Categories
NASIONAL

Projek IC Sabah : Siasat Secara Terbuka, Anwar Sedia Beri Kerjasama Kepada RCI

SHAH ALAM, 15 OGOS: Datuk Seri Anwar Ibrahim bersedia memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing di Sabah.

Kerjasama ini sekaligus membidas dakwaan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang mendakwa beliau(Anwar) pernah menentang pembentukan RCI bagi menyiasat masalah pendatang asing di Sabah pada tahun 1994.

Ketua Umum PKR itu mencabar siasatan dilakukan secara terbuka bagi menjawab tuduhan yang dilemparkan oleh Soi Lek itu.

“Chua Soi Lek ini hanyalah alat murahan Umno untuk menyerang Pakatan Rakyat dan siasatan harus dijalankan secara terbuka untuk membongkar kebenaran dan saya sedia memberi kerjasama penuh,” tegasnya ketika ditemui selepas solat terawih di kediaman rasmi Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim malam tadi.

Pada 11 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak mengumumkan penubuhan RCI setelah didesak oleh pemimpin Umno-BN Sabah sehingga ada yang bertindak keluar dari parti itu dan menistihar menyokong Pakatan Rakyat.

Jelas Anwar. Pakatan Rakyat telah lama mendesak supaya diadakan satu Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat dakwaan pemberian kewarganegaraan secara tidak sah yang didakwa dilakukan sewaktu era Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Pemberian kewarganegaraan ini didakwa bertujuan mengukuhkan sokongan terhadap Umno-BN di Sabah dan diakui sendiri oleh Tun Mahathir namun mendakwa tidak mengetahuinya lebih lanjut.

Menurut Anwar, penubuhan RCI akan membuktikan beliau tidak pernah terlibat dalam pendaftaran kewarganegaraan sewaktu berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Saya tidak pernah diberi tanggungjawab memikul tugas ini sepanjang saya bergelar Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, saya juga tidak pernah membuat keputusan berhubung perkara ini, saya hanya faham tugas ini di bawah Majlis Keselamatan Negara dan Unit Khas di bawah Perdana Menteri,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

Kenyataan Najib Lebih Biadap Dari DAP Berhubung Hudud

SHAH ALAM, 8 OGOS : Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa Umno-BN tidak akan melaksanakan hukum hakam berlandaskan syariat Islam (hudud) di negara ini adalah lebih biadap dan menghina kesucian Islam jika dibandingkan dengan DAP yang tidak bersetuju perlaksanaan hukum hudud.

Demikian kenyataan Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam reaksinya berhubung isu adalah haram dan berdosa menyokong DAP seperti yang dipaparkan dalam akhbar pro Umno-BN hari ini.

“Kalau beliau benar-benar mengikuti kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek lebih biadap daripada DAP dalam menghina hudud dan memberi amaran keapda Umno-BN sendiri sehingga Perdana Menteri, Najib Razak sanggup dan terpaksa buat kenyataan bahawa Umno-BN tidak melaksanakan hudud.

“Oleh kerana itu bagi kita, kenyataan dari Najib sudah cukup sebagai bukti bahawa selagi Umno-BN memerintah sampai bila-bila pun hukum syariat Islam tidak akan dilaksanakan walaupun Umno mendakwa mereka mewakili orang melayu yang beragama Islam,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Kenyataan beliau ekoran susulan paparan muka depan media pro-BN hari ini yang memetik kenyataan Pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa’amah.

Abdullah dalam kenyataannya berkata adalah haram dan berdosa umat Islam menyokong DAP yang secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud.

Menurut beliau lagi, agenda perjuangan DAP berbeza dengan MCA dan MIC dalam Umno-BN yang digolongkan sebagai bukan kafir harbi iaitu tidak membawa kemudaratan kepada kedudukan agama dan umat Islam sendiri.

Tuan IbrahimĀ  menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan Abdullah dibuat tanpa mengikut maklumat yang betul dan hanya bersandarkan kepada penyampaian pihak tertentu.

Malah jelas beliau kenyataan tersebut nyata tidak membantu menggambarkan persepsi Islam yang luas dan syumul di mata masyarakat bukan Islam.

Ujar Tuan Ibrahim, hubungan ‘tahalul siasi’ (kerjasama politik) Pas dan komponen Pakatan Rakyat berlangsung dalam kontek hubungan baik dan mengamalkan sikap saling menghormati meskipun berbeza pandangan.

Sebelum ini, Adun Umno Johor dari Kemelah, Datuk Ayub Rahmat mencadangkan supaya hukum hudud dilaksana ke atas orang Islam dan bukan Islam di negeri itu namun dibidas Soi Lek yang beranggapan hasrat itu sebagai “hilang akal” dan kehabisan idea.

Categories
SELANGOR

Selepas Syabas, Krisis Air MCA Pula

SHAH ALAM : Satu lagi krisis air telah digembar gemburkan oleh pemimpin Umno-BN, kali ini daripada Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang berkata Selangor akan berhadapan dengan masalah air dalam dua bulan.

Tetapi mengikut Jabatan Meteorologi kekeringan sumber air mentah seperti di sungai dan empangan di Selangor tidak akan berlaku seperti yang digambarkan.

Sebaliknya Jabatan terebut meramalkan yang taburan hujan seperti biasa dalam bulan Ogos ke Oktober akan berlaku di seluruh negara, termasuk di Selangor, kata Exco Selangor Ronnie Liu Tian Khiew.

?Jabatan Meteorologi memberi jawapan kepada kenyataan (Datuk Seri Chua Soi Lek),? Ronnie berkata di dalam sidang media selepas mesyuarat exco Selangor di sini.

Pada Ogos 1, Soi Lek berkata walaupun bekalan air mentah mencukupi krisis air tersebut tetap akan berlaku kerana loji-loji rawatan air di Selangor berfungsi pada kapasiti maxima dan rizab air tinggal pada paras 1 hingga 3 peratus.

Soi Lek mendakwa ini adalah fakta yang didapati daripada pakar-pakar yang menemui MCA.

Amaran krisis air oleh Soi Lek timbul seminggu selepas satu lagi krisis air yang diwarkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Dakwaan Syabas itu disangkal apabila Kerajaan Selangor menunjukkan yang masalah gangguan bekalan air terawat berpunca daripada Syabas sendiri yang gagal mengagih air tersebut dengan sempurna.

Panel pemantau Kerajaan Selangor yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Khusrin Munawi juga mendapati Syabas tidak melaporkan jumlah rizab air terawat dengan tepat.

Panel tersebut mendapati rizab kapasiti pengeluaran air terawat sebenar adalah 11 peratus, bukannya dua peratus seperti yang dikatakan oleh Syabas.

Categories
NASIONAL

Rumah Kos Rendah di P.Pinang, MCA Cuba Alih Isu

SHAH ALAM 14 JULAI : Presiden MCA, Datuk Dr Chua Soi Lek perlu berhenti mengelirukan rakyat mengenai perumahan kos rendah di Pulau Pinang yang didakwa tidak pernah dibina Kerajaan Negeri itu sejak mengambil alih pentadbiran pada 2008.

Chua dalam debat bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tempoh hari disebut berkata, Kerajaan Pulau Pinang tidak pernah membina perumahan kos rendah sejak 2008 hingga 2010.

“Beliau membuat tuduhan ini beberapa kali dengan mengatakan tanah terhad serta kos yang semakin meningkat menyebabkan tiada rumah kos rendah yang dibina di Pulau Pinang,” kata Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Dalam kenyataan media itu juga Zairil menjelaskan Pulau Pinang memperuntukkan sebanyak RM500 juta untuk dana perumahan mampu milik dan berpatutan bagi memenuhi keperluan rakyat di negeri itu.

Zairil berkata, Guan Eng menjelaskan Kerajaan Pulau Pinang membina sebanyak 3806 unit rumah kos rendah dan sederhana rendah melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

“Kerajaan Negeri juga mengumumkan tambahan 18,000 unit akan dibina termasuk 1320 unit akan di bina di bandaraya George Town untuk memenuhi keperluan perumahan di bandar,” katanya lagi.

Kata Zairil, Dr Chua sebenarnya cuba mengalihkan perhatian daripada hakikat sebenar bahawa dasar Kerajaan Pulau Pinang di bawah BN dahulu gagal menyediakan perumahan kos rendah kepada rakyat.

“Dr Chua pasti mengetahui hakikat ini bahawa permasalahan ini berlaku adalah kesan daripada 50 tahun dasar yang gagal dilakukan oleh Kerajaan BN dahulu,” katanya lagi.

Pada 8 Julai lalu, berlangsung Debat 2.0 anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) bertajuk ‘DAP dan MCA: Dasar Siapa Yang Lebih Bermanfaat Kepada Masyarakat’.

Debat yang kali kedua dianjurkan ini meliputi dasar dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan, kemakmuran ekonomi, khidmat komuniti, perpaduan negara, kebajikan masyarakat dan pembasmian kemiskinan.

Categories
SELANGOR

Saya Bukan Chua Soi Lek, kata LGE

SHAH ALAM 5 JULAI : Cubaan membunuh karektor peribadi dan isteri serta anak-anaknya oleh pemimpin MCA-BN dikecam keras Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Menurut Guan Eng, MCA-BN mengamalkan politik kotor dengan cuba menjatuhkan pemimpin yang dipilih secara demokratik dengan menyerang ahli-ahli keluarga yang tidak bersalah.

Ujar beliau, Pengerusi MCA Melaka, Gan Tian Loo menyalahgunakan keistimewaan dan jaminan perlindungan di dalam DUN Melaka dengan membuat dakwaan palsu mengenai skandal moral terhadap beliau dan isterinya di dalam dewan tersebut.

“Saya mahu Gan mengulangi tuduhan itu di luar, supaya saya dan isteri boleh membuat saman fitnah kerana mengeluarkan kenyataan yang kurang ajar atau biadap itu.

“Jika Gan tidak berani berbuat demikian, maka dia telah menunjukkan dirinya sebagai seorang yang pengecut dan tidak layak untuk menjadi seorang pemimpin, ahli Exco dan wakil rakyat,” tegas Guan Eng.

Guan Eng juga mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najid Razak, agar mengarahkan pihak MCA mengulangi dakwaan palsu itu di luar DUN Melaka bagi membuktikan kenyataan itu kerana Presiden MCA, Chua Soi Lek tidak layak memandangkan Chua juga mempunyai skandal moral sebelum ini.

“Biar MCA mengulangi dakwaan mereka di khalayak ramai supaya saya dan isteri boleh buktikannya di mahkamah bahawa ‘Lim Guan Eng bukan Chua Soi Lek’.

“Saya tidak mempunyai mana-mana hubungan rapat atau rahsia dengan bekas kakitangan saya. Isteri saya tidak pernah menyerang saya atau sesiapa pun dalam hidupnya.

“Biar saya dan isteri saya membuktikannya di mahkamah bahawa MCA berbohong dan meminta MCA mendedahkan cubaan untuk membunuh karektor dan mendedahkan sumber maklumat palsu ini,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Kerajaan Dan Kroni Didakwa Bolot Untung Saman Pengangkutan

PETALING JAYA 04 JULAI : PKR hari ini mendakwa Kementerian Pengangkutan berkongsi kompaun saman yang dikenakan ke atas rakyat bersama dua syarikat yang diberikan kontrak projek ‘Automated Enforcement System’ (Aes).

Bendahari Agung PKR, William Leong berkata mengikut kedua-dua laporan syarikat Ates Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd menyatakan setiap RM16 bagi satu saman yang dikeluarkan akan diberikan kepada kedua-dua syarikat terbabit.

Katanya, RM16 itu akan diberikan sehingga saman yang dikeluarkan mencecah lima juta.

Manakala, selepas mencecah lima juta saman, Kementerian akan mendapat 50 peratus manakala 50 peratus lagi akan diberikan kepada syarikat terbabit sehingga syarikat itu mendapat keuntungan RM272 juta setahun.

“Oleh kerana itu, kedua-dua syarikat terbabit mensasarkan untuk mengeluarkan sekurang-kurangnya 10 juta saman setiap tahun,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Disebabkan itu, Ahli Parlimen Pakatan Rakyat membantah Akta Pindaan Pengangkutan yang menyatakan denda minimum sebanyak RM300 dan maksimum RM2000 akan dikenakan bagi setiap kesalahan.

“Ini satu angka keuntungan yang besar kerana apabila selepas jumlah itu, mereka akan berkongsi sebanyak 7.5 peratus lagi,” katanya.

Ahli Parlimen Selayang itu juga mendakwa, salah satu pengarah syarikat Beta Tegap Sdn Bhd iaitu Datuk Arianta Alikusno mempunyai hubungan dengan pemimpin MCA.

“Ini kerana Arianta ini pernah diberikan satu kontrak yang besar pada tahun 2005 daripada Kementerian Kesihatan melalui syarikat Mediharta Sdn Bhd.

“Dalam senarai pemegang saham syarikat Beta Tegap Sdn Bhd yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati Arianta dan anaknya Dr Andres Teoh serta isterinya, Yap Kim See @ Yap Ai Lin dan seorang iaitu Datuk Mohd Yunus Othman merupakan antara pemegang saham syarikat itu.

“Begitu juga dengan syarikat Mediharta Sdn Bhd, adalah orang yang sama,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan bidang kepakaran kedua-dua syarikat itu.

“Apakah kepakaran dan pengalaman mereka dalam Aes?. Apa yang kita tahu teknologi yang digunakan oleh syarikat Beta Tegap hanya daripada sebuah syarikat Australia iaitu Reflex Pty Limited dan apakah kepakaran mereka dalam ‘security hologram’ yang diberikan kontrak daripada Kementerian Kesihatan?” katanya.

Justeru, beliau meminta Presiden MCA, Datuk Chua Soi Lek memberi penjelasan berhubungan kaitan dengan nama-nama terbabit.

“Kenapa Kementeria Pengangkutan tidak memberi kontrak terus kepada syarikat Reflex? Kenapa guna wakil? Ini kerana mereka mahu mengaut keuntungan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Soi Lek Hina Islam, PAS Minta Umno Nyata Pendirian

 

SHAH ALAM, 4 JULAI : PAS hari ini mengesa Umo tampil menyatakan pendirian berhubung kenyataan rakan kongsinya dalam BN didakwa menghina Islam.

Presiden MCA, Datuk Chua Soi Lek kelmarin menerusi laman twitternya membidas cadangan Adun Kemelah(Umno-BN), Datuk Ayub Rahmat yang mahu Johor menjadi negeri pertama melaksanakan hukum hudud sebagai suatu perkara yang hilang akal.

Oleh itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu hari ini mengesa agar Umno tampil menyatakan pendirian mereka berhubung kenyataan berkenaan.

“Selama ini Umno menuduh DAP menghina Islam, pelbagai gesaan yang mereka suruh kita (Pakatan Rakyat) lakukan terhadap DAP.

“Kini terbukti, MCA menghina dan menolak hukum Islam itu (Hudud) dan Umno perlu dalam kadar segera menyatakan pendirian mereka kerana ini bukan soal politik tetapi soal agama,” jelasnya yang mesra dikenali dengan panggilan Mat Sabu.

Ayub Rahmat juga menyatakan hudud di Johor akan turut dipraktikan ke atas bukan Muslim, sekaligus berbeza dari hudud yang ditawarkan PAS.

Adun Kemelah itu mendakwa, hudud sebenar turut merangkumi masyarakat bukan Islam berbeza dengan hudud PAS yang beliau anggap sebagai bermain politik semata-mata.

Dalam twitter itu juga, Soi Lek mempersoalkan di mana keris tajam Umno yang sering dijulang ke udara dengan penuh semangat perwira mempertahankan maruah Melayu itu.

“Sudah tumpul berkarat atau hilang kudrat untuk dijulang lagi?” terjah beliau.

Mengulas lanjut, Mat Sabu mencabar Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) dan Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah (Pekida) menyuarakan kelantangan suara mereka dalam perkara ini.

“Kita lihat apakah tindakan NGO-NGO pro-Umno ini dalam menangani perkara ini, kita juga mahu lihat bagaimana caranya mereka memberi pemahaman berhubung hukum hudud kepada rakan MCA mereka,”ujarnya.

Categories
NASIONAL

Guan Eng: Umno, MCA Biadap Pada Masyarakat Hindu

SHAH ALAM 25 APR : Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) dan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) yang bertindak merobohkan Kuil Sri Muniswarar yang berusia hampir 50 tahun di Terminal Kargo Pukal Prai (BCT).

Lebih mengecewakan, menurut Ketua Menteri, Lim Guan Eng, sebelum ini Pengerusi PPSB, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya mengumumkan bahawa PPSB akan menanggung kos pembinaan semula kuil tersebut di kawasan seluas 6.1m x 6.1m di lokasi yang sama namun semuanya sekadar kata-kata manis sahaja.

“Sewaktu lawatan saya ke tapak berkenaan pada 23 April lalu, Pengurus Besar BCT, Abdul Halim Kader memberitahu beliau telah mendapat pengesahan daripada pejabat Dr. Hilmi bahawa kuil tidak akan dibina di situ.

“Jika ia benar, bilakah kuil itu akan dibina dan adakah ianya benar-benar akan dibina semula atau sekadar janji-janji kosong BN sempena Pilihanraya?,” soal Guan Eng dalam kenyataan medianya.

Sehubungan itu, beliau mendesak Dr. Hilmi dan Pengerusi PPC, Datuk Seri Chua Soi Lek untuk meminta maaf khususnya kepada masyarakat Hindu atas pencabulan rumah ibadat itu.

“Tindakan perobohan ini boleh disifatkan sebagai biadab, tidak bertanggungjawab dan sangat mengecewakan.

“Lebih memburukkan keadaan lagi, tiada notis dikeluarkan atau sekurang-kurangnya ditampal di kuil bagi memaklumkan tentang perobohan tersebut.

“Kedua-dua individu yang bertanggungjawab atas tindakan ini juga gagal untuk tampil segera bagi menjelaskan keadaan sebenar kepada pekerja-pekerja pelabuhan dan masyarakat Hindu,” jelas Guan Eng.

Jika tiada permohonan maaf dari kedua mereka dan tiada kuil didirikan sebelum pilihanraya, Guan Eng mendesak Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha untuk campur tangan dalam hal berkenaan.

“Semua warga Pulau Pinang yang cintakan keamanan dan menghormati kebebasan beragama mengutuk keras tindakan tersebut. Maka perkara ini perlu dipandang berat dan diambil serius,” tegas Guan Eng melalui kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Categories
NASIONAL

PKR Sedia Lawan Presiden MCA Di Batu Pahat

SHAH ALAM, 18 MAC: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengalu-alukan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek bertanding di Parlimen Batu Pahat sebagaimana dilaporkan laporan-laporan media baru yang menyebut ura-ura UMNO memberi laluan kepada MCA untuk meletakkan calon.

Ketua Cabang PKR Batu Pahat,Syed Hamid Syed Ali dalam kenyataan medianya berkata, beliau menyambut baik perkembangan ini kerana PKR Batu Pahat bersedia pada bila-bila masa untuk berdepan dengan mana-mana parti Barisan Nasional.

“Jika ini berlaku, ia mengesahkan keresahan pimpinan UMNO di Johor yang tidak yakin dapat memenangi hati pengundi pelbagai kaum di Batu Pahat. Walaupun ini tidaklah mengejutkan, tetapi ia melunturkan lagi kedudukan UMNO sebagai parti utama yang boleh menjadi tunjang kepada sebuah kerajaan persekutuan kerana ia ditolak oleh sebahagian besar pengundi bukan Melayu di Batu Pahat khususnya dan Malaysia secara amnya,” katanya.

Tegas beliau, tindakan MCA menurunkan Soi Lek di Batu Pahat akan menguatkan lagi peluang PKR dan Pakatan Rakyat merampas kerusi ini selain dari peristiwa mengaibkan melibatkan beliau yang berlaku di Batu Pahat sendiri.

“Sebahagian besar dari pengundi Cina di Batu Pahat terdiri dari pengundi muda yang tidak terpengaruh dengan rekod wakil rakyat Datuk Seri Chua Soi Lek di masa lalu. Mereka juga mengambil pendirian yang konsisten mengenai perlunya ada reformasi yang menyeluruh di dalam negara,” katanya.
Beliau menambah keputusan persaingan dalam Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-13) di Batu Pahat kelak akan ditentukan oleh pengundi muda berbilang bangsa.

Jentera PKRBatu Pahat yang sebahagian besarnya terdiri dari anak-anak muda di bawah 30 tahun menguatkan lagi semangat dan keyakinan PKR bahawa peluang Pakatan Rakyat di Batu Pahat adalah baik tanpa mengira calon yang diletakkan oleh pihak lawan.