Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri selesai agih bantuan kepada masjid di tujuh daerah

HULU SELANGOR, 30 APRIL: Kerajaan Negeri selesai mengagih bantuan kewangan kepada semua masjid di tujuh daerah setakat ini.

Dato’ Menteri Besar berkata sejumlah RM2 juta diperuntuk untuk menampung kekurangan dana masjid di seluruh Selangor sejak perebakan Covid-19.

“Kita ada lebih 400 masjid dan hampir keseluruhan sudah menerima bantuan yang diagih menerusi anak syarikat Kerajaan Negeri sejak awal Ramadan.

“Baki masjid yang belum terima bantuan adalah Petaling dan Sabak Bernam, Insya-Allah kita segerakan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Masjid Daerah Hulu Selangor di Masjid Bandar Utama Batang Kali hari ini.

Pada majlis itu setiap 22 masjid menerima sumbangan berjumlah RM5,000 yang disalurkan menerusi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan).

Dato’ Menteri Besar kemudian menyampaikan watikah pelantikan kepada seramai 33 ketua kampung daerah Hulu Selangor di Dewan Komuniti Serendah.

Terdahulu, Amirudin turut menyampaikan bantuan sejumlah RM100,000 kepada 20 masjid daerah Gombak serta menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Sungai Serai, Kuang.

Sumbangan kepada masjid daerah Gombak disalur menerusi anak syarikat Kerajaan Negeri, Permodalan Nasional Selangor Berhad (PNSB).

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB serah sumbangan RM100,000 kepada 20 masjid di Gombak

RAWANG, 30 APRIL: Dato’ Menteri Besar menyampaikan bantuan sejumlah RM100,000 kepada 20 masjid di daerah Gombak.

Sumbangan menerusi anak syarikat Kerajaan Negeri, Permodalan Nasional Selangor Berhad (PNSB) diadakan di Masjid Kampung Sungai Serai, Kuang sempena Jelajah Ramadan Kita Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari kemudian menunaikan solat Jumaat serta meneruskan program jelajah ke Batang Kali.

Pada 23 April, Amirudin berkata sejumlah RM2 juta diperuntuk kepada masjid di Selangor untuk mengadakan aktiviti keagamaan.

Semua masjid menerima sumbangan antara RM5,000 hingga RM10,000 untuk menampung kekurangan dana susulan penutupan serta pengehadan bilangan jemaah sejak perebakan Covid-19.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB salur sumbangan RM155,000 kepada 33 masjid di Kuala Langat

KUALA LANGAT, 27 APRIL: Dato’ Menteri Besar menyampaikan bantuan sejumlah RM155,000 kepada 33 masjid di daerah ini.

Sumbangan disalurkan menerusi anak syarikat Kerajaan Negeri, Permodalan Nasional Selangor Berhad (PNSB).

Dato’ Seri Amirudin Shari berharap inisiatif itu menampung kekurangan dana susulan penutupan serta pengehadan bilangan jemaah sejak perebakan Covid-19.

“Mungkin dana diberikan tidak cukup menampung keperluan setahun tetapi setidaknya dapat menampung keperluan sepanjang Ramadan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Masjid Daerah Kuala Langat di Masjid At-Taqwa, Banting sempena Jelajah Ramadan Kita Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berbuka puasa bersama penjawat awam selepas penyerahan watikah pelantikan ketua kampung di Dewan Orang Ramai Kampung Endah, Kuala Langat pada April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau kemudian menghadiri Majlis Penyampaian Watikah Ketua Kampung dan Majlis Berbuka Puasa di Dewan Jubli Emas Kampung Endah.

Pada 23 April, Amirudin berkata hampir RM2 juta diperuntuk kepada semua masjid di Selangor sepanjang Ramadan.

Tambah beliau semua masjid di negeri ini menerima sumbangan antara RM5,000 hingga RM10,000.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor salur hampir RM2 juta untuk aktiviti Ramadan di masjid

KUALA SELANGOR, 23 APRIL: Hampir RM2 juta diperuntuk Kerajaan Selangor untuk diberikan kepada semua masjid sepanjang Ramadan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan sebanyak RM5,000 setiap masjid bertujuan melaksanakan aktiviti bulan puasa.

“Kita ada lebih 400 masjid di Selangor dan beberapa daerah seperti di Gombak sudah menerima peruntukan ini,” katanya pada Majlis Ihya Ramadan di Masjid Ar-Rahmani Kampung Permatang, Kuala Selangor.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan sebanyak RM275,000 kepada 55 masjid di daerah itu.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata beliau berpuas hati dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ditunjuk jemaah di masjid.

Katanya, perkara itu berdasarkan kunjungan beliau di beberapa masjid ketika jelajah sepanjang Ramadan ini.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Masjid, surau Taman Templer dapat sumbangan RM24,000

SHAH ALAM, 19 APRIL: Sebanyak 44 masjid dan surau sekitar Taman Templer menerima sumbangan berjumlah RM24,000 bagi melaksanakan aktiviti sepanjang Ramadan.

Ahli Dewan Negerinya berkata peruntukan melalui pusat khidmat meliputi empat masjid, masing-masing mendapat RM1,000 manakala RM500 diagihkan kepada 40 surau.

“Saya berharap pihak masjid dan surau dapat memanfaatkan bantuan ini untuk mengimarahkan rumah ibadat dan kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP),” kata Mohd Sany Hamzan ketika dihubungi.

Beliau menambah program agihan bubur lambuk kepada penduduk setempat juga diteruskan seperti tahun-tahun sebelumnya.

Kerajaan Selangor memperuntuk RM400,000 kepada masjid dan surau sekitar Gombak sempena program Ihya Ramadan pada 9 April.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setiap masjid menerima dana berjumlah RM10,000 manakala RM5,000 diagih kepada surau.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sukarelawan Team Selangor sanitasi masjid, kuil di Batu Caves

SHAH ALAM, 18 APRIL: Dua rumah ibadat di Batu Caves, Gombak menjalani proses sanitasi dalam usaha mencegah penularan Covid-19 semalam, kata Team Selangor.

Program anjuran sukarelawan Selangor Lestari by Team Selangor dan wakil Badan Pengurusan Bersama (JMB) dijalankan di Surau Ar-Rahman, Pangsapuri Sunway Batu Caves dan Kuil Ayyappa.

“Antara kawasan yang disanitasi adalah ruang solat utama, tempat berwuduk dan pejabat surau.

“Program ini mendapat kerjasama daripada semua pihak. Syabas dan terima kasih kepada semua yang terlibat,” katanya menerusi Facebook.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor sedia kaji kadar elaun nazir masjid

GOMBAK, 9 APRIL: Kerajaan Negeri bersedia mengkaji semula elaun bulanan nazir masjid seluruh Selangor selepas mendapat permintaan golongan itu.

Dato’ Menteri Besar berkata perkara tersebut akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk penilaian bersama EXCO hal ehwal agama Islam.

“Sebelum ini Kerajaan Negeri beri peruntukan besar membabitkan gaji pengurusan masjid.

“Nazir bukan pengurusan tetapi sukarela dan elaun yang dibayar tanda penghargaan Kerajaan Negeri,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas menyerahkan sumbangan Ihya Ramadan di Masjid Selayang Baru di sini.

Beliau menambah perkara tersebut memerlukan penelitian berikutan kosnya yang tinggi, dijangka mencecah RM40 juta jika dilaksanakan.

“Kita akan bincang kerana kosnya bukan kecil, kita ada lebih 500 masjid dan nilainya lebih RM40 juta jika dilaksana secara pengurusan terus melalui Jabatan Agama Islam Selangor dan pejabat agama daerah,” katanya.

Kerajaan Selangor memperuntuk sebanyak RM400,000 kepada masjid dan surau sekitar Gombak sempena program Ihya Ramadan tahun ini.

Amirudin berkata setiap masjid menerima dana berjumlah RM10,000 sementara RM5,000 kepada surau.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN Morib sumbang RM58,000 bantu masjid, surau terjejas PKP

SHAH ALAM, 19 MAC: Sebanyak 48 masjid dan surau yang mendapat kebenaran solat Jumaat sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib menerima sumbangan berjumlah RM58,000.

Bantuan melalui peruntukan DUN dikhususkan kepada rumah ibadat yang terjejas pendapatan berikutan penangguhan aktiviti imarah susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Wakil rakyat Morib Hasnul Baharuddin berkata sebanyak RM2,000 diagihkan kepada 10 masjid sementara 38 surau menerima RM1,000 setiap satu.

“Sumbangan dikreditkan ke akaun bank penerima bagi kategori masjid manakala selebihnya diproses secara berperingkat. Diharap sumbangan meringankan beban institusi untuk menjelaskan bil utiliti dan keperluan kecil,” tulisnya di Facebook.

Masjid terpilih ialah Masjid Al Muttaqin Kampung Permatang Pasir, Masjid Sultan Abdul Samad Seri Jugra,Masjid Al Islah Kampung Sawah dan Masjid Al Istiqomah Kampung Sungai Buaya.

Selain itu, Masjid At Taqwa Pekan Banting, Masjid Diraja Sulan Alaeddin Kampung Bandar, Masjid Al Azim Kampung Kelanang dan Masjid As Solihin Kampung Kanchong Darat.

Turut menerima sumbangan ialah Masjid Jamek Jamaiyah Kampung Morib dan Masjid An Nur Kampung Kanchong Tengah.

Categories
ADN SELANGOR

10 masjid, 30 surau DUN Morib terima peruntukan sempena Ramadan

SHAH ALAM, 18 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib memperuntuk RM40,000 untuk diagihkan kepada 30 surau dan 10 masjid di kawasan itu.

Wakil Rakyat Hasnul Baharuddin berkata sumbangan bertujuan meringankan beban pengurusan menjalankan aktiviti atau tambah baik rumah ibadat tersebut.

“Malah, agihan ini juga sempena kedatangan bulan Ramadan. Kita harap ahli jawatankuasa memainkan peranan melaksanakan aktiviti dengan mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

“Sumbangan ini juga membantu tambahkan kutipan tabung masjid atau surau yang berkurangan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam, DUN berkenaan turut mengadakan program sanitasi di masjid sekitar Morib demi mencegah penularan Covid-19.

Hasnul berkata isu kebersihan masjid dan surau antara yang menjadi keutamaan dalam pengurusan rumah ibadah terutama ketika berdepan dengan ancaman pandemik.

“Cakna dengan keperluan berkenaan, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Morib tampil dengan pasukan khas sanitasi masjid mengambil tanggungjawab membersihkan keseluruhan ruang masjid termasuk ruang pejabat dan ruang solat muslimah,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan: Kes Covid-19 tinggi, bilangan jemaah dihad demi keselamatan

SHAH ALAM, 28 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menegaskan bilangan jemaah di masjid dihadkan demi menjaga keselamatan seluruh umat Islam.

Berdasarkan kenyataan Selangor Royal Office, baginda bimbang jika menghadkan jumlah jemaah tidak dilaksana risiko peningkatan kes mungkin berlaku melihat kepada angka kes Covid-19 di negeri itu.

Baginda memahami kegusaran dan kebimbangan umat Islam di negeri ini yang belum boleh berjemaah solat fardu dan solat Jumaat di masjid kerana mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Namun, beta kesal kerana ada segelintir pihak yang tidak berfikir panjang dan hanya pentingkan diri sanggup memudaratkan jemaah lain jika masjid dan surau dibuka semula seperti biasa.

“Ketika ini, jumlah kes positif di Selangor telah mencecah lima digit dan tiga digit bagi angka kematian. Beta tidak mahu lebih ramai lagi mendapat jangkitan akibat lalai mematuhi PKP dan SOP sehingga boleh menyebabkan kematian,” titah baginda dalam kenyataan.

Baginda turut menyeru tiada lagi pihak bertelagah sesama sendiri berhubung keputusan dibuat sebulat suara pihak berwajib demi keselamatan umat Islam.

Tegas baginda, masjid dan surau ditutup tidak bererti amal ibadah juga terhenti sebaliknya boleh dilakukan di kediaman.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mais sumbang RM200,000 bantu masjid, surau terjejas PKP

SHAH ALAM, 19 JAN: Sebanyak 250 masjid dan surau yang mendapat kebenaran solat Jumaat menerima sumbangan berjumlah RM200,000 daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Bantuan wang tunai melalui peruntukan baitulmal meliputi masjid dalam dan luar bandar serta surau yang terjejas pendapatan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha Mais Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata sumbangan dikreditkan ke akaun bank penerima bagi masjid luar bandar manakala selebihnya diproses secara berperingkat.

“Sebanyak RM1,000 diagihkan kepada 150 masjid luar bandar, RM500 kepada 60 masjid dalam bandar dan
RM500 kepada 40 surau yang mendapat kebenaran solat Jumaat,” katanya dalam kenyataan.

Antara masjid terpilih ialah Masjid Ar-Rohmaniah Kuala Langat, Masjid As-Sajidin Batang Kali dan Masjid Tebuk Sultan Sungai Tengar, Sabak Bernam.

Surau pula meliputi Surau Al-Firdaus Taman Seri Kembangan, Surau Kampung Setia Kuang dan Surau Al-Ikhlas Kampung Sungai Purun, Semenyih.

 

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Masjid, surau perlu sediakan ruang solat musafir – Jais

SHAH ALAM, 16 JAN: Semua masjid dan surau negeri ini terutama berhampiran laluan utama diminta menyediakan ruang khas bagi memberi membolehkan musafir menunaikan solat fardu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata tindakan itu sebagai kelonggaran untuk memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan.

“Ruang ini ini disediakan hanya untuk solat namun tanpa sejadah dan hanya satu laluan khas dibuka untuk ke ruang ini.

“Pentadbir masjid akan menetapkan panduan kepada musafir urusan urusan berwuduk, sanitasi, daftar kehadiran dan menjaga penjarakan fizikal jika melibatkan pihak lain,” kata Datuk Mohd Shahzihan Ahmad kepada SelangorKini hari ini.

Menurutnya, ruang solat utama hanya dibuka ketika solat fardu yang didirikan lima pentadbir seperti ditetapkan.

Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor bermula Rabu lalu, solat Jumaat dan fardu secara berjemaah di 425 masjid dan 278 surau ditangguhkan.

Turut dilarang sepanjang tempoh PKP adalah aktiviti kuliah, ceramah dan tazkirah.