Categories
AGENDA NASIONAL

Kakitangan ibu pejabat JKR positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Seorang kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) di ibu pejabat JKR di Jalan Sultan Salahuddin disahkan positif Covid-19, semalam.

JKR dalam kenyataan hari ini berkata individu terbabit dikesan positif Covid-19 selepas menjalani ujian swab secara rawak di Lapangan Terbang Kuching, Sarawak Isnin lepas (14 Sept).

Menurut jabatan itu, petugas terbabit pergi ke Kuching untuk menghadiri satu mesyuarat di JKR Sarawak dan menginap di sebuah hotel.

“Dalam perjalanan pulang, pihak Hospital Kuching telah menghubungi beliau dan memaklumkan beliau positif Covid-19.

“Beliau telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh, Selangor untuk rawatan lanjut sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam,” demikian menurut kenyataan itu.

Susulan kes itu, JKR telah mengemukakan senarai nama kontak rapat kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan mereka akan menjalani saringan kesihatan serta kuarantin di rumah.

Selain itu, JKR juga mengambil langkah proaktif dengan menjalankan proses disinfeksi ke atas ruang pejabat dan kawasan persekitaran.

KKM hari ini merekodkan 21 kes baharu Covid-19 termasuk satu kes saringan di pintu masuk antarabangsa di Sarawak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster baharu di Sarawak babit empat pekerja kapal

SHAH ALAM, 20 OGOS: Kementerian Kesihatan mengesan kluster baharu membabitkan empat kes positif dalam kalangan pekerja kapal di Sarawak.

Ketua pengarah kesihatan bagaimanapun berkata kluster Alam tidak membawa risiko jangkitan komuniti kerana ia kluster import terpencil.

“Kluster ini dikesan susulan saringan terhadap lima kakitangan yang mengalami gejala dan keputusan mendapati empat positif.

“Mereka terdiri dari dua warganegara dan dua warga asing yang kini dirawat di Hospital Bintulu. Siasatan mendapati kapal ini mempunyai sejarah perjalanan ke Jepun,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat sedang dijalankan.

“Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyahkuman dan nyahcemar turut dilakukan di kapal tersebut.”

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kemasukan ke IPTA di Kedah, Sarawak mungkin ditangguh

TANJUNG MALIM, 20 OGOS: Kepulangan penuntut dan kemasukan pelajar baharu ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Kedah dan Sarawak pada Oktober depan, mungkin ditangguhkan sekiranya kes Covid-19 di kedua-dua negeri berkenaan didapati meningkat.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad berkata sekiranya penangguhan itu diputuskan, ia akan dilakukan selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kerajaan negeri yang terlibat.

“Pelajar akan mula masuk (daftar pada) Oktober, jadi bergantung kepada keadaan semasa Covid-19 dan tatacara operasi piawai (SOP) juga telah ditekankan oleh pihak kementerian supaya setiap universiti mengikut SOP yang ditetapkan.

“Tetapi bagi kawasan seperti di Kedah, ia bergantung kepada keadaan semasa tempat itu. Saya dapat makluman dalam beberapa minggu lepas, Sarawak ketika itu pun tinggi kes (Covid-19),” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi berikutan penularan wabak Covid-19 khususnya di negeri berkenaan.

Dalam pada itu, Noraini berkata pihaknya berpuas hati dengan persediaan IPTA bagi menerima kemasukan pelajar masing-masing pada Oktober depan.

“Alhamdulillah, kita mengadakan penerangan mengenai SOP dengan pihak universiti dan KKM sendiri pun datang meninjau keadaan universiti tersebut dalam menerima pelajar yang akan mula mendaftar semula,” katanya.

Terdahulu, Noraini bertemu penduduk setempat pada Program Ziarah Kasih di Kampung Changkat Sulaiman hari ini, yang turut disertai calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Warganegara masuk Sarawak hanya perlu isi borang isytihar kesihatan

KUCHING, 6 OGOS: Warganegara Malaysia dari Semenanjung, Sabah dan Labuan yang memasuki Sarawak tidak perlu lagi memohon dan mengisi borang “EnterSarawak.”

Bagaimanapun, mereka masih diwajibkan mengisi Borang Pengisytiharan Kesihatan, demikian diputuskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

“Bagi warganegara asing dan warganegara Malaysia yang tiba atau transit dari luar negara, mereka masih perlu memohon dan mengisi borang EnterSarawak dan Borang Pengisytiharan Kesihatan,” menurut kenyataan jawatankuasa itu hari ini.

Warganegara Malaysia dari Semenanjung, Sabah dan Labuan yang masuk ke Sarawak dengan destinasi terakhir mereka di kawasan pedalaman serta jauh dari klinik kesihatan yang ada menyediakan kemudahan untuk mengambil sampel Covid-19 akan dikuarantin di hotel.

“Sampel akan diambil pada hari kedua dan sekiranya keputusan adalah negatif, barulah mereka dibenarkan balik ke rumah masing-masing,” katanya.

Kenyataan itu menyebut warganegara Malaysia yang menjadikan mana-mana kawasan yang menyediakan kemudahan mengambil sampel Covid-19 sebagai destinasi terakhir mereka akan dipakaikan gelang tangan dan dibenarkan balik ke rumah masing-masing.

“Sampel Covid-19 akan diambil pada hari kedua di lokasi klinik kesihatan yang berhampiran. Sekiranya keputusan adalah negatif, mereka tidak perlu lagi menyambung baki hari mereka perlu dikuarantin,” menurut kenyataan itu.

Tiada kes baharu Covid-19 dilaporkan di Sarawak hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif kekal sebanyak 678 dengan 19 kematian.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bendung Covid-19 di Kedah, Sarawak tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Persidangan Dewan Rakyat yang memasuki hari ke-15 hari ini dijangka tertumpu kepada perkara berkaitan langkah kerajaan untuk mencegah berlakunya gelombang baharu Covid-19 di Kedah dan Sarawak.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, isu berkenaan diajukan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PAKATAN-Bandar Kuching) kepada Menteri Kesihatan semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan hari ini.

Yii juga ingin tahu mengenai status kes wabak Covid-19 termasuk jumlah ujian saringan yang telah dijalankan di kedua-dua negeri berkenaan.

Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) pula dijadual bertanyakan Menteri Pertanian dan Industri Makanan mengenai mekanisme dan langkah konstruktif yang dirangka kerajaan bagi meningkatkan sekuriti makanan dalam negara terutamanya ketika menghadapi krisis seperti bencana wabak.

Seterusnya, sidang Dewan Rakyat akan menyambung penggulungan perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong yang dijangka melibatkan enam kementerian antaranya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Petronas tarik balik rayuan berhubung keputusan isu SST

PUTRAJAYA, 3 OGOS: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) hari ini menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching bahawa Sarawak berhak mengutip cukai jualan bagi produk petroleum.

Kerajaan Sarawak, pada masa sama juga menarik balik rayuan balas berhubung isu bidang kuasa Mahkamah Tinggi mengenai cukai jualan negeri (SST).

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Mohd Sofian Abd Razak membatalkan rayuan dan rayuan balas serta memerintahkan setiap pihak menanggung kos masing-masing.

Petronas yang diwakili peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar dan Pegawai Undang-Undang Negeri Datuk Seri JC Fong yang mewakili kerajaan negeri Sarawak dan Pengawal Cukai Jualan negeri Sarawak mengesahkan rayuan itu ditarik balik.

Prosiding mahkamah itu dijalankan menerusi persidangan video.

Peguam Petronas, Alvin Chong yang menghadiri prosiding itu memohon rayuan itu ditarik balik.

Kerajaan negeri Sarawak dan Pengawal SST Sarawak juga diwakili Peguam Besar Negeri Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid.

Melalui pesanan WhatsApp, Fong berkata berikutan penarikan balik rayuan itu, keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan.

Pada 13 Mac tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan Perkara 95B(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak dibenarkan menggubal undang-undang untuk mengenakan cukai jualan.

Hakim Mahkamah Tinggi Azhahari Kamal Ramli berkata peruntukan itu menetapkan bahawa mana-mana cukai jualan dikuatkuasakan oleh undang-undang negeri disifatkan sebagai antara perkara yang ditetapkan dalam senarai negeri, Ordinan Cukai Jualan Negeri dan mana-mana perundangan tambahan disenaraikan di bawahnya adalah berperlembagaan dan sah.

Beliau menolak permohonan semakan kehakiman oleh Petronas untuk membatalkan notis penilaian dikeluarkan kerajaan negeri Sarawak memohon syarikat itu membayar SST berjumlah RM1.3 bilion.

Petronas turut memohon, antara lain, pengisytiharan bahawa bahagian tertentu dalam notis itu adalah ultra vires pada Perlembagaan Persekutuan dan adalah batal dan tidak sah, dan juga perintah certiorari bahawa notis bertarikh 28 Ogos 2019, 7 Okt 2019 dan 13 Nov 2019 dikeluarkan kerajaan negeri Sarawak kepada Petronas dibatalkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penerbangan ihsan TUDM bawa dua pesakit jantung

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan ihsan membawa dua bayi, masing-masing berusia 11 hari dan dua bulan dari Kuching, Sarawak ke Institut Jantung Negara (IJN) di sini, hari ini.

Dalam kenyataannya, TUDM memaklumkan kedua-dua bayi bersama ibu masing-masing diterbangkan dari Pangkalan Udara Kuching dengan pesawat pengangkut A400M daripada No 22 Skuadron.

“Kedua-dua bayi itu yang masing-masing mempunyai masalah jantung Partially Obstructed Total Anomalous Pulmonary Vein Drainage dan Congenital Heart Disease of Transposition of Great Arteries sebelum ini mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Pesawat yang berlepas dari Pangkalan Udara Kuching tiba kira-kira 6.50 pagi tadi di Pangkalan Udara Subang dan dibawa ke IJN dengan diiringi pegawai dan petugas perubatan daripada HUS,” demikian menurut kenyataan itu.

TUDM mendoakan agar kedua-dua bayi berkenaan dapat menjalani rawatan dengan segera serta diberikan kesembuhan dan kembali sihat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN formula terbaik buat Sarawak – Mohamad Sabu

SIBU,10 NOV: Gabungan empat parti politik yang bernaung di bawah Pakatan Harapan (PAKATAN) adalah formula terbaik untuk memerintah Sarawak selepas pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu berkata, ini kerana PAKATAN yang terdiri daripada PKR, DAP,BERSATU dan AMANAH dianggotai rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Menurutnya, rakyat Sarawak semakin yakin dengan PAKATAN selepas kejayaan mengambil alih pucuk pimpinan negara selepas pilihan raya umum lalu.

“Bagi Sarawak, PAKATAN adalah formula terbaik kerana mewakili semua suku kaum”,katanya semasa berucap pada majlis Makan Malam ‘Memenuhi Harapan, Mendukung Aspirasi’ di sini malam tadi.

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu . Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau berkata, AMANAH yang merupakan antara parti komponen PAKATAN mendapat sambutan menggalakan daripada pengundi-pengundi di Sarawak pada PRN yang lalu.

“Ujian pertama AMANAH walapun baru tak sampai setahun ditubuhkan telah bertanding di 13 kerusi (DUN) terutama di kawasan pedalaman kerana kita tidak mahu BN menang percuma.Beberapa DUN kita tidak hilang wang pertaruhan dan pilihan raya Parlimen pula undi kita perolehi amat memberangsangkan.

“Pada pilihan raya itu pula undi kita perolehi amat memberansangkan dan pilihan raya tahun depan insya Allah AMANAH dan Pakatan Harapan akan ambil alih pentadbiran Sarawak”,tegasnya.

Sementara itu pada sidang media, Sabu berkata perbincangan mengenai pembahagian kerusi dan manifesto khas untuk Sarawak akan dibuat bila-bila masa jika ada panggilan daripada Pengerusi PAKATAN Sarawak.

Menurutnya, perbincangan berhubung pengagihan kerusi antara empat komponen PAKATAN dan manifesto khas tersebut boleh disiapkan sekurang-kurangnya awal tahun depan.

Terdahulu, Pengerusi AMANAH Sarawak, Abang Abdul Khalil Abang Naili dalam ucapannya alu-aluannya berkata, untuk memastikan Sarawak maju, polisi kerajaan Sarawak mestilah sama dengan Kerajaan Persekutuan.

“Polisi kerajaan Sarawak mestilah selari dengan Kerajaan Persekutuan, kalau tidak rakyat Sarawak akan menderita. Kerajaan Persekutuan sedaya – upaya membantu rakyat Sarawak”,katanya.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

298 sekolah ditutup di Sarawak ekoran jerebu

KUCHING, 17 SEPT: Sebanyak 298 sekolah di lapan daerah di Sarawak ditutup hari ini ekoran jerebu dengan Sri Aman merekodkan kualiti udara tahap bahaya.

Jabatan Pendidikan Negeri dalam kenyataan berkata, ia membabitkan 53 sekolah menengah dan 245 sekolah rendah di Betong, Bau, Kuching, Lubok Antu, Padawan, Samarahan, Sri Aman dan Lundu.

Seramai 128,291 pelajar terjejas ekoran penutupan sekolah hari ini, menurut kenyataan berkenaan.

Kualiti udara di Sri Aman mencapai tahap bahaya secara mendadak dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 352 pada 6 pagi dan meningkat kepada 365 dua jam kemudian, berbanding 214 yang direkodkan pada 12 tengah malam, semalam.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, Mejar Ismail Mahedin dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia negeri berkata setakat 8 pagi, Kuching mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat iaitu 219, berbanding 215, dua jam sebelumnya.

Katanya lapan daerah kekal mencatatkan bacaan IPU tidak Sihat iaitu Samarahan (160), Sarikei (148), Sibu (166), Bintulu (129), Mukah (140), Samalaju (113), ILP Miri (107) dan Miri (126).

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Abang Johari: Sarawak akan sentiasa berada dalam Malaysia

KUCHING, 17 SEPT: Sarawak akan sentiasa berada dalam Malaysia dan sebarang masalah yang timbul pasti dapat diselesaikan dalam semangat kekeluargaan, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menegaskan perkara itu, beliau berkata anggota pentadbiran Kerajaan Negeri berkeyakinan penuh bahawa perkara yang dibincangkan Jawatankuasa Khas Pemandu MA63 dan Malaysia akan menemui penyelesaian dan persefahaman rakyat Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak lebih padu dan kukuh.

“Dalam hal ini, saya mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) kerana membentuk sebuah jawatankuasa pemandu bagi menangani isu ini.

“Rundingan sekarang berkaitan pelaksanaan Perjanjian Malaysia, yang dipengerusikan oleh YAB Tun menguatkan hal ini,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2019 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya malam tadi.

Abang Johari berkata, Sarawak yakin dengan penyelesaian yang akan menyaksikan tiada pihak yang rugi, dan lebih penting, tidak meremeh hak perlembagaan, perlindungan khas dan status yang diberikan kepada Sabah dan Sarawak, seperti dipersetujui bapa pengasas negara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan 56 tahun lalu.

“Dalam mana-mana sistem politik, di mana wujudnya dua atau lebih kuasa perundangan yang mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang, persempadanan bidang kuasa untuk menggubal undang-undang hendaklah jelas.

“Walaupun dengan kewujudan persempadanan yang jelas, ketidaksetujuan masih boleh berlaku kerana kuasa ini dipengaruhi keperluan semasa, aspirasi dan agenda pembangunan Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri,” katanya.

Abang Johari percaya walaupun kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan berada di landasan politik yang berlainan, ia tidak menghalang kedua-dua pihak untuk terus bekerjasama bagi kepentingan rakyat dan negara.

Ketua Menteri itu turut menyambut baik pendekatan Wawasan Kemakmuran Bersama yang diumumkan Dr Mahathir baru-baru ini, yang antara lain bertujuan meningkatkan kuasa beli rakyat serta menghapuskan jurang pendapatan dan kekayaan antara kaum.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Fokus bangunkan Sarawak, Sabah – PM

KUCHING, 16 SEPT: Tun Dr Mahathir Mohamad memberikan komitmen bahawa Kerajaan Pusat akan memberikan lebih tumpuan kepada pembangunan di Sarawak dan Sabah selaras Wawasan Kemakmuran Bersama yang baharu diperkenalkan.

Perdana Menteri mengakui bahawa keadaan di kedua-dua negeri berkenaan masih kurang diberi tumpuan berbanding negeri-negeri di Semenanjung.

“Kita dapati kerajaan sebelum ini tidak memberi tumpuan sepenuhnya kepada negeri Sarawak. Kalau kita bandingkan kita lihat keadaan di Sarawak ini yang kaya dengan minyak tetapi pembangunan tidak diagih sama rata antara raktyat di negeri Sarawak sendiri dan antara Sarawak dan Semenanjung.

“Ini kita tentukan daripada kajian-kajian yang kita telah lakukan bahawa kita perlu beri tumpuan lebih kepada Sarawak dan Sabah supaya rakyat di negeri-negeri ini akan dapat layanan sama dengan Semenanjung,” katanya dalam ucapannya pada program Berambeh (Ramah Mesra) Bersatu Sarawak di sini, hari ini.

Perdana Menteri menjelaskan bahawa tumpuan lebih kepada dua negeri berkenaan bukan atas sebab pilih kasih.

“Tetapi kerana kenyataan sebenar bahawa walaupun negeri Sarawak negeri besar daripada (negeri-negeri) Semenanjung, tetapi pembangunannya agak ketinggalan melainkan di bandar-bandar, di luar bandar kita dapati kedudukan tidaklah seperti kita kehendaki.

“Sebab itu satu dasar baharu telah diperkenalkan Kerajaan Pusat untuk negara kita dan dasar baharu ini adalah untuk lihat agihan kekayaan secara adil dan saksama, kita ingin lihat pembangunan bersama,” katanya.

Menghuraikan lagi mengenai dasar baharu yang diperkenalkan sebaik selesai Mesyuarat Khas Kabinet Sabtu lepas, Dr Mahathir berkata, pelaksanaan dasar berkenaan berbeza daripada dasar yang diperkenalkan sebelum ini.

“Kita nak kemakmuran bersama ini dicapai pada penghujung usaha kita, bukan di permulaan… Kali ini kita ingin tentukan yang kurang bernasib baik diberi peluang hanya dengan syarat mereka dapat menggunakan sepenuhnya peluang ini, bukan untuk menjual lesen dan kontrak (yang diberikan) tetapi mereka akan berusaha sendiri.

“Malangnya mereka tidak berupaya dan tidak ada kemahiran. Untuk ini kita akan betulkan dengan cara memberi latihan, pengajaran tentang pengurusan wang mereka, tentang perniagaan mereka supaya bila dapat peluang, mereka tidak perlu jual kepada orang kaya, sebaliknya akan guna peluang itu untuk tingkat pendapatan mereka. Dengan itu jurang miskin dan kaya akan berkurangan,” katanya.

Dr Mahathir berkata, wawasan berkenaan telah disusun dengan rapi supaya ia dapat dilaksanakan dengan jayanya, namun berharap rakyat dapat memberi sokongan.

“Kalau kita beri peluang tetapi mereka tak ingin berusaha tingkatkan kebolehan mereka maka keadaan sediakala ini akan berterusan, tetapi kalau mereka sanggup kerja kuat melatih diri dan beramanah tidak menjual segala peluang, InsyaAllah mereka akan tingkatkan kejayaan sendiri.

“Kita telah berjaya menyusun dan memahami bagaimana ‘shared prosperity’ ini dapat dicapai. Ini semua kita akan dapat lakukan kerana kerajaan ini memang berminat untuk memperhambakan diri kepada rakyat tetapi rakyat juga harus menyambut cadangan ini supaya ia berjaya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jerebu: NADMA-Sarawak sedia peruntukan, edar topeng muka

KUALA LUMPUR, 7 SEPT: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kerajaan Negeri Sarawak akan menyediakan peruntukan bagi perolehan topeng muka untuk diedarkan kepada penduduk di Kuching, yang kini dilanda jerebu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Dr Wan Azizah berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri akan terus memantau situasi di kawasan terjejas.

Beliau berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia juga sedang meneliti kesesuaian menjalankan Operasi Pembenihan Awan dengan mengambil kira keadaan atmosfera di kawasan itu.“Rakyat khususnya di Sarawak dinasihat agar lebih banyak berada di kawasan tertutup dan memakai topeng apabila berada di kawasan terbuka untuk mengelak sebarang masalah kesihatan,” katanya.

Setakat 10 pagi ini, jerebu semakin teruk melanda Sarawak apabila banyak kawasan mencatat peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dengan Kuching menjadi satu-satunya kawasan mencatat IPU sangat tidak sihat iaitu 206.

Memetik laporan Jabatan Alam Sekitar, Dr Wan Azizah berkata faktor utama penyumbang punca bacaan IPU yang tinggi berikutan 455 titik panas dikesan akibat kebakaran di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia.

Beliau berkata, pergerakan angin memberi kesan jerebu rentas sempadan ke Malaysia khususnya di Sarawak.

“Di samping itu, kejadian kebakaran belukar tanah gambut di Kuala Baram, Miri menyebabkan keadaan sekitar berjerebu. Pihak bomba sedang mengambil tindakan berterusan memadam kebakaran di kawasan berkenaan,” katanya.

– BERNAMA