GST : Pendapatan rakyat perlu dipertingkat – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 31102013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT . Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan segala bentuk kebocoran, rasuah dan sistem monopoli yang membengkak dalam negara perlu dihentikan terlebih dahulu sebelum memikirkan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

2. Tindakan kerajaan pusat memansuhkan subsidi barangan keperluan rakyat pada pembentangan Bajet 2014 adalah satu ‘hukuman berat’ kepada rakyat sedangkan pentadbiran kerajaan tidak mengamalkan cara berhemah berbelanja sehingga menyebabkan berbilion wang rakyat.

3. Masalah jenayah harus ditangani secara holistik dan bukan hanya tertumpu kepada penguatkuasaan undang-undang semata-mata, tegas Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen.

Categories
SELANGOR

BN gagal tepati Aku Janji tambah BRIM sehingga RM1,200

sSHAH ALAM 26 OKT : Kerajaan Umno-BN gagal menepati Aku Janji yang dibuatnya sendiri sebelum Pilihan Raya Umumke-13 untuk menaikan wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dalam Bajet 2014 kepada RM1,200 apabila hanya mengumumkan pemberian sebanyak RM650 setahun.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dan ADUN Batu Caves, Amiruddin Shari mempersoal bantuan itu kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah yang akan dinaikkan daripada RM500 kepada RM650.

Pada Februari lalu – sebelum pilihan raya umum ke-13 – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor berkata bantuan itu boleh ditambah kepada RM1,000 jika BN berjaya mempertahankan Putrajaya.

Antara aku janji BN yang diumumkan sebelum PRU-13 adalah menambah BR1M sehingga RM1,200 untuk isi rumah dan RM600 bagi orang bujang setiap tahun bagi lima tahun akan datang.

“#Bajet2014 BR1M akan menaikkan (bantuan) kepada RM650. Saya ingat dulu TPM janjikan RM1,000,? kata Teo dalam tweet-nya lewat petang semalam.

Sementara Amiruddin pula berkata: “Janji ditepati! Janji BR1M RM1,000 dapat RM650,” kata beliau dalam tweet-nya.

Menurut pendapat di laman Facebook, Zulkifli Hasan berkata, setelah meneliti bajet 2014, analisis pakar ekonomi dan Aku Janji BN, terfikir adakah perlu ditubuhkan pasukan peguam untuk menyaman kerajaan pusat kerana tidak menunaikan Aku janji.

“Kerajaan Selangor di bawa ke mahkamah kerana didakwa gagal menunaikan manifesto. Kenapa tidak kerajaan pusat,” katanya.

Muhyiddin antara lain dilapor berkata BR1M akan diberi bukan sahaja untuk kali kedua, tetapi untuk masa ketiga, keempat, kelima, atau malah selama-lamanya jika BN menang kerajaan.

Categories
SELANGOR

Bajet 2014 gagal imbangi had maksimum hutang negara di bawah 55 peratus

hutangSHAH ALAM 26 OKT : Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak gagal untuk mengimbangi had maksimum hutang negara di bawah 55 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mengurangkan defisit sebanyak 3 peratus pada 2015.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pendekatan yang diambil dalam Bajet 2014 untuk meningkatkan hasil negara melalui pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan menaikkan cukai hartanah (RPGT) tidak menepati kehendak perubahan sebenar bagi memastikan kecekapan perbelanjaan dan rasionalisasi untuk mengurangkan keborosan dan ketirisan.

“Perbelanjaan operasi untuk kos rasionalisasi akan meningkat kepada 82.4 peratus pada 2014 daripada 80.2 peratus pada tahun ini,” kata Abdul Khalid dalam kenyataan medianya.

Abdul Khalid berkata, Selangor akan mengambil kesempatan ke atas langkah untuk memperkayakan sektor perkhidmatan melalui Blueprint Sektor Perkhidmatan apabila kerajaan persekutuan merancang untuk melancarkannya pada tahun 2014.

Antara subsektor perkhidmatan untuk dipromosikan bahawa Selangor akan menjadi peneraju kepada sektor logistik, penerbangan, pelancongan dan industri berasaskan bio.

“Sebagai pusat pintu masuk ke Malaysia, Selangor akan memastikan pelbagai program dan aktiviti untuk meneroka peluang dalam industri pelancongan Malaysia dengan mensasarkan untuk menyambut 28 juta pelancong pada 2014 sempena Tahun Melawat Malaysia,” kata Abdul Khalid.

-EZY

Categories
NASIONAL

Kadar GST sebanyak 6 peratus membebankan rakyat

gst

SHAH ALAM, 26 OKT : Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar pengenalan awal sebanyak 6 peratus adalah tinggi dan membebankan.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, berkata negara Singapura yang tiada mempunya hasil bumi memulakan dengan kadar 3 peratus (1994), kemudian 4 peratus (2003), 5 peratus (2004) dan terkini 7 peratus (2007).

“Bukankah tahun-tahun sebelumnya, diusulkan kadar 4 peratus, pelaksanaan GST memerlukan regim yang bersih dan efisyen. Malangnya, yang ada sekarang tidak begitu meyakinkan,” kata Nurul Izzah di laman Twitternya.nurul izzah anwar

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, berkata di Twitternya bahawa pengumuman pelaksanaan GST itu adalah satu berita buruk kerana secara purata setiap keluarga akan membayar sebanyak RM1,000 setahun untuk GST.

“Golongan muda dan pesara akan lebih menghadapi sengsara dengan pelaksanaan GST ini,” katanya.

Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak membentangkan cadangan GST sebanyak 6 peratus bermula 1 April 2015 dalam pembentangan Bajet 2014 hari ini.

Pengumuman itu disambut sorakan bantahan anggota Parlimen Pakatan Rakyat yang konsisten menentang cukai itu daripada dilaksanakan.

Sim Tze TzinDalam Belanjawawan 2014 Pakatan Rakyat cadangan kerajaan untuk memperkenalkan GST bukan satu langkah bijak kerana ia adalah cukai regresif apabila golongan berpendapatan rendah terpaksa membayar cukai lebih tinggi.

Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk memastikan pelaksanaan sistem cukai progresif daripada perspektif perkongsian lebih adil dalam pelarasan beban fiskal yang perlu ditanggung lebih oleh golongan kaya dan kumpulan berpendapatan tinggi.

Dengan tidak memperkenalkan GST, Pakatan Rakyat mencadangkan inisiatif lain untuk mempelbagaikan asas pendapatan kerajaan persekutuan dan memperluaskan sumber pendapatan ,terutama cukai langsung serta hasil bukan cukai.

Categories
NASIONAL

Bajet 2014, Pimpinan PR bidas pelaksanaan GST, gagal penuhi aspirasi rakyat

KUALA LUMPUR 25 OKT : Kebimbangan Pimpinan Pakatan Rakyat berhubung pengurangan subsidi dan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akhirnya terjawab setelah pembentangan Bajet 2014 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Secara keseluruhan, pimpinan PR membidas bajet yang dibentangkan dan beranggapan pembentangan kali ini tidak memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan aspirasi rakyat.Haji Abdul Hadi Awang

Berikut adalah reaksi ringkas daripada beberapa Ahli Parlimen PR:

Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang :

“Keseluruhannya pembentangan bajet ini tidak mengambil kira rakyat. Yang diambil kira hanyalah kewangan untuk kerajaan yang tidak seimbang antara kenaikan cukai dan pendapatan untuk menangani masalah inflasi.”

Fuziah SallehAhli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh :

“Saya tertarik dengan Yayasan Hijau dan saya kira tugas pertama mereka adalah menutup Lynas.

“Saya melihat peruntukan wanita begitu sedikit, hanya RM100 juta dan ini amat tidak memadai. Tambah pula tidak ada program wanita, sama seperti tahun lepas program untuk pengarah wanita dan sebagainya berbanding dengan apa yang kita cadangkan dalam Belanjawan Pakatan Rakyat.”
nurul izzah

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar :

“Bajet kali ini tidak ada benda baru. Kita bimbang Malaysia akan menjadi ‘Shopping and Fesyen Heaven’ dengan hasrat kerajaan untuk menarik pelancong datang untuk membeli belah di Malaysia.

“Apa yang penting adalah pembangunan infrastruktur terutama di Sabah dan Sawak kita dapat lihat dan tidak hanya sekadar cakap-cakap semata-mata,”.

Categories
NASIONAL

Bajet 2014 gagal perbetul ketirisan berbilion wang rakyat

anwar ibrahim parliament 2

KUALA LUMPUR 25 OKT : Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal untuk memperbetulkan ketirisan puluhan bilion wang rakyat daripada berlaku, tegas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, pengumuman Kerajaan Pusat untuk melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada bermula 1 April 2015 pada kadar 6 peratus hanya akan menambahkan bebanan rakyat.

“Tidak ada pertimbangan untuk memperbetulkan soal kebocoran, ketirisan puluhan bilion, tidak ada soal pembaziran hendak dibetulkan dan juga memperbaiki pengurusan Kerajaan.

“Yang terpaksa mereka lakukan kerana kedudukan fisikal yang lemah ialah percukaian. GST hanya akan membebankan rakyat bawahan dan akan menambahkan pelebaran jurang kaya dan miskin.

“Keduanya kenaikan harga gula, dengan hujah yang cukup lemah dan remeh sekali,” kata Anwar ketika ditemui di luar Dewan Rakyat hari ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula berkata, pelaksanaan GST hanya menyebabkan rakyat yang tidak pernah membayar cukai akan terpaksa membayar cukai.

“Di Malaysia hanya enam peratus penduduk yang bayar cukai. Di Malaysia hanya 15 peratus daripada pekerja yang bayar cukai. Sekarang semua kena bayar cukai,” katanya ketika ditemui.

Katanya, Kerajaan Pusat tidak berlaku adil kepada rakyat yang berpendapatan rendah kerana rakyat yang tidak pernah membayar cukai selama ini terpaksa membayarnya.

“Dia (Kerajaan) bukan sahaja mengenakan GST pada 2015, tapi telah hapuskan subsidi gula 30 peratus, saya tak tahu apakah jumlah ini akan jimat tetapi ini hanya menambahkan beban rakyat,” kata Ahli Parlimen Bagan itu.

EZY

Categories
NASIONAL

Harga gula naik mulai esok

gula-naik-1SHAH ALAM 25 OKT : Harga gula dijangka naik sebanyak 34 sen ekoran pemansuhan subsidi gula berkuatkuasa esok seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan jumlah pesakit diabetes di negara ini yang agak membimbangkan.

“Berdasarkan statistik, terdapat 2.6 juta rakyat Malaysia yang berumur 30 tahun ke atas menghidap penyakit diabetes,” katanya.

Beliau berkata keadaan itu jika tidak dikawal akan mengakibatkan pelbagai komplikasi seperti penyakit jantung, kerosakan buah pinggang, mata buta dan kaki terpaksa dipotong.

“Saya menyeru agar kita bersama-sama jaga kesihatan, kurangkan manis dalam makanan dan minuman. Tambahkan manis dalam senyuman,” katanya.

Categories
NASIONAL

Laksana GST hanya tambah beban rakyat

gst

KUALA LUMPUR 25 OKT : Kerajaan Pusat hanya menambah beban rakyat di negara ini disebalik alasan untuk meningkatkan pendapatan negara dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan, kata Datuk Mahfuz Omar.

Naib Presiden PAS itu berkata, pelaksanaan GST akan meningkatkan jurang pendapatan rakyat rendah dan tinggi semakin meningkat dan akhirnya merugikan negara.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak seharusnya mengumumkan langkah lebih efisyen untuk membendung ketirisan wang rakyat dan rasuah pada Belanjawan Negara 2014  yang sememangnya merugikan rakyat.

“Kalau kita benarkan GST benar-benar dilaksanakan, kita membenarkan wang kita diserahkan kepada penyamun dan perompak.

“Tak payah samun, tak payah rompak, tapi kita sendiri yang serahkan, oleh itu saya dan pemimpin Pakatan lain akan terus berusaha melawan isu ini demi membela rakyat di negara ini,” katanya dalam himpunan bantahan GST di hadapan Parlimen hari ini.

Seramai 200 orang terdiri daripada ahli PAS dan pemimpin NGO berhimpun di hadapan pintu masuk Parlimen ketika sidang pembentangan Belanjawan Negara 2014 sedang berlangsung hari ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Nasarudin Hasan Tantawi berkata himpunan ini diadakan bagi menyatakan bantahan terhadap Kerajaan Pusat yang melaksanakan cukai berkenaan.

“Saya yakin jurang kemiskinan diantara orang kaya dan orang miskin semakin lebar, seterusnya ia akan melonjakkan kadar inflasi negara, akhirnya rakyat tetap menjadi mangsa,” ujarnya.

Beliau turut sependapat dengan Mahfuz yang menyatakan Kerajaan Pusat seharusnya mengumumkan kaedah yang lebih baik bagi mengawal ketirisan wang rakyat berbanding pengumuman pelaksanaan GST.

Dalam pembentangan Bajet 2014, Najib Razak mengumumkan Kerajaan akan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada kadar 6 peratus bermula 1 April 2015.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Anwar : Belanjawan Alternatif PR fokus pertahan hak rakyat

Anwar, Kit Siang, Hj hadi

SHAH ALAM, 20 OKT : Belanjawan Alternatif 2014 yang dibentangkan Pakatan Rakyat (PR) akan memberikan fokus kepada usaha mempertahankan hak dan kepentingan rakyat dalam mengharungi gelombang krisis ekonomi mendatang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Belanjawan Alternatif itu akan dibentangkan pada Isnin (21 Okt) di Parlimen sebelum Bajet 2014 dibentang Perdana Menteri pada 25 Oktober ini.

“Kita menjangka, negara akan mengalami krisis ekonomi dengan kadar hutang semakin meningkat, pelaburan berkurangan, harga barang meningkat dan beban kepada rakyat juga bertambah,” kata Anwar.

Anwar berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Bengkel Persediaan Belanjawan Pakatan Rakyat 2014 di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor di sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Menerusi Bengkel Belanjawan tadi, Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat rancak membincangkan draf belanjawan 2014 secara teliti.

“Ia kemudiannya dibentangkan kepada kami selaku pimpinan utama ketiga-tiga parti untuk membuat keputusan muktamad,” kata Anwar.

Anwar berkata, PR merancang untuk mengadakan sesi dialog dengan Kerajaan Pusat untuk membincangkan isu kepentingan rakyat.

“Kita mengusulkan Perdana Menteri dan kepimpinan BN tumpu tadbir negara, urus ekonomi dan tangani isu besar demi kepentingan rakyat yang terabai sekian lama sejak PRU-13 Mei lalu.

“Perlunya perbincangan dan dialog dalam isu ekonomi, perbalahan kaum dan agama, peningkatan kadar jenayah dan isu pengurusan kerajaan termasuk rasuah seperti yang dilaporan ketua audit negara,” kata Anwar.

PR sebelum ini menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menjalankan kajian sebelum satu belanjawan bayangan dibentangkan sebelum Belanjawan 2014 dibentangkan.

Jawatankuasa itu ditubuhkan bagi mendapatkan satu formula terbaik untuk dimasukkan dalam belanjawan bayangan Pakatan Rakyat sekaligus mencabar Belanjawan 2014 yang dijangka akan dibentangkan Najib Razak.

Jawatankuasa yang dikordinasikan Institut Rakyat itu dibahagikan kepada sembilan kumpulan yang diketuai Ahli Parlimen Pakatan Rakyat berdasarkan kementerian tertentu dan bidang kepakaran masing-masing.

Sembilan kumpulan tersebut, kajian isu nasional dan antarbangsa; ekonomi dan kewangan; keselamatan; pendidikan dan pekerjaan; pertanian, perladangan dan pembangunan luar bandar; pengangkutan dan pembangunan bandar; pengurusan sumber dan kelestarian; masyarakat, kebajikan dan gender serta polisi berkaitan Sabah dan Sarawak.