Categories
NASIONAL

Kerajaan perlu turun harga bahan api ikut pasaran dunia

ron95

KUALA LUMPUR 31 OKT – Pakatan Rakyat (PR) mempersoalkan tindakan kerajaan menaikkan subsidi bahan api sebanyak RM2.326 bilion dalam pembentangan Belanjawan Negara 2014 kerana kerajaan mensasarkan penjimatan sebanyak RM3.3 bilion tahun hadapan.

Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik, berkata pertambahan subsidi menjadikan jumlah perbelanjaan meningkat kepada RM22.341 bilion, namun hanya RM20.015 diperuntukkan dalam Belanjawan Negara 2013.

“Subsidi minyak untuk tahun depan akan meningkat sebanyak 11.62 peratus iaitu daripada RM20 bilion ditingkatkan kepada RM22 bilion. Harga subsidi minyak perlu ditingkatkan bukan dikurangkan.

“Jadi kita ada persoalan besar, kenapa subsidi perlu meningkat secara mendadak kerana pengumuman Perdana Menteri menjelaskan bahawa RON95 dan Diesel ditingkatkan 20 sen membolehkan penjimatan RM3.3 bilion dicatat tahun 2014, pada September lalu,” katanya pada sidnag media, di Parlimen, di sini, hari ini.

Wei Aik berkata, harga minyak semasa dunia menurun berikutan keredaan krisis di Syria dan Iran ke paras USD102 satu tong dan beliau turut mendesak kerajaan menurunkan harga bahan api selaras dengan penurunan harga pasaran dunia.

“Harga bahan api adalah masalah besar yang membebankan rakyat kerana mereka ingin harga diturunkan bukan semakin bertambah,” katanya.

Antara negara yang mengurangkan harga minyak adalah India, Taiwan, Ghana, Vietnam, Bermuda, Afrika Selatan, Georgia dan China, dalam tempoh hampir tiga bulan lalu. -NFN-

Categories
SELANGOR

Gergasi Thailand teroka ekonomi Selangor

Gergasi Thailand

SUBANG JAYA, 23 SEPT : Kestabilan ekonomi dan kemajuan pesat selain jaringan kemudahan yang baik menjadi faktor Selangor terus diyakini pelabur asing. Dalam perkembangan terbaru, Central Pattana dari Thailand melabur RM500 juta menerusi anak-anak syarikatnya untuk membina pusat membeli-belah CentralPlaza@i-City, di i-City, Shah Alam.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata perkembangan itu amat memberangsangkan kerana sebelum ini Thailand tidak tersenarai sebagai pelabur utama.

“Kita biasa dengan syarikat dari Jepun, Taiwan, Jerman dan British tetapi kali ini ada syarikat dari Thailand nak melabur RM500 juta di Shah Alam. Ia satu jumlah yang besar.

“Syarikat ini difahamkan pernah berbincang dengan Datuk Bandar Shah Alam dan berminat melabur di Shah Alam kerana ia berpotensi besar untuk dibangunkan,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Dialog Belanjawan 2014 di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya.

Gergasi Thailand 2Central Pattana adalah sayap Central Group (CPN) dan merupakan pemaju hartanah runcit yang terbesar di Thailand. Ia memiliki serta mengurus 21 pusat membeli-belah premium di negara itu. Pelaburan di Shah Alam ini merupakan tujahan pertama CPN menembusi pasaran serantau.

“Pelaburan ini merupakan batu loncatan yang penting untuk mencapai wawasan kami, iaitu untuk menjadi pemaju hartanah runcit serantau dan kerjasama ini memperkuatkan lagi komitmen kami untuk mencapai wawasan itu,” tegas Pegawai Eksekutif Kanan Central Pattna, Kobchai Chirathivat, lapor Inside Retail.Asia.

Syarikat tempatan, i-BHD, dilaporkan memeterai perjanjian kerjasama dengan CPN Global Company Ltd untuk membina CentralPlaza i-City itu. Dibawah perjanjian itu, CPN akan merangkumi dua syarikat iaitu CPN Real Estate Sdn Bhd dan CPN Malls Malaysia Sdn Bhd yang secara bersama memegang 60% saham disamping syarikat unit i-BHD, i-City Properties Sdn Bhd.

CentralPlaza@i-City akan mula dibina tahun hadapan dan dijangka dibuka kepada awam menjelang 2016. Pusat membeli-belah seluas 1.5 juta kaki persegi ini dijangka menelan kos RM580 juta.

“Kita berbesar hati untuk menjana ekonomi melalui perjanjian ini, lebih-lebih lagi ini merupakan hasil pertama pelaburan asing secara langsung untuk negara ini selepas Pilihan Raya Umum 5 Mei lepas,” kata pengasas i-Bhd, Tan Sri Lim Kim Hong, lapor The Star.

Sebelum ini, Abdul Khalid melahirkan keyakinan pelaburan itu akan menjadikan Shah Alam syurga beli-belah di rantau Asia Tenggara. Menurut beliau, pelaburan Central Pattana ini dicapai di sesi retreat EXCO Kerajaan Negeri selama tiga hari di Bangkok baru-baru ini.

Abdul Khalid menjelaskan, Kerajaan Negeri memilih Bangkok sebagai lokasi retreat untuk memperoleh maklumat lanjut mengenai Central Pattana, selain dari tugas merangka Pelan Tindakan Lima Tahun bagi Belanjawan Negeri 2014.

“Ini menunjukkan mereka percaya kepada negeri Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat yang sentiasa mengamalkan pelaburan terbuka kepada semua pelabur-pelabur di peringkat Asean dan dunia,” katanya, ketika berucap pada Majlis Jamuan Pimpinan Bersama Rakyat Sabah dan Sarawak Sempenan Sambutan Hari Malaysia ke-50 Peringkat Negeri Selangor di Foyer Bangunan SUK, Shah Alam, 21 September lepas.

Turut hadir di sambutan itu adalah Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen Selangor dan ADUN Ba’kelalan, Baru Bian. Sekurang-kurangnya 300 warga Sabah dan Sarawak dari kalangan pelajar dan keluarga yang menetap di Selangor turut menghadiri majlis tersebut.

Categories
NASIONAL

Kepincangan Ekonomi Malaysia Berpunca Dari Pengurusan Umno-BN

KUALA LUMPUR, 1 OKT : Masalah ekonomi di negara boleh diatasi dengan cekap dan berkesan sekiranya dasar-dasar yang digubal merombak kepincangan struktur ekonomi sedia ada.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kegagalan Kerajaan Umno-BN menamatkan defisit belanjawan selama 15 tahun berturut-turut membuktikan Malaysia mempunyai masalah struktur ekonomi yang serius.

Beliau berkata, sekiranya potensi ekonomi negara yang berasaskan sumber kekayaan dan tenaga kerja sedia maka Malaysia sepatutnya berada di depan negara-negara yang dulunya lebih mundur dari Malaysia tetapi kini menjadi contoh kepada dunia.

“Malaysia bermula pada garisan yang sama dengan negara-negara seperti Singapura, Taiwan dan Korea Selatan. Malah, Malaysia berada di hadapan berbanding dengan Turki.

“Dalam tahun 1970an, Pendapatan Negara Kasar per kapita Malaysia sebanyak US $400 adalah jauh lebih tinggi berbanding Korea Selatan pada jumlah US $270 sahaja.

“Kelebihan ekonomi ini semakin terhakis dan merudum sejak tahun 1980, seperti yang dibuktikan oleh angka-angka perbandingan pendapatan negara kasar per kapita pada 2010 iaitu Korea Selatan (US$19,720) manakala Malaysia (US$7,760),” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan Negara 2013 di Dewan Rakyat, pagi tadi.

Keadaan itu membuktikan bahawa pendekatan ekonomi Kerajaan Umno-BN telah merosotkan daya saing negara dalam tempoh 30 tahun lalu hingga Malaysia jauh ditinggalkan Korea Selatan, walaupun kedua-dua negara bermula pada garis yang sama pada tahun 1980.

Tambahnya, Malaysia juga berhadapan risiko ditinggalkan oleh negara-negara Asia lain ekoran kegagalan Umno-BN merancang ekonomi negara dengan berhemah serta membanteras rasuah.

Tegasnya lagi, perubahan dan penambahbaikan ekonomi negara tidak boleh berlaku sekiranya tiada reformasi politik dan pentadbiran.

“Buku Jingga adalah dokumen jelas yang menggariskan bahawa matlamat pertumbuhan ekonomi perlu didokong oleh proses islah politik dan pentadbiran yang menyeluruh,” ujarnya.