Categories
NASIONAL SELANGOR

Naik Taraf Jalan Perkampungan Nelayan Bagan Siap Sehari

SEKINCHAN 4 SEPT : Dengan peruntukan RM22,000 melalui Geran Selangorku jalan di Kampung Nelayan Bagan di sini siap dinaik taraf untuk kegunaan dan keselesaan penduduk melakukan aktiviti harian.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, projek menurap jalan tersebut dibuat ekoran jalan yang ada sebelum ini berlubang dan tidak sempurna digunakan sejak sekian lama.

“Kita harap dengan adanya jalan ini, penduduk selesa dan tidak berhadapan masalah menjalankan urusan mereka.

“Diharap juga ia dapat mengurangkan risiko berlakunya kemalangan di kawasan ini,” jelasnya yang memaklumkan maklumat ini hasil inisiatif JKKK kampung berkenaan yang memaklumkan kepada beliau berhubung masalah jalan tersebut .

Dalam pada itu, Ng turut menyeru agar penduduk dapat bersama menjaga kemudahan infrastruktur jalan berturap itu dengan baik.

“Saya menyeru agar tiada kenderaan berat seperti lori melalui jalan berkenaan kerana dikhuatiri tidak dapat menampung bebanan (kenderaan berat) tersebut,” ujar beliau.

Ng turut meluangkan masa turun padang meninjau perlaksanaan projek oleh Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) itu yang bermula seawal jam 11 pagi.

Kerja menurap Jalan 11, Bagan sepanjang 100 meter itu siap dalam masa sehari.

Categories
NASIONAL

Salahlaku Noh Omar, Tunggu Masa Lapor Kepada SPRM Dan Polis

SHAH ALAM 28 OGOS : Ng Suee Lim menegaskan beliau hanya menunggu masa yang sesuai untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis berhubung salahlaku Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkenaan Projek Kolam Udang yang didakwa Noh punyai kepentingan.

“Kita mempunyai maklumat terperinci dan dokumen yang ada di tangan, kita dalam masa terdekat ini memikirkan untuk membuat laporan polis oleh penduduk setempat dan saya sendiri bagi membantu polis menyiasat bagaimana projek Kolam Udang ini boleh dibuat secara usahasama.

“Selepas itu kita akan ke pihak SPRM di Putrajaya yang merupakan tindakan susulan kita pada akan datang,” kata Ng Suee Lim yang merupakan Adun Sekinchan ketika dihubungi.

Ng menambah beliau tidak akan lepas tangan berhubung isu berkenaan agar rakyat dapat mengetahui perkara sebenar.

“Agar rakyat Selangor dan Malaysia mengetahui bagaimana sikap dan perwatakan Noh Omar ini sebagai Menteri Pertanian dan Timbalan Perhubungan Umno Selangor yang berhasrat menawan Selangor dan mahu menjadi Menteri Besar.

“Ia berhubung kewibawaan Noh sebagai pemimpin yang cakap tidak serupa bikin dan slogan rakyat didahulukan tetapi dalam isu ini bukan rakyat yang didahulukan tetapi Noh yang didahulukan,” kata beliau.

Pada 8 Ogos lalu, kira-kira 150 petani dan nelayan mengadakan perhimpunan aman di hadapan pintu masuk projek kolam udang di Tanjong Karang yang didakwa penduduk Noh punyai kepentingan sehingga menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Mereka juga mendakwa Noh selaku Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani tidak wajar terlibat dalam projek penternakan udang itu kerana ia akan mewujudkan percanggahan kepentingan.

“Noh belum lagi memberikan penjelasan yang sepenuhnya kepada rakyat dan rakyat tertunggu-tunggu, sehingga kini dan rakyat tertanya-tanya kenapa Menteri Pertanian terlibat dalam penternakan udang.

“Sedangkan ini bercanggah dengan portfolio sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang merupakan percanggahan kepentingan.

“Dan isu ini juga pihak Noh Omar masih tidak menjawab,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

Noh Sepatutnya Desak Muhyiddin Letak Jawatan

SHAH ALAM, 15 OGOS : Timbalan Ketua Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar sewajarnya mendesak Timbalan Perdana Menteri meletak jawatan dan bukannya Menteri Besar Selangor sekirannya rundingan penstrukturan air gagal diselesaikan September ini.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin berkata ini kerana Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Isu-isu Air di Selangor.

“Proses ini perlu dilakukan dengan berhati-hati oleh mereka yang pakar sahaja.

?Noh tiada pengalaman dalam sektor korporat jadi sudah tentu beliau tidak tahu proses ?step-in? atau pengambilalihan konsesi.

“Mungkin Noh ingat proses ini dilakukan sama seperti ambil alih kolam ternak udang?” soal Faekah.

Minggu lepas, Adun Sekinchan Ng Suee Lim mendakwa Noh, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, terlibat di dalam satu usahasama kolam udang di Tanjong Karang.

Semalam, Noh mendesak agar Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim meletak jawatan jika gagal melakukan penstrukturan semula industri air Selangor pada September ini.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Isu-isu Air yang diketuai Muhyiddin membenarkan penstrukturan air diteruskan oleh Kerajaan Selangor dengan syarat ia mematuhi peraturan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA).

Sehubungan itu, Kerajaan Selangor telah menubuhkan Jawatankuasa Khas yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi untuk menyelesaikan pengambilalihan ini selewat-lewatnya September ini.

Proses penstrukturan semula industri air Selangor akan menyaksikan Kerajaan Negeri mengambil alih industri itu dari aspek pembekalan air mentah ke rawatan hingga ke agihan daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Ini kerana Kerajaan Negeri mendapati Syabas tidak mengurus industri air itu dengan baik.

Mengulas lanjut, Faekah menambah kerajaan Selangor telah mengadakan beberapa siri rundingan dengan Syabas dan terakhir menawarkan RM 9.3 bilion kepada Syabas. Ini akan memberi untung 25 peratus kepada syarikat konsesi.

Namun, Puncak Niaga dan Syabas menolak tawaran ini dan menuntut pampasan yang memberi keuntungan sehingga 75 peratus.

?Rundingan ini tidak mendapat sokongan daripada Kerajaan Pusat kerana mereka lebih berminat menyelamatkan syarikat konsesi yakni kroni UMNO berbanding kepentingan rakyat.

“Sekiranya penstrukturan ini diselesaikan September ini, bermakna Muhyiddin telah gagal menjalankan tugasnya sebagai Pengerusi jawatankuasa itu.

“Maka Noh yang tiada mengena dan tiada pengetahuan mendalam dalam isu air perlu mendesak Muhyiddin meletak jawatan bukan Menteri Besar,” kata Faekah.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Noh Omar Sembunyikan Penglibatan Di Dalam Usahasama Kolam Udang

SHAH ALAM, 10 OGOS: Adun Sekinchan, Ng Suee Lim mendakwa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar menyembunyikan fakta dan gagal menjawab dakwaan yang beliau terlibat di dalam projek ternakan udang di Tanjong Karang.

Katanya, Noh gagal memberikan kenyataan balas mengenai dakwaan terdapat surat akuan sumpah syarikat Pristine Agrofood dan kaveat ke atasnya.

Dokumen tersebut kata Suee Lim, menunjukkan yang pengilbatan Noh di dalam kolam udang itu adalah lebih daripada pemilik tanah yang hanya menyewakan tanahnya semata-mata.

“Perkataan ‘usaha sama’ dalam dokumen itu membuktikan Noh Omar turut mengusahakan projek itu dan jika beliau menyatakan hanya menyewakan sahaja tanahnya, seharusnya perlu ada perkataan ‘tendency agreement’ iaitu perjanjian sewa.

“Beliau tidak boleh mengelak dan hanya menafikan tanpa memberikan fakta sebenar mengenai tanah miliknya dan projek udang itu,” katanya ketika dihubungi TVSelangor hari ini.

Ng berkata, terdapat satu kaveat agar Noh terus menyewakan tanahnya seperti dipersetujui kedua-dua pihak.

Di dalam laporan portal Malaysiakini semalam, Noh berkata beliau menyewakan tanah seluas 30 ekar miliknya kepada syarikat itu dan tidak terlibat mengusahakan projek udang tersebut.

Pengarah Pristine Agrofood, Chu Bak Teck juga turut menafikan penglibatan Noh Omar dan menyatakan beliau hanya menyewakan tanahnya sahaja.

Menurut Suee Lim, Noh Omar juga perlu menjelaskan kepada rakyat bagaimana beliau mendapat tanah 30 ekar itu daripada Kerajaan Negeri dengan mudah.

Pada Sidang Dewan Negeri Selangor pada Julai 12, Suee Lim mendedahkan yang Noh membeli tanah itu pada 13 Jun 1995.

Hasil carian di laman web Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menunjukkan Noh memenangi kerusi Ahli Parlimen Tanjong Karang buat kali pertama pada April 1995.

“Apakah keistimewaan seorang menteri yang boleh memiliki tanah seluas itu dan hanya membayar premium sebanyak RM 9,760 sahaja sedangkan rakyat terpaksa bersusah payah hanya untuk memiliki tanah sendiri,” katanya.

Di dalam dakwaannya sebelum ini, Suee Lim mendakwa nilai sebenar tanah itu ketika Noh membelinya adalah RM 3 juta.

Ng turut berkata, beberapa pendedahan susulan akan dibuat dan pihaknya sudah memberikan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

Terjejas Pendapatan, Lebih 150 Nelayan Bantah Kolam Udang Miliki Noh Omar

 

TANJONG KARANG 8 OGOS : Kira-kira 150 petani dan nelayan mengadakan perhimpunan aman di hadapan pintu masuk projek kolam udang yang didakwa dimiliki oleh Datuk Seri Noh Omar di mana kewujudan kolam berkenaan menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berucap dalam bantahan itu berkata, Noh selaku Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani tidak wajar terlibat dalam projek penternakan udang itu kerana ia akan mewujudkan percanggahan kepentingan.

Suee Lim mendakwa memiliki dokumen yang menunjukan Noh memiliki tanah kerajaan semasa pentadbiran BN sedangkan rakyat Tanjong Karang dan Sungai Burong sukar untuk mendapatkan tanah bagi membina rumah.

“Tetapi ada pemimpin dapat tanah bukan satu dua ekar tetapi dapat 30 ekar iaitu Noh Omar yang merupakan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor merangkap Ahli Parlimen Tanjong Karang, apa keistimewaan Noh Omar rakyat hendak tanya”? soal Suee Lim.

Menurut Suee Lim, beliau mendesak Noh tampil memberikan penjelasan kepada rakyat berhubung kaitannya dengan projek kolam itu pada kadar segera.

“Kalau Noh gagal menjawab persoalan yang kita bangkitkan kenapa beliau boleh mendapatkan 30 ekar tanah dan apakah keistimewaan beliau, maka beliau perlu meletakkan jawatannya,” tegas Suee Lim.

Dakwanya lagi, dalam dokumen yang perolehinya itu menunjukkan adanya akuan bersumpah yang menunjukkan adanya kerjasama antara Noh dengan syarikat Pristine Agrofood Sdn Bhd yang melaksanakan projek penternakan udang itu.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua PAS Tanjong Karang, Misran Serman berkata kawasan itu tidak wajar diterokai kerana ia adalah tanah simpanan hutan kayu bakau yang dijadikan sebagai pemampan daripada berlakunya hakisan pantai.

“Sebelum ini apabila penduduk kampung membuat penerokaan hutan akan ditangkap oleh Jabatan Hutan.

“Dalam jarak 100 meter daripada pantai tidak boleh dilakukan aktiviti pertanian dan ini menyalahi akta alam sekitar,” katanya.

Misran mendakwa sejak kewujudan kolam udang ini disyaki hasil kerang dan laut berkurangan sehinggakan menjejaskan pendapatan nelayan.

“Saya anggarkan yang terjejas daripada kewujudan kolam udang ini lebih daripada 1,000 orang,sekarang ini mereka tidak dapat pergi ke laut untuk mencari hasil,” katanya.

Sebelum ini, petani Manan Osman,54, mendakwa sebelum wujudnya kolam udang ini pendapatan para petani di kawasan ini agak lumayan berbanding sekarang ekoran kehadiran monyet-monyet yang banyak memasuki kawasan pertanian ekoran penerokaan hutan yang menjadi habitat hidupan liar itu.

“Saya memang membantah sekeras-kerasnya projek ini.Sikap Noh Omar tidak memahami hati rakyat,petani terlalu risau memikirkan bagi mengatasi masalah yang dihadapi kami sekarang,” ujarnya.

Sehingga berita ini ditulis, usaha Selangor Kini menghubungi Setiausaha Politik kepada Noh iaitu Datuk Mohammed Shafie Asnami untuk mendapatkan respon berkenaan bantahan petani berkenaan belum berhasil kerana beliau diberitahu masih berada dalam mesyuarat.

Categories
NASIONAL

Noh Omar Beli Tanah Murah, Buat Ternakan Udang


SHAH ALAM, 12 JUL : Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini digemparkan tentang skandal pembelian tanah oleh Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar di Bagan Tengkorak, Tanjong Karang pada 1995.

Lebih lagi, Noh, yang sekarang Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, telah memulakan projek ternakan udang pada tahan 30 ekar itu bersama sebuah syarikat Pristine Agrofood Sdn Bhd.

Penglibatan Noh di dalam syarikat itu, kata Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) yang mendedahkan skandal tersebut, menimbulkan persoalan percanggahan kepentingan kerana Noh merupakan menteri yang bertanggungjawab mengelola industri itu.

Noh membeli tanah 30 ekar itu dengan hanya membayar RM100,000 berbanding harga asal kira-kira RM3 juta pada ketika itu, kata Suee Lim.

Katanya, tanah itu yang asalnya berstatus komersil kemudiannya ditukar kepada tanah pertanian demi menjayakan projek ternakan udang itu pada 2011.

“Rakyat susah untuk mendapat tanah tetapi seorang pemimpin kanan diberi tanah dengan mudah pada ketika itu. Saya telah melawat kawasan itu dan mendapati statusnya adalah untuk ternakan udang,” katanya semasa sesi perbahasan di hari terakhir persidangan DNS.

Suee Lim dalam pada itu turut mendedahkan surat akuan sumpah yang membuktikan usahasama Noh bersama pengarah Pristine Agrofood Sdn Bhd, Chu Bak Teck.

Mengikut dokumen yang didedahkan Suee Lim, Noh mendapat tanah itu pada 13 Jun 1995. Hasil carian di laman web Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menunjukkan Noh memenangi kerusi Ahli Parlimen Tanjong Karang buat kali pertama pada April 1995.

“Kes ini saya anggap sebagai skandal tanah dan bukti wujudnya percanggahan kepentingan kerana beliau ketika ini ialah seorang menteri yang memegang portfolio pertanian dan industri asas tani yang secara terang terlibat secara langsung dalam industri itu.

“Di manakah maruah Umno-BN yang kononnya memperjuangkan hak rakyat tetapi parti terlibat dalam kes sapu tanah rakyat?” soalnya.

Sementara itu, DNS meluluskan Rang Undang-undang yang dicadangkan Suee Lim supaya tidak membenarkan wakil rakyat, ahli majlis dan pihak berkuasa tempatan membuat sebarang permohonan untuk memiliki tanah kerajaan negeri.

Usaha TV Selangor menghubungi Noh bagi mendapatkan respon beliau bagaimanapun gagal. Panggilan dan mesej pesanan ringkas yang dihantar kepada nombor telefon beliau tidak dibalas.

Categories
SELANGOR

Gaji K/Tangan, Pusat Khidmat Dun Akan Dinaik Kepada RM1,500

SHAH ALAM 12 JULAI : Kerajaan Negeri Selangor akan mengkaji semula pengstrukturan gaji kepada kakitangan yang berkhidmat di Pusat Khidmat Dun dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata perkara terbabit perlu diselaraskan kerana ia di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Katanya, gaji pokok akan dinaikkan kepada RM1,500 sebulan dan penambahan kakitangan di pusat khidmat itu juga akan ditambah kepada tiga kakitangan.

Selain itu, Kerajaan Negeri akan meminta Suruhanjaya Perkhidmatan negeri untuk mengaji elaun petugas dewan Dun yang dikatakan tidak disemak sejak tahun 2004.

Abdul Khalid menambah, Kerajaan Negeri juga akan memberi peluang kepada pekerja bertaraf kontrak untuk diserapkan kepada jawatan tetap.

“Dalam masa terdekat ini saya akan bentangkan di Mesyuarat Exco untuk tindakan dan pandangan semua pihak,” katanya yang menjawab cadangan Ng Suee Lim (Sekinchan -DAP).

Sebelum ini, Adun Skinchan, Ng Suee Lim mencadangkan Kerajaan Negeri supaya menyelaraskan gaji minimum kepada kakitangan Pusat Khidmat Dun.

Katanya, gaji pokok kakitangan terbabit sebelum ini adalah sebanyak RM1,100 dan kakitangan Kerajaan Negeri yang bertaraf kontrak lebih dari 10 tahun perlu diserap kepada jawatan tetap supaya kebajikan mereka di terjamin.

Categories
SELANGOR

Selangor Dapat Pelaburan RM 4.5 Bilion Pada Petengahan Tahun Pertama

SHAH ALAM 10 JULAI : Negeri Selangor mengekalkan tangga kedua dalam prestasi pelaburan di negara ini dengan mencatatkan nilai pelaburan sebanyak lebih RM4.5 bilion daripada 90 projek perkilangan yang diluluskan dalam tempoh enam bulan ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok Suh Sim berkata prestasi pelaburan negeri Selangor amat memberangsangkan berbanding negeri lain.

Katanya, bagi tempoh Januari hingga Jun tahun 2010 nilai pelaburan mencatatkan sebanyak lebih RM10.6 bilion daripada 325 projek ; 2011 sebanyak lebih RM8.7 bilion daripada 263 projek.

“Selangor kekal di tangga kedua selepas negeri Sabah, bagaimanapun nilai pelaburan itu tidak jauh iaitu perbezaan hanya RM2 juta sahaja,” katanya yang menjawab soalan Ng Suee Lim (Sekinchan – DAP).

Sumber itu diperolehi mengikut perangkaan daripada Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).

Teresa menambah sebanyak tujuh projek dengan nilai pelaburan lebih RM72 juta berjaya diperolehi Negara-negara Arab sejak dua tahun lalu.

“Untuk makluman, dari Januari hingga April tahun ini, sebanyak satu projek dari Saudi Arab yang terletak di Puncak Alam.

“Manakala bagi tempoh yang sama tahun 2011, tiga projek dari negara Iran iaitu di Puncak Alam, Sungai Buloh dan Seri Kembangan.

“Selain itu, bagi tempoh yang sama tahun 2010, sebanyak tiga projek antaranya projek di Hulu selangor dari Iran dan dua projek dari Emiriah Arab Bersatu iaitu di Sungai Buloh dan Seksyen 22, Shah Alam,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga akan menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) dengan beberapa syarikat dari negara Iran, Oman dan Qatar Sabtu ini.

“Dengan MOU itu kita berharap banyak pelaburan dari negara-negara itu pada masa akan datang,” katanya.

Categories
NASIONAL

Lagi Skandal Umno Beli Tanah, Selangor Rugi Lebih RM 3 Juta.

SHAH ALAM, 7 JULAI: Adun Sekinchan, Ng Suee Lim hari ini mendedahkan satu lagi kes pembelian tanah oleh Umno Tanjong Karang yang merugikan rakyat Selangor. Kali ini negeri hilang RM3.3 juta akibat diskaun premium yang diberikan kepada parti itu.

Tanah komersial keluasan 1.2 hektar tersebut terletak di Jalan Sungai Kajang, Tanjong Karang dan Umno Tanjong Karang hanya membayar premium RM130,244.

Sedangkan tanah itu mempunyai nilai pasaran sebanyak RM3.3 juta pada tahun 2001, semasa Umno Tanjong Karang membuat pembelian.

Menurut Suee Lim, pada ketika itu mantan Menteri Besar, Dr Mohamed Khir Toyo merupakan Ketua Bahagian Umno Tanjung Karang.

Menurutnya, pada masa itu, Umno Tanjong Karang merayu supaya harga asal premium tanah dikurangkan dan kerajaan negeri, yang diterajui Dr Mohamed Khir pada masa itu, meluluskan permohonan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada April 2002.

“Secara tidak langsung Umno mendapat durian runtuh sekiranya dijual atau dipindah milik dengan keuntungan RM3.1 juta,” kata Suee Lim pada satu sidang media di sini.

Ini merupakan pendedahan kedua yang dibuat Suee Lim selepas mendedahkan bahawa Umno bahagian yang sama membeli tanah 47,000 kaki persegi daripada Kerajaan Negeri Umno-BN pada masa itu dengan harga premium hanya satu ringgit untuk satu kaki persegi.

Walhal, premium tanah tersebut pada masa ia dibeli pada 2002 adalah RM 27 untuk satu kaki persegi.

“Ini adalah antara siri tanah-tanah kerajaan yang diagihkan kepada Umno oleh Kerajaan BN dahulu. Khir Toyo sebagai Ketua Bahagian Tanjong Karang pada ketika itu.

“Tanah diagihkan begitu murah, sedangkan rakyat pada ketika itu tidak diluluskan meskipun tapak rumah.

“Apakah modal Umno nak berbicara soal ketelusan. Umno ghairah isu Talam tapi tidak berasas. Pada masa sama mereka mengutamakan kepentingan diri sendiri,” katanya.

Tegas Suee Lim, beliau mencabar Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar agar dapat memberikan penjelasan sewajarnya kepada rakyat mengapa tanah diberikan dengan begitu murah.

 

Categories
SELANGOR

Petani Berdemo Tuntut Noh Kaji Dasar Monopoli Penjualan Benih Padi

SUNGAI BESAR,9 JUN : Kerugian hampir RM300,000 semusim yang membabitkan kira-kira 300 petani di sekitar Sekinchan disebabkan dasar monopoli penjualan benih padi sehingga menyusahkan petani.

Ekoran tidak puas hati dengan dasar itu, hari ini hampir 50 orang petani mengadakan perhimpunan aman bagi menggesa Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar agar mengkaji semula dasar berkenaan atau dimansuhkan sahaja.

Kumpulan petani berharap pihak Kerajaan Pusat memberi peluang kepada syarikat-syarikat bukan Bumiputera dan yang berkelayakan agar diberikan hak urusniaga pembelian dan penjualan benih padi selaras dengan semangat 1Malaysia yang dilaungkan Perdana Menteri.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim yang turut sama menyertai himpunan aman di Kampung Site B Sekinchan di sini mendakwa, pembelian benih padi yang kini diswastakan menyebabkan petani berhadapan dengan masalah harga yang tidak stabil serta menjejaskan sumber pendapatan.

“Sekarang semua urusniaga penjualan benih padi setiap tahun adalah 80,000 tan, ada perbezaan benih padi yang digunakan ditanam khusus untuk benih padi, dan benih padi akan dijual serta diproses oleh pengilang kemudian akan dijual kembali kepada petani sebagai benih dan bukan beras.

“Kalau dahulu sekurang-kurangnya ada empat syarikat bukan Bumiputera dalam menceburi dalam aktiviti urusan pembelian dan penjualan benih padi tetapi sekarang tiada lagi syarikat bumiputera,” kata Suee Lim.

Jelas beliau lagi, petani berhadapan masalah tidak mempunyai kebebasan untuk menjual benih-benih padi ini dan terpaksa menjual kepada syarikat yang ditetapkan dengan harga yang tidak terjamin.

“Kadang-kadang berlakunya masalah birokrasi yang akan menyebabkan petani menjual benih padi ini dengan harga padi biasa, dan ini menjejaskan pendapatan hasil petani dan sukar untuk menyara keperluan keluarga disebabkan harga barangan yang sudah meningkat,” katanya.

Beliau menyarankan agar urusniaga benih padi itu dikembalikan kepada Jabatan Pertanian.

“Kerugian yang dihadapi petani untuk satu keping adalah dianggarkan kira-kira RM1,000 dan apabila terdapat 300 petak sawah maka jumlahnya keseluruhan dianggarkan mencecah RM300,000.

“Bagi petani jika mereka berkurangan pendapatan RM1,000 ia amat menjejaskan kepada perbelanjaan keluarga,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit 7 Baroh, Rojikin Sarbini berkata, dasar yang diamalkan ini perlu ditukar kerana ada beberapa kes di mana benih padi yang dijual kembali kepada petani tidak memenuhi spesifikasi yang menyebabkan berlakunya masalah padi angin.

“Oleh kerana kuota tersebut tidak dapat menampung permintaan yang menyebabkan benih-benih ini kurang berkualiti.

“Kita berkumpul di sini pelbagai kaum adalah untuk menyatakan rasa tidak puas hati yang dizahirkan oleh para petani,” katanya.

Seorang petani, Loo Kum Yong,70, berkata, beliau menyokong usaha dan desakan petani di Sekinchan itu dengan harapan agar Kerajaan Pusat mengambil perhatian masalah mereka dan dasar yang membebankan itu dikaji semula demi masa hadapan petani di sini.

Categories
NASIONAL

18 Bulan Berlalu, Polis Masih Gagal Siasat Insiden Samseng Pukul Adun Sekinchan

SHAH ALAM,3 MEI : Adun Sekinchan, Ng Suee Lim kesal dengan tindakan pihak polis yang masih gagal mengambil sebarang tindakan tegas terhadap samseng yang didakwa dari kalangan penyokong Umno serta didalangi pemimpin Umno Tanjong Karang dua tahun lalu.

Pada 4 November 2010, Suee Lim mendakwa dipukul kira-kira 30 hingga 50 ahli Umno Tanjong Karang yang didalangi Setiausaha Politik Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Shafiee Asmawi.

Ng Suee Lim berkata, sehingga hari ini sudah 18 bulan kes itu berlaku namun tiada sebarang tindakan yang dikenakan terhadap penyerang.

“Sampai hari ini 18 bulan yang lalu dan kita mempunyai saksi-saksi, polis sudah memanggil dua kali pihak saksi kejadian Hamidun Salim untuk membuat pengecaman kepada pihak-pihak yang memukul itu tetapi malangnya orang yang dipanggil untuk membuat kawad cam itu tidak hadir sebanyak dua kali.

“Kita kesal mengapa polis tidak mengeluarkan waran tangkap kepada mereka yang tidak hadir,” katanya di pekarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini bagi urusan saman Noh Omar terhadap beliau berhubung isu subsidi padi.

Hadir di pekarangan itu, kira-kira 30 penyokongnya yang menyatakan pendirian bersama agarĀ  polis segera mengambil tindakan tegas.

Tambah beliau, tempoh selama 18 bulan tanpa sebarang tindakan terhadap penyerang-penyerang beliau tidak dapat diterima seraya menjejaskan professionalisme polis.

“Saya minta penjelasan kepada pihak polis mengapa samseng-samseng itu tidak dipanggil untuk kawad cam dan diambil tindakan,” katanya.

Dalam kejadian terbabit Ng Suee Lim dipukul dan ditendang di bahagian perut, kepala dan tangan berhampiran Kampung Kunci Air Buang di Kampung Sawah Sempadan.

Selain itu, dua pembantunya turut mengalami kecederaan ringan dan kereta milik pengiringnya juga kemik di bahagian pintu belakang.

 

 

 

 

Categories
NASIONAL

Dakwaan Adun Sekinchan Berfakta, Noh Digesa Tarik Balik Saman

SHAH ALAM, 3 MEI : Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar digesa menarik balik saman yang dikemukakan terhadap Adun Sekinchan berjumlah RM10 juta berhubung skim insentif hasil padi yang tertunggak seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Menurut Peguam, M Manoharan yang mewakili Ng Suee Lim berkata, fakta pembelaan yang difailkan kepada anak guamnya secara jelas menyenaraikan fakta-fakta yang menyanggah tuntutan saman tersebut secara bermerit.

“Dalam pembelaan ini saya menegaskan, plantif tidak layak untuk menjadi ahli politik, wakil rakyat dan khususnya Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani,” katanya dalam sidang media di pekarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini.

Manoharan berkata, kenyataan pembelaan ituĀ  difailkan pada 24 April lepas dan pengurusan kes hari ini yang dihadiri memberikan masa kepada pihak plaintif untuk menjawab segala fakta pembelaan yang dikemukakan pada satu tarikh masa yang akan ditetapkan kemudian.

“Kita memfailkan pembelaan apa yang dikatakan oleh YB Ng Suee Lim adalah benar dan bukan sesuatu yang diada-adakan, beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri mempunyai hak untuk menyuarakan perkara-perkara yang berkepentingan awam berkenaan dengan rakyat.

“Beliau juga mempunyai perlindungan bersyarat (qualified privilege) sebagai seorang Adun dan komen-komen yang dikeluarkan oleh YB Ng Suee Lim adalah sangat berpatutan (Fair Comment).

Manoharan juga berkata, beliau membuat permohonan untuk jaminan kos di bawah Aturan 23, Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 (KMT 1980) dan akan memohon untuk membatalkan tuntutan plaintif di bawah Aturan 18 Kaedah 19 KMT 1980.

“Kita akan lawan Noh Omar dalam kes ini kerana kita mempunyai pembelaan yang bermerit dan kita yakin untuk menang dalam kes ini, kita harap sebelum kita berlawan bermati-matian diharap ditarik balik kes ini,” tegas beliau.

Sementara itu Suee Lim berkata beliau bersedia bila-bila masa bagi mempertahankan dakwaan yang dikemukakan sebelum ini dalam usaha membela hak dan kebajikan para petani dan pesawah.

Ng Suee juga hairan mengapa Noh tidak menyaman akhbar Sinchew Jit Poh, Guang Ming dan China Oriental yang menyiarkan isu yang sama.

Beliau juga tidak serik dengan tindakan saman oleh Noh, ini kerana dalam tempoh tidak sampai sebulan, ramai para petani yang sudah menerima imbuhan insentif hasil padi secara berperingkat hasil pendedahannya.

Turut hadir sama kira-kira 30 petani dari Sekinchan yang berbaju hitam dengan lilit lengan kuning yang menyatakan solidariti dalam mempertahankan perjuangan Ng Suee Lim membela nasib petani dan pesawah.

Selain Kerajaan Negeri Selangor, Noh turut menamakan enam orang dari sidang pengarang akhbar rasmi negeri Selangor itu sebagai defendan.

Noh, yang memfailkan saman melalui firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, menuntut ganti rugi berjumlah RM20 juta.

Dalam pernyataan tuntutannya, anggota Parlimen Tanjong Karang itu mendakwa Selangor Kini menyiarkan dua artikel berunsur fitnah dalam edisi bertarikh 25 November hingga 2 Disember 2011.

Noh mendakwa dua artikel itu bertajuk “Pesawah tuntut Noh Omar letak jawatan” dan “Noh Omar khianat petani dan lesap RM110 juta untuk bantuan petani”.