas akan diambil sekali gus kes ini dibawa ke mahkamah untuk tindakan lanjut,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian mengulas insiden kebakaran di Hutan Simpan Raja Musa, Bestari Jaya, pada Ahad lalu di kompartment 100,101 dan 102 seluas 120 hektar.

elizabeth-wong-2Pada masa sama, Elizabeth berkata, tindakan awal dan penyelarasan mantap daripada Unit Bencana Negeri berjaya mengawal dan memadam api dalam masa singkat.

“Siasatan awal Unit Bencana Negeri mendapati ia berpunca di tanah lot berdekatan dengan Hutan Simpan Raja Musa.

“Ekoran keadaan kering dan angin kuat ketika itu, maka ia merebak kepada kawasan hutan simpan dengan cepat. Ketika ini, hanya tinggal 20 peratus sahaja masih terdapat tompok pembakaran,” katanya.

Sementara itu, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri akan meneruskan program pemuliharaan sebaik musim kemarau tamat di Semenanjung.

Katanya, dijangkakan 20,000 pokok hutan akan ditanam di Hutan Simpan Raja Musa.

“Kawasan terbakar itu sedang menjalankan aktiviti pemuliharaan sebelum ini, justeru program ini akan diteruskan sebaik tamat musim kemarau,” katanya.

Categories
SELANGOR

Tak setuju pelaksanaan Cukai Pelancongan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 JULAI: Selangor sama sekali tidak bersetuju dengan pelaksanaan Cukai Pelancongan dicadang Kerajaan Persekutuan kerana bakal membawa lebih banyak impak negatif terhadap ekonomi serta sektor pelancongan.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Elizabeth Wong berkata, pelaksanaan cukai itu memberi kesan kepada terhadap jualan bilik hotel bertaraf empat dan lima bintang.

Katanya ia juga menyebabkan kenaikan kos lawatan melancong, seterusnya membantutkan perkembangan pelancongan di Selangor.

“Kerajaan Persekutuan dianggarkan bakal mengutip RM654.6 juta setahun hasil Cukai Pelancongan tetapi ke mana ia akan dibelanjakan masih kabur.

“Sehingga kini, kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) lebih RM41 bilion setahun juga masih gagal dipastikan ke mana ia dibelanjakan,” katanya pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han berhubung pendirian Kerajaan Negeri berhubung cukai berkenaan.

Elizabeth berkata, Kerajaan Persekutuan seharusnya memberikan jaminan bahawa hasil dikutip disalur terus bagi membina atau menambah baik infrastruktur pelancongan.

“Kerajaan Negeri syorkan semua hasil dikutip Jabatan Kastam daripada hotel di Selangor disalurkan semula kepada Kerajaan Negeri untuk membantu secara langsung sektor perhotelan dan pelancongan negeri ini,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

RM1.87 juta kutipan beg plastik caj RM0.20 sen

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 JULAI : Sebanyak RM1.87 juta dikutip peniaga seluruh negeri berhubung pelaksanaan caj RM0.20 sen penggunaan beg plastik di Selangor.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna , Elizabeth Wong berkata, jumlah itu melibatkan kutipan peniaga yang memfailkan laporan perniagaan kepada Kerajaan Negeri bagi tempoh sehingga Mei lalu.

“Setakat Mei, sebanyak RM1,871,547.55 berjaya dikutip peniaga seluruh negeri yang menghantar laporan kutipan caj RM0.20 sen beg plastik itu.

“Sementara itu, jumlah perolehan peratusan kutipan daripada cas berkenaan di pasaraya adalah 63.98 peratus dan premis makananan sebanyak 36.02 peratus,” katanya.

bebas-plastikPada masa sama, Elizabeth berkata, Kerajaan Negeri sudah membelanjakan RM213.678.30 bagi perbelanjaan kempen larangan penggunaan beg plastik sejak ia mula dilancarkan, awal tahun lalu.

Katanya, ia melibatkan jumlah perbelanjaan media sosial, pembelian poster pelbagai bahasa, pembelian banting untuk kempen dan pemberian beg percuma sebagai langkah promosi.

Dalam perkembangan sama, Kerajaan Negeri menggalakan peniaga dan persatuan niaga yang mengeluarkan caj beg plastik menghantar laporan peniagaan kepada Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri setakat ini tidak ada perancangan menghukum peniaga yang tidak membuat pendaftaran.

“Namun, untuk tempoh jangka panjang, peniaga gagal hantar laporan itu akan menghadapi kesukaran apabila memperbaharui lesen perniagaan,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Baru, Lee Kee Hiong, pada persidangan penggal kelima Dewan Negeri Selangor ke 13, pagi ini.

Selangor memperkenalkan larangan penggunaan beg plastik dengan mengenakan bayaran 20 sen bagi setiap beg plastik sebagai inisiatif mendidik masyarakat awam mencintai persekitaran hijau.

Kutipan 20 sen berkenaan disalurkan kepada badan kebajikan atau program kepenggunaan serta pemuliharaan alam sekitar.

Categories
SELANGOR

Elizabeth gesa Noh profesional, jangan suka fitnah

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 9 JUN: Tuduhan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berhubung tapak pelupusan sampah haram di Sungai Merab, Sepang ternyata tidak berasas dan berniat jahat.

Exco Pelancongan, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, Unit Bencana Negeri sudah menyelaras dan membantu bomba di tapak berkeluasan tiga ekar itu sejak Mei lalu.

Katanya, ia dilaksanakan menerusi Operasi Bersepadu melibatkan pelbagai agensi seperti Majlis Perbandaran Sepang (MPSP), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Seramai 80 pegawai terlibat dalam operasi ini dan RM360,000 dibelanjakan menyewa jentera, pam, kemudahan tandas bergerak, mesin penggali dan bahan pemadam khas PeatFireX.

Sampah Haram“Jabatan Alam Sekitar Selangor (JAS) juga sudah membuka kertas siasatan dan diserahkan kepada kepada Kamar Peguam Negara untuk semakan bagi membuat dakwaan ke atas pemilik tanah.

“Pada 26 Mei lalu, Operasi Bersepadu ditamatkan namun sehingga hari ini (semalam) Unit Bencana Negeri masih memantau keadaan di sana setiap hari,” katanya dalam kenyataan.

Elizabeth berkata, tiada pembuangan sampah berlaku di tapak berkenaan sejak Mei lalu tetapi pada 3 Jun lalu terdapat sisa pembakaran bawah tanah berlaku namun berjaya dikawal dan dipadam agensi terlibat.

Katanya, Kerajaan Negeri juga sudah merangka penyelesaian jangka pendek dan panjang termasuk pengeluaran Borang 7A kepada pemilik tanah bagi mewajibkannya membersih dan memulihkan keadaan lot berkenaan.

“Jika pemilik tanah enggan bertindak, Kerajaan Negeri akan merampas tanah lot itu selain pada masa sama berharap Pejabat Peguam Negara membawa kes ini ke mahkamah secepat mungkin,” katanya.

elizabeth-wong-2Elizabeth turut menasihati Noh untuk merujuk Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemulihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berhubung isu tapak pelupusan sampah haram bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Saya juga menasihatkan Noh untuk mengubah sikapnya yang terlalu suka memfitnah Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Beliau perlu bertindak dengan lebih profesional sesuai dengan statusnya sebagai seorang menteri kabinet,” katanya.

Pada 7 Mei lalu, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang dilapor menempelak Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang didakwa berdiam diri berhubung isu tapak pelupusan sampah haram itu.

Categories
SELANGOR

Penggunaan beg plastik catat penurunan hingga 50%

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 9 JUN: Penggunaan beg plastik di pasaraya dan premis perniagaan lain di Selangor mencatatkan pengurangan sehingga 50 peratus sejak Kempen Bebas Beg Plastik dan Polistirena bermula 1 Januari lalu.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, Kerajaan Negeri mensasarkan pengurangan antara 60 hingga 70 peratus pada 2018 nanti.

“Ini pencapaian yang bagus tetapi Kerajaan Negeri akan menggiatkan lagi kempen ini untuk mengurangkan penggunaan beg plastik.

“Kita juga mendapat persetujuan menjalankan kaji selidik tambahan bagi melihat kekangan, reaksi dan bagaimana kita boleh menambahbaik lagi kempen ini,” katanya.

elizabeth-wongElizabeth Wong berkata demikian pada program Pelancaran Kempen #BebasPlastik @ Bazar Ramadan Cyberyjaya Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) di Lingkaran Cyberpoint Barat, Cyberjaya di sini, semalam.

Jelasnya, kejayaan itu dicapai ekoran kerjasama semua pihak khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kesedaran pengguna sendiri.

Katanya, Kempen Bazar Ramadan Mampan diadakan itu turut menjadi landasan terbaik mendidik kesedaran kepada pengguna tentang kepentingan memelihara alam sekitar.

“Pada Kempen Bazar Ramadan Mampan kita mendidik pengguna dan peniaga bazar supaya tidak membazir makanan, jangan buang minyak masak untuk kitar semula, jangan guna polistrin dan menggunakan beg sendiri,” katanya lagi.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Dato’ Puasa Md Taib pula berkata, Majlis Perbandaran Sepang juga akan menempatkan pembekal beg kitar semula dengan harga yang murah di semua tapak pasar malam, pasar pagi untuk memudahkan orang ramai membeli beg kitar semula.

“Kadang-kadang mereka terlupa, jadi kita sediakan supaya mereka boleh beli. Kita harap amalan membawa beg plastik dan bekas makanan sendiri akan menjadi budaya masyarakat kita,” katanya.