Categories
NASIONAL

Tian Chua: Umno-BN – DBKL Main Wayang Isu Dataran Merdeka

SHAH ALAM, 24 APRIL: Percanggahan pandangan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berhubung lokasi penganjuran BERSIH 3.0 jelas menunjukkan pihak berkenaan cuba ‘bermain wayang’ dalam usaha menggagalkan himpunan berkenaan daripada berlangsung di Dataran Merdeka.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua melihat tindakan ‘bermain wayang’ ini menunjukkan sifat ‘talam dua muka’ kedua-dua pihak yang terus menerus mengelirukan rakyat supaya tidak menyertai perhimpunan berkenaan.

“Saya dapati kerajaan bukan sahaja tidak ingin melihat perhimpunan ini berjaya dilaksanakan tetapi juga kerajaan tidak mempunyai komitmen untuk membersihkan pilihanraya,” katanya.

Sebelum ini, Hishammuddin dalam kenyataan yang dilaporkan media menyebut himpunan ‘Duduk dan Bantah’ tidak dilihat sebagai satu ancaman manakala pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meminta pihak Bersih mengubah lokasi himpunan ke tiga buah stadium yang ditawarkan iaitu Stadium Badminton dan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras serta Stadium Titiwangsa di Taman Tasik Titiwangsa.

Tian Chua menambah, parti-parti politik menyatakan sokongan terhadap perhimpunan BERSIH 3.0 dan cuba membantu secara ‘all out’ dari segi mobilisasi agar semua pihak hadir bersama menyatakan sokongan terhadap isu yang dibawa.

Jelas beliau, semua ahli PKR yang akan hadir pada Sabtu ini bukan sebagai ahli parti sebaliknya kehadiran mereka sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan mahukan pilihanraya berlangsung secara bersih.

“Respon yang diterima daripada rakyat sangat hebat sekali. Saya yakin kehadiran kali ini bukan sahaja ramai malah kita akan menyaksikan pelbagai latar belakang termasuk mereka yang tidak menyertai man-mana parti politik akan turut serta,” katanya.

Perhimpunan BERSIH 3.0 ‘Duduk Bantah’ pada Sabtu ini mensasarkan kehadiran 500,000 orang penyokong selain penyertaan Himpunan Hijau Stop Lynas, Save Malaysia yang turut berkumpul di Dataran Merdeka.

Categories
NASIONAL

Pindaan Akta Pilihanraya Wujudkan Pilihanraya Yang Tidak Telus

SHAH ALAM, 23 APRIL : Pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini disifatkan sebagai tidak menepati tuntutan rakyat (BERSIH) dan Jawatankuasa Penambahbaikan Pilihanraya (PSC).

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, pindaan ini bakal mewujudkan sebuah pilihanraya yang tidak telus.

“Pindaan ini sememangnya tidak menyebelahi tuntutan rakyat yang dicadangkan oleh PSC, kita (Pakatan Rakyat) telah berusaha membetulkan semua ini dalam sesi perbahasan di  Dewan Rakyat.

“Oleh itu, hanya tinggal jalan terakhir iaitu protes rakyat menerusi BERSIH 3.0 yang akan di adakan hujung bulan ini,”ujarnya.

Pindaan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 mula dibentangkan pada 9 April lalu, bagaimana pun diluluskan sepuluh hari kemudian selepas melalui sesi perbahasan hanya lebih kurang tujuh jam.

Antara pindaan yang dilakukan ialah memperluaskan sempadan bagi orang ramai yang menunggu atau berdiri berdekatan dengan pusat mengundi pada hari pengundian kecuali bagi mereka yang mengundi daripada 50 meter kepada 100 meter .

Selain itu, pindaan baru ini juga membataskan wakil calon untuk berada di ‘barong panas’ Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pada hari mengundi atas alasan memastikan petugas SPR tidak terganggu selain memberi keselesaan kepada pengundi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, sewajarnya pindaan tersebut memikirkan jalan penyelesaian berhubung masalah pokok seperti daftar pemilih yang mencurigakan.

“Apa yang menjadi masalah untuk mengekalkan agen parti di barong berhampiran SPR, kalau hujah mereka agen calon menganggu di barong SPR bermakna bahawa agen pungutan undi (Polling Agent) juga tidak sewajarnya ada di situ.

“Ini bukan isu ganggu atau tidak ganggu, yang dikhuatiri berlaku penyelewengan ketika itu, maka berhak untuk mana-mana agen untuk membantah,”jelasnya yang juga Naib Presiden PAS.

Categories
NASIONAL

Kesal Tindakan Polis Biarkan Samseng Bermaharajalela

KUALA LUMPUR,19 APR: Tindakan samseng meroboh perkhemahan serta memukul mahasiswa yang berkhemah di Dataran Merdeka awal pagi tadi merupakan amalan keganasan yang tidak bertamaddun.

Manakala tindakan pihak polis yang hanya memerhati dan tidak mengambil tindakan terhadap tindakan samseng yang bermaharajalela terhadap para mahasiswa tersebut amat dikesali.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menyifatkan tindakan tidak bertamandun ini perlu ditangani dengan adil dan diharapkan pihak keselamatan memandang serius perkara ini.

Beliau kesal dengan kejadian tersebut dan menegaskan, meskipun mempunyai percanggahan pendapat terhadap beberapa isu namun hak semua pihak perlu dihormati agar sesuatu isu dapat diselesaikan dengan baik.

“Saya rayu kepada pihak Umno-BN buat siasatan, ambil tindakan tegas kalau ada ahli mereka yang terlibat. Saya kesal polis dilihat seolah-olah tidak bertindak dengan baikdengan memberikan perlindungan kepada aktivis yang berkumpul di Dataran Merdeka.

“Lebih malang lagi, kenyataan daripada Menteri Pengajian Tinggi yang sungguh tidak bertanggungjawab, seolah-olah kementerian menggalakkan dan membenarkan perlakuan keganasan hanya kerana tidak sehaluan dengan kenyataan kerajaan,” katanya.

Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke menegaskan, jika benar dakwaan seperti yang dimaklumkan mahasiswa terdapat anggota polis pada kejadian tersebut, maka pihak polis perlu menyiasat perkara ini agar dalang provokasi dibawa ke muka pengadilan.

“Kalau betul dakwaan mereka, ini adalah sesuatu yang dikesali. Polis sepatutnya mengambil tindakan bila ada kekerasan berlaku. Saya berharap pihak Ketua Polis Negara melihat serius perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam percaya pihak polis mampu menjejaki pihak yang terlibat berdasarkan kecekapan pihak keselamatan negara.

Beliau percaya banyak bukti yang bakal diperoleh pihak berkuasa melalui hasil siasatan terperinci berhubung kejadian yang mengecewakan ramai pihak dan mencederakan mahasiswa.

Hari ini merupakan hari keenam Dataran Merdeka berjaya ‘ditakluki’ kumpulan mahasiswa pada 14 April lalu selepas berakhirnya Himpunan Mansuh PTPTN yang berjaya menarik hampir 500  orang penyokong.

Mahasiswa akan terus berada di Dataran Merdeka sehingga 28 April menunggu kehadiran penyokong untuk Himpunan Bersih 3.0 Duduk Bantah bagi menuntut sistem pilihanraya yang bersih dan adil.

Categories
NASIONAL

Khalid Samad : Azmin,Tian Persenda Raja Melayu Adalah Bohong

SHAH ALAM, 18 April : Dakwaan seorang pegawai perubatan, Dr Rahman Kadir menerusi laman web sosial kononnya pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) mempersendakan Raja-Raja Melayu semasa majlis Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14 di Istana Negara, Rabu lalu dipertikai oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Khalid berkata, beliau mempersoalkan dakwaan itu kerana didapati beberapa kenyataan yang dikeluarkan Rahman mengenai Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Naib Presiden parti itu, Tian Chua sebagai mengelirukan.

Katanya, beliau yang duduk sebaris dengan Azmin manakala Tian Chua dibarisan depan Azmin.

Menurutnya, yang menimbulkan persoalan ialah apabila Rahman mendakwa duduk di depan Tian Chua tetapi boleh mendengar perbualan antara Azmin dan Tian Chua kerana jarak agak jauh memandangkan kerusi antara satu sama lain yang agak besar.

?Mungkin dia (Rahman) ada buat pembedahan plastik surgeri ke apa,hingga boleh mendengar sebab jarak antara kami adalah jauh kerana saiz kerusi tersebut agak besar.

?Saya duduk di kerusi bernombor tujuh sebaris dengan Azmin (tiga) tetapi tidak mendengar apa-apa yang didakwa oleh Rahman,? katanya pada sidang media di pejabatnya di sini.

Khalid berkata, beliau turut mempersoalkan kebenaran dakwaan itu kerana Rahman mengatakan dia duduk di depan barisan ahli Parlimen pembangkang sedangkan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) turut duduk di situ.

Jelas beliau, gambaran diberikan oleh Rahman itu sebagai ?pembohongan’ dan Khalid mempersoalkan sama ada Rahman hadir atau sebaliknya.

?Kenyataan dia (Rahman) mengelirukan apabila mengatakan duduk di depan ahli parlimen pembangkang padahal kita tidak duduk asing malah bercampur bersama ahli parlimen BN.

?Jadi saya pertikaikan sama ada dia hadir dan sekiranya ya maka apakah nombor kerusi dan barisnya?,? katanya.

Beliau menegaskan adalah mustahil Azmin dan Tian Chua mengeluarkan kenyataan seperti didakwa itu kerana ia boleh mengakibatkan ahli Parlimen lain menggunakan kesempatan itu untuk menjadikannya isu.

” Isu ini ditimbulkan adalah untuk mengalihkan pandangan rakyat khususnya masyarakat Melayu daripada isu penyelewengan, penipuan SPR dan pemberian kewarganegaraan kepada warga asing serta pelbagai isu yang kita timbulkan, dan pihak mereka (Umno-BN) hendak tenggelamkan dengan isu yang bersifat emosi.

“Sejarah yang menunjukan bahawa Umno sendiri yang tidak menghormati Raja-Raja Melayu apabila meminda perlembagaan dengan mengurangkan kuasa sultan dan Agong,” kata Khalid.

Categories
NASIONAL

Letupan Di Himpunan 901: Polis Perlu Siasat Segera

SHAH ALAM, 10 JAN: PKR menganggap isu letupan yang berlaku semalam semasa himpunan 901 sebagai amat serius dan memerlukan siasatan terperinci dan segera dari pihak polis.

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata kejadian ini mengejutkan memandangkan himpunan tersebut adalah antara himpunan pertama yang mendapat permit Polis.

“Polis harus beri penjelasan sebab sepanjang malam polis sahaja yang dapat acces ke kawasan tersebut. Dari pada gambar-gambar dan saksi, didapati bahan letupan tersebut disimpan dibawah ‘kon’ polis dan ia diletupkan melalui remote control atau time bom. Ini bukan boleh dibuat oleh orang biasa,”katanya ketika dihubungi TVSelangor.

Dalam kejadian tersebut terdapat pihak-pihak lain juga turut berada dilokasi tempat letak kereta berhampiran Mahkamah Jalan Duta semalam.

“Baik pun perkasa ke pekida pun saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi kerana mereka juga berhak untuk berhimpun, saya harap pihak polis boleh menyiasat dan mencari orang yang bertanggungjawab,”ujarnya.

Menyentuh mengenai himpunan aman semalam, Tian berkata keputusan pembebasan Anwar semalam merupakan suatu kegembiraan kepada seluruh Pakatan Rakyat.

“Ini saya anggap orang yang tak puas hati dengan himpunan aman yang berlangsung atau orang tidak berpuas hati dengan kes ini. Ini boleh menjadi sedikit klu kepada pihak polis untuk mengadakan siasatan untuk mengetahui siapa yang bertanggung jawab,”katanya.

Sehubungan itu, PKR dan Pakatan Rakyat akan cuba menemui pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri bagi mendesak supaya siasatan segera dijalankan.

Dalam kejadian semalam tiga insiden letupan bom yang mencederakan lima orang awam berlaku selepas mahkamah melepaskan dan membebaskan Anwar daripada tuduhan mengikut Seksyen 377(B) Kanun Keseksaan.

Categories
NASIONAL

Tian Chua : Menconteng Bangunan Umno Usaha Memburukkan Imej Pakatan Rakyat

SHAH ALAM, 7 JAN : Insiden bangunan milik Umno Kedah yang diconteng kata-kata nista menggunakan cat tertera perkataan “Bebaskan Anwar” dan “Gerakan 901” awal pagi tadi dianggap sebagai taktik kotor untuk memburukkan imej Pakatan Rakyat.
Naib Presiden PKR Tian Chua meyifatkan perbuatan tidak bertanggungjawab itu sebagai satu konspirasi untuk menjatuhkan nama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim selain mengaibkan Perhimpunan di depan mahkamah Jalan Duta yang akan berlangsung pada 9 Januari nanti.

Menurutnya, Pakatan tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan untuk melakukan perbuatan tidak bermoral itu sekaligus menolak dakwaan bahawa kejadian itu mempunyai kaitan dengan Pakatan.

“Saya ingin mengingatkan semua pihak supaya jangan hilang fokus daripada isu pokok atau tujuan asal iaitu Perhimpunan 901 pada 9 Januari nanti.

Ini kerana, ia adalah hari yang akan menentukan imej negara kita dalam membuktikan sama ada institusi kehakiman di Malaysia adil atau tidak selain bakal menjadi hari yang akan mendedahkan konspirasi dalam usaha memfitnah dan memburukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya yang juga Ahli Parlimen Batu.

Kejadian menconteng premis dan kenderaan di beberapa tempat di Kedah menggunakan semburan cat berwarna hitam itu dipercayai berlaku antara pukul 3.30 hingga 5 pagi dan hanya disedari pengawal keselamatan pada jam 5 pagi.

Premis perniagaan dan lebih 10 kenderaan di kawasan Kubang Pasu, Padang Terap dan Alor Setar turut diconteng dengan kata-kata yang mengaibkan “Perhimpunan 901”.

Selain itu, Pejabat Umno Padang Terap, pusat beli-belah Angsana dan restoran KFC, Kuala Nerang serta dua bas henti-henti dicat dengan kata-kata yang sama.

Ketika ditanya kemungkinan insiden-insiden tersebut merupakan usaha untuk sabotaj perhimpunan Pakatan, Tian berkata, ia terletak di bawah bidang pihak berkuasa untuk membuat siasatan terperinci ke atas insiden berkenaan.

“Itu saya serahkan kepada pihak polis untuk siasat. Kita sudah dimaklumkan, bahawa laporan polis telah dibuat. Kita tidak mahu lari daripada isu pokok di mana semua yang berlaku ini adalah sebahagian daripada konspirasi untuk menjatuhkan Anwar,” ujarnya.