Categories
AGENDA NASIONAL

TNB: Mesin penapis air antara punca bil elektrik tinggi

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Mesin penapis air yang mempunyai fungsi pemanas dan penyejuk dikenal pasti menjadi antara punca peningkatan bil elektrik terutamanya ketika cuaca panas yang sedang melanda negara.

Ketua Retail Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor Ismail Lathifi Teh berkata peralatan elektrik yang mempunyai fungsi sedemikian seperti peti sejuk dan alat penyaman udara dan kini penapis air minuman menggunakan tenaga elektrik yang banyak untuk mengekalkan suhu berkenaan terutamanya ketika cuaca panas.

“Pada cuaca panas seperti sekarang ini, mesin yang mempunyai kompresor akan menggunakan tenaga yang lebih banyak untuk mengekalkan suhu.

“Jadi lebih kerap kita membuka pintu peti sejuk dan lebih kerap kita mengambil air sejuk daripada penapis air di rumah, lagi banyak tenaga elektrik yang akan digunakan oleh peralatan berkenaan bagi mengekalkan suhu sejuk,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata contohnya, jika tangki penapis minuman yang menyimpan air sejuk habis ia akan diisi dengan air yang baharu dan kompresor akan berfungsi untuk menyejukkan air berkenaan.

Ismail Lathifi berkata jika lebih banyak isian semula berlaku, lebih kerap kompresor berkenaan berfungsi dan ini akan menyebabkan peningkatan penggunaan elektrik.

Dalam pada itu, Ismail Lathifi turut menasihati pengguna agar menetapkan pemasa pada alat penyaman udara masing-masing selain menetapkan suhu antara 24 hingga 26 darjah Celcius sahaja bagi menjimatkan penggunaan elektrik.

“Pengguna digalakkan menggunakan pemasa yang ada pada penyaman udara masing-masing dan menetapkan agar ia ditutup pada awal pagi kira-kira pukul 2 pagi dan ke atas kerana ketika itu cuaca mulai sejuk dan memasang kipas untuk mengekalkan suhu sejuk di dalam rumah,” katanya.

Ismail Lathifi turut menyarankan kepada pengguna agar melakukan servis terhadap penyaman udara secara berkala agar ia dapat berfungsi dengan lebih efisien dan jimat.

“Saya dapat aduan yang mengatakan mereka (pengguna) tidak menggunakan penyaman udara tetapi kenapa bil elektrik melambung, mereka lupa bahawa barang elektrik lain juga menggunakan elektrik,” katanya lagi.

– BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

TNB sasar pasang 1.5 juta meter pintar di Lembah Klang, Melaka

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Sebanyak 1.5 juta pemegang Akaun Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Melaka dan Lembah Klang bakal dilengkapi dengan meter pintar menjelang hujung tahun ini.

Pengarah Projek Infrastruktur Pemeteran Maju (AMI) TNB Ir Mohamed Ghous Ahmad berkata setakat ini pihaknya telah memasang kira-kira 1.06 juta meter pintar tersebut di kedua-dua kawasan berkenaan.

Di Melaka, beliau berkata TNB telah memasang kira-kira 300,000 meter pintar manakala di kawasan Lembah Klang lebih kurang 706,000 rumah dilengkapi dengan alatan berkenaan.

“Antara kawasan di Selangor yang telah dilengkapi dengan meter pintar ini ialah Shah Alam, Cheras, Bangi dan Petaling Jaya manakala di Kuala Lumpur antara kawasannya di Bangsar, Bandar Sri Damansara, Segambut dan Ampang.

“Melalui Peraturan Berasaskan Insentif (IBR), TNB diberi peruntukan untuk memasang sebanyak 1.5 juta meter pintar menjelang penghujung tahun ini dan berdasarkan jumlah yang dipasang sekarang kita yakin bakinya akan dapat dipasang menjelang akhir tahun ini,” katanya kepada Bernama.

Mohamed Ghous berkata pihaknya juga kini sedang dalam usaha untuk mendapatkan peruntukan tambahan daripada kerajaan pusat untuk melengkapkan kesemua tiga juta pengguna TNB di Lembah Klang dengan meter pintar.

“Selepas itu kita sasarkan kesemua 9.1 juta pengguna TNB di seluruh negara akan dilengkapi dengan meter pintar menjelang 2026,” katanya.

Sementara itu, Ketua Retail TNB Selangor Ismail Lathifi Teh berkata pemasangan meter pintar tersebut akan memberi pelbagai kelebihan kepada pelanggan kerana selain untuk melihat dan membayar bil TNB, pengguna juga boleh memantau jumlah penggunaan tenaga elektrik secara harian.

“Dengan meter pintar ini, data penggunaan akan dihantar setiap 30 minit sekali ke pusat penyimpanan data TNB, bagi pengguna yang mempunyai aplikasi MyTNB mereka boleh memantau dan mengawal penggunaan tenaga elektrik secara harian dan ia juga mendidik pengguna untuk menggunakan tenaga secara berhemah,” katanya.

Beliau berkata TNB berharap lebih ramai pengguna akan memuat turun aplikasi berkenaan dan memanfaatkannya, dan syarikat itu menyasarkan pada penghujung tahun ini 80 peratus pengguna TNB akan menggunakan aplikasi tersebut.

Beliau turut menasihati orang ramai untuk menghubungi talian TNB jika terdapat keraguan terhadap individu atau kontraktor yang hadir bagi menukar meter di kediaman mereka.

Bagi pengguna yang masih ragu-ragu dengan kontraktor kami, mereka boleh menghubungi talian khidmat pelanggan TNB 1-300-88-5454 dan TNB akan menghantar kakitangan untuk memantau keadaan, katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin: TNB nasihat kontraktor elak aktiviti jejas bekalan elektrik

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihati orang ramai terutama kontraktor supaya lebih berhati-hati ketika melakukan kerja pengorekan bagi mengelak kemungkinan menjejaskan kestabilan bekalan elektrik sepanjang pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula hari ini.

Ketua (Operasi) Rangkaian Pembahagian TNB Mohd Yusof Ibrahim berkata bekalan elektrik stabil diperlukan kerana vaksin Pfizer-BioNTech perlu disimpan pada suhu -70 darjah Celsius.

Beliau berkata TNB sebelum ini memberi jaminan bekalan elektrik di Pusat Simpanan Vaksin (PSV) dan lebih 600 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara akan stabil sepanjang pelaksanaan program berkenaan.

“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan adalah agenda penting negara untuk melawan virus yang hampir setahun merencatkan pelbagai aspek kehidupan kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sebanyak 459 kes kerosakan akibat pengorekan pihak ketiga dilaporkan pada tahun lepas, dengan Selangor mencatatkan kes tertinggi sebanyak 118 kes yang menjejaskan 141,000 pengguna, diikuti Kuala Lumpur dengan 108 kes (94,000 pengguna), Pahang dengan 43 kes (55,000 pengguna).

Sementara itu, Mohd Yusof mengulangi saranannya agar pihak kontraktor yang melakukan kerja pengorekan untuk menyemak dengan TNB terlebih dahulu sebelum memulakan sebarang kerja supaya gangguan bekalan elektrik dapat dielakkan.

“Kegiatan mengusik dan mencuri pepasangan TNB boleh menyebabkan percikan arka dan seterusnya gangguan bekalan elektrik. Bermain layang-layang dan dron berhampiran talian TNB serta membawa galah dan memancing di kolam atau tasik di bawah talian TNB juga mengundang risiko yang sama,” katanya.

Orang ramai disarankan agar memaklumkan segera kepada TNB CareLine 15454 atau menghubungi pihak polis sekiranya ternampak pihak mencurigakan menceroboh pepasangan TNB seperti pencawang dan menara talian.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula hari ini dilaksanakan dalam tiga fasa dengan Fasa 1 dari Februari hingga April tahun ini membabitkan 500,000 petugas barisan hadapan.

Fasa 2, dari April hingga Ogos, akan membabitkan warga emas berusia 65 tahun ke atas, kumpulan berisiko tinggi dan golongan orang kurang upaya (OKU) merangkumi kira-kira 9.4 juta orang manakala Fasa 3, yang bermula Mei tahun ini hingga Februari 2022, meliputi rakyat Malaysia dan bukan warganegara berusia 18 tahun ke atas, dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TNB pastikan bekalan elektrik pusat simpan vaksin stabil

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat persiapan awal bagi memastikan bekalan elektrik di pusat penyimpanan vaksin dan pusat pemberian vaksin Covid-19 seluruh negara, kekal stabil sepanjang pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB Datuk Ir. Baharin Din berkata, perbincangan bersama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah dan sedang diteruskan, bagi memperinci keperluan KKM terutama melibatkan usaha mengelakkan gangguan bekalan di lokasi penyimpanan vaksin.

“TNB akan memastikan sistem bekalan elektrik utama dan alternatif beroperasi dengan baik, di semua pusat penyimpanan dan pusat pemberian vaksin.

“TNB juga merangka pelan kontigensi pemulihan bekalan dengan pantas di beberapa pencawang yang dikenal pasti, melalui pemasangan sistem pengalihan bekalan secara automasi kawalan jauh antaranya ‘Normal Off Point’ (NOP), ‘Automated Transfer Scheme’ (ATS) dan ‘Remote Terminal Unit’ (RTU),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerja-kerja ‘penyelenggaraan berdasarkan keadaan’ (CBM) terhadap pencawang dan pembekal elektrik ke pusat penyimpanan vaksin telah dilaksanakan, bagi mengelakkan kegagalan pada sistem.

TNB juga melakukan sesi keterlibatan dengan pihak hospital dan klinik kesihatan, untuk memastikan set janakuasa mereka berfungsi dan bersedia untuk beroperasi sekiranya diperlukan.

Pasukan teknikal TNB akan berada dalam keadaan siap sedia, serta set-set janakuasa bergerak akan diletakkan di lokasi-lokasi strategik, bagi memastikan tindakan yang pantas dapat diambil sekiranya berlaku sebarang gangguan bekalan, di pusat-pusat penyimpanan vaksin.

Malaysia bakal menerima vaksin Pfizer-BioNTech bermula 21 Februari, disusuli pelaksanaan fasa pertama program imunisasi pada 26 Februari.

Bekalan elektrik yang stabil diperlukan kerana vaksin tersebut perlu disimpan pada suhu -70 darjah Celsius.

Baharin memaklumkan syarikat utiliti itu turut menyediakan dua saluran perhubungan khusus (talian khas), kepada pusat penyimpanan vaksin bagi membolehkan komunikasi pantas dengan TNB jika berlaku gangguan.

Dalam pada itu, Baharin memohon kerjasama kontraktor melakukan pengorekan berhampiran kabel bawah tanah TNB, untuk menghubungi syarikat utiliti itu sebelum memulakan kerja bagi mengelak kerosakan pada kabel, seterusnya menyebabkan gangguan bekalan terutama di pusat-pusat penyimpanan vaksin.

Orang ramai boleh melaporkan gangguan bekalan atau sekiranya menyedari sebarang kejanggalan pada pepasangan TNB, melalui talian TNB CareLine 15454.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Pembinaan Lebuhraya SUKE punca gangguan bekalan elektrik di Bukit Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Kerja pengorekan pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dikenal pasti sebagai punca berlaku gangguan bekalan elektrik di Bukit Antarabangsa dan Ukay Perdana baru-baru ini.

Ketua (Operasi) Rangkaian Pembahagian TNB Mohd Yusof Ibrahim berkata siasatan awal TNB mendapati kerosakan pada kabel TNB berlaku pada 1 Feb telah dibaiki, namun kerosakan sama berulang di laluan kabel sama pada 2 dan 7 Feb lepas.

“Situasi tersebut memaksa TNB menyalurkan bekalan kepada pengguna melalui set jana kuasa bergerak sementara kerosakan kabel diperbaiki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, TNB menyerahkan notis arahan berhenti kerja dan tuntutan balik kos pembaikan serta akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

“Kami memohon kerjasama semua pihak yang menjalankan kerja pengorekan agar merujuk dengan TNB terlebih dahulu bagi mendapatkan maklumat pemetaan dan khidmat nasihat untuk mengurangkan kebarangkalian kejadian seumpama berulang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata semakan awal boleh mengurangkan risiko kejadian kerosakan kabel bawah tanah TNB selain mengurangkan gangguan bekalan elektrik.

Katanya, pihak kontraktor boleh memaklumkan kerja pengorekan yang bakal dilakukan melalui portal ‘Call Before You Dig’ (www.cbyd.com.my), serta menyemak dengan pembekal utiliti mengenai saluran kabel atau paip di kawasan yang bakal dilaksanakan kerja pengorekan.

Untuk rekod, beliau berkata bagi lima minggu pertama tahun ini sahaja, lebih 45,000 pengguna TNB terkesan akibat kerja pengorekan pihak ketiga.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

TNB bantu pendayung sampan kelip-kelip terjejas Covid-19

SHAH ALAM, 23 DIS: Seramai 36 pendayung sampan Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan, Kuala Selangor menerima sumbangan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Bantuan berjumlah RM25,500 disampaikan Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB Datuk Omar Sidek di Dewan Siantan Majlis Daerah Kuala Selangor pada 17 Disember lalu.

Omar dalam kenyataan berkata pihaknya peka terhadap keadaan ekonomi golongan itu yang kurang menerima pengunjung susulan penularan Covid-19.

“TNB menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka yang terjejas agar dapat bangkit semula dengan lebih kuat apabila keadaan mengizinkan,” katanya.

Pada 2005, syarikat tenaga itu memeterai kerjasama dengan Kerajaan Selangor bagi memulihara populasi kelip-kelip dan menjadikan kawasan itu sebagai kampung angkat.

Sebanyak RM5 juta disalurkan sejak 2007 bagi infrastuktur, promosi dan publisiti serta pembangunan ekonomi Kampung Kuantan.

Sementara RM2.8 juta diperuntuk antara 2017 hingga kini untuk penyelidikan dan pembangunan habitat kelip-kelip.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tarif elektrik tahun depan diumum minggu ini

PUTRAJAYA, 21 DIS: Kadar tarif elektrik untuk pengguna domestik dan industri bagi 2021 akan diumumkan minggu ini, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

“Kita akan umumkan dalam minggu ini. Tunggu,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis perhimpunan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli di sini hari ini.

Pada Jun lepas, Shamsul Anuar berkata kerajaan memberi jaminan bahawa kepentingan rakyat akan sentiasa menjadi keutamaan dalam menilai semula kadar semasa tarif elektrik.

Suruhanjaya Tenaga (ST) dijangka mengumumkan tarif baharu bagi tempoh Januari-Jun 2021 pada penghujung tahun ini selepas mendapat persetujuan kabinet.

Tenaga Nasional Bhd (TNB) pada September lepas dilapor menjangkakan kemungkinan berlaku penurunan kecil kadar tarif elektrik bagi tahun depan berikutan penyusutan kos pengeluaran arang batu dan dan gas semasa.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada pemotongan elektrik bagi pengguna domestik tertunggak enam bulan

PUTRAJAYA, 21 DIS: Bekalan elektrik di premis pengguna domestik di Semenanjung dan Sabah yang mempunyai tunggakan kurang daripada enam bulan tidak akan dipotong sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Mac 2021, umum Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah hari ini.

Beliau berkata inisiatif itu hasil kerjasama dan persetujuan Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang bakal memberi manfaat kepada 6.94 juta pengguna domestik di Semenanjung dan 500,000 pengguna domestik di Sabah yang layak.

“Kategori pengguna ini akan diberi kemudahan untuk membuat pembayaran secara ansuran selama enam bulan mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2021,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perhimpunan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, di sini hari ini.

Shamsul Anuar berkata pengguna yang mempunyai tunggakan melebihi enam bulan pula boleh berunding dengan pihak TNB dan SESB untuk membuat pembayaran secara ansuran bagi mengelakkan pemotongan bekalan elektrik.

“Kita faham kesan kepada TNB tapi kita juga faham apa yang sedang dihadapi rakyat. Maknanya kita mengambil jalan tengah untuk menjaga kewangan di TNB dan melihat keperluan dan kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata kementerian juga akan meminta pihak TNB untuk mengaktifkan kaunter-kaunter di kedai tenaga bagi membolehkan rakyat berurusan dengan mudah.

Shamsul Anuar berkata ia merupakan inisiatif tambahan untuk rakyat yang menghadapi kesukaran dari segi kewangan kesan daripada pandemik Covid-19.

Setakat 31 Oktober lepas, kira-kira 7.66 juta pengguna domestik di Semenanjung menikmati diskaun bil elektrik di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Bantuan Prihatin Elektrik (BPE), melibatkan peruntukan berjumlah RM1.9 bilion, katanya.

Pakej PRIHATIN dan BPE dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu mengurangkan bil elektrik rakyat terutamanya pengguna domestik berikutan penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi mengurangkan beban peningkatan bil elektrik sepanjang tempoh PKP, pakej BPE tambahan telah diberikan kepada semua pengguna domestik di Semenanjung iaitu diskaun secara one-off sehingga RM77 sebulan atau RM231 untuk tempoh tiga bulan pelaksanaan PKP, iaitu bagi penggunaan elektrik dalam bulan April, Mei dan Jun 2020.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

TNB santuni pendayung sampan santuari kelip-kelip terjejas Covid-19

SHAH ALAM, 21 DIS: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyantuni 36 pendayung sampan Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan, Kuala Selangor ekoran pendapatan mereka terjejas akibat wabak Covid-19.

Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) Datuk Omar Sidek berkata sumbangan berjumlah RM25,500 disampaikan dalam satu majlis pada 17 Disember lalu.

“TNB peka dengan keadaan ekonomi pendayung sampan di Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan yang tidak lagi menerima kedatangan pengunjung seperti dahulu.

“Sebagai melaksanakan tanggunjawab sosial, TNB menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka yang terjejas agar dapat bangkit semula dengan lebih kuat apabila keadaan mengizinkan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Omar, Kampung Kuantan merupakan kampung angkat TNB selaras dengan keprihatinannya terhadap masyarakat setempat dan alam sekitar bagi manfaat generasi akan datang.

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis serbu tiga premis lombong matawang kripto guna elektrik curi

SERDANG, 9 DIS: Polis menyerbu tiga premis disyaki menjalankan aktiviti melombong matawang kripto menggunakan tenaga elektrik disambung secara haram di Bandar Kinrara, di sini, awal bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Razali Abu Samah berkata empat suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan ditahan dalam serbuan pada 5 November lepas, kira-kira pukul 10.20 pagi di Jalan PUJ 3 / 8 Taman Puncak Jalil yang turut disertai pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Beliau berkata TNB menganggarkan mereka kerugian kira-kira RM90,000 sebulan akibat pengoperasian tiga premis berkenaan yang membuat pendawaian sendiri bagi 240 mesin melombong matawang kripto yang berjaya dirampas.

“Siasatan mendapati sindiket ini sudah beroperasi dua bulan dan memerlukan tempoh empat bulan untuk menjana satu unit matawang kripto Bitcoin bagi satu mesin, yang bermakna mereka boleh menjana kira-kira RM17 juta jika terus beroperasi selama empat bulan,” katanya pada sidang media Op Api TNB, di sini, hari ini.

Beliau berkata siasatan juga mendapati setiap premis itu hanya mencatat bil elektrik tidak sampai RM1,000 sebulan hasil daripada pendawaian haram yang dilakukan.

Razali berkata semua suspek yang ditahan berumur 29 sehingga 54 tahun dengan salah seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan curi elektrik dan khianat serta pernah ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Katanya, semua suspek direman selama tujuh hari bermula pada 5 November sehingga 12 November lepas sebelum dibenarkan dilepaskan dengan jaminan polis.

“Siasatan juga mendapati ketiga-tiga premis rumah kedai dua tingkat yang terletak berdekatan itu disewakan daripada tiga pemilik berbeza dan pemilik-pemilik premis tidak mengetahui penyewa membuat kegiatan menyalahi undang-undang,” katanya.

Beliau juga menjelaskan mesin melombong matawang kripto berkenaan diimport dan berharga antara RM200 sehingga RM500 setiap satu manakala ketiga-tiga premis itu beroperasi 24 jam sehari sebelum kegiatan mereka terbongkar.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Untung bersih suku ketiga TNB susut kepada RM1 bilion

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Tenaga Nasional Bhd (TNB) mencatatkan keuntungan bersih bagi suku ketiga berakhir 30 September, 2020 lebih rendah kepada RM1 bilion berbanding RM1.20 bilion dalam tempoh sama tahun lepas.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, TNB berkata hasil turut berkurangan 12.1 peratus kepada RM11.10 bilion daripada RM12.64 bilion sebelum ini.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September, 2020, syarikat utiliti itu merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM2.38 bilion disokong oleh perolehan RM33.65 bilion berbanding keuntungan bersih RM3.88 bilion dan perolehan RM38.76 bilion sebelum ini.

Perolehan bagi tempoh tersebut berkurangan sebanyak 13.2 peratus, terutamanya susulan lebihan pemulihan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak RM1.47 bilion berbanding kedudukan di bawah pemulihan dalam tempoh sebelum ini serta penyusutan jualan elektrik sebanyak 6.5 peratus.

“Sebahagian besar daripadanya adalah disebabkan oleh penyusutan segmen pelanggan komersial dan perindustrian yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

“Berikutan itu, keuntungan operasi susut 13.9 peratus kepada RM5.90 bilion daripada RM6.85 bilion,” katanya.

Mengulas prospek, TNB menjangkakan pemulihan secara beransur-ansur terhadap prestasi kumpulan bagi baki suku tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2020 di tengah-tengah persekitaran yang mencabar.

“Ini disokong oleh pelancaran pakej-pakej rangsangan kerajaan terutamanya Bantuan Prihatin Rakyat dan mengekalkan momentum aktiviti-aktiviti perniagaan.

“Kumpulan mengambil langkah berhemat dari segi keperluan operasi dan kewangan dalam usaha memastikannya kekal berdaya tahan,” kata TNB.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

TNB dapat kelulusan lesen untuk tujuh stesen janakuasa

KUALA LUMPUR, 25 SEPT: Tenaga Nasional Bhd telah mendapat kelulusan bagi permohonan TNB Power Generation Sdn Bhd (TPGSB) membabitkan lesen penjanaan baharu untuk tujuh stesen janakuasa yang akan dipegang oleh TPGSB susulan cadangan penyusunan semula dalamannya.

“Suruhanjaya Tenaga menerusi surat bertarikh 24 September 2020, memaklumkan bahawa Menteri Tenaga dan Sumber Asli telah meluluskan permohonan TPGSB bagi lesen penjanaan baharu untuk tujuh stesen janakuasa,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia di sini, hari ini.

Kelulusan itu tertakluk kepada langkah TPGSB meningkatkan modal terbitan dan berbayarnya sehingga sekurang-kurangnya dua peratus daripada nilai aset stesen janakuasa itu dalam tempoh enam bulan dari tarikh pengeluaran lesen tersebut.

– BERNAMA