Categories
AGENDA NASIONAL

Penumpang dihalang naik pesawat tidak mohon kebenaran imigresen

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Kes sekumpulan penumpang yang tidak dibenarkan menaiki pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu lepas (12 Sept) kerana tidak membuat permohonan ke luar negara dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata penumpang terlibat didapati mempunyai rekod pergerakan masuk ke Malaysia dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mereka yang ditahan ketika berada (di balai berlepas) itu melibatkan individu rakyat Malaysia pemegang pas pemastautin tetap (PR) luar negara atau mereka yang bekerja di luar negara yang pulang dalam tempoh PKP, dan ingin pergi semula ke luar negara,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Katanya, ada dalam kalangan penumpang berkenaan baru pulang ke Malaysia dalam tempoh sebulan lepas dan ingin terbang semula ke keluar negara atas alasan bekerja.

“Oleh itu, individu yang hendak ke luar negara, wajib memohon kelulusan daripada pihak imigresen dahulu,” katanya menambah syarat ini bertujuan mengelak rakyat Malaysia yang bekerja atau menetap di luar negara keluar dan masuk ke Malaysia sesuka hati, ketika negara masih berdepan penularan wabak Covid-19.

Pada 12 Sept lepas, JIM mengumumkan garis panduan dan syarat terbaharu bagi rakyat Malaysia yang ingin keluar dan masuk ke dalam negara sehingga berakhirnya tempoh PKP Pemulihan (PKPP) 31 Dis ini.

Garis panduan itu memaklumkan beberapa kategori terlibat dalam garis panduan itu, antaranya golongan yang tidak perlu memohon kelulusan, perlu memohon kelulusan dan tidak dibenarkan keluar negara serta tatacara untuk masuk semula ke Malaysia.

Media sebelum ini melaporkan terdapat sekumpulan rakyat tempatan terkandas di KLIA, Sabtu lepas kerana tidak dibenarkan ke luar negara walaupun mendakwa diri mereka tergolong dalam kumpulan yang dibenarkan ke luar negara tanpa memohon kelulusan berdasarkan garis panduan terbaharu itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada halangan warga asing ingin pulang ke negara asal

PUTRAJAYA, 5 OGOS: Tiada sebarang halangan untuk mana-mana warga asing yang ingin pulang ke negara asal sekiranya mereka tidak termasuk golongan tinggal lebih masa.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata kebenaran itu diberikan kepada mereka yang tamat Pas Lawatan Sosial (PLS) sejak Januari tahun ini.

“Namun bagi mereka yang telah tinggal lebih masa sejak tahun lepas, golongan ini akan dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM1,000.

“Mereka perlu datang ke jabatan imigresen untuk mendapatkan pas khas dan membayar kompaun RM1,000 jika mereka tinggal lebih masa selama setahun. Dibayar oleh mereka sendiri,” katanya kepada pemberita dalam sidang media khas di sini hari ini.

Beliau juga berkata sekiranya warga asing itu didapati tinggal melebihi tempoh setahun, maka mereka akan dikenakan bayaran maksimum RM3,000.

“Kompaun maksimum ialah RM3,000 kalau lebih setahun. Jika mereka tinggal melebihi tempoh setahun, kompaun maksimum ialah RM3,000,” katanya.

Pada Jun lepas, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memutuskan warga asing yang pas lawatan sosialnya tamat tempoh semasa PKP boleh ke Jabatan Imigresen untuk mendapatkan lanjutan tempoh.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagi warga asing yang pas lawatan sosial tamat tempoh ketika PKP Pemulihan (PKPP) pula, mereka boleh terus ke lapangan terbang untuk pulang ke negara masing-masing dalam tempoh 14 hari dari tarikh PKPP tamat.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin semasa sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat berkata ketua pengarah imigresen boleh menggunakan perundangan sedia ada untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana warga asing yang ‘tidak dikehendaki’ di Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Laporan audit kesan 214,398 warga asing tiada rekod keluar

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Seramai 214,398 warga asing didapati tidak mempunyai rekod keluar dari Malaysia setakat 15 April lepas, demikian Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 3 yang dibentangkan di Parlimen hari ini.

Ini berikutan, Sistem MyIMMs (Sistem Imigresen Malaysia) tidak dapat mengesahkan pergerakan mereka kerana berlaku masalah kegagalan sistem sebanyak 4,489 kali bagi tempoh 2016 hingga 2018.

“Pada pendapat Audit, sistem MyIMMs yang kerap downtime (masa rosak) dan berlakunya isu teknikal pengoperasian sistem boleh menjejaskan integriti data bagi rekod pergerakan keluar/masuk di pintu sempadan negara,” menurut laporan itu.

Laporan itu berkata terdapat 29 patch on sistem lain yang berurusan dengan sistem MyIMMs menyebabkan sistem menjadi tidak stabil.

Berikutan ketidakstabilan itu, terdapat data dimasukkan oleh pegawai seperti pengesahan keluar/masuk di pintu masuk tidak dapat direkodkan oleh sistem atau tidak dapat diintegrasikan dengan sistem MyIMMs.

“Antara faktor warga asing yang masuk ke Malaysia tetapi tiada rekod keluar adalah kerana sistem mengalami masalah integrasi yang menyebabkan berlakunya isu teknikal pengoperasian sistem,” kata laporan itu.

Laporan itu juga mendapati daripada jumlah 214,398 warga asing berkenaan, seramai 5,750 orang disahkan keluar dan 8,404 orang memiliki pas jangka panjang seperti Pas Lawatan Ikhtisas, Pas Lawatan Kerja Sementara, Pas Pelajar dan Pas Residen.

Selain itu, seramai 1,765 orangdiambil tindakan oleh unit penguatkuasaan manakala bagi baki selebihnya seramai 198,479 warga asing tiada rekod keluar.

“Selain itu, sistem berkenaan juga tidak dapat melaksanakan proses padanan data bagi setiap pelawat sekiranya pelawat tersebut tidak melakukan pergerakan keluar/masuk berulang kali setiap hari (pelawat sempadan),” menurut laporan berkenaan.

Menurut laporan itu, Jabatan Imigresen melaksanakan langkah penambahbaikan bermula Mac tahun ini bahawa proses padanan data dilaksanakan pada bila-bila masa.

Semakan Audit selanjutnya, mendapati daripada 214,398 rekod warga asing berkenaan, pihak Audit memilih 300 warga asing sebagai sampel.

“Berdasarkan sampel itu, selain daripada tiada rekod keluar, pihak Audit turut mendapati warga asing berkenaan tinggal di Malaysia melebihi tempoh dibenarkan iaitu dari 121 hingga 1,087 hari.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

KPN: 372 tekong ditahan dalam Op Benteng

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Polis menahan 372 tekong yang terbabit dalam penyeludupan pendatang asing tanpa izin ke negara ini sejak Op Benteng dilaksanakan pada Mei lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata daripada jumlah itu, 80 kertas siasatan yang lengkap dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan.

“Sebanyak 80 tekong didakwa dalam masa terdekat,” katanya selepas menghadiri majlis serah terima tugas antara Timbalan Pengarah JSJK Datuk Saiful Azly Kamaruddin yang dilantik sebagai Pemangku Pengarah JSJK dengan Pengarah JSJK Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad yang bersara wajib Ahad ini (28 Jun).

Op Benteng diaktifkan sejak Mei di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia, polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Mengenai penahanan tiga pegawai Imigresen yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan warga asing di Johor, beliau berkata polis akan menjalankan siasatan dengan meneliti daripada setiap sudut.

“Terdapat beberapa dakwaan mengatakan pegawai itu tidak bersalah kerana pas lawatan atau pasport individu berkenaan sukar untuk diperbaharui berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Namun, risikan yang diterima mendapati mereka ini memberi laluan mudah dengan licik kepada pendatang asing masuk ke negara ini,” kata Abdul Hamid.

Selasa lepas, seorang pegawai kanan dan dua pegawai Jabatan Imigresen berusia 30 hingga 48 tahun ditahan di Terminal Feri Pasir Gudang, Johor Bahru.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tindakan tegas jika terlibat seludup warga asing

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Jabatan Imigresen tidak berkompromi dan melindungi pegawai dan anggotanya yang didapati bersekongkol dengan tekong atau orang tengah dalam sindiket penyeludupan warga asing.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pegawai dan anggota yang terlibat akan dikenakan tindakan tegas kerana terbabit dengan aktiviti menyalahi undang-undang itu.

“Imigresen sentiasa menjalinkan kerjasama baik dengan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memastikan pegawai dan anggota tidak menyalahgunakan kuasa yang diberikan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penahanan tiga pegawai Imigresen di Johor semalam yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan warga asing.

Khairul Dzaimee berkata pihaknya akan memberikan kerjasama penuh kepada polis serta yakin siasatan yang adil dan profesional akan dijalankan.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya sentiasa mengadakan kursus, kempen serta program-program berkaitan antirasuah bagi memastikan integriti setiap pegawai dan anggota berada di tahap tertinggi.

“Sebagai jabatan yang bertanggungjawab mengawal pintu masuk negara dan menguruskan hal ehwal warga asing, setiap pegawai sentiasa dinasihatkan agar tidak sama sekali menyalahgunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Imigresen,” katanya.

Semalam, polis menahan seorang pegawai kanan dan dua pegawai Imigresen berusia 30 hingga 48 tahun yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan warga asing di Terminal Feri Pasir Gudang, Johor.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dilapor berkata , sindiket berkenaan disyaki menyediakan perkhidmatan cap keluar masuk Jabatan Imigresen palsu untuk kegunaan warga asing yang menggunakan pas lawatan sosial tamat tempoh sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ekspatriat pengurusan tertinggi dibenar masuk Malaysia mula 24 Jun

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Ekspatriat kategori EP1 melibatkan pengurusan tertinggi dibenarkan masuk ke Malaysia mulai Rabu ini (24 Jun), kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata individu dalam kategori EP1 seperti pengarah urusan syarikat dibenarkan masuk ke negara ini secara automatik tanpa perlu mendapat kelulusan awal daripada Jabatan Imigresen.

“Apabila mereka ini tiba di Malaysia, pihak Imigresen akan membuat semakan terhadap pas ekspatriat sebelum mereka dibenarkan masuk.

“Selain itu, ekspatriat daripada kategori EP1 ini perlu memuat turun aplikasi MySejahtera serta menjalani ujian saringan Covid-19 melalui pengambilan swab,” katanya kepada Bernama hari ini.

Khairul Dzaimee berkata demikian mengulas berhubung keputusan kerajaan yang kini membenarkan ekspatriat kategori EP1 masuk ke Malaysia.

Dalam pada itu, beliau berkata pelajar tempatan yang ingin ke luar negara bagi tujuan menyambung pengajian juga dibenarkan berbuat demikian tanpa perlu mendapatkan kelulusan awal Jabatan Imigresen mulai Rabu ini.

“Pelajar hanya perlu mengemukakan dokumen sokongan semasa berurusan di kaunter Jabatan Imigresen,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata pihaknya akan terus memantau kemasukan warga asing di pintu-pintu masuk utama negara bagi mengelak pembolosan terutama ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan kini membenarkan ekspatriat melibatkan pengurusan tertinggi masuk ke Malaysia tanpa perlu memohon kebenaran Jabatan Imigresen.

Ismail Sabri berkata mereka perlu menjalani ujian saringan Covid-19 di negara asal sebelum berlepas ke Malaysia atau menjalani saringan sejurus tiba di pintu masuk negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Sistem ‘autogate’ di pintu masuk negara ditutup sementara

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Penggunaan sistem ‘Autogate’ dan ‘E-gate’ di semua pintu masuk seluruh negara ditutup sementara bermula semalam sebagai langkah menangani penularan jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud bagaimanapun berkata tindakan itu tidak akan menjejaskan kemasukan pelancong ke dalam negara ini.

“Ya (autogate) ditutup sementara dan ia tidak jejaskan kemasukan. Ia (penutupan) untuk tujuan kawalan yang lebih ketat dalam menangani penularan virus Covid-19 dan kita akan sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam isu itu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tentang surat arahan Jabatan Imigresen Malaysia kepada Pengarah Imigresen Negeri yang tular di media sosial dengan meminta mereka menutup sementara penggunaan sistem ‘Autogate’ dan ‘E-gate ekoran penyakit itu.

Hari ini Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat 14 kes baharu Covid-19 lagi dikesan, menjadikan jumlah kes positif di Malaysia meningkat ke 50 kes.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Halang tugas anggota Imigresen, dua lelaki ditahan

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Dua lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan insiden anggota penguat kuasa Imigresen yang dihalang daripada melakukan operasi di kawasan peniaga haram di Batu Caves dekat sini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata seorang individu berusia 47 tahun ditahan pada 7 malam semalam (Sabtu) manakala seorang lagi, yang berumur 56 tahun, diberkas kira-kira 12.30 tengah malam di sekitar Batu Caves.

“Kedua-dua mereka direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

Jumaat lepas, tular di media sosial yang memaparkan kira-kira 50 anggota penguat kuasa Imigresen Selangor dihalau keluar sekumpulan individu dari kawasan peniaga haram dipercayai dikendalikan warga asing di Batu Caves.

Arifai berkata pihaknya telah menerima dua laporan daripada pihak Imigresen serta satu laporan daripada individu yang dipercayai terlibat dalam insiden itu.

Insiden itu turut mendapat perhatian Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan bahawa perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada aspek keselamatan negara, malah mengganggu peniaga tempatan menjalankan aktiviti harian mereka.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Imigresen lapor polis dihalang tugas di Batu Caves

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Jabatan Imigresen akan membuat laporan polis susulan anggota penguat kuasanya di Selangor dipercayai dihalau daripada melakukan tugas operasi di kawasan peniaga haram di Batu Caves, di sini, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pihaknya memandang serius tindakan provokasi itu dan menganggap ia sebagai perbuatan menghalang tugas penjawat awam.

“Satu laporan polis akan dibuat oleh pejabat Imigresen Selangor…dalam perkara ini, Imigresen tidak gentar dengan sebarang tindakan provokasi oleh pihak-pihak yang melindungi pendatang tanpa izin di negara ini.

“Tindakan berundur yang diambil adalah bertujuan untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Sementara itu dalam perkembangan terbaru, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe memaklumkan pihaknya menerima dua laporan daripada Imigresen serta satu laporan daripada individu dipercayai terlibat dalam insiden berkenaan petang semalam.

“Polis menerima laporan daripada Jabatan Imigresen pada 2 petang dan 2.15 petang tadi (semalam), manakala seorang individu tempatan dipercayai peniaga di perkarangan kuil di situ turut membuat laporan pada 2.30 petang bagi menafikan perbuatan menghalang penjawat awam semasa kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Keterangan kesemua pihak yang membuat laporan itu diambil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186/506 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta melakukan ugutan jenayah.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menular atau menyebarkan berita yang tidak benar demi keharmonian pelbagai kaum dan sensitiviti masyarakat sentiasa terjamin.

Kelmarin, tular di media sosial kira-kira 50 anggota penguat kuasa Imigresen Selangor dihalau keluar dari kawasan peniaga haram dari India dan Pakistan oleh Ahli Jawatankuasa Kuil Batu Caves.

Selain itu, mereka juga dicemuh dengan bahasa kesat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

44,941 pelawat asing dilarang masuk Malaysia sehingga Oktober

PUTRAJAYA, 28 NOV: Seramai 44,941 pelawat asing dikenakan arahan Notis Penolakan Masuk (NTL) dari 1 Januari hingga 31 Oktober tahun ini, kerana tidak memenuhi syarat kemasukan, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Daripada jumlah itu, seramai 20,676 orang adalah pelawat asing dari Indonesia, 6,398 dari India, 4,793 dari China, 3,155 dari Bangladesh, 2,445 dari Myanmar dan selebihnya dari negara lain, katanya.

Ketika gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ogos lalu, Khairul Dzaimee berkata seramai 365 pelawat asing telah dikenakan arahan NTL kerana tidak memenuhi syarat kemasukan.

“Semasa gangguan sistem di KLIA, JIM (Jabatan Imigresen Malaysia) mengambil segala langkah kawalan yang ketat, sepanjang tempoh gangguan tersebut bagi memastikan kawalan pintu masuk negara tidak dibolosi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata JIM tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan dan kedaulatan pintu masuk negara dimana tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pelawat asing yang meragukan, atau tidak memenuhi syarat kemasukan di pintu masuk negara.

Beliau berkata pelawat asing yang mempunyai visa ataupun dokumen yang lengkap, tetap akan disemak secara mendalam dan tepat oleh pegawai imigresen, sebelum dibenarkan memasuki negara ini.

Semua pelawat asing perlu mematuhi peraturan dan memenuhi syarat kemasukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan imigresen, dan jika tidak dipatuhi akan dikenakan arahan NTL, katanya.

Ia adalah mempunyai tiket pulang, tempahan penginapan, pasport yang sah dan belum tamat tempoh, tidak berada dalam senarai hitam, bukti pembiayaan mencukupi semasa berada di negara ini dan visa bagi pelawat dari negara yang memerlukan, untuk ke negara ini, katanya.

Khairul Dzaimee berkata bagi memastikan tahap kawalan dan keselamatan pintu masuk negara, Kementerian Dalam Negeri memperuntukkan RM20 juta untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) bermula 1 Januari 2020.

JIM juga memperluaskan integrasi sistem pengkalan data Dokumen Perjalanan Hilang dan Curi (SLTD) bagi memastikan data pasport yang dilaporkan hilang, dikongsi ke seluruh dunia dan dapat dikesan, sekiranya cuba digunakan di pintu masuk seluruh dunia.

SLTD juga dapat menghalang penyalahgunaan pasport yang dilaporkan hilang atau dicuri, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerjasama Malaysia-Indonesia tangani isu PATI

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Jabatan Imigresen Malaysia dan Indonesia mengadakan mesyuarat dua hala bagi menangani isu berkaitan pendatang tanpa izin di kedua-dua negara.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pertemuan kali kedua di Kuching, Sarawak itu turut dihadiri Ketua Pengarah Imigresen Indonesia, Ronny Franky Sompie dan disertai delegasi terdiri daripada pegawai kanan dari kedua-dua negara.

“Mesyuarat ini merupakan satu medium dan platform bagi merapatkan hubungan antara agensi dan membincangkan isu-isu berkaitan imigresen dan operasi seharian yang memerlukan kerjasama dari kedua-dua negara.

“Antara fokus utama perbincangan adalah isu berkaitan kawalan sempadan dan pengurusan dokumen perjalanan. Kesepakatan dalam pengurusan kawalan sempadan dan pergerakan keluar masuk antara kedua negara amat penting bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan sempadan negara tidak dibolosi, dan setiap isu dapat diselesaikan melalui diplomasi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata turut dibincangkan adalah mengenai pengurusan pendatang tanpa izin merangkumi isu penguatkuasaan, dokumentasi dan pengurusan depot tahanan serta pengusiran.
 
“Selain itu, isu pemerdagangan manusia dan sindiket berkaitan juga dibincangkan agar jenayah rentas sempadan ini dapat dibanteras melalui tindakan bersama yang lebih berkesan.

“Isu sempadan, kawalan pergerakan keluar masuk dan isu keselamatan juga dibincangkan iaitu mengenai langkah membantu mempercepatkan pengurusan penghantaran pulang warga Indonesia dari Malaysia,” katanya.

Beliau berkata  mesyuarat juga membincangkan berhubung kerjasama strategik yang dapat dijalankan pada masa akan datang termasuk program latihan bersama bagi meningkatkan lagi kesepakatan dan kerjasama erat sedia ada.

“Pertukaran latihan dan perkongsian maklumat secara strategik bukan saja dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dari aspek pembangunan kapasiti malahan dapat membantu meningkatkan kecekapan dalam pengurusan warga asing di negara masing-masing,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

‘Pelajar asing tanpa izin’ diserbu imigresen

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Mengaku sebagai pelajar tetapi pasport mereka disimpan pihak universiti, merupakan alasan kebanyakan warga asing yang diperiksa dalam serbuan di sebuah kondominium di Bandar Saujana Putra, Selangor, bagi mengelakkan ditahan pihak berkuasa kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, awal pagi tadi.

Dalam serbuan bemula 1 pagi itu, seramai 45 warga asing ditahan, terdiri daripada warga Nigeria (20 orang), Guinea (10), Somalia (5), Yaman (4), Bangladesh (3) serta masing-masing satu dari Libya, Uganda dan Maldives.

Ketua Operasi Jabatan Imigresen Malaysia Selangor Mohamad Rahmat Abdul Manap berkata daripada 181 warga asing yang diperiksa, mereka yang ditahan terdiri daripada 31 lelaki dan 14 wanita, yang sebilangan besar mereka masuk ke negara ini menggunakan visa pelajar.

“Mereka ini menggunakan alasan pihak universiti menahan pasport mereka, kerana gagal menjelaskan yuran dan ada juga yang mengakui, mereka dalam proses lanjutan pengajian.

“Ada juga antara mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen perjalanan diri, tinggal lebih masa dan salah guna pas,” katanya kepada pemberita selepas operasi tamat kira-kira 4 pagi.

Tambahnya lagi, pihaknya akan mendapatkan kerjasama daripada institusi pengajian yang berkaitan, bagi mendapatkan pengesahan kepada dakwaan warga asing yang mengakui diri mereka pelajar.

Mohamad Rahmat berkata ketika operasi, anggotanya terpaksa memecahkan pintu rumah yang didiami warga asing itu, kerana keengganan mereka untuk bekerjasama.

Katanya mereka telah melakukan risikan selama dua minggu, sebelum menjalankan operasi yang melibatkan 68 anggota Jabatan Imigresen Selangor.

Tambahnya, kesemua mereka berusia dalam lingkungan 18 hingga 40 tahun dibawa ke bahagian penguatkuasaan Imigresen Selangor, untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Depot Tahanan di Semenyih.

-BERNAMA