Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Pastikan kekal fokus, MSN Selangor bincang prestasi atlet secara maya

SHAH ALAM, 20 DIS: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor mengadakan perbincangan secara maya bersama jurulatih dan atlet sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarah Eksekutifnya Mohamad Nizam Marjugi berkata langkah tersebut bertujuan memantau prestasi atlet serta mendengar cadangan untuk menambah baik program latihan.

“Setakat ini MSN sudah mengadakan mesyuarat dalam talian melibatkan lebih 10 jenis sukan kerana kita mahu mereka kekal fokus dan berdisiplin.

“Kita juga sedang mempertimbang untuk mengadakan sesi motivasi secara maya atau bersemuka awal tahun depan, cadangan ini akan dibincangkan lebih lanjut,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Mohamad Nizam berkata MSN sebelum ini menganjur kem berpusat dengan menjemput pakar psikologi bagi menguatkan mental atlet dan memastikan mereka kekal bersemangat meskipun tiada kejohanan besar.

Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA 2020 Johor yang sepatutnya diadakan pada 6 hingga 14 Mac dibatalkan susulan penularan Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata Johor tetap diberikan hak penganjuran untuk edisi 2022 kerana negeri itu hampir 99 peratus bersedia dari segi perancangan,
pengurusan, teknikal dan kemudahan pertandingan.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB: Zoo, taman tema dibenarkan beroperasi mulai esok

SHAH ALAM, 18 DIS: Kerajaan bersetuju memberi kelonggaran bagi pembukaan sektor pelancongan dan kebudayaan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersayarat (PKPB) bermula esok.

Menteri kanan keselamatan berkata kebenaran meliputi persidangan dan pameran, produk pelancongan, pameran hasil seni serta taman tema dan pusat hiburan keluarga.

“Bagaimanapun, jumlah kehadiran pengunjung bagi sektor yang dilonggarkan ini tertakluk kepada 50 peratus keluasan premis dengan penjarakan fizikal.

“Bagi sektor melibatkan persembahan pentas, ia dibenarkan tanpa kehadiran penonton,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media.

Berikut pecahan bagi pembukaan sektor yang dibenarkan:

1. Persidangan dan pameran
– Mesyuarat korporat
– Insentif
– Konvensyen
– Pameran
– Karnival kraf
– Pameran pelancongan

2. Produk pelancongan
– Zoo
– Ladang
– Taman ekstrem
– Taman rekreasi
– Akuarium

3. Pameran hasil seni, budaya & warisan
– Muzium
– Galeri Seni
– Perpustakaan
– Pusat/Kampung kebudayaan dan seni warisan
– Pentas persembahan budaya
– Pameran pusat pendidikan

4. Taman tema dan pusat hiburan keluarga
– Taman tema/taman tema air
– Arked permainan
– Gimnasium permainan kanak-kanak
– Hiburan permainan berasaskan peralatan mesin dan teknologi
– Hiburan pendidikan

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKPB Selangor dilanjut hingga 31 Disember kecuali tiga daerah

SHAH ALAM, 18 DIS: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor yang dijadual tamat Ahad ini disambung sehingga 31 Disember 2020, kata menteri kanan keselamatan.

Bagaimanapun, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tiga daerah iaitu Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor dikecualikan daripada perintah itu.

Jelasnya, Selangor merekodkan 22,931 kes Covid-19 setakat 17 Disember dan berlaku peningkatan ketara di daerah perindustrian negeri ini.

“Bilangan kes Covid-19 dalam kalangan warganegara juga semakin meningkat,” katanya pada sidang media hari ini.

PKPB di Selangor dilaksana secara berperingkat bermula 14 Oktober susulan peningkatan kes Covid-19.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS peruntuk lebih RM40 juta bantu asnaf ketika PKPB

SHAH ALAM, 12 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan RM43.31 juta membantu asnaf sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi tempoh 8 Oktober hingga 18 November lalu.

Agensi berkata jumlah itu membabitkan bantuan kewangan dan makanan, perubatan, dialisis, sewa rumah dan keperluan hidup.

“Bantuan kewangan serta makanan paling tinggi sebanyak RM28.7 juta dan ia diagihkan kepada 35,960 asnaf fakir miskin dan mualaf.

“LZS turut mengeluarkan dana RM7 juta bagi membantu 13,752 keluarga asnaf membayarkan sewa rumah,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Pada Mac lalu, LZS menyalurkan bantuan khas zakat Covid-19 sebanyak RM500 seorang kepada 9,000 penerima dalam kalangan asnaf fakir, miskin dan mualaf di samping sumbangan maksimum sehingga jumlah sama kepada 20,000 penerima terdiri penjaja dan peniaga kecil serta keluarga golongan B40.

LZS turut mengagihkan bantuan khas berjumlah RM1 juta kepada hospital kerajaan dan pusat kesihatan daerah, petugas barisan hadapan dan pelajar institusi pengajian tinggi di negeri ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Aliran trafik lancar, tiada kesesakan luar biasa – polis

KUALA LUMPUR, 12 DIS: Tiada kesesakan luar biasa di kebanyakan lebuh raya utama negara selepas seminggu kerajaan membenarkan pergerakan rentas daerah dan negeri.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata pemerhatian pihaknya mendapati aliran trafik lancar sejak dua hari lepas dan perkara tersebut dijangka berterusan.

“Kita menjangkakan tiada kesesakan luar biasa di semua lebuh raya dan pemerhatian sejak dua hari lalu mendapati aliran trafik seperti biasa sama ada menuju ke utara, timur atau selatan tanah air,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Bagaimanapun, anggotanya tetap berada dalam keadaan bersiap sedia dalam memantau aliran lalu lintas di semua lebuh raya dan juga jalan utama, termasuk jalan persekutuan dan negeri di seluruh negara.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, laluan di kedua-dua arah LPT 1 dan LPT 2 dilaporkan lancar setakat 2.30 petang ini.

Bagaimanapun, aliran trafik perlahan di beberapa laluan seperti KM 42.3 hingga KM 41.0 hala barat (Bukit Tinggi-Genting Sempah) berikutan terdapat kerja-kerja pengalihan kenderaan yang terbabit kemalangan.

“Trafik perlahan dari PGA ke Pusat Bandar dan Puchong Perdana ke Puchong Intan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap PLUS Malaysia Berhad ketika dihubungi berkata aliran trafik ke utara dan selatan adalah lancar.

Pada 5 Dis lepas, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pergerakan merentas daerah dan negeri dibenarkan di seluruh negara, kecuali di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), bermula Isnin lalu.

Polis juga tidak melaksanakan sekatan jalan raya, sebaliknya menguat kuasa pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Jais: Akad nikah dibenar di masjid tiga daerah bebas PKPB

SHAH ALAM, 11 DIS: Upacara akad nikah di masjid dalam daerah yang bebas Perintah Kawasan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibenarkan berkuat kuasa serta-merta.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata kebenaran itu membabitkan Sabak Bernam, Kuala Selangor dan Hulu Selangor kecuali di mukim Kuala Selangor.

“Hanya lima pasangan boleh dinikahkan dalam sehari, upacara dibenar dari Isnin hingga Ahad bermula jam 9 pagi hingga 5 petang sahaja.

“Jumlah kehadiran yang dibenar bagi setiap upacara akad nikah adalah 20 individu tidak termasuk penolong pendaftar perkahwinan dan dua saksi,” kata jabatan menerusi Facebook hari ini.

Tambah Jais, kehadiran individu dari zon merah ke majlis tersebut juga tidak dibenarkan.

“Selain itu, orang ramai tidak boleh meminda lokasi majlis akad nikah ke tiga daerah berkenaan sekiranya mereka berada dalam zon merah Selangor atau luar Selangor.

“Tetapi pasangan boleh meminda untuk bernikah di Pejabat Agama Islam Daerah dengan kehadiran maksimum tiga individu sahaja iaitu pengantin lelaki dan wanita serta wali,” katanya.

Pada 5 Disember lalu, kerajaan mengumumkan PKPB di Selangor disambung sehingga 20 Disember ini kecuali tiga daerah iaitu Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Categories
EXCO SELANGOR

Boleh rentas negeri, rakyat Selangor jangan abai SOP

SHAH ALAM, 7 DIS: Penduduk Selangor diingatkan terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) meskipun pergerakan rentas daerah dan negeri kini dibenarkan.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata kes Covid-19 di negeri ini masih tinggi dan berisiko menjangkiti individu mempunyai masalah kesihatan.

Beliau berkata pematuhan SOP ketat juga berupaya mengelakkan kewujudan kluster baharu.

“Mereka yang mahu pulang ke kampung pastikan diri sihat, jangan pula kita bawa sekali virus sehingga menjangkiti ahli keluarga yang lain,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut mengingkatkan penduduk Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor untuk kekal berdisiplin walaupun tidak lagi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pergerakan rentas daerah dan negeri di seluruh negara dibenarkan bermula hari ini kecuali kawasan yang dikenakan PKP Diperketatkan.

PKPB Selangor kecuali di tiga daerah disambung sehingga 20 Disember.

Categories
AGENDA NASIONAL

SOP pelancongan, arahan bekerja dari rumah diteliti semula

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Tatacara operasi piawai (SOP) sektor pelancongan dan arahan Bekerja Dari Rumah (WFH) akan diteliti semula susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri yang ditamatkan Isnin ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata perkara itu akan diteliti kerana kerajaan juga telah bersetuju membenarkan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kelulusan polis mulai tarikh sama.

Beliau berkata bagi sektor pelancongan yang melibatkan kombinasi antara aktiviti ekonomi dan sosial, perbincangan lanjut diperlukan untuk mengenal pasti aktiviti yang dibenarkan.

“Walaupun rentas negeri dibenarkan namun terdapat beberapa kawasan masih dalam PKPB, termasuk kawasan pelancongan, dan aktiviti sosial tidak dibenarkan bagi kawasan PKPB.

“Sebagai contoh, Zoo Negara mungkin boleh dibuka kerana ia kawasan terbuka tapi sebab masih dalam kawasan PKPB, aktiviti sosial tak dibenarkan. MKN (Majlis Keselamatan Negara) akan bincang dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk senarai positif (dibenarkan) dan negatif (dilarang),” katanya pada sidang media di Wisma Pertahanan di sini.

Berhubung isu WFH, Ismail berkata MKN akan berbincang dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Utama serta ketua pengarah perkhidmatan awam untuk meneliti keperluan meneruskan arahan itu.

Mengenai pemakaian pelindung muka di tempat awam, beliau berkata kebenaran pemakaian alatan itu sebelum ini hanya kepada pelajar di sekolah untuk mengurangkan beban ibu bapa.

Bagaimanapun, perkara itu akan dibicangkan dengan Kementerian Kesihatan (KKM) sama ada orang ramai boleh memakai pelindung muka tanpa pelitup muka di tempat awam.

“(Isu) Pemakai pelindung muka akan dibangkit dan dimuktamadkan selepas mendapatkan nasihat KKM.

“Kita khuatir jika orang hanya pakai pelindung muka tanpa pakai pelitup muka, (mereka) mungkin dikenakan tindakan kerana pakai pelitup muka adalah wajib,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKPB Selangor dilanjut hingga 20 Disember kecuali tiga daerah

SHAH ALAM, 5 DIS: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor yang dijadual tamat esok disambung sehingga 20 Disember ini, maklum menteri kanan keselamatan.

Bagaimanapun, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tiga daerah iaitu Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor dikecualikan daripada perintah itu.

“Keputusan diambil berdasarkan penilaian risiko jangkitan Covid-19, namun tiga lagi daerah iaitu Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mempunyai kes terkawal,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata PKPB turut dilanjutkan di Kuala Lumpur sementara Putrajaya ditamatkan bermula tengah malam esok.

PKPB di Selangor dilaksana secara berperingkat bermula 14 Oktober susulan peningkatan kes Covid-19.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Makan gaji buta: Dakwaan berat buat guru

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Dakwaan dilemparkan segelintir individu di media sosial menuduh guru hanya makan gaji buta sepanjang tempoh penutupan sekolah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sememangnya amat berat untuk ditelan.

Selain dikatakan makan gaji buta, paling teruk ada juga yang menyarankan supaya kerajaan melibatkan guru dalam tugas barisan hadapan seperti menjaga sekatan jalan raya.

Tuduhan mempertikaikan profesionalisme pendidik itu pastinya mengguris hati para guru yang kini berjumlah kira-kira 420,000 orang di seluruh negara.

Hakikatnya, tidak ada istilah makan gaji buta bagi guru yang kini berhadapan cabaran baharu apabila terpaksa melaksanakan tanggungjawab mendidik melalui sesi pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPDR)

Satu tinjauan ringkas yang melibatkan 1,742 guru sekolah rendah dan menengah kerajaan serta swasta membuktikan dakwaan itu sangat tidak tepat.

Dalam soal selidik yang dijalankan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) November lepas, 85 peratus guru menyatakan mereka meluangkan antara satu hingga empat jam sehari melaksanakan aktiviti PdPDR manakala baki 15 peratus memperuntukkan lebih dari empat jam sehari.

Bagi kaedah pengajaran digunakan, 37 peratus melalui dalam talian, 16 peratus secara luar talian, 45 peratus secara dalam talian dan luar talian manakala selebihnya berada di pusat-pusat komuniti untuk mengedar dan mengutip nota, latihan dan tugasan diberikan kepada murid.

Ketua kajian Prof Madya Dr Azlin Norhaini Mansor berkata dapatan yang diperoleh menunjukkan majoriti guru melaksanakan tugas hakiki mengajar ketika PKP dan PKPB dengan mengikut jadual waktu yang diberikan kepada mereka.

“Mungkin ada yang musykil mengapa majoriti guru mengajar tidak sampai pun empat jam sehari?. Apa yang dijelaskan oleh guru yang terlibat dalam tinjauan itu, tugas sebenar mereka bukan sahaja mengajar sebaliknya ada lagi tugas-tugas lain yang berkaitan pentadbiran perlu dilaksanakan.

“Antaranya menyemak tugasan murid, menyediakan bahan bantuan mengajar, merekod data kehadiran dan tugas-tugas lain seperti yang diarahkan pengetua atau guru besar serta Pejabat Pendidikan Daerah,” katanya kepada Bernama di sini.

Dalam tinjauan itu juga guru yang terlibat turut berkongsi cabaran dan kekangan PdPDR atau home-based learning (HBL) dengan 80 peratus menyatakan cabaran utama mereka adalah memastikan keberadaan murid semasa kelas berlangsung.

Ini diikuti cabaran dalam menyesuaikan kaedah pengajaran dengan keperluan dan kesediaan murid, di samping perlu memastikan murid dapat memberi tumpuan agar mereka faham dan seronok belajar dalam setiap kelas yang diadakan.

“Selain itu sebanyak 70 hingga 80 peratus menyatakan masalah kestabilan internet, kebolehgunaan peranti mengajar seperti komputer, telefon, tablet, ruang pembelajaran murid, sokongan ibu bapa dan keprihatinan kepimpinan sekolah.

“Cabaran lain menggugat kredibiliti guru, seperti Astro, Netflix, video game dan lain-lain seumpamanya yang boleh diakses pada bila-bila masa secara percuma dan lebih mengujakan murid sekolah khususnya para remaja,” katanya, sambil menambah laporan lengkap tinjauan dijangka siap Januari tahun depan.

Beliau berkata dalam hal pendidikan, tidak wajar guru sahaja dipersalahkan kerana banyak perkara perlu diambil kira antaranya masalah kesihatan mental dan fizikal pelajar yang ‘terkurung’ berikutan PKP dan PKPB, ruang dan kediaman yang tidak selesa, konflik keluarga dan persoalan lain yang turut mengganggu pembelajaran pelajar.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berpendapat sentimen atau tuduhan melulu individu atau pihak yang menyatakan guru makan gaji buta ketika PKP dan PKPB disebabkan mereka tidak memahami tugas dan tanggungjawab guru.

Beliau berkata jika gaji guru hanya perlu dibayar ketika mengajar di dalam kelas, itu adalah satu tanggapan sangat salah kerana banyak beban dan cabaran guru terutama ketika PKP dan PKPB dalam memastikan pelajar meneruskan pembelajaran di rumah.

Ini termasuk mempersiapkan nota-nota pengajaran, dokumen dan sebagainya sebelum melakukan pengajaran dan pembelajaran sama ada dalam talian atau luar talian, katanya.

“Apakah kita mampu berkata kepada ahli bomba, mereka makan gaji buta kerana mereka tidak memadamkan api, atau kita kata pihak polis memakan gaji buta kerana tidak menangkap pencuri atau penjenayah.

“Walaupun kelas ditutup, kuliah tidak ada, tidak bermakna guru makan tidur semata-mata. Mereka tetap bertugas seperti biasa terutama mempersiapkan nota-nota semasa PKP untuk dikongsikan dengan pelajar,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

PKPB: Jais lulus hampir 3,000 pasangan bernikah hingga Disember

SHAH ALAM, 3 DIS: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) meluluskan 2,938 permohonan kebenaran bernikah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 30 November sehingga 31 Disember tahun ini.

Pengarahnya berkata permohonan tertinggi diterima dari daerah Petaling iaitu 659 diikuti Hulu Langat (541), Gombak (417) dan Klang (398).

“Sebanyak 283 permohonan pula diperoleh dari Sepang, Kuala Langat (190), Hulu Selangor (185), Kuala Selangor (135) serta Sabak Bernam (130),” kata Mohd Shahzihan Ahmad kepada SelangorKini.

Sebelum ini, Jais mengeluarkan 3,197 kebenaran berkahwin dari 14 Oktober sehingga 11 November lalu dengan lima akad nikah dibenarkan dalam satu hari pada Isnin hingga Jumaat.

Bagaimanapun, jabatan itu mula membenarkan 20 majlis akad nikah dilangsungkan di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) seluruh negeri ini sejak pertengahan November mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Upacara dalam dua sesi iaitu pagi dan petang dibenarkan dengan kehadiran tiga orang melibatkan pengantin lelaki, pengantin perempuan serta wali.

Kebenaran itu tertakluk kepada pasangan dalam Selangor dan pihak lelaki atau perempuan dari luar Selangor yang mendapat kebenaran rentas daerah atau negeri.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB: Kerajaan pertimbang cadangan buka perpustakaan awam

SHAH ALAM, 2 DIS: Kerajaan Persekutuan sedia mempertimbangkan cadangan supaya perpustakaan awam di lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibuka semula.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata cadangan itu akan dibawa kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk diperhalusi.

“Di kawasan PKPB, perhimpunan dalam kawasan tertutup (seperti perpustakaan) adalah tidak dibenarkan. Oleh sebab ia tempat tertutup, cadangan ini akan dibawa kepada kementerian berkaitan untuk dipertimbangkan sama ada ia boleh dibuka atau tidak.

“Kita juga perlu dapat pandangan daripada KKM, saya akan bangkitkan cadangan ini,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan media susulan terdapat permintaan daripada orang awam terutamanya pelajar supaya perpustakaan dibuka semula bagi kemudahan mendapatkan bahan rujukan dan akses internet bagi persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).