Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kerajaan timbang saring pekerja asing setiap dua minggu

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Kerajaan mempertimbangkan keperluan untuk mewajibkan semua pekerja asing menjalani saringan Covid-19 setiap dua minggu, kata kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keutamaan kerajaan pada masa ini adalah kepada saringan kesihatan yang diwajibkan bagi pekerja asing di negeri-negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Setakat ini, kita akan mulakan ujian calitan kepada semua pekerja asing (di negeri dikenakan PKPB), kalau mereka negatif kita akan kuarantin dan jika positif kita hantar ke hospital.

“Kalau ada keperluan untuk ujian calitan setiap dua minggu kita akan bincangkan, untuk pusingan pertama ini (melibatkan) 1.7 juta (pekerja asing) kita selesai saring mereka ini dulu,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ismail Sabri mengumumkan supaya saringan kesihatan diwajibkan bagi semua pekerja asing di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Kuala Lumpur dan Labuan, melalui kaedah RTK Antigen.

Jelasnya, ia penting bagi mengurangkan risiko kebolehjangkitan Covid-19 dalam kalangan mereka.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Noor Hisham jelaskan isu pekerja asing pakai gelang kuarantin

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Dua gambar menunjukkan pekerja warga asing masih berada di kawasan pembinaan dengan memakai gelang merah jambu yang tular baru-baru ini sebenarnya adalah pekerja yang melalui saringan pengawasan Covid-19 di tapak binaan itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan individu terbabit diberikan gelang merah jambu bagi mengelakkan mereka daripada keluar dari tapak binaan.

“Tetapi mereka masih boleh bergerak di dalam tapak binaan kerana ianya saringan pengawasan bukan saringan kontak rapat. Pihak pemaju telah diminta untuk memastikan kesemua yang disaring berada dalam kawasan tapak binaan.

Dua orang pengawal keselamatan diletak di pintu masuk tapak bina dan pihak polis IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Wangsa Maju juga melakukan pemantauan setiap hari,” katanya dalam catatan yang dimuat naik dalam akaun laman sosial Facebook beliau hari ini.

Dr Noor Hisham berkata seramai 264 daripada 273 orang yang disaring adalah melalui saringan pengawasan tapak binaan dan mereka berada di dalam kawasan pembinaan berkenaan.

Selain itu Dr Noor Hisham memberitahu pemaju terbabit juga dinasihatkan untuk melakukan kerja nyahkuman.

Katanya lagi, pada 13 Nov hingga 15 Nov lepas, pemaju berkenaan memberhentikan operasi sementara waktu bagi memberi laluan kepada kerja pembersihan dan nyah cemar sehingga keputusan saringan diperoleh pada 15 Nov.

“Release order (perintah pelepasan) dan pemotongan gelang merah jambu dilakukan pada 15 Nov 2020, jam 11am (pagi) di tapak bina berkenaan. Hasil saringan terdapat satu kes positif sahaja tetapi kes ini tidak tinggal di tapak binaan, tetapi menetap di luar tapak binaan,” katanya.

Beliau memberitahu terdapat lapan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 terbabit yang masih menjalani tempoh kuarantin iaitu dari 7 Nov hingga 20 Nov, sementara kesemua pekerja lain yang dikesan negatif diberikan (perintah) pelepasan pada 15 Nov.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cadang perketat SOP pekerja asing, kawal kes Covid-19

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Kerajaan bercadang untuk memperketatkan tatacara operasi piawai (SOP) bagi pekerja asing termasuk memperluaskan syarat ujian calitan terhadap mereka di semua sektor industri bagi mengawal penularan Covid-19 dalam negara.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan kini sedang menunggu pembentangan cadangan daripada Kementerian Sumber Manusia (KSM) berhubung perkara tersebut.

“Kita sedang buat kajian menyeluruh…pekerja warga asing di Malaysia sekarang seramai 1.7 juta dan dengan jumlah sebegitu ramai, kalau buat ujian calitan kepada mereka, kita nak tengok berapa kemampuan lab (makmal) untuk kita dapatkan keputusan tentang mereka (Covid-19) dan siapa yang nak bayar.

“Saya difahamkan, lebih kurang sejuta lebih daripada 1.7 juta tersebut adalah pencarum kepada Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial),” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilapor berkata kluster yang merekodkan kes tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Damanlela di Kuala Lumpur iaitu sebanyak 460 kes.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata kerajaan meminta KSM memberikan cadangan secara terperinci langkah-langkah memastikan pekerja warga asing tidak menularkan COVID-19.

“Apabila mereka (pekerja asing) tinggal (menetap), kita difahamkan sampai 30 orang satu rumah, jadi jangkitan itu cepat berlaku. Jadi kita sedang tengok bagaimana cara (kurangkan jangkitan), yang pertamanya ujian calitan…melakukan saringan.

“Keduanya, kalau nak sekat pergerakan supaya jangan berkeliaran mana-mana, mereka akan terus keluar beli barang dan restoran, akhirnya beri jangkitan. Sebab itu kita sedang buat penilaian, selain ujian calitan, bagaimana nak kawal pergerakan mereka daripada menjangkiti komuniti lain,” katanya.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tindakan tegas kepada majikan gaji pekerja asing tanpa ujian Covid-19

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) meminta agar tindakan tegas diambil kepada majikan yang menggajikan pekerja asing yang tidak menjalani saringan wajib Covid-19, khususnya yang bekerja di industri pembinaan, perkhidmatan dan perkilangan.

Penasihat Program Saringan Prihatin Komuniti MCCF Prof Datuk Seri Abu Hassan Asaari Abdullah berkata ini memandangkan masih ramai majikan yang degil dan tidak memberikan kerjasama terhadap arahan kerajaan sebelum ini, supaya pekerja asing dalam semua sektor melakukan ujian berkenaan.

Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata MCCF turut tidak menolak kemungkinan berlakunya penipuan dalam keputusan saringan yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab demi mengaut keuntungan.

MCCF berpendapat bahawa ujian saringan Reverse Prescription – Pulmonary Chain Reaction (rt-PCR), pemakaian pelitup separuh muka dan pematuhan kepada prosedur operasi standard, merupakan vaksin terbaik komuniti dalam membantu memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MEF persoal peraturan ambil semula pekerja asing

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Peraturan yang mewajibkan pekerja asing memiliki permit kerja sah terlebih dahulu sebelum diambil kembali untuk bekerja dalam negara, dilihat bertentangan dengan tujuan asal membenarkan pengambilan kembali pekerja asing untuk bekerja, menurut Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF).

Pengarah Eksekutifnya Datuk Shamsuddin Bardan berkata tidak ramai pekerja asing akan dapat diambil kembali bekerja jika melihat kepada peraturan ini, kerana ketika ini majikan sememangnya memberhentikan khidmat pekerja asing selepas permit kerja mereka tamat tempoh.

“MEF menyokong keputusan kerajaan membenarkan pengambilan semula pekerja asing yang masih berada dalam negara, yang khidmat mereka tidak lagi diperlukan oleh majikan semasa.

“Bagaimanapun berdasarkan kenyataan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan, syarat bagi pengambilan semula adalah pekerja asing itu perlu memiliki permit kerja yang sah dan pengambilan semula itu dihadkan kepada sektor yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya tindakan mengehadkan pengambilan semula pekerja asing kepada hanya dalam sektor yang sama, ia tidak akan dapat menggunakan sepenuhnya tenaga pekerja asing yang masih berada dalam negara memandangkan permintaan dalam kalangan sektor adalah berbeza antara satu sama lain.

“Contohnya ada permintaan tinggi dalam sektor pertanian dan perladangan, di mana majikan biasanya mengekalkan semua pekerja asing mereka. Oleh kerana sekarang ini terdapat pembekuan pengambilan pekerja asing baru, sektor ini akhirnya hanya akan dapat pekerja dari sektor lain,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga harus membenarkan pekerja asing untuk diambil kembali bekerja di semua sektor industri, dan ia harus turut merangkumi mereka yang tempoh permit kerja telahpun tamat, dengan tempohnya boleh di perbaharui bagi menggalakkan penggunaan tenaga kerja asing secara optimum.

Sebelum ini pihak kementerian dilaporkan memberi kelonggaran kepada majikan mengambil pekerja asing yang diberhentikan oleh majikan sebelumnya, sekiranya mereka tidak menerima sebarang maklum balas atau sambutan daripada kalangan pekerja tempatan, namun kementerian itu tetap menggesa majikan memberi keutamaan kepada pekerja tempatan untuk mengisi kekosongan jawatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

CIDB: Kontraktor perlu manfaat ujian percuma Covid-19 Perkeso

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menggesa kontraktor di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor menghantar pekerja asing mereka untuk menjalani ujian Covid-19 melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

CIDB menerusi kenyataan hari ini berkata dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, ujian Covid-19 diwajibkan untuk semua pekerja asing di semua kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun pekerja asing yang memohon menjalani ujian Covid-19 atau menunggu keputusan ujian, dibenarkan untuk bekerja sementara menunggu giliran untuk diuji atau sehingga keputusan ujian diperoleh dengan syarat mematuhi semua Prosedur Operasi Standard yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara,” kata CIDB.

Pada 27 April, Perkeso melancarkan Program Saringan Prihatin (PSP) Perkeso yang menawarkan ujian Covid-19 secara percuma kepada pencarum.

Buat masa ini, PSP Perkeso adalah untuk pekerja asing di sektor pembinaan dan perkhidmatan kawalan keselamatan di Kuala Lumpur, Putrajaya serta Selangor.

CIDB juga berkata pembekal perkhidmatan PSP Perkeso berupaya menjalankan sehingga 15,000 ujian sehari dan keputusan ujian boleh diperoleh dalam tempoh tiga hari.

“Berdasarkan data Perkeso sehingga kini hanya 31,301 orang pekerja asing meliputi semua sektor telah menjalani ujian Covid-19 melalui PSP Perkeso dan daripada jumlah itu, 40.8 peratus daripada sektor pembinaan.

“Bermula 1 Jun, saringan Covid-19 di bawah PSP Perkeso boleh dilakukan di mana-mana penyedia perkhidmatan (klinik/hospital) yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

CIDB berkata majikan dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan kawalan keselamatan di Kuala Lumpur, Putrajaya serta Selangor boleh membuat tuntutan subsidi daripada Perkeso sebanyak RM150 bagi setiap saringan Covid-19 untuk pekerja mereka yang mencarum.

“Bagi yang masih belum mencarum dengan Perkeso, mereka boleh mendaftar sebelum menjalani ujian saringan tersebut,” katanya.

Pertanyaan lanjut mengenai PSP PERKESO, boleh hubungi talian khidmat pelanggan Perkeso di 03-42645089/03-42645555/1-300-22-8000 atau e-mel ke [email protected].

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Saringan 9,000 penduduk di Kuala Langat selesai Jumaat

KUALA LANGAT, 3 JUN: Ujian saringan Covid-19 ke atas 9,000 penduduk di dua taman perumahan di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pentadbiran bermula malam Selasa dijangka selesai Jumaat ini, kata Pegawai Daerah Kuala Langat Mohd Jusni Hashim.

Beliau berkata dua taman perumahan terlibat iaitu Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama dikenakan PKP secara pentadbiran sehingga 16 Jun ini.

Kedua-dua lokasi itu dikenakan PKP secara pentadbiran ekoran 20 pekerja asing sebuah syarikat pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang tinggal di kawasan berkenaan didapati positif Covid-19 pada Khamis lepas.

“Daripada 9,000 penduduk di sini, 30 peratus merupakan warga asing manakala bakinya adalah warga tempatan. Setakat Jumaat lepas, seramai 114 kontak rapat dengan pesakit dikenal pasti dan diasingkan di stesen kuarantin Institut Latihan Islam Malaysia serta Institut Latihan Perundangan dan Kehakiman di Bangi.

“Sejak Sabtu hingga semalam, sebanyak 2,250 sampel diambil iaitu 1,499 sampel warga tempatan dan 751 warga asing. Dengan keupayaan 2,000 sampel ujian swab boleh dilakukan sehari, kita jangka pada Jumaat ini, kesemua 9,000 penduduk selesai jalani ujian saringan Covid-19,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Penduduk setempat beratur menunggu giliran dan diberi sanitizer sebelum menjalani ujian saringan Covid-19 ketika tinjauan di Pangsapuri Taman Langat Murni, pada 3 Jun 2020. FOTO: BERNAMA

Menurut Mohd Jusni, PKP secara pentadbiran di kawasan berkenaan dibahagikan kepada tiga zon melibatkan 1,752 buah rumah.

“Zon A melibatkan 480 rumah, zon B sebanyak 778 rumah dan zon C 494 rumah. Setakat ini, ia merupakan kawasan yang dikenakan PKP pentadbiran yang terbesar melibatkan kawasan seluas 43.3 hektar dengan pemasangan kawat berduri sepanjang empat kilometer.

“Sebanyak 664 petugas barisan hadapan terdiri daripada polis, Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia akan memantau kawasan ini sepanjang pelaksanaan PKP pentadbiran,” katanya.

Tambahnya lagi, walaupun kedua-dua taman perumahan itu dikenakan PKP secara pentadbiran namun penduduk tempatan yang belum menjalani ujian saringan Covid-19 masih boleh keluar masuk atas tujuan dibenarkan sahaja.

Bagi penduduk tempatan yang selesai ujian saringan itu, katanya, mereka perlu kuarantinkan diri di rumah masing-masing selama 14 hari namun untuk warga asing, golongan itu tidak dibenarkan keluar daripada lokasi berkenaan sehingga tamat tempoh perintah itu.

Mengulas mengenai operasi premis perniagaan di lokasi itu sepanjang PKP secara pentadbiran dilaksanakan, Mohd Jusni berkata kedai makan dan kedai runcit masih dibenarkan beroperasi mengikut waktu yang ditetapkan iaitu dari pukul 8 pagi hingga 10 malam.

Beliau turut menyarankan badan bukan kerajaan yang berhasrat menyalurkan barangan keperluan kepada penduduk di lokasi terbabit supaya mendaftarkan sumbangan dengan Jabatan Kebajikan Malaysia terlebih dahulu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ismail Sabri: Tiada isu diskriminasi pekerja asing

PUTRAJAYA, 27 MEI: Tidak timbul isu kerajaan tidak berperikemanusiaan dalam pengendalian pekerja asing ketika negara sedang berdepan penularan wabak Covid-19 seperti didakwa pihak tertentu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihak yang menuduh kerajaan tidak berperikemanusiaan dalam isu berkenaan, seharusnya jelas dengan dua kategori pekerja asing, iaitu mereka yang mempunyai permit dan mereka yang memasuki negara ini secara haram.

“Mereka yang mempunyai permit ini diperlukan di sektor pembinaan, perladangan atau sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) malah turut mencarum (dalam) Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial), serta mengikut apa yang ditetapkan undang-undang Pertubuhan Buruh Antarabangsa,” katanya dalam sidang media harian di sini hari ini.

Katanya pekerja asing tanpa izin yang tiada permit dan dokumen pekerjaan termasuk yang memasuki negara melalui lorong tikus, tidak wajar diberikan layanan istimewa kerana melanggar undang-undang negara selain ada yang mengancam keselamatan serta ketenteraman orang awam.

Namun tuduhan menyatakan kerajaan tidak berperikemanusiaan sewaktu menyerbu dan menangkap warga asing ketika Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) adalah tidak benar, katanya.

Beliau memberi contoh, semua penduduk termasuk pendatang tanpa izin dikurung sewaktu PKPD di Selangor Mansion, namun pihak berkuasa membebaskan mereka yang mempunyai dokumen untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa manakala mereka yang tidak mempunyai dokumen ditahan atas kesalahan memasuki negara ini secara haram.

Dilaporkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang mempunyai sentimen negatif terhadap warga asing yang ditahan pihak berkuasa baru-baru ini dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Ismail Sabri berkata kerajaan menangani isu pendatang asing tanpa izin dengan mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan daripada dijangkiti wabak Covid-19 dan lantaran itu, kumpulan tersebut disaring dan dihantar ke depot imigresen.

“Kita letak mereka di depot, diberi makan secukupnya dan apabila timbul isu Covid-19 positif, kita buat saringan 100 peratus terhadap pendatang tanpa izin supaya mereka kita dapat selamatkan dan hantar mereka ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS),” katanya.

Beliau berkata kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk menjadikan MAEPS sebagai hospital sementara dan menempatkan pendatang tanpa izin di situ supaya mereka tidak dibiarkan terdedah kepada wabak Covid-19 sehingga tidak dapat diselamatkan.

“Kita selamatkan mereka, tempatkan mereka di tempat terbaik untuk menjaga kesihatan mereka. Kalau hendak kata Malaysia tidak berperikemanusian terhadap pendatang tanpa izin pun tidak betul tetapi ia (layanan) tidak mengubah status mereka sebagai pendatang tanpa izin,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata kerajaan dalam mesyuarat semalam memutuskan pendatang tanpa izin akan dihantar pulang ke negara asal dan perkara itu sedang diuruskan Jabatan Imigresen dan Wisma Putra untuk tindakan seterusnya.

“Saya harap di kalangan pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya tidak mengambil kesempatan untuk menjadi hero kepada golongan pendatang tanpa izin ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Elak lonjakan kes, pekerja asing wajib jalani saringan Covid-19

SHAH ALAM, 4 MEI: Semua pekerja asing di negara ini wajib menjalani ujian saringan Covid-19 dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh majikan, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu susulan kewujudan kluster baharu di tapak pembinaan Kuala Lumpur yang merekodkan 28 kes semalam.

“Sebagai langkah pencegahan, kerajaan mewajibkan pekerja asing di semua sektor untuk membuat saringan kesihatan atau ujian calitan dengan kos ditanggung oleh majikan. Kementerian Kesihatan cadang mulakan di Wilayah Persekutuan dan Selangor,” katanya dalam sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata Jabatan Kerja Raya sudah menutup operasi tapak pembinaan di Ampang yang menjadi kluster baharu wabak.

“Di mana sahaja berlaku penyebaran kes Covid-19 sama ada kilang, tapak pembinaan mahupun kedai makan, kita akan tutup sektor ini serta-merta,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Warga emas, pekerja asing diberi fokus saringan Covid-19

PUTRAJAYA, 16 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang bekerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan yang berkaitan, untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas penghuni rumah orang tua dan pekerja asing.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menjalankan ujian saringan di rumah orang tua, khususnya yang padat dengan penghuni.

Bagi pekerja asing pula, beliau berkata beberapa agensi seperti Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) tampil membantu KKM untuk melakukan ujian saringan serta menjejaki kumpulan itu.

“Kami menyedari sebilangan pekerja asing tidak tampil, jadi kami perlu bekerjasama dengan beberapa NGO dan akan terus meningkatkan perkhidmatan dari segi saringan, pengesanan dan penjejakan, ujian, pengasingan dan merawat mereka.

“Setakat ini belum ada kluster dalam kalangan pekerja asing,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham memaklumkan bahawa KKM telah menjalankan ujian saringan ke atas 465 individu di Pasar Borong Selayang, dan mendapati hanya tiga peratus atau 13 daripada pekerja asing didapati positif Covid-19.

Katanya, KKM akan terus meneliti kawasan berisiko tinggi terutama dalam komuniti yang mempunyai ramai pekerja asing.

— BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia kaji sistem ambil pekerja Bangladesh tanpa kos

PUTRAJAYA, 8 JAN: Malaysia sedang mengkaji perjanjian pengambilan pekerja asing dari Bangladesh tanpa melibatkan kos, bagi menghentikan kegiatan buruh paksa dan mengelakkan sekatan perdagangan oleh Amerika Syarikat.

Menteri Sumber Manusia M.Kula Segaran berkata perbincangan bersama kerajaan Bangladesh untuk terma baharu perjanjian itu, kini dalam peringkat terakhir, seperti perjanjian antara Malaysia dan Nepal tahun lalu berhubung pengambilan, penggajian dan penghantaran pulang pekerja.

Katanya mengikut perjanjian tersebut, majikan antaranya akan menanggung caj perkhidmatan pengambilan, tiket penerbangan dua hala, caj visa, pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan keselamatan dan caj levi.

Kula Segaran berkata, Malaysia mengenakan sekatan ke atas pengambilan pekerja Bangladesh pada 2018 dan perbincangan bilateral terma baru pengambilan pekerja sedang berjalan dengan baik.

Katanya, perbincangan untuk menarik balik sekatan itu antara Malaysia dan Bangladesh berjalan sejak sekian lama, dan pasukan petugas Malaysia dijangka akan melawat Bangladesh bulan ini, bagi menyelesaikan isu tersebut secepat mungkin.

“Ada hanya beberapa perkara yang belum diselesaikan. Amat sedikit, daripada 10 hingga 12 perkara, (hanya) yang terakhir atau dua perkara yang perlu diselesaikan.

“Apabila ia diselesaikan, kita akan buka sektor ini. Kerajaan Malaysia bersedia untuk lakukannya (tarik balik sekatan),” katanya kepada pemberita selepas program bertemu pelanggan di sini semalam.

Kula Segaran berkata demikian mengulas laporan berita, yang menyatakan kerajaan Bangladesh tidak berniat menghantar rakyatnya bekerja di Malaysia, sehingga sistem pengambilan pekerja lebih telus, dengan kadar kos lebih rendah dapat dimuktamadkan.

Laporan memetik Menteri Kebajikan Pekerja Luar Negara Imran Ahmad sebagai berkata, pekerja mereka diluar negara menghadapi masalah akibat kos yang tinggi dikenakan, untuk bekerja di Malaysia dengan ada dalam kalangan pekerja yang terpaksa membayar sehingga RM19,000 untuk bekerja di sini antara tahun 2016 dan 2018.

Kula Segaran berkata, perlu ada satu sistem di Bangladesh untuk menghentikan penghantaran pekerja yang tidak diperiksa dan menambah ada kes di mana ramai pekerja asing dieksploitasi oleh agen, yang mengenakan bayaran tinggi.

Katanya, apabila Malaysia menandatangi perjanjian dengan Nepal, salah satu daripada syarat ialah apabila pekerja mereka datang ke Malaysia, ia tidak melibatkan sebarang pembayaran, di mana tiket penerbangan dan lain-lain perbelanjaan perlu ditanggung majikan, dan bukannya pekerja.

Kula Segaran menyatakan kegusarannya mengenai Malaysia yang berkemungkinan menghadapi sekatan daripada Amerika Syarikat, jika tidak ada sebarang penambahbaikan selepas negara itu meletakkan Malaysia dalam Senarai Pemerhatian Tier 2 dalam Laporan Perdagangan Manusia (TIP) untuk tahun kedua pada 2019.

“Sebab itulah kita cuba meminda undang-undang, kerana banyak undang-undang pekerja kita lapuk, kita mahu jadikan ia terkini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penggajian pekerja asing subsektor perkhidmatan lain ditutup

PUTRAJAYA, 8 OGOS: Kerajaan bersetuju dengan cadangan penutupan penggajian pekerja asing bagi subsektor perkhidmatan lain iaitu dobi, tekstil, tukang gunting dan tukang emas yang dibekukan sejak 2009, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing yang dipengerusikannya bersama M. Kula Segaran di sini, hari ini.

Katanya, dalam cadangan yang dibentangkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu, dasar semasa yang membenarkan penggantian pekerja asing bagi subsektor itu turut akan dihentikan dalam masa tiga tahun lagi secara berperingkat mulai tahun ini sehingga 2021.

“Justifikasi penutupan adalah berdasarkan kepada keutamaan penggajian rakyat tempatan dan fokus kepada sumber ekonomi yang lebih memberangsangkan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu.

Muhyiddin berkata, mesyuarat turut memutuskan supaya Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) melaksanakan kajian lanjut bagi menentukan keperluan penggajian pekerja asing di bawah subsektor gudang darat seperti dicadangkan Kementerian Pengangkutan.

“Berdasarkan hasil kajian itu, kerajaan akan menentukan semula agensi kerajaan yang bersesuaian sebagai agensi kawal selia (AKS) bagi subsektor gudang darat,” katanya.

Katanya, permohonan pekerja asing sebagai pemandu penggerak utama di Pelabuhan Barat (Westports) dan Pelabuhan Tanjung Pelepas akan dipertimbangkan mengikut prosedur sedia ada dengan mengambil kira keperluan sebenar syarikat.

“Pada masa akan datang, syarikat perlu mempertimbangkan faktor seperti kadar gaji, elaun dan insentif yang boleh menarik minat pekerja tempatan serta bergerak ke arah automasi serta mekanisasi,” katanya.

Katanya, mesyuarat juga bersetuju dengan cadangan Kementerian Kerja Raya berhubung kadar yuran penilaian kompetensi kemahiran untuk pekerja asing sektor pembinaan di negara sumber iaitu RM750 per tred (pengkhususan) bagi tred biasa dan RM850 per tred bagi tred minyak dan gas.

“Kerajaan juga prihatin dengan masalah para pengusaha sawah yang menanggung kos operasi yang lebih tinggi ketika ini.

“Oleh itu, mesyuarat pada hari ini bersetuju untuk meluaskan skop tempoh kemasukan pekerja asing di bawah Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) Jangka Pendek untuk sektor pertanian khusus bagi tanaman padi untuk tempoh enam bulan,” katanya.

Muhyiddin berkata, mesyuarat turut mengambil maklum situasi industri sarung tangan getah yang sedang mengalami masalah kekurangan tenaga kerja khususnya melibatkan isu kesesuaian pekerja asing dari negara-negara sumber tertentu seperti Bangladesh dan Nepal.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Sumber Manusia sebagai tumpuan dalam proses rundingan terakhir dengan Kerajaan Bangladesh dan hasil rundingan akan dimaklumkan kepada jemaah menteri supaya hala tujunya dapat diputuskan.

“Sementara itu, usaha bagi penggajian pekerja asing dari Nepal juga akan diteruskan,” katanya.

Katanya, mesyuarat turut membincangkan cadangan Kementerian Sumber Manusia supaya Independent Social Compliance Audit (ISCA) dilaksanakan sebagai satu bentuk kawal selia kendiri oleh majikan.

“Walaupun cadangan ini satu inisiatif yang baik, sesi libat urus perlu diadakan dengan lebih menyeluruh bersama dengan pihak berkepentingan,” katanya.

-BERNAMA