Categories
RENCANA

Cukup ucapan terima kasih, semoga Pulau Pinang bangkit

OLEH NAZLI IBRAHIM

TIGA hari bersama Misi Kemanusiaan Selangor Prihatin membantu mangsa banjir di Pulau Pinang baru-baru ini memang agak memenatkan.

Pada Sabtu 11 November, tepat jam 7.00 pagi konvoi kami sudah bergerak ke Kampung Belah Dua bagi memulakan liputan hari keenam misi itu.

Setiba di kawasan berkumpul, sudah ramai anggota misi yang terdiri daripada Skuad Pantas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sudah berkumpul di bawah kanopi bagi menantikan ketibaan Dato’ Menteri Besar Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Dalam misi kali ini, Skuad Pantas PBT yang kebanyakkannya sudah memiliki pengalaman menyertai misi seumpama ini di Kelantan, Perak dan beberapa tempat lain termasuk di Selangor sendiri menghantar kekuatan 185 anggota yang dipecahkan ke beberapa kawasan.

Turut terlibat dalam misi kali ini, kira-kira 200 anggota Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pertubuhan Misi Kemanusiaan Selangor (PANTAS) dan lebih 150 sukarelawan Univerisiti Selangor (UNISEL) yang masing-masing dipecahkan di beberapa kawasan dengan tugasan berbeza.

Di bahu-bahu jalan, pelbagai jentera seperti jengkaut, lori pemampat, lori pengangkut sampah pukal dan deretan kenderaan pacuan empat roda yang membawa pelbagai mesin dan peralatan juga sudah tersedia.

Selesai acara ringkas penyerahan cek sumbangan, sarapan dihidangkan. Hanya sebungkus nasi lemak dan minuman panas untuk membekalkan tenaga sehingga tengah hari nanti.

Perut sudah diisi. Maka tugasan hari keenam Misi Kemanusiaan Selangor Prihatin pun bermula. Dari satu rumah ke satu rumah, satu kampung ke satu kampung mereka kunjungi bagi menghulurkan bantuan yang diperlukan mangsa banjir.

Ternyata kedatangan anggota misi menghulurkan bantuan sangat dialu-alukan mangsa banjir. Kata-kata penghargaan dan terima kasih tidak putus-putus diterima.

 

Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul 

Prinsip ringan sama dijinjing, berat sama dipikul memang banyak membantu melancarkan lagi kerja-kerja bantuan kepada mangsa.

Jelas, setiap anggota misi tahu peranan masing-masing seperti mana yang dirancang awal sebelum itu.

Tidak terkecuali, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain; Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abd Hamid Hussain dan beberapa pegawai tinggi Kerajaan Negeri yang meletakkan kedudukan mereka sama seperti anggota misi lain.

Menjelang tengah hari, masing-masing mula kepenatan. Misi Kemanusiaan Selangor Prihatin berhenti berehat di sebuah wakaf berhampiran bendang yang sebelumnya turut ditenggelami banjir. Sesekali angin bertiup sepoi-sepoi bahasa membawa sekali bau lumpur menusuk hidung anggota misi.

Ketika menantikan hidangan nasi bungkus tiba, walaupun mereka keletihan namun penulis melihat tanda kepuasan terpancar di wajah setiap anggota misi bantuan.

Sementara itu, di Yayasan Aman, anggota NGO PANTAS yang diberikan tanggungjawab menjaga kebajikan anggota misi sudah bertungkus lumus menyediakan bekalan makanan sebelum fajar menyinsing lagi.

Belum sempat kepenatan menyediakan sarapan pagi reda, tugasan memasak untuk hidangan tengah hari menanti dan diikuti pada petangnya, tugasan menyediakan hidangan malam pula.

Tanggungjawab memastikan kebajikan lebih 500 anggota misi secara keseluruhan terurus memang tidak mudah. Kesilapan sudah pasti mengundang kegagalan misi.

Selepas seminggu berkampung di Pulau Pinang, masing-masing sudah pun kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

Pengalaman membantu mangsa bencana banjir di Pulau Pinang menjadi satu pengalaman berharga bagi setiap anggota Misi Kemanusiaan Selangor Prihatin.

Walaupun memenatkan namun ianya satu pengalaman yang tidak boleh dibeli. Bagi anggota misi cukuplah ucapan terima kasih, semoga Pulau Pinang bangkit.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA SELANGOR

Jamin kesejahteraan, IPR tingkat ekonomi rakyat Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

Pentadbiran Pakatan sejak 2008 memberi penekanan terhadap aspek kebajikan rakyat tanpa mengambil kira sebarang perbezaan sentimen politik, agama dan bangsa.

Iltizam itu dilaksanakan penuh konsisten bagi memastikan rakyat dapat menikmati hasil kekayaan negeri bersesuaian dengan agenda peduli rakyat yang diumumkan, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Justeru, bagi merealisasikan hasrat itu, Dato Menteri Besar memperkenalkan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) meliputi keperluan seluruh rakyat.

“Bermula pada 2008 dengan tujuh program, Kerajaan Negeri menambah sehingga 38 program yang dapat memberi manfaat kepada rakyat, maka tercetusnya nama baru iaitu Inisiatif Peduli Rakyat.

“Saya rasa bangga dengan pelaksanaan program ini yang membantu rakyat kerana sememangnya rakyat berhak berkongsi hasil kekayaan negeri,” katanya.

PENJENAMAAN IPR

Sebelumnya, prgoram yang dikenali sebagai Merakyat Ekonomi Selangor (MES) itu dijenamakan semula bagi mendukung hasrat pembangunan berkebajikan di Selangor.

Dimulakan dengan 7 agenda utama, ia kemudian ditambah dan meningkat dari semasa ke semasa melalui fasa demi fasa.

Visi dan Misi Kerajaan Negeri Selangor dalam program Inisiatif Peduli Rakyat adalah dengan mengutamakan kebajikan rakyat di samping kualiti hidup rakyat dipertingkatkan.

Malah, objektif utama dalam pentadbiran baharu adalah untuk memastikan Selangor menjadi negeri idaman dengan kemajuan dikekalkan dan kebajikan rakyat diutamakan.

Di samping itu, peningkatan kualiti hidup rakyat dijamin dapat dipertingkatkan, agar rakyat dapat menikmati hidup yang lebih sejahtera di negeri ini.

KESEIMBANGAN PEMBANGUNAN IPR

Kejayaan Selangor maju perlu diterjemahkan dengan erti kata sebenar agar rakyat menerima limpahan kekayaan Selangor yang melimpah ruah.

Bagaimanapun, keberkesanan pelbagai program di bawah inisiatif IPR juga mampu mewujudkan keseimbangan dalam semua aspek pembangunan seimbang dan spiritual.

Ia turut diakui Mohamed Azmin yang merujuk dasar digariskan Kerajaan Negeri adalah tepat apabila hasil kekayaan negeri disalurkan kepada rakyat dalam bentuk program berkebajikan kepada rakyaat.

“Ia amat berjaya dan setakat ini Kerajaan Negeri telah membelanjakan lebih RM2 bilion yang diserahkan kepada rakyat.

“Oleh kerana keberkesanan program ini yang dapat memberdayakan rakyat maka ia akan diteruskan dalam Belanjawan 2018 akan datang.

“Saya ingin menegaskan bahawa inisiatif Peduli Rakyat adalah teras utama pembangunan Negeri Selangor. Pembangunan yang berkualiti adalah teras peduli rakyat.

“Pembangunan yang tidak peduli rakyat adalah pembangunan yang tempang. Justeru itu, kita perlu menggembeleng segala tenaga dan sumber untuk sama-sama Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri,” katanya.

BASMI KEMISKINAN RAKYAT

Lebih membanggakan, laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2016 mendedahkan insiden kemiskinan Selangor berkurangan kepada kosong peratus pada 2016, berbanding 0.2 peratus pada 2014.

Keberkesanan itu menyaksikan kejayaan program Inisiatif Peduli Rakyat dapat membasmi kemiskinan dan masalah kesenjangan pendapatan antara bandar dan luar bandar.

Keberkesanan pelaksanaan inisiatif itu juga turut dipuji Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dr Shaharuddin Badaruddin yang menyifatkan pelaksanaannya sejajar dengan kemajuan ekonomi pembangungan negeri terkaya itu.

“Ini merupakan satu contoh pengorbanan dibuat di mana Kerajaan Negeri tidak menyimpan duit itu tetapi kembalikan terus kepada rakyat dengan program biasiswa, Bas Smart Selangor, Peduli Sihat, Hijrah dan lain-lain,” katanya.

Jelas Pengarah Institut Darul Ehsan (IDE) itu, pengorbanan wang ringgit dalam program seperti IPR seperti ini jelas untuk membantu rakyat semata-mata walaupun tidak memberikan pulangan keuntungan wang ringgit seperti mana dalam konteks perniagaan atau pelaburan.

Kata penganalisis politik terkenal itu lagi, pentadbiran Kerajaan Negeri turut diberikan kestabilan politik dan mampu menjalankan urusan pentadbiran dengan licin dan berkesan untuk rakyatnya.

Justeru, keyakinan rakyat terhadap pelaksanaan dasar itu mewujudkan keberkesanan positif yang secara langsung dapat memberi manfaat berterusan kepada masyarakat Selangor.

Inisiatif itu wajar dipuji dan dincontohi pentadbiran di peringkat kerajaan bagi memastikan kesejahteraan dan peningkatan ekonomi rakyat dapat dipulihkan.

Categories
RENCANA

TAWAS: Insentif Istimewa Khas Anak-Anak Selangor

OLEH SABIRAH AZIZ

Kerajaan Negeri terus mengambil inisiatif membantu anak-anak kelahiran Selangor menerusi Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), yang juga antara program penting dalam agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) Fasa 1.

Program tersebut diuruskan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) dan terbuka kepada anak-anak kelahiran Negeri Selangor yang memenuhi syarat di mana permohonan perlu dilakukan sebelum anak berusia 3 tahun.

Pada 17 Ogos 2015, menerusi Mesyuarat Kedua Penggal 3 dalam Sidang Dewan Negeri Bahagian Ketiga Belas, satu Enakmen Tabung Amanah Warisan Anak Selangor telah diluluskan bertujuan memastikan Ahli TAWAS menerima RM1, 500.00 apabila mencapai usia 18 tahun kelak.

Bermula dari 1 Mac 2014, Skim Khairat Kematian TAWAS bernilai RM 1,500 turut diperkenalkan dan akan diberikan kepada waris Ahli TAWAS sekiranya ahli meninggal dunia sebelum mencapai usia 18 tahun.

Sepanjang TAWAS diperkenalkan, terdapat pelbagai program dan inisiatif dilaksanakan bagi meringankan beban anak-anak Selangor dan antaranya menerusi Program Back To School.

Bantuan persekolahan berupa beg sekolah itu merupakan tambahan khas bagi ahli TAWAS yang akan memasuki alam persekolahan.

 

TAWAS: ADN Selat Kelang Sampaikan Sumbangan Back To School

Ahli Dewan Negeri (ADN) Selat Kelang, Dr Halimah Ali pada 22 Oktober lalu menyampaikan sumbangan bantuan beg sekolah menerusi program Back To School kepada anak-anak Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) dan ibu bapa di kawasan berkenaan.

Sumbangan menerusi Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) itu telah diadakan di Pejabat Adun Selat Kelang, Taman Emas dengan 614 jumlah ahli berdaftar di kawasan itu.

Dr Halimah berkata sumbangan tersebut membuktikan bahawa kerajaan negeri amat mementingkan pendidikan dengan memberi galakan menerusi insentif khas untuk anak-anak yang memasuki sekolah.

“Ini merupakan simbolik kepada anak-anak Selangor dan saya harap insentif ini dapat dipelbagaikan di samping menjadi impak besar dalam pendidikan,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada seorang penerima, Hafizah Mohd Alias berkata sumbangan tersebut telah meringankan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan menyediakan bantuan persekolahan untuk anak-anak.

Bagi Noraini Mohamed pula, beliau bersyukur atas pemberian yang diberikan dan berharap bantuan dapat dipelbagaikan dalam bentuk lain.

“Keadaan ekonomi sekarang yang tidak stabil agak membebankan kami yang mempunyai ramai anak tapi dengan adanya bantuan ini saya amat bersyukur dan terharu..anak pun bersemangat nak masuk sekolah,” katanya kepada Selangor Kini.

 

TAWAS: Back To School Manfaat Tambahan Kepada Ahli

Program Back To School merupakan manfaat tambahan kepada ahli Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS) bagi membantu anak-anak Selangor yang akan memasuki alam persekolahan.

Menurut Esekutif Kanan Perhubungan Awam Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) Atikah Akma Ramly, program tersebut akan dilaksanakan secara berterusan.

“Bantuan ini khas untuk anak-anak Selangor yang akan memasuki darjah satu dan menjadi program tahunan Tawas.

“Ibu bapa atau ahli Tawas boleh menuntut beg tersebut di Pusat Khidmat Masyarakat mengikut kawasan tempat tinggal yang didaftarkan sebelum ini,” katanya.

Tambah Akma, setakat ini, sebanyak 2,663 ahli Tawas telah datang menuntut beg di kawasan masing-masing.

“Selain bantuan beg, terdapat juga wakil Ahli Dewan Negeri (ADN) melakukan inisiatif sendiri dengan menambah keperluan bantuan sekolah kepada ahli Tawas di kawasan mereka.

Sehubungan itu, ibu bapa kepada ahli Tawas dinasihatkan mengemas kini maklumat anak seperti nombor telefon, alamat dan kawasan program pilihan sekiranya ada pertukaran sebelum 31 Disember supaya tidak terlepas sebarang program yang dilaksanakan.

Semakan dan kemaskini juga boleh dilakukan sendiri secara dalam talian di laman web Tawas iaitu di www.tawas.org.my.

=EZY=

Categories
RENCANA SELANGOR

Kemajmukan teras perpaduan

OLEH NAZLI IBRAHIM

Perpaduan masyarakat majmuk Selangor berakar umbi lebih 200 tahun lalu

Muktahir ini perpaduan masyarakat majmuk di negara ini diuji lagi. Kali ini dengan kenyataan dan tindakan segelintir golongan tidak bertanggungjawab dan esktremis yang menyentuh sensitiviti perkauman.

Keadaan itu memaksa Majlis Raja-Raja mengeluarkan kenyataan tegas supaya rakyat Malaysia terus mengekalkan perpaduan dan hubungan harmoni antara kaum.

Rentetan daripada kenyataan itu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya rakyat Selangor berpegang kepada pendirian Raja-Raja Melayu supaya mengekalkan imej Islam sebagai agama persekutuan yang menggalakkan penganutnya bersikap toleransi, sederhana dan inklusif.

Baginda juga menyeru umat Islam di Selangor memastikan Islam tidak dicemari tindakan bersifat keterlaluan yang memisahkan rakyat berbilang kaum di negeri termaju itu.

Seruan baginda itu sangat tepat, lebih-lebih lagi sejarah Selangor sendiri jelas membuktikan kemajuan yang dikecapi negeri ini dicapai melalui wujudnya perpaduan di kalangan masyarakat majmuknya.

Negeri Selangor merupakan antara negeri-negeri tua Melayu yang turut mengalami evolusi perkembangan penempatan masyarakat dan pembangunan oleh masyarakatnya yang sangat majmuk.

Bermula dengan penduduk peribuminya yang terdiri daripada masyarakat Melayu penduduk asal Selangor, etnik Melayu lain yang berasal daripada rumpun Kepulauan Melayu yang datang melalui tradisi ‘merantau’ dan diikuti imigrasi oleh kaum Cina serta India, kesemuanya memainkan peranan penting.

 

Tokoh berbilang bangsa sebelum merdeka majukan Selangor

Pembangunan Selangor khasnya Kuala Lumpur pada abad ke-19 dalam pelbagai aspek merupakan kesan peranan yang dimainkan ramai tokoh pelbagai kaum sejak sebelum, semasa dan selepas era kolonial British.

Antaranya, tokoh pedagang, Sutan Puasa; tokoh peneroka, Haji Abdullah Hukum; tokoh pelombong, Yap Ah Loy dan tokoh pengusaha, Doraisamy Pillay.

Setiap tokoh ini mempunyai kebolehan dan kemampuan masing-masing. Mereka ini boleh dianggap sebagai tokoh yang membangunkan Kuala Lumpur melalui kegiatan masing-masing.

Sutan Puasa misalnya, menurut pakar sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, beliau merupakan individu bertanggungjawab membuka Kuala Lumpur.

Menurut Jurnal Seni Bina Asia Tenggara 2013 oleh Universiti Kebangsaan Singapura yang disiarkan oleh laman academia.edu, Sutan Puasa atau Sutan Naposo berasal dari Mandailing di Sumatera dan menganut agama Islam.

Mengikut catatan Mandailing pula, di akhir hayat Sutan Puasa telah menetap di Kampung Rawa (sekarang Jalan Melayu) sebelum berpindah ke sebuah perkampungan Mandailing di Jalan Chow Kit.

Sutan Puasa yang terkenal sebagai pedagang timah meninggal dunia pada 1905 dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Jalan Ampang.

Manakala Abdullah yang berpengalaman sebagai ketua peneroka, pedagang dan Dato’ Dagang turut meneroka dan membangunkan sebahagian kawasan Kuala Lumpur dan kemudian majoritinya diduduki oleh masyarakat bukan Melayu khasnya Cina.

Abdullah Hukum merupakan tokoh daripada keluarga orang kebanyakkan yang dilantik oleh Sultan Abdul Samad sebagai Dato’ Dagang pada 1896.

Beliaulah tokoh pemimpin masyarakat keturunan Rawa/Kerinchi daripada Sumatera yang juga banyak membuka penempatan Melayu antaranya Kampung Haji Abdullah Hukum di Bangsar, Sungai Putih, Pudu, Setapak, Bukit Bintang, Bukit Nanas dan Bukit Puteri (Angkasapuri termasuk Kampung Kerinchi).

Selain itu, beliau juga pernah menjadi nakhoda mengambil upah membawa kerbau dari Pahang, Terengganu dan Klang ke Kuala Lumpur yang kebanyakkannya digunakan di sawah padi di mana sesuatu yang amat penting bagi menjamin bekalan makanan pada masa itu.

Tokoh pelombong, Yap Ah Loy pula memainkan peranan besar dalam memajukan Kuala Lumpur. Beliau pada mulanya diberi kepercayaan sebagai Penolong Kapitan Cina dan kemudiannya sebagai Kapitan Cina ketiga pada 1868 hingga 1885.

Ketokohan Yap Ah Loy sentiasa mendapat perhatian di kalangan sejarahwan barat sehingga ada yang menonjolkan peranan beliau sebagai orang yang membuka Kuala Lumpur.

Bagaimanapun Khoo berkata, adalah mustahil Yap Ah Loy yang membuka Kuala Lumpur kerana beliau sendiri hanya merupakan kapitan ketiga orang Cina di Kuala Lumpur.

Jelasnya, sebelum aktiviti perlombongan bijih timah dijalankan di Kuala Lumpur, orang-orang Mandailing telah membina penempatan di sekitar Sungai Gombak dan Sungai Klang.

Katanya, pada masa sama, aktiviti pertanian dan perdagangan turut dijalankan di sekitar kawasan penempatan tersebut.

Sebagai Kapitan Cina, Yap Ah Loy memiliki kebolehan yang melayakkan beliau memimpin masyarakatnya seperti mana tokoh pemimpin Melayu Raja Mahadi, Sutan Puasa, Dato’ Dagang Haji Muhammad Tahir, Abdullah Hukum dan lain-lain.

Pada 1884 Yap Ah Loy jatuh sakit. Beliau berkeras tidak mahu menggunakan perubatan barat tetapi menggunakan perubatan tradisi Cina. Namun akhirnya pada 15 April 1885 beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Walau apapun, nama beliau memang layak tercatat sebagai antara tokoh yang turut berperanan memajukan Kuala Lumpur tetapi bukan membuka Kuala Lumpur.

Demikian juga dengan Doraisamy Pillay yang terkenal sebagai seorang pengusaha dan pemimpin masyarakat India di Kuala Lumpur.

Beliau dikatakan sebagai seorang taikun perlombongan dan kontraktor berbangsa India yang terkenal di Kuala Lumpur dan sumbangannya dalam membangunkan Kuala Lumpur khususnya dalam konteks kehidupan masyarakat India pada masa itu juga bukan sendikit.

Sebenarnya ramai lagi tokoh yang memainkan peranan cukup besar dalam memajukan Selangor dan cabaran yang dilalui mereka untuk menyumbang kepada kemajuan negeri bukan sedikit dan tentunya tidak mudah.

Tidaklah keterlaluan jika tokoh-tokoh lampau ini disifatkan sebagai lambang kemajuan yang dibawa masyarakat majmuk di Selangor sebelum negara mencapai kemerdekaan.

 

Peranan masyarakat terbanyak sebelum merdeka

Bukan sahaja peringkat pemimpin, malahan masyarakat akar umbi pada masa itu turut memainkan peranan penting dalam memajukan Selangor.

Kedatangan orang Melayu nusantara, Cina dan India sama ada untuk berdagang atau untuk terus menetap telah melibatkan pengaliran masuk idea, perkahwinan, pendedahan cara hidup masyarakat lain dan bahasa.

Orang India misalnya, kedatangan mereka ke Selangor sangat rapat kaitannya dengan kepentingan, keperluan pembangunan dan kemajuan negeri pada masa itu.

Pada awalnya orang India diperlukan untuk keperluan ladang kopi dan hanya pada dekad kedua abad ke-20 apabila ladang getah semakin banyak dibuka, kedatangan orang India semakin bertambah.

Selain sektor perladangan, orang India juga banyak terlibat dalam program pembinaan jalan raya, jalan keretapi dan di jabatan-jabatan Kerajaan.

Sebahagian kecil orang India turut tinggal di kawasan bandar sebagai peniaga, menyertai kumpulan pentadbir sokongan dan juga profesional.

Mereka diketahui sangat aktif dalam kegiatan perdagangan sebagai peminjam wang, eksport import, pekedai runcit, barang kemas, kain baju dan lain-lain.

Di beberapa jalan utama peringkat awal di Kuala Lumpur sebahagian besar dipenuhi peniaga India seperti Jalan Brickfield, Jalan Batu dan di Klang Selatan seperti Jalan Besar.

Kawasan Lukut merupakan kawasan lombong bijih terawal di Selangor yang menggunakan buruh Cina. Pelombong Cina dikatakan telah menjalankan aktiviti perlombongan sejak 1815 lagi.

Penglibatan orang Cina dalam aktiviti melombong bijih di negeri Melayu khususnya di Selangor sudah bermula sebelum kedatangan British lagi di mana mereka terlibat mengusahakan lombong bijih milik pembesar Melayu yang semakin meningkat sehingga menyebabkan bekalan sumber manusia tidak lagi dapat menampung permintaan bijih timah yang semakin bertambah.

Manakala masyarakat Melayu pula selain menjadi kaum teras yang menguasai pentadbiran negeri sebelum kedatangan British, mereka juga merupakan petani, peneroka, pedagang dan pelaut.

Sumbangan setiap etnik berbeza ini terhadap kemajuan Selangor berterusan bermula sejak sebelum kedatangan kolonial British, era kolonial British hinggalah selepas merdeka dan sangat signifikan kepada kemajuan Selangor hari ini.

Perpaduan masyarakat majmuk di Selangor ini sudah tentulah tidak mudah dan bukanlah dapat dibina dalam masa sehari dua tetapi telah berakar umbi lebih 200 ratus tahun lalu.

Kegagalan mempertahankan perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum hanya mensia-siakan usaha nenek moyang kita dalam membangunkan sebuah masyarakat majmuk bersatu, bertamadun lagi maju.

* Sumber/kredit:
1. ‘Sejarah Negeri Selangor, Dari Zaman Pra Sejarah ke Zaman Kemerdekaan’ terbitan Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor.
2. ‘Tawarikh Tanah Melayu 1400-1959’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (1969) oleh Joginder Singh Jessy.

Categories
RENCANA

Satu Keluarga Satu Kediaman Yang Sempurna

OLEH LIZAWATI MADFA

Dasar Rumah Untuk Semua

Bukan sekadar ‘asal ada’, Kerajaan Negeri berhasrat setiap rakyat negeri ini memiliki rumah yang sempurna, selesa dan selamat untuk didiami seisi keluarga.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad mahu rakyat yang belum ada kediaman dapat beli rumah yang sempurna.

“Jika tidak mampu beli, mereka juga kita sasarkan dapat menyewa kediaman yang sempurna dan bagi mereka yang sudah ada kediaman, kita mahu rumah mereka dalam keadaan sempurna,” katanya.

Katanya, definisi rumah sempurna juga bukan merangkumi segi fizikal semata-mata tetapi meliputi aspek spiritual, sosial, kepimpinan dan ekonomi.

“Kita mahu membina masyarakat supaya menikmati kehidupan lebih kualiti dan sejahtera.

“Tiada guna rumah hebat manapun, jika pembinaan masyarakat berkualiti tidak berjaya tercapai.

“Atas sebab itu, kita tekad mahu siapkan rumah sempurna, fizikal dan spiritual buat semua,” katanya.

 

Pemaju dikenakan syarat ketat

Sehingga kini, hampir 100,000 unit Rumah Selangorku diluluskan pembinaannya di seluruh Selangor.

Iskandar berkata, pemaju sebelum ini terikat dengan polisi 20:20:10, yang mewajibkan pembinaan 20 peratus rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah (20 peratus) dan rumah kos sederhana (10), tanpa mengira permintaan.

Katanya, polisi itu bagaimanapun didapati memberi bebanan kepada pemaju terutama dari segi kos, sehingga pemaju hanya menumpukan pembinaan rumah kos rendah sahaja.

“Kini, peratus jenis rumah yang wajib dibina oleh pemaju adalah bergantung kepada lokasi projek.

“Contohnya, bagi kawasan di mana permintaan rumah Jenis A (RM42,000) adalah rendah, hanya 10 peratus diwajibkan dibina.

“Tetapi di kawasan di mana terdapat permintaan, pemaju wajib membina sehingga 20 peratus rumah jenis A sepertimana polisi lama,” katanya.

Iskandar berkata, pemaju juga diwajibkan membina rumah mampu milik bersekali dengan rumah harga bebas.

“Kita mahu pastikan pengalaman dulu berulang lagi, di mana mereka buat rumah harga bebas tetapi rumah mampu milik mereka tak bina sampai sekarang atau ada juga pemaju bertindak jual tanah.

“Kalau mereka mahu buat rumah lain kita tak benarkan dan kita akan bagi ‘stop work order’,” katanya.

 

Inisiatif buat mereka yang tak mampu

Setakat 31 Ogos lalu, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) menerima 145,712 permohonan Rumah Selangorku.

Kerajaan Negeri mempelbagaikan jenis rumah daripada yang berharga RM42,000 hingga RM250,000, bagi memberi lebih pilihan kepada rakyat, terutama mereka berpendapatan rendah.

Iskandar berkata, Kerajaan Negeri bagaimanapun dapati masih ramai lagi tidak dapat melepasi syarat ketat bank bagi mendapatkan pinjaman perumahan.

Atas dasar itu, beliau berkata, pelbagai program baru dilancar khusus bagi memberi peluang buat golongan itu memiliki kediaman sendiri.

“Antaranya, kita lancar Skim Smart Sewa di mana mereka boleh sewa rumah dan di akhir kontrak, kita akan pulangkan balik apa yang mereka bayar sebanyak 30 peratus.

“Kita juga buat skim sewa beli di mana mereka boleh duduk di situ dan kemudian sebahagian daripada sewa dikira sebagai pembiayaan membeli rumah

“Apabila harga dibayar bersamaan dengan harga rumah, mereka akan dapat rumah berkenaan,” katanya.

 

Pembangunan fizikal dan spiritual diteruskan

Lebih RM110 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi menjayakan program pembangunan fizikal bagi pangsapuri di seluruh Selangor, sejak 2012.

Ia merangkumi RM88.9 juta menerusi Skim Baik Pulih Negeri Berkebajikan (Caring Government For Residents Improvement Aid-Ceria) dengan 248 projek.

Sejumlah RM30 juta pula diperuntuk bagi Program Smart Life (Smart Lift Improvement for Quality Life) iaitu bagi menampung kerja membaik pulih 112 unit lif di 24 pangsapuri dan bayaran fee kepada firma kompeten bagi kontrak penyenggaraan lif komprehensif di 88 unit lif di 21 pangsapuri.

Peruntukan lain termasuk, RM0.25 juta untuk program K-STAC (Sistem Tadbir Urus Akaun) menerusi projek perintis di 25 Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body-JMB) pangsapuri kos rendah.

Pangsapuri Seri Perantau pula dipilih sebagai projek perintis K-SQUAD (Pemberdayaan Komuniti) melibatkan peruntukan RM0.12 juta.

Ia bagi memperkasa keupayaan komuniti miskin bandar mengurus bangunan dengan kemampunan menubuhkan JMB, pengurusan strategik dan menjadi model contoh kepada komuniti pangsapuri bermasalah.

Sejumlah RM0.08 juta turut dibelanja untuk program Laman Hijau bagi aktiviti kebun komuniti di pangsapuri.

Program lain termasuk SKORA (Skim Pengenalan Pengurusan Bangunan Strata), K-STAR (Penarafan Komuniti Bestari), FOKUS (Format Kurikulum Pengurusan Bangunan Strata) dan K-KLIK (Kelab Interaktif Komuniti).

 

Komuniti diperkasa

Sebanyak 234 pangsapuri dibiayai bagi menerima manfaat program SAFWA (Selangor Free Water Apartment); pemberian rebat air percuma kepada pangsapuri kos rendah, dengan peruntukan RM39.8 juta.

Sejumlah RM2.7 juta pula diberikan menerusi projek PERMAI CERIA iaitu bantuan kewangan untuk baik pulih tetiang meter individu kediaman menerusi 33 projek.

Kerajaan Negeri turut memperkenal insentif bantuan kewangan kepada 85 pangsapuri kos rendah, SEROJA (Skim Keselamatan Kejiranan Pangsapuri) dengan peruntukan RM0.4 juta.

Program lain termasuk Kempen Pengurangan Sisa Pepejal dan Selangor BEST Bring Excellence Into Society) bagi mewujudkan masyarakat berilmu.

=EZY=

Categories
RENCANA

Program Khas Peduli Siswa bantu biayai pelajaran

OLEH LIZAWATI MADFA

Kerajaan Negeri tidak berdiam diri apabila Belanjawan Persekutuan 2017 memotong peruntukan sektor pendidikan tinggi dari RM13.38 bilion pada 2016 kepada RM12.13 bilion.

Pada Belanjawan 2017, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pantas mengumumkan sejumlah RM10 juta peruntukan bagi membiayai pengajian anak Selangor menerusi Program Khas Peduli Siswa.

Ia menawarkan pinjaman pelajaran dalam bentuk boleh ubah berdasarkan prestasi kecemerlangan akademik pencapaian Prestasi Nilai Gred Kumulatif (PNGK) akhir pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam.

Ia termasuk pelajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi kampus Shah Alam, Puncak Alam dan Puncak Perdana.

Tanpa mengira sempadan, delegasi Kerajaan Negeri ketuai Mohamed Azmin turut berlepas ke Maghribi, Jordan dan Mesir bagi menyampaikan sumbangan Peduli Siswa kepada anak Selangor di sana, pada April lalu.

Kunjungan istimewa itu menyaksikan seramai 40 anak Selangor yang menyambung pengajian di Timur Tengah itu, masing-masing menerima RM3,000.

“Kita naikkan kepada RM3,000 daripada RM2,500 bagi menampung keperluan pelajar yang terkesan dengan ekonomi parah selain pemotongan bajet oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika pertemuan dengan pelajar berkenaan.

Kadar pembayaran balik ditentukan menerusi pencapaian PNGK akhir pelajar.

Pelajar peringkat diploma dan ijazah sarjana dengan PNGK 3.75 hingga 4.00 menerima 100 peratus pengecualian pembayaran.

Pelajar dengan PNGK 3.50 hingga 3.74 menerima 50 peratus pengurangan, 3.20 hingga 3.49 (25 peratus) dan 3.19 dan ke bawah perlu membayar penuh.

Bagi pelajar ijazah perubatan, mereka hanya perlu lulus untuk menerima 100 peratus pengecualian pembayaran.

Sesi pertama 2017 dibuka pada Februari lalu, manakala sesi kedua dibuka pada Ogos lalu dan pemohon kini boleh menyemak status permohonan di laman web rasmi Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor.

=EZY=

Categories
RENCANA

Kemakmuran ekonomi Selangor terus berkembang

OLEH HAFIZAN TAIB

PERTUMBUHAN ekonomi membanggakan dicatat Selangor sejak beberapa tahun lalu dijangka berterusan dengan pasaran pelaburan dan aktiviti perindustrian berkembang pesat.

Perancangan strategik Kerajaan Negeri bagi meningkatkan pelaburan memberi kesan langsung terhadap aktiviti ekonomi di Selangor seiring permintaan tinggi di pasaran dan peluang pekerjaan yang meningkat, menarik minat pihak pelabur dalam serta luar negara untuk turut serta.

Dengan perkembangan positif itu, Exco Pelaburan, Perindustrian IKS, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, Selangor dijangka mampu mencatat lebih pelaburan daripada jumlah disasarkan RM6.5 bilion, pada tahun ini.

“Pada tahun ini, kita meletakkan RM6.5 bilion untuk Selangor tetapi diharapkan kita boleh capai satu angka lebih tinggi pada tahun ini.

“Ini kerana pada tahun lalu, kita jangka perolehan RM6 bilion namun kita dapat RM7.88 bilion,” katanya.

Katanya, Kerajaan Negeri menjangkakannya berdasarkan trend pencapaian tahun lalu yang dengan Selangor berada di landasan betul untuk mencapainya setakat ini.

Selangor terus menjadi destinasi pelaburan berpotensi dengan minat ditunjukkan pelabur dalam dan luar negara bagi menyertai pelbagai aktiviti termasuk industri pembuatan di negeri itu .

Pelbagai program dan aktiviti dijayakan Kerajaan Negeri juga membuka ruang pihak berkaitan termasuk pemain industri menyertainya supaya mendapat manfaat serta berkongsi idea dan teknologi demi kemajuan bersama.

Program antaranya Selangor Industrial Ride 1.0 dan Selangor International Expo (SIE) sentiasa mendapat sambutan dengan penyertaan menggalakkan dan menunjukkan perkembangan positif apabila berjaya menjana anggaran nilai transaksi RM100 juta pada tahun lalu.

SIE diadakan sejak 2005 adalah pameran perdagangan tahunan bagi tujuan menjadikan Selangor hab perniagaan serta perdagangan di rantau Asean serta menjadi pintu gerbang ke rantau ini.

Program tahunan itu menunjukkan perkembangan positif apabila berjaya menjana anggaran nilai transaksi RM100 juta pada tahun lalu.

Chang Khim berkata, SIE 2017 berlangsung pada 7 hingga 17 September lalu memasuki kali ketiga penganjurannya dan berbanding penganjuran sebelumnya, ia dilanjutkan dari tiga hari kepada 10 hari ekoran sambutan memberangsangkan.

“Usaha memantapkan e-dagang, bio teknologi, aero angkasa, industri halal dijadikan sasaran perdagangan antarabangsa melalui SIE ini.

“Ia kerana industri ini makin berkembang selari arus ekonomi dunia,” katanya.

Dengan pencapaian ekonomi menggalakkan, Selangor terus menjadi tumpuan pelabur tempatan dan luar antaranya China, Jerman, United Kingdom, Korea, Amerika Syarikat, Thailand, Taiwan, Denmark dan yang lain.

Baru-baru ini, Kerajaan Negeri turut berjaya menarik pelaburan besar bersama Pasar Raya Besar ternama, IKEA, dengan minat syarikat itu melabur dan membangunkan pusat pengedaran di Selangor dengan kos RM1 bilion.

IKEA akan membangunkannya di Pulau Indah, Klang dan ia menjadi pusat pengedaran ketiga terbesar di dunia selepas Chicago, Amerika Syarikat dan Dusseldorf, Jerman.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pembangunan berteknologi tinggi itu akan mewujudkan peluang pekerjaan untuk anak muda di Selangor khusus yang mempunyai kemahiran dalam bidang teknologi dan ia dapat menjana pertumbuhan ekonomi mampan.

Categories
RENCANA

Wanita berdaya pemacu ekonomi negeri

Terunggul di Malaysia, hanya di Selangor

OLEH: AFEEQA AFEERA

“If you educate a man you educate an individual, but if you educate a woman you educate a family.” – Dr James Emmanuel Kwegyir-Aggrey

Kata-kata dari cendekiawan Ghana itu cukup untuk menggambarkan betapa besar peranan wanita dalam mencipta pembangunan juga kunci kekuatan kepada sosio-ekonomi negara.

Malah, semangat juang bertunjangkan pengorbanan wanita amat membantu dalam usaha menjadikan sesebuah negara itu gah di mata dunia dan masyarakat sejagat.

Wanita kini hampir setaraf dengan lelaki dalam semua aspek, termasuk pencapaian mengagumkan dalam pendidikan tinggi dengan memecahkan tembok yang sebelum ini didominasi kaum Adam.

Namun, segah mana pun prestasi dicapai, diskriminasi dan stereotaip gender terhadap wanita masih tebal sehingga hari ini, walaupun dunia semakin moden.

Wanita dan kerjaya

Tajuk: Pembabitan tenaga buruh wanita (Asia)

1. Kemboja (78.8%)
2. Laos (76.3%)
3. Myanmar (75.2%)
4. Thailand (75.2%)
5. Vietnam (73%)
6. MALAYSIA (54.1%)

*Kajian Tenaga Buruh 2015

 

Jika dilihat kepada statistik berkenaan, pembabitan wanita di negara ini masih ketinggalan jauh berbanding lelaki yang mencatat 80.6 peratus, sekali gus meninggalkan tanda tanya di manakah peranan mereka dalam masyarakat?

Kajian Bank Dunia mendapati wanita Malaysia berusia lebih 26 tahun lebih menjurus kepada pengurusan keluarga hingga menyebabkan kebanyakan daripada mereka memilih untuk meninggalkan pasaran kerja.

Salah satu penyumbang kepada faktor berkenaan termasuk waktu kerja kurang anjal di pejabat kerana terpaksa menguruskan hal rumah tangga dan menyaksikan tenaga kerja serta kemahiran dimiliki terbazir begitu sahaja.

Memetik ucapan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali ketika Konvensyen Kepimpinan Wanita Selangor 2014, beliau berkata, kira-kira 93 peratus wanita mahu kembali bekerja tetapi 63 peratus daripadanya merasa sukar berbuat demikian atas kekangan tertentu.

“Negara melakukan pelaburan tinggi terhadap wanita melalui pendidikan rendah hingga peringkat tertinggi dan mengabaikan pelaburan ini satu tragedi kolektif.

“Kita perlu merumuskan dasar, reformasi dan anjakan baru dalam cara pekerjaan seperti memperkenalkan waktu anjal untuk wanita selain bekerja dari rumah bagi menangani cabaran ini supaya negara tidak kehilangan kemahiran dalam kalangan wanita,” katanya.

Bagaimanapun, mengikut Kajian Tenaga Buruh 2015, kadar tenaga buruh wanita di Selangor lebih tinggi iaitu 63.4 peratus, berbanding 54 peratus, di peringkat nasional.

Hal itu, sekali gus membuktikan ramai wanita di Selangor masih kekal berkhidmat dan secara langsung menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.

 

Pembabitan politik dan pentadbiran

Umum mengetahui, wanita Malaysia kini terbabit aktif dalam kegiatan politik, namun peratusannya belum cukup besar untuk memberi impak kepada corak pentadbiran negara.

Menurut statistik dikeluarkan Inter-Parliamentary Union (IPU), Malaysia menduduki tangga ke-156 dari 189 negara dengan jumlah perwakilan wanita di Parlimen hanya 10.4 peratus.

Persidangan peringkat negeri juga menunjukkan corak hampir serupa dengan hanya 10.8 peratus dipegang wanita dari 505 jumlah kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN).

 

Tajuk: Peratusan kerusi wanita di Parlimen

Kedudukan Negara Peratusan

1 Rwanda 63.8
7 Finland 42.5
13 Denmark 39.1
15 Belanda 38.7
45 Filipina 27.1
70 United Kingdom 22.5
97 Indonesia 18.6
102 AS 17.9
117 Thailand 15.8
121 Korea Selatan 15.6
156 Malaysia 10.6 (highligt)

*Sumber: Inter-Parliamentary Union (IPU)

 

Sejak sekian lama, jumlah menteri kabinet wanita tidak pernah melebihi tiga orang sehingga hari ini, malahan lebih buruk apabila beberapa Kerajaan Negeri yang bukan di bawah PAKATAN tidak pernah melantik Exco wanita dalam pentadbirannya.

Selangor memecah tradisi apabila melantik empat Exco wanita, pada 2008 dan mengubahnya kepada dua selepas ditadbir menteri besar baru.

Walaupun ada yang mempertikaikan penurunannya, namun Kerajaan Selangor mengiktiraf wanita ke peringkat lebih tinggi apabila muncul satu-satunya negeri melantik Speaker dalam kalangan wanita.

Satu lagi detik bersejarah dapat disaksikan apabila Selangor melantik dua wanita sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah pertama di negara ini, pada 27 Jun 2016.

Pelantikan berkenaan turut mendapat perkenaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaras Subseksyen 58(1) dan Seksyen 59(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

 

Hanya di Selangor

Ubah, kembali tekad dan azam mewujudkan masyarakat saksama juga inklusif gender antara fokus Kerajaan Negeri supaya pembabitan wanita dalam isu kritikal dapat ditingkatkan.

Mohamed Azmin berkata, komitmen pentadbirannya memberdaya kedudukan sosioekonomi kaum hawa sentiasa dipergiat menerusi Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Selangor berhasrat mengiktiraf dan memartabatkan peranan wanita sebagai ‘stakeholders’ dalam proses pembangunan serta modenisasi negara.

“Maka, wanita turut menjawat peranan penting dan strategik dalam pentadbiran juga syarikat negeri.

“Kita yakin menerusi dasar peduli dan progresif serta penggunaan teknologi, maka wanita akan lebih produktif dalam mengemudi persekitaran mencabar,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Wanita Sedunia.

Terbaru, usaha itu dipergiatkan menerusi penubuhan Institut Wanita Berdaya (IWB) berperanan sebagai badan pemikir, khususnya merangka polisi dan strategi yang membawa kepada kemajuan golongan terbabit, di Selangor.

Matlamatnya mudah iaitu meningkatkan status sosioekonomi wanita dan mempercepatkan keupayaan mereka dalam aspek kepimpinan juga pembuat keputusan.

Buat julung kalinya juga, Dasar Wanita Selangor dan Pelan Tindakan 2017-2020 diwujudkan untuk merencana pembangunan holistik serta memastikan kesejahteraan wanita di negeri itu.

 

Smart State memberdaya wanita

Di peringkat awal percubaannya, Pusat Wanita Berdaya (PWB) ditubuhkan di 56 DUN bagi mengurus dan merancang aktiviti wanita setempat di peringkat akar umbi.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, keberkesanan inisiatif itu terbukti apabila 2,281 program berjaya dijalankan PWB dengan perbelanjaan RM3.4 juta, sehingga Jun lalu.

“Galakan terhadap pembangunan wanita diperluaskan menerusi IWB iaitu kesinambungan dan pelengkap bagi pemantapan keseluruhan sistem sokongan juga pembangunan wanita, di Selangor,” katanya.

Selepas itu, muncul Dasar Wanita Selangor yang dirangka pasukan penyelidik berkemahiran bagi memastikan Selangor sentiasa menjadi negeri mesra gender berdasarkan lima bidang utama iaitu:

Dasar itu menjunjung prinsip hak asasi manusia seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang mendukung hak wanita dan kesaksamaan gender.

Menerusinya, peranan wanita tidak akan dipinggirkan dan merapatkan jurang gender dalam pelbagai aspek yang selama ini kurang dititik beratkan di peringkat Persekutuan.

 

Kemudahan dan bantuan merentasi sempadan

Dasar itu mungkin terlalu baru untuk difahami semua, namun jangan dilupakan agenda peduli rakyat sedia ada yang terus konsisten membantu daripada aspek kebajikan.

Antaranya skim mikrokredit Hijrah Selangor (HIJRAH) yang kini didominasi kira-kira 60 peratus wanita untuk memulakan perniagaan dan menjana pendapatan tambahan bagi meningkatkan ekonomi diri juga keluarga.

Selain itu, Kerajaan Selangor turut menyediakan kemudahan wifi percuma dengan prasarana 2,500 hotspot sebagai satu aspek sistem sokongan yang boleh membantu wanita bekerja dari rumah.

“Jika usaha ini dapat dilakukan, ia boleh membantu pertumbuhan pendapatan isi rumah, sekali gus menangani masalah yang timbul.

“Kegagalan memberi perhatian kepada perkara ini akan menyebabkan pembaziran sumber daya dan potensi modal insan dalam kalangan wanita,” kata Mohamed Azmin.

 

Kesimpulan

Terlalu banyak untuk dihuraikan berkenaan dasar juga agenda mesra wanita yang dilaksanakan Kerajaan Negeri dalam usaha memastikan golongan itu tidak terkebelakang juga tercicir.

Inisiatif memberdaya wanita sentiasa menjadi fokus bagi mewujudkan pembangunan lestari kerana tanpa golongan itu, kemajuan dikecapi mungkin terasa lompong.

Pepatah ada mengatakan, tangan yang menghayun itu mampu menggoncang dunia. Begitu jugalah hebatnya peranan wanita dalam menggerakkan kemajuan sesebuah negeri mahupun negara.

 

Categories
RENCANA

Tolak sentimen kaum demi keamanan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

Kisah tentera Cina pertahan kedaulatan

Penzahiran rasa cinta terhadap keamanan negara yang terlahir daripada semangat juang individu tegar mempertahankan negara daripada ancaman musuh.

Tanpa mengambil kira perbezaan sentimen warna kulit, kaum, bangsa dan agama, semangat kecintaan terhadap negara kekal dipertahan utuh.

Ia dibuktikan, Leftenan Kolonel Wong Ah Jit (RTD) dalam usahanya untuk berbakti kepada negara menerusi khidmatnya sebagai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menceritakan detik pembabitannya sebagai tentera, anak kelahiran Pangkalan Minyak, Batu Tujuh, Melaka, berbangsa Cina itu ada tafsirannya.

“Minat terhadap ketenteraan bermula sejak kecil, ketika ayah saya berkhidmat sebagai pembantu pengurus di estet milik bapa saudara.

“Secara kebetulan, estet tempat ayah bekerja itu kawasan pusat latihan ketenteraan Inggeris sekitar tahun 1960 dan waktu itu saya baru berumur 14 tahun.

“Daripada situlah saya dapat melihat bagaimana tentera Inggerisberlatih dan mendorong rasa untuk membabitkan diri dalam dunia ketenteraan,” katanya kepada SelangorKini.

 

Perubahan hidup

Seawal usianya 18 tahun, penghijrahannya ke Sungai Udang, Melaka, menjadi detik terpenting dirinya sebelum terbabit dalam dunia ketenteraan.

Secara kebetulan, Sungai Udang juga antara pusat latihan ketenteraan komando yang cukup sinonim dalam kalangan warga tempatan waktu itu.

“Saya bertemu dengan seorang pegawai tinggi tentera yang menawarkan saya untuk menyertai tentera ketika itu.

“Atas dorongannya, akhirnya permohonan saya diterima dan daripada situlah kehidupan saya berubah,” katanya.

Beliau berkata, detik itu mengejutkan ibu dan ahli keluarga yang lain terutama keputusan untuk menyertai ketenteraan hadir ketika konfratasi perkauman 16 Mei baru sahaja berakhir.

“Saya bangsa Cina pertama yang dipilih untuk diserap sebagai tentera selepas peristiwa 13 Mei 1969 yang menjadi titik kemuncak masalah perpaduan negara, waktu itu,” katanya.

Sejurus itu, beliau dihantar mengikuti latihan ketenteraan di Port Dickson, Negeri Sembilan, sebelum melalui proses lanjutan akhir bersama anggota pasukan lain.

Ceritanya lagi, walaupun terpaksa bersaing bersama masyarakat Melayu waktu itu, namun iltizam tinggi mendorong beliau untuk terus merealisasikan impiannya.

 

Komunis tembak kepala

Suatu sudut transisi yang lain, beliau mempunyai kisah dan pengalaman yang masih segar dalam ingatannya ketika berjuang habis-habisan melawan komunis.

“Saya ada seorang kawan berbangsa India yang sangat rapat dan akrab. Usianya waktu itu masih muda, namun beliau pergi lebih awal.

“Beliau ditembak di kepala pada jarak dekat ketika operasi penghapusan komunis dijalankan, di hutan.

“Kami cukup terkesan. Namun, pengalaman ini seharusnya mengajar masyarakat Malaysia untuk lebih menghargai keamanan yang kita kecapi kini,” katanya.

Baginya kini, saki baki perajurit yang masih ada wajar mendapat pengiktirafan sebaiknya atas jasa dan perjuangan mereka dulu.

“Namun, saya sedikit kesal apabila masih ada tanggapan segelintir masyarakat yang seolah-olah melupakan jasa dan pengorbanan golongan ini.

“Lebih mendukacitakan, ada yang sekadar mendapat wang bantuan sumbangan yang tidak setimpal walaupun mengalami kecacatan kekal,” katanya.

 

Harum nama negara

Selepas tamat perkhidmatan bersama ketenteraan, beliau tidak hanya berhabis masa, di rumah.

Kini, lelaki separuh abad itu terus menyumbang khidmat baktinya kepada negara.

Sebaliknya, khidmat bakti beliau diteruskan apabila dipilih menerajui kepimpinan tertinggi pengurusan sukan squash negara.

Beliau diamanahkan untuk bertanggungjawab mengetengahkan bakat muda dalam sukan itu.

Hasilnya, pemain squash dunia, Nicol Ann David dan Azlan Iskandar dilatih sejak kecil sehingga mampu menjulang nama Malaysia, di mata dunia.

Katanya, pemilihan dibuat selepas mengambil kira pembabitannya dalam sukan ketika tempoh perkhidmatan bersama pasukan ketenteraan sebelum ini.

“Saya mendapat peluang untuk membantu pengurusan squash negara di bawah Institut Sukan Negara dan daripada situlah sehabis daya membantu mengembangkan bakat atlet muda yang mampu untuk diketengahkan.

“Dalam tempoh itu, kejayaan manis ketika mengetuai delegasi squash negara dalam Sukan Komanwel dan temasya sukan lain yang menjulang nama atlet muda di bawah seliaan saya, waktu itu.

“Ia benar-benar satu pengiktirafan terbaik buat diri saya untuk terus konsisten mengangkat martabat negara daripada aspek yang berbeza walaupun selepas tamat ketenteraan,” katanya.

Kini, susuk tubuh ini kekal optimis untuk terus membawa nama Malaysia ke peringkat lebih tinggi.

Semangat juang tinggi insan ini wajar dicontohi masyarakat Malaysia untuk negera terus kekal aman dan sejahtera.

Baginya, kesejahteraan negara tidak hanya bersandar kepada tugas pimpinan tertinggi negara, tentera atau polis, sebaliknya ia perlu mendapat keterlibatan semua.

“Semoga negara ini kekal aman, bebas daripada korupsi dan mendapat kesejahteraan yang baik daripada semua aspek,” katanya.

Selamat Hari Pahlawan!

Categories
BERITA UTAMA RENCANA

PTPTN: Golongan miskin mangsa utama

OLEH NORHAYATI UMOR

Akta Pendidikan serta Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) diperkenalkan secara rasminya kepada umum pada 1996.

Setahun kemudian, PTPTN ditubuhkan. Tujuan penubuhannya adalah untuk memberikan pelajar dana bagi melanjutkan pengajian yang membolehkan IPTS tumbuh seperti cendawan.

Pada 2007, jumlah peruntukan PTPTN yang diagihkan kepada IPTS mengatasi IPTA buat pertama kali dan trend itu kekal, hingga hari ini.

Pada 2015, RM2.5 bilion diagihkan kepada IPTS berbanding RM1.7 bilion untuk IPTA.

mahasiswaPada masa sama, kerajaan memotong perbelanjaan untuk IPTA dengan drastik. Sebagai contoh, tahun 2016, apabila peruntukan IPTA dipotong RM1.4 bilion iaitu 27 peratus berbanding tahun sebelumnya dan begitu juga dengan biasiswa serta bantuan pelajaran dipotong RM812 juta.

Keadaan itu menyebabkan pelajar miskin yang bergantung kepada bantuan ini menjadi mangsa utama.

Oleh kerana peruntukan dipotong, tempat pelajar yang ditawarkan di IPTA menjadi lebih sedikit, sekaligus mereka mendapati jalan yang ada hanya di IPTS.

Bagaimanapun, ketika ini, ramai graduan berdepan dengan pengangguran, gaji rendah serta kos hidup tinggi, maka kadar pembayaran semula PTPTN kekal rendah.

Bermula 2015, kadar pengangguran bagi mereka dengan pendidikan tinggi adalah 3.8 peratus berbanding 1.8 peratus bagi golongan yang mempunyai pendidikan rendah atau tiada pendidikan formal.

Antara 2011 hingga 2015, kerugian terkumpul PTPTN mencapai RM6.5 bilion. Pada 2015, hutang PTPTN yang tidak terbayar bagi tahun itu mencapai RM8.49 bilion. Kadar pembayaran semula sekadar 46.6 peratus.

Bagi mengatasi masalah ini, PTPTN menggunakan beberapa langkah termasuk menyenaraikan peminjam di bawah CCRIS, sekali gus menjejaskan mereka yang tidak membuat bayaran daripada membuat pinjaman rumah atau kereta, menyenaraihitamkan pasport mereka yang gagal membayar, menghentikan pemberian pinjaman penuh, dan menggalakkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membolehkan graduan membuat bayaran.

Sehingga 31 Januari lalu, sebanyak 586,863 peminjam PTPTN disenarai hitamkan oleh Jabatan Imigresen membabitkan jumlah pinjaman bernilai RM11.6 bilion.

Pendidikan percuma dan syarat 

Sebelum ini, Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik berpendapat, pendidikan percuma bukan bermakna rakyat tidak perlu mengeluarkan sebarang kos untuk melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi.

Katanya, kos itu merujuk kepada suatu bayaran minima yang lebih munasabah yang terpaksa dikenakan terhadap pelajar seperti berlaku di Jerman.

PTPTN“Saya agak bersetuju dengan pendidikan percuma di peringkat universiti diberikan kepada rakyat tetapi itu tidak menunjukkan bahawa mereka tidak akan keluar satu sen pun.

Dr Maszlee turut melontarkan pendapat bahawa pemberian biasiswa kepada penerima yang layak selaras dengan konsep ekonomi pasaran bebas.

“Bagi yang berpendapatan rendah, mereka berhak dapat tetapi aya tak nampak perlu beri biasiswa kepada mereka bagi anak datuk, anak tan sri, anak pengarah GLC dan syarikat besar,” katanya.

Perniagaan dan politik 

Sementara itu, Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Muhammad Faizal Abdul Rahman pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan ketika ini lebih berorientasikan perniagaan (business government) bukannya berorientasikan rakyat (social government).

Beliau berkata, sekiranya kerajaan membuat pengorbanan moral, mereka harus berpuas hati mendapat keuntungan daripada segi moral dan jika mereka bercakap tentang ganjaran wang ringgit, maka tidak boleh mendakwa mereka sudah melaksanakan tanggungjawab sosial.

“PTPTN adalah tanggungjawab sosial kerajaan yang berterusan bukannya sebagai badan perniagaan bagi mendapatkan keuntungan.

“Tanggungjawab sosial itu boleh dikatakan pengorbanan kerajaan selagi ia tidak dianggap sebagai perniagaan. Tetapi amalan sekarang nampaknya bukan pengorbanan dan bukan pula perniagaaan,” katanya.

MAHASISWAPada 2012, kecoh apabila PTPTN bertindak menyekat dan membekukan pembiayaan pendidikan (dana kewangan) kepada pelajar Universiti Selangor (UNISEL). Pengakuan pembekuan itu turut diakui kebenarannya oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said.

Dalam perkembangan sama, penuntut Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) turut berdepan masalah pembekuan yang sama.

Ekoran timbulnya isu itu, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) membantah dan mengecam tindakan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) juga PTPTN kerana perbuatan menyekat menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab Kerajaan Malaysia serta bercanggah dengan moto ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

Ketidaksetujuan dalam isu pembekuan PTPTN juga turut disuarakan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang juga Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang menegaskan, penuntut tidak seharusnya menjadi mangsa dalam perbalahan antara PTPTN dan Kerajaan Selangor.

Sebagai reaksi daripada tindakan pembekuan itu, suatu pendekatan drastik jangka pendek diumumkan Kerajaan Selangor pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika itu yang bersetuju membantu pelajar baru UNISEL yang dalam kesukaran meneruskan pengajian.

Aset hartanah UNISEL seluas 500 ekar yang diperolehi hasil penyusunan semula hutang TALAM diapungkan untuk mendapatkan wang tunai. Dianggarkan sejumlah RM30 juta boleh diperolehi hasil daripada usaha itu.

Peluang pekerjaan kuncup 

Mengikut statistik dikeluarkan oleh Laporan Bank Negara 2016, kadar pengangguran belia yang mempunyai pendidikan tinggi adalah 15.3 peratus berbanding belia tanpa pendidikan tinggi iaitu 9.8 peratus, pada tahun 2015.

Pengarah Strategi Angkatan Muda KEADILAN, Akmal Nasir berkata, ramai graduan menganggur untuk tempoh masa panjang.

Katanya, peluang pekerjaan yang semakin menguncup disebabkan keadaan ekonomi semasa menyebabkan syarikat dan organisasi mengurangkan pengambilan pekerjaan.

“Situasi semasa amat memeritkan bagi graduan dan juga pelajar tahun akhir pengajian tinggi.

“Boleh dikatakan, ratusan ‘resume’ dan e-mel permohonan pekerjaan dihantar bagi setiap iklan peluang pekerjaan dikeluarkan majikan,” katanya.

Beliau berkata, jika fenomena itu dibiarkan berlaku tanpa penyelesaian, maka dalam tempoh lima tahun akan datang bakal menyaksikan begitu ramai lambakan graduan terus menganggur tanpa diberi kesempatan untuk menimba pengalaman di alam kerjaya mereka.

Apakah langkah drastik kerajaan lakukan untuk mengatasi hal itu? Adakah PTPTN akan terus bertindak kejam kepada pelajar dalam hal ini?

Categories
BERITA UTAMA RENCANA

Yang kita jarang tahu sebalik tabir pengumuman Aidilfitri

OLEH NAZLI IBRAHIM

KETUPAT sudah dianyam, buluh lemang sudah tersedia. Hanya menunggu diisikan beras dan pulut sahaja lagi.

Ayam di reban hanya menanti untuk disembelih dan bahan-bahan lain juga sudah disiapkan. Cuma tinggal kini hanyalah menantikan pengumuman raya sahaja.

Tepat jam 8.00 malam semua ahli keluarga sudah berkumpul di hapadan kaca televisyen menantikan pengumuman Hari Raya Aidilfitri oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dengan penuh debaran.

Kira-kira setengah jam Berita Perdana di TV1 RTM (Radio dan TV Malaysia) ke udara, penyampai berita yang tidak asing lagi pada masa itu, Harjit Singh Hullon (kini Dato’) memberi laluan untuk pengumuman tarikh Hari Raya Aidilfitri.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Rabu, 1 Syawal 1401 bersamaan 2 Ogos 1981,” ucap Penyimpan Mohor Besar Raja-raja pada masa itu, Datuk Ahmad Zainal Abidin Muhammad Yusof.

ketupatSerentak dengan pengumuman itu, kanak-kanak melompat kegembiraan dan manakala ahli keluarga lain yang lebih dewasa bertempiaran menyiapkan tugasan masing-masing.

Ada yang merebus ketupat, ada yang membakar lemang, ada yang membantu emak memasak rendang, ada yang mengisi kuih raya dalam balang kaca untuk dihidangkan kepada tetamu dan macam-macam lagi.

Sementara itu, ‘pembawa perutusan’ yang biasanya kanak-kanak segera berlari ke masjid untuk memaklumkan bahawa esok hari raya kepada imam dan jemaah lain yang setia menanti di masjid. Selepas itu barulah takbir raya dikumandangkan.

Demikianlah senario biasa pada malam pengumuman Hari Raya Aidilfitri dulu-dulu yang penuh dengan debaran. Namun susana malam raya sekarang agak berbeza, tiada lagi elemen mendebarkan seperti dahulu lagi.

Walaupun pengumuman raya masih dibuat seperti biasa, namun lazimnya tarikh hari raya hari ini sudah pun diketahui lebih awal lagi.

Ini semua disebabkan kemajuan teknologi yang membantu penetapan permulaan puasa dan hari raya dengan lebih efektif dan sekaligus memudahkan lagi masyarakat agama Islam membuat persiapan raya.

Selain elemen mendebarkan, sebenarnya banyak fakta menarik lain di sebalik pengumuman hari raya. Sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini SelangorKini menyorot beberapa fakta menarik yang ada di antaranya kurang diketahui umum di sebalik pengumuman raya untuk tatapan semua.

Seperti yang kita semua tahu, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja adalah pihak yang diamanahkan untuk mengumumkan tarikh permulaan puasa, hari raya puasa dan hari raya haji.

Beliau dilantik di bawah Seksyen 3 Jadual Kelima dalam Perlembagaan Persekutuan dan bertindak sebagai Setiausaha Majlis Raja-raja dan hendaklah memegang jawatannya selama yang diperkenankan oleh Majlis Raja-raja.

Individu pertama menduduki jawatan ini adalah Raja Ayob Raja Haji Bot daripada Februari 1948 hingga Mei 1948.

Namun, pengumuman puasa atau raya pertama dibuat hanyalah pada tahun 1972 oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja pada masa itu, Tan Sri Ahmad Husin.

Kali pertama cerapan anak bulan

Ini kerana pada masa itulah buat pertama kalinya cerapan (melihat) anak bulan dilakukan bagi menetapkan permulaan puasa seluruh Malaysia dibuat pada 29 Syaaban 1392 bersamaan 7 Oktober 1972 di Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Bermula saat itu, pengisytiharan permulaan puasa, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha dilaksanakan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui radio dan televisyen setelah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

anak bulanTeluk Kemang kekal menjadi lokasi tunggal tempat cerapan anak bulan sehinggalah pada 1978 ditambah lagi dua lokasi cerapan iaitu Johor Bahru dan Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda, Kedah.

Jumlah lokasi cerapan terus bertambah sehingga mencecah kepada 30 lokasi pada 2010.

Bagi penetapan permulaan puasa dan Hari Raya Aidilfitri tahun ini sebanyak 29 lokasi cerapan telah ditetapkan.

Sebelum tahun 1972 urusan penetapan permulaan puasa, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha adalah di bawah bidang kuasa negeri masing-masing.

Penetapan permulaan puasa dan hari raya dibuat adalah berdasarkan ‘Rukyah’ (Cerapan Hilal) dan ‘Hisab’ (kiraan).

Rukyah ditentukan melalui pencerapan di kesemua tempat yang disenaraikan sebelum laporan daripada pegawai pencerapan meliputi fakta waktu mencerap dan keadaan cuaca ketika mencerap.

Manakala hisab pula ditentukan ahli falak dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengikut kriteria ketetapan ‘Imkanur-Rukyah’, iaitu kebolehnampakan hilal atau anak bulan yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-raja.

Kriteria tersebut berdasarkan persetujuan bersama oleh anggota Pertemuan Tidak Rasmi Menteri-menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Rukyah dan Takwim Islam Kali Ketiga pada 29 Zulkaedah 1412 bersamaan 1 Jun 1992 di Labuan.

Sehingga kini sudah 89 kali pengumuman permulaan puasa dan hari raya puasa sudah dilaksanakan dengan melibatkan seramai lima orang Penyimpan Mohor Besar Raja-raja termasuk seorang pemangku.

Meraka adalah Tan Sri Ahmad Husin (1972 – 1980), Datuk Ahmad Zainal Abidin Muhammad Yusof (1981 – 1988), A. Rahim Kassim yang merupakan Penolong Setiausaha Majlis Raja-raja yang memangku Penyimpan Mohor Besar Raja-raja (Februari 1988 – Disember 1988), Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah (1989 – 2011) dan terkini adalah Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad.

Daripada jumlah itu, hanya 15 kali anak bulan kelihatan menandakan permulaan puasa atau hari raya berbanding anak bulan tidak kelihatan sebanyak 74 kali.

Daripada 15 kali itu, anak bulan paling kerap kelihatan di Teluk Kemang dengan sekurang-kurangnya tujuh kali berbanding tempat-tempat lain.

Kaedah pengumuman

Akhir sekali selepas selesai mencerap, tibalah pula kaedah untuk mengumumkan tarikh permulaan puasa dan hari raya.

Bagi tujuan ini, satu mesyuarat diadakan terlebih dahulu melibatkan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, JAKIM (Bahagian Falak) dan pihak RTM bagi menentukan tindakan yang perlu diambil termasuk menentukan bekalan elektrik dan perkhidmatan telekomunikasi tidak tergendala pada waktu pencerapan dan urusan pengumuman.

Rakaman pengumuman juga sebenarnya sudah dibuat dalam dua versi atau situasi, iaitu mengandaikan (i) anak bulan kelihatan dan (ii) tidak kelihatan yakni samada Syaaban atau Ramadan berjumlah 29 atau 30 hari.

UMUM RAYAUrusetia diwujudkan melibatkan pegawai RTM yang bertanggungjawab dan ahli falak dari JAKIM. Laporan-laporan akan diterima dari semua pusat pencerapan. Apabila selesai, laporan disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan.

Lazimnya semua tindakan tersebut berjaya disempurnakan sebelum jam 8.00 malam supaya dapat diumumkan pada waktu Berita Perdana di saluran TV1, RTM sedang disiarkan.

Demikianlah serba sedikit fakta apa yang berlaku disebalik pengumuman permulaan puasa dan hari raya.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin dari SelangorKini.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA SELANGOR

Anjakan paradigma memacu ekonomi Selangor dan Malaysia

OLEH MOHD EZLI MASHUT

“You cannot wait until a house burns down to buy fire insurance on it. We cannot wait until there are massive dislocations in our society to prepare for the Fourth Industrial Revolution.” – Robert J. Shiller, 2013 Nobel laureate in economics, Professor of Economics, Yale University

Perintis Revolusi Perindustrian 4.0

PERUBAHAN DUNIA. Hari ini kita berada pada zaman dikenali sebagai revolusi perindustrian 4.0. Revolusi ini bukan ramalan futuris untuk era baru masa hadapan, ia sudah muncul dan ada di mana-mana.

Kegagalan menyesuaikan diri terhadap revolusi ini bakal menyebabkan kita ketinggalan zaman dan hanyut dibawa arus perubahan. Atas kesedaran itu, maka Selangor juga perlu berada di arus gelombang perubahan dunia. Masa hadapan adalah sekarang (the future is now).

Dalam revolusi keempat ini, kita menghadapi pelbagai teknologi baru yang menggabungkan dunia fizikal, digital dan biologi. Teknologi baru ini akan memberi kesan kepada semua disiplin, ekonomi dan industri juga mencabar idea kita tentang apa ertinya menjadi manusia.

teknologi 2Teknologi ini mempunyai potensi besar untuk terus menghubungkan berbilion manuoa lebih ke web, secara drastik meningkatkan kecekapan perniagaan dan organisasi.

Ketua Pegawai Eksekutif KnowledgeCom Corporation Sdn Bhd, S T Rubaneswaran berkata, kebanyakan industri Malaysia masih berada dalam Industri 2.0 yang berasaskan buruh dan perlu meningkatkan tahap untuk sampai ke 4.0.

Industri 4.0 akan berdasarkan kepada sembilan tonggak iaitu robot automasi, simulasi, integrasi sistem, IoT, keselamatan siber, pengkomputeran awan, pembuatan bahan tambahan, realiti diperkukuhkan, analisis data besar, serta integrasi sistem menegak dan melintang.

Laporan World Economic Forum (WEF) mendedahkan lima juta tenaga kerja di seluruh dunia bakal digantikan dengan robot menjelang 2020. Robot, Internet of Things (IoT), mesin, teknologi nano dan bio terus menggantikan sumber manusia sebagai tenaga kerja.

Tenaga kerja berisiko digantikan itu berkait rapat sektor kolar putih dan pengurusan. Tenaga kerja robot sudah menggantikan sebahagian besar tenaga manusia dalam sektor kritikal dan berbahaya dalam perindustrian, perkilangan, penjelajahan angkasa lepas serta minyak dan gas.

Sektor perbankan juga semakin terkesan dengan revolusi 4.0 apabila semakin banyak cawangan perbankan mengalami penstrukturan dengan mengurangkan tenaga kerja. Hari ini, perbankan elektronik menjadi pilihan pengguna dengan interaksi pekerja dan pelanggan dikurangkan di kaunter.

Lebih separuh pekerja di lima negara di Asia Tenggara berdepan risiko hilang pekerjaan akibat diganti robot dalam tempoh dua dekad dengan industri pakaian paling berisiko.

Kajian oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mendapati, 137 juta atau 56 peratus pekerja dari Kemboja, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam, semuanya termasuk dalam kategori berisiko.

Tinjauan PricewaterhouseCoopers’ terhadap 20,000 syarikat di 29 negara dari Asia, Eropah dan Amerika Syarikat, mendedahkan bahawa dalam tempoh lima tahun, syarikat-syarikat ini akan melabur hampir US$1 trilion setahun untuk mengubah kepada Industri 4.0.

Bagaimana menghadapi cabaran ini? 

Sebenarnya, banyak tugas manusia tidak boleh digantikan dengan robot. Kerja membabitkan kreativiti, inovasi, komunikasi, keusahawanan dan ‘multitasking’ antaranya yang lebih dominan dengan manusia.

Maka untuk berhadapan cabaran ini, aspek kepelbagaian kemahiran dan teknik berfikir adalah kelebihan mengelakkan kerja digantikan robot. Sudah tiba masanya pekerja mempunyai banyak kemahiran supaya jika ada kerja digantikan robot, sekelip mata ia tidak menjadi masalah.

Mahasiswa di universiti juga perlu mempelbagaikan kemahiran bukan sekadar satu jurusan sahaja. Perlu adanya kemahiran lain. Pelajar jurusan agama dan syariah boleh sahaja mempunyai kemahiran dalam bidang vokasional dan keusahawanan.

Ianya penting apabila berada di pasaran kerja. Graduan mempunyai pelbagai kemahiran dan pengalaman mempunyai peluang lebih cerah diambil bekerja. Malah, boleh bersaing dan memenangi pertempuran mencari kerja dengan robot serta kecanggihan teknologi.

Peluang bekerja bersama robot

Kebanjiran melampau pekerja asing di negara ini boleh diatasi dengan penggunaan robot. Sektor perladangan dan kaunter boleh menggantikan robot sebagai alternatif bagi mengatasi cabaran ini. Tak perlu pening soal visa dan rencam pekerja asing.

Sudah tiba masanya, usahawan menggunakan robot pelayan menggantikan manusia sebagai tenaga kerja. Fenomena ini mula berlaku di negara jiran kita, Singapura.

robotik dan manusiaNegara itu mengetatkan proses pengambilan tenaga kerja asing dalam memenuhi keperluan tenaga kerja bagi mengatasi masalah kebanjiran pekerja asing. Malah, ada restoran yang mula guna robot sebagai pelayan di restoran. Salah satu contoh kedai makan yang mencuba penggunaan robot adalah seperti Chili Padi Nyonya Cafe.

Kerajaan Singapura meluluskan bajet peruntukan RM1.35 bilion bagi merealisasi wawasan itu untuk kerja penyelidikan dan pembangunan, dalam tempoh tiga tahun.

Inisiatif ini perlu dipelajari Malaysia untuk sama berada dalam arus revolusi 4.0 dengan menyediakan dana kepada individu dan syarikat yang mahu melaksanakan inovasi serta cara kerja baru menggunakan robot.

Perancangan Selangor pelopori revolusi industri 4.0 

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali ketika ucapan perasmian Kongres Tahunan AMK dan Wanita KEADILAN 2017 di Dewan Sivik MBPJ pada 19 Mei lalu menyatakan Selangor sedia menjadi perintis Revolusi Perindustrian 4.0 sebagai paradigma baru ekonomi selaras gagasan ‘Smart State’.

Katanya, ekonomi negara perlu mendapat suntikan baru melalui ekonomi berteraskan penguasaan teknologi tinggi melului inisiatif pendidikan untuk membawa modul pendidikan TVET ke dalam arus perdana pendidikan negara.

shutterstock_418216030Malah, lawatan kerja Dato’ Menteri Besar ke Eropah baru-baru ini bakal memberi pelbagai manfaat kepada ekonomi Selangor khususnya membabitkan golongan anak muda dan pengusaha industri kecil dan sederhana (SME), di negeri itu.

Hal itu berikutan perbincangan beliau dengan pelbagai pihak termasuk Lufthansa Technik di Hamburg dan Airbus Defence & Space di Munich yang amat meyakinkan.

Melalui perkongsiaan strategik, anak muda akan diperkasakan dengan keterampilan teknologi dan memberi anjakan kepada syarikat SME untuk memasuki ‘supply chain’ industri aeroangkasa.

Sebelum ini juga, Mohamed Azmin mahu Institut Wanita Berdaya merangka strategi wanita bagi mendepani revolusi industri keempat.

Perlu sokongan semua pihak 

Kesungguhan Selangor mahu merintis revolusi perindustrian ini perlu mendapat sokongan semua pihak. Lebih banyak usaha dan tindakan perlu dilaksanakan memandangkan cabaran terbesar negara masih terletak pada kekurangan pekerja terlatih daripada segi teknologi.

Industri 4.0 adalah penting untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan perindustrian, termasuk sasaran ekonomi negara RM2 trilion dalam tujuh hingga lapan tahun akan datang.

Revolusi Perindustrian Keempat ini memerlukan Selangor dan Malaysia menyediakan modal insan berkualiti serta berdaya saing bagi menghadapi cabaran teknologi kompleks dan mencabar.

Masa depan sedang berlaku di sekeliling kita. Kita mesti menyahut cabaran untuk memenuhi keperluan semasa dan berkembang maju dalam revolusi perindustrian yang baru.

Langkah perlu dimula, jika bukan sekarang bila lagi. Seribu langkah itu bermula daripada langkah pertama.

 

# Mohd Ezli Mashut adalah Penolong Pengarang SelangorKini