Categories
NASIONAL SELANGOR

Penstrukturan Semula Industri Air Dimulakan Kembali

mb exco baru pc 01

KLANG 30 MEI : Perbincangan mengenai industri air Selangor akan dimulakan kembali dengan Kerajaan Persekutuan dalam masa terdekat dengan harapan penstrukturan semula perkhidmatan itu dapat diteruskan Kerajaan Selangor.

Ini supaya proses pengambilalihan operasi rawatan dan pengedaran air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya daripada empat syarikat swasta dapat disempurnakan bagi memastikan pengguna mendapat bekalan yang cukup, berterusan dan pada harga berpatutan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, surat rasmi mengenai perbincangan sudah dihantar Isnin lalu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air baru Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Surat tersebut sebagai respons Kerajaan Negeri kepada kenyataan Dr Maximus minggu lepas yang mahu bertemu dan berbincang dengan Selangor tentang perkhidmatan air di Selangor.

Abdul Khalid berharap kementerian akan memberi respon segera supaya satu perbincangan dapat dilakukan dalam tempoh terdekat.

“Keutamaan kita ialah untuk meningkatkan perkhidmatan pembekalan air kepada rakyat Selangor dan Lembah Klang menerusi penstrukturan semula perkhidmatan air seperti yang dikehendaki Akta Industri Perkhidmatan Air atau WSIA.

“Saya telah menghantar surat rasmi kepada Dr Maximus Ongkili untuk mengadakan perbincangan bagi memuktamadkan proses penstrukturan ini.”

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis angkat sumpah ahli jemaah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Istana Alam Shah di sini hari ini.

Proses penstrukturan semula industri air dimulakan oleh Kerajaan Negeri pada tahun lepas sebagai usaha mengambilalih operasi bekalan, rawatan dan pengedaran daripada empat syarikat swasta.

Kerajaan Negeri telah menawarkan RM 9.65 bilion untuk mengambilalih empat syarikat tersebut dan setakat ini mereka telah memberi respons positif terhadap tawaran itu.

Minggu lalu, Dr Maximus menyatakan hasrat bertemu dengan Abdul Khalid dalam cadangan untuk menstruktur semula industri air di Selangor supaya satu kesimpulan secara baik akan dapat dicapai.

Dr Maximus berkata beliau harap untuk duduk bersama dengan Abdul Khalid untuk meneroka bahagian yang Kerajaan Persekutuan boleh bekerjasama dengan Kerajaan Negeri.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sungai Selangor Sumber Alternatif Ganti Langat 2

Khalid Ibrahim

MORIB 27 APRIL : Sebahagian Sungai Selangor di Bestari Jaya bakal dimajukan dengan kaedah takungan bagi menghasilkan satu sumber air mentah untuk Lembah Klang, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Projek tersebut mampu menyalurkan 2,000 juta liter sehari (JLH) iaitu penambahan 20 peratus dari jumlah air yang diperlukan sehari di Lembah Klang.

Projek itu merupakan alternatif kepada projek mega Langat 2  yang akan menyalurkan air dari Pahang ke Selangor dan yang bakal menelan belanja RM4 bilion.

“Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berusaha untuk mencari punca-punca air baru untuk ditakung supaya dapat dibekalkan kepada penduduk,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Hari Air Sedunia peringkat Selangor, di sini.

Hadir sama, Pengarah Luas, Md Khairi Selamat.

LUAS sedang mengkaji kaedah untuk mengepung air hujan di sungai itu dan salah satu cara yang sedang dipertimbangkan adalah dengan membina kolam takungan.

“Kajian itu mendapati, air hujan akan masuk ke sungai seterusnya ke laut. Kita terus ke laut sebab jika terlalu banyak ia akan berlaku banjir.

“Kita juga akan kenal pasti punca-punca sumber air yang lain. Kajian kita menunjukkan ini cara yang terbaik.

“Bagi operasi loji rawatan dan takungan air akan disatukan bagi memudahkan perlaksanaan dan menjimat kos,” kata Abdul Khalid.

Beliau menambah pihaknya sedang menilai kos bagi projek tersebut.

Beliau berkata projek tersebut akan diumumkan dalam dua atau tiga bulan akan datang.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut memaklumkan sehingga minggu lepas, paras air di empangan Selangor berada di tahap 85 peratus.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kajian UM : Sokongan Pengundi Terhadap PR Selangor Mula ‘Steady’

DSC_7191

SHAH ALAM, 17 APRIL: Pengundi di Selangor sedar meskipun hanya lima tahun menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri, Pakatan Rakyat (PR) membuktikan mampu mentadbir dengan lebih baik berbanding 50 tahun oleh Umno.

Kajian yang dijalankan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) mendapati sokongan pengundi Selangor terhadap PR menunjukkan peningkatan yang konsisten.

redhuanMenurut Pengarah UMCEDEL, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman, ini merupakan satu pencapaian yang baik dalam jangkamasa yang singkat untuk Kerajaan PR Selangor.

“Mereka memperolehi rating yang rendah kerana pada waktu itu banyak tuntutan mereka belum tercapai, tetapi kita dapati ada naik dan turun tetapi akhirnya sokongan dia mula ‘steady’ naik.

“Kenapa jadi begitu, sebab hingga tahun keempat, pilihan raya semakin hampir dan pengundi sebenarnya membandingkan empat tahun PR dengan lebih 50 tahun BN.

“Ketika itu baru mereka menyedari bahawa apa yang dilakukan dengan PR ini jauh lebih baik atau pun pencapaian yang baik dalam tempoh yang singkat,” kata Dr Mohammad Redzuan yang juga Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya itu.

Menurut beliau lagi, kesedaran pengundi terhadap kejayaan Kerajaan PR Selangor ini turut disumbang oleh keadaan masyarakat negeri ini yang lebih ramai celik maklumat sekaligus memudahkan Kerajaan Negeri menyampaikan maklumat dengan lebih tepat.

Selain itu, sokongan tiga kaum utama pengundi di Negeri Selangor juga didapati lebih memihak kepada PR berbanding BN.

“Pengundi Cina konsisten, tiada masalah. Pengundi India ini lebih kepada PR jika dibandingkan kepada BN kecuali di Ijok, Hulu Selangor, itu di kawasan estet memang banyak yang kembali kepada BN.

“Tetapi (India) golongan kelas menengah atau golongan yang berada di Lembah Klang dan kawasan berhampiran (bandar) di Selangor, nyata mereka sebenarnya bersama PR.

“Melayu juga sebenarnya disebabkan maklumat tadi, mereka tidaklah terlalu terikut-ikut dengan pendekatan media yang menyebabkan undi Melayu sebenarnya masih bertahan dari segi sokongan kepada PR,” ujar beliau kepada TV Selangor.

Menurut kajian yang dijalankan UMCEDEL, pengundi yang menjangkakan PR Selangor sekali lagi berjaya menubuhkan Kerajaan Negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke- 13 meningkat dari 38 peratus pada kajian 31 Mac hingga 15 April 2012 kepada 50 peratus dalam kajian 1 hingga 16 September.

Dalam kajian sama, pengundi yang menjangkakan kemenangan di pihak BN Selangor pula menyusut dari 28 peratus kepada 16 peratus, satu penyusutan yang besar.

Sementara itu, kedua-dua kajian tersebut juga menunjukkan pengundi yang menjawab tidak pasti tidak berubah dengan sebanyak 34 peratus.

Kajian rambang tersebut melibatkan seramai 1,536 responden yang melibatkan ketiga-tiga kaum utama di negeri itu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

UPEN Sahkan Selangor Mampu Hasilkan Air Terawat

SHAH ALAM 8 OGOS : Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) mengesahkan Selangor mampu menghasilkan air terawat yang mencukupi untuk kegunaan penduduk di Lembah Klang.

Timbalan Pengarahnya, Nor Azmi Diron berkata Jawatankuasa Pemantauan Air yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri bagi mencari penyelesaian krisis air mendapati, 34 loji yang sedia ada mampu mengeluarkan air terawat sebanyak 4,807 juta liter sehari (JLH).

Katanya, jumlah pengeluaran air itu mengatasi jumlah penggunaan air penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu sebanyak 2,944 JLH.

Azmi menjelaskan jumlah pengeluaran air terawat itu juga berlebihan kerana Syarikat Bekalan Air Selangor(Syabas) hanya mengagihkan air sebanyak 4,371 hingga 4,411 JLH sahaja.

“Manakala kadar pengeluaran air yang tidak terhasil (NRW) oleh Syabas sebanyak 1,389 JLH atau 32 peratus.

“Jumlah NRW ini adalah air yang tidak sampai kepada pengguna. Jadi Syabas gagal memenuhi tanggung jawab untuk membekalkan air terawat yang secukupnya kepada pengguna seperti yang dipersetujui dalam Penjanjian Penswastaan Air 2004,” katanya dalam taklimat isu air  dan hutang Talam di Shah Alam Convention Centre, di sini.

Beliau berkata dua daripada loji terawat iaitu Loji Langat dan Semenyih mampu mengeluarkan lebih 20 peratus air terawat kerana reka bentuknya sejak 20 tahun lalu.

“Manakala ada juga loji yang hanya mampu mengeluarkan air terawat sebanyak 800 JLH iaitu Sungai Selangor fasa 3 kerana reka bentuknya,” katanya.

Justeru,  catuan air yang dicadangkan oleh Syabas kepada kerajaan adalah tidak tepat dan merupakan pendirian yang tidak boleh diterima.

Jawatankuasa Pemantauan Air itu dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Khusrin Munawi dan dianggotai oleh pegawai-pegawai dari Unit Perancang Ekonomi Negeri, Konsortium ABBAS dan bekas kakitangan Perbadanan Urus Air Selangor.