Categories
AGENDA NASIONAL

Rakyat sokong warga asing naik Bas Smart Selangor dicaj 90 sen

SHAH ALAM, 6 MAC: Rakyat bersetuju dengan langkah Kerajaan Negeri mengenakan caj 90 sen kepada warga asing ketika menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor bermula 15 Mac ini.

Nurul Fatihah Mazri, 26, berkata langkah itu adalah perkara biasa sesebuah kerajaan bagi membezakan keistimewaan antara warganegara dan rakyat asing.

Nurul Fatihah Mazri

“Kalau kita ke luar negara, memang ada negara yang mengenakan caj berbeza sekiranya menggunakan kemudahan mereka, termasuk bas ataupun tempat-tempat pelancongan.

“Oleh itu, tindakan Kerajaan Negeri supaya warga asing perlu membayar tambang untuk menaiki Bas Smart Selangor adalah normal dan patut dilaksanakan segera,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Seorang warga emas, Tan Yee Lin berkongsi pengalaman terpaksa berasak-asak dengan warga asing ketika menaiki bas untuk menyelesaikan urusan penting di tempat lain.

Tan Yee Lin

Wanita berusia 76 tahun itu berkata beliau sudah menggunakan bas berkenaan sejak 2015 selepas Kerajaan Selangor mengumumkan kemudahan pengangkutan percuma itu.

“Memang seronok tak payah bayar tambang, tapi kadangkala susah juga bila ada ramai warga asing hendak naik. Kadangkala terpaksa berebut, tak semua boleh tolak ansur dengan orang tua kerana ada juga yang sengaja tidak berikan laluan.

“Saya rasa selepas mereka kena bayar tambang bas, mungkin tak ramai yang mahu naik dan saya pun tak perlu lagi berebut,” katanya.

Pendapat Yee Lin turut disokong Nur Alisa Syafiah Zulkarnain, 19, yang berulang alik dari Seksyen 27 ke Plaza Alam Sentral untuk ke tempat kerja.

Nur Alisa Syafiah Zulkarnain

Beliau beranggapan caj yang bakal dikenakan kepada kumpulan itu akan mengurangkan kesesakan yang dialami.

“Bukan kita tak beri mereka naik bas, tetapi bila caj dikenakan, mungkin mereka tidak lagi akan berasak-asak terutama pada cuti hujung minggu atau perayaan.

“Lagipun pengangkutan awam ini percuma, siapa tidak mahu gunakan. Jadi apabila ada caj dikenakan, mungkin kesesakan juga dapat diatasi,” katanya.

Bagi Magisvary Gopalsamy, 65, beliau berpendapat tambang yang dikenakan untuk warga asing itu amat rendah berbanding keselesaan yang diberikan Bas Smart Selangor.

Magisvary Gopalsamy

“Bas ini ada penghawa dingin, bersih dan tidak pernah kotor. Jadi dengan harga 90 sen itu amat berbaloi jika orang luar bayar. Malah, wang yang diperoleh pihak pengurusan bas akan digunakan kembali untuk naik taraf bas ini.

“Lagipun sudah terlalu lama kita beri tambang secara percuma kepada mereka, memang saya amat setuju supaya tambang dikenakan kepada golongan berkenaan,” katanya.

Nazatul Hafikah Abin

Nazatul Hafikah Abin, 27, yang berasal dari Sabah pula tidak sangka Selangor menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada penduduk dan warga asing sebelum ini.

Baru dua bulan menggunakan pengangkutan awam itu, beliau mendapat tahu selepas 15 Mac depan hanya rakyat tempatan yang boleh menikmati tambang percuma.

“Tapi pada saya tambang 90 sen itu sangat murah, rasanya lebih murah dari bas lain. Jadi kemungkinan besar ia tidak membebankan mereka.

“Kadangkala ada di antara warga asing ini mempunyai peruntukan khas dari majikan bagi kos tambang untuk ulang alik ke tempat kerja,” katanya.

K Mahaletchiumy

Manakala pelajar Kolej MSU Shah Alam, K Mahaletchiumy, 22, berpendapat caj boleh kenakan tetapi tidak terlalu mahal kerana rata-rata warga asing yang menggunakan bas itu untuk ke tempat kerja.

“Memang langkah ini tidak salah, tetapi saya harap kerajaan tidak menaikkan tambang ini setiap tahun kerana mungkin ada majikan yang tidak mahu menanggung kos pengangkutan mereka,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Caj murah, pemandu yakin warga asing tetap pilih Bas Smart Selangor

SHAH ALAM, 5 MAC: Perkhidmatan berkualiti Bas Smart Selangor menjadi pilihan ramai termasuk pelajar dan warga asing sejak dilancarkan beberapa tahun lalu.

Meskipun bukan warganegara bakal dicaj 90 sen mulai 15 Mac, namun rangkaian perjalanan meluas dan tempoh menunggu yang singkat diyakini tidak menjejaskan jumlah penumpang.

Haris Ahmad

Perkara tersebut diakui pemandu bas Haris Ahmad, 46, yang menyifatkan kadar tersebut jauh lebih rendah berbanding pengangkutan awam lain.

“Selama lebih empat tahun bekerja, saya lihat warga asing selesa dengan perkhidmatan kami yang banyak memudahkan pergerakan mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Seorang lagi pemandu bas Zulhelmi Aspungi, 46, berkata caj itu membolehkan Kerajaan Selangor menaik taraf kemudahan sedia ada bagi memberi keselesaan maksium kepada penumpang.

“Walaupun nilai 90 sen dilihat kecil namun ia mampu membantu Kerajaan Negeri menjana pendapatan seterusnya memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” katanya.

Mohd Alif Mohd Azhari

Sementara itu, Mohd Alif Mohd Azhari, 26, berpendapat tambang perlu dikenakan lebih awal berikutan sebilangan besar penumpang Bas Smart Selangor dalam kalangan warga asing.

Bermula 15 Mac, penumpang bukan warganegara dalam lingkungan 18 hingga 59 tahun perlu membayar perkhidmatan tersebut manakala rakyat tempatan kekal percuma.

Pengguna juga wajib menggunakan fungsi ‘Scan To Ride’ menerusi aplikasi Citizen E-Payment (CEPat) dengan mengimbas kod QR di pintu masuk dan keluar bas.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM digesa buat audit, elak orang tengah komersial ujian Covid-19 warga asing

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) semalam menggesa kerajaan menjalankan audit di lokasi ketika proses saringan secara besar-besaran terhadap pekerja asing dijalankan pada masa ini bagi memastikan piawai dan pematuhan sepenuhnya garis panduan saringan Covid-19.

Presiden MMA Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata audit itu boleh dijalankan oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata audit itu juga perlu dilakukan bagi mengelakkan cubaan orang tengah untuk mengkomersialkan ujian saringan Covid-19 yang semakin meningkat, disebabkan permintaannya yang semakin tinggi.

“Nampaknya tiada kawalan atau penguatkuasaan ke atas aktiviti orang tengah ini yang bertindak sebagai ejen untuk menawarkan perkhidmatan saringan Covid-19 kepada majikan. Perlu diingat bahawa orang-orang tengah ini, bukanlah penyedia penjagaan kesihatan.

“Majikan perlu sedar hanya pengamal perubatan am yang akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap saringan dan piawai penjagaan yang disediakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 11 Dis, MMA mengingatkan majikan agar berwaspada terhadap orang tengah atau syarikat bukan penyedia penjagaan kesihatan, yang menawarkan perkhidmatan saringan Covid-19 yang menyasarkan pengamal perubatan yang mempunyai masalah dengan mengenakan bayaran profesional yang rendah dan seterusnya mereka boleh mendapat keuntungan yang lebih daripada majikan.

KKM pada awal November menyatakan ujian Covid-19 oleh pihak swasta hanya boleh dijalankan di klinik perubatan swasta, pusat penjagaan ambulatori atau hospital swasta, manakala hanya klinik perubatan swasta boleh menawarkan saringan di lokasi seperti di kilang, dewan orang ramai ataupun pejabat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Imigresen: Penjenayah warga asing diisytihar ‘persona non grata’

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Warga asing yang didapati terlibat dan disabitkan dengan kesalahan membabitkan kegiatan jenayah akan diisytiharkan sebagai ‘persona non grata,’ kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata warga asing terbabit akan disenaraikan sebagai persona non grata selepas mereka menjalani hukuman dan diusir dari negara ini.

“Selepas mereka menjalani hukuman penjara akibat kesalahan jenayah, mereka akan diusir dan disenaraikan sebagai imigran larangan daripada memasuki Malaysia.

“Itulah keputusannya untuk semua warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen (1959) tanpa mengira jenis pas yang dimiliki,” katanya kepada Bernama.

Persona non grata adalah orang yang tidak dapat diterima oleh sesebuah negara selama-lamanya setelah didapati bersalah melakukan kesalahan (jenayah) yang tidak dapat dimaafkan (berat) semasa dia berada di sesebuah negara.

Turut senada dengan Khairul Dzaimee ialah Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador yang berkata langkah mengisytiharkan penjenayah warga asing sebagai persona non grata merupakan antara cara berkesan bagi mengekang kegiatan jenayah terutama Sindiket Macau Scam.

“Sindiket Macau Scam di negara ini semakin berleluasa dengan ramai mangsa tertipu melibatkan kerugian jutaan ringgit yang dilakukan warga China.

“Baru-Baru ini, saya ada berbincang dengan beliau (Khairul Dzaimee) berhubung perkara ini dan kuasa untuk mengisytiharkan persona non grata terletak kepada Imigresen untuk melaksanakannya,” katanya ketika kunjungan hormat Bernama ke pejabat beliau di Bukit Aman di sini baru-baru ini.

Abdul Hamid berkata warga China paling takut disenarai hitam dan dilarang memasuki Malaysia kerana mereka bukan sahaja tidak boleh melakukan kegiatan jenayah malah bakal berdepan hukuman berat di negara asal.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Dua ditahan polis, campak wang dalam kereta peronda

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Tindakan dua lelaki warga Indonesia mencampakkan sejumlah wang ke dalam kenderaan Cawangan Kereta Peronda (MPV) bagi mengelak daripada dikenakan tindakan dalam satu pemeriksaan semalam, membawa padah apabila kedua-duanya ditahan kerana cuba merasuah pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata kedua-dua suspek berusia 39 dan 50 tahun terbabit ditahan oleh sebuah MPV yang melakukan rondaan rutin di Km14 Lebuhraya Kuala Lumpur-Rawang pada 7.35 pagi.

“Dua lelaki berkenaan menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan sebelum memecut laju namun berjaya ditahan oleh MPV terbabit.

“Ketika diperiksa, kedua-duanya gagal mengemukakan lesen memandu dan dokumen perjalanan sah. Turut dirampas wang tunai berjumlah RM170,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata semasa pemeriksaan lanjut dijalankan, kedua-dua suspek mengeluarkan sejumlah wang dan cuba memberi rasuah kepada anggota bertugas.

“Suspek yang diberi amaran agar tidak berbuat demikian kemudian bertindak mencampak wang tersebut ke dalam kereta peronda, menyebabkan mereka ditangkap atas kesalahan cuba memberi rasuah selain tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya.

Arifai berkata mereka kini direman selama 14 hari hingga 25 Dis depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sekat kemasukan warga asing berdasar jadual markah matriks risiko

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Sekatan kemasukan rakyat asing ke Malaysia dibuat berdasarkan jadual pemarkahan matriks risiko yang mampu memberikan gambaran jelas mengenai risiko kes import Covid-19 ke negara ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata kriteria yang diambil dalam pengiraan jadual pemarkahan matriks risiko itu meliputi bilangan kes Covid-19, kadar insiden dan kematian bagi sejuta penduduk dalam tempoh 14 hari kebelakangan, kadar kematian kes serta indeks pemulihan.

“Kemasukan kes import ini akan memberikan kesan besar kepada Malaysia kerana ia menggunakan kemudahan dan fasiliti milik Malaysia untuk merawat kes itu yang sebenarnya berlaku di luar negara.

“Ini akan mengganggu perkhidmatan kesihatan kerajaan kerana tanggungjawab utama negara ialah menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik termasuk rawatan Covid-19 kepada rakyat Malaysia dan bukannya warga asing yang masuk ke Malaysia,” katanya.

Beliau menjawab soalan Dr Ong Kian Ming (PH-Bangi) yang ingin tahu sebab dasar ‘blanket ban’ dilaksanakan pada September terhadap semua rakyat dari negara yang mempunyai kes Covid-19 mencecah 150,000 kes termasuk mereka yang mempunyai permit masuk negara yang sah seperti pemegang Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan pekerja ekspatriat.

Mohd Redzuan berkata keputusan kerajaan mengenakan sekatan kemasukan ke atas 23 negara berisiko atau ‘blanket ban’ hanya diambil sebagai langkah segera pada awal September lepas berikutan ketika itu kerajaan tidak mempunyai data yang mencukupi mengenai situasi penularan dan kaedah pengekangan wabak Covid-19 di negara luar.

Menurutnya, kerajaan mengambil langkah itu demi melindungi rakyat Malaysia kerana bimbang berlakunya peningkatan kes di negara luar dan risiko jangkitan ke dalam negara ini.

“Dalam tempoh sekatan sementara yang dibuat itu, kerajaan mendapatkan maklumat terkini dan membuat penilaian risiko semula. Sehubungan itu, pada 10 Sept 2020 kerajaan mengambil keputusan supaya pemegang pas ekspatriat kategori EP 1 dan pakar teknikal atau pekerja mahir asing dari 23 negara yang dikenakan sekatan kemasukan, dibenarkan memasuki Malaysia.

“Mereka dikehendaki mengemukakan permohonan kepada Jabatan Imigresen serta dokumen sokongan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia atau kementerian/agensi yang berkaitan. Mereka juga tertakluk kepada perintah kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan akan terus mengkaji dan meneliti perkara itu dari semasa ke semasa untuk membenarkan kemasukan dari negara luar secara bersasar dengan menggunakan konsep gelembung perjalanan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Saringan Covid-19 pekerja kilang warga asing mulai esok

SHAH ALAM, 30 NOV: Saringan Covid-19 terhadap semua pekerja kilang warga asing akan dijalankan bermula esok, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebagai permulaan, ia tertumpu di kawasan berisiko tinggi di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Labuan, Pulau Pinang dan Sabah.

“Syarikat terlibat dikehendaki menyediakan stesen kuarantin (QS) dan pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC) bersesuaian serta menyediakan pengangkutan membawa pekerja ke lokasi terbabit.

“Syarikat juga perlu menanggung kos pengurusan QS dan PKRC, saraan makan minum, penginapan pekerja serta kos saringan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata pekerja yang dikesan positif ujian RTK-Antigen dan tiada gejala akan ditempatkan di asrama pekerja dengan pengasingan daripada mereka yang negatif.

“Pekerja positif ujian RTK-Antigen dan mempunyai gelaja ringan ditempatkan di PKRC manakala pekerja positif dengan mempunyai gelaja serius perlu dimasukkan ke hospital.

“Bagi pekerja disahkan positif melalui ujian RT-PCR pula perlu ditempatkan di PKRC atau dimasukkan ke hospital,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Warga asing perlu bayar caj kuarantin sebaik tiba di Malaysia

PUTRAJAYA, 16 NOV: Individu yang ingin memasuki Malaysia yang telah menandatangani borang Letter of Undertaking (LoU) dan menerima Notis Perjalanan, seharusnya memahami dan akur dengan garis panduan ditetapkan kerajaan Malaysia, termasuk mengkehendaki bukan warganegara membuat bayaran caj kuarantin di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berkata kerajaan telah mengeluarkan arahan bagi individu bukan warganegara untuk membuat bayaran caj kuarantin di PMA, termasuk caj pengurusan/pentadbiran sebaik ketibaan, ekoran terdapat banyak kes di mana Person Under Surveillance (PUS) bukan warganegara yang berada di stesen kuarantin, gagal membayar caj sehingga tarikh akhir tempoh kuarantin.

Menurut Nadma, bagi bukan warganegara termasuk tanggungan kepada warganegara, dicaj RM150 sehari seorang berdasarkan kepada tempoh kuarantin di premis hotel, sebagaimana yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan serta caj pentadbiran dan pengurusan kuarantin sebanyak RM2,600.

Secara keseluruhannya, Nadma berkata seorang bukan warganegara perlu membayar RM5,070 termasuk RM250 ujian PCR (polymerase chain reaction) sebaik ketibaan dan RM120 bagi ujian RTK (antigen rapid test kits) pada hari ke-13.

“LoU yang ditandatangani mengandungi ikrar dan aku janji akan membayar semua caj yang dikenakan (ada dijelas dengan terperinci dalam garis panduan),” kata Nadma dalam satu kenyataan hari ini, berhubung proses kemasukan dan kuarantin PUS bukan warganegara yang tiba dari luar negara, di sini hari ini.

Nadma juga menjelaskan, bagi penumpang bukan warganegara Malaysia yang gagal mengemukakan Notis Perjalanan, Jabatan Imigresen (JIM) berhak untuk mengeluarkan perintah ‘Not-to-Land’ (NTL).

Katanya, sebelum memasuki Malaysia, individu perlu mematuhi syarat kemasukan yang ditetapkan Jabatan Imigresen atau agensi kerajaan, di mana setiap pemohon perlu menghantar dokumen berkaitan bersama-sama LoU lengkap melalui e-mel Perwakilan Malaysia yang ditauliahkan, selewat-lewatnya tiga hari sebelum tarikh berlepas, dan jika lulus, Notis Perjalanan akan dikeluarkan oleh Perwakilan Malaysia.

Sejak 24 Julai 2020, kerajaan memutuskan bahawa semua individu yang baru pulang dari luar negara dan memasuki Malaysia, akan dikenakan perintah kuarantin wajib di stesen kuarantin yang telah diwartakan berdasarkan kepada peruntukan di bawah subseksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), selaras dengan hasrat serta usaha mengekang penularan pandemik COVID-19.

Berikutan arahan itu, semua individu yang baru pulang dari luar negara dan memasuki Malaysia melalui semua PMA, perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin.

Sejak arahan itu berkuatkuasa, Nadma berkata ia telah menerima beberapa aduan berkaitan pembayaran bagi bukan warganegara Malaysia.

-BERNAMA

Categories
ADN SELANGOR

ADN Meru gerak kempen didik warga asing urus sampah

SHAH ALAM, 2 OKT: Ahli Dewan Negeri Meru giat menggerakkan kempen kesedaran kepada warga asing yang kebanyakan bekerja di kilang supaya tidak membuang sampah merata-rata terutama ke dalam sistem saliran.

Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata inisiatif itu diambil berikutan longkang dan parit di Dewan Undangan Negeri itu kerap dipenuhi sampah sarap sehingga berisiko menjadi punca banjir kilat.

“Saya mendapat aduan ada di kalangan mereka membuang sampah merata-rata termasuk ke dalam sungai dan parit, perkara sebegini tidak boleh dibiarkan, oleh itu saya sendiri mengambil inisiatif berjumpa mereka.

“Kempen ini sudah digerakkan pada Februari lalu tetapi terpaksa dihentikan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini berjalan kembali supaya masalah ini dapat dibendung,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Mohd Fakhrulrazi membuat tinjauan di sebuah parit di Sungai Kapar Indah yang dipenuhi dengan sampah dan memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan yang akan bertindak dalam masa terdekat.

“Masyarakat tidak boleh bergantung dengan PBT semata-mata, sebaliknya perlu lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan tempat sendiri,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jais: Kenal pasti jemaah penting elak penularan Covid-19

SHAH ALAM, 30 OGOS: Keprihatinan pentadbir masjid dan surau mengenal pasti jemaah terutama warga asing penting bagi mengawal penularan Covid-19 di negeri ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Mohd Shahzihan Ahmad berkata arahan tersebut bagi meminimumkan kemungkinan tercetusnya jangkitan baharu.

“Solat fardu biasanya dihadiri orang yang sama. Jika ada tambahan (jemaah) hanya melibatkan musafir, maka corak (kehadiran) boleh dibaca dan pentadbir tahu siapa bukan jemaah tetap mereka terutama warga asing.

“Mereka (warga asing) bukan tidak dibenarkan solat (tetapi) kita mahu mengelak penularan (wabak) dalam kalangan jemaah tidak dikenali,” katanya ketika dihubungi.

Kerajaan bersetuju membenarkan warga asing untuk solat berjemaah di masjid dan surau bermula 1 September ini mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan. Jemaah juga tidak lagi diwajibkan membawa sejadah.

Bagaimanapun, Jais dalam kenyataan kelmarin mengekalkan syarat membawa sejadah sendiri selain melarang warga asing tidak dikenali atau jarang hadir berjemaah di masjid dan surau.

Categories
AGENSI SELANGOR

PGA Briged Tengah tahan 291 individu pelbagai kesalahan

SEMENYIH, 26 OGOS: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah menahan 291 individu dan merampas pelbagai jenis barang bernilai RM18.9 juta dalam Op Nyah 1 dan Op Benteng COVID dari awal Januari hingga 24 Ogos tahun ini.

Komander PGA Briged Tengah, SAC Muhammad Abdul Halim berkata pihaknya melaksanakan 107 serbuan, di sekitar pantai barat Johor dan pantai Selangor.

Beliau berkata pecahan yang ditahan terdiri daripada 100 lelaki dan tiga wanita warga tempatan manakala 177 lelaki dan 37 wanita warga asing yang kesemuanya berumur lingkungan antara 20 hingga 60 tahun.

“Penahanan warga asing melibatkan warga dari Indonesia, Pakistan, Vietnam, Myanmar, Bangladesh, Sri Lanka, India dan Nepal.

“Selain itu, barang dirampas ialah beberapa jenis kenderaan bernilai RM7.5 juta, rokok seludup bernilai RM6.4 juta, arak seludup bernilai RM2.3 juta, dadah bernilai RM1.4 juta, hidupan dan tumbuhan dilindungi bernilai RM83,560 serta wang tunai sebanyak RM1.1 juta,” katanya dalam sidang media khas di Kem Batalion Empat PGA Semenyih di sini hari ini.

Muhammad berkata kesemua serbuan disiasat di bawah Akta Imigresen 1963, Akta Kastam 1967, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, Akta Pemulihan Hidupan Liar 2010, Akta Perhutanan 1984/89, Akta Bahan-Bahan Kakisan Dan Letupan 1958 dan Akta Perikanan 1985.

Dalam perkembangan sama, seramai 17 anggota dari PGA Briged Tengah menjalani ujian saringan Covid-19 dan dikuarantin di kem berkenaan berikutan mereka terlibat operasi itu.

Beliau bekata semasa melakukan Op Benteng COVID pihaknya menahan seramai 18 pendatang tanpa izin yang cuba menyeludup masuk ke negara ini di Jeti Perikanan Sekinchan, Selangor.

Muhammad berkata seorang daripada warga asing yang ditahan telah melalui ujian saringan Covid-19 dan didapati positif wabak itu.

“Polis kemudiannya mengikut tatacara operasi piawai yang kesemua anggota terlibat dalam operasi membuat saringan dan dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga.

“Alhamdulillah, kesemua anggota yang terlibat dalam operasi itu didapati negatif Covid-19 setelah melalui saringan begitu juga bagi warga asing lain yang ditahan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

PGA tahan tujuh tekong seludup 21 migran di perairan Sekinchan

PELABUHAN KLANG, 22 OGOS: Tujuh bot nelayan tempatan membawa 28 migran termasuk tujuh tekong ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah dalam satu operasi bersepadu di perairan Sekinchan, dekat sini pada Rabu dan Khamis lepas.

Komander PGA Briged Tengah, SAC Muhammad Abdul Halim berkata operasi bersepadu itu dijalankan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pelabuhan Klang dan Jabatan Siasatan Jenayah D3 Bukit Aman.

Beliau berkata operasi yang bermula jam 1.30 petang Rabu itu adalah hasil risikan pihaknya selepas mendapati sindiket penyeludupan migran kini menggunakan bot nelayan tempatan berdaftar sebagai taktik terbaharu untuk menjalankan kegiatan berkenaan.

“Sindiket didalangi dua tekong warga Myanmar dan lima tekong warga Indonesia berkenaan menyeludup masuk pendatang tanpa izin dari negara asal menggunakan bot-bot nelayan tempatan kelas B dan C dan bertindak sebagai ‘transporter’ di Selat Melaka.

“Pemeriksaan mendapati, kesemua lelaki yang ditahan dalam serbuan ke atas bot berkenaan tidak mempunyai dokumen sah dan kita sedang menyiasat sama ada mereka merupakan kru kapal atau migran yang dibawa masuk,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata modus operandi sindiket itu adalah dengan memindahkan migran daripada kapal rakan sejenayah di sempadan perairan antarabangsa ke bot nelayan tempatan dalam jumlah yang sedikit.

Katanya, taktik tersebut bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa kononnya migran berkenaan merupakan kru kapal malah ada migran yang terpaksa mengikuti aktiviti menangkap ikan sebelum diturunkan di jeti tertentu.

Tambah beliau, hasil siasatan mendapati sindiket mengenakan caj antara RM800 hingga RM1,500 untuk satu perjalanan masuk seorang migran ke negara ini.

“Polis sedang mengesan pemilik bot-bot nelayan berkenaan dan sejauh mana penglibatan mereka dengan sindiket penyeludupan migran tersebut.

“Hasil risikan mendapati, kawasan pendaratan migran yang menjadi tumpuan adalah di sekitar pesisir pantai di Selangor atau diseludup melalui jeti nelayan di Sekinchan,” katanya.

Muhammad berkata kesemua migran yang berumur lingkungan 20 hingga 50 tahun itu direman sehingga 17 September depan dan bot nelayan serta peralatan yang dirampas bernilai RM4.2 juta itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 4 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

-BERNAMA