Categories
AGENDA JENAYAH

Suri rumah hilang simpanan Tabung Haji ditipu sindiket dalam talian

SIBU, 19 JAN: Seorang suri rumah di sebuah perkampungan nelayan di Igan, Bahagian Mukah dekat sini membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Sibu semalam, selepas mengalami kerugian lebih RM87,000 yang termasuk wang simpanannya dalam Tabung Haji, apabila menjadi mangsa terbaru Macau Scam baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu Supt Dr Collin Babat dalam kenyataan semalam berkata ia bermula apabila suri rumah berumur 50-an itu menerima panggilan daripada seorang wanita bernama ‘Mastura’ yang kononnya mendakwa nama suri rumah itu digunakan untuk membuat tuntutan insurans RM76,000.

Beliau berkata suri rumah itu percaya kononnya bagi menangguhkan “waran tangkap” dan mengelak akaun dibekukan, dia diminta membuka akaun baharu di samping turut diminta menyerahkan maklumat mengenai akaun berkenaan serta akaun Tabung Hajinya.

Katanya wanita itu kemudiannya diarahkan membuat lima transaksi tunai ke akaun berkenaan dari tempoh 13 Dis hingga 4 Jan lepas melibatkan jumlah keseluruhannya RM61,000.

Menurutnya wanita itu sedar ditipu hanya selepas membuat semakan baki di akaun bank berkenaan dan mendapati RM61,000 telah lesap, manakala wang RM26,138 dalam akaun Tabung Haji juga telah tiada.

Collin berkata kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, dan beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak mudah terjebak dengan tipu helah apabila dihubungi orang tidak dikenali, yang mengaku kononnya pegawai polis, peguam, wakil insurans dan sebagainya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dollah Salleh dan keluarga kemalangan, MPV terbabas di Kuala Pilah

SEREMBAN, 18 JAN: Pengurus pasukan Sri Pahang FC Dollah Salleh dan tujuh anggota keluarganya terlibat kemalangan selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer 8 Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Ghani berkata dalam kejadian pada kira-kira pukul 9 malam itu, Dollah, 59, yang juga bekas jurulatih kebangsaan itu mengalami kecederaan di bahagian belakang tengkuk manakala isterinya, Roslina Ibrahim, 58, cedera di bahagian dada.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kenderaan MPV Toyota Velfire yang dipandu menantunya Muhammad Shafiq Shukaimi, 34, hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan arah bertentangan sebelum kenderaan itu terbalik ke dalam gaung,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Lima lagi penumpang kenderaan itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Mereka ialah isteri Muhammad Shafiq, Nurdian Dollah, 34, dan empat anak pasangan itu, Nur Sarah Amanda, 10, Nur Shffiya Ayra, 9, Nursabrina Adeena, 5, dan Muhammad Sulaiman Adeen berusia sembilan bulan.

Menurut Amran, ketika kejadian keluarga terbabit dipercayai sedang dalam perjalanan dari arah Muadzam Shah, Pahang menuju ke Shah Alam, Selangor.

“Akibat kejadian itu, kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah dan dilaporkan telah keluar daripada wad pagi tadi. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya menambah kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

Kemalangan membabitkan Dollah dan anggota keluarganya itu turut tular di laman sosial sejak malam tadi, dipercayai dirakamkan penduduk di lokasi kejadian.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Serah nombor kad bank, pesara guru rugi RM100,000 ditipu penyamar ejen insurans

ALOR SETAR, 17 JAN: Seorang pesara guru wanita kerugian RM100,000 selepas dipercayai terpedaya dengan sindiket ‘Macau Scam’ oleh seorang individu yang menyamar sebagai ejen insurans pada 3 Jan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah Supt Elias Omar berkata mangsa yang berusia 60 tahun dan berasal dari Changlun, Kubang Pasu itu menerima panggilan telefon berhubung satu kes kemalangan dan tuntutan insurans yang melibatkan mangsa.

“Mangsa yang menafikan tuntutan insurans berkenaan kemudiannya telah diarahkan untuk membuat laporan ke Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur secara dalam talian. Panggilan itu telah disambungkan kepada seorang lagi suspek yang mengaku sebagai pegawai polis berpangkat sarjan dari balai polis berkenaan.

“Suspek memberitahu mangsa bahawa dia terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan diminta untuk memberikan 16 digit nombor yang tertera di kad bank serta butiran perbankan dalam talian miliknya untuk tujuan siasatan dan perlu menunggu selama tiga minggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Elias berkata mangsa yang berasa curiga telah membuat semakan dan mendapati wang dari akaunnya berkurangan dengan berlaku pindahan wang secara berperingkat yang berjumlah RM100,000 dari akaun miliknya ke akaun milik suspek.

“Suspek telah menakutkan mangsa dan memaklumkan waran tangkap terhadap mangsa telah dikeluarkan dan bagi mengelakkan mangsa ditahan polis, mangsa perlu melaporkan diri kepada suspek menerusi aplikasi WhatsApp setiap dua jam.

“Mangsa yang bimbang kemudiannya telah membuat laporan polis pada 13 Jan lalu di Balai Polis Changlun dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Elias sehubungan itu meminta orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu bagi memastikan kesahihan maklumat yang diterima melalui https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi ‘Check Scammers CCID’ bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis tahan pengasuh tampar bayi lapan bulan

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Polis menahan seorang wanita yang disyaki menampar bayi lelaki berusia lapan bulan di sebuah rumah di Bandar Tasik Permaisuri Cheras di sini, Rabu lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Kuala Lumpur, ACP Kamaruzaman Elias berkata wanita berusia 48 tahun yang merupakan pengasuh kepada mangsa itu ditahan selepas ibu bayi berkenaan yang berusia 25 tahun membuat laporan berhubung kejadian pada pukul 11.29 malam hari sama.

Menurutnya, ibu bayi itu mendakwa pipi kanan anak bongsunya kemerah-merahan ketika mengambilnya dari rumah pengasuh.

“Siasatan mendapati pengasuh mengaku tidak sengaja menampar pipi mangsa ketika berada dalam buaian selepas dikatakan sering muntah.

Suspek (pengasuh) dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya diambil dan kita tunggu laporan penuh perubatan mangsa sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara untuk nasihat dan arahan pertuduhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kertas siasatan dibuka dan diklasifikasikan sebagai kes penderaan kanak-kanak yang disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Kamaruzaman menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, perkongsian dan menyebarkan berita daripada sumber tidak sahih dan boleh mengganggu siasatan polis.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

1,300 anggota polis pantau sambutan Thaipusam di Batu Caves

GOMBAK, 15 JAN: Kira-kira 1,300 anggota polis ditugaskan membuat kawalan serta memantau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP), selain memastikan kelancaran sambutan Thaipusam di Batu Caves mulai esok hingga Jumaat depan.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata ia melibatkan 10 Pegawai Kanan Polis dan 308 Pegawai Rendah Polis daripada Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), yang akan memulakan tugas berkenaan dari pukul 7 petang esok sehingga pukul 12 tengah malam pada 21 Jan ini.

“Penugasan turut dibantu jabatan dan agensi lain termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, hari ini.

Beliau berkata pihak pengurusan Kuil Sri Subramaniar Swamy di Batu Caves akan menyediakan tiga pas khas bagi penganut yang hadir untuk upacara ‘paal koodam’ (membawa belangga susu), aktiviti sembahyang serta untuk berada dalam perkarangan kawasan sambutan itu.

Katanya selaras dengan larangan upacara membawa kavadi pada sambutan Thaipusam kali ini, polis akan mengenakan kompaun kepada mana-mana pihak yang ingkar dengan arahan itu, selain kompaun kepada mereka yang tidak mematuhi SOP.

Sementara itu Zainal Mohamed berkata polis akan menutup tujuh laluan sekitar Batu Caves semasa perarakan, membabitkan laluan di kawasan lampu trafik Kampung Melayu Batu Caves, susur dari arah MRR2 ke Kuil Batu Caves, Jalan Batu Caves Lama ke pintu masuk utama kuil.

“Selain itu penutupan laluan melibatkan simpang tiga lampu isyarat Sri Batu Caves hadapan Stesen Minyak Shell, simpang tiga Jalan SBC 8/ Jalan Batu Caves Lama, susur MRR2 dari Seri Gombak ke susur Perusahaan, dan akhirnya Jalan Perusahaan ke Kuil Batu Caves,” katanya.

“Beberapa laluan alternatif dalam masa sama dibuka untuk melicinkan kelancaran trafik dan urusan masyarakat sekitar kawasan Gombak dan Batu Caves sepanjang sambutan itu,” tambahnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis: Remaja curi tabung masjid mahu beli dadah, bukan ubat datuk

SHAH ALAM, 14 JAN: Alasan seorang lelaki yang cuba mencuri wang tabung masjid kononnya hendak membeli ubat untuk datuknya adalah tidak benar, dedah ketua polis Sungai Buloh.

Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata sebaliknya, siasatan awal mendapati remaja berusia 19 tahun itu bertindak demikian untuk mendapatkan bekalan dadah, lapor Berita Harian.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu mencuri untuk mendapatkan dadah, bukan untuk beli ubat datuknya seperti tular di media sosial. Remaja itu didapati terbabit kes dadah sejak setahun lalu,” katanya.

Remaja itu tular di media sosial selepas dimandikan seperti ‘jenazah’ kerana cuba mencuri duit tabung itu dipercayai terbabit kegiatan dadah sejak setahun lalu.

Semalam, Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap Daniel Iskandar selepas mengaku bersalah cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah dekat Kuang, Rawang pada jam 11.58 malam, Sabtu lalu.

Sebelum itu, peguam yang mewakili Daniel memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan alasan ini adalah kesalahan kali pertama anak guamnya serta dia sudah insaf dan sudah memohon maaf kepada mahkamah dan pihak masjid.

Categories
AGENDA NASIONAL

Doktor minta rakan cari individu mahu dapatkan sijil vaksin palsu

KUALA TERENGGANU, 10 JAN: Menjadikan rakan-rakan sebagai ejen antara taktik yang dipercayai digunakan seorang doktor untuk mencari individu yang berhasrat mendapatkan sijil vaksinasi Covid-19 palsu di Terengganu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata susulan itu, seramai enam individu berusia antara 35 dan 57 tahun yang disyaki menjadi ejen doktor tersebut ditahan di sekitar Marang, Dungun dan daerah ini pada Ahad lepas bagi membantu siasatan.

“Mereka bukan kakitangan klinik tapi lebih kepada kawan-kawan, ejen ini cari orang untuk vaksin di klinik suspek. Mereka ditahan semalam dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai keterangan diambil,” katanya kepada Bernama malam ini.

Beliau berkata ejen tersebut dibayar serendah RM50, manakala bayaran dikenakan untuk mendapatkan sijil vaksinasi palsu adalah antara RM400 hingga RM600 bagi setiap pelanggan.

Terdahulu dalam sidang media pagi tadi, Rohaimi berkata doktor lelaki berusia 51 tahun itu dipercayai melakukan kegiatan tersebut secara bersendirian di dalam bilik rawatan tanpa bantuan kakitangan klinik.

Sabtu lepas, doktor yang mendakwa dirinya antivaksin itu ditahan di sebuah klinik swasta di Marang, selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin Covid-19.

Menurut Rohaimi siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu telah berurusan dengan klinik tersebut untuk tujuan vaksinasi, namun daripada jumlah itu pihaknya masih menyiasat angka sebenar individu yang mendapat sijil vaksinasi palsu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis mohon ekstradisi suspek bunuh pensyarah Palestin

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memohon suspek kes pembunuhan seorang pensyarah warga Palestin pada 2018, di sini, yang dilaporkan ditahan oleh pihak berkuasa Palestin semalam, diekstradisi ke negara ini bagi tujuan siasatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata pada masa ini, PDRM sedang mendapatkan pengesahan berhubung penangkapan suspek tersebut daripada Kementerian Luar Malaysia, Kedutaan Palestin di Malaysia dan Polis Antarabangsa (Interpol).

“PDRM juga akan mendapatkan kerjasama daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai hubungan baik dengan NGO di Palestin, bagi mendapatkan pengesahan mengenai perkara berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Bernama melaporkan Kementerian Dalam Negeri yang dikendalikan Hamas dipetik berkata pada Ahad suspek pembunuhan Fadi al-Batsh telah ditahan.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Iyad al-Buzom memberitahu sidang akhbar di Kota Gaza bahawa suspek mengaku beliau direkrut oleh Mossad.

Pada 21 April 2018, Fadi, seorang jurutera penyelidik yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Hamas, maut ditembak berhampiran rumahnya di Kuala Lumpur.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, mangsa dalam perjalanan dari kondominiumnya di Setapak menuju masjid berhampiran untuk menunaikan solat Subuh.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis bongkar doktor swasta jual sijil vaksin palsu RM400-RM600 sekeping

KUALA TERENGGANU, 10 JAN: Polis Terengganu menahan seorang doktor sebuah klinik swasta selepas disyaki mengeluarkan sijil suntikan vaksin Covid-19 palsu di Marang, dekat sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata doktor lelaki berusia 51 tahun itu ditahan di kliniknya dalam satu serbuan bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terengganu selepas mendapat aduan awam mengenai kegiatan tersebut.

“Siasatan awal mendapati seramai 1,900 individu berurusan dengan klinik ini (tujuan vaksinasi) dan daripada jumlah itu kita masih menyiasat berapakah jumlah sebenar yang tidak mendapatkan suntikan, namun hanya mendapat sijil vaksinasi palsu.

“Difahamkan setiap individu yang ingin mendapatkan sijil vaksinasi palsu ini, mereka perlu membayar antara RM400 hingga RM600 berbanding harga sebenar suntikan RM300 sahaja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Rohaimi berkata individu dari luar Terengganu juga dipercayai turut menggunakan khidmat doktor tersebut bagi mendapatkan sijil vaksinasi palsu.

“Kita dapati kebanyakan pelanggannya berurusan secara dalam talian, jadi kita akan cuba dapatkan maklumat daripada e-mel dalam komputer riba yang turut dirampas dari klinik berkenaan,” katanya.

Beliau berkata doktor yang mengaku dirinya sebagai golongan antivaksin itu, dipercayai melakukan kegiatan tersebut secara bersendirian di dalam bilik rawatan tanpa bantuan kakitangan klinik yang lain.

“Walaupun doktor itu mengaku antivaksin, beliau sudah menerima suntikan vaksin, mungkin atas sebab tuntutan kerjaya beliau sebagai doktor,” katanya.

Katanya, suspek dipercayai menggunakan ejen yang diberi komisen sebanyak RM50 untuk mempromosikan khidmatnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Menurut Rohaimi perbuatan doktor yang bertauliah itu bukan sahaja merupakan satu jenayah, malah boleh membawa musibah kepada kesihatan masyarakat.

Pada sidang media sama, Pengarah JKN Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong berkata klinik swasta berkenaan dibenarkan untuk memberi suntikan vaksinasi secara berbayar sejak September tahun lepas dan semakan mendapati klinik itu telah membuat permohonan untuk dijadikan pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19, namun belum diluluskan.

Kasemani berkata terdapat klinik yang masih belum dilantik menjadi PPV, namun boleh memberikan suntikan secara berbayar bagi vaksin Covid-19 keluaran Sinovac sahaja.

Beliau berkata pemberian suntikan vaksin secara berbayar semakin berkurangan kerana sudah terdapat vaksin yang mencukupi untuk diberikan secara percuma di PPV yang dilantik.

“Kita akan tunggu hasil siasatan polis untuk tindakan lanjut terhadap doktor dan klinik ini,” katanya dan menambah pendaftaran klinik serta lesen doktor tersebut boleh dibatalkan jika didapati bersalah.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis tangkap pemuda lempar kata kesat kepada penguat kuasa MPKS

SHAH ALAM, 6 JAN: Seorang lelaki yang dikatakan melakukan provokasi dengan melemparkan kata-kata kesat terhadap anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) pada Selasa ditahan polis malam tadi.

Ketua Polis Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar pemuda berusia 30 tahun itu ditahan di sebuah stesen minyak dekat Jalan Bidara 6/3, Saujana Utama jam 9 malam.

“Bertindak atas laporan yang diterima daripada anggota penguat kuasa MPKS semalam, polis berjaya membuat tangkapan terhadap seorang lelaki pada jam 9 malam,”katanya. dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Selasa lepas, tular satu rakaman video seorang anggota penguat kuasa MPKS sedang menjalankan tugas menyaman kenderaan yang menyalahi undang-undang dalam kawasan tugasan di Jalan Bidara 6/2 Saujana Utama diprovokasi oleh seorang lelaki.

Susulan insiden itu, anggota penguat kuasa berkenaan membuat laporan polis.

Setiausaha MPKS dalam kenyataan semalam memuji anggota penguat kuasa berkenaan kerana menjalankan tugas secara profesional serta tidak ambil peduli terhadap provokasi dihadapi.

Yusli Askandar berharap kejadian itu menjadi iktibar kepada semua.

Tangkap layar rakaman seorang anggota penguat kausa Majlis Perbandaran Kuala Selangor diprovok seorang lelaki ketika sedang bertugas. Foto Facebook MPKS
Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: 54 maut di lima negeri, dua masih hilang

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Sejumlah 54 kematian akibat banjir direkodkan di seluruh negara dan dua lagi masih hilang setakat hari ini, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali.

Beliau berkata negeri yang mencatatkan kematian tertinggi dalam bencana banjir adalah Selangor iaitu 25 orang, diikuti Pahang (21), Kelantan (empat), Sabah (tiga) dan seorang di Negeri Sembilan.

Hazani berkata situasi semasa laporan banjir daripada kesemua Pusat Kawalan Kontinjen mendapati seramai 13,322 mangsa di seluruh negara telah direkodkan setakat 12 tengah hari tadi.

“Sebanyak tujuh negeri terlibat banjir dan sejumlah 172 pusat pemindahan sementara (PPS) masih aktif,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai situasi banjir di Segamat, Johor, Hazani berkata empat kampung di daerah berkenaan telah terputus jalan utama akibat dinaiki air setakat hari ini namun keadaan masih terkawal.

“Empat perkampungan yang terputus laluan utama ialah Kampung Lubuk Lanjut, Kampung Batu 10, Kampung Budu dan Kampung Spang Loi.

“Keadaan di Segamat masih dalam kawalan. Misi memberi bantuan masih kami teruskan dengan menggunakan sebuah helikopter yang telah diatur gerak bagi membantu mangsa banjir di perkampungan yang terjejas”, katanya.

Hari ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani telah mengarahkan JKDNKA untuk menyelaraskan bantuan meliputi jalan udara serta air bagi memastikan kebajikan penduduk terjejas banjir kekal terpelihara.

Bantuan itu antaranya sebuah helikopter milik Pasukan Gerakan Udara polis diguna untuk menghantar bekalan keperluan bagi penduduk di Segamat yang terputus hubungan ekoran jalan darat dinaiki air.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tanah mendap, Jalan Kinabalu arah Cheras ditutup dua hari

KUALA LUMPUR, 4 JAN: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menutup Jalan Kinabalu di sini dari arah Cheras berikutan kejadian tanah mendap sehingga mengakibatkan jalan berlubang.

Ketua JSPT Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata jalan berkenaan ditutup pada pukul 10.30 pagi tadi kepada semua kenderaan.

Beliau berkata kerja-kerja pembaikan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dijangka akan mengambil masa dua atau tiga hari.

“Polis menasihatkan supaya pengguna jalan raya agar tidak menggunakan laluan tersebut dan mematuhi papan tanda arahan yang telah disediakan.

Polis dalam pada itu menyediakan laluan alternatif antaranya kenderaan dari arah Selayang yang hendak ke Cheras dan selatan dilencongkan ke Bulatan Dato’ Onn, Jalan Parlimen dan seterusnya ke Jalan Sultan Iskandar dan ke selatan semula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sarifudin berkata bagi kenderaan dari arah Jalan Maharajalela, Bulatan Sultan Muhammad serta Bulatan Hishamuddin dilencongkan terus ke Jalan Raja untuk ke pusat bandar atau ke arah utara semula.

Sementara itu, kenderaan daripada arah Jalan Parlimen masuk ke Bulatan Dato’ Onn dilencongkan ke Jalan Kuching manakala kenderaan daripada Jalan Tun Perak ke Bulatan Dato’ Onn di halakan terus ke Jalan Parlimen.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau talian penting JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267 atau mana- mana balai polis berhampiran,” katanya.

-BERNAMA