Categories
SELANGOR

Pejabat Integriti bantu selesai aduan rakyat

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 22 APR: Kewujudan Pejabat Integriti Selangor mampu menyelesaikan banyak masalah rakyat termasuk isu pengurusan sampah dan kualiti turapan jalan.

Exco Kerajaan Prihatin, Kemiskinan dan Pekerja Ladang, Ganabatirau Veraman, berkata ia bukti Kerajaan Negeri komited memberi perkhidmatan terbaik demi kelangsungan pentadbiran demokratik, makmur dan peduli rakyat.

“Walaupun kita melantik kontraktor menerusi tender terbuka dan menjalani proses ketat, malangnya masalah ini masih lagi timbul.

Azmin UNT“Dengan adanya Pejabat Integriti ini, diyakini Kerajaan Negeri dapat menyelesaikan banyak masalah termasuk dua masalah berbangkit ini,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata usaha itu diambil bersandarkan kepada prinsip keterbukaan dan ketelusan bagi merealisasikan pentadbiran bersih dan berintegriti.

“Ini membuktikan Kerajaan Negeri komited memberi perkhidmatan terbaik dengan cara telus dan bebas dari amalan rasuah.

“Kita juga mahu menunjukkan kepada rakyat, sikap pentadbiran amanah dalam menguruskan perbelanjaan,” katanya.

Kerajaan Negeri dalam proses menubuhkan Pejabat Integriti serta menyambut baik cadangan diwujudkan Pegawai Pejabat Hisbah (Ombudsman) berfungsi menyiasat aduan awam.

Pada 20 April lalu, sembilan jabatan di bawah pentadbiran Kerajaan Selangor menandatangani CIP secara serentak.

Langkah itu diambil bagi memperkukuh dan membudayakan nilai integriti dalam pentadbiran dalam usaha memberdaya pentadbiran awam.

EZY

Categories
SELANGOR

MB: Selangor tolak paradigma lama ‘Secrecy is Security’

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 11 NOV: Semua anggota perkhidmatan awam dan kakitangan anak syarikat Kerajaan Negeri dituntut membudayakan nilai integriti, kebertanggungjawaban dan tatakelola yang baik dalam pentadbiran.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, komitmen itu penting dalam menterjemahkan hasrat Kerajaan Negeri yang ingin melihat setiap penjawat awamnya memiliki jati diri merangkumi sikap amanah, keterbukaan dan ketelusan.

“Masyarakat yang demokratik menuntut sebuah pentadbiran yang bijak dan efektif. Oleh itu, pentadbiran kerajaan yang bijak dan efektif memerlukan muafakat kepimpinan.

PKNS tandatangan Ikrar Integriti di SACC MB (7)“Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri menolak pemikiran paradigma lama iaitu ‘Secrecy is Security’. Sebaliknya, Kerajaan Negeri akan menjunjung pentadbiran dan pengurusan berteraskan ‘Transparency is Security’,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) Anak Syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di SACC Convention Centre, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, ‘kerahsiaan’ dalam pentadbiran bukan lagi boleh dianggap sebagai ‘keistimewaan’ (Privilege) Kerajaan kerana ia banyak memberi keresahan dan menimbulkan prasangka di dalam masyarakat.

PKNS tandatangan Ikrar Integriti di SACC MB (5)“Kerahsiaan akan hanya membenihkan amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam sesuatu pengurusan. Kerajaan Negeri berpendirian bahawa, semua perjanjian syarikat konsesi yang membabitkan kepentingan rakyat umum perlu difahami oleh ‘stakeholders’ sebelum ia dimeterai.

“Saya percaya integriti bermula dari diri kita sendiri. Jika kita sentiasa mendukung prinsip ini, kita tidak akan berhadapan masalah kemudian hari,” katanya.

Untuk rekod, Dewan Negeri Selangor (DNS) sudah meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat 2011 dan mula dikuat kuasa 5 Mac 2013 demi kepentingan masyarakat awam.

Melalui enakmen itu, rakyat boleh mengetahui secara mendalam ketelusan minit mesyuarat jawatankuasa meluluskan projek dan maklumat status sesuatu projek

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) minggu lalu sudah mengarahkan Jawatankuasa Kira–kira Wang Awam Negara atau PAC bersama Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Negeri Selangor untuk memantau teguran Ketua Audit Negara ke atas semua Jabatan dan Agensi Negeri.

“Usaha itu diambil bagi memastikan setiap satu mengamalkan tatakelola yang berhemah dan berintegriti dalam mengendalikan urusan kewangan dan proses tender,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Abdul Khalid: “Itulah harga sebuah integriti”

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 19 OGOS: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta maaf kepada rakyat Selangor kerana terpaksa berdepan tempias krisis jawatan Menteri Besar Syang kini hangat diperkatakan baik di kalangan pemimpin juga media.

Abdul Khalid dalam nada tenang membuat ucapan maaf berkenaan di hadapan lebih 100 kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini.

“Saya minta maaf terhadap perhatian yang terpaksa dihadapi oleh anda sekalian. Perkara ini menjadi kebiasaan bagi saya sebagai ahli politik, jadi saya terpaksa menghadapinya.

pk6“Saya minta maaf kerana anda datang ke sini bukan untuk terbabit dalam keadaan ini. Itulah harga sebuah integriti,” katanya.

Pada masa sama, Abdul Khalid turut memetik hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Bukhari berhubung soal amanah iaitu ‘di saat amanah tidak lagi dipegang teguh, maka tunggulah saat kehancuran dan jika sesuatu urusan itu diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran’.

Abdul Khalid juga terus menutup mulut ketika diekori sekumpulan besar wartawan bagi mendapatkan ulasan berhubung kemelut jawatan yang disandangnya.

Beliau tampil dalam acara itu selepas membatalkan dua acara rasmi iaitu pertemuan dengan penjawat awam negeri dan Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Bola Sepak Selangor, semalam.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Penubuhan JK Perwakilan Penduduk kelirukan rakyat

teng chang kim limSHAH ALAM 8 NOV : Kerajaan negeri menyifatkan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) yang ditubuhkan kerajaan pusat bagi menyokong program pembangunan masyarakat tidak mendatangkan manfaat dan mengelirukan rakyat kerana peranannya sama dengan ahli majlis.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Teng Chang Khim, berkata beliau kesal apabila kerajaan pusat bertindak mengumumkan perkara itu tanpa merujuk kepada kerajaan negeri terlebih dahulu.

Beliau berkata, Selangor sudah menubuhkan JPP mengikut zon sebelum ini dan perkara itu sudah dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Negara, bulan lalu.

“Selangor sudah mempunyai JPP yang ditubuhkan pada tahun 2008 dan jumlahnya bergantung kepada zon di setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Oleh itu, saya minta kerajaan pusat berbincang dengan kerajaan negeri supaya tidak berlaku pertindihan kuasa dan kita tidak mahu ada dua kumpulan JPP yang berlainan,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, berkata fungsi JPP yang dicadangkan kerajaan pusat didapati sama dengan tugas ahli majlis dan mungkin melanggar Perlembagaan.

Katanya, JPP yang tertumpu di kawasan bandar itu akan mensasarkan PBT di negeri Pakatan Rakyat (PR) dan mungkin bertujuan bersaing dengan ahli majlis lantikan kerajaan negeri.

“Kalau mereka ikhlas untuk membangunkan JPP, lebih baik peruntukan itu diberi kepada JPP sedia ada dan tidak perlu wujudkan dua kumpulan,” katanya. -NFN-

Categories
SELANGOR

Maahad Tahfiz Integrasi Sains diwujud di setiap daerah

halimah-01a

BANGI 8 NOV: Kerajaan Selangor mensasarkan untuk mewujudkan sekurang-kurangnya sebuah sekolah Maahad Tahfiz Integrasi Sains dan sebuah Sekolah Kafa Menengah di setiap daerah di negeri itu.

Rancangan itu dibuat bagi melahirkan modal insan yang bukan sahaja memiliki ilmu duniawi untuk menjana kemajuan Selangor tetapi mempunyai pegangan agama yang mantap.

halimah 02Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali, berkata sehingga kini kerajaan negeri sudah mewujudkan Maahad Tahfiz Intergrasi Sains di tiga buah daerah.

“Kita mahukan generasi yang mantap Al-Quran kerana itu adalah sumber ilmu yang akan membentuk pembangunan negeri dalam acuan yang murni, selain memiliki kepakaran ilmu sains dan teknologi dalam usaha menjadikan Selangor negeri maju.

halimah 03“Kita komited melahirkan modal insan yang mempunyai gabungan kepakaran ilmu sains teknologi dan kemantapan pegangan agama kerana ini adalah proses perlaksanaan Manifesto Pakatan Rakyat Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu,” katanya pada Majlis Perasmian Kompleks Pendidikan Islam Bangi (KPi Bangi), di sini, hari ini.

Pembinaan KPi Bangi yang dianggarkan menelan kos RM2.7 juta itu turut menerima sumbangan RM240,000 dari kerajaan negeri dan selebihnya hasil sumbangan daripada orang perseorangan, masyarakat Bangi dan kutipan daripada pelbagai aktiviti yang dijalankan.

Penaung KPi Bangi, Dr Tajul Ariffin Noordin, berkata pihaknya masih memerlukan dana tambahan bagi tujuan pembinaan bumbung di Dataran KPi Bangi bagi kemudahan pelajar mengadakan pelbagai aktiviti.

halimah 04KPi Bangi yang mempunyai sebuah bangunan tiga tingkat itu turut memiliki kelengkapan kemudahan asas serba moden seperti auditorium, dewan serba guna, bilik mesyuarat, bilik transit lelaki, bilik tasmi perempuan, makmal komputer, makmal Bahasa Arab, perpustakaan, bilik guru dan tiga buah kelas.

KPi Bangi turut menempatkan Sekolah Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (Taski), Sekolah Agama Kafa dan Sekolah Menengah Kafa Tahfiz (Faiz) itu mempunyai hampir 600 orang pelajar dengan dikendalikan 25 tenaga pengajar. -NFN-

Categories
SELANGOR

Malaysia wajar bina institusi pengajian tinggi sukan

Yunus HairiSHAH ALAM 8 NOV : Kerajaan pusat perlu mewujudkan sekurang-kurangnya sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) khusus untuk pembangunan sukan dalam usaha meningkatkan taraf profesionalisme ahli sukan atau atlet di Malaysia.

Exco Belia dan Sukan Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata pembangunan institusi sukan secara terancang memberi peluang kepada atlet negara meneruskan pelajaran di peringkat tertinggi, sekali gus menjadikan sukan sebagai industri penting yang memberi keuntungan kepada negara.

Katanya, atlet juga dapat meningkatkan kemahiran mereka dalam acara dan permainan diceburi secara lebih konsisten dengan kelengkapan fizikal dan saintifik yang lengkap melalui penubuhan IPT sukan itu.

“Kita juga dapat mendidik rakyat bahawa sukan bukan sahaja sekadar aktiviti sampingan tetapi membabitkan masa depan kerjaya yang baik dengan kelulusan sijil ditahap tinggi,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas usul yang dibentangkan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan yang mencadangkan supaya kerajaan pusat mewujudkan kolej universiti sukan bagi melahirkan atlet yang bukan sahaja maju tetapi berintelektual tinggi di Dewan Rakyat, semalam.

Ahmad Yunus berkata, beliau turut mencadangkan kawasan Bukit Jalil dijadikan lokasi pembangunan IPT itu bagi mengurangkan kos pembinaan jika kerajaan pusat bersetuju.

“Mungkin pembangunan IPT pertama sukan negara juga boleh dibuat di Selangor selaku negeri yang menjadi tumpuan pembangunan di Malaysia. Kita juga mempunyai Stadium Shah Alam yang diiktiraf sebagai antara stadium terbaik di negara ini.

“Justeru, saya berharap kerajaan pusat dapat mempertimbangkan cadangan ini dan merealisasikannya, sekurang-kurangnya sebelum tahun 2020,” katanya.

-NFN

Categories
SELANGOR

Pembangunan ekonomi Malaysia perlu bebas dan adil

mb tppaSHAH ALAM 8 NOV : Pembangunan ekonomi Malaysia dilihat masih memerlukan pelaburan dan perdagangan antarabangsa, namun pelaksanaannya harus dilakukan secara bebas serta adil.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata lebih 60 peratus peluang ekonomi masih bergantung kepada perdagangan antarabangsa ekoran pasaran dalaman negara yang kecil sejak ekonomi Malaysia mula berkembang hingga kini.

Katanya, hal itu dilihat merujuk kepada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang kini dalam proses rundingan kerajaan pusat.

“Setiap orang mesti terima hakikat dan setuju bahawa kita tidak boleh lari daripada membuat hubungan dagangan antarabangsa dan rasanya tidak ada siapa menghalang.

“Namun, perlu diingatkan walaupun diterima tetapi pihak bertanggungjawab harus memastikan bahawa perjanjian perdagangan yang ditandatangani itu adil kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 100 hadirin terdiri daripada kakitangan kerajaan negeri, syarikat berkenaan kerajaan (GLC) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di majlis Taklimat TPPA yang diadakan di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Sesi taklimat TPPA itu disampaikan tiga ahli panel khas iaitu Profesor Gus Van Harten (Kanada), Pablo Solon (Bolivia) dan Cecilia Olivet (Uruguay), selain turut disertai Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Mengulas mengenai TPPA, Abdul Khalid berkata, perjanjian yang bakal ditandatangani Kerajaan Pusat pada awal tahun depan itu juga mampu memberi impak kepada kerajaan negeri.

“Contohnya, jika TPPA menyatakan pemberian kontrak harus terbuka kepada semua termasuk syarikat multinasional, namun Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pula bertindak memberi peluang kepada pengusaha bumiputera atas nama ingin membantu masyarakat, kita boleh disaman.

“Mereka boleh bawa Selangor ke mahkamah kerana tidak mematuhi syarat yang tertulis dalam perjanjian dan kita juga berpeluang untuk disaman dan bakal menyebabkan rakyat rugi,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berharap taklimat yang diadakan itu memberi pengetahuan kepada orang ramai dalam memahami kesan TPPA, selain meminta kerajaan Ppsat dapat membuat keputusan yang menguntungkan rakyat. -NFN-

Kerajaan Selangor bantu penduduk Kg. Buloh Telor atasi tebing sungai runtuh

Sinopsis

FOKUS Untuk 07112013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT . Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Penduduk Kampung Buloh Telor kini boleh menarik nafas lega apabila runtuhan tebing sungai yang merosakkan satu-satunya jalan menghubungkan perkampungan Orang Asli itu akan dibaiki sepenuhnya tidak berapa lama lagi.

2. Kerajaan Selangor komited membantu meningkatkan taraf kehidupan penduduk Kampung Buloh Telor dengan menyediakan pelbagai prasarana untuk kemudahan penduduk kampung Orang Asli itu.

3. Tourism Selangor dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) komited untuk menjayakan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 dengan mengambil inisiatif mempromosikan tempat pelancongan dan rekreasi di sekitar Selayang.

4. Pertubuhan Sukarelawan Islam Hospital Selangor (SAHABAT) adalah pertubuhan berdaftar yang ditubuhkan bagi membantu dan memberikan sokongan untuk memenuhi keperluan sosial, kebajikan serta emosi pesakit ketika menjalani rawatan serta pemulihan di hospital.

5. Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kekal fokus dalam usaha membangun sektor infrastruktur pengangkutan awam dan pengurusan lalu lintas yang efisyen serta berintegrasi bagi memastikan kemudahan juga keselesaan penduduk sekitar.

Categories
SELANGOR

Malaysia berdepan saman jika TPPA dimeterai

tppaKUALA LUMPUR 7 NOV : Kerajaan Malaysia bakal berdepan risiko saman daripada firma gergasi jika berkeras melaksanakan penyelesaian pertikaian pelaburan negara (ISDS) dengan menandatangani rundingan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah, berkata walaupun ramai berpendapat ISDS penting kerana digunapakai di banyak negara, namun mekanisma itu hanya menguntungkan pelabur asing dan menyebabkan pelabur tempatan jatuh ke kelas kedua.

Katanya, kerajaan disaran mewujudkan tabung khas jika Malaysia disaman syarikat gergasi berikutan kosnya yang tinggi, selain dinasihatkan bersedia menerima risiko pasca menandatangani TPPA.

“Ini adalah masalah serius jika perjanjian ini dimeterai tanpa mengetahui bebanan yang akan ditanggung negara dan menjejaskan generasi masa depan termasuk ekonomi Malaysia.

“Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) sudah bertemu dengan pakar ISDS dan berpendapat kita tidak boleh terima tanpa teliti kandungan hitam putih setiap bab TPPA yang bakal ditandatangani Malaysia,” katanya pada sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.

Katanya, PR tidak pernah menolak sebarang urusan perdagangan, namun pelaksanaan undang-undang itu bakal menjerut ramai pihak dan tidak harus diterima pakai.

Beliau berkata, TPPA harus dihentikan terutama apabila Amerika Syarikat didapati membuat intipan menggunakan kedutaan dan suruhanjaya tinggi mereka di Kuala Lumpur ke atas Malaysia.

“Kita mesti hentikan ini terutama selepas mendapat tahu apa yang dilakukan Amerika ke atas Malaysia dan kerajaan perlu dapatkan penjelasan.

“Malaysia perlu mencontohi Kesatuan Eropah yang menghentikan akses perbankan Amerika selepas mengetahui mereka menjalankan intipan ke atas negara itu,” katanya.

-NFN

Categories
SELANGOR

Reformasi Agihan Kuasa

sim-tze-tzimKUALA LUMPUR 7 NOV : Malaysia perlu melaksanakan desentralisasi kuasa atau reformasi total pada peringkat pengagihan kuasa dalam usaha menjadikan kerajaan lebih cekap.

Ahli Parlimen Bayan Baru (DAP), Sim Tze Tzin, berkata proses desentralisasi membolehkan kuasa diagihkan dengan lebih adil antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Sebagai contoh di Amerika Syarikat, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dikutip kerajaan tempatan, bukannya kerajaan pusat.

“Begitu juga di negara jiran Indonesia yang melaksanakan ‘Big Bang Policy’, desentralisasi kuasa kerajaan pusat kepada kerajaan tempatan,” katanya ketika sesi perbahasan Bajet 2014 di Sidang Parlimen malam tadi.

Tze Tzin berkata, kuasa yang seharusnya berada di bawah kerajaan negeri dipindahkan kepada kerajaan pusat, antaranya tanah dan air, sejak merdeka.

Pemusatan kuasa itu bukan sahaja menyebabkan pelbagai masalah atau isu tempatan tergantung tetapi terus meningkatkan hutang negara.

“Malaysia mempunyai 35 menteri dan 26 timbalan menteri, tetapi Australia dengan kadar penduduk yang agak sama hanya mempunyai 19 menteri sementara Obama hanya memerlukan 15 menteri sahaja.

“Keadaan pemusatan kuasa ini menyebabkan bajet mengurus menjadi besar dan melonjak sehingga 82.4 peratus, berbanding perbelanjaan pembangunan pada kadar 17.6 peratus sahaja,” katanya.

-NFN-

Kerajaan Selangor sedia jadi ‘orang tengah’ antara nelayan dan Kerajaan Pusat

Sinopsis

FOKUS Untuk 06112013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT . Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Kerajaan Selangor akan terus membantu nasib golongan nelayan yang terjejas ekoran penguatkuasaan baru Kerajaan Pusat dengan berusaha mengadakan pertemuan antara kedua belah pihak.

2. Isu mogok nelayan di seluruh negara wajar diselesaikan dengan kadar segera Kerajaan Pusat demi kebaikan rakyat dan golongan nelayan, tegas Adun Sekinchan, Ng Suee Lim.

3. Sebanyak 1,000 wisel diedarkan kepada orang awam oleh wanita DAP Selangor bagi membendung jenayah ragut dan rompak di sekitar pasar borong Seri Kembangan, di sini, baru-baru ini.Majlis Perbandaran Klang (MPK) bersiap sedia dengan menjalankan kerja-kerja pembersihan terutama longkang besar dan kolam tadahan banjir untuk berhadapan bencana alam terutama banjir.

4. Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengakui Selangor menjadi pilihan sebagai ‘destinasi’ utama kegiatan jenayah seperti kes tembakan dan gejala sosial lain yang dipercayai berpunca daripada kepadatan penduduk.

5. Peniaga di Medan Selera Prima Dua, di sini, dinasihatkan supaya mementingkan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan dan minuman selain mematuhi peraturan yang ditetapkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

6. Pasangan suami isteri, Mohd Dawam Dollah dan Noraisah Hassan dianugerahkan Tokoh Keluarga Mithali dalam Majlis Ambang Hijrah dan Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor 1435H di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Categories
SELANGOR

EKSKLUSIF SIRI 2 : Polis akui Selangor ‘destinasi’ utama jenayah

jenayahSHAH ALAM 6 NOV : Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengakui Selangor menjadi pilihan sebagai ‘destinasi’ utama kegiatan jenayah seperti kes tembakan dan gejala sosial lain yang dipercayai berpunca daripada kepadatan penduduk.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata rakyat negeri itu terdiri daripada pelbagai kaum dan warganegara asing yang sering berkunjung atas pelbagai urusan, yang mana ada di kalangan mereka didapati mengambil kesempatan melakukan jenayah.

Katanya, indeks jenayah  di Malaysia juga secara keseluruhannya banyak dipengaruhi kejadian di Selangor dengan kadar kira-kira 40 peratus.

“Kebiasaannya, indeks jenayah  di Malaysia bergantung kepada kadar di Selangor kerana negeri ini termasuk di kawasan Lembah Klang. Walaupun terdapat peningkatan kes jenayah sebanyak lima peratus sehingga Ogos lalu, namun polis Selangor berjaya mengurangkannya kepada enam peratus,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, baru-baru ini.

Shukri berkata, tidak adil bagi sesetengah pihak untuk membuat dakwaan bahawa polis gagal menjalankan tugas dengan baik dalam menangani kes berkenaan, namun beliau tidak menafikan bahawa jenayah di Selangor membimbangkan dan pihaknya sentiasa berusaha memantau serta menangani masalah itu secara agresif.

“Tidak bermakna jika Selangor penuh dengan cerita jenayah, maka orang ramai menganggap polis tidak membuat kerja. Kita tidak nafikan jenayah di Selangor perlu ditangani secara agresif, tetapi polis sentiasa menggerakkan anggota kami dan berusaha mengurangkan jenayah atau gejala sosial yang berlaku di negeri ini secara holistik,” katanya.

Beliau berkata, OPS Cantas Khas dan sekatan jalan raya yang sering diadakan di beberapa kawasan tumpuan di negeri itu berjaya mengurangkan kadar jenayah kepada empat hingga enam peratus sehingga awal bulan ini.

“Usaha ini akan diteruskan polis Selangor sebagai salah satu pendekatan membanteras jenayah, selain memantapkan strategi bagi memastikan keadaan dan keselamatan rakyat kembali terkawal.

“Selain itu, tidak dinafikan pemansuhan dua undang-undang iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO) juga memberi kesan kepada peningkatan jenayah di negara ini.

Katanya, pelaksanaan kedua-dua undang-undang tanpa bicara itu berkesan untuk menghalang penjenayah daripada melakukan kesalahan kerana mereka diletakkan di dalam kem tahanan dalam tempoh tertentu.

Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan Selangor mencatatkan indeks jenayah tertinggi berbanding negeri lain membabitkan jumlah 32,348 kes sepanjang Januari hingga September tahun ini.

Daripada jumlah itu, kes curi motosikal menunjukkan kekerapan tertinggi dengan 9,698 kes, diikuti kes pecah rumah dan curi (5,682), samun berkumpulan tanpa senjata api (4,583) dan curi motokar (4,370), manakala 293 kes rogol dicatatkan, kes bunuh (124), ragut (698) serta mencederakan (868).

Kedudukan jenayah di Selangor juga dicatatkan sebagai tertinggi sejak lima tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2008 (57,752 kes), 2009 (54,994), 2010 (49,469), 2011 (44,302) dan 2012 (40,629).

Selain itu, Selangor mempunyai kes kesalahan narkotik paling tinggi dengan 18,602 tangkapan, manakala 18,063 sudah ada dalam kes polis membabitkan kes pengedaran, pemilikan, penyalahgunaan dan penagihan dadah, selain kekal di tangga teratas mencatatkan kira-kira 15 kes kematian berpunca daripada tembakan, bermula Januari hingga September lalu.

-NFN-