Categories
NASIONAL

GERAMM desak penganjur siasat kes kasari petugas media

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 MEI: Gerakan Media Marah (Geramm) menyelar kekasaran terhadap petugas media dalam Himpunan Bantah GST 501 yang berlangsung di Dataran Merdeka, semalam.

Geramm dalam satu kenyataan media mengecam tindakan terbabit dan mendesak penganjur menjalankan siasatan berhubung perkara berkenaan.

Mereka berpendapat walaupun sebilangan media dianggap sebagai alat propaganda pihak tertentu, namun tindakan keganasan terhadap wartawan tidak boleh diterima sama sekali.

geramm logo“Tindakan segelintir peserta protes itu yang mengasari beberapa wartawan dan jurugambar amat dikesali. Kami mahu penganjur menyiasat perkara ini dan kumpulan itu tampil memberi penjelasan mengapa hal ini boleh berlaku.

“GERAMM dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan terhadap wartawan,” katanya.

Antara petugas media yang dikasari adalah jurufoto HCK Media (mewakili akhbar mingguan perniagaan Focus Malaysia, akhbar mingguan The Heat dan portal theantdaily.com) Sharil Amin Abdul Rahim disepak dan ditumbuk manakala jurufoto The Malaysia Reserve, Hafzi Mohamad terkena balingan kayu.

Sementara itu, jurukamera agensi Negara China Xinhua News, Mohd Zul Iskandar Hanafiah turut disepak beberapa kali oleh sekumpulan anak muda berpakaian hitam dan bertopeng.

Selain itu, Geramm turut menyokong tindakan undang-undang yang mahu dibuat oleh wartawan yang menjadi mangsa termasuk laporan polis yang mahu dilakukan oleh Persatuan Jurugambar Berita Malaysia (MPPA) dan individu terbabit.

Katanya, bukti video dan gambar yang didapat dengan jelas menunjukkan provokasi dan keganasan yang dihadapi wartawan yang berada di tempat kejadian.

“Ketika kebebasan media menjadi satu cabaran yang masih diperjuangkan di pelbagai peringkat termasuk wartawan di GERAMM, campur tangan politik di bilik media masih menjadi satu isu besar dalam sebilangan media.

GERAMM“Kami meminta semua pihak yang beranggapan media Malaysia tidak bebas supaya tidak menggunakan keganasan (kepada Media) kerana ia bertentangan dengan standard antarabangsa dan tidak membantu perjuangan mereka.

“Sebaliknya, kami menyeru lebih dialog antara kumpulan media dan masyarakat sivil serta NGO untuk membawa kepada kefahaman yang lebih baik berkenaan kedudukan dan cabaran yang dihadapi media demi membawa perubahan demokratik di Malaysia,” katanya.

-NFN-

JURNAL BERITA – MB : RM10juta bina infra pam air ke Sungai Selangor

1. MB: Peruntukkan RM10 juta, bina infra untuk pam air ke Sg Selangor

2. MB: MOU air bukan rahsia, rakyat boleh teliti dokumen

3. KEMASKINI: Adun dan media dihalang lawat Empangan Sungai Selangor

4. Wan Azizah: Perancangan jahat Umno halang Anwar jadi Presiden PKR

5. Sultan Selangor terima Zakat Perniagaan Bank Rakyat RM4.47 juta

6. Tian: Kapal disamun dekat Pulau Ketam, apa sudah jadi keselamatan negara?

7. Nurul Izzah: Perjelaskan perjanjian projek janakuasa, elak kerugian

8. Anwar: Penyebaran fitnah tahlil untuk Karpal perbuatan ‘macai’ Umno

9. Geran Mosti: Kos projek RM130 juta tapi dapat RM150 juta

10. Harga Getah terus jatuh, peneroka tekad demo di kubu kuat Umno

11. MH370: Tolak kaji selidik Merdeka Center, menteri tak hormat pandangan rakyat

12. Peguam: Mahkamah tolak masa rayuan kes Anwar, tak simpati kematian Karpal

13. Saingan sengit Timb. Presiden PKR, demokrasi dalam parti

14. PKR sasar tambah 50,000 ahli baru masyarakat Tionghua dalam 5 tahun

Categories
SELANGOR

MB lancar Bilik Gerakan Utama PRK Kajang

Oleh Afeeqa Afeera

KAJANG 3 MAC: Parti Keadilan Rakyat (PKR) melancarkan Bilik Gerakan Utama sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang yang disempurnakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Majlis di Batu 12 1/2, Jalan Cheras itu turut disertai Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali,;Ketua Wanita, Zuraida Kamaruddin dan Exco Selangor, Elizabeth Wong.

Abdul Khalid berkata, bilik gerakan yang akan menjadi tumpuan media itu bakal dibuka setiap hari selepas proses penamaan calon pada 11 Mac nanti.

Katanya, media dialu-alukan menggunakan kelengkapan sedia ada bagi menjalankan tugas dan mendapatkan maklumat lanjut sepanjang tempoh berkempen.

“Kita amalkan satu aspek transperansi (ketelusan) dari segi membolehkan media untuk mendapat maklumat dan membuat analisis tentang pandangan dan perhatian mereka mengenai PRK.

“Kita harap liputan profesional dari semua pihak supaya demokrasi yang diterima sebagai asas kepimpinan negara ini dapat dilakukan dengan cara terbaik,” kata Pengarah Jentera PRK Kajang.

Pada majlis itu, laman sosial Twitter “Anwar4Kajang” dan Facebook “Anwar Kajang” turut dilancarkan untuk membolehkan orang ramai mengetahui aktiviti terkini calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dianggar, hampir 50 media baik media arus perdana mahupun alternatif hadir majlis berkenaan.

PRK Kajang menyaksikan persaingan antara Anwar menentang calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun pada 23 Mac ini.

– FZL

Categories
NASIONAL

Warga media bersolidariti bagi bebaskan 4 wartawan Al-Jazeera

SHAH ALAM 27 FEB: Sekumpulan petugas dan aktivis media hari ini berkumpul bersama kakitangan AlJazeera Malaysia menunjukkan solidariti terhadap empat wartawan agensi berita antarabangsa itu yang kini ditahan pihak berkuasa Mesir.

Kira-kira 30 daripada mereka berkumpul berdekatan persimpangan Jalan Ampang-Jalan Tun Razak bagi turut mendesak pihak berkuasa Mesir membebas dan melepaskan wartawan AlJazeera itu daripada tuduhan “pengganas dan melaporkan berita palsu”.

demo wartawanSelain kakitangan AlJazeera, turut menyertai bantahan aman itu ialah Ketua Pengarang Kumpulan portal berita Malaysiakini Steven Gan, aktivis hak asasi Mazjaliza Hamzah dan wakil Gerakan Media Marah (GERAMM) Radzi Razak.

Mereka memakai baju biru bertulis “Jounalisme is not a crime, #FreeAJStaff”, menutup mulut dengan pita dan memegang poster menuntut pembebasan wartawan itu sambil mengadap kepada kenderaan yang lalu lintas di persimpangan tersebut.

Kenderaan yang lalu-lalang turut membunyikan hon sebagai tanda sokongan terhadap kumpulan tersebut lapor Malaysiakini.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

GERAMM: Wujudkan kebebasan media

(1) Indeks Kebebasan Akhbar 2014

Rabu lalu, Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) mengeluarkan Indeks Kebebasan Akhbar Sedunia 2014 yang menyaksikan kejatuhan berterusan Malaysia dalam tangga kebebasan akhbar.

RSF meletakkan Malaysia di tangga 147 daripada 180 negara. Kedudukan itu paling buruk bagi negara ini dalam tempoh 12 tahun terakhir.

Bagaimanapun, pada hari yang sama, Putrajaya melalui jurucakap kerajaan mengeluarkan kenyataan sebaliknya.

Menurut kerajaan, media di negara ini – tidak kira media cetak atau atas talian – sebenarnya lebih bebas daripada sebelumnya.

Menurutnya lagi, kebebasan media itu tergambar melalui laporan portal-portal berita dan blog-blog politik.

media-bebas4Malah, perubahan yang dilakukan dalam pelesenan media cetak turut dijadikan alasan penafiannya.

Gerakan Media Marah (GERAMM) sama sekali tidak boleh menerima alasan jurucakap kerajaan tersebut.

Kedudukan buruk itu – tercorot di belakang Bangladesh (146), Myanmar (145) dan Cambodia (144) – sama sekali tidak boleh diterima.

Langkah kerajaan terus mencipta alasan-alasan mengelirukan, tetapi gagal mengambil iktibar, tidak akan membawa Malaysia ke mana-mana.

Kebebasan media tidak boleh dicerai-beraikan seperti hanya bebas di ruang siber (cyberspace) tetapi tidak bebas di ruang cetak (print media) dan di udara (on air).

Kebebasan itu bersepadu (integral) sifatnya — satu segmen bebas, maka semua segmen-segmen lain media harus bebas.

Jika portal berita boleh bebas, kenapa akhbar, radio dan televisyen tidak boleh menikmati kebebasan itu?

Maklumat, berita dan debat isu-isu masyarakat harus mengalir bebas tanpa mengira pentas (platform) media – portal berita, akhbar, radio dan televisyen.

Jika tiada kebebasan untuk akhbar, radio dan televisyen, maka ia bermakna sikap double-standard yang boleh ditertawakan masyarakat dunia.

Kebebasan double-standard ini ibarat tindakan jenayah yang harus dilakukan secara tertutup kerana malu pada orang ramai atau takut pada tindakan awam.

Gerakan Media Marah (GERAMM) mempersoalkan: kenapa kerajaan harus malu pada kebebasan media sehingga ia hanya boleh dinikmati di Internet?
Kenapa kebebasan media Internet tidak boleh diulang dan disebarkan melalui akhbar, radio dan televisyen?

Alasan kerajaan untuk mempertahankan kemerosotan indeks kebebasan media Malaysia seumpama itu sungguh mengaibkan dan membebalkan.

GERAMM ingin tegaskan, kebebasan akhbar bukan sahaja untuk media atas talian – yang dijamin bebas sejak pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad – tetapi juga termasuk media cetak, televisyen dan radio.

(2) Larangan PKR terhadap Kumpulan Utusan & TV3

PKR sebelum ini melarang Utusan Malaysia dan TV3 daripada membuat laporan terhadap sidang medianya.
Semalam (13 Februari) insiden yang sama berulang dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

GERAMM menuntut larangan ini dibatalkan kerana ia jelas bercanggah dengan prinsip kebebasan akhbar yang harus dihormati semua pihak.

Akses sama rata kepada semua pengamal media oleh parti politik, tidak kira parti mana, merupakan salah satu daripada lapan tuntutan GERAMM.

(Tuntutan penuh GERAMM: http://www.change.org/id/petisi/wartawan-dan-pengamal-media-sila-tandatangan)

Bagaimanapun, dalam masa yang sama, GERAMM juga menggesa kedua-dua media tersebut menghormati etika kewartawanan dengan memberikan liputan berimbang dan adil kepada semua.

Langkah ini penting supaya semua pihak, termasuk PKR, tiada alasan lagi daripada menghalang media daripada menjalankan tugasnya di kemudian hari.

Sebagai rekod, GERAMM juga menyatakan rasa kesalnya dan bantahannya terhadap kementerian yang melarang Malaysiakini mengadakan liputan sidang media YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu harga barang.

GERAMM juga menuntut Umno membenarkan semua media — khususnya tiga portal utama Malaysiakini, Malaysian Insider dan Free Malaysia Today — menghadiri sidang media selepas mesyuarat bulanan Majlis Tertinggi.

(3) Gangguan terhadap BFM

GERAMM juga menyelar larangan kerajaan terhadap stesen radio BFM yang ingin menyiarkan temubualnya dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon PKR di pilihan raya kecil Kajang.

Tindakan ini tidak masuk akal dan jelas sama sekali mencabul kebebasan media yang seharusnya dibenar melaporkan semua pihak yang bertanding tanpa rasa takut dan memihak.

Tindakan ini menjelaskan sikap kerajaan yang hanya membuka ruang kebebasan di Internet tetapi menyekat kebebasan di radio. Satu sikap yang janggal dan memalukan.

Malah, insiden sebegini terus berulang seolah-olah tiada penghujungnya.

Sebelum ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah menyiasat BFM yang menyiarkan temubual dengan pemikir Islam dari luar negara berhubung isu “Allah”.

Kerajaan harus berasa malu, ketika Indeks kebebasan Akhbar kita jatuh, pada ketika itu juga kerajaan terus menapis kandungan media sesuka hati.

Categories
NASIONAL

PKR: Media tidak bebas selagi akta zalim tidak dimansuh

Oleh: Norhayati Umor

SHAH ALAM 13 FEB : Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung media di negara ini lebih adil dan bebas daripada sebelum ini adalah palsu malah kenyataan itu ‘menggelikan’.

Naib Presiden PKR, N Surendaran berkata sebaliknya, tindakan kawalan media daripada Barisan Nasional (BN) melanggar demokrasi dan kebebasan seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah perkara 10 yang menjamin kebebasan bersuara.

heatjpgKatanya, ia terbukti dengan penggantungan akhbar The Heat, penarikan permit akhbar FZ Daily dan pengharaman BFM menyiarkan temubual dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kajang.

“Tindakan ini menggambarkan sikap tidak bertoleransi yang melampau akibat daripada pandangan yang menentang Najib dan kerajaan BN,” katanya dalam kenyataan media.

Surendran berkata media di negara ini tidak akan bebas melainkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dimansuhkan sepenuhnya.

Katanya, ia kerana Akta itu memberikan kuasa untuk memberikan dan menamatkan permit mana-mana akhbar.

Indeks“Akta itu memberi peluang kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengancam mana-mana akhbar yang mengkritik kerajaan.

“Ia dikuatkan lagi dengan tindakan pembangkang yang dihalang muncul di televisyen seperti RTM. Ini bukan sahaja tidak demokratik, malah menyalahgunakan sumber awam dan dana oleh kerajaan demi kebaikan BN

“Perkara ini berlaku sejak negara mencapai kemerdekaan lagi,” katanya.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan balas berhubung laporan media ekoran Stesen radio perniagaan, BFM dilarang daripada menyiarkan satu temubual dengan Anwar.

Putrajaya juga menafikan pentadbiran Najib menyekat kebebasan media cetak kerana sengaja menyukarkan pembaharuan lesen kepada pihak penerbitan.

Kononnya, dibawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, undang-undang lesen media cetak juga dilonggarkan.

Difahamkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengarahkan stesen itu tidak menyiarkan temubual terbabit.

Kedudukan Malaysia merosot ke tahap paling buruk dalam Indeks Kebebasan Akhbar terbaru yang dikeluarkan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF), Paris.

Malaysia kini berada di kedudukan 147 daripada 180 negara, merosot dua anak tangga lagi berbanding tahun sebelumnya (145).

Kedudukan itu meletakkannya berada di bawah negara-negara lain yang kurang membangun seperti Bangladesh (146), Myanmar (145) dan Cambodia (144).

EZY

Categories
SELANGOR

Elak manipulasi media BN, Anwar minta henti isu PKNS

Oleh Norhayati Umor

SHAH ALAM 9 FEB: Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu memberi ruang kepada media pro-Umno BN memanipulasi isu penamatan kontrak kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Meminta semua pihak tidak memanjangkan isu itu kepada media, beliau yakin media arus perdana yang pro-Umno BN akan mengambil kesempatan mengeruhkan keadaan.

Beliau tidak mahu pihak luar mengambil kesempatan memburuk-burukkan keadaan berikutan pemimpin parti memberi pandangan masing-masing dalam isu itu.

media“Saya sudah nasihati, kita tidak perlu perbesarkan lagi perkara ini,” kata Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu pada sidang media, hari ini.

Sebelum ini, isu penamatan kontrak membabitkan 22 kakitangan PKNS Holdings Sdn Bhd mendapat perhatian media tempatan apabila ramai menyuarakan pendapat masing-masing.

Bagaimanapun, kebanyakan pemimpin PKR termasuk Anwar yakin isu berkenaan mengganggu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang kerana ia bukan isu politik.

– FZL

Categories
NASIONAL

Pengamal media, anak Mahathir berarak dalam hujan & ‘patahkan pensel’

Oleh Mohd Ezli Mashut

KUALA LUMPUR 4 JAN: Kira-kira 200 pengamal media dan beberapa tokoh terkenal hari ini berarak dalam hujan pada Protes Pensel Merah, dari bangunan Majlis Peguam ke lokasi seorang wartawan dikasari polis dalam himpunan Bersih 3.0.

Marina-PenselAntara tokoh itu ialah anak bekas Perdana Menteri, Datin Paduka Marina Mahathir; bekas Pengerusi Bersih 2.0, Ambiga Sreenevasan; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.

Turut sama hadir menyatakan sokongan adalah Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Nik Nazmi Nik Ahmad; Adun Batu Caves, Amirudin Shari dan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.

Protes anjuran Gerakan Media Marah (Geramm) menggabungkan media portal utama di Malaysia membantah penggantungan akhbar mingguan The Heat  dan tuntutan lain.

Sekalipun hujan, acara dimulai dengan pembacaan lapan tuntutan sebelum  mematahkan pensel merah sebagai simbolik bantahan terhadap kongkongan kerajaan ke atas media.

patah pensel

“Pensel merah ini simbol wartawan yang cedera, dikawal oleh budaya, dan dikawal oleh penguasa dalam masyarakat,” kata jurucakap Geramm, Fathi Aris Omar.

DSC_0175

Kemarahan kian dirasai apabila penyair terkenal, Rahmat Haroun mendeklamasi  bait terakhir sajak ‘Peringatan’ karya aktivis Indonesia, Wiji Thukul.

“Dituduh subversif dan mengganggu keamanan, maka hanya ada satu kata: LAWAN!”

GERA

Berbekal semangat membara, pengamal media dan hadirin lain meredah hujan berarak ke Jalan Tun Perak, lokasi insiden seorang wartawan The Sun dikasari  pada himpunan Bersih 3.0 tahun lalu.

Wartawan berkenaan, Radzi Razak yang retak rahang hingga terlantar di hospital akibat kejadian itu turut menyampaikan ucapan berapi.

anasSekalipun ramai mahu protes itu diteruskan beberapa jam lagi, Fathi meminta hadirin bersurai sebagai menghormati polis yang memberi kerjasama baik.

Deklamasi puisi ‘Aku Sebatang Pensel’ yang disampaikan penyair terkenal, Pyanhabib dan busking daripada Nik Jidan menutup protes bersejarah yang pertama kali dilakukan pengamal media tanah air .

Lapan tuntutan kepada kerajaan, parti politik dan petugas media ialah:

Kepada Kerajaan Persekutuan

1. Menarik balik penggantungan akhbar mingguan The Heat dan benarkan ia beroperasi seperti biasa;

2. Siasat semula dengan rapi insiden-insiden keganasan anggota-anggota polis terhadap pengamal media sewaktu perhimpunan Bersih 3.0 pada 2012.

DSC_00823. Mansuhkan permit penerbitan yang diwajibkan mengikut Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (PPPA) yang tidak relevan lagi, malah ia dijadikan alat kawalan terhadap kebebasan pengamal media;

4. Membenarkan semua pengamal media membuat liputan di semua majlis kerajaan dan bangunan-bangunan awam untuk keperluan liputan berita.

5. Memohon maaf kepada pengamal-pengamal media atas tindakan-tindakan pencabulan hak kebebasan media selama ini;

media-bebas4Kepada parti-parti politik:

6. Memberi akses yang sama rata kepada semua pengamal media, tanpa pilih kasih, untuk hadir untuk liputan berita dalam aktiviti atau sidang media masing-masing.

Kepada semua media dan wartawan:

7. Mengamalkan etika kewartawanan, yang dianggap piawaian dunia, demi memberikan liputan berimbang dan adil kepada semua;

8. Mendukung semangat kebebasan, keadilan dan hak-hak asasi manusia.

– EZY FZL

 

Categories
BERITA UTAMA

Antara keganasan polis & penyokong kepartian, media ‘terkeronyok’

Oleh Fazallah Pit

SESETENGAH pihak menganggap Utusan atau media arus perdana seratus peratus kebal dari ‘dibelangkung’ pihak berkuasa khususnya polis atau Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ada benarnya tetapi hanya secara organisasi. Wartawannya tidak, jurugambarnya pun tidak. Mereka tetap dimangsai, sama seperti pengamal media alternatif mahupun media independen.

Cuma, ia tidak diperbesar-besar kecuali jika dimangsai penyokong pembangkang. Jika tidak, cerita itu ditutup atau sekurang-kurangnya dikecilkan. Mungkin mereka ‘deal‘ cara lain.

imageSelain kes wartawan The Sun yang dibelasah polis pada perhimpunan Bersih 3.0 hingga terlantar di hospital, kekasaran juga pernah berlaku membabitkan wartawan dan jurugambar Utusan.

Ketika itu, saya masih wartawan Berita Harian dan baru ditukar ke biro Klang. Kami sekereta – Proton Iswara merah yang dipandu wartawan senior Bernama dan dalam perjalanan membuat liputan Perhimpunan 100,000 Kesas.

Kami yakin ‘selamat’ – maklumlah, media arus perdana katakan.

Tidak jauh dari susur keluar Jalan Kebun dari Klang, kami berhenti di satu sekatan jalan raya di arah bertentangan.

Jurugambar Utusan merakam ‘aksi’ beberapa polis terhadap penyokong pembangkang. Untuk simpanan sahaja, mana boleh keluar paper, katanya kepada saya yang merokok sambil meninjau-ninjau.

Tiba-tiba, sekumpulan anggota polis berjalan laju ke arah kami.

Saya cepat-cepat masuk ke kereta – masih trauma akibat dikeronyok penyokong pembangkang dalam insiden ‘polis lepaskan tembakan ke udara’ di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

gardownload (1)Dalam sekelip mata, kereta yang kami naiki dikerumuni berbelas-belas  anggota polis, rasanya LSF (Unit Tindakan Ringan yang pakaiannya mirip FRU atau Unit Simpanan Persekutuan).

Tak ubah macam gula dihurung semut.

Seorang wartawan Utusan bersebelahan pemandu membuka pintu, mahu memberi penjelasan mengenai kehadiran kami. Malangnya, pintu kereta ditendang menyebabkan kaki kirinya terkapit.

Saya pula – di tempat duduk belakang, betul-betul belakang kerusi pemandu – menunjukkan kad media yang dikeluarkan Kementerian Penerangan apabila ditanya seorang anggota polis.

Press, press (Media, media)”  tetapi ‘tidak laku’ di mata anggota polis yang kemudian menghambur herdikan. Saya diam dan mulai memboikot kad media itu bertahun-tahun lamanya.

Kekecohan belum berakhir.

kareownload (1)Jurugambar Utusan – yang hanya menunggu tempoh pencen – dikerumuni anggota polis. Lehernya dicekak manakala filem kameranya dikeluarkan secara paksa. (Kamera berkenaan rosak akibat perbuatan itu).

Kami buat laporan dan dipanggil ke balai polis. Tapi, kami enggan – nekad hanya beri keterangan tanpa pergi ke balai. Maka, ia berlangsung di pejabat Utusan di Jalan Raja Bot, Klang.

Puluhan keping gambar anggota polis ditunjuk tapi semuanya ‘muka muda-muda’. Tak dapat cam, kami rasa dipermainkan, minta gambar yang agak baru tetapi tidak diendah.

Ironinya, polis ketika itu galak meminta media arus perdana memapar gambar wanted reformasi di dada akhbar termasuk Utusan.

Dalam satu sidang media tidak lama kemudian, seorang wartawan senior Utusan mempersoal keganasan polis kepada Ketua Polis Selangor (sudah meninggal dunia).

gandownload (1)“Datuk, polis minta media siar pesalah reformasi tetapi media pun ‘kena’ jugak.” Soalan itu hanya dijawab dengan janji yang tidak ditepati.

Anehnya, kisah sebegini cepat sejuk di kalangan pengamal media arus perdana tetapi cerita dikasari penyokong pembangkang sering kali digembar-gembur dari dada akhbar hingga ke kedai kopi.

Sebaik-baiknya, semua pengamal media konsisten dalam bersikap, dengan membantah sebarang keganasan terhadap pengamal media – baik sesiapapun pihak berkuasa mahupun penyokong kepartian.

Kebetulan, ia juga satu daripada lapan tuntutan Gerakan Media Marah (GERAMM) iaitu menyiasat keganasan terhadap pengamal media.

Maka, Protes Media Marah jam 2 petang esok di depan bangunan Majlis Peguam, Lebuh Pasar, Kuala Lumpur menjadi wadah paling sesuai untuk kita lepaskan marah dan geram.

Copy of geram-poster

* FAZALLAH PIT ialah bekas wartawan Berita Harian selama 13 tahun dan bekas editor Suara Keadilan antara 2010 hingga Mei 2013. Kini, Ketua Pengarang TV Selangor/Selangor Kini. Artikel ini pertama kali disiarkan di Malaysia Kini.

Categories
NASIONAL

Akta Percetakan dan Penerbitan ‘senjata’ BN sekat media

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 3 JAN: Kerajaan pusat secara berterusan menggunakan undang-undang menyekat kebebasan bersuara dan media melalui Akta Percetakan dan Penerbitan yang dijadikan ‘senjata’ dan ‘bom’ bagi mengawal tindak tanduk media.

Ketua Koordinator JINGGA 13, Fariz Musa, berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dijadikan alat BN untuk mengugut wartawan dan pengamal media seterusnya mengawal kebebasan serta hak bersuara demi menjayakan misi itu.

Fariz MusaKatanya, akta terbabit perlu dikaji serta dipinda supaya selari dengan hak kebebasan media seperti tuntutan dalam memorandum kepada Menteri Dalam Negeri daripada pelbagai pihak yang mahu kerajaan pusat menghapuskan permit penerbitan.

“Tindakan kerajaan yang mengantung The Heat adalah tindakan yang tidak demokratik dan anti kebebasan media.

“Apa juga alasan Kementerian Dalam Negeri (KDN), rakyat tetap melihat bahawa penyiaran atrikel yang mengkritik Perdana Menteri dan isteri beliau berkenaan perbelanjaan mewah serta boros menyebabkan The Heat terus digantung. Sehingga kini, KDN masih gagal membebaskan The Heat,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Fariz turut meminta rakyat Malaysia, pencinta demokrasi dan kebebasan bersuara menyertai Himpunan Pensil Merah, pada 4 Januari ini (esok).

“Kita juga menyatakan sokongan terhadap himpunan itu, ia sebagai satu tanda manifestasi kebebasan media dan bersuara yang meraikan amalan demokrasi serta menolak amalan authokrasi BN.

Sementara itu, wartawan tanpa sempadan, Hata Wahari berkata, akta itu perlu dihapuskan kerana sudah ketinggalan zaman dan kebanyakan negara seperti Nepal dan Myanmar sudah melaksanakan penghapusan berkenaan.

Hata WahariBeliau yang juga bekas wartawan kanan Utusan Malaysia berpendapat, BN masih bermentaliti dunia ketiga kerana bertindak mengawal semua perkara termasuk media.

“Negara lain sudah jadi negara pertama dalam kebebasan media, tetapi mentaliti BN masih dunia ketiga untuk mahu mengawal semua perkara.

“Akta itu akan terus berkuatkuasa selagi BN berkuasa di Malaysia. Satu cara untuk memastikan kebebasan media adalah dengan menjatuhkan BN dalam pilihanraya akan datang.

“Usaha itu perlu dilakukan bagi memberi kesedaran kepada rakyat bahawa mereka tidak akan mendapat maklumat yang sebenar dan tepat selagi BN berkuasa dan akta ini terus menguasai serta menindas pengamal media,” katanya.

Kajian Reporters Without Borders menunjukkan Malaysia adalah negara yang tidak demokratik dan mengekang kebebasan media daripada tangga ke 123/179 pada tahun 2012, semakin menurun di tangga 145/179 pada tahun 2013.

-NFN-

Categories
NASIONAL

GERAMM : Persatuan Wartawan Portal patut ditubuhkan

Oleh: SIRAJ MOHD ZAINI

KUALA LUMPUR 28 DIS : Sebuah persatuan wartawan portal patut ditubuhkan bagi melindungi wartawan itu susulan penggantungan akhbar The Heat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Bekas Setiausaha Agung Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), V Anbalagan, berkata kebanyakan wartawan yang menganggotai NUJ tidak bersetuju dan tidak menyokong usaha yang digerakkan bagi mempromosikan kebebasan media di negara ini.

DSC_0118a“Kebanyakan ahli NUJ datang daripada media cetak, kita tiada ahli daripada media elektronik mahu pun media baru, apa yang menjadi masalah adalah media tersebut (cetak) tidak menyokong usaha kami tetapi yang paling banyak memberikan sokongan adalah portal berita.

“Apabila saya menyertai portal berita The Malaysian Insider, saya sedar wartawan portal harus mengambil inisiatif menubuhkan Persatuan Wartawan Portal Malaysia bagi memastikan kebebasan media,” katanya.

Anbalagan berkata, dengan tertubuhnya satu persatuan berkenaan, wartawan portal akan terjaga dari segi kebajikan serta menjadi pusat latihan kepada wartawan baru.

“Ini adalah antara peranan yang dapat dimainkan oleh wartawan portal, dengan adanya persatuan itu akan dapat melatih wartawan agar lebih baik dalam laporan mereka serta menjaga kebajikan ahlinya,” katanya lagi.

DSC_0106aSehingga kini, Anbalagan berkata, pengaruh yang dibawa oleh media portal lebih berkesan kerana berjaya ‘menjuarai’ sesuatu isu lebih baik, jauh meninggalkan media cetak.

Pegawai Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Masjaliza Hamzah, berkata pengamal media seharusnya perlu sentiasa mengamalkan etika kewartawanan biarpun berdepan dengan tekanan daripada pelbagai pihak termasuk Kerajaan Pusat.

Katanya, media perlu bersikap adil termasuk memberi peluang kepada pihak yang dituduh untuk membela diri kerana pada akhirnya, rakyat yang dapat menilai kebenaran disebalik sesuatu isu.

“Sama ada suka atau tidak, menjadi prinsip kepada media, memberi peluang kepada seseorang untuk membela diri.

“Kita diberi peluang untuk membidas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan artikel yang mencabar pandangan mereka.

“Sekiranya media mahu rakyat tidak diperbodohkan, mereka mesti memberi ruang yang lebih untuk memastikan bahawa pencerahan berlaku dan mereka diberikan lebih maklumat,” katanya.

Masjaliza berkata demikian ketika menjadi panelis dalam satu forum yang dianjurkan oleh Gerakan Media Marah (GERAMM) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH), dekat sini, malam tadi.

Forum yang dihadiri pengamal media serta orang awam itu turut dibarisi panelis lain seperti pengasas bersama Malaysiakini, Steven Gan, bekas Setiausaha Agung Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), V Anbalagan, Ketua Wartawan Free Malaysia Today, G.Vinod, bekas wartawan Utusan, Hata Wahari, serta kartunis, Rona Sina.

EZY

Categories
NASIONAL

Gantung The Heat, GERAMM anjur himpunan bantahan ‘Pensil Merah’ 4 Jan

Oleh: Siraj

KUALA LUMPUR 28 DIS : Gerakan Media Marah (GERAMM) akan menganjurkan satu himpunan di ibu kota Kuala Lumpur pada 4 Januari 2014, yang diberi nama bantahan ‘Pensil Merah’.

Peserta himpunan dikehendaki mematahkan pensil sebagai bantahan terhadap siri pencabulan kepada organisasi media selama ini, termasuk The Heat yang menjadi mangsa Kementerian Dalam Negeri (KDN), baru-baru ini.

DSC_0118aPengumuman himpunan itu diumumkan dalam satu forum ‘Bebaskan Media’ anjuran GERAMM bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH), malam tadi.

Forum tersebut membariskan panelis iaitu pengasas bersama Malaysiakini, Steven Gan, bekas Setiausaha Agung Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), V.Anbalagan, Ketua Wartawan portal Free Malaysia Today, G.Vinod, bekas wartawan Utusan, Hata Wahari, aktivis media, Masjaliza Hamzah serta kartunis, Rona Sina.

Sementara itu, Sekretariat GERAMM, Radzi Razak, berkata himpunan itu bakal menghimpunkan pengamal media termasuk media cetak dan portal bagi menunjukkan solidariti terhadap penggantungan akhbar The Heat.

“4 Januari ini kita akan buat satu rapat umum yang menghimpunkan warga media untuk kita bagi satu lagi kenyataan fizikal kepada Perdana Menteri dan kepada semua rakyat Malaysia betapa pentingnya media,” kata Radzi.

Katanya, tindakan penggantungan oleh KDN itu didakwa mempunyai kaitan dengan tulisan bertajuk ‘All eyes on big spending PM Najib’ di muka depan dalam salah satu edisi The Heat baru-baru ini.

Bagaimanapun, KDN yang diketuai menterinya, Datuk Seri Zahid Hamidi menyatakan alasan teknikal yang tidak dimaklumkankan tentang pertukaran milikan dalam akhbar itu sebagai alasan penggantungan.

GERAMM mengemukakan lapan tuntutan kepada kerajaan, parti politik dan petugas media sendiri, iaitu:

Kepada Kerajaan Persekutuan:

1. Tarik balik penggantungan akhbar mingguan The Heat dan benarkan ia beroperasi seperti biasa;

2. Siasat semula dengan rapi insiden-insiden keganasan anggota-anggota polis terhadap pengamal media sewaktu perhimpunan Bersih 3.0 pada 2012.

3. Mansuhkan permit penerbitan yang diwajibkan mengikut Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (PPPA) yang tidak relevan lagi, malah ia dijadikan alat kawalan terhadap kebebasan pengamal media;

4. Membenarkan semua pengamal media membuat liputan di semua majlis kerajaan dan bangunan-bangunan awam untuk keperluan liputan berita.

5. Memohon maaf kepada pengamal-pengamal media atas tindakan-tindakan pencabulan hak kebebasan media selama ini;

Kepada parti-parti politik:

6. Memberi akses yang sama rata kepada semua pengamal media, tanpa pilih kasih, untuk hadir untuk liputan berita dalam aktiviti atau sidang media masing-masing.

Kepada semua media dan wartawan:

7. Mengamalkan etika kewartawanan, yang dianggap piawaian dunia, demi memberikan liputan berimbang dan adil kepada semua;

8. Mendukung semangat kebebasan, keadilan dan hak-hak asasi manusia.

EZY