Categories
PBT SELANGOR

Tak patuh SOP, MBPJ arah tujuh premis ditutup

SHAH ALAM, 18 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengarahkan tujuh premis ditutup kerana tidak mematuhi syarat kesihatan dan pelesenan.

Penolong pengarah komunikasi korporatnya berkata kesalahan itu termasuk tidak mendapatkan suntikan imunisasi typhoid, gagal melaksanakan kawalan serangga dan binatang perosak, premis tidak diselenggara dengan baik serta menjalankan perniagaan tanpa lesen.

“Sebanyak sembilan premis diperiksa dan daripada jumlah itu tujuh diarahkan tutup serta 23 kompaun turut dikeluarkan,” kata Ahmad Iskandar Mohamad Mukhtar dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah operasi pemantauan dan pemeriksaan tersebut dijalankan Unit Penguatkuasaan Kesihatan Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Persekitaran MBPJ pada 14 Julai lalu.

Ahmad Iskandar juga menasihati pemilik premis mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negara seperti jarak antara meja, penggunaan cecair pembasmi kuman, pemeriksaan suhu badan serta mendaftar di aplikasi Selangkah atau manual sebelum masuk ke premis.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP Bersyarat dilonggar tak bermakna kembali cara hidup asal

KUALA LUMPUR, 10 MEI: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei lepas, yang menyaksikan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan untuk beroperasi semula, bukanlah bermakna orang ramai boleh kembali kepada kehidupan mereka sebelum PKP dikuatkuasakan.

PKP dikuatkuasakan selama 47 hari bermula 18 Mac bagi membendung penularan virus Covid-19 dan setelah melalui empat fasa dengan peraturan yang ketat dan menunjukkan kejayaan dalam memastikan jangkitan Covid-19 semakin berkurangan, PKPB dilaksanakan pula dengan kelonggaran tertentu tetapi perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM).

Keputusan diambil kerajaan itu pastinya berdasarkan garis panduan antarabangsa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) serta Majlis Keselamatan Dalam Negeri yang mana pematuhan terhadap SOP perlu dititikberatkan oleh semua majikan dan pekerja serta orang ramai.

Pengarah Pejabat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mohd Rafee Baharudin berkata kelonggaran beroperasi yang diberikan kerajaan kepada syarikat dalam tempoh PKPB bukan lesen untuk memulakan operasi seperti sedia kala.

“Majikan mestilah mempunyai mekanisme bagi memantau setiap pekerja mereka supaya sentiasa mematuhi SOP KKM. Satu pemeriksaan ke atas pematuhan itu mestilah dibuktikan oleh majikan kepada pihak berkuasa yang dilantik.

“Perkara ini sangat penting memandangkan tahap pengetahuan dan kesedaran dalam kalangan pekerja adalah berbeza-beza. Perbezaan kefahaman dan amalan menjaga kebersihan ini perlu diberi keutamaan yang sewajarnya oleh majikan,” katanya kepada Bernama.

Mohd Rafee berkata setiap pekerja juga hendaklah menjalani latihan kesedaran dan membuat akujanji akan mematuhi setiap langkah pencegahan penularan virus Covid-19.

“Sikap buat tidak tahu atau mengambil jalan mudah akan memungkinkan bakal wujud satu kluster baharu di tempat kerja,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pekerja mengamalkan aspek pengurusan kendiri seperti mengisytihar status kesihatan harian dengan jujur dan sekiranya mempunyai gejala demam, batuk, sakit tekak dan kesukaran bernafas, segera maklumkan kepada majikan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bagi Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Prof Dr Jamal Othman, PKPB adalah satu pendekatan menyeimbangkan keperluan untuk aktiviti ekonomi berfungsi demi kelangsungan mata pencarian dan keperluan untuk membendung penularan wabak Covid-19.

“Kita menganggap pandemik ini akan terus bersama kita untuk satu tempoh yang agak lama. Namun ekonomi perlu dibenarkan berfungsi secara terkawal demi kemaslahatan dan kesejahteraan masyarakat.

“Jika PKP diteruskan, misalnya untuk dua minggu lagi tanpa stimulus ekonomi, negara boleh mengalami kerugian sebesar dua peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

Beliau, yang juga Ketua Kluster Ekonomi dan Kesejahteraan Sosial Akademi Profesor Malaysia berkata, tiba masanya kerajaan melaksanakan PKPB setelah mengambil kira petunjuk-petunjuk kesihatan dan keperluan membuka ekonomi demi kelangsungan mata pencarian rakyat.

Bagaimanapun, katanya sangat penting difahami PKPB tidak bermakna rakyat telah keluar daripada PKP, bahkan mereka perlu memberikan kerjasama untuk mematuhi syarat-syarat PKPB agar penularan pandemik Covid-19 dapat terus dibendung.

Dalam pada itu beliau juga senada dengan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang menyatakan keputusan membenarkan sebahagian aktiviti ekonomi disambung kembali mulai 4 Mei lepas bukan satu tindakan tergesa-gesa memandangkan kerajaan telah mengkaji dan memastikan negara memenuhi syarat yang ditetapkan WHO.

“Ya, saya beranggapan kerajaan telah mengambil kira saranan WHO seperti kadar kebolehjangkitan pandemik Covid-19 yang rendah, bilangan kes aktif semakin berkurangan, kadar sembuh tinggi serta kesediaan negara dari segi kemudahan perawatan.

“Daripada pengamatan saya prestasi Malaysia dalam mengawal penularan wabak Covid-19 selama ini setanding dengan Korea Selatan dan ini sesuatu yang harus kita banggakan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Misteri Covid-19, dunia bagai terhenti

SEJAK pertama kali dikesan di Wuhan, China pada akhir Disember lalu, koronavirus baharu atau Covid-19 kini merebak ke lebih 100 negara dalam tempoh tiga bulan.

Dengan jangkitan mencapai lebih 118,000 orang dan kematian mencecah angka 4,000 setakat 10 Mac lalu, wabak itu dianggap antara malapetaka kesihatan terbesar di dunia. Apatah lagi, orang kenamaan turut dijangkiti termasuk Timbalan Menteri Kesihatan Iran, Iraj Harirchi dan Menteri Kesihatan United Kingdoms, Nadine Dorries.

Sekalipun China mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 80,868 kes membabitkan 3,111 kematian, kadar kes itu mula menurun sejak awal Mac. Hanya 40 kes dicatatkan pada 8 Mac lalu, berkurangan 44 kes berbanding sehari sebelumnya.

Ironinya, sebahagian jangkitan di Negara Tembok Besar – lokasi asal wabak – ‘diimport’ dari negara lain membabitkan 67 kes setakat 10 Mac lalu. Di Shanghai pada 6 Mac lalu, 11 orang yang masuk ke China melalui penerbangan komersial dari Iran, disahkan positif Covid-19. Sehari sebelumnya, empat kes baharu dicatat, semuanya dari Itali.

Sebaliknya, kes di negara-negara lain naik mendadak. Sehingga jam 10 pagi pada 11 Mac lalu, 10,149 kes dicatatkan di Itali, Korea Selatan (7,513 kes), Iran (8,042 kes), Perancis (1,784 kes), Sepanyol (1,695 kes) dan Jerman (1,565 kes). Brunei, Mongolia, Guernsey, Cyprus dan Panama pula lima negara terbaru mencatat kes Covid-19.

Jarang jangkiti kanak-kanak

Penyelidik masih bertungkus-lumus mencari penawar Covid-19. Pelbagai kesimpulan dicapai termasuk virus itu jarang menjangkiti kanak-kanak berbanding golongan dewasa.

Mengikut laporan Misi Bersama China-Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bulan lalu, cuma 2.4 peratus kes di China melibatkan kanak-kanak, itupun kes ringan. Setakat 6 Mac, tiada kematian kanak-kanak berlaku.

“Biasanya koronavirus menjejaskan kanak-kanak dan orang dewasa tetapi kali ini, atas sebab tidak diketahui, lebih banyak memudaratkan orang dewasa,” kata pakar pediatrik penyakit berjangkit Klinik Kanak-Kanak Cleveland, Dr Frank Esper.

Selain itu, 2.8 peratus lelaki yang dijangkiti mati berbanding wanita 1.7 peratus berdasarkan kajian Pusat Kawalan Penyakit China membabitkan 44,000 pesakit. Dr Bharat Pankhania dari Universiti Exeter percaya faktor gaya hidup antara punca kadar kematian lelaki lebih tinggi.

“Merokok merapuhkan paru-paru. Sudah tentu sukar melawan (penyakit),” kata Dr Nathalie MacDermott dari King’s College London pula, merujuk 52 peratus lelaki di China merokok berbanding wanita tiga peratus.

Cuaca sejuk risiko tinggi?

Pakar perubatan juga mengkaji sama ada wujud faktor cuaca dan suhu yang mendorong virus merebak. Penyelidik Universiti Sun Yat-Sen di ibu kota wilayah Guangdong selatan China merumuskan suhu purata 8.72 darjah Celsius paling ideal untuk Covid-19 tersebar pantas.

Mengikut South China Morning Post, kajian yang terbit bulan lalu menyebut “virus itu sangat sensitif terhadap suhu tinggi”. Justeru, kajian itu menyarankan negara beriklim sejuk menggandakan kewaspadaan.

Kajian kumpulan penyelidik Guangzhou mendapati penularan boleh berlaku dalam pelbagai keadaan sama ada kawasan sejuk, kering mahupun kawasan tropika. Ia berdasarkan penyelidikan terhadap kes Covid-19 antara 20 Januari hingga 4 Februari termasuk 400 bandar dan wilayah di China.

“Suhu ada impak terhadap kehidupan manusia (dan) mungkin memainkan peranan penting dalam kesihatan awam dari segi perkembangan dan kawalan epidemik,” kata kajian itu.

Aktiviti terhenti?

Penyebaran wabak mengakibat banyak kegiatan manusia pada skala besar, dari sukan, politik mahupun sosial, terpaksa ditangguh.

Di Itali, negara kedua terburuk mengalami wabak Covid-19, kerajaannya pada 10 Mac lalu menangguhkan semua kejohanan sukan termasuk Serie A. Malah, perlawanan terbesar dua gergasi bola sepak Juventus dan Inter Milan diadakan di stadium tanpa penonton.

Ketakutan terhadap wabak itu juga menimbul panik. Di Iran, 36 orang mati mankala 270 lagi dirawat akibat keracunan alkohol gara-gara berita palsu, kononnya alcohol tiruan mampu merawat Covid-19.

Kerajaan Arab Saudi pula menggantung sementara kemasukan jemaah ke Mekah dan Madinah, mengakibat beribu-ribu orang terkandas. Visa pelancongan negara yang diancam Covid-19 juga digantung.

Penduduk Korea Selatan pula ada rutin baharu memanaskan wang kertas sehingga 150 darjah Celsius selama dua hingga tiga saat sebelum digunakan. Bank Pusat Korea Selatan juga membuat pengasingan wang kertas selama dua minggu berikutan “virus mati selepas sembilan hari”. Sebahagian wang juga dibakar.

Di sebalik keributan itu, pencemaran alam di China turun drastik bagi dua bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu. Ini berikutan penurunan kadar nitrogen dioksida akibat lumpuhnya kebanyakan industri pembuatan kereta dan kilang lain.

Malaysia pula walaupun penyebaran virus terkawal sektor pelancongannya mengalami kerugian jutaan ringgit ekoran pembatalan tempahan hotel dan pelbagai pakej pelancongan. Pelbagai program juga terpaksa dibatalkan.

Categories
PENDAPAT RENCANA

Bahaya influenza dan kaedah rawatan

INFLUENZA ada sejarah panjang yang hitam dalam kehidupan manusia. Pada tahun 2018, genaplah 100 tahun malapetaka kesihatan dalam sejarah moden manusia.

Pada awalnya, 1918, influenza hanya disebut sebagai “selesema Sepanyol”. Namun, masih ramai yang menganggap jangkitan tersebut tidak berbahaya sekalipun virus itu membunuh 650,000 manusia setiap tahun. Lebih parah, influenza merebak pantas, bahkan sentiasa bermutasi hingga muncul virus baru, dari influenza A, B dan C.

Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), wabak itu dilaporkan meragut satu hingga dua juta nyawa pada 1957 apabila jangkitan virus yang bermula di China tersebar ke seluruh dunia. Pada 2003, muncul pula influenza A (H5N1), atau selesema burung, yang boleh berjangkit dari haiwan kepada manusia tetapi ia hanya dianggap tahap epidemik.

H5N1 tidak menjangkiti manusia kepada manusia. Jangkitan mencapai tahap pandemik apabila virus menyerang dalam skala besar. Umpamanya selesema babi yang bermula di Mexico pada 2009, kemudian merebak ke 214 negara pada kadar cepat.

Dalam masa singkat, kira-kira 105,000 hingga 395,000 orang meninggal dunia akibat selesema babi – digelar sedemikian kerana virus itu bermula dari haiwan berkenaan sebelum ia merebak kepada manusia.

Di Malaysia, kes pertama berlaku pada Mei 2009 apabila seorang pelajar berusia 21 tahun yang baru pulang dari Amerika Syarikat dikesan positif influenza A (H1N1). Mangsa mengalami demam, sakit tekak dan sakit badan kemudian dirawat di Hospital Sungai Buloh sebelum keadaannya kembali stabil.

Sekitar sebulan kemudian, kes pertama penularan tempatan dikesan di Malaysia apabila seorang pelajar perempuan 17 tahun yang tiada sejarah mengunjungi negara luar dijangkiti. Jangkitan berlaku akibat kelemahan kuarantin.

Sejenis selesema biasa?

Secara am, ada beberapa persamaan antara selesema biasa dengan jangkitan influenza. Seperti simpton selesema biasa, influenza juga menyebabkan hidung berhingus, tersumbat dan bersin akibat jangkitan pada saluran pernafasan. Namun, kadarnya jauh lebih cepat dan lebih bahaya.

Sebenarnya, wabak itu terjadi mengikut musim. Bagi negara beriklim sederhana, penularan jangkitan itu ada variasi yang jelas dengan kemuncaknya berlaku pada musim sejuk. Namun bagi negara rantau tropika termasuk Malaysia, tiada musim penularan influenza yang jelas. Dengan kata lain, ia boleh berlaku sepanjang tahun.

Perbezaan influenza

Ada tiga jenis influenza iaitu A, B dan C. Kategori A dikenal pasti paling berbahaya kerana ia boleh menjadi pandemik. Berbanding influenza B yang hanya menjangkiti manusia, influenza A juga boleh menular kepada haiwan. Keadaan ini menjadikan influenza A lebih mudah tersebar.

Virus influenza A yang menjangkiti haiwan boleh tersebar kepada manusia melalui cecair daripada mulut haiwan. Lazimnya, penternak ayam, itik atau babi mudah dijangkiti. Istilah selesema burung dan selesema babi merujuk kepada virus influenza A yang dijangkiti manusia daripada haiwan. Walaupun kes sedemikian jarang berlaku tetapi simptomnya jauh lebih teruk dan risiko maut lebih tinggi.

Influenza B pula, walau sesekali mendatangkan bahaya, tetapi ia kurang teruk berbanding influenza A. Walaupun sering berlaku tetapi influenza B hanya ditemui dalam kalangan manusia sahaja sekali gus kadar penyebarannya lebih terkawal. Namun, ia berpotensi mengakibatkan simptom yang teruk. Tidak seperti virus A, ia tidak menyebabkan pandemik.

Influenza C juga boleh menjangkiti manusia tetapi lebih ‘ringan’, jarang berlaku dan bukan bersifat epidemik. Kadang kala, orang yang dijangkiti tidak menunjukkan sebarang tanda.

Simptom

Tanda-tanda dijangkiti boleh dikesan melalui simptom demam panas, batuk, sakit kepala, sakit tekak, menggigil, muntah, sukar bernafas, letih lesu, cirit-birit dan sakit perut. Selain itu, ada juga kes pesakit mengalami muntah darah. Kerap kali juga jangkitan virus sekadar menyebabkan gejala jangkitan pada orang yang memiliki tahap kekebalan tubuh yang baik.

Justeru, ibu bapa perlu sentiasa memantau tahap kesihatan anak masing-masing kerana kanak-kanak khasnya berusia bawah lima tahun antara golongan yang mudah dijangkiti. Namun, golongan paling berisiko adalah wanita hamil, warga emas berumur 65 tahun ke atas, individu dengan penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi atau asma, dan individu obes.

Individu yang memiliki daya ketahanan tubuh yang rendah seperti pesakit barah, penghidap HIV, pesakit yang menjalani kemoterapi juga berisiko tinggi untuk dijangkiti.

Cara paling berkesan untuk mengelakkan dijangkiti ialah melalui pengambilan vaksin kerana ia berkesan untuk semua golongan termasuk kanak-kanak.

Vaksin yang boleh didapati di kebanyakan klinik perlu diambil secara tahunan kerana formulasi vaksin influenza dikemas kini berdasarkan saranan WHO. Formulasi itu bagi memastikan kandungan vaksin sepadan dengan virus berikutan strukturnya berubah-ubah mengikut musim. Proses itu dikenali sebagai antigenic drift.

Rawatan awal

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihati orang ramai agar mengamalkan lapan langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan.

  • Dapatkan rawatan segera jika ada simptom tertentu termasuk demam panas, batuk, sakit kepala, sakit tekak, menggigil, muntah, cirit-birit dan letih lesu.
  • Elakkan berjumpa saudara mara, rakan atau tempat awam.
  • Pakai penutup hidung jika berada di tempat awam.
  • Tutup hidung dan mulut dengan sapu tangan, tuala atau tisu apabila batuk atau bersin. Tisu yang sudah dipakai hendaklah dibuang.
  • Kerap membasuh tangan menggunakan sabun terutama selepas batuk atau bersin.
  • Elak berkongsi barangan peribadi seperti sapu tangan dan tuala.
  • Pastikan pengudaraan dan cahaya yang baik di rumah atau tempat kerja.
  • Bersihkan lantai dan meja yang tercemar dengan cecair hidung dan mulut.
Categories
NASIONAL

Kementerian Kesihatan alu-alukan siasatan SPRM terhadap dakwaan monopoli ubat

PUTRAJAYA 16 JUN: Kementerian Kesihatan mengalu-alukan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dakwaan sebuah syarikat memiliki monopoli ke atas bekalan ubat-ubatan di negara ini, kata menterinya Dr Dzulkefly Ahmad.

“Kementerian tiada masalah (siasatan oleh SPRM)…tetapi mesti ada bukti dan bukannya tuduhan begitu sahaja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2018 di Seri Perdana di sini, semalam.

Beliau berkata kementeriannya memberi perhatian terhadap tuduhan monopoli ubat-ubatan itu, sambil menambah “jika ada salah laku, maka SPRM akan mengambil tindakan”.

Katanya lagi, kementerian kesihatan mahu melakukan yang terbaik dengan tadbir urus yang bertanggungjawab.

“Kita kena tahu pasaran ada sentimen dan kena jaga semua pihak. Andai berlaku salah laku, pihak SPRM akan bertindak,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata kementeriannya akan sentiasa memperbaiki perkhidmatan supaya dapat memberi bekalan ubat kepada rakyat pada harga yang nilai untuk wang.

Menurut laporan akhbar, sebelum ini Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, dari PKR, menulis di Twitternya, meminta Dr Dzulkefly memecahkan sebarang monopoli ubat-ubatan oleh syarikat yang dimiliki ahli politik dari pentadbiran sebelum ini.

Pada Rabu, sebuah portal membuat pendedahan mendakwa syarikat yang dikaitkan dengan ahli politik yang rapat dengan kerajaan dulu mengawal bekalan ubat bernilai berbilion ringgit.

Menurut laporan yang memetik sumber itu, monopoli yang dimiliki syarikat itu mungkin menjadi punca peningkatan kos ubat-ubatan yang dibekalkan ke hospital dan klinik kerajaan seluruh negara.

Mengenai sambutan Hari Raya tahun ini, Dr Dzulkefly berkata seramai 80,000 kehadiran pengunjung membuktikan semangat perpaduan yang membara di kalangan rakyat.

Beliau yakin sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia akan diraikan dengan satu letupan patriotism yang akan memberi lonjakan dalam membina semula negara, ekonomi dan memperkukuhkan perpaduan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Lebih 18,000 rakyat Malaysia kemurungan

SHAH ALAM, 20 MAC: Kajian Kementerian Kesihatan mendapati 18,336 rakyat Malaysia dikesan mengalami pelbagai tahap kemurungan pada tahun lepas.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, kes ini turut dikesan terjadi kepada golongan remaja berusia seawal 16 tahun.

Beliau berkata, jumlah itu berdasar kajian Kementerian Kesihatan melalui saringan minda sihat terhadap 273,203 orang yang dijalankan di klinik kesihatan dan komuniti pada 2017.

Katanya, daripada jumlah yang disaring itu, 4.03 peratus atau 11,811 orang dikesan mengalami kemurungan tahap ringan, 1.26 peratus (3,680 orang) pada tahap sederhana dan 0.62 peratus (1,682 orang) berada pada tahap teruk.

“Selain itu, melalui saringan minda sihat yang dijalankan dengan Kementerian Pendidikan ke atas 253,196 pelajar tingkatan empat, sejumlah 0.45 peratus atau 1,163 pelajar mengalami masalah kemurungan,” katanya pada Persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Hilmi menjawab soalan Tan Kok Wai (DAP-Cheras) yang bertanyakan anggaran rakyat Malaysia yang menderitai berbagai tahap kemurungan (depression) termasuk sebab dan rawatan pemulihan yang dilakukan.

Sumber: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Skim rawatan jantung tepat pada masanya

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Inisiatif Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor yang baru diperkenalkan adalah tepat pada masanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub berkata, bantuan yang disalurkan menerusi skim itu akan dapat membantu meringankan beban kewangan pesakit jantung.

“Kita berbangga dengan adanya inisiatif ini. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberi rawatan percuma kepada rakyat Selangor.

“Bantuan ini datang tepat pada masanya. Ia sebagai tambahan kepada sumbangan institusi lain seperti Lembaga Zakat dan juga Kementerian,” katanya di Majlis Pelancaran Skim terbabit di IJN, di sini.

Azhari berkata sejak 25 tahun penubuhan IJN, pihaknya sudah merawat lebih 3 juta pesakit.

Manakala, katanya, jumlah pesakit berasal atau bermastautin di Selangor adalah seramai 17,900 orang, tahun lalu.

“Sebagai institusi yang mempunyai kemudahan dan kemahiran dalam bidang ini, IJN akan terus memikul tanggungjawab dan kekal memberikan rawatan secara konsisten.

“Sehubungan itu, IJN akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor menerusi skim itu,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali merasmikan pelaksanaan skim itu bagi membantu rakyat negeri merawat penyakit terbabit yang kini merupakan pembunuh nombor satu negara.

Kerajaan Negeri dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan menyediakan peruntukan RM10 juta untuk membiayai 500 pesakit.

Ia akan dijayakan menerusi bentuk kerjasama strategik antara IJN dan Selgate Corporation untuk membina ‘medical city’ di Seksyen 13, Shah Alam yang antara lain menyediakan khidmat pakar rawatan jantung yang dimeterai, pada 31 Oktober lalu.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

Komited pastikan kesihatan rakyat berkualiti

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Kerajaan Negeri akan terus komited untuk meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan asas yang berkualiti untuk rakyatnya, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri memperkenalkan Skim Peduli Sihat bagi menangani masalah penyakit tidak berjangkit atau Non-Communicable Diseases (NCDs) selepas bermula dengan Program Dialisis dan Pemeriksaan Mammogram.

Katanya,program berkenaan mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Perubatan Malaysia dan disambut dengan gemuruh dalam kalangan rakyat menerusi pelbagai inisiatif itu.

“Sehingga 20 Februari lalu, lebih 300,000 keluarga atau 1.2 juta rakyat berjaya menerima manfaat daripada pelaksanaan Skim Peduli Sihat.

“Jumlah ini melepasi sasaran awal iaitu 250,000 keluarga atau sejuta orang,” katanya di Majlis Pelancaran Skim Rawatan Jantung, di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, hari ini.

Mohamed Azmin memaklumkan, Kerajaan Negeri akan turut memberi fokus kepada Skim Penjagaan Kesihatan Bersepadu yang diperluaskan dengan pelaksanaan Skim Rawatan Jantung Selangor, suntikan vaksin termasuk pneumokokal, penjagaan kesihatan mental, perkhidmatan penjagaan paliatif bagi pesakit kanser serta insuran kesihatan untuk penjawat awam dan pesawah.

“Pengbabitan Kerajaan Negeri dalam sektor kesihatan adalah berdasarkan keyakinan bahawa kesihatan adalah satu aspek penting dalam kesejahteraan manusia.

“Seperti yang diungkapkan oleh Publius Syrus, ‘good health and good sense are two of life’s greatest blessings’,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu adalah bagi memastikan kesihatan warga Selangor terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Rakyat aset terpenting kepada negeri. Kita yakin, peningkatan kesihatan rakyat akan menjamin peningkatan produktiviti dan Selangor akan kekal menjadi negeri termaju di Malaysia menuju sebuah negeri pintar serta berteknologi tinggi, di rantau ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Warga Sijangkang meriahkan Karnival Sihat Kuala Langat

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA LANGAT, 30 SEPT: Hampir 1,000 warga Sijangkang menyertai Karnival Sihat Peringkat Daerah Kuala Langat, hari ini.

Seawal jam 8 pagi, Ahli Dewan Negerinya, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi mula berkumpul di Masjid Jamiul Ehsan, Kampung Sijangkang untuk merasmikan program berkenaan.

Beliau kemudiannya melepaskan peserta untuk acara Berjalan Kaki 10,000 langkah menuju ke Taman Rekreasi Paya Bakau Kampung Sijangkang.

“Perjalanan sehala melibatkan 6,500 langkah, jadi kalau pergi dan balik kita melakukan 13,000 langkah.

“Ianya melebihi 10,000 langkah dan itulah yang Kerajaan Negeri mahu terapkan kepada rakyat kepentingan melakukan aktiviti kecergasan dan pemeriksaan berkala,” katanya.

IMG_20170930_104429Pada masa sama, Ahmad Yunus yang juga Exco Kerajaan Negeri menyeru penduduk dan pengunjung untuk bersama menjaga keindahan dan kelestarian taman rekreasi paya bakau tunggal di situ.

“Kita perlu jaga dengan sebaiknya sebagai warisan tak ternilai untuk generasi akan datang.

“Ia juga selari dengan saranan DYMM Sultan Selangor untuk menjaga hutan paya bakau untuk mengurangkan risiko bencana alam,” katanya.

Turut serta, Pegawai Daerah Kuala Langat, Rosli Othman dan Orang Besar Daerah Kuala Langat, Dato’ Mohamed Tengku Harun.

Selain aktiviti berjalan kaki, program turut dimeriahkan dengan acara seperti senamrobik, derma darah, saringan kesihatan dan aktiviti penanaman pokok.

=EZY=

Categories
NASIONAL

554 kes kemalangan anggota kesihatan sejak dua tahun

SHAH ALAM, 1 JUN: Kementerian Kesihatan melaporkan 554 kes kemalangan ulang alik direkodkan membabitkan anggota kesihatan pelbagai kategori yang berkhidmat di hospital di bawah kementerian itu, sejak 2014 hingga 2016.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes kemalangan tertinggi membabitkan jururawat iaitu 295 kes diikuti pembantu perawatan kesihatan (91), kategori jawatan lain (52), penolong pegawai perubatan (35), pemandu (31) dan pembantu penyediaan makanan (15).

“Akhir-akhir ini kemalangan jalan raya dalam kalangan doktor perubatan mendapat perhatian ramai terutama bagi kemalangan ulang alik. Kemalangan membabitkan pegawai perubatan ini adalah 35 kes,” katanya dalam satu kenyataan semalam, lapor BERNAMA.

Terdahulu, akhbar melaporkan doktor yang bertugas di hospital kerajaan mengalami letih keterlaluan akibat bekerja lebih masa dan mengakibatkan mereka terdedah risiko kemalangan jalan raya.

Dr_hishamDr Noor Hisham berkata, 69 kes direkodkan membabitkan kemalangan ketika pulang dari tempat kerja selepas bekerja di luar waktu pejabat antaranya jururawat (47) dan pegawai perubatan (8) untuk tempoh sama.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius kes itu yang dipercayai berlaku akibat memandu dalam keadaan penat dan mengantuk selain tidur tidak mencukupi.

Bagaimanapun, katanya adalah lumrah bagi anggota kesihatan yang bertugas di hospital di bawah Kementerian Kesihatan bekerja di luar waktu kerja biasa kerana ia menawarkan perkhidmatan berterusan, selama 24 jam.

“Terdapat pelbagai kemudahan disediakan untuk kakitangan, selain peruntukan sedia ada berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan untuk memberi kelonggaran tertentu kepada anggota kesihatan berdasarkan budi bicara ketua jabatan dan tertakluk kepada keperluan perkhidmatan di hospital,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua anggota kesihatan mengambil berat keselamatan diri dan mengamalkan budaya pemanduan yang selamat terutama selepas tugasan diselesaikan.

“Jika kelesuan atau mengantuk, mereka disarankan mengambil masa untuk berehat atau tidur sebentar sebelum memandu supaya selamat tiba ke pangkuan keluarga,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kementerian itu akan berganding bahu dengan agensi berkaitan antaranya Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) sebagai langkah pencegahan kemalangan.

Categories
NASIONAL

Kerajaan Persekutuan gagal sedia pembangunan kesihatan

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Kerajaan Persekutuan ketinggalan dalam pembangunan kesihatan ekoran kegaglan menyediakan hospital mencukupi di seluruh negara untuk menampung keperluan rakyat.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK-11) tdaik dimasukkan penyelesaian bagi menangani masalah itu khususnya di Lembah Klang.

khalid samad parlimen tie 01“Walaupun kerajaan berusaha melakukan yang termampu dalam tempoh lima tahun, namun hakikatnya banyak ketinggalan hasil pencapaian dalam RMK sebelumnya.

“Jumlah hospital yang ada tidak mencukupi mengakibatkan yang sedia ada penuh sesak.

“Kita lihat Hospital Kuala Lumpur, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan beberapa hospital lain tidak mampu menampung keperluan yang ada,” katanya kepada Selangor Kini di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

hospital tanjong karang 01Khalid juga merujuk kepada Hospital Shah Alam yang gagal disiapkan mengikut jadual yang mengundang masalah ketara kepada masyarakat khususnya di Selangor dan Lembah Klang.

“Saya lihat kerajaan sedikit sebanyak berusaha menyalurkan keperluan ini kepada pihak swasta. Ia menjadi masalah kepada rakyat yang tidak mampu mendapatkan perkhidmatan berkenaan.

“Bagi saya ia adalah kegagalan berterusan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Kesihatan warga kerja tingkat khidmat cemerlang MBSA

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 6 MEI: Penjagaan kesihatan adalah aspek penting yang ditekankan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membabitkan kakitangan di semua peringkat.

Atas dasar itu, MBSA mengajurkan program Mingguan Kesihatan yang disertai 1,000 kakitangan dalam usaha memberi pendedahan berkenaan kepentingan penjagaan kesihatan, pada 5 Mei lalu.

IMG_1484Timbalan Pengarah Jabatan Korporat & Pembangunan Komunitinya, Shahrin Ahmad berkata, warga kerja MBSA diberi peluang memeriksa kesihatan secara percuma dan mendapatkan khidmat nasihat pakar.

“Program ini dianjurkan kerana kebanyakan warga kerja MBSA terlalu sibuk melaksanakan tugas seharian hingga idak berkesempatan membuat pemeriksaan kesihatan.

“Antara pemeriksaan yang disediakan seperti pemeriksaan tekanan darah, berat badan seimbang atau ‘BMI’, kadar gula dan tahap kolestrol dalam darah serta pemeriksaan khas wanita iaitu ‘pap-smear’,” katanya dalam kenyataan media.

Shahrin berkata, MBSA juga menyediakan Program Klinik Bergerak oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN).

IMG_1600“Antara perkhidmatan ditawarkan adalah pendaftaran mammogram untuk kakitangan wanita yang berusia 35 hingga 40 tahun, vaksinasi Human Papillomavirus atau ‘HPV’ dan urutan kaki secara percuma.

“Turut hadir, Ustaz Don Daniyal Biyajid yang menyampaikan ceramah Pemakanan Berdasarkan Sunnah Rasulullah SAW dan aktiviti derma darah dianjurkan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Beliau berkata, program itu dilihat memberi manfaat kepada warga MBSA meningkatkan kualiti kerja, sekali gus memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk Shah Alam.

-NFN-