Categories
NASIONAL SELANGOR

Pemberian Kupon Jom Shopping Perayaan Akan Diperluaskan

program jom shoping 01

KLANG 27 JULAI : Pemberian Kupon Membeli Belah bagi Program Jom Shopping sempena perayaan akan diperkembangkan untuk juga semasa perayaan Deepavali dan Tahun Baru Cina.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, untuk program Jom Shopping untuk Perayaan Aidilfitri, setiap DUN diperuntukkan kira-kira 500 kupon membeli belah itu yang akan diberikan kepada keluarga berpendapatan bawah RM1,500.

Beliau berkata demikian semasa Program Jom Shopping yang diadakan di Pasaraya Econsave di sini.

Dalam program itu, seramai 300 keluarga yang berpendapatan bawah RM1,500 terpilih untuk menerima kupon Jom Shopping itu yang bernilai RM100.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengumumkan seramai 28,000 rakyat Selangor yang kurang kemampuan bakal menerima kupon beli belah bernilai RM 100 di bawah Program Jom Shopping sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Bagi program itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM2.8 juta bagi menjayakan usaha tersebut.

Sementara itu, dalam sidang medianya Abdul Khalid menjelaskan beberapa projek untuk memperbaiki aliran trafik di kawasan daerah Klang.

“Untuk jangka panjang kita akan mempertingkatkan aliran trafik yang lebih baik melalui pembinaan jambatan ketiga Klang agar tidak hanya tertumpu di kawasan bandar.

“Kita juga akan meminta agar dipercepatkan pembinaan jalan yang menuju ke Pulau Indah yang akan siap tidak lama lagi dan juga pembinaan jalan Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Klang Barat,” kata Abdul Khalid.

Ujar beliau, beberapa cadangan telah dibuat oleh pihak konsultan yang masih dalam perbincangan agar pihak berkuasa tempatan untuk memperbaiki pengangkutan awam dapat dipertingkatkan.

Ia meliputi kemudahan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dan pengangkutan bas yang lebih berkesan untuk menangani masalah kesesakan jalan raya.

“Bagi mengatasi masalah banjir kita telah melaksanakan kerja-kerja penyelenggaran parit dan longkang agar semasa hujan lebat maka banjir dapat dielakkan,” kata beliau.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Gantung Sementara Semua Projek Prasarana Persekutuan

AES_Grafik_1

SHAH ALAM, 21 FEB : Semua projek prasarana Kerajaan Persekutuan di Selangor, seperti jalanraya dan bangunan, telah digantung buat sementara waktu.

Keputusan itu dibuat Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai respons terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini di dalam kes dua tiang kamera penguatkuasa automatik (AES) yang dipasang di lebuhraya di dalam kawasan Sepang.

” … Kebenaran pembangunan yang telah diberikan kepada jalanraya dan prasarana persekutuan hendaklah digantung buat sementara waktu sehingga proses rayuan selesai,” kata Abdul Khalid di dalam satu kenyataan media.

“Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor untuk menyediakan senarai cadangan pembangunan persekutuan.

?Samada lebuhraya atau Prasarana Transit Aliran Ringat (LRT) untuk disemak semula oleh Majlis Kerajaan Negeri bagi memastikan kepentingan rakyat Selangor dan kerajaan negeri terjamin,? kata Abdul Khalid.

Beliau berkata Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) dan Penasihat undang-undang Negeri Selangor akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.

Ini kerana keputusan itu bermakna pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai kuasa terhadap struktur yang dibina di atas jalan persekutuan.

Sebelum ini Kerajaan Negeri membantah perlaksanaan sistem AES kerana didakwa ia tidak cekap di dalam mengurangkan kadar kemalangan dan hanya membebankan rakyat dengan saman.

Media rasmi Kerajaan Persekutuan Bernama melaporkan bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh dua syarikat yang mengendalikan AES terhadap keputusan MPSp.

Pada awal Disember, MPSp telah merobohkan dua tiang kamera AES yang dipasang oleh Beta Tegap Sdn Bhd di km 301.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan km 6.6 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).

Dalam penghakimannya, hakim Datuk Zaleha Yusof memutuskan bahawa MPSpc tidak mempunyai bidang kuasa ke atas PLUS dan SKVE.

Sehubungan itu membenarkan Beta Tegap memasang kamera AES di dua lebuhraya berkenaan.

Zaleha berkata, PLUS dan SKVE berada dibawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

Categories
SELANGOR

Penumpang LRT Teruja Disapa Menteri Besar

MB Penumpang LRT Teruja Disapa Menteri Besar 02

BANDAR TUN RAZAK 20 FEB : Rata – rata penumpang Stesen Aliran Transit Ringan (LRT) Bandar Tun Razak teruja bertemu dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam program ramah mesra di parlimen terbabit, semalam.

MB Penumpang LRT Teruja Disapa Menteri Besar 04Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak memulakan tinjauan ramah mesra itu bermula jam 5.30 petang sebelum berakhir setengah jam kemudian.

Penumpang LRT pada mulanya terkejut dengan kehadiran pemimpin terbabit yang menunggu mereka di pintu keluar stesen itu bagi menyampaikan cenderahati kepada hampir 100 penumpang.

Norizah Pan Chek, 53, ketika ditemui berkata beliau pada mulanya terkejut dengan kehadiran Menteri Besar itu, namun berasa teruja apabila dapat bertegur sapa dengan pemimpin itu.

Katanya, berasa gembira kerana berkesempatan untuk berbual dengan Abdul Khalid dan dalam masa yang sama dapat berkongsi masalah yang dihadapi penduduk kawasan itu.

MB Penumpang LRT Teruja Disapa Menteri Besar 01“Dengan cara ini, kami dapat terus bersemuka dengan pemimpin, bukan senang untuk berjumpa mereka, jadi program ramah mesra ini wajar dilakukan selalu,” katanya.

Sementara itu, Shaikh Mansoor Shaikh Ahmad berkata beliau berpuas hati dengan kepimpinan Abdul Khalid dalam mentadbir negeri Selangor.

Beliau berharap Abdul Khalid mahupun Pakatan Rakyat terus dapat menerajui negeri itu dalam Pilihanraya Umum ke 13 akan datang.

Abdul Khalid turut berkesempatan bertemu dengan Persatuan Pemandu Teksi kawasan itu dan penduduk sekitar.

MB Penumpang LRT Teruja Disapa Menteri Besar 03

Categories
NASIONAL

Penswastaan KTMB: Tambang Naik, Faedah Kakitangan Bakal Terjejas

 

SHAH ALAM, 12 SEPT : Pengguna perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal berhadapan kenaikan harga tambang perjalanan sekiranya penswastaan kepada Malaysian Mining Corporation Berhad (MMC) berlaku.

Perkara ini dinyatakan oleh Presiden Kesatuan Kakitangan KTMB, Abdul Razak Md Hassan yang membantah pengambilalihan KTMB kepada syarikat yang dikawal oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Jelasnya, rakyat sudah pasti akan menerima kesan pengambilalihan memandangkan setakat ini tambang perjalanan KTMB merupakan paling murah berbanding dengan pengangkutan awam lain seperti LRT dan Monorail.

“Adakah tambang ini tidak dinaikkan? Bagaimana pula dengan kargo? Jadi inilah implikasi kepada pengguna,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli sebelum ini mendedahkan usaha menyerahkan operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kepada MMC.

Rafizi mendakwa usaha ini satu percubaan untuk membentuk sistem monopoli dalam operasi pengangkutan awam dan industri logistik.

Selain itu, Abdul Razak berkata pengambilalihan ini akan menyebabkan kakitangan KTMB bakal kehilangan beberapa faedah.

Menurutnya, faedah kakitangan KTMB hampir dilucutkan semasa syarikat itu diambilalih oleh Marak Unggul Sdn Bhd dari tahun 1997 sehingga tahun 2002.

“Pengalaman dengan Marak Unggul, kakitangan terpaksa buat kerja-kerja yang bukan bidang spesifikasi kerja.

“Kedua, cubaan menarik beberapa keistimewaan syarat-syarat pekerja keretapi. Ketiga faedah hospital, di mana sebelum itu kos perubatan ditanggung sepenuhnya oleh KTMB.?

Dakwa Abdul Razak, Marak Unggul cuba meletakkan had RM 1,000 terhadap kos perubatan hospital.

Abdul Razak berkata, usaha untuk mengurangkan faedah kakitangan KTMB gagal apabila Menteri Sumber Manusia, Tan Sri Lim Ah Lek campurtangan.
Akhirnya pengambilalihan Marak Unggul dibatalkan pada 2002 dan Kerajaan Pusat mengambil kembali KTMB.

Ujar beliau lagi, perkara ini tidak mustahil berlaku seperti di dalam kes pengambilalihan Proton oleh DRB-Hicom, sebuah lagi syarikat yang dikuasai Syed Mokhtar.

Tegas Abdul Razak, adalah lebih baik KTMB kekal dalam situasi sekarang atau dikembalikan kepada sektor awam agar tidak menjejaskan semua pihak.

Categories
NASIONAL

Projek LRT, Najib Teruskan Amalan Kronisma

SHAH ALAM 1 OGOS : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa sekali lagi gagal melaksanakan agenda tranformasi apabila masih mengamalkan kronisma berhubung pemberian kontrak kepada George Kent-Lion Pacific JV untuk projek tambahan LRT Ampang.

Setiausaha Publisiti DAP Pusat, Tony Pua dalam satu kenyataan media berkata, tindakan Najib itu dianggap melanggar prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti selain membuktikan ‘Program Transformasi Kerajaan’ tidak lebih daripada propaganda politik.

Ini kerana menurutnya, George Kent hanyalah sebuah syarikat perpaipan yang tidak mempunyai kemahiran khusus berhubung pembinaan laluan LRT.

Lebih memburukkan keadaan katanya, syarikat itu hanya memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM19.3 bilion dengan perolehan RM152 juta sehingga 31 Januari tahun ini.

“Apakah alasan Najib untuk memberi kontrak bernilai RM1.18 bilion kepada sebuah syarikat yang hanya memiliki perolehan RM152 juta dan secara jelas telah hilang kelayakan teknikal untuk melaksanakan projek berkenaan?

“Keputusan untuk meneruskan pemberian kontrak itu tanpa ragu-ragu lagi membuktikan Najib tidak telus walaupun skandal berhubung projek itu telah didedahkan sebelum ini,” katanya.

Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) semalam mengumumkan George Kent sebagai pemenang bidaan kontrak untuk projek tambahan LRT Ampang.

Projek yang bernilai RM7 bilion itu merangkumi laluan baru dari laluan Kelana Jaya dan laluan Ampang yang akan bersambung di stesen baru di Putra Heights.

Projek tambahan LRT Ampang ini akan merangkumi sepanjang 17.7 kilometer dari Stesen Sri Petaling dan akan mempunyai 11 stesen baru dengan dua stesen tambahan untuk masa hadapan.

Sebelum ini, pengarah strategik PKR, Rafizi Ramli berulang kali mendakwa Najib campurtangan dalam proses bidaan projek ini untuk memberinya kepada George Kent yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan beliau.

Malah dedah Rafizi, Jawatankuasa Peroleh Menteri Kewangan (JPMK) sebelum ini memilih syarikat Balfour-Beatty, namun Najib memilih George Kent JV untuk pelaksanaan projek itu.

Categories
NASIONAL

Rafizi : Kerajaan Selangor Perlu Pantau Jajaran Tambahan LRT Kelana Jaya

 

PETALING JAYA: Kerajaan Selangor perlu menubuhkan satu panel siasatan bebas bagi meneliti jajaran tambahan laluan transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata ini bagi meneliti semua keputusan penilaian bidaan teknikal pembinaan sistem itu dan memastikan keselamatan rakyat Selangor terjamin.

Ini kerana beliau kurang yakin terhadap prestasi Syarikat Prasarana Nasional Berhad (Prasarana) yang mengendalikan projek itu berdasarkan beberapa kontroversi pemberian tender sebelum ini.

Menurut Rafizi, Kerajaan selangor perlu menggunakan sepenuh kuasa bagi memastikan jajaran laluan yang disyorkan oleh Prasarana mengambil kira kebimbangan dan kepentingan penduduk.

Selain itu, Kerajaan Negeri perlu memastikan kontraktor yang dilantik Prasarana mempunyai kepakaran dan kebolehan menjamin sistem yang dibina kelak adalah selamat untuk awam.

“Sekiranya Prasarana gagal mengambil kira tuntutan Kerajaan Selangor untuk turut sama berada di dalam panel penilai bebas, saya menyeru kerajaan negeri menggunakan sepenuh kuasanya untuk memastikan Prasarana tidak boleh meneruskan projek ini sehinggalah semua aspek keselamatan dititikberatkan,” katanya.

Sebelum ini, penduduk Putra Heights dan Taman Alam Megah melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan mereka berhubung laluan tambahan sistem LRT Kelana Jaya yang memasuki kawasan mereka.

Penduduk berkata jajaran tambahan itu terlalu dekat dengan rumah dan rapat dengan kolam air dan bekas kuari. Selain itu, laluan tersebut dibina pada kawasan bukit cerun curam Kelas III dan IV.

Categories
NASIONAL

George Kent Didakwa Jadi Penghubung PM dan Thales

PETALING JAYA 13 JULAI: Pembabitan syarikat Thales dalam tiga bidaan membayangkan campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pemberian kontrak kerja-kerja tambahan LRT Ampang, dakwa Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Bercakap dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR di sini, Rafizi mendedahkan satu dokumen yang menunjukkan George Kent sebuah syarikat tempatan sebagai penghubung antara Thales dengan Perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Laporan itu dirujuk sebagai penilaian teknikal oleh Halcrow untuk projek tersebut dan mendakwa Thales akan memenangi bidaan berkenaan.

Juga didedahkan bagaimana Thales terlibat dalam tiga usahasama yang membida untuk projek berkenaan.

Tiga firma usahasama itu termasuk konsortium George Kent-Wijet-Thales yang dinyatakan akan dipertimbang walau gagal dalam penilaian teknikal.

Dakwanya lagi kesemua peraturan dilanggar bagi memberi kelebihan kepada Thales.

Soalnya, siapa lagi yang boleh membuat arahan ini melainkan ia berada bawah naungan perdana menteri?

Reliau mendakwa Thales adalah sebuah syarikat Perancis yang kini disiasat oleh pihak berkuasa negara tersebut atas tuduhan membayar rasuah kepada pihak-pihak tertentu yang rapat dengan Kerajaan Malaysia dan bekas Menteri Pertahanan, Najib dalam urusan pembelian dua buah kapal selam Scorpene.

Setakat ini, dokukmen-dokumen yang dikemukakan di mahkamah Perancis menunjukkan bahawa syarikat itu membuat sekurang-kurangnya satu pembayaran berjumlah RM144 juta (32 juta Euro)kepada Terasasi, syarikat yang dimiliki oleh penasihat kanan Najib iaitu Abdul Razak Baginda.

Lapan syarikan pembida tersebut adalah: Balfour Beatty-Invensys, Emrail/Leighton?Ansaldo, Siemens, Samsung-LG Thales, George Kent-Wijet-Thales, Colas-CMC-Thales, Posco-Sojits-Daewoo dan SNC-WW-Bombardier.

Isu LRT Ampang : George Kent Gagal Bidaan

KUALA LUMPUR 3 JUN : PKR mendakwa konsortium yang memenangi tender projek sambungan LRT Ampang, George Kent, sebenarnya tidak layak dari segi pengalaman teknikal mahupun kemampuan kewangan untuk projek bernilai RM 960 juta itu.

Pengarah Strategi Rafizi Ramli berkata jurutera perunding Halcrow menunjukkan konsortium tersebut memperolehi markah rendah dalam penilaian teknikal dan gagal di dalam penilaian kewangan.

Penilaian tersebut di hantar ke Syarikat Prasarana Negara Sdn Bhd (SPNB) yang bertanggungjawab untuk mengendalikan projek tersebut.

“Konsortium berkenaan langsung tiada pengalaman dalam projek rel dan hanya pernah kendalikan projek bernilai RM 40 juta.

“Sedangkan, tujuh pembida lain dalam tender berkenaan kesemuanya telah menyiapkan projek bernilai antara RM458 hingga RM5 bilion,” dakwa Rafizi dalam satu sidang media di sini hari ini.

Mengikut dokumen yang diberikan kepada media, keputusan penilaian itu di dalam satu surat bertarikh September 2011 yang dihantar kepada Jawatankuasa Peroleh Menteri Kewangan (JPMK) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Surat tersebut dihantar oleh Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Datuk Shahril Mokhtar.

“Berdasarkan dokumen-dokumen ini terbuktilah George Kent tidak mempunyai apa-apa kemahiran, kepakaran atau pengalaman kecualilah hubungan baik di antara George Kent dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Malangnya keputusan Perdana Menteri untuk campur tangan dengan membatalkan keputusan panel jawatankuasa penilai menggambarkan ketidakprihatinan beliau terhadap bahaya dan risiko keselamatan awam,” tegasnya.

Laporan sebelum mendakwa Najib campur tangan di dalam pemberian kontrak
projek LRT Ampang kepada George Kent.

Manakala Rafizi mendakwa SPNB telah memaklumkan bahawa Konsortium PDA terpilih sebagai kontraktor terbaik bagi projek itu dalam satu surat bertarikh 22 Jun.

Rafizi mendakwa tindakan itu mengesahkan Najib telah bertindak menukar keputusan SPNB dan menolak proses tender terbuka dalam projek mega yang melibatkan berbilion wang rakyat.

Sehubungan itu, Rafizi menyeru agar Najib Razak tampil menjelaskan sebab dan pertimbangan yang digunakan beliau sewaktu memberi keputusan menganugerahkan kerja-kerja tersebut kepada sebuah konsortium yang tidak layak.

Categories
NASIONAL

Najib Campurtangan, Tidak Telus Dalam Projek LRT Ampang

PETALING JAYA, 25 JUN : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa campur tangan di dalam pemberian kontrak kepada sebuah konsortium diketuai George Kent bagi pembinaan projek tambahan sistem LRT Ampang bernilai hampir RM1 bilion.

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, sedangkan laporan mendedahkan kontrak tersebut telah diberikan kepada konsortium lain, iaitu Konsortium PDA.

Menurutnya, sebelum ini Najib pernah berjanji untuk berlaku adil dan telus serta memastikan semua kontrak besar akan dijalankan secara tender terbuka.

“PKR boleh mendedahkan bahawa George Kent bukanlah konsortium yang telah terpilih bagi projek tersebut setelah melalui proses tender terbuka dijalankan Prasarana.

Ini disahkan surat Prasarana bertarikh 22 Jun lalu kepada Kementerian Kewangan memaklumkan Konsortium PDA terpilih sebagai kontraktor terbaik bagi pojek itu.

“Malah Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Datuk Shahril Mokhtar sendiri menulis surat kepada Najib untuk mendapatkan kelulusan mengeluarkan Surat Tuju Terima kepada Konsortium PDA,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Rafizi menjelaskan campurtangan Perdana Menteri dalam isu itu tidak disenangi oleh pengurusan Prasarana kerana bertentangan dengan penilaian bidaan yang telah dijalankan Prasarana sebelum ini.

Akan tetapi, menurut satu laporan akhbar Business Times pada 22 Jun konsortium George Kent akan dianugerahkan kontrak bernilai RM960 juta bagi kerja projek tambahan itu.

Tambahnya, laporan itu dibuat selepas Najib mengumumkan sendiri kepada pimpinan kerajaan hasrat beliau menganugerahkan projek tersebut kepada George Kent.

Perkembangan terbaru itu, Rafizi berkata, mengesahkan Najib bertindak menukar keputusan Prasarana dan menolak proses tender terbuka dalam projek mega yang melibatkan berbilion wang rakyat.

Berikutan itu, beliau berkata, PKR akan melakukan pendedahan berterusan dalam isu tersebut setiap dua hari sekali bermula hari ini bagi menguji komitmen Najib kepada usaha membanteras rasuah dan penyelewengan.

“Saya betul-betul menasihatkan Najib supaya menangani skandal ini dengan baik demi menjaga imej pentadbiran beliau.

“Soal NFC dia tak sebut tak apa, soal ajak debat dia tak sebut tak apa, soal Scorpene dia tak sebut tak apa.

“Dia hanya beri reaksi apabila saya letak jawatan, saya rasa terharu sangat. Jadi sekarang saya nasihatkan Najib supaya memberi respon terhadap isu ini,” katanya.