Categories
SELANGOR

200 Sertai Kayuhan BES Jelajah Selangor Kuala Langat

kayuh basikal yunus morib 01

KUALA LANGAT 9 FEB : Lebih 200 peserta hari ini menyertai Kayuhan Basikal Belia Ehsan Selangor (BES) Jelajah Selangor dari Pantai Morib ke Telok Panglima Garang.

Program anjuran Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri tersebut merupakan kesinambungan kepada Program Jelajah Futsal yang diadakan pada tahun-tahun sebelum ini oleh Penggerak Belia Tempatan (PeBT).

kayuh basikal yunus morib 03Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, selain membawa kelainan kepada warga belia pada siri tahun ini, program berbasikal itu juga diharap dapat menarik penyertaan yang lebih menyeluruh.

“Ia juga merupakan usaha untuk membolehkan rakyat khususnya golongan belia untuk mengenali Selangor dengan lebih dekat.

“Program dijalankan secara santai agar peserta dapat menikmati keindahan pemandangan negeri ini di samping mempromosikan cara hidup yang sihat,” kata Dr Ahmad Yunus yang juga Adun Sijangkang.

Program anjuran bersama Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) pada pagi ini juga merupakan Siri Kedua Kayuhan BES selepas Siri Pertama diadakan di Kuala Selangor, minggu lepas.

kayuh basikal yunus morib 02Pagi ini, peserta berkayuh sejauh 40 km dari Pantai Morib dan hingga ke Tapak Pasar Malam, Taman Datok Hormat, Telok Panglima Garang.

Sementara itu, salah seorang peserta, Masran Hassan 48, memuji program tersebut yang sangat bermanfaat dalam membentuk sahsiah diri yang baik untuk golongan belia.

“Saya harap para belia dapat mengambil peluang ini kerana aktiviti sebegini mampu meningkatkan semangat persepakatan antara mereka.

“Ini juga dapat mengelak para belia daripada menyertai aktiviti kurang sihat yang merugikan mereka,” kata peserta yang aktif menyertai kelab berbasikal ini.

Turut hadir dalam program pagi tadi ialah Penyelaras DUN Morib, Hasnul Baharuddin.

Minggu hadapan, program Kayuhan BES Jelajah Selangor Siri Ketiga akan dianjurkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Categories
SELANGOR

Iklan Haram: MPK turunkan 2,000 poster setiap bulan

mpk 4

SHAH ALAM 17 JAN : Sekurang-kurangnya 2,000 keping poster dan papan iklan termasuk iklan sindiket pinjaman wang haram atau ah long diturunkan setiap bulan dalam operasi yang dilakukan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

mpk 2Pemangku Yang Di Pertua MPK, Ehsan Mukri berkata, walaupun kegiatan itu seakan tidak pernah berhenti namun MPK akan tetap meneruskan usaha menurunkan iklan haram itu.

Katanya, pihak MPK akan membawa isu itu ke peringkat yang lebih tinggi antaranya perbincangan bersama dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

Beliau berkata ia termasuk mencadangkan nombor yang tertera di iklan itu disekat supaya orang ramai tidak dapat menghubungi pihak yang mempamer iklan.

“Langkah itu dilihat mampu menangani aktiviti tidak bermoral itu selain kerjasama daripada masyarakat setempat untuk melaporkan segera jika terdapat kes meletakkan iklan haram di kawasan mereka,” katanya dalam satu kenyataan media.

Ehsan berkata, pada masa yang sama, MPK akan menjalankan pemantauan dan operasi secara berterusan supaya masalah seperti itu dapat dikawal daripada terus berleluasa.

“Setakat ini, pihak majlis akan membuat melupuskan poster dan iklan ah long haram itu setiap tiga bulan sekali di pusat pelupusan sampah yang terletak di Jeram,” katanya.

mpk 1

 

mpk 3

MPK Serbu Spa Yang Menjalankan Aktiviti Rumah Urut

 

SHAH ALAM 6 DIS : Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah menyita barangan sebuah spa kesihatan yang menjalankan operasi rumah urut.

Operasi Jabatan Perlesenan dan Penjaja Kecil MPK di Bandar Baru Klang itu diketuai Pegawai Kesihatan Persekitaran MPK, Hasnor Harith selain disertai beberapa Ahli Majlis MPK.

“Kita telah mengeluarkan notis selain mengenakan kompaun terhadap premis tersebut sebelum ini.

“Hari ini kita terpaksa mengambil tindakan tegas setelah segala amaran dikeluarkan tidak diendahkan pengusaha,” jelas Hasnor.

Sementara itu, Ahli Majlis MPK, Azmizam Zaman Huri menyeru orang ramai supaya tidak mengunjungi pusat perniagaan yang menjalankan operasi tanpa lesen.

“Sejak 2008, pihak MPK memang tidak lagi mengeluarkan lesen kepada rumah urut.

“Jadi kita mohon agar orang ramai juga tidak menggalakkan perniagaan haram ini kerana jika tiada permintaan, pasti perniagaan mereka ini tidak akan hidup,” tegasnya.

Dalam operasi pagi tadi, pihak MPK turut bertindak menanggalkan paparan iklan besar di spa tersebut.

MPK juga mengambil tindakan menurunkan paparan iklan di sebuah kedai perabot di kawasan yang sama.

Iklan tersebut tidak mendapat lesen pengiklanan daripada MPK.

Categories
SELANGOR

MB : Datuk Bandar MBPJ Baru Diumumkan Hujung Tahun

SHAH ALAM, 3 DIS : Kerajaan Negeri akan mengumumkan Datuk Bandar Petaling Jaya baru bagi menggantikan kedudukan Datuk Mohamad Roslan Sakiman selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau telah menerima beberapa cadangan calon yang masih dalam penelitian Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri akan mula menentukan siapakah calon yang layak untuk menjadi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebelum hujung tahun ini.

?Menteri Besar telah diberi beberapa cadangan yang masih dalam pemerhatian,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi 2012 di Dewan Jubli Perak, SUK pagi tadi.

Mohamad Roslan sebelum ini diarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk bertukar ke jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) di Pusat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor berkuatkuasa 1 Okt lalu.

Bagaimanapun, arahan itu ditarik semula dan Mohamad Roslan dikekalkan sebagai Datuk Bandar MBPJ kerana jawatan berkenaan tertakluk di bawah Akta Kerajaan Tempatan.

Dalam sidang media sama, Abdul Khalid turut menegaskan Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk melantik Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) baru.

Menurut beliau, ini kerana Ehsan Mukri selaku Pemangku telah menjalankan tanggungjawab sebagai Yang Dipertua walaupun pelantikannya masih belum diputuskan JPA.

“Kita masih mengekalkan pelantikan Ehsan kerana pelantikan beliau itu mengambil kira statusnya sebagai Yang Dipertua Majlis.

?Walaupun dari segi penjawat awam, status dia tidak sampai ke tahap itu, tetapi Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan pembiayaan tambahan dari segi gaji dan kemudahan seperti Yang Dipertua.

“Namun, apabila JPA telah menaikkan pangkatnya, dia bukan lagi Pemangku, tetapi bertukar sebagai Yang Dipertua,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

RM 250 Ribu Bina Jambatan Konkrit Di Bagan Teochew Pulau Ketam

PELABUHAN KLANG 24 NOV: Satu jambatan konkrit bernilai RM 250 ribu akan dibina dalam waktu terdekat bagi mengganti jambatan kayu di Bagan Teochew, Pulau Ketam yang musnah dilanggar bot pada 15 September 2012 lalu.

Exco Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, Kerajaan Negeri telah meluluskan projek pembinaan jambatan baru itu melalui peruntukan kewangan dalam Belanjawan Selangor 2012.

Katanya, Kerajaan Negeri sedar mengenai masalah yang dihadapi penduduk di kawasan itu memandangkan Bagan Teochew menjadi tumpuan pelancong kerana terdapat restoran makanan laut serta ‘chalet’.

“Pembinaan jambatan baru ini akan dimulakan dalam waktu terdekat dan kontraktor telah dipilih bagi menyiapkan jambatan ini yang dijangka akan siap pada bulan Februari 2013,” katanya.

Dr Halimah, yang juga Adun Selat Klang, ditemui ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Jambatan Baru Bagan Teochew di Pulau Ketam hari ini.

Turut hadir Ketua Kampung Pulau Ketam, Cha Keng Lee, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Klang (MPK), Song Sung Hwan, TImbalan Pengarah Kejuruteraan MPK, Zamri Othman serta penduduk Bagan Teochew.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM 80,000 bagi membina jambatan sementara bagi menggantikan jambatan kayu berusia lebih 40 tahun yang musnah itu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Tidak Perlu Tunggu Pilihan Raya Untuk Bantu Rakyat

KLANG, 12 NOV : Peningkatan taraf hidup rakyat perlu dilakukan secara menyeluruh tanpa meminggirkan atau menidakkan hak golongan atau kaum-kaum tertentu, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, hanya dengan pembangunan berimbang, keharmonian serta budaya pelbagai kaum dapat diwujudkan dan dinikmati bersama.

“Rakyat Selangor sudah merasa pembangunan ekonomi yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat (PR). Rakyat Selangor sudah merasa pengagihan peruntukan yang diberikan secara konsisten sejak 2008 kepada setiap kaum.

“Kita tidak perlu tunggu pilihan raya untuk beri peruntukan, tetapi diberikan setiap tahun kerana ia merupakan hak rakyat,” katanya semasa menghadiri Majlis Sambutan Deepavali di Jalan Tengku Kelana, di sini petang semalam.

Majlis itu merupakan anjuran Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama syarikat Telekomunikasi Digi.

Hadir sama, Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar, Ronnie Liu dan Dr Yaakob Sapari, Ahli Parlimen dan Adun Selangor serta Yang Dipertua Majlis Perbadaran Klang (MPK), Ikhsan Mukri dan Ahli Majlis MPK.

Dalam majlis sama, Kerajaan Negeri turut menyumbang sejumlah RM1.2 juta kepada beberapa buah rumah ibadat bukan Islam di sekitar Klang.

Dalam pada itu, Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah merangka strategi tertentu untuk melaksanakan program bagi kemajuan sekolah-sekolah Tamil di Selangor.

“Diharapkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Lembaga Pengelola sekolah-sekolah Tamil menggunakan peluang dan ruang yang ada untuk membantu inisiatif kerajaan ini bagi faedah anak-anak yang yang belajar di sekolah Tamil,” katanya lagi.

Premis Siber Haram ‘Kantoi’ Diserbu MPK

KLANG 01 NOV : Promosi RM1 sejam bagi permainan video oleh sebuah premis pusat siber haram berjaya dihidu Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Hasil serbuan itu sebanyak 120 unit peralatan pusat siber disita termasuk komputer serta beberapa barangan lain dalam satu operasi khas baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasa MPK, Shahrul Hazri Abd Majid berkata premis terbabit bertindak mempamerkan lesen yang didaftarkan di Taman Sri Mewah, Jalan Kota Raja, sedangkan premis itu beroperasi di Taman Sementa Utama, Kapar.

Katanya, premis terbabit sentiasa menjadi tumpuan para pelajar kerana ia menawarkan harga promosi yang cukup murah iaitu RM 1 setiap sejam serta turut menyediakan permainan komputer terbaru untuk para pengunjung.

Beliau berkata ketika serbuan dilakukan penguatkuasa MPK, terdapat pelajar sekolah yang masih di bawah umur leka bermain permainan komputer di pusat siber yang baru dibuka itu.

Tindakan itu diambil di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3 Pusat Siber dan Kafe Siber MPK 2007 yang boleh dikenakan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 dan sekiranya sabit kesalahan, pemilik boleh dikenakan penalti sehingga RM2,000.

“Dalam serbuan itu juga, 10 pelajar ditahan ketika leka melayari Internet dan bermain permainan komputer,” katanya dalam kenyataan media.

Sehubungan itu, katanya, operasi seperti itu akan diteruskan bagi memastikan tiada pihak ingkar dengan undang-undang dan pada masa yang sama membendung gejala yang boleh merosakkan generasi muda.

“Selain daripada itu, pemantauan juga akan diadakan dari masa ke semasa terhadap premis ini kerana tindakannya ternyata membelakangi undang-undang yang ditetapkan majlis,” katanya.

Categories
SELANGOR

MPK Tahan Lori Buang Sampah Haram

KLANG 24 OKT : Majlis Perbandaran Klang (MPK) menahan sebuah lori atas kesalahan menjalankan aktiviti pembuangan sampah secara haram, baru-baru ini.

Tindakan itu dilakukan di bawah Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap 2007 dilakukan dalam satu operasi di Jalan Temenggung, baru-baru ini.

Ahli majlis, Azmi Jusoh berkata, beliau menerima maklumat awal daripada penduduk dan segera mengadakan pemantauan sebelum bertindak menahan lori terbabit untuk diambil keterangan.

Katanya, kontraktor berkenaan sering menjadikan kawasan itu sebagai lokasi untuk membuang sampah memandangkan lokasi itu agak lapang dan memudahkan mereka mencampak sampah dari atas lori.

“Tindakan mereka merupakan satu pengkhianatan kerana mereka adalah pihak yang dipertanggungjawabkan membersihkan kawasan namun menggunakan cara mudah bagi mengaut keuntungan.

“Malah lebih mengejutkan, mereka dengan beraninya membuang sampah ini pada waktu siang tanpa menghiraukan mereka yang lalu lalang di sini,” katanya dalam satu kenyataan.

Azmi berkata, kontraktor itu akan dikenakan kompaun dan jika berterusan, majlis akan mengambil tindakan yang lebih tegas termasuk membatalkan permitnya.

Sehubungan itu, MPK meminta orang ramai yang terlihat mana-mana individu yang membuang sampah di tempat awam supaya segera memaklumkan kepada pihaknya.

“Majlis dengan kerjasama pemimpin setempat akan terus memantau kerja-kerja kontraktor bagi memastikan tiada pihak yang lepas tangan dan melakukan tugasan sambil lewa,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Peruntuk RM5 Juta Untuk Kerja Mitigasi Banjir di Klang

SHAH ALAM, 15 OKT : Sejumlah RM 5 juta telah diperuntukan kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk kerja mitigasi banjir yang bakal terjadi disebabkan fenomena ‘Astronomical Tide’ yang dijangka bermula 15 hingga 18 Oktober ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, peruntukan itu tertumpu kepada kerja-kerja pembersihan longkang, penyelenggaran kunci air dan pembinaan lebih banyak kolam tadahan.

“Kita juga meminta semua rakyat yang tinggal di kawasan rezab sungai untuk membuat persediaan secukupnya sebelum menghadapi musim banjir yang dijangka berlaku dalam masa terdekat.”

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Negeri Selangor, dekat sini pagi tadi.

Penduduk di kawasan Klang diminta bersedia berikutan fenomena ?Astronomical Tide? yang dilaporkan akan membawa kadar hujan yang agak mendadak.

Fenomena itu dijangka akan menyebabkan kejadian ribut dan berkemungkinan air sungai akan mencecah 5.6 meter serta menyebabkan banjir kilat di kawasan Klang.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Fenomena Astronomical Tide Penduduk Diminta Berjaga-jaga

SHAH ALAM, 9 OKT : Penduduk di kawasan Klang diminta bersedia berikutan fenomena ‘Astronomical Tide’ dijangka akan berlaku bermula 15 hingga 18 Oktober ini dan dilaporkan akan membawa kadar hujan yang agak mendadak terutama di kawasan terbabit.

Pemangku Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Klang (MPK),Ehsan Mukri berkata, pihaknya menerima maklumat awal daripada Jabatan Laut Malaysia dan meminta orang ramai untuk berwaspada menjelang fenomena yang dijangka berlaku minggu depan itu.

Menurutnya, fenomena itu juga menyebabkan kejadian ribut dan berkemungkinan air sungai akan mencecah 5.6 meter serta menyebabkan banjir kilat di kawasan ini kelak.

“Penduduk diingatkan untuk berjaga-jaga dan membuat persiapan awal dan pada masa yang sama memberi kerjasama kepada MPK dalam menghadapi banjir kali ini.

“Antara yang perlu dilakukan ialah kebersihan perlu dijaga termasuk penyelenggaraan longkang yang sistematik di halaman masing-masing agar tidak tersumbat dengan sampah sarap akibat faktor sekeliling,” katanya dalam kenyataan media.

Ehsan berkata, MPK akan membuat pemantauan dan persiapan rapi bagi menghadapi fenomena Astronomical Tide dan setiap jabatan terlibat bersedia melalui kepakaran masing-masing untuk kemungkinan yang bakal berlaku kelak.

Menurutnya, orang ramai diminta untuk segera menghubungi talian bebas tol 1 800 88 23626 atau 33716044 / 4404 untuk sebarang kes kecemasan berkaitan fenomena itu nanti.

Categories
NASIONAL

Masalah Pungutan Sampah di Sangkar Ikan Akan Di Atasi

PULAU KETAM,2 OKT: Rungutan pengusaha sangkar ikan di Pulau Ketam mengenai kutipan sampah bagi kawasan itu akan diatasi oleh Kerajaan Negeri dalam waktu terdekat.

Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari berkata, surat akan segera di hantar kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagi mengatasi masalah tersebut.

“Saya ingin mencadangkan supaya pengusaha-pengusaha ikan sangkar di Pulau Ketam supaya menyediakan bekas serta jadual tertentu kepada MPK bagi memudahkan usaha pemungutan dijalankan secara teratur.

“Pengusaha juga digalakkan menyediakan sendiri tong-tong sampah disebabkan tidak sebarang caj di kenakan oleh MBK untuk memungut sampah-sampah tersebut.

“Sekiranya tidak mampu, hal ini boleh di bincang dan dimajukan kepada MPK untuk tindakan selanjutnya.” jelas beliau Dr Yaakob berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke sangkar ikan dan sesi dialog “World Cafe-Open Space Technology” bersama pengusaha ternakan ikan sangkar daerah Klang di Pulau Ketam hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Perikanan Selangor, Zakaria Ismail, Ketua Penolong Pegawai Daerah(Tanah) Klang, Abdul Rahman Joho dan Ahli Majlis MPK, Song Sung Hwan dan dihadiri seramai 20 orang pengusaha ternakan ikan sangkar.

Categories
SELANGOR

Jambatan Baru Bagi Bagan Teochew

SHAH ALAM 19 SEPT : Kerajaan Negeri hari ini meluluskan peruntukan khas RM 80,000 bagi membina semula jambatan di Pulau Ketam yang musnah dalam satu kejadian pada Sabtu lalu.

Pengumuman itu dibuat Exco Negeri yang juga Adun Selat Kelang, Dr Halimah Ali dalam satu sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Kerajaan Negeri sebentar tadi.

Jambatan tersebut dikatakan musnah akibat dilanggar sebuah bot yang dibawa arus deras.

Keadaan itu menjejaskan urusan seharian penduduk termasuk para pelajar.

“Hasil Kajian mendorong kita untuk mengeluarkan dana bagi membina jambatan sementara bagi menghubungkan penduduk Bagan Teochew dengan tempat terputus hubungan.

“Kerajaan Negeri telah mengeluarkan arahan melalui Setiausaha Kerajaan (Negeri) untuk mengarahkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) membina jambatan itu.

“Kita jangkakan ia akan siap dalam masa sebulan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata akan meminta Kerajaan Pusat bersama-sama membantu penduduk yang terjejas.

“Diharap jika adanya bantuan daripada Kerajaan Pusat, satu jambatan kekal dapat dibina untuk penduduk,” katanya.