Categories
SELANGOR

Faekah : Geran Selangorku Diurus Telus

SHAH ALAM 27 JUN : Kerajaan Selangor tidak pernah berselindung berkenaan punca dana Geran Selangorku berjumlah RM300 juta yang diperuntukkan untuk dimanfaatkan terus kepada rakyat.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin berkata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika Belanjawan 2012 tahun lepas menyatakan geran ini berasaskan sumbangan daripada syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).

Ia juga diperolehi daripada keuntungan operasi Perbadanan Menteri Besar (MBI) yang berjaya mendapatkan hutang lapuk Syarikat Talam Corporation serta penstrukturan semula projek Canal City.

“Jika dahulu keuntungan hanya dimanfaatkan oleh rakan kongsi usaha sama yang berat sebelah serta para kroni BN, kali ini habuan kita agihkan terus kepada semua rakyat Selangor,” kata Faekah dalam kenyataan medianya.

Faekah berkata, Geran Selangorku diterajui oleh Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Jawatankuasa ini dianggotai Ketua Pentadbir Perbadanan Menteri Besar (MBI), jurutera dan jurunilai dari Jabatan Kerja Raya, Pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri, akauntan dan jurutera bebas yang di lantik oleh Menteri Besar.

Kesemua projek yang dikemukakan kepada Jawatankuasa ini kemudiannya diunjurkan oleh Adun, Pejabat Tanah dan Daerah (PTD), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Dakwaan Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed bahawa Menteri Besar mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan peruntukan adalah tidak benar.

“Menteri Besar tidak campur tangan dalam menentukan pemberian peruntukan dan projek kerana tender terbuka diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan serta pejabat tanah dan daerah,” katanya.

Sehingga kini menerusi Geran Selangorku, Kerajaan Negeri meluluskan sebanyak 362 projek yang berupa pembangunan kecil dan sederhana seperti membaiki longkang, menurap jalan dan membina jejantas seluruh Selangor termasuk di kawasan DUN di bawah BN.

“Semua data, butiran projek serta tatacara Geran Selangorku ini dilaksanakan terbuka untuk semakan di Pejabat MBI.

“Md Zin atau mana-mana ahli Umno yang masih gagal memahaminya boleh melakukan lawatan ke MBI dan penerangan khusus boleh disediakan,” katanya.

Justeru tegas Faekah, beliau mencabar Ahli Parlimen dan Adun BN untuk mendedahkan butiran perbelanjaan peruntukan sejumlah RM2.71 bilion yang diperuntukkan oleh Kerajaan Pusat kepada Umno Selangor.

“Rakyat Selangor mahu tahu bagaimana wang sebesar itu dibelanjakan, apa projeknya, di mana dan berapa kos sebenar,” ujar Faekah.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Iskandar : Surat Faekah Tidak Arah GLC Terima

AMPANG, 25JUN: ‘Surat sokongan’ yang dikeluarkan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin kepada sebuah syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) bukanlah suatu arahan, tetapi ia hanyalah cadangan berdasarkan kelayakkan yang dimiliki syarikat terlibat.

Demikian menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Samad ketika diminta memberikan komen berhubung isu yang cuba disensasikan oleh beberapa akhbar arus perdana.

“Pendapat saya surat tu bukan suruh lantik, tetapi itu cuma surat cadangan sahaja, bukan arahan sebab tidak ada pun tulis wajib terima syarikat yang disebut itu.

“Ia surat agar dipertimbangkan sekiranya syarikat itu memenuhi syarat-syarat dan selari dengan polisi pihak tuan.

“Kalau sokongan, kita tulis ‘kita menyokong sila beri atau lantik dan sebagainya, tetapi ini tidak dan ini maknanya ini bukan satu arahan supaya terima,” kata Iskandar.

Berdasarkan pengalaman Iskandar, syarikat GLC dan Pihak Penguat Berkuasa Tempatan (PBT) tidak terikat untuk menerima cadangan yang dikemukakan dalam surat dari Adun, sebaliknya mereka bertanggungjawab dengan membuat keputusan yang profesional.

“Bukan tanggungjawab PBT atau GLC untuk terima ikut surat yang dicadangkan.

“Sebenarnya surat cadangan saya sendiri banyak tak diterima pun. Macam-macam orang datang pada kita minta sokongan, kita pun tak kenal siapa dan syarikat itu lebih banyak ditolak dari diterima,” katanya lagi.

Iskandar turut memberitahu, sebelum ini lagi beliau telah memaklumkan kepada PBT dan GLC bahawa sebarang surat yang dikeluarkan pejabatnya hendaklah dilayani dan dipertimbangkan sama seperti pemohon atau penender lain.

RM50,000 Bangunkan Kampung Baru Batu Caves

BATU CAVES 24 JUN : Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM50,000 bagi tujuan pembangunan kepada Kampung Baru Batu Caves di sini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata peruntukkan itu diberi bagi membantu penduduk supaya membuat perancangan terbaru agar dapat meningkatkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) di kampung mereka.

“Saya mahu tunjukkan kepada semua bagaimana jika kita mempunyai tanah seluas 10 ekar untuk dibangunkan dan apakah perancangan yang perlu kita lakukan.

“Saya sudah memberitahu kepada pihak Pejabat Daerah dan Yang diPertua Majlis Daerah Selayang (MDS) berkenaan perkara itu. Saya berharap Ketua Kampung dapat datang berjumpa YDP MDS untuk berbincang,” katanya.

Bahagian perancangan akan dipanggil bagi membincangkan tindakan selanjutnya untuk pembangunan itu.

“Beliau(YDP dan Pegawai Daerah) akan tunjukkan peluang bagaimana untuk kita bangunkan, jangan risau beliau tidak melobi mana-mana kontraktor untuk projek itu.

“Saya berharap perkara ini dapat dilakukan dalam masa dua bulan, jika tidak setuju kita tidak memaksa. Penduduk mesti mencari jalan bagaimana untuk membangunkan kawasan untuk generasi akan datang.

Menteri Besar berucap pada Majlis Sambutan 43 tahun Kampung Melayu Batu Caves Selatan di Dataran Hijau Al-Khadra, Balairaya JKKK, di sini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali, Adun Batu Caves Amiruddin Shari, Pegawai Daerah dan Tanah Gombak Ahmad Zaharin Saad, YDP MDS Datuk Zainal Abidin Aala dan Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki.

Pada majlis yang sama, Abdul Khalid turut menyampaikan sumbangan dari Yayasan Selangor kepada seramai kira-kira 35 pelajar cemerlang UPSR, PMR dan SPM sekitar Batu Caves.

Turut disampaikan sumbangan daripada Adun Batu Caves kepada Sekolah Rendah Agama Taman Amaniah sebanyak RM5,000 dan RM25,000 kepada Open Tahfiz Center, Kampung Nakhoda.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Abdul Khalid berkata beliau tidak mempunyai masalah jika Pemuda Umno Selangor membuat laporan polis berhubung isu surat sokongan berkaitan Setiausaha Politiknya, Faekah Husin.

“Dia boleh buat lagi banyak laporan polis.

“Saya juga cadangkan supaya polis membuat satu pejabat khusus untuk mereka datang buat laporan polis jika tidak mereka akan menganggu polis untuk siasat kes jenayah lain,” katanya berseloroh.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB: Surat Faekah Amalan Biasa

SHAH ALAM  23 JUN : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan isu pemberian surat sokongan daripada Setiausaha Politiknya, Faekah Husin kepada sebuah firma guaman tidak seharusnya timbul.

Katanya, menjadi amalan biasa sekiranya mana-mana syarikat lain memintanya menandatangani surat sokongan seperti itu.

Beliau berkata firma guaman terbabit juga tidak dilantik dalam keputusan pengambilan panel peguam oleh salah sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri(GLC) itu.

“Isu surat sokongan itu tidak timbul, hal itu biasa, kadang-kadang saya pun akan tulis ‘dipanjangkan’ itu sahaja. Syarikat itu tidak dapat pun… adakalanya orang tidak mahu suruh saya tandatangan sebab tidak dapat,” katanya selepas mengiringi DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah merasmikan pembukaan Pusat Membeli Belah Setia City Mall, di sini.

Abdul Khalid menambah perkara itu juga tidak menjadi satu kesalahan etika kerana beliau hanya memanjangkan surat itu untuk dipertimbangkan sekiranya perlu.

“Kalau kita kata, sila ambil dia untuk dapatkan perniagaan itu, itu memang salah. Tapi saya panjangkan surat itu untuk dipertimbangkan jika perlu.

“Jadi kalau orang tulis surat kepada saya, sebagai contoh ‘boleh tidak Menteri Besar berikan surat ini kepada PKNS? Apa yang saya akan buat, saya tulis sahaja ‘panjangkan’ maknanya saya tidak ‘melobi’. Sebab saya tahu tujuan dia tulis surat itu kepada saya supaya mendapat perhatian PKNS. Jadi saya panjangkan lah…tapi terpulang kepada PKNS atau mana-mana syarikat GLC untuk menimbangkannya.

“Oleh itu juga makin kurang orang tulis surat kepada saya sebab saya hanya tulis panjangkan saja bukan tulis ‘sila bagi dia bisnes’,” katanya.

Sebelum ini, Faekah seperti mana dilapor akhbar dan blog mesra Umno-BN bahawa beliau didakwa menulis surat sokongan kepada firma guaman milik anak saudaranya agar dilantik menjadi panel peguam Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Katanya, walaupun beliau menandatangani surat berkenaan, namun ia tidak bermaksud salah guna kuasa berlaku kerana beliau tidak memberi projek kepada firma berkenaan.

Categories
NASIONAL

PKR Perlu Selesai Segera Konflik Dalaman, Fokus Usaha Tumbangkan BN

SHAH ALAM, 21 JUN: Pihak terlibat dalam pertelingkahan melibatkan Setiausaha politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin disarankan agar segera kembali ke saluran dalaman dan terus fokus kepada usaha menumbangkan Umno- BN untuk menawani Putrajaya.

Demikian menurut Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abd Rani Osman kepada TVS hari ini.

“Berbeza pendapat adalah lumrah dalam mana-mana parti politik, jadi saya harap isu ini dapat diselesaikan segera melalui cara dalamanan dan bukan cara mempertikaikannya di facebook, twitter dan lain-lain media sosial.

“Lebih penting lagi, kita kena terus fokus dengan perjuangan yang lebih besar iaitu mempertahankan Selangor dan menumbangkan Umno-BN.

“Fikirkan perjuangan yang lebih besar dan pucuk kepimpinan wajar main peranan selesaikan isu ini,” kata Dr Rani.

Sementara itu, Ketua Cabang PKR Kuala Langat, David Chong pula berkata kenyataan bersifat umum daripada pelbagai pihak mesti dihentikan segera bagi mengelakkan isu ini jadi lebih besar.

“Patutnya kenyataan mendesak Faekah undur dihentikan sebab akan memburukan keadaan dan BN pula yang bertepuk tangan.

“Selalu saya dengar orang cakap Faekah seorang Setiausaha Politik yang bagus, gigih berkerja, jalankan tugas dengan amanah, tak ambil projek, tidak amalkan kronisme, jadi kenapa nak pecat dia? Saya sokong dia kekal dijawatannya sekarang,” ujarnya lagi ambil menegaskan hingga kini tiada sebab untuk memecat Faekah.

Sebelum ini, tiga individu yang berjawatan dalam Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) ProRakyat menyatakan sokongan terhadap Faekah.

Mereka ialah Setiausaha Agung, Mohd Naquib Carmell Roseli, Ahli Exco, Abdul Halim Abdullah dan Ketua Penerangan, Ahmad Tarmizi Sulaiman mendakwa rasa terpanggil untuk memberi kenyataan tanda sokongan kepada Faekah di dalam jawatannya sehingga kini.

Categories
NASIONAL

Noh Akui Penstrukturan Semula Cara Terbaik Selesai Isu Air

SHAH ALAM, 14 JUN : Datuk Seri Noh Omar akhirnya mengakui bahawa masalah sebenar air di Selangor berpunca daripada keengganan syarikat konsesi menerima tawaran Kerajaan Negeri untuk menstruktur semula perkhidmatan air.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin berkata, Noh secara tidak langsung mengakui bahawa isu air di Selangor hanya akan selesai sekiranya penstrukturan semula dilakukan.

Ini kerana, ia akan memberi perkhidmatan lebih berkualiti, cekap dan pada harga munasabah kepada pengguna di Lembah Klang.

“Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu sedar bahawa kekurangan rezab air terawat yang kini dikatakan sekitar 2.4 peratus adalah kerana ketidakupayaan Syarikat Konsesi Air Selangor (Syabas) dan Puncak Niaga menguruskan rawatan air bersih seperti yang dipersetujui dalam perjanjian konsesi.

“Kita amat menghargai keprihatinan Noh yang mengakui penstrukturan semula ini menemui jalan buntu kerana syarikat konsesi enggan menerima tawaran Kerajaan Negeri Selangor,” katanya.

Bagaimanapun, Faekah tetap mempersoalkan penglibatan Noh sebagai Menteri Kabinet dari Selangor untuk memujuk Kerajaan Pusat membenarkan penstrukturan semula air seperti yang dikehendaki Akta Industri Pembekalan Air 2006 (WSIA).

Soalnya, adakah Noh tahu bahawa Kerajaan Selangor menawarkan keuntungan 12 peratus kepada syarikat-syarikat konsesi bagi pengambil alihan ini yang menepati piawaian antarabangsa.

Kerajaan Pusat pada Januari 2008 bersetuju untuk membenarkan Kerajaan Selangor mengurus perkhidmatan air, namun membuat ?u-turn? selepas Umno-BN kalah pada PRU-12.

Tidak terkecuali, Umno-BN turut membuat ‘u-turn’ tidak sampai 24 jam berhubung isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan menjadikan pelajar-pelajar baru Universiti Selangor (Unisel) sebagai tebusan politik.

“Jika Noh tahu tentang perkara ini, adakah ini bermakna beliau setuju dengan permintaan Syabas dan Puncak Niaga yang meminta keuntungan sehingga 75 % (untuk pengambilalihan) dan akhirnya rakyat terbeban dengan kenaikan tarif air.

“Adakah Noh berani untuk mengakui beliau lebih mengutamakan kepentingan syarikat konsesi berbanding kebajikan rakyat? soalnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Faekah : Pengerusi PTPTN Beremosi Politik,’Kurang Cerdik’

SHAH ALAM, 9 JUN: Kenyataan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Ismail Mohamed Said dianggap sebagai penuh emosi politik dan ‘kurang cerdik’.

Demikian selar Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin ketika memberi kenyataan balas terhadap satu kenyataan Ismail sebelum itu.

Ismail dalam satu kenyataan berhubung penarikan semula keputusan pembekuan pinjaman PTPTN kepada mahasiswa di Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Selangor berkata keputusan itu ditarik balik kerana tahu kononnya Kerajaan Negeri tidak mampu memberi bantuan kewangan.

“Kerajaan Negeri telah pun mengumumkan skim bantuan khas untuk pelajar yang teraniaya oleh pembekuan tersebut,” menurut Faekah yang menasihatkan Ismail dan jabatan yang ditadbirnya tidak diperguna oleh kuasa politik.

Tambah Faekah, malang bagi Pengerusi PTPTN, selepas menurut perintah Menteri kini terpaksa menjilat semula keputusan itu dan membuat kenyataan berbohong kononnya Kerajaan Selangor tidak mampu memberi pendidikan percuma kepada pelajar.

“Apa yang jelas kenyataan tersebut menunjukkan beliau membenarkan dirinya diperangkap oleh pemimpin tertinggi Umno-BN yang sekarang terpaksa membuat “U turn”; tidak sampai 24 jam pembekuan pinjaman diumumkan.

“Seluruh episod ini sebenarnya suatu amaran kepada penjawat awam agar tidak dengan membabi buta menurut arahan ahli politik.

“Selaku penjawat awam, mereka sepatutnya mempunyai integriti dalam memastikan kepentingan rakyat (dalam kes ini para pelajar) diutamakan,” menurut kenyataan itu lagi.

Sambil mengingatkan Menteri Umno agar tidak ‘bersembunyi di celah kain seorang kakitangan awam’, Faekah juga menggesa agar golongan itu lebih memahami prinsip doktrin pengasingan kuasa; di antara Eksekutif dan Legislatif.

Kata Faekah, tindakan mencampuri urusan pentadbiran awam seperti yang dilakukan oleh Menteri Umno hanya menyebabkan merendahkan martabat penjawat awam di mata masyarakat.

Selain itu Faekah turut menjelaskan, meskipun Kerajaan Selangor mempunyai keupayaan mentangani masalah sekiranya pinjaman PTPTN dibekukan, tanggungjawab menyediakan pendidikan terletak di bawah kuasa Kerajaan Pusat.

“Namun, perlu diingatkan berulang kali, tanggungjawab menyediakan pendidikan adalah di bawah kuasa Kerajaan Pusat. Beri kami mandat, pasti ia akan terlaksana,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Noh Omar Buta Demokrasi

SHAH ALAM 5 JUN : Sikap Noh Omar yang mempertikai usaha Kerajaan Negeri membersihkan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) di Selangor disifatkan sebagai ‘buta demokrasi’ oleh Faekah Husin.

Noh yang menjawat jawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mengeluarkan kenyataan dengan menuduh Kerajaan Negeri menyalahguna kuasa apabila melancarkan program ‘Selangorku Bersih’ bagi membersihkan daftar pemilih SPR yang menyaksikan penambahan luar biasa pengundi.

“Ini membuktikan Ahli Parlimen Tanjong Karang itu buta demokrasi kerana tidak menghormati hak rakyat negara ini untuk mendapat pilihan raya yang adil dan bebas,” kata Faekah yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor.

Faekah berkata, selepas tsunami politik pada 2008, telah berlaku banyak perubahan terhadap senario politik negara termasuklah di Negeri Selangor.

Antaranya peningkatan luar biasa jumlah pengundi baharu yang apabila dilihat dengan mata kasar agak tidak seimbang dengan jumlah penduduk terutama di kawasan-kawasan tertentu.

“Lebih mengejutkan ialah apabila SPR mengumumkan terdapat pengundi baharu di Selangor seramai 600,000 orang,” ujar Faekah dalam kenyataan media.

Tambah Faekah, meskipun Kerajaan Selangor menganggap daftar pemilih yang dikeluarkan SPR seharusnya sahih dan betul, namun lonjakan pengundi baharu agak membuka mata.

Justeru, sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang sah, maka adalah menjadi tanggung jawab Kerajaan Selangor untuk memastikan bahawa nama-nama yang tertera dalam daftar tersebut benar-benar rakyat yang bermastautin di negeri ni.

“Program Selangorku Bersih dilancarkan untuk maksud tersebut; membantu SPR dalam memastikan Selangor mempunyai daftar pemilih yang bersih sekali gus menolak sebarang andaian negatif terhadap SPR di atas lonjakan pengundi tersebut.

“Kita gerakkan semua JKKK, Ketua Kampung dan Penghulu untuk memeriksa senarai pengundi baharu di seluruh Selangor untuk memastikan nama-nama yang didaftarkan ini benar-benar wujud dan bukannya pengundi hantu seperti yang didakwa banyak pihak,” kata Faekah.

Tegas Faekah, tindakan Noh menghasut rakyat Selangor untuk tidak melayan JKKK, ketua kampung dan penghulu ketika menjalankan pemeriksaan adalah tindakan yang benar-benar mengecewakan.

“Seorang Menteri kanan boleh bertindak dan mengeluarkan kata-kata yang berniat jahat demi menghalang proses demokrasi.

“JKKK, ketua kampung dan penghulu adalah individu yang dilantik Kerajaan Negeri secara sah dan mereka ini mempunyai hak untuk menjaga keselamatan kampung dari anasir-anasir luar termasuklah pengundi-pengundi yang tidak sepatutnya berada di Selangor,” katanya.

Jelas Faekah, Noh sepatutnya menyokong sebarang usaha untuk mewujudkan satu pilihan raya yang bersih, adil dan telus.

Ketakutan Noh ini seolah-olah mengiyakan kegusaran rakyat Selangor selama ini bahawa terdapat unsur-unsur pengkhianatan oleh kerajaan BN, SPR dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam daftar pemilih.

Hal ini dijelaskan lagi apabila Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar turut bersetuju dengan kenyataan jahat Noh tersebut.

“Ironinya, niat Kerajaan Selangor membuat gerakan mengesan para pengundi di seluruh negeri Selangor telah pun dimaklumkan kepada Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof. Wan Ahmad juga turut hadir dalam perjumpaan dua bulan yang lalu.

“Pada ketika itu Pengerusi SPR langsung tidak memberi reaksi negatif terhadap hasrat Kerajaan Selangor tersebut,” kata Faekah.

Categories
NASIONAL

Faekah: Noh Perlu Tangani Isu NFC, Bukan Air Selangor

SHAH ALAM 28 MEI : Kegagalan Datuk Seri Noh Omar untuk memahami masalah pokok isu air di Selangor bukan sesuatu yang mengejutkan kerana beliau sendiri terbukti gagal menanggani isu penyelewengan dana NFC yang memalukan seluruh menteri kabinet.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin dalam kenyataan medianya mengulas, isu air yang cuba dibangkitkan Menteri Pertanian dan Asas Tani itu sebenarnya berpunca daripada pengurusan yang lemah dan pengetahuan yang cetek.

“Disebabkan kelemahan-kelemahan ini, rakyat dipaksa untuk menanggung kos pembinaan Langat 2 yang sangat mahal.

“Kenyataan Noh juga bahawa jika BN menawan semula Selangor maka masalah air akan selesaikan adalah amaran awal BN akan meneruskan Langat 2.

“Kos RM12 billion untuk membina Langat 2 mungkin ditanggung rakyat Selangor hingga ke cucu cicit dengan kenaikan tarif air yang melampau dan membebankan,” jelas Faekah.

Beliau juga menyifatkan Noh Omar yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor sebagai cetek ilmu mengenai usaha yang sedang giat dijalankan Kerajaan Negeri.

“Di samping memberikan perkhidmatan air yang lebih baik, Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk meneruskan pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu setiap bulan kepada rakyat Selangor.

“Kerajaan Negeri juga ingin rakyat menikmati tarif serendah mungkin kerana air merupakan keperluan asas,” tambahnya lagi.

Mengulas cabaran Noh Omar agar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim minum air empangan, Faekah berkata tindakan tersebut benar-benar kurang bijak yang hanya menggambarkan betapa ceteknya akal Ahli Parlimen Tanjong Karang tersebut.

“Air empangan hanya selamat diminum selepas dirawat di loji pembersihan bukan seperti negara-negara maju yang mana air paip selamat diminum terus dari paip tetapi di Selangor sebaliknya berlaku.

“Inilah hasilnya apabila pengurusan air diberikan kepada syarikat kroni yang tidak mengutamakan kualiti tetapi mengejar keuntungan semata-mata untuk menambah kekayaan kroni dan keluarga,” ujar Faekah.

Categories
SELANGOR

Bonus Selangorku Diperuntuk RM7.5juta

KLANG 08 APRIL : Bagi meneruskan usaha memberi bantuan menerusi pelbagai program kebajikan kepada rakyat negeri Selangor dalam Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), kerajaan negeri hari ini sekali lagi melancarkan program baru iaitu Jom Shopping ‘Bonus Selangorku’.

Inisiatif tambahan itu diberikan kepada Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) berupa baucer membeli-belah bernilai RM100 ketika menyambut ulang tahun kelahiran anak-anak TAWAS.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sebanyak RM7.5 juta diperuntukkan daripada Geran Selangorku untuk program terbabit.

Katanya, bagi fasa pertama, sejumlah RM1.6 juta diberikan kepada ahli-ahli TAWAS yang lahir pada tahun 2008 yang diberikan mengikut bulan kelahiran.

” Insyaallah bantuan ini akan diteruskan untuk bayi-bayi yang lahir pada tahun-tahun seterusnya,” katanya selepas Majlis Pelancaran program terbabit di Econsave Kampung Jawa, Klang.

Hadir sama, MP Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, Exco Pendidikan, pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar, Ketua Pentadbir Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Rohany Datuk Talib dan Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin.

Tambah Khalid, kerajaan negeri juga bersetuju untuk membuka semula pendaftaran bagi bayi yang lahir pada tahun 2008 supaya boleh mendaftar seterusnya mendapat manfaat itu.

“Oleh kerana publisiti yang meluas mengenai program TAWAS, ramai yang terlupa untuk mendaftar anak-anak, jadi kita memberi tempoh enam bulan hingga satu tahun sahaja bermula sekarang.

“Kita juga akan pergi ke hospital dan klinik bagi membantu anak-anak yang lahir supaya tidak ketinggalan dalam program ini,” katanya.

Setakat ini, jumlah yang mendaftar sebagai ahli TAWAS lebih 65 peratus berbanding 30 peratus semasa TAWAS diperkenalkan.

“Saya berasa berpuas hati kerana berjaya mengumpulkan wang simpanan negeri Selangor yang besar untuk digunakan oleh rakyat,” katanya.

Sehingga Mac 2012, sebanyak RM3.47 juta dikreditkan ke dalam akaun ahli TAWAS dan sehingga April 2012, pendaftaran yang dicatatkan sebanyak 76,528 ahli.

Categories
NASIONAL

Faekah: Khir Toyo, Tak Tahu Tanya, Jangan Bodoh Sombong

SHAH ALAM, 8 April: Tindakan Mantan Menteri Besar Selangor, Khir Toyo menuduh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berbohong berhubung perlaksanaan Geran Selangorku mendapat reaksi Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin.

Berikut adalah petikan penuh kenyataan Faekah.

Tindakan Khir Toyo yang menuduh Tan Sri Khalid berbohong benar-benar tidak melambangkan sifat seorang mantan Menteri Besar. Beliau yang mengulas berkenaan pelaksanaan Geran Selangorku kononnya beliau hairan mengapa geran digunakan untuk projek infrastruktur bukan bantuan kepada peniaga kecil.

Khir Toyo sepatutnya menjadi orang terakhir yang boleh komen pasal Geran Selangorku. Dua sebab saya katakan sedemikian;

Geran Selangorku adalah wang yang diperolehi oleh Pakatan Rakyat hasil dari kutipan hutang yang gagal beliau kutip semasa pentadbirannya. Hutang Talam yang kesemuanya lebih 400 juta berjaya dikutip kerajaan hari ini melalui pembayaran tunai dan perolehan aset.

Wang itu jugalah yang kita salurkan semula kepada rakyat melalui 17 program utama. Kegagalan Khir yang dengan sengaja tidak mengutip hutang tersebut sepatutnya menjadikan beliau malu untuk menyebut apa-apa yang berkenaan Geran ini, apatah lagi mencela pelaksanaannya.

Sebab kedua ialah kerana Khir gagal menghadirkan diri semasa Dewan bersidang. Malah upacara pembukaan Dewan oleh DYMM Tuanku juga sanggup di kesampingkannya. Khir Toyo tidak ubah umpama orang buta takutkan tongkat. Lebih tepat lagi, bodoh sombong.

Lain kali elok bertanya jika rasa ragu bukan sekonyong-konyong menuduh orang lain menipu.  Sikap Khir yang suka ponteng Dewan, menjadikannya begitu naÔf dengan program-program yang berada dalam ruang lingkup Geran Selangorku.

Sepanjang yang saya lihat hanya separuh hari sahaja Khir datang ke Dewan itupun bagi menutup malu kerana ditempelak Adun Sekinchan beliau memohon cuti sakit tetapi aktif mengeluarkan kenyataan di blog; laman sosialnya.

Meskipun hebat di dalam Blog namun semasa hadir selama separuh hari tersebut, tidak ada satu patah perkataanpun yang dikeluarkannya di dalam Dewan, jauh sekali untuk berbahas ataupun memberi pandangan bernas. Malang sekali rakyat Sungai Panjang bila Adunnya hanya mampu bermonolog di blog.

Untuk pengetahuan Khir, infrastruktur adalah sebahagian dari program Geran Selangorku dan hanya melibatkan 50 juta, selebihnya adalah untuk belia, wanita termasuklah program keusahawanan.

Kalau Khir boleh memaparkan carta geran, ini bermakna Khir boleh mendapat maklumat tepat  tentang Geran. Nampaknya Khir sengaja menulis di blog sekadar untuk mengadu domba dan berniat jahat.

Geran Selangorku mempunyai Jawatan Kuasa Pemandu yang terdiri daripada pegawai kerajaan dan golongan professional termasuk Timbalan Pengarah JKR, Jurutera JKR dan QS JKR. Mengatakan ianya diterajui pegawai MB memang tersimpang sekali. Apatah lagi, Datoí Menteri Besar langsung tidak terlibat di dalam pemilihan projek mahupun pemilihan kontraktor.

Perlaksanaan geran ini pula dikendalikan oleh Pejabat Tanah Dan Daerah dan PBT yang menjalankan proses tender. Tidak ada satupun projek yang dilakukan secara runding terus. Sekali lagi Khir cuba memperlekeh kewibawaan pegawai kerajaan yang cuba menjalankan tugas dengan telus.

Nampaknya Khir sukar mempercayainya dan begitu janggal sekali. Masakan tidak, semasa pentadbirannya ratusan juta projek dilaksanakan secara runding terus dan lebih hebat lagi projek diberikan kepada pemaju dan kontraktor yang sama. Inilah yang dikatakan orang, jika seseorang itu biasa mencuri, maka dia selalu menyangka orang lain juga akan mencuri sepertinya.

Khir juga sanggup berbohong apabila berkata semasa menjadi MB,  tiada projek kerajaan yang tidak melibatkan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan.

Baru 4 tahun tidak menjadi MB, beliau lupa bahawa projek di bawah ICU langsung tiada jawatankuasa. Semua projek dilaksana setelah mendapat unjuran dari Adun melalui Pengarah Pembangunan Negeri untuk disampaikan kepada ICU untuk dipilih dan pengeluaran waran peruntukan. Ianya langsung tidak melibatkan Pegawai Kewangan mahupun Setiausaha Kerajaan Negeri.

Kerajaan Selangor terpaksa menyediakan Geran untuk infra kerana setelah PR mengambil alih negeri, banyak peruntukan untuk infra tidak disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan. Malah tuntutan Jabatan Pengairan dan Saliran ( JPS ) bagi Rancangan Malaysia Ke-10, sejumlah 1 bilion juga tidak diutamakan.

Apabila banjir berlaku semua pemimpin UMNO-BN Selangor bertempik kononnya pegawai kerajaan tidak cekap mengawal banjir. Bagaimana JPS mahu melaksanakan tugas mereka dengan berkesan jika wang peruntukan penyelenggaraan sungai dan tebatan banjir tidak disalurkan.

Butiran Geran Selangorku telah dibentang pada Exco dan semua data diberikan kepada ADUN semasa Dewan. Hanya ADUN yang benar-benar prihatin kepada kebajikan rakyat akan ambil pusing perkara ini. Bagi ADUN yang suka ponteng, pasti tiada maklumat. Barang pasti golongan ini akan malu bertanya tetapi mahu menunjuk pandai. Golongan inilah yang dikatakan sebagai bodoh sombong, umpama si buta bencikan tongkat.

Faekah Husin.
Setiausaha Politik
Menteri Besar Selangor

Categories
NASIONAL

Tuduhan Najib Razak Berniat Jahat

SHAH ALAM, 28 MAC : Tuduhan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak bahawa Kerajaan Selangor yang dipimpin Pakatan Rakyat  menipu kerana gagal menunaikan janji pilihanraya dibuat tanpa kajian, penuh emosi dan berniat jahat, tegas Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin.

“Berdasarkan kajian kita lakukan, rakyat tidak terlalu menekankan pada janji berupa habuan wang ringgit tetapi lebih kepada tuntutan untuk sebuah pentadbiran yang telus, efisien, bertanggungjawab dan melaksanakan amanah rakyat dengan jujur,” kata Faekah dalam kenyataan media.

Menurut Faekah dalam Pilihanraya Umum 2008, Umno-BN banyak menabur janji kepada rakyat yang kini belum dilaksana malah belum ada tanda janji ini akan dilaksanakan.

“Program Transformasi yang dijanjikan beliau kini jauh dari mencapai sasaran. Perbuatan Najib ini seumpama ‘telunjuk lurus kelingking berkait’, hipokrit dan penuh kepura-puraan,” katanya.

Tambah Faekah, rakyat memahami bukan semua janji berupa imbuhan seperti penurunan cukai pintu dapat dilaksanakan dengan serta merta.

Namun apa yang dituntut rakyat tanpa kompromi ialah sebuah kerajaan negeri yang ditadbir dengan baik dengan pemimpin yang tidak merompak harta rakyat.

“Sebuah kerajaan yang menipu ialah apabila pemimpinnya salah guna wang rakyat seperti dana Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) sebanyak RM250 juta. Menipu wang rakyat ialah apabila pemimpin mendapat komisen lebih RM500 juta hasil pembelian kapal selam Scorpene.

“Menipu wang rakyat ialah apabila pemimpin memutuskan untuk melupuskan hutang kroni terhadap kerajaan, mengutamakan keuntungan kroni berbanding kebajikan rakyat dalam pemberian kontrak kepada Puncak Niaga,” ujarnya.

Faekah berkata lagi , pemimpin-pemimpin beginilah yang sebenarnya menipu rakyat. Justeru, rakyat Selangor tidak lagi percaya dengan Najib dan pemimpin Umno-BN.

“Sebab sepanjang pemerintahan mereka di Selangor, watak-watak pemimpin hipokrit sebegitulah yang berjaya dipamerkan oleh mereka,” tegas beliau.