Categories
AGENSI SELANGOR

Maqis Selangor rampas 25 tan kurma tidak patuhi syarat import

KLANG, 22 MAC: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) negeri Selangor berjaya menggagalkan cubaan sebuah syarikat tempatan, membawa masuk 25,200 kilogram buah kurma dari Arab Saudi di Pelabuhan Klang Barat, di sini pada Sabtu lalu.

Pemangku Pengarah Maqis Selangor Zamri Hashim dalam satu kenyataan hari ini berkata, rampasan itu dibuat selepas pemeriksaan rutin yang dilakukan pegawai penguat kuasa Maqis kira-kira jam 11.00 pagi.

Menurutnya barang dagangan tersebut yang dianggarkan bernilai RM141,229.44, ditahan kerana tidak mematuhi syarat seperti mana yang dinyatakan pada permit import Maqis, iaitu tidak mematuhi Sijil Perakuan 3P Penggredan, Pembungkusan, dan Pelabelan.

Beliau berkata kegagalan mengemukakan maklumat tersebut adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728], dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali, di bawah Seksyen 15(2) Akta yang sama.

Katanya lagi, pihaknya mengambil serius dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak, yang boleh mengancam kelestarian makanan negara.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kapal disyaki bawa kontena isi sisa plastik ditahan esok

PUTRAJAYA, 21 MAC: Malaysia akan menahan sebuah kontena dari Los Angeles, Amerika Syarikat yang disyaki mengandungi barang dagangan sisa plastik apabila ia tiba di Pelabuhan Klang esok.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan semalam berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menerima maklumat daripada Sahabat Alam Malaysia pada 12 Mac lepas berhubung satu kontena dari Los Angeles yang disyaki mengandungi sisa plastik.

Kapal tersebut berlepas dari Los Angeles pada 14 Feb lepas (2021) dan dijangka tiba di Pelabuhan Klang pada 22 Mac.

Beliau berkata JAS selaku ‘Competent Authority’ bagi kawalan sisa plastik merentas sempadan di bawah Konvensyen Basel yang mula berkuat kuasa pada 1 Jan 2021 mendapati tiada sebarang permohonan pengimportan sisa plastik tersebut diterima dari negara pengeksport.

Tuan Ibrahim berkata JAS telah menghubungi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan Westport Malaysia Sdn Bhd dan Unit Kawalan Kontena Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan penahanan kontena tersebut.

Pemeriksaan bersepadu JAS, JKDM, LPK, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan dijalankan sejurus kontena tersebut tiba di Pelabuhan Klang, katanya.

“Saya telah mengarahkan JAS bekerjasama dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat yang berkenaan untuk membanteras kemasukan haram sisa plastik ke Malaysia dari negara tersebut,” katanya.

Tuan Ibrahim turut memberi amaran kepada agen pengimport, syarikat kapal dan pengimport yang bersubahat dalam mengimport sebarang sisa terutamanya sisa plastik ke Malaysia sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 43, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

“Tindakan tegas akan diambil jika mereka gagal mematuhi kriteria dan prosedur pengimportan sisa plastik yang telah ditetapkan oleh Malaysia,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kesesakan di Pelabuhan Klang berkurangan selepas pelaksanaan langkah segera

SHAH ALAM, 11 JAN: Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) berkata kesesakan yang berlaku di Pelabuhan Klang telah menunjukkan penambahbaikan selepas beberapa langkah serta merta dilaksanakan oleh pasukan petugas yang diarahkan Kementerian Pengangkutan sejak bulan lepas.

Pengerusi LPK Datuk Chong Sin Woon berkata pasukan petugas itu yang diketuai pihak berkuasa seperti Northport, Westports, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan beberapa persatuan logistik ditubuhkan untuk mengenal pasti punca dan langkah segera untuk mempercepatkan aliran kargo dan pergerakan kapal melalui pelabuhan itu.

“Pada Jumaat lepas, Maqis menyediakan tenaga kerja tambahan untuk membuat pemeriksaan kontena yang mana 100 peratus kontena yang disekat telah diperiksa dan dilepaskan dalam tempoh sehari, peningkatan yang tinggi berbanding 60 peratus sebelum ini.

“Pengambilan kontena kargo sejuk oleh syarikat pengangkutan dan pihak penerima turut mencatatkan penambahbaikan yang ketara dengan hampir 50 peratus penghantaran dalam tempoh 24 jam selepas pas masuk dikeluarkan berbanding 30 peratus sebelum ini.

“Ini menyebabkan penggunaan yad bertambah baik dan susut 95 peratus daripada 100 peratus minggu lepas,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata usaha bersama dengan syarikat perkapalan telah menyebabkan kapal memuatkan lebih banyak kontena eksport dan pemunggahan yang telah lama berada di pelabuhan itu.

Chong berkata beberapa syarikat turut menyediakan kapal tambahan untuk tujuan itu dan pelabuhan berkenaan telah memberikan keutamaan tempat berlabuh kepada kapal-kapal ini.

“Selain itu, ejen pengangkutan dan pengimport telah meningkatkan usaha untuk mengosongkan kontena import daripada pelabuhan itu dengan lebih awal dan mengelakkan penyimpanan di kawasan pelabuhan.

“Dengan pengosongan bersih sebanyak 20,000 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) kontena eksport dan pemindahan ke kapal, penggunaan yad telah menyusut daripada 90 peratus kepada 82 peratus, membolehkan terminal itu untuk beroperasi dengan produktiviti yang lebih baik,” katanya.

Katanya, JKDM juga telah menyediakan pegawai tambahan untuk menyegerakan penyelesaian dokumen import dan eksport selain kaunter khas untuk barangan kargo sejuk dan makanan tidak tahan lama.

Pasukan petugas itu turut menambah baik purata tempoh menunggu kapal dengan ketara sejak minggu lepas apabila kapal dapat berlabuh dalam masa 24 jam tiba di tempat berlabuh luar berbanding lima hari pada Disember tahun lepas.

Chong berkata semua pihak akan terus bekerjasama rapat untuk memastikan keadaan itu dapat diuruskan dengan baik dan prinsipal kargo dan syarikat perkapalan menerima layanan tepat pada masanya dan efisien.

Beliau menjelaskan isu itu berpunca terutamanya daripada faktor luaran, namun LPK dan komuniti logistik akan melaksanakan kesemua langkah yang diperlukan untuk mengurangkan kesulitan pengguna pelabuhan khususnya dengan jangkaan peningkatan barangan menjelang Tahun Baharu Cina pada bulan depan.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasukan petugas khas ditubuh atasi kontena sesak di Pelabuhan Klang

MELAKA, 5 JAN: Kerajaan menubuhkan sebuah pasukan petugas khas yang diketuai Lembaga Pelabuhan Klang bagi menangani isu kesesakan kontena di Pelabuhan Klang yang berlaku sejak suku ketiga tahun lepas, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata berdasarkan jalanan ujian yang dijalankan sejak seminggu lepas, pengurusan kontena di pelabuhan itu meningkat dari 100 kontena sehari kepada 200 kontena.

Menurutnya, jumlah kontena yang diterima negara ketika ini tidak jauh berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, namun kelewatan pemprosesan kontena tersebut mungkin disebabkan pembudayaan norma baharu susulan penularan Covid-19.

“Mungkin ada sedikit penyesuaian yang perlu dibuat antara semua pihak, terutamanya membabitkan koordinasi dan saya rasa dengan adanya penglibatan semua pihak perkara (kelewatan) ini dapat kita kurangkan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Litar Latihan dan Ujian Memandu Akademi Pengangkutan Jalan di Ayer Molek hari ini.

Beliau berkata pasukan petugas khas itu melibatkan semua pihak yang berkaitan termasuk kastam.

Projek Litar Latihan dan Ujian Memandu di Akademi JPJ yang bernilai RM2.3 juta itu akan dibina di atas tapak seluas 2.02 hektar bermula bulan ini dan dijangka siap pada Oktober depan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Helikopter terhempas dalam latihan penerbangan – polis

SHAH ALAM, 1 JAN: Helikopter persendirian yang terhempas di Pelabuhan Klang pagi tadi dipercayai sedang menjalani latihan penerbangan.

Ketua polis Klang Selatan berkata kejadian berlaku selepas juruterbang hilang kawalan ketika helikopter jenis Robinson itu sedang berlegar pada ketinggian empat meter.

“Helikopter milik syarikat di Subang itu jatuh dalam keadaan terbalik. Ekor putus dan tercampak 20 meter dari kedudukan badan helikopter,” kata Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut kemalangan akan dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara, Kementerian Pengangkutan.

“Dua mangsa hanya mengalami cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang,” katanya.

Pagi tadi, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis mengesahkan sebuah helikopter persendirian terhempas di kawasan Pelabuhan Klang Free Zone (PKFZ), Pelabuhan Klang selepas melakukan pendaratan cemas.

Bagaimanapun juruterbang, Khairudin Dahlan, 72, dan pembantunya, Moithu Kutti Mohamad, 52, disahkan selamat.

Categories
ADN SELANGOR

Jalan rosak sepanjang Lebuhraya Pulau Indah dibaiki segera

SHAH ALAM, 27 NOV: Jalan rosak dan berlubang sepanjang Lebuhraya Pulau Indah susulan projek naik taraf akan dibaiki segera, kata wakil rakyat Pelabuhan Klang.

Azmizam Zaman Huri berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor bersetuju menampal semula jalan yang rosak dan berjanji kerap membuat rondaan bagi menjamin keselamatan pengguna.

“Bagi penyelesaian jangka panjang, kerja penurapan jalan dilakukan terutama di hadapan stesen minyak Shell yang dijangka bermula awal Disember ini bergantung kepada faktor cuaca,” tulisnya di Facebook.

Azmizam berkata pengguna yang terjejas boleh membuat tuntutan ganti rugi akibat kecuaian pihak kontraktor tidak membaiki kerosakan jalan dengan segera.

Jelasnya, tuntutan boleh dibuat di pejabat JKR di Taman Teluk Gedung Indah Pelabuhan Klang dengan melengkapkan maklumat yang diperlukan.

 

Categories
ADN SELANGOR

Air pasang besar di Pelabuhan Klang terkawal

SHAH ALAM, 15 NOV: Fenomena air laut pasang besar yang melanda di pesisir pantai Taman Teluk Gedung Indah Pelabuhan Klang awal pagi tadi terkawal.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang berkata pemantauan bersama Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Daerah Klang dan Skuad Pantas Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengesan aliran air menembusi benteng namun tidak membimbangkan.

“Sekitar 5.30 pagi saya melakukan pemantau bersama agensi terlibat. Paras air laut tidak melepasi benteng yang sebelum ini sudah ditinggikan JPS.

“Kita juga kesan beberapa lubang kecil kemasukan air laut ke darat untuk segera dibaiki,” kata Azmizam Zaman Huri.

Beliau berkata pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa bagi mengelak banjir kilat berlaku akibat fenomena air pasang besar di Taman Teluk Gedung Indah.

Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBNS) mengarahkan persediaan menghadapi bencana tahap tinggi dilaksanakan di lima daerah meliputi Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam antara 15 hingga 16 November.

Fenomena air laut pasang besar di persisiran pantai Selangor dengan ketinggian paras air laut mencecah 5.8 meter dijangka berlaku berlaku antara jam 5 pagi hingga 6 petang.

Categories
ADN SELANGOR

Tukar penguat kuasa PBT, elak salah guna kuasa

SHAH ALAM, 10 NOV: Pihak berkuasa tempatan (PBT) dicadang menukar anggota penguat kuasa ke jabatan lain dalam tempoh tertentu bagi mengelak salah guna kuasa.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang berkata kebanyakan kakitangan didapati bertugas di jabatan sama dalam tempoh yang lama antara 20 hingga 30 tahun.

“Kita bukan hendak tuduh sesiapa tetapi kita kena belajar daripada kes salah laku sebelum ini.

“Jadi Kerajaan Negeri wajar pertimbangkan langkah untuk pindahkan penguat kuasa ke jabatan lain, mungkin dalam tempoh tiga hingga empat tahun sekali,” kata Azmizam Zaman Huri.

Beliau bercakap pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Lembaga Urus Air Selangor (Luas) Pindaan 2020 pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini semalam.

Sementara itu, Azmizam berkata penguat kuasa PBT memainkan peranan penting dalam usaha mencegah pencemaran air di negeri ini.

DNS semalam meluluskan pindaan enakmen Luas yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pencemar air dengan menaikkan denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta manakala penjara sebagai hukuman mandatori.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

RM65,000 bantu masyarakat India Pelabuhan Klang sambut Deepavali

SHAH ALAM, 18 OKT: Sejumlah RM65,000 diperuntuk kepada masyarakat India di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang sempena perayaan Deepavali bulan depan.

Ahli Dewan Negerinya, Azmizam Zaman Huri berkata bantuan melalui baucar Jom Shopping Deepavali melibatkan 650 penerima.

“Setiap seorang mendapat baucar bernilai RM100. Bantuan ini boleh digunakan untuk membeli barang keperluan.

“RM45,000 disumbangkan Kerajaan Selangor manakala bakinya dari dana DUN memandangkan tiada sambutan Deepavali tahun ini,” katanya pada SelangorKini.

Azmizam berkata pihaknya juga akan menyerahkan cecair pembasmi kuman kepada 36 sekolah Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) sekitar daerah itu sebagai langkah mengekang penularan Covid-19.

Inisiatif Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan menyasarkan golongan B40 sebagai inisiatif jangka panjang Kerajaan Negeri bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Categories
ADN SELANGOR

Kabel elektrik dicuri, JKR diarah baiki lampu isyarat di Pelabuhan Klang

SHAH ALAM, 5 OKT: Wakil rakyat Pelabuhan Klang mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Klang membaiki kerosakan lampu isyarat di persimpangan Jalan Tengku Badar susulan kecurian kabel elektrik baru-baru ini.

Azmizam Zaman Huri berkata agensi itu menggantikan keseluruhan kabel elektrik yang hilang bagi memastikan lampu isyarat di kawasan berkenaan kembali berfungsi.

“Semasa pemeriksaan dibuat, JKR mendapati kabel di kotak ‘feederpillar’ (pencawang elektrik) hilang dicuri dan dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan kecurian berlaku semula, JKR Klang menggali lubang yang lebih dalam di bawah tanah untuk menanam kabel baharu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut meminta kerjasama masyarakat supaya melaporkan kepada polis jika terdapat sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan lampu dan perabot jalan.

Categories
ADN SELANGOR

MPK, JPS diminta kaji semula kawasan saliran elak limpahan banjir

SHAH ALAM, 21 SEPT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta mengkaji semula kawasan saliran longkang dan sungai di Pelabuhan Klang bagi mengelak limpahan banjir jika berlaku fenomena air pasang besar.

Ahli Dewan Negerinya Azmizam Zaman Huri berkata insiden ban pecah di beberapa lokasi berikutan fenomena itu semalam menyebabkan air laut melimpah dan menjejaskan penempatan berhampiran.

“Dua kawasan ban pecah tersebut adalah di Kampung Pendamar dan Taman Teluk Gedung Indah, Pelabuhan Klang.

Limpahan air laut susulan fenomena air pasang besar di Pelabuhan Klang pada 20 September 2020. Foto Pusat Khidmat Rakyat Pelabuhan Klang

“Manakala di Taman Selat Damai Pelabuhan Klang pula, terdapat beberapa kawasan menjadi laluan air masuk yang mengakibatkan air laut melimpah di sebahagian kawasan kejiranan di sana,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau menambah pihaknya menghubungi pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan untuk membaiki ban pecah serta menambah baik fasiliti sedia ada bagi mengelak kejadian sama berulang.

Menurutnya, MPK melalui Jabatan Kejuruteraan turut menghantar jentera bagi membaiki kerosakan ban di Taman Teluk Gedung Indah sebagai usaha jangka pendek menutup rekahan dan lubang pecah.

Categories
SELANGOR

Perintah: Tiada bot pemancing, pelancong sekitar Pelabuhan Klang

PELABUHAN KLANG, 25 MAC: Tiada bot pemancing dan bot pelancong kelihatan di sekitar perairan Pelabuhan Klang semalam, namun terdapat empat bot nelayan tempatan tidak berlesen di Kuala Selangor dikesan cuba keluar ke laut.

Mereka diarah pulang serta-merta oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang membuat rondaan di perairan itu.

Suasana itu dilihat oleh wartawan Bernama yang berpeluang menyertai rondaan kira-kira dua jam bersama APMM di sekitar perairan Pelabuhan Klang dan Kuala Selangor hari ini bagi memastikan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksana kerajaan untuk membendung penularan wabak Covid-19.

Rondaan di beberapa kawasan tarikan pelancong dan pemancing di perairan Kuala Selangor, seperti Pulau Angsa dan benteng pasir Sky Mirror pula mendapati, lokasi itu kini lengang dan tidak lagi dipenuhi orang ramai seperti kebiasaannya.

Timbalan Pengarah (Operasi) APMM Selangor, Komander Maritim Abdul Hakim Mohd Idris berkata pihaknya berpuas hati dengan tahap pematuhan PKP melibatkan komuniti maritim di perairan berkenaan yang pada hari biasa dilihat agak sibuk.

“Pada peringkat awal pelaksanaan PKP, memang ramai nelayan dan pemancing masih keluar ke laut tetapi sejak dua ke tiga hari lepas, jumlahnya berkurangan secara drastik. Dalam rondaan hari ini, kami lihat tiada lagi bot pemancing serta bot pelancong beroperasi.

“Hanya nelayan berlesen yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan dibenarkan turun ke laut menangkap ikan,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Abdul Hakim berkata selain melaksanakan tugas memastikan PKP dipatuhi, rondaan APMM di laut masih mengutamakan pembanterasan aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan pencerobohan rakyat asing.

Sementara itu di LUMUT, APMM Perak melipatgandakan pengoperasian iaitu menambah daripada satu kepada dua kapal untuk melakukan pemantauan pada setiap hari sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kami juga tetap meneruskan rondaan pengawasan Op Sayong dan Op Pintas bagi memastikan tiada kemasukan pendatang asing ke negara ini,” kata Pengarah APMM Perak Kpt Maritim Shahrizan Raman dalam kenyataan hari ini.

– BERNAMA