Categories
SELANGOR

MB: PR tumpu isu maqasid syariah, hudud dibincang Majlis Presiden

Oleh : AFEEQA AFEERA

SUBANG JAYA, 23 DIS: Sebarang cadangan berkaitan masa depan Pakatan Rakyat (PR) termasuk isu hudud perlu dibincang dan diputuskan melalui sidang khas pada mesyuarat Majlis Presiden PR.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, PR akan lebih memberikan tumpuan kepada isu terkandung dalam maqasid syariah seperti ekonomi, sosial dan keselamatan disebabkan hudud bukan dasar bersama yang dicapai dalam gabungan itu.

Bagaimanapun, katanya, mesyuarat biro politik yang dipengerusikan beliau, pada 21 Disember lalu berpendapat jika ada pandangan atau cadangan baru perlu dibawa dalam mesyuarat Majlis Presiden PR yang akan berlangsung, pada awal Januari depan.

pakatan“Semasa sidang Majlis Presiden PR nanti, kita akan berbincang beberapa perkara terkini seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST), ekonomi merudum, mata wang sudah lemah termasuk hudud jika ia dibangkitkan.

“Hudud bukan soal individu parti menggubal dasar tetapi harus dimuafakati bersama PR seperti yang dipersetujui sebelum ini, yang mana sesuatu dasar itu mesti disepakati pimpinan PR,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Kepimpinan Wanita Selangor, di Hotel Holiday Villa, dekat sini, hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, hudud bukan isu baru yang pernah dibangkitkan PAS kerana cadangan seumpama itu pernah dibincangkan dalam kalangan pemimpin PR sebelum ini.

Katanya, PR menghormati Enakmen Jenayah Syariah II yang pernah diluluskan Kerajaan Kelantan pada tahun 1993 sebelum pembentukan Barisan Alternatif.

azmin“Itu pendirian yang kita ambil beberapa tahun dahulu, yang mana mendiang Karpal Singh juga hadir dalam mesyuarat berkenaan di ibu pejabat PAS.

“Exco Kelantan juga hadir memberikan penjelasan berkenaan enakmen yang diluluskan pada 1993 dan selepas berbincang panjang baru kita mengambil muafakat itu dalam PR,” katanya.

Semalam, The Malaysian Insider menyiarkan berita berkenaan kenyataan PAS Selangor iaitu PKR wajib menyokong hasrat kerajaan PAS Kelantan melaksanakan undang-undang hudud ekoran pemimpin tertingginya beragama Islam.

Bagaimanapun, Ketua Penerangannya, Zaidy Talib menafikan beliau berkata PKR wajib menyokong hukum hudud, tetapi menyatakan semua umat Islam termasuk ahli parlimen PKR yang beragama Islam wajib menyokong hudud.

Mengulas berkenaan gesaan Zaidy itu, Mohamed Azmin percaya cadangan itu adalah pandangan seorang pemimpin kanan parti yang matang, namun semua keputusan perlu terikat dengan dasar PR.

-NFN-

Categories
SELANGOR

BN cadang agihan jawatankuasa 3-3, PR anggap tidak wajar

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 7 DIS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Sulaiman Abdul Razak mencadangkan pindaan bersama Seksyen 72 (1) Dewan Negeri Selangor (DNS) supaya empat daripada enam jawatankuasa diberikan kepada Barisan Nasional (BN) secara majoriti mudah.

Hal itu kerana,  ia akan membawa kepada kesukaran membuat keputusan andai berlaku bantahan dari segi komposis jika sesebuah jawatankuasa itu dipengerusikan oleh BN, namun majoriti ahli jawatankuasa daripada PR.

Katanya, beliau mencadangkan supaya majoriti ahli jawatankuasa juga daripada BN dan begitu juga sebaliknya jika satu jawatankuasa itu dipengerusikan parti itu.

“Kalau kita ingin menjadikan ia satu jawatankuasa yang betul-betul kuat seperti Selcat atau yang ditubuhkan dewan, yang mana jawatankuasa ini dipengerusikan ADUN PR, komposisi ahli juga daripada mereka.

sulaiman abdul razak“Komposisi PAC juga harus majoritinya BN, mudah kita untuk laksanakan tugas. Sebagai contoh, jawatankuasa seperti Selcat yang dipengerusikan Speaker, tetapi majoriti ahli adalah daripada BN, sudah tentu ada kesukaran menjalankan tugas jika ada bantahan.

“Mungkin sudah dibuat (diluluskan) Pengerusi PAC adalah daripada ADUN BN, sedangkan majoritinya PR, bagaimana jawatankuasa ini mampu menjalankan tanggungjawab seperti yang dikehendaki dewan,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Seksyen 72 (1) DNS) menyatakan jumlah jawatankuasa adalah bergantung kepada jumlah parti yang menang dalam dewan.

Sulaiman berkata, walaupun ADUN BN adalah ahli majoriti sesebuah jawatankuasa, mereka tetap perlu melaksanakan tanggungjawab berdasarkan peraturan DNS dan bukan mengambil tindakan secara tidak munasabah.

DNS sebelum ini meluluskan pindaan Peraturan Tetap 68(1) supaya Ketua Pembangkang dilantik menjadi Pengerusi PAC yang turut disertai seorang ADUN BN dan lima anggota daripada PR.

Sementara itu, mengulas perkara sama, Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) ketika dihubungi berkata, pindaan itu adalah satu perubahan ketara yang belum pernah dibuat DNS.

ng suee limTindakan itu membuktikan keikhlasan kerajaan PR, selain memberikan ruang kepada pembangkang memainkan peranan semak dan imbang dengan lebih berkesan.

Menyentuh soal cadangan BN supaya jawatankuasa diberikan secara majoriti mudah kepada mereka, beliau menjelaskan, ia tidak wajar dilakukan walaupun jawatankuasa itu diagihkan sama banyak (3-3) kepada BN dan PR.

Suee Lim berkata, pengagihan sama rata itu menimbulkan kekeliruan siapa sebenarnya kerajaan atau pembangkang.

“Ini tidak memenuhi prinsip dan aspirasi demokrasi Komanwel yang kita amalkan selama ini.

“Di British dan India sendiri mereka tidak mempraktikkan anjakan sedemikian. Mereka menggunakan kaedah melantik ketua pembangkang sebagai Pengerusi PAC tetapi dalam jawatankuasanya mereka mengambil nisbah kerajaan dan pembangkang.

“Kalau permintaan pembangkang (BN) untuk menjadikan mereka majoriti, ini luar daripada kaedah demokrasi yang dipraktiskan. Kita kena akur PR adalah majoriti dengan 43 kerusi, jadi harus melihat dari segi aspirasi mandat rakyat ini.

“Kita boleh membuat anjakan tetapi tidak boleh bercanggah daripada mandat rakyat,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

PR minta pertimbang tambah dana pengurusan, BN pertikai hanya diberi elaun

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 3 DIS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing memberi pendapat berbeza berhubung keputusan Kerajaan Selangor untuk tidak menaikkan peruntukan pengurusan pejabat dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), semalam.

Gan Pei Nei (PKR-Rawang) berkata, beliau bersama Kelab Penyokong Kerajaan Selangor (BBC) akan terus membawa usul itu tahun depan memandangkan lebih banyak program akan dilaksanakan di kawasan DUN.

Katanya, beliau menjangkakan kapasiti kerja kakitangan di DUN akan bertambah, sekali gus meningkatkan kos pengurusan pejabat melihat kepada Belanjawan Selangor 2015.

Gan Pei Nei“Jadi, kita minta penambahan peruntukan supaya ada kakitangan dengan kelayakan berpatutan dan kapasiti kerja untuk menawarkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kita memerlukan kakitangan yang ramai untuk melaksanakan program Kerajaan Negeri,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri mungkin boleh mempertimbangkan untuk menambah sedikit peruntukan bagi urusan kebajikan kakitangan dan pengurusan pejabat jika RM30,000 itu terlalu besar.

Katanya, kebanyakan ADUN terpaksa menggunakan dana sendiri untuk menambah peruntukan sedia ada bagi urusan pejabat.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) boleh meningkatkan dana untuk pengurusan kawasan atas niat untuk perkhidmatan baik,” katanya.

permatangSementara itu, Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) pula berkata, wakil rakyat pembangkang tidak menerima peruntukan berkenaan, sebaliknya hanya menerima elaun dan gaji sebagai ADUN.

Katanya, Kerajaan Negeri harus berlaku adil kepada semua wakil rakyat memandangkan ADUN Barisan Nasional (BN) juga perlu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Kami juga wajar diberi peruntukan kerana ini soal pengurusan pejabat bukan untuk kepentingan ADUN tetapi pengurusan. Ini bukan macam isu RM200,000 tetapi soal kemudahan,” katanya.

Beliau turut berpandangan kenaikan yang dipohon ADUN PR sehingga RM30,000 itu juga terlalu tinggi dan melibatkan kewangan besar.

“Mungkin tidak dinaikkan sebab Kerajaan Negeri ada enakmen tertentu atau halangan yang melibatkan kewangan.

“Tetapi untuk menaikkan (jumlahnya) agak besar, dalam suasana semasa mungkin wajar, namun tidak perlu sampai kenaikan 300 peratus,” katanya.

Semalam, Kerajaan Selangor memaklumkan tidak berhasrat untuk menaikkan peruntukan pengurusan pejabat ADUN daripada RM10,000 kepada RM30,000 setahun.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan mesyuarat exco bertarikh 4 September 2013 meluluskan bayaran RM10,000 sebulan yang dibayar terus melalui Dewan Negeri Selangor (DNS) bagi penyelarasan bayaran gaji dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada tiga pembantu tadbir termasuk bayaran utiliti.

Selain itu, katanya, peruntukan RM20,000 untuk pengubahsuaian pejabat diberikan lima tahun sekali dengan peruntukan ADUN.

-NFN-

Categories
SELANGOR

PR usul mansuh Akta Hasutan, BN keluar sidang DNS

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 3 DIS: Dewan Negeri Selangor (DNS) yang bersidang hari ini meluluskan usul tergempar menggesa Kerajaan Pusat memansuhkan Akta Hasutan 1948.

Usul yang dibawa Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) itu disokong Saari Sungip (PAS-Hulu Kelang), Tiew Way Kang (DAP-Teratai) dan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan).

“Pendirian PM yang membelakangkan janjinya menunjukkan sikap hipokrit atau dalam bahasa Arab, ‘munafik’.

sidang dun 04“Respon parti komponen BN yang lain berkenaan pendirian terbaru Perdana Menteri itu sangat menarik, yang mana pemimpin MCA dan MIC berkata keputusan akta terpenting itu tidak pernah dibincangkan dalam kabinet,” katanya.

Weng San berkata demikian sebagai merujuk keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden Umno untuk tidak memansuhkan akta hasutan ketika perhimpunan agung parti itu, baru-baru ini.

Sementara itu,  Saari Sungip yang pernah dua kali ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menyifatkan Akta Hasutan berkenaan menindas dan menghalang rakyat bersuara.

“Ini adalah perjuangan rakyat menentang kezaliman, perjuangan untuk menjamin kebebasan bersuara. Sesungguhnya, negara ini tidak perlu akta yang kejam sebaliknya wujudkan akta yang mampu mewujudkan suasana harmoni,” katanya.

eliau turut memuji usul yang dibawa Weng San yang sifat konsisten beliau menentang akta yang zalim ini.

“Tahniah DUN Selangor yang merupakan dewan pertama yang membawa usul menentang dan berusaha memansuhkan Akta Hasutan ini,” katanya.

Sementara itu, Way Kang ketika membahaskan usul terbabit turut mempersoalkan sikap acuh tidak acuh Perdana Menteri terhadap suara rakyat yang inginkan akta itu dimansuhkan.

“Pengumuman Perdana Menteri untuk mengekalkan Akta Hasutan tempoh hari jelas membuktikan beliau seorang pembohong.

“Keputusan itu juga membuktikan kerajaan yang dapat sokongan minoriti pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu memandang rendah kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu, semua ADUN Barisan Nasional keluar dari sidang DNS ketika usul tergempar itu dibangkitkan.

Usul terbabit diluluskan sebulat suara tanpa sebarang bantahan.

-NFN-

Categories
SELANGOR

BN dakwa PR tidak sepakat isu Timbalan Speaker

Oleh: AFEEQA AFEERA dan NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 2 DIS: Pakatan Rakyat (PR) tidak mempunyai kesepakatan berhubung isu pelantikan Timbalan Speaker II, Dewan Negeri Selangor (DNS) yang dituntut DAP, kata Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohd Shamsudin Lias.

Beliau berkata, setakat ini tiada keperluan untuk mewujudkan jawatan baru itu memandangkan ia sudah disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PAS.

“Kalau begitu, sudah berkuranglah tugas Speaker dan Timbalan Speaker sebab dibahagi tiga dan ia akan membazirkan wang rakyat,” katanya, di sini, hari ini.

dnsShamsudin (BN-Sungai Burong) turut berpendapat isu itu perlu ditekankan ketika sesi pencalonan Timbalan Speaker jika DAP merasakan parti itu layak untuk menjawat jawatan berkenaan.

“Kenapa bila sudah kalah baru ingin wujudkan jawatan Timbalan Speaker II, nampak sebenarnya DAP nak jawatan itu.

“Kesimpulannya, saya nyatakan bahawa DAP tamak kuasa. Sudah ada Speaker daripada DAP, nak juga Timbalan Speaker, apa lagi dia nak,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berkata, parti itu akan tetap melobi supaya satu lagi jawatan Timbalan Speaker diwujudkan apabila jawatan berkenaan dimenangi PAS melalui undi rahsia yang dijalankan di DNS, baru-baru ini.

Beliau menyatakan hasrat parti itu adalah adil dan tidak keterlaluan ketika konvensyen DAP Selangor, pada 30 November lalu.

ng suee lim dns 04 jul 01DAP mencalonkan Ng Suee Lim untuk jawatan itu minggu lalu, namun jawatan tersebut dimenangi Shafie Ngah (PAS-Bangi) dengan 28 undi, manakala Suee Lim memperoleh 14 undi.

Kerusi Speaker DNS diduduki ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh dari DAP.

Sebelum ini, Suee Lim berkata, persetujuan baru di kalangan komponen PR perlu dicapai terlebih dahulu berhubung jawatan Timbalan Speaker II.

“Hanya perlu ubah enakmen. Itupun kalau persetujuan berhubungnya dicapai dalam kalangan komponen PR.

“Buat masa ini, kita belum ada sebarang mesyuarat. Akan datang mungkin selepas selesai sidang DNS,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

MB: PR mampu selesai percanggahan pandangan secara bijak

Oleh: LIZAWATI MADFA

GOMBAK, 16 NOV: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali percaya percanggahan pandangan dalam konsensus Pakatan Rakyat (PR) mampu diselesaikan secara bijak.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, PR juga semakin kukuh dalam politk tanah air walaupun terdapat keraian pandangan di antara parti komponen.

Katanya, setiap pandangan yang berbeza sentiasa dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PR.

konvensyen pakatan (18)“Saya tidak lihat ketidakhadiran Presiden PAS ke mesyuarat sebagai satu isu besar dan percaya perkara ini boleh diselesaikan secara baik.

“Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pimpinan PAS juga sudah beri komitmen sangat baik dalam PR sehingga kita dapat kejayaan dalam pilihan raya umum lalu,” katanya ketika ditanya berkenaan desakan DAP supaya Abdul Hadi dapat menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PR.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebelum ini menegaskan kehadiran Abdul Hadi penting kerana hanya beliau boleh membuat keputusan penting untuk parti Islam itu.

MB Azmin AliBagaimanapun, Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar mengingatkan Guan Eng bahawa DAP tidak boleh terlalu mendesak Abdul Hadi memandangkan ketidakhadirannya mempunyai alasan kukuh.

Katanya, Abdul Hadi ada alasan kesihatan yang tidak membenarkannya untuk menyertai mesyuarat PR.

Selain itu, Mahfuz menegaskan pimpinan PAS juga tidak pernah mencampuri urusan DAP termasuk memaksa Guan Eng untuk hadir ke Parlimen.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Pemimpin politik perlu amal sikap ‘gentleman’

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 30 SEPT: Semua pemimpin politik baik dari Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR) perlu bersikap lebih terbuka dan beradab, atau ‘gentleman’ bagi memastikan politik matang dapat dicapai kedua belah pihak.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Maszlee Malik, berkata jika sesuatu pujian atau kritikan boleh diterima secara terbuka, maka ia menunjukkan satu bentuk kematangan dalam berpolitik.

Namun, katanya budaya menerima pujian pihak lawan masih dianggap janggal di negara ini, bahkan seseorang itu akan dituduh ‘kawan’ kepada seteru politik.

“Isunya bukan siapa puji siapa tetapi menunjukkan tahap berpolitik di Malaysia yang masih belum mencapai kematangan.

“Kita belum capai politik idea yang mana, asasnya, politik secara gentleman belum ada di Malaysia,” katanya kepada Selangor Kini, merujuk kepada sikap segelintir pihak yang mencemuh pihak lain sekiranya dipuji pihak lawan.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata senario itu berpunca daripada sikap BN sendiri kerana gagasan berkenaan sering menggambarkan PR sebagai ‘tidak elok’.

Katanya BN memerlukan lebih ramai pemimpin seperti Datuk Saifuddin Abdullah, Khairy Jamaluddin atau Datuk Nur Jazlan Mohamed yang bersikap terbuka dengan memberi kredit kepada orang tanpa melihat parti dan sebagainya.

“Apabila ada pihak yang muncul dari BN untuk memuji pemimpin pihak lawan, maka mereka akan dikatakan mempunyai niat lain atau udang di sebalik batu.

“Parti politik BN khususnya kena berubah kepada politik idea supaya kita mencapai politik matang,” katanya lagi.

HM

Categories
SELANGOR

Azmin diyakini mampu teruskan kecemerlangan PR

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 25 SEPT: Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali diyakini mampu meneruskan kecemerlangan PR mentadbir negeri Selangor dan memastikan kebajikan rakyat diutamakan.

rodziahAdun Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata Azmin mempunyai kemampuan untuk menterjemahkan dasar gagasan itu dalam dasar Kerajaan Negeri.

“Kita harapkan tanda aras yang telah diletakkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjadi ukuran dalam pembangunan dan perancangan Menteri Besar baru.

“Saya harapkan asasnya dapat diteruskan dan tiga polisi negeri iaitu kecekapan,akauntabiliti dan transparensi dapat diterjemahkan dalam pentadbiran kerajaan,” katanya kepada Selangor Kini.

Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor ke-15 di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang.

Beliau menggantikan Abdul Khalid yang merupakan Menteri Besar Selangor sejak tahun 2008.

Terdahulu, Ketua Penerangan Umno Ahmad Maslan berkata pelantikan Azmin tidak signifikan bagi negeri terkaya di Malaysia, tetapi hanya ‘menumpang’ kejayaan yang telah dilakukan kerajaan BN selama 15 penggal.

Rodziah melahirkan rasa dukacita diatas sikap ungkit pemerintah lalu yang sekadar melakukan tanggungjawab yang dijangkakan daripada mana-mana pemerintah.

Tegasnya, pentadbiran PR di Selangor bersusah-payah membetulkan kesilapan-kesilapan yang pernah dilakukan pemerintah sebelum ini, dan menyelaraskan semula dasar Kerajaan Negeri menepati keperluan rakyat terbanyak.

“Kalau BN kata kita sambung kejayaan mereka, di mana kita sambung?

“Kita banyak buat pembaharuan, kalau kesinambungan kita tutup mata dan teruskan sahaja, maka saya sangkal kalau BN kata kita teruskan kerana banyak polisi BN yang kita mansuhkan dan buat polisi baru,” katanya.

HM

Categories
SELANGOR

Pakar: PR pecah jika Adun Hulu Klang, Morib dilantik Exco

Oleh NAZLI IBRAHIM

Profesor Datuk Mohamad Abu Bakar berpendapat Pakatan Rakyat kembali berantakan sekiranya dua Adun PAS yang melanggar ketetapan parti dan bersolidariti dengan rakan-rakan PKR dan DAP dilantik Exco.

ProfMohdAbuBakar1Pensyarah Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya itu berkata PR sewajarnya mengelak mencetuskan pergeseran baru yang hanya akan melambat-lambatkan proses pemulihan krisis perebutan jawatan Menteri Besar.

“Ini akan menimbulkan pergeseran sebab mereka yang menentang PAS juga diserap. Pertama, kita sedar tindak tanduk mereka menimbulkan kemarahan kepada PAS khasnya Datuk Seri Hadi Awang sendiri. Sekiranya mereka ini diserap jadi Exco, ini tamparan kepada PAS dan keretakkan dalaman Pakatan Rakyat (PR) jadi lebih jelas,” tegas beliau.

Di muktamar PAS baru-baru ini, Presiden Abdul Hadi Awang membidas Adun Hulu Klang, Saari Sungib dan Adun Morib, Hasnul Baharuddin hingga menggelar mereka ‘barua’ kerana menandatangani akuan bersumpah menyokong calon Langkah Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sejurus perlantikan Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali sebagai Menteri Besar baharu, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin menggesa kuota PAS dikaji semula kerana tidak menyokong Dr Wan Azizah.

Persuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad bangkit mempertahankan kuota empat anggota Exco yang diperuntukkan kepada partinya, memandangkan Parti Islam majoriti Melayu itu mempunyai jumlah kerusi yang mengatasi PKR dan menyamai kerusi milik DAP.

“Krisis ini sudah berlarutan agak lama, sebarang usaha melaga-lagakan tak menjadi sebab orang dah bosan.

“Rakyat hanya ingin lihat pentadbiran Selangor kembali pulih, berjalan baik demi rakyat sebab rakyat lebih mementingkan keselesaan, kelancaran kerja, perkhidmatan umum dan inilah ditekankan, bukan soal idealogi, bukan soal kepartian tetapi mereka harus mengurus supaya tidak menjadikan krisis Selangor berpanjangan,” jelas Mohamad.

Pendapat itu turut dikongsi Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad. Beliau dilaporkan berkata pemilihan dua Adun PAS itu akan memburukkan hubungan antara parti komponen, selain menggambarkan mereka dipilih atas dasar sokongan dan bukan kemampuan.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mengesahkan parti itu telah menyerahkan senarai nama calon exco PAS kepada Menteri Besar Mohamed Azmin Ali untuk dipersembahkan ke bawah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, hari ini.

Perkenan Tuanku dan jemaah Exco baharu dijangka diumum esok.

HM

Categories
BERITA UTAMA

Kejayaan Kerajaan Selangor mampu lenyapkan wayang ‘Langkah Kajang’

Oleh: KOLAR PUTIH

“Nak Seribu Daya, Tak Nak Seribu Dalih.” Peribahasa ini tepat menggambarkan sikap tidak konsisten dan pilih bulu oleh watak-watak utama wayang ‘Langkah Kajang’ dalam usaha menyingkirkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Mengapa isu yang terlalu umum yang menjadi masalah bukan sahaja di Selangor malah diseluruh Malaysia seperti jalan berlubang dan masalah kutipan sampah telah dipilih untuk dijadikan alasan kegagalan (kononnya) Abdul Khalid mentadbir negeri Selangor?

Mengapa isu yang diluar bidang kuasa Abdul Khalid diletakkan sebagai kesalahan beliau seperti isu rampasan bible Bahasa Melayu oleh Abdul Khalid? Dalam bidang siasatan, barang-barang yang dirampas hanya boleh dipulangkan setelah mendapat kebenaran daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang melapor terus kepada Pejabat Peguam Negara, dan bukannya di bawah bidang kuasa pihak yang merampas.

LangkahBila disebut mengenai TPR dan Pejabat Peguam Negara, entiti-entiti ini adalah penghubung antara cabang perundangan dan eksekutif, manakala Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor adalah di bawah cabang eksekutif yang secara jelas tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam isu pemulangan bible Bahasa Melayu ini.

Konsep doktrin pengasingan kuasa antara cabang perundangan, legislatif dan eksekutif adalah konsep paling asas dalam sistem demokrasi. Namun, adalah sangat janggal kerana kebanyakan politikus-politikus picisan yang kononnya ‘jaguh demokrasi’ sendiri gagal dan keliru untuk memahami perkara semudah ini.

Sejak Abdul Khalid memimpin jemaah pentadbiran negeri Selangor sejak 2008, satu agenda penting iaitu ‘Hasil Negeri Untuk Rakyat’ telah disalurkan kepada rakyat Selangor melalui program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Bermula dengan 7 program iaitu air bersih percuma, Skim Mesra Usia Emas, Tabung Warisan Anak Selangor, Pusat Khidmat Krisis Sehenti, Hadiah Anak Masuk Universiti, Tabung Anak Pekerja Ladang dan Peningkatan Hasil Galian, Kerajaan Negeri Selangor telah meletakkan asas yang kukuh supaya MES boleh terus berkembang menjangkau kumpulan sasar yang lebih meluas.

Kini MES telah berkembang dengan 10 lagi program iaitu Skim Kesihatan Wanita, Skim Mikrokredit Miskin Bandar, Pusat Dialisis Rakyat, Kemudahan Cuti Tambahan, Program Tuisyen Rakyat, Skim Mikrokredit Wanita Ladang, Skim Bantuan Asuhan Rakyat, Skim Bantuan Tadika dan Insentif Perkahwinan Belia.

Pastinya kesemua 17 program MES ini tidak akan direalisasikan sekiranya ekonomi negeri Selangor tidak berdaya tahan dan tidak mempunyai asas yang kukuh. Hasil daripada disiplin pengurusan kewangan yang baik telah menjadi pemangkin kepada daya tahan ekonomi negeri Selangor sekaligus memberi keupayaan pelaksanaan kesemua program MES tersebut.

mesTidak cukup dengan itu, mengapa watak-watak utama wayang ‘Langkah Kajang’ kini umpama terkelu lidah mengenai keupayaan negeri Selangor mencatat Rizab Negeri tertinggi iaitu hampir RM3 bilion? Abdul Khalid telah mengumumkan 6 inisiatif ampuh untuk rakyat iaitu pembinaan Jambatan Ketiga Kelang, pembinaan rumah mampu milik, pembinaan beberapa bangunan sekolah, pembangunan usahawan dan pemerkasaan belia, serta pembangunan desa dan pemberdayaan wanita hasil daripada limpahan hasil ekonomi negeri Selangor.

Inilah antara tuah rakyat Selangor. Namun, sungguh malang apabila terdapat wayang ‘Langkah Kajang’ yang secara terancang dan terperinci berusaha untuk mengaburi segala kejayaan dan pencapaian Kerajaan Negeri Selangor.

Tidak cukup dengan itu, wayang ‘Langkah Kajang’ yang dipentaskan juga ingin menjatuhkan individu yang bertanggungjawab menatang dan seterusnya berjaya menjulang negeri Selangor dalam banyak aspek.

Semoga rakyat Selangor dapat terus membulatkan tekad dan mengikat ikrar untuk terus mempertahankan keharmonian dan kedaulatan negeri Selangor daripada mereka yang telah tercalit arang nepotism yang meletakkan kepentingan diri melebihi daripada kepentingan rakyat Selangor. 

Categories
SELANGOR

MB Selangor tetap milik PKR

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 OGOS: PAS Pusat menegaskan parti itu tetap konsisten dengan pendirian kerusi Menteri Besar Selangor adalah milik Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Memetik Harakah Daily, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, berkata pihaknya akan mempersembahkan tidak kurang daripada dua nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai calon menteri besar yang baru.

Grafik-Selangor-PakatanKatanya, PAS akan menghantar senarai berkenaan kepada pihak istana sebelum tarikh akhir berbuat demikian, pada 3 September ini.

“Kita tidak akan calonkan ADUN PAS untuk jawatan itu kerana Menteri Besar Selangor adalah jawatan milik PKR. Kita hormati perkara ini dan ia adalah muktamad.

“Jika ada laporan yang sebut saya kata sekurang-kurangnya tiga nama (calon Menteri Besar), itu tak betul,” jelasnya.

Beliau dilaporkan mengadakan mesyuarat dengan kepimpinan PAS negeri itu yang turut disertai Pesuruhjaya PAS negeri yang juga Exco Kerajaan Selangor, Iskandar Abdul Samad dan setiausaha PAS negeri, Mohd Khairuddin Othman, malam tadi.

mustafa aliMustafa berkata, mesyuarat itu tidak menyentuh berkenaan isu Menteri Besar Selangor, sebaliknya beliau hanya menjelaskan kronologi kemelut jawatan menteri besar kepada ahli PAS negeri itu.

Semalam, Istana Selangor menghantar surat rasmi kepada PKR, PAS dan DAP yang menitahkan supaya menghantar lebih daripada dua nama calon menteri besar, sebelum 3 September ini.

Surat itu dialamatkan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dengan salinan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang turut menyatakan calon yang dinamakan itu perlu beragama Islam dan berketurunan Melayu menurut Perkara L1 (2), Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.

Pada 26 Ogos lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah menangguhkan untuk menerima peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Khalid sebagai Menteri Besar Selangor sehingga pelantikan baru ditentukan.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Mansuh segera Akta Hasutan 1948, henti serang pimpinan PR

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 OGOS: Kerajaan Pusat digesa untuk menghentikan pendakwaan dan serangan terhadap pimpinan Pakatan Rakyat (PR) serta- merta.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata Kerajaan Pusat juga seakan sengaja bersikap berat sebelah di sebalik penggunaan Akta Hasutan 1948.

Nik Nazmi berkata, akta berkenaan tidak pula diguna pakai terhadap pimpinan pro Barisan Nasional (BN) yang lebih jelas ‘menghasut’.

“Banyak pimpinan BN, ISMA dan Perkasa yang mengeluarkan kenyataan yang nyata bersifat jenayah tetapi tiada sebarang tindakan.

pakatan rakyat putrajaya naeem“Misalnya, saya pernah membuat laporan polis terhadap kenyataan pemimpin Perkasa, Ruslan Kassim, yang ingin memancung empat Ahli Parlimen PAS Selangor kira-kira dua bulan lalu, namun tiada tindakan susulan selepas kenyataan saya diambil,” katanya dalam satu kenyataan.

Beberapa hari kebelakangan ini, beberapa pimpinan PR didakwa di bawah Akta Hasutan atau undang-undang lain termasuk Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli (PKR); Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad (PAS); Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran (PKR); ADUN Seri Delima, RSN Rayer (DAP); Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok (DAP) dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin (PAS).

Sehubungan itu, Nik Nazmi yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengotakan janji memansuhkan Akta Hasutan 1948 itu.

niknazmi“Kalau benar Najib menepati janji, saya mendesak supaya beliau segera memansuhkan Akta Hasutan 1948 ini seperti yang beliau katakan.

“Hentikan pendakwaan dan serangan terhadap pimpinan PR serta-merta.

“Dengan penghapusan Akta Hasutan 1948, tiada lagi rakyat yang akan ditindas hanya kerana kelantangan mereka menyuarakan pendapat mahupun mengkritik kerajaan,” katanya.

-NFN-