Categories
NASIONAL

Pemimpin BN Dicabar Melawat Tapak Skandal Tanah Di Selangor

SHAH ALAM,5 DIS : Ketua Biro Profesional Muda MCA Pusat, Datuk Chua Tee Yong dijemput melawat tapak 24 keping tanah milik Kerajaan Negeri Selangor yang diberikan kepada Umno-BN sekitar tahun 2004 -2008.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dalam kenyataan medianya berkata, Chua yang terlalu obses berkenaan ‘skandal tanah’ khususnya di Selangor perlu menerima tawaran jemputan ini.

Kata Tony, lawatan bersama ke 24 tapak tanah itu bagi mengesahkan samada tanah yang diberikan kepada Umno, MCA, MIC dan Gerakan sememangnya digunakan untuk ‘komuniti’ atau untuk keuntungan parti dan kroni.

“Semasa lawatan bersama Adun Sekinchan, Ng Suee Lim dan Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh ke kawasan tapak seluas 87.188 kaki persegi di Ara Damansara yang diberikan kepada Umno Bahagian Subang mendapati tidak wujud tadika atau dewan komuniti.

“Sebaliknya kita mendapati sebuah kondominium 200 unit – Kondominium Suria Damansara bernilai lebih daripada RM500 juta yang mula dilancarkan pada tahun 2006,” kata Tony.

Justeru, lawatan bersama itu juga bagi mengenalpasti keuntungan 23 daripada 24 tapak tanah itu yang diperolehi oleh anggota BN daripada tanah tersebut yang diperolehi pada harga murah daripada Kerajaan Negeri BN sebelum ini.

Ng Suee Lim yang dihubungi berkata, dakwaan Ketua Bahagian Umno Subang, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor yang menafikan pemilikan tanah oleh Umno Subang itu sebagai tindakan untuk melindungi diri semata-mata tanpa hujah kukuh.

Kata Suee Lim, geran tanah tersebut masih di atas nama Umno Bahagian Subang yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan rakyat membina dewan serbaguna dan tadika.

“Sepatutnya beliau mengetahui wujudnya tanah ini yang mungkin berlaku sebelum beliau menjadi Ketua Bahagian Umno Subang, sepatutnya beliau mempunyai rekod berkenaan perkara ini,” kata Suee Lim.

Jelas beliau, perkara ini akan di bawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) dan juga laporan kepada polis akan dibuat dalam masa terdekat.

“Menteri Besar Selangor pun bersetuju perkara mengenai ini di bawa ke Selcat yang kini akan diteliti oleh Jawatankuasa Selcat,” katanya.

Categories
SELANGOR

Rizab PBT Catat Peningkatan Dalam Tempoh Lima Tahun

SHAH ALAM, 30 NOV : Rizab Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor menunjukkan peningkatan memberangsangkan dari tahun 2007 hingga 2011 iaitu daipada RM83.25 juta kepada RM142.50 juta.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata, PBT sentiasa berusaha memperbaiki serta memperkukuhkan kedudukan rizab masing-masing dari tahun ke tahun.

Justeru, pelbagai langkah proaktif diimplementasikan pihak PBT untuk memastikan rizab mereka terus stabil dan sentiasa bertambah.

Antaranya, mempertingkatkan kutipan cukai taksiran dengan menguatkuasakan tindakan di bawah Seksyen 148 Akta 171.

“PBT juga menubuhkan jawatankuasa bagi memastikan pelaksanaan kutipan dan sasaran hasil dijalankan. Program insentif kepada kakitangan turut diberikan sekiranya mencapai sasaran kutipan hasil yang ditetapkan melalui Jawatankuasa Teras Hasil.

“Selain itu, PBT turut melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan bagi meningkatkan prestasi kutipan hasil. Kaedah penjimatan, kawalan bajet dan kawalan kos dipraktikkan dari masa ke masa untuk menggalakkan jabatan membuat perbelanjaan berdasarkan keperluan dan keutamaan tanpa melibatkan sebarang kos tambahan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan lisan daripada Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) berhubung kedudukan rizab PBT di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pagi tadi.

Tambahnya, pihak PBT juga membuat perbandingan faedah yang telah ditawarkan pihak bank bagi memastikan pelaburan simpanan tetap dibuat ke dalam bank yang menawarkan faedah kompetetitif.

“Semua PBT turut berusaha mencari hasil-hasil baru yang akan membantu menjana pendapatan mereka secara konsisten di masa akan datang,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Usul Desak Kementerian Pertanian Semak Tender Benih Padi Meragukan


SHAH ALAM, 30 NOV: Adun Sekinchan, Ng Suee Lim membentangkan usul di dalam Dewan Negeri Selangor (DNS) mendesak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyemak semula pemberian tender kepada dua buah syarikat pembekal benih padi.

Syarikat tersebut adalah Seri Merbok Sdn Bhd dan Hj Mohd Noor Sdn Bhd yang masing-masing mendapat tender sebanyak 22,000 tan
dan 20,000 tan.

Seri Merbok Sdn Bhd diketuai oleh pengarahnya Datuk Rais Zainuddin yang juga bekas exco Negeri Sembilan manakala Hj Mohd Noor dimiliki bapa kepada Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Sungai Besar, Selangor, Ahmad Fuad Mohd Noor.

Sedangkan menurut Sue Lim, beberapa syarikat lain hanya berjaya memperolehi tender sekitar 2,000 hingga 8,0000 ribu tan sahaja.

“Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang diketahui mempunyai kemampuan lebih baik dari segi kewangan, jentera dan kepakaran hanya dapat sedikit atau tidak dapat langsung.

“Ini ada sesuatu yang tidak kena, apa keistimewaan mereka ini sebab ini adalah wang rakyat dan saya mengesyaki mereka adalah kroni,” kata Suee Lim ketika ditemui TV Selangor selepas persidangan ditangguhkan petang ini.

Suee Lim mendakwa kegagalan kementerian memberikan tender kepada pihak yang mampu menyebabkan benih yang dibekalkan tidak berkualiti sekaligus menjejaskan pendapatan pesawah.

“Tindakan seperti ini sekiranya berlaku, tentu hanya menguntungkan kroni berbanding petani iaitu rakyat,” ujar beliau lagi.

Sue Lim berkata sekiranya usul ini diluluskan, satu surat dari Dewan Negeri Selangor akan dihantar kepada kementerian untuk meminta semakan semula dilakukan.

Beliau juga berharap agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis dapat menjalankan siasatan terhadap isu ini.

Categories
SELANGOR

Majoriti Pemilik Tanah Baru Adalah Melayu


SHAH ALAM 29 NOV : Hampir 7,000 hak milik tanah dikeluarkan Kerajaan Negeri sejak mengambil alih tampuk pemerintahan empat tahun lalu.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) bahawa lebih separuh daripada jumlah tersebut juga adalah pemilikan kepada rakyat Selangor yang berbangsa Melayu.

Kira-kira sejumlah 3,833 penerima adalah berbangsa Melayu,
1,994 berbangsa Cina sementara 1,171 adalah berbangsa India.

Abdul Khalid ketika menjawab soalan daripada Adun Sekinchan, Ng Suee Lim turut menyatakan Kerajaan Negeri menggalakkan permohonan tanah secara berkelompok.

Kesemua permohonan yang menepati syarat, lengkap dan teratur akan diluluskan Kerajaan Negeri.

“Namun terdapat juga isu yang menyebabkan kita menghadapi masalah untuk meluluskan permohonan rakyat,” ujarnya yang juga Adun Ijok.

Antara isu yang dihadapi Pejabat Tanah Daerah ialah permohonan yang melibatkan rizab kerajaan seperti rizab jalan dan sungai selain masalah teknikal antara kedudukan tanah dan mukim berbeza yang memerlukan laporan berasingan.

Categories
SELANGOR

Keperluan Infrastruktur Sekolah Agama Dinilai Tiap Tahun

SHAH ALAM, 28 NOV : Keperluan Sekolah Rendah Agama(SAR) akan dinilai setiap tahun oleh Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi memastikan sekolah berkenaan mendapat bantuan yang diperlukan mengikut keutamaan.

Exco Pendidikan, Dr Halimah Ali berkata, polisi ini diamalkan setiap tahunbukan sahaja terhadap infrastruktur sekolah malah melibatkan dan keperluan tenaga pengajar.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan perbahasan Jawatankuasa Belanjawan Jabatan Agama Islam Selangor yang dibangkitkan oleh Adun Skinchan, Ng Suee Lim.

Suee Lim dalam soalannya membangkitkan keadaan usang Sekolah Rendah Agama Parit 7, Skinchan selain mengalami masalah infrastruktur terutama tandas pelajar.

“Saya setuju sekolah yang disebutkan Skinchan merupakan satu keutamaan kerana iamelibatkan kemudahan asas,” ujar Dr Halimah lagi.

Untuk tahun ini, sebanyak RM8 juta diperuntukkan Lembaga Zakat Selangor untuk pembangunan infrastruktur.

Selain itu, Dr Halimah turut menyatakan sejak tahun 2008, satu Majlis Permuafakatan Institusi Pendidikan Selangor (Mafis) yang dianggotai oleh rakyat Islam di Selangor ditubuhkan untuk memikirkan langkah jangka panjang menaikkan prestasi sekolah agama di negeri ini.

Jelasnya, sekolah rendah agama merupkan sekolah yang dibangunkan Kerajaan Negeri termasuk dari segi penyediaan tapak manakala sekolah agama rakyat pula ditanggung sepenuhnya rakyat.

Sehingga kini, Selangor mempunyai 23 sekolah rendah agama, 11 sekolah integrasi agama dan lebih 230 sekolah Kafa.

Categories
SELANGOR

Lebih 83,000 Telah Sertai Program Jom Shopping Bonus Selangorku

SHAH ALAM 27 NOV : Program ?Jom Shopping Bonus Selangorku? melibatkan peserta Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran kira-kira 65 peratus peserta dalam program dianjurkan setakat ini.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail berkata, seramai 83,551 peserta telah diluluskan untuk program tersebut setakat 2 November lalu.

Menurutnya, untuk makluman pemberian manfaat Jom Shopping Bonus Selangorku diberi berdasarkan tahun kelahiran peserta.

“Kini Tawas sedang mengagihkan manfaat tersebut kepada ahli yang lahir pada 2008 berjumlah 16,000 seperti diperuntukkan dan manfaat itu dibahagikan mengikut pecahan kaum.

“Program ini bersifat ‘one-off’ iaitu pemberian diberikan berdasarkan tahun kelahiran keempat ahli Tawas yang diluluskan pendaftaran bagi 2008, 2009, 2010 dan 2011,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Adun Sekinchan Ng Suee Lim dalam sesi sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Rodziah berkata, peruntukan RM7.5 juta disediakan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) bagi program tersebut yang mana RM 1.6 juta telah disalurkan kepada Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Wakil UMNO ‘Mengamuk’ Bila Isu ‘Sapu’ Tanah Didedahkan

Sinopsis:

Wakil BN (Kuang) seperti hilang kawalan apabila Adun Sekinchan Ng Suee Lim mendedahkan bagaimana Umno Selangor telah menjual beberapa keping tanah kepada MCA, MIC, dan Gerakan ketika berkuasa di Selangor sebelum ini.

Categories
SELANGOR

Istilah ‘SaT1M’ Sesuai Diguna Banteras Skandal Pemilikan Tanah Umno-BN

SHAH ALAM, 24 NOV : Cadangan Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei untuk menggunakan istilah “Sapu Tanah 1 Malaysia” (SaT1M) bagi merujuk kepada skandal pemilikan tanah di Selangor oleh Kerajaan Umno-BN dipersetujui Adun Sekinchan, Ng Suee Lim.

Istilah itu dianggap relevan, kata Shuhaimi kerana ia berkait rapat dengan penglibatan Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor (DNS), Datuk Mohd Satim Diman dalam isu pembelian tanah dengan harga murah.

“Saya mencadangkan perkataan sapu tanah itu diganti dengan istilah lebih sesuai kerana cara pengambilan tanah oleh Umno-BN. Sebagai penghargaan kepada Sri Serdang, kita tukar kepada Sat1M bagi menggambarkan kepakaran Sri Serdang pernah menjual tanah November 2011,” katanya.

Shuhaimi sebelum ini pernah mendedahkan tiga kes salah guna kuasa oleh Satim, iaitu pemberian tanah Kerajaan kepada Umno Kota Raja pada 2007 dan cubaan Ketua Umno Puchong Datuk Satim Diman untuk menjual tanah rizab Melayu kepada syarikat bukan Bumiputera.

Satim juga didakwa menggunakan pengaruhnya di dalam pentadbiran Umno-BN yang lama bagi menjual tanah anak syarikat Kerajaan Negeri kepada sebuah syarikat swasta di mana beliau mempunyai kepentingan.

Dalam pada itu, Suee Lim mendedahkan 23 lot tanah di tujuh daerah seluruh Selangor dari 1999 hingga 2008 yang diperoleh ketika era pentadbiran Umno-BN dianggarkan bernilai tidak kurang daripada RM300 juta.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana tanah berkeluasan 33.5 ekar itu hanya dikenakan bayaran premium serendah RM1 untuk satu kaki persegi.

“Ramai rakyat mempersoalkan bagaimana pengurusan tanah 24 lot tanah yang komersial itu boleh diluluskan kepada Umno, MCA, MIC dan Gerakan? Setelah diteliti, harga kesemua tanah itu tidak kurang daripada RM300 juta.

“Bagaimana premium itu boleh dikurangkan sehingga harga begini? Siapa yang duduk dalam jawatankuasa tanah pada ketika itu? Inilah perangai Umno-BN yang kononnya ingin membela hak rakyat, sentiasa memalukan dulu, kini dan selamanya,” katanya.

Sementara itu, ketika menjawab pertanyaan daripada Suee Lim berhubung pemilikan tanah, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri menggunakan sistem terbuka (sistem digital) tanpa perlu merujuk kepada pejabat daerah.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri bercadang untuk meneliti semua pemilikan tanah bagi memastikan ia dilakukan secara tertib tanpa wujudnya penyalahgunaan kuasa oleh mana-mana pihak.

“Sekiranya pembelian tanah itu tidak digunakan seperti yang dicadangkan, maka Kerajaan Negeru berhak untuk mengambil semula tanah itu. Kita perlu meneliti dokumen pemberian dan jika wujud salah guna kuasa, maka kita boleh ambil tindakan undang-undang,” katanya.

Categories
NASIONAL

Suee Lim : Umno-BN Sapu 23 Lot Tanah Nilai Lebih RM 20 Juta


SHAH ALAM 20 NOV : Kes pemilikan tanah di Selangor oleh parti komponen Umno-BN akan dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana didakwa terdapat penyalahgunaan kuasa.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berkata tanah tersebut melibatkan 23 kawasan di tujuh daerah seluruh Selangor dari 1999 hingga 2008 yang diperoleh ketika era pentadbiran Umno-BN.

Ia melibatkan parti komponen dan pemimpin Umno-BN termasuk Umno, MCA, MIC dan Gerakan di mana parti-parti tersebut hanya dikenakan bayaran premium RM 1 satu meter persegi.

Katanya, semua kawasan tersebut melibatkan nilai lebih
RM 20 juta dengan saiz setiap lot antara satu hingga tujuh ekar yang mana Umno menerima 14 kawasan, MCA (lima), MIC (tiga) dan Gerakan (satu).

“Kes ini wujud elemen salahguna kuasa dan bagaimana ia diluluskan, kenapa untuk Umno-BN, kita akan minta perkara ini disiasat.

?Kita juga akan buat laporan polis dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media di lobi Dewan Annex sempena sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Suee Lim mendakwa kes-kes tersebut melibatkan pemimpin Umno bahagian seperti Selayang, Ampang, Subang, Puchong, Tanjong Karang dan Sungai Besar.

“Semua 23 kawasan tanah ini adalah tanah dengan nilai tinggi iaitu tanah komersial.

?Semua kegunaan untuk perniagaan seperti rumah kedai dan bangunan perniagaan. Bila mereka dapat tanah ini mereka akan buat usahasama dengan mereka dapat dana keuntungan,” dakwanya lagi.

“Inilah antara contoh dan wajah sebenar Umno-BN yang beria-ria sekarang serang (Kerajaan PR) sana sini tetapi hakikatnya mereka ialah pihak yang Sapu Tanah Rakyat.

?Rakyat didahulukan tetapi dalam kontek di mana Umno, MCA dan yang lain, merekalah yang didahulukan.?

Categories
SELANGOR

Pesawah Perlu Kembali Amal Pertanian Mesra Alam

SUNGAI BESAR, 12  NOV : Pesawah digalakkan melaksanakan penanaman padi yang mesra alam dengan menggunakan baja organik dalam usaha mengurangkan kos daripada menggunakan baja kimia yang harganya semakin meningkat dari masa ke semasa.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, negeri Selangor melangkah ke depan dalam pelaksanaan pertanian mesra alam dengan menggalakkan para petani menggunakan teknik Sistem Intensifikasi Padi (SRI) bagi mengurangkan kos penanaman padi dan pencemaran air.

“Petani yang berani perlu melangkah menggunakan baja organik dan secara berperingkat meninggalkan penggunaan baja kimia,” katanya.

Menurut beliau, apabila pesawah menggunakan baja organik maka secara tidak langsung akan mengurangkan kadar bahan kimia yang wujud di sungai dan tali air.

“Akhirnya nanti apabila menggunakan kaedah mesra alam ini, ikan-ikan akan kembali ke bendang, sekarang ikan-ikan ini berkurangan disebabkan menggunakan pelbagai jenis racun yang mengancam hidupan ikan,” katanya semasa Majlis Perasmian Benih Padi SRI di Tali Air 14, Simpang Lima di sini.

Sementara itu, Exco Pertanian Dan Industri Asas Tani Kedah, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, amalan pertanian yang lestari alam ini akan memberikan keuntungan jangka panjang kepada generasi akan datang.

Ujarnya, kaedah SRI ini akan diperluaskan di seluruh Negeri Kedah dan usaha pemberi penerangan serta tunjuk ajar kepada pesawah akan diperluaskan.

“Amalan lestari alam ini lebih mudah didekati dan memikat hati para petani yang dikawasan masyarakat miskin kerana bahan untuk membuat baja boleh didapati di sekeliling mereka,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan kaedah yang mesra alam ini adalah untuk memastikan kesejahteraan alam sekitar dalam jangka masa panjang di kawasan bendang-bendang sawah yang menjadi sumber makanan.

“Kaedah ini kita bawa kepada masyarakat untuk digunakan ilmu-ilmu ini untuk mensejahterakan rakyat dan memastikan pengeluaran makanan mencukupi ekoran pertambahan penduduk dan kawasan pertanian yang semakin mengecil,” katanya.

Categories
NASIONAL

Protokol Eksport Akan Bankrapkan Industri Sarang Burung Walit


TANJONG KARANG, 16 SEPT : Pengusaha sarang burung walit mendesak kerajaan pusat agar menunda tandatangan protokol eksport produk tersebut ke China yang dijadualkan pada 20 September ini.

Jika protokol itu ditandangani ia akan menyebabkan 90 peratus daripada jumlah pengeluaran sarang burung walit di Malaysia setiap bulan tidak dapat dieksport.

Perkara demikian diutarakan dalam memorandum daripada Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Sarang Burung Walet SeMalaysia, Lim Lai Soon kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar di sini.

“Kesannya seluruh penternak akan mengalami masalah kewangan dan mengalami kesulitan untuk membayar pinjaman daripada institusi bank di Malaysia,” kata Lim Lai semasa membacakan memorandum yang diserahkan kepada Noh di sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi mewakili sembilan persatuan yang berkaitan dengan industri burung walit negara.

Ia melibatkan Gabungan Persatuan-persatuan Perniagaan Sarang Burung Walit se Malaysia, Persatuan Penternak Malaysia, Persatuan Pengeksport Malaysia, Komiti Penyelamat Industri Burung Walit, Komiti Gerakan Burung Walit.

Turut sama, Persatuan Peniaga Burung Walit, Persatuan Industri Sarang Burung Walit Perak, Persatuan Penternak Kuala Krai dan Gabungan Persatuan-Persatuan Industri Burung Walit Pahang.

Ujar beliau lagi, syarat untuk memasang Sistem Kesan dan Jejak Dalam Talian Sarang Burung Walit yang menggunakan teknologi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) adalah cadangan pihak-pihak tertentu untuk membolehkan mereka mengaut keuntungan.

Sebelum ini, sistem itu dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Jabatan Veterinar, di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Projek di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) isi kandungan dan infrastruktur komunikasi (CCI) itu dilancarkan pada 12 Ogos tahun lalu.

Memorandum tersebut dihantar ke Noh selepas kira-kira 300 pengusaha dan aktivis Pakatan Rakyat mengadakan himpunan di perkarangan pejabat Umno Tanjong Karang.

Turut serta di dalam himpunan itu Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin, Adun Sekinchan, Ng Suee Lim dan Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat DUN Permatang, Yahya Shahri.

Sementara itu, Badrul Hisham berkata, industri burung walit akan mengalami kemerosotan ekoran isu-isu yang tidak ditangani dengan baik oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Ujarnya, kerajaan masih tidak menyelesaikan isu-isu tersebut walaupun pengusaha sarang burung walit sudah kerap kali bertemu kementerian.

“Ada beberapa isu yang tidak didengari, dan pengusaha pergi berjumpa dengan Adun Sekinchan, Ng Suee Lim dan bertemu dengan pihak Pakatan Rakyat.

“Kami bertindak sebagai ‘posmen’ bagi menyampaikan masalah ini,” kata Badrul Hisham bila ditemui.

ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, tidak wujud persoalan pihak Pakatan mempolitikkan isu pengusaha sarang burung walit kerana masalah ini sudah berlanjutan sejak lebih setahun.

Ujar Ng, selepas aduan dikemukakan kepada pihaknya barulah isu ini di bawa kepada kementerian untuk diambil perhatian serius.

“Saya minta pihak kerajaan agar memulihkan semula perniagaan sarang Burung Walet ini secara perniagaan bebas jangan kongkong dan ada pihak yang memonopoli,” kata Suee Lim.

Sementara itu, Noh mengakui kelemahan di pihaknya dalam menangani isu sarang burung walit.

“Sebab itu markah KPI saya gagal untuk masalah rumah sarang Burung Walit. Saya ambil itu sebagai tanggungjawab. Ini adalah masalah sejak tahun lepas,” katanya semasa majlis serahan memorandum itu.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pengusaha Burung Walet Berhimpun Secara Aman Di Pejabat Umno Tanjong Karang

TANJONG KARANG,15 SEPT : Kira-kira 300 penyokong Pakatan Rakyat dan pengusaha sarang burung walet mengadakan perhimpunan aman bagi membantah sekatan terhadap industri itu yang didakwa mengakibatkan kerugian kira-kira RM 5 bilion.

Keadaan aman perhimpunan itu yang dibuat di pejabat bahagian Umno Tanjong Karang, membuktikan bahawa Pakatan menunjukkan semangat demokrasi yang sebenar di dalam penganjuran himpunan bantahan suara.

Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin yang berada di situ berkata ini berbeza dengan tindakan segelintir penyokong Umno-BN yang sebelum ini membuat kacau di program Pakatan.

Himpunan itu diketuai Adun Sekinchan, Ng Suee Lim, Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat DUN Permatang, Yahya Shahri dan Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Sarang Burung Walet SeMalaysia, Lim Lai Soon.

Lim mendesak pihak kerajaan pusat menghentikan monopoli ekspot burung walet ke China yang didakwa dikuasai oleh sebuah persatuan lain yang bersekongkol dengan pegawai-pegawai tertentu.

“Kami tidak bersetuju dengan perwakilan gabungan itu kerana hanya mewakili segelintir peniaga sarang burung walet,? kata Lim semasa menyerahkan memorandum kepada Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Memorandum itu dibacakan dihadapan Noh yang pada masa sama mengadakan Majlis Aidilfitri di tapak tersebut.

Noh berkata beliau akan mengambil tanggungjawab bagi menyelesaikan masalah yang diutarakan. 

Perhimpunan aman itu dijalankan dalam suasana terkawal dengan pemerhatian kira-kira 50 anggota polis yang diketuai oleh OCPD Daerah Kuala Selangor, Taib Mahmud.

Kedua-dua pihak kemudianya beredar dengan baik dan mengadakan sidang media di kawasan berbeza.

Perhimpunan berakhir pada jam 12.30 tengahari dan para peserta bersurai aman tanpa kejadian yang tidak dingini.

Bercakap kepada pemberita selepas perhimpunan itu, Badrul Hisham berkata, acara ini menunjukkan sekali lagi yang himpunan suara rakyat sebenarnya boleh dilakukan dalam keadaan yang saling menghormati tanpa provokasi.

“Hari ini kita menunjukkan kita menjadi masyarakat bertamadun. Kita tidak datang pejabat orang dengan menyerang dan membaling cat merah ke bas dan tiada maki hamun.

“Kita beri mereka berucap berjam-jam kerana itu adalah rumah mereka dan kita hormat,” katanya.