Categories
NASIONAL

Surat Cinta Anwar Kepada Azizah Dilelong RM50,000

SHAH ALAM 29 SEPT : Surat cinta yang ditulis ketika dalam penjara oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilelong pada harga tertinggi RM50,000 malam tadi.

Surat ini ditulis Ketua Umum PKR itu ketika ditempatkan di Penjara Sungai Buloh itu dibeli oleh Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Lajim Ukin.

Sebelum acara lelongan dijalankan, Dr Wan Azizah yang juga Presiden PKR naik ke atas pentas dan membacakan kandungan isi surat itu untuk penonton yang hadir dalam majlis Makan Malam Perdana Bersama Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) di Stadium Malawati di sini.

Antara kandungan surat itu menjelaskan perasaan kasih sayang Anwar terhadap isterinya dan keluarga selain usaha meracuninya menerusi makanan disajikan di dalam penjara.

Dr Wan Azizah juga diminta mengadakan perbincangan dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kartunis Zunar.

Gambar sketsa kartun lakaran Zunar bertajuk “Kuasa Rakyat ke Putrajaya” pula dilelong pada harga RM32,000.
Barangan lain dilelong dalam majlis itu ialah pena digunakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika menghuni Penjara Kajang dengan nilai RM23,000.

Gambar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai nelayan (RM17,000), gambar Pengerusi DAP, Karpal Singh – Singh Is The King (RM12,000).

Manakala tongkat Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (RM12,000), patung beruang Teresa Kok (RM10,000) dan cenderamata Allahyarham Datuk Fadzil Noor (RM11,000).

Jumlah kutipan bagi keseluruhan hasil daripada bidaan ini ialah sebanyak RM182,000.

Majlis tersebut bertujuan memgumpul dana PR bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) dihadiri barisan kepimpinan PR dan tetamu dengan kehadiran lebih 3,000 orang.

Categories
NASIONAL

Himpunan Oren 14 Julai Untuk Selamatkan Felda

SHAH ALAM 22 JUN : Tarikh 14 Julai depan akan menyaksikan kemuncak bantahan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) terhadap penyenaraian Felda Global Ventures Holdings(FGVH) ke Bursa Saham Malaysia.

?Himpunan Oren Selamatkan Felda? merupakan tema yang dipilih melibatkan peneroka di seluruh negara.

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman berkata, peserta akan mula berkumpul di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kemudiannya berarak menuju ke Istana Negara bagi menghantar memorandum memohon supaya Yang di Pertuan Agong (YDPA) campur tangan isu FGVH.

Beliau mensasarkan penyokong sekurang-kurangnya 20,000 peserta dan turut menjemput parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai untuk sama-sama menyertainya kerana ia isu yang membabitkan masa depan peneroka.

“Kita menjemput semua dengan serba oren untuk membuktikan solidariti kita bagi mempertahankan institusi orang Melayu yang tertua dalam negara kita iaitu Felda,” ujarnya ketika dihubungi TV Selangor.

Mazlan berkata, beliau menaruh harapan agar YDP Agong memanggil Perdana Menteri dan campurtangan bagi membatalkan penyenaraian ini serta memanjangkan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu.

“Saya yakin baginda Sultan di negeri-negeri tidak diberikan gambaran yang jelas apa sebenarnya manfaat penyenaraian Felda ini.

“Dengan usaha kita menyerahkan memorandum ini, kita berharap agar baginda Sultan akan mendapat satu penjelasan yang lengkap dan jelas tentang risiko penyenaraian Felda ini,” ujarnya.

Menurutnya, demontrasi besar-besaran yang akan diketuai Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu dan turut dihadiri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mula berarak selepas selesai menunaikan solat Zohor dan solat Hajat.

Categories
NASIONAL

Aktivis Pas : Haji Boleh Ditangguh, PRU 13 Diutamakan

SHAH ALAM, 17 JUN: Semua aktivis PAS yang ditemui TVSelangor memilih untuk bertempur bersama parti di dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) sekiranya kerajaan pusat mengadakannya pada musim Haji.

Tinjauan rambang pada Himpunan Hijau Ke Putrajaya peringkat Negeri Selangor di sini mendapati, para aktivis merasakan bukan masalah besar untuk menangguhkan ibadah haji dan menumpukan tenaga untuk menawan Putrajaya.

Rohaizad Abdul Rahim, 40, dari kawasan Petaling Jaya Selatan berpendapat, pilihanraya yang berlangsung lima tahun sekali merupakan medan pertempuran penting lebih-lebih lagi dalam memilih pemimpin negara.

Katanya, penagguhan ibadah haji bukan bererti meminggirkan tuntutan Rukun Islam kelima. Sebaliknya perkara berkenaan boleh dilakukan pada tahun akan datang.

“Walaupun haji itu wajib, tetapi parti juga satu kewajipan kerana kita ingin memilih pemimpin.

?Dari segi tempoh masa, haji boleh pergi bila-bila masa. Pilihanraya merupakan peluang yang ada untuk kita mengutamakan parti,” katanya.

Dalam tinjauan tersebut, wartawan TVSelangor menemui 10 aktivis Pas yang dipilih secara rambangan dari lebih kurang 1,000 yang hadir pada himpunan hari ini.

Kesemua aktivis yang daripada berbagai latar belakang dan umur itu tidak teragak untuk beritahu sekiranya mereka dipilih untuk menunaikan haji pada tahun ini, mereka akan tangguh untuk bersama parti semasa pilihanraya.

Ahli PAS Ampang, Anuar Saari, 42, berkata pilihanraya tidak diadakan setiap tahun berbanding dengan peluang menunaikan Haji.

“Kalau kita terpilih, boleh tangguhkan dengan memaklumkan kepada pihak tabung haji.

?Saya rasa ahli (parti) juga perlu buat perkara yang sama kerana pilihan raya lima tahun sekali. Bukan setiap tahun ada. Paling penting setiap ahli perlu faham perkara itu,” katanya.

Media pro-Umno-BN baru baru ini mempertikaikan kenyataan pemimpin Pas yang meminta ahli parti yang terlibat secara langsung di dalam pilihanraya menangguhkan ibadah haji sekiranya PRU ke 13 berlaku pada musim itu.

Media tersebut memaparkan kenyataan daripada berbagai pemimpin Umno dan ulama lain yang mengkritik kenyataan pemimpin Pas seperti presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan ketua penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Muslimat Pas Selangor turut menyatakan pendirian sama untuk bersama PAS walapun PRU-13 pada musim Haji.

Julianah Maah, 57, berkata, perjuangan menegakkan kebenaran terutama dalam memilih pemimpin negara merupakan jihad yang besar dan dijanjikan ganjaran pahala oleh Allah SWT.

Katanya, dalam keadaan sekarang, sudah tiba masa rakyat membuat perubahan demi memastikan negara tidak terus berada dalam cengkaman pemerintah yang selama ini menafikan hak rakyat.

“Saya memilih untuk berada di Malaysia sekiranya PRU-13 diadakan pada musim haji walaupun pada ketika itu saya terpilih untuk menunaikan ibadah haji.

?Ini kerana, pengorbanan dan pahalanya lebih besar sekiranya kita bersama-sama parti berjuang dalam PRU-13,” katanya.

Bagi Norhayati Samad, 41, tidak timbul isu membelakangkan agama kerana pilihan raya itu adalah penentu masa depan negara dan memperjuangkan Islam merupakan satu perkara yang dituntut dalam agama.

Kenyataan berkenaan turut disokong Siti Maryam Mohd, 50 yang berpandangan PAS memerlukan sokongan rakyat dan adalah lebih baik ibadah haji ditangguhkan.

 

Categories
NASIONAL

Khalid Samad:Tabung Haji Juga Tangguh Jamaah Haji Ke Makkah

SHAH ALAM, 15 JUN: Isu menangguhkan ibadat haji tidak seharusnya dijadikan isu besar kerana selama ini pun Lembaga Tabung Haji dan kerajaan Arab Saudi juga turut menangguhkan pemergian jamaah haji ke Makkah berikutan koata yang diberikan amat terhad.

MP Shah Alam, Khalid Samad berkata ilmuan agama disaran supaya mendengar dan meneliti semua hujah yang dikeluarkan sebelum membuat tafsiran atau sebarang hukum berhubung isu pengguhan ibadah Haji sekiranya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ketika musim Haji.

Beliau dalam temuramah khas dalam program terus terang terbitan TV Selangor menegaskan, hasrat yang disuarakan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man supaya kerajaan tidak mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ketika musim haji merupakan cadangan yang disokong oleh pihak lain.

Menurutnya, soal memilih pemimpin dan pemerintah merupakan satu perkara yang terkandung dalam agama Islam dan bukannya bersifat duniawi.

Katanya, sekiranya Umno-BN benar-benar menghormati suara orang Islam, perkara ini perlu diberikan perhatian serius dan bukannya diputar-belitkan.

“Pilihanraya ini bagi PAS satu perkara yang amat penting kerana ianya masa bagi menentukan pemimpin dan pemerintah kepada masa depan negara dan umat Islam itu sendiri.

“Ini merupakan satu perkara yang tidak boleh dipandang remeh dan kita pisahkan sebagai tanggungjawab keagamaan kita,” katanya

Tegasnya, PAS sejak dahulu sehingga kini kekal dengan pendirian bahawa agama dan politik tidak boleh dipisahkan.

Khalid yang juga AJK Tertinggi Pas Pusat menambah, meskipun tidak berada dalam sausana menjelang pilihanraya, umat Islam yang berkemampuan juga terpaksa menagguhkan hasrat mengadakan ibadat haji ekoran sisitem kuota yang selama ini diamalkan oleh kerajaan menerusi Tabung Haji serta kerajaan Arab Saudi.

Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa Umno-BN akan menafikan hak sebahagian besar rakyat jika mengadakan PRU-13 pada musim haji tahun ini.

Hadi menyatakan, hanya segelintir umat Islam yang dapat membezakan di antara wajib mudayyak yang tidak boleh ditangguh dan wajib muwassaa yang boleh ditangguh.

Abdul Hadi berkata, Umno yang memisahkan politik daripada agama tidak peduli kepada musim haji yang menafikan hak sebahagian besar rakyat, kerana kaedahnya wajib menang dengan apa cara sekali pun.

Categories
NASIONAL

Mat Sabu : Najib Akan Tanggung Dosa Jika PRU 13 Pada Musim Haji

SHAH ALAM,13 JUN: Jika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), diadakan semasa musim haji, individu yang wajib menanggung dosa adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, Najib seorang Perdana Menteri yang tidak bertanggungjawab sekiranya ini berlaku kerana beliau mempunyai tempoh masa yang panjang untuk menentukan tarikh pilihanraya.

Perkara ini nyata boleh mengganggu kosentrasi dan persiapan bakal haji, ujar beliau.

“Apa yang berlaku Najib harus bertanggungjawab sampai terpaksa menagguh atau tidak pergi haji. Dia kena pikul dosa siapa yang terlibat dalam ibadah haji ini,” katanya apabila dihubungi.

Mohamad bercakap demikian dalam mengulas spekulasi yang pilihanraya akan diadakan pada musim haji pada bulan Zulhijah pada pertengahan Oktober sehingga pertengahan November.

Terdahulu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meminta ahli parti yang terlibat secara langsung dalam pilihanraya seperti calon, wakil calon dan pengarah pilihanraya agar menangguhkan rancangan untuk menunaikan ibadah haji.

Kata Mohamad, perkara ini bukan soal siapa akan menang atau kalah tetapi persoalan mengapa memilih waktu berkenaan sedangkan beliau mempunyai masa yang panjang.

“Dia (Najib Razak) telah mempunyai masa yang lama. Dari sekarang sehingga tahun hadapan, dia boleh pilih masa mana. Mengapa nak memilih musim haji?

“Najib bertanggungjawab diatas kesusahan orang di sudut jiwa, persiapan dan sebagainya,” katanya.

Kenyataan Tuan Ibrahim turut disokong oleh Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menyatakan ibadah haji boleh ditangguhkan dan ia tidak mempunyai tempoh masa untuk ditunaikan seperti ibadah solat.

Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa Umno-BN akan menafikan hak sebahagian besar rakyat jika mengadakan PRU-13 pada musim haji tahun ini.

Hadi menyatakan, hanya segelintir umat Islam yang dapat membezakan di antara wajib mudayyak yang tidak boleh ditangguh dan wajib muwassaa yang boleh ditangguh.

Abdul Hadi berkata, Umno yang memisahkan politik daripada agama tidak peduli kepada musim haji yang menafikan hak sebahagian besar rakyat, kerana kaedahnya wajib menang dengan apa cara sekali pun.

Categories
NASIONAL

Jentera Parti Diminta Tangguh Haji Untuk Fokus PRU-13

SHAH ALAM, 5 JUN : PAS hari ini meminta kesemua ahlinya yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya untuk menangguh ibadah haji bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Ini kerana menurut Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, PAS menjangka PRU-13 bakal berlangsung semasa musim haji iaitu selepas bulan Ramadan, antara September hingga Oktober.

Katanya, penangguhan ibadah haji itu dianggap wajar kerana PAS memerlukan jentera parti untuk melaksanakan gerak kerja semasa pilihan raya nanti.

“Inilah masalah yang dihadapi negara kita berhubung tarikh pilihan raya menyebabkan rakyat susah untuk membuat perancangan.

?Kalau ikut pemantauan kita, memang dijangkakan pilihan raya bakal diadakan pada musim haji tahun ini iaitu jemaah haji bertolak ke Makkah.

“Kalau berlaku demikian, kita minta ahli PAS yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya sama ada sebagai calon atau wakil calon atau agen parti untuk menangguh ibadah haji ke tahun hadapan,” katanya.

Tuan Ibrahim juga berkata, jika pilihanraya diadakan pada musim haji ia akan mendatangkan kesukaran bagi pengundi yang dipilih untuk pergi ke Makkah.

“Kita melahirkan rasa dukacita terhadap perkara ini. Takkan kita nak salahkan orang ramai untuk menunaikan ibadah haji? Kerajaan sepatutnya lebih awal tetapkan tarikh, supaya tidak mengganggu perkara-perkara lain,” ujarnya.

Timbalan Pengerusi DAP Kepong, Dr Tan Seng Giaw juga tidak setuju PRU-13 diadakan pada musim haji kerana ia mengganggu urusan ibadah umat Islam.

“Umat Islam sibuk dengan kegiatan agama pada musim haji, janganlah ditambah lagi dengan masalah PRU.

?Walaupun tempoh berkempen adalah selama dua minggu, tetapi kita perlu lakukan persiapan sebulan lebih awal.

“Kerajaan perlu fikir masak-masak sebelum umumkan tarikh PRU-13. Tidak pernah PRU diadakan pada musim haji ataupun bulan Ramadan. Saya berharap kali ini pun tiada. Kita perlu beri peluang kepada umat Islam untuk laksanakan kewajipan mereka,” ujarnya.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya semalam mendakwa Umno-BN menafikan hak sebahagian besar rakyat jika mengadakan PRU-13 pada musim haji tahun ini.

?Hanya segelintir umat Islam yang dapat membezakan diantara wajib mudayyak yang tidak boleh ditangguh dan wajib muwassaa yang boleh ditangguh.

?Umno yang memisahkan politik daripada agama tidak peduli kepada musim haji yang menafikan hak sebahagian besar rakyat, kerana kaedahnya wajib menang dengan apa cara sekali pun.?

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pakatan Mendahului Umno-BN Dalam Menjaga Kebajikan dan Hak Pekerja

SHAH ALAM, 14 MEI : Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mendedahkan bahawa Pakatan Rakyat (PR) adalah pimpinan pertama yang mengamalkan dasar kebajikan pekerja yang lebih progresif, bukan Umno-BN.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata kebajikan terhadap pekerja bermula se-awal tahun 1990-an lagi di negeri Kelantan yang kemudiannya diikuti oleh negeri-negeri lain.

Perubahan itu termasuk pemberian cuti rehat sebanyak dua hari setiap minggu kepada pekerja, cuti bersalin 60 hari kepada pekerja wanita dan cuti tujuh hari kepada suami yang isterinya melahirkan anak.
Malah dasar-dasar seperti ini pernah dikecam kuat oleh Umno-BN di bawah Perdana Menteri ke-empat Tun Dr Mahathir Mohamed pada masa ia perkenalkan.

“Umno-BN sebelum ini ada mendakwa bahawa cuti rehat dua hari yang diberikan kepada pekerja akan menyebabkan produktiviti menjadi rendah dan rakyat akan malas.

“Tetapi akhirnya mereka meniru kita dan terpaksa memberi cuti rehat selama dua hari kepada pekerja sebab kita dah laksanakan dulu.
?Tidak terkecuali, negeri Selangor juga turut memberi cuti 90 hari kepada wanita bersalin. Itu adalah bukti betapa kerajaan PR begitu prihatin terhadap hak pekerja,” ujarnya.

Mat Sabu berkata demikian dalam ucapannya semasa menghadiri Majlis Himpunan ?Pekerja : Menjulang Martabat Pekerja? di Stadium Malawati, di sini malam tadi.

Himpunan yang disertai lebih 3,000 orang itu turut dihadiri Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan barisan pimpinan kerajaan Selangor.

Turut kelihatan exco-exco Selangor Dr Halimah Ali, Rodziah Ismail, Ronnie Liu Tian Khiew dan Dr Yaakop Sapari. Juga hadir MP Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid dan ADUN Meru Dr Rani Othman.

Pakatan di dalam dasar bersamanya pada 2010 telah berjanji untuk melaksanakan gaji minima di dalam semua sektor di negara, lebih awal dari dasar Umno-BN yang baru diumumkan beberapa minggu lalu.

Malah Kerajaan Selangor menetapkan kadar gaji minima pada RM1,500 sebulan untuk setiap anak syarikat di bawahnya.
Kadar itu adalah lebih tinggi daripada RM900 yang diumumkan oleh Umno-BN.

ends

Categories
NASIONAL

Cinta Pada Kaum Tidak Boleh Jadi Ideologi, Akidah

KUALA SELANGOR 26 MAC : Pendekatan persaudaraan yang diamalkan oleh Pakatan Rakyat (Pakatan) akan membolehkannya terus kukuh berbanding dengan Umno-BN yang hanya mengamalkan semangat kebangsaan kaum.

Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang berkata pendekataan persaudaraan itu adalah perbezaan yang paling ketara berbanding apa yang diamalkan oleh Umno-BN.

Katanya, satu kesilapan besar bagi Umno-BN adalah ia mengamalkan semangat perkauman antara parti-parti komponennya seperti Umno, MCA dan MIC.

“Walaupun parti itu sudah memerintah lebih 50 tahun, hasilnya masih banyak masalah yang membebankan rakyat dan tidak boleh mencapai ke tahap negara maju.

“Tidak menjadi masalah jika menyayangi kaum masing-masing tetapi kecintaan pada bangsa tidak boleh jadikan satu ideologi atau akidah hingga boleh mencetuskan hubungan tidak baik antara satu sama lain.

“Mereka hanya mengamalkan saling tidak mempercayai dan tindas menindas antara satu sama lain. Bukan hanya berbagai bangsa tetapi di kalangan satu bangsa juga,” katanya.

Beliau berucap pada rapat rakyat Karnival Terima Kasih Rakyat sempena empat tahun Pakatan Rakyat yang diadakan di Stadium Kuala Selangor, semalam.

Tambahnya, negara boleh dibna dengan hebat sekiranya budaya semua komuniti diadun dengan baik.

“Ini pendekatan Pakatan Rakyat, konsep negara berkebajikan digabungkan dalam Buku Jingga, satukan pelbagai kaum dan taraf hidup serta berjaya melahirkan konsesi Pakatan Rakyat,” katanya.

Categories
SELANGOR

Hadiah Menarik Dalam Karnival Terima Kasih Rakyat

SHAH ALAM, 19 MAC: Motosikal, Ipad, Samsung Galaxy S2, hamper dan kupon belanja adalah antara hadiah yang menanti pengunjung di Karnival Terima Kasih Rakyat yang akan berlangsung pada hari Ahad, 25 Mac ini.

Karnival yang bertempat di Stadium Kuala Selangor itu merupakan satu penghargaan atas kepercayaan yang ditunjukkan oleh rakyat Selangor terhadap pentadbiran Pakatan Rakyat selama empat tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tian Khiew berkata karnival itu juga memaparkan program-program menarik sepanjang hari dan berakhir dengan rapat rakyat perdana.

?Semua rakyat Selangor dijemput hadir ke Karnival Terima Kasih Rakyat kerana terdapat pelbagai hadiah yang menarik dan kupon-kupon belanja yang akan diberikan kepada golongan berpendapatan rendah,? ujar Ronnie di dalam sidang media di Bangunan Annex Dewan Negeri Selangor hari ini.

Antara program tersebut adalah senamrobik, pertandingan futsal dan sukan tradisional, Pertunjukan Auto Drift, sesi bersama Alternative Riders Club (ARC), pertunjukkan tarian singa dan klinik bola sepak bersama pemain-pemain professional Selangor.

Bagi pengunjung wanita, karnival itu turut menyediakan sesi pertunjukan memasak, sesi kaunseling bersama Ustazah Siti Nur Bahyah Mahamood dan pertandingan gubahan bunga.

Pertandingan mewarna, ?petting zoo? dan ?pony ride? bagi kanak-kanak turut disediakan.

Persembahan artis-artis popular seperti OAG, Sixth Sense, Fify Emielia, Blank Gamma, Komuniti Jazz Shah Alam dan penampilan istimewa Buddhi Hekayat sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu bagi lirik Lagu Awan Nano juga bakal mewarnai karnival ini.

Karnival ini akan berakhir dengan program Rapat Rakyat bersama pimpinan Pakatan seperti Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan.