Categories
GLOBAL

Trump, Macron bincang isu nuklear Iran

WASHINGTON 25 APR: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan rakan sejawatannya, Presiden Perancis, Emmanuel Macron menyeru satu perjanjian baharu mengenai nuklear ditandatangani dengan Iran.

Trump menganggap perjanjian sebelum ini yang bertujuan membendung program nuklear Iran sebagai tidak masuk akal, sebaliknya beliau mahu perjanjian baharu bagi mengehadkan program peluru berpandu Iran, termasuk sokongan terhadap kumpulan militan di Asia Barat.

“Saya fikir kita mempunyai peluang untuk mengadakan perjanjian yang lebih baik dan ia perlu dilaksanakan atas landasan yang lebih kukuh.

“Perjanjian ini perlu merangkumi Yaman, Syria dan bahagian lain di Asia Barat, kerana tidak kira di mana sahaja kamu berada, kamu boleh lihat jejak Iran, di sebalik segala masalah di Asia Barat,” katanya.

Sementara itu, Macron dalam sidang media bersama di sini, berkata beliau tidak mengetahui sama ada Washington akan mengelak daripada menandatangani perjanjian nuklear menjelang tarikh akhir pada 12 Mei ini.

“Apa yang boleh saya katakan, kami memang berbincang mengenai perkara ini (perjanjian nuklear), hanya kami berdua,” katanya.

Sejak beberapa bulan lalu, pegawai kanan Amerika Syarikat dan Eropah mengadakan perbincangan bagi mencapai kata sepakat selepas Trump mendesak supaya perjanjian itu digubal semula.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Israel mengaku serang loji nuklear Syria

GLOBAL 21 MAC: Tentera Israel mengaku buat kali pertama bertanggungjawab di atas serangan udara 2007 ke atas reaktor nuklear Syria.

Pengakuan itu, bersama-sama dengan penyiaran bahan yang baru didedahkan berkaitan serangan berkenaan dibuat ketika Israel meningkatkan amaran berhubung kehadiran musuh utamanya, Iran, di Syria.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, juga berulang kali menggesa perjanjian nuklear antara kuasa dunia dan Iran diubah atau dihapuskan.

Presiden Donald Trump, yang bertemu Netanyahu di Rumah Putih bulan lalu, berkata perjanjian nuklear perlu ditetapkan pada 12 Mei ini atau Amerika Syarikat menarik diri.

Jurucakap tentera Israel enggan memberi kenyataan kepada persoalan berkaitan pengakuan dan penyiaran dokumen, termasuk berhubung masa, yang dilihat sebagai amaran berhubung aktiviti Iran.

Bahan yang didedahkan itu termasuk rakaman serangan, video ucapan Ketua Turus Staf, Gadi Eisenkot, mengenai operasi itu dan gambar risikan rahsia mengenai lokasi.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

AS, Rusia bertelagah isu Iran

NEW YORK 6 JAN: Amerika Syarikat dan Rusia bertelagah berhubung Iran di Majlis Keselamatan semalam ketika perhimpunan prorejim diadakan hari ketiga berturut-turut susulan gelombang bantahan yang sudah meragut 21 nyawa.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley, menggesa mesyuarat diadakan, menegaskan ketegangan boleh merebak menjadi konflik lebih besar dan membandingkan keadaan itu dengan Syria.

“Rejim Iran kini berada dalam perhatian: dunia menyaksikan apa yang dilakukan,” katanya.

Sementara Rusia membantah desakan isu Iran dibincangkan, berkata bantahan itu tidak memberi ancaman kepada keamanan dan kestabilan antarabangsa. Namun ia tidak menghalang mesyuarat diadakan.

“Kami kesal dengan kehilangan nyawa dalam demonstrasi itu yang jelas tidak berjalan dengan aman.

“Bagaimanapun, biarkan Iran berurusan dengan masalahnya sendiri,” kata Duta Rusia, Vassily Nebenzia.

Keseluruhannya, 21 maut dan ratusan lagi ditahan sejak 28 Disember lalu apabila tunjuk perasaan berhubung masalah ekonomi bertukar menjadi penentangan terhadap rejim, dengan serangan dilancarkan ke atas bangunan kerajaan dan balai polis.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Turki terus hantar bantuan mangsa gempa bumi Iraq-Iran

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 15 NOV: Pertubuhan Bulan Sabit Merah Turki terus menghantar bantuan kecemasan kepada mangsa terlibat dalam tragedi gempa bumi kuat di Iraq dengan angka korban meningkat kepada lebih 500 mangsa manakala lebih 8,000 cedera.

Agensi Berita Turki ANADOLU NEWS AGENCY melaporkan sembilan trak penuh dengan keperluan seperti selimut, tilam dan pakaian musim sejuk dihantar ke kawasan paling terjejas di sempadan Iraq dan Iran.

Jurucakap rasmi Kerajaan Iran mengumumkan sebanyak 536 kampung musnah dengan kira-kira 12,000 rumah musnah serta menjejaskan sekurang-kurangnya 70,000 penduduk tanpa kediaman.

Gempa bumi pada kekuatan 7.3 magnitud menurut Agensi Geologi Amerika Syarikat berlakiu pada jam 9.48 p.m waktu tempatan pada Ahad dengam pusat gegaran dikesan berhampiran Ezgeleh Iran iaitu 135 batu Utara Baghdad.

Sementara itu, Presiden Iran, Hassan Rouhani, memberi jaminan bantuan segera akan disalurkan kepada semua mangsa gempa bumi.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan beliau yang tiba di Kermanshah dengan menaiki helikopter turut berjanji untuk meningkatkan usaha membantu mangsa yang kehilangan kediaman masing-masing.

“Saya beri jaminan kepada semua mangsa bahawa kerajaan sudah mengerah segala usaha untuk menangani masalah yang timbul secepat mungkin,” katanya.

Hassan berkata, semua bantuan disalurkan menerusi Yayasan Perumahan, iaitu dana amanah yang berperanan penting dalam ekonomi Iran.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Sah mayat pendaki Malaysia

SHAH ALAM, 30 OKT: Mayat yang ditemui pihak berkuasa Iran di kawasan Gunung Damavand, pada petang 27 Oktober lalu disahkan pendaki Malaysia, Ramli Abd Majid yang dilaporkan hilang, sejak 20 November 2016.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Tehran sedang menghulurkan bantuan untuk membawa pulang jenazah ke tanah air.

“Kerajaan Malaysia merakamkan setinggi penghargaan kepada pihak berkuasa Iran di atas usaha mencari dan menyelamat yang dilakukan serta menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa,” menurut kenyataan itu lapor BERNAMA.

Agensi berita Iran, Islamic Republic News Agency (IRNA) melaporkan sekumpulan pendaki menjumpai satu mayat dipercayai rakyat Malaysia ketika mereka menuruni gunung itu pada ketinggian 4,300 meter.

Laporan itu turut menyebut penemuan mayat berkenaan dimaklumkan kepada Jabatan Bulan Sabit Merah di bandar raya Amol di Wilayah Utara Mazandaran yang menghantar pasukan mencari.

Pada November 2016, Ramli yang juga ketua jurutera sistem di Ibu Pejabat Proton Holdings Bhd, Shah Alam, Selangor bersama seorang lagi pendaki Kelab Jelajah Alpine (KJA) Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50, dilaporkan hilang selepas terpisah daripada anggota kumpulan pendaki yang lain.

Pada 28 November 2016, Syed Redzuan ditemukan meninggal dunia di kawasan Yakhar Glacier dan jenazahnya dibawa pulang ke Malaysia.

Categories
SELANGOR

MATTA Fair Selangor sasar 30,000 pengunjung

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 21 MAC : Pameran Persatuan Agensi-agensi Pengembaraan dan Pelancongan Malaysia (MATTA) cawangan Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam selama tiga hari sehingga 23 Mac ini dijangka meraih jualan RM10 juta dengan kehadiran lebih 30,000 pengunjung.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata program MATTA Fair yang dulunya dikenali sebagai Selangor Islamic Travel Fair adalah bertujuan untuk mengetengahkan destinasi pelancongan Islam ke peringkat lebih tinggi.

IMG_1669Katanya, program kali ini turut mendapat kerjasama erat daripada kerajaan Iran yang memberi tumpuan khusus kepada bandaraya Isfahan yang terkenal dengan seni bina dan kraftangan.

“Pelawat ke MATTA Fair bukan sahaja dapat melihat gambar kecantikan negara Iran, tetapi dapat lihat sendiri barangan yang dikeluarkan oleh mereka.

“Ini satu penambahan dan ia akan diteruskan supaya menarik minat rakyat Malaysia terutama di Lembah Klang untuk memilih destinasi pelancongan idaman mereka,” katanya pada Majlis Perasmian MATTA Fair Selangor kali kesembilan di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

IMG_1855Hadir sama, Exco Pelancongan, Elizabeth Wong; Pengerusi Matta Selangor, Datuk Helmi Daud; Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Dani serta beberapa wakil dari negara luar.

Program kali ini menyaksikan ;100 gerai dibuka dengan pembabitan 49 pameran terdiri daripada pelbagai pengusaha pelancongan dan usahawan dalam dan luar negara antaranya Iran, Kuwait, Egypt, Pahang, Selangor dan Sarawak.

Pengunjung yang hadir turut berpeluang mendapatkan pakej Umrah 2014 daripada pengusaha yang bertauliah dan berpengalaman serta berdaftar dengan Kementerian Pelancongan Malaysia.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Kerajaan perlu turun harga bahan api ikut pasaran dunia

ron95

KUALA LUMPUR 31 OKT – Pakatan Rakyat (PR) mempersoalkan tindakan kerajaan menaikkan subsidi bahan api sebanyak RM2.326 bilion dalam pembentangan Belanjawan Negara 2014 kerana kerajaan mensasarkan penjimatan sebanyak RM3.3 bilion tahun hadapan.

Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik, berkata pertambahan subsidi menjadikan jumlah perbelanjaan meningkat kepada RM22.341 bilion, namun hanya RM20.015 diperuntukkan dalam Belanjawan Negara 2013.

“Subsidi minyak untuk tahun depan akan meningkat sebanyak 11.62 peratus iaitu daripada RM20 bilion ditingkatkan kepada RM22 bilion. Harga subsidi minyak perlu ditingkatkan bukan dikurangkan.

“Jadi kita ada persoalan besar, kenapa subsidi perlu meningkat secara mendadak kerana pengumuman Perdana Menteri menjelaskan bahawa RON95 dan Diesel ditingkatkan 20 sen membolehkan penjimatan RM3.3 bilion dicatat tahun 2014, pada September lalu,” katanya pada sidnag media, di Parlimen, di sini, hari ini.

Wei Aik berkata, harga minyak semasa dunia menurun berikutan keredaan krisis di Syria dan Iran ke paras USD102 satu tong dan beliau turut mendesak kerajaan menurunkan harga bahan api selaras dengan penurunan harga pasaran dunia.

“Harga bahan api adalah masalah besar yang membebankan rakyat kerana mereka ingin harga diturunkan bukan semakin bertambah,” katanya.

Antara negara yang mengurangkan harga minyak adalah India, Taiwan, Ghana, Vietnam, Bermuda, Afrika Selatan, Georgia dan China, dalam tempoh hampir tiga bulan lalu. -NFN-