Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Penyakit kulit kental tidak jejas bekalan lembu korban

SHAH ALAM, 22 JUN: Bekalan lembu untuk Aidiladha pada tahun ini mencukupi walaupun terdapat ternakan itu yang dijangkiti penyakit kulit kental (LSD).

EXCO pertanian berkata pengesanan penyakit tersebut tidak akan mengganggu bekalan bagi keperluan ibadah korban tetapi langkah penjagaan tambahan perlu diambil untuk mengelakkan daripada terus merebak.

“Saya telah minta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor untuk meningkatkan kekerapan pemantauan di ladang lembu untuk memastikan tiada kes sebegini berlaku.

“Setakat ini tiada kes baharu direkodkan dan hanya dikesan di Gombak, Hulu Selangor serta Sabak Bernam. Ternakan yang dikesan berpenyakit akan diasingkan dan terus dibunuh,” kata Ir Izham Hashim.

Pada 5 Jun lalu JPV Selangor mengesan satu kes penyakit LSD yang pertama di negeri ini di Gombak.

Penyakit itu dikesan selepas terdapat tanda jangkitan penyakit pada lima ekor lembu pedaging.

Categories
AGENDA NASIONAL

Aliran trafik beberapa lebuh raya utama perlahan

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Aliran trafik dilaporkan bergerak perlahan di beberapa lebuh raya utama setakat pagi ini, berikutan orang ramai mula pulang ke rumah masing-masing selepas cuti sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata setakat 10.30 pagi ini, trafik di utara perlahan dari Changkat Jering ke Kuala Kangsar (kawasan mendaki Bukit Berapit), kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak ke Terowong Menora dan Simpang Pulai ke Gopeng ekoran pertambahan trafik.

“Trafik menghala ke selatan masih terkawal dan bergerak lancar,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata trafik menuju ke pantai timur bergerak perlahan dari R&R Genting Sempah ke Terowong Genting Sempah arah barat, sebelum Plaza Tol Bentong arah Barat, dan sebelum Plaza Tol Karak arah Barat

Maklumat trafik terkini boleh didapati menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter, www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter, www.twitter.com/llminfotrafik.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Kemeriahan raya kembali dirasai, kekal ikut SOP

KUALA LUMPUR, 31 JULAI: Sambutan Aidiladha kali ini lebih bermakna bagi umat Islam di negara ini kerana masing-masing dapat meraikannya bersama keluarga di kampung halaman serta menjalani ibadah korban dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat.

Sudah tentu perantau yang pulang ke kampung halaman akan memanfaatkan saat-saat manis ini bersama ahli keluarga berikutan perayaan Aidilfitri yang lalu rentas negeri tidak dibenarkan disebabkan kes Covid-19 masih tinggi ketika itu.

Namun di sebalik peluang dan nikmat yang diberikan itu, orang ramai perlulah beringat bahawa pandemik Covid-19 masih belum berakhir dengan kes positif juga tidak menentu sejak akhir-akhir ini.

Zulshafeezam Zulkifli (kanan) menyiram air bagi menyejukkan lembu yang akan dikorbankan sempena Aidiladha ketika tinjauan di Masjid Ar-Rahman Kampung Sungai Lui, Hulu Langat pada 30 Julai 2020. Foto BERNAMA

Petugas hadapan masih lagi bertungkus-lumus ketika ini merawat pesakit Covid-19 di hospital, jangan bebankan mereka dengan penambahan kes positif, kawalan kendiri memainkan peranan penting maka sentiasalah mengingati satu sama lain mengenai SOP yang ditetapkan kerajaan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya semalam turut memperincikan segala SOP mengenai sambutan Aidiladha kali ini.

Antaranya adalah hadkan jumlah yang hadir di tempat penyembelihan iaitu tidak melebihi 20 orang bagi seekor lembu, kenduri di tempat ibadah korban tidak dibenarkan, selesai sahaja memotong dan membahagikan daging korban, segeralah pulang ke rumah masing-masing.

Saudara-mara yang datang ke rumah pula tidak boleh melebihi 20 orang pada satu-satu masa termasuk elakkan bersalaman. Tuan rumah juga perlu bersikap jujur dengan memaklumkan kepada sanak-saudara, rakan dan jiran tetangga jika terdapat ahli keluarga sedang menjalani kuarantin.

Janganlah ambil mudah dan bersikap penting diri, hargailah jasa mereka yang berkerja keras melandaikan virus maut itu dalam negara ini. Pastikan menggunakan pencuci tangan dan memakai pelitup muka.

Marilah bersama-sama mencegah COVID-19. Selamat Hari Raya Aidiladha !

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri agama: Patuhi SOP, elak kluster Aidiladha

KUALA NERUS, 30 JULAI: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini mengingatkan orang ramai supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengelak wujudnya kluster ibadah berkaitan Aidiladha.

Beliau berkata kerajaan tidak mahu berlakunya penularan Covid-19 disebabkan ketidakpatuhan rakyat terhadap SOP sepanjang Aidiladha, yang berisiko mewujudkan sebarang kluster berkaitan ibadah seperti kluster solat atau kluster ibadah korban.

“Kita telah mengeluarkan SOP lengkap ibadah korban yang telah dimuktamadkan dan peraturan yang terperinci itu boleh dilihat melalui laman web, Facebook dan Instagram kementerian.

“Isu ibadah korban ini merupakan satu isu yang menarik untuk dilihat oleh semua pihak khususnya yang beragama Islam….oleh kerana itu, jaga perkara ini (patuhi SOP). Kita tidak mahu ada kluster berkaitan ibadah berlaku lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Peduli: Cuci Cuci dan Musa’adah Pasca Covid-19 Terengganu di Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah Kubang Lembik, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada kementerian akan mengetatkan semula SOP di masjid berikutan peningkatan kes Covid-19 dalam negara sejak akhir-akhir ini, beliau berkata perkara itu akan dibuat mengikut penilaian semasa.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

AADK Selangor periksa pemandu, penumpang bas

SHAH ALAM, 30 JULAI: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Selangor menempatkan anggota penguatkuasanya di terminal bas negeri ini sempena cuti perayaan Aidiladha untuk memastikan pemandu dan penumpang bas ekspres bebas dadah.

Pengarah AADK Selangor Dr Nazira Sadiron berkata menerusi langkah itu, setiap pemandu dan penumpang akan diperiksa dalam operasi empat hari iaitu semalam dan hari ini serta pada Selasa dan Rabu ini (4 dan 5 Ogos).

“Seramai 48 anggota AADK dan 180 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri turut terlibat dalam operasi ‘Op Terminal’ ini.

“Anggota AADK dan JPJ akan sentiasa berada di terminal bas Seksyen 17 di sini, Kajang dan Klang Sentral,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran operasi itu, malam tadi.

Nazira berkata setakat semalam, seramai 54 pemandu sudah diperiksa dan kesemuanya negatif ujian dadah.

Katanya, menerusi operasi itu beliau turut berharap kemalangan membabitkan kes penyalahgunaan dadah terutamanya dalam kalangan pemandu dapat dibendung.

“Pemeriksaan bas turut dilaksanakan oleh JPJ dan setakat ini keadaan memuaskan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Trafik harian LPT2 meningkat 70 peratus menjelang Aidiladha

KUALA TERENGGANU, 30 JULAI: Pengendali lebuh raya LPT2 Sdn Bhd menjangka Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 akan mengalami peningkatan kenderaan sehingga 70 peratus atau 35,000 sehari menjelang sambutan Aidiladha pada Jumaat ini.

Dalam kenyataannya semalam, Pengarah Eksekutif LPT2 Datuk Azman Ismail berkata secara purata, kira-kira 13,000 kenderaan menggunakan lebuh raya itu pada hari-hari biasa.

Menurutnya, bagi melancarkan perjalanan, buat pertama kali LPT2 bekerjasama dengan ANIH Berhad, pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan memperkenalkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA), melibatkan keseluruhan laluan lebuh raya di pantai timur (E8).

Bermula hari ini (semalam) dan esok (hari ini), pengguna dari Kuala Lumpur/Selangor menuju ke Pahang dinasihati memasuki lebuh raya antara 10 pagi hingga 1 tengah hari atau 8 malam hingga 11 malam, manakala bagi perjalanan ke Terengganu dan Kelantan, waktu disarankan ialah 6 pagi hingga 10 pagi atau 5 petang hingga 10 malam.

Bagi perjalanan pulang ke Kuala Lumpur/Selangor pada 1 dan 2 Ogos, pengguna dari Pahang disaran berada di lebuh raya antara 6 pagi dan 10 pagi atau 7 malam hingga 11 malam, manakala pengguna dari Terengganu (melalui Plaza Tol Kuala Terengganu) dicadang memasuki lebuh raya bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari atau 8 malam hingga 10 malam.

Pelanggan dari Kelantan (melalui Plaza Tol Kuala Terengganu) pula dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya bermula 5 petang hingga 9 malam atau 9 malam hingga 12 tengah malam.

Maklumat trafik bagi KLK dan LPT1 boleh hubungi talian LPT-Line di 1700-818-700 atau mengikuti Facebook Lebuhraya Pantai Timur dan laman Twitter di @LPTTrafik, sementara bagi LPT 2, orang ramai boleh dapatkan maklumat terkini antaranya menerusi Twitter @LPT2Trafik atau menghubungi talian LPT2Line di 1800 88 0220.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sambut Aidiladha dengan kesedaran, semangat baru

SHAH ALAM, 30 JULAI: Orang ramai digesa memaknai sambutan Aidiladha dengan kesedaran dan kebangkitan baru, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata masyarakat harus berfikir, merenung dan menggarap pengajaran berguna daripada penularan Covid-19 yang masih berleluasa di dunia.

Ketua pembangkang berkata perayaan itu untuk mengingatkan umat Islam terhadap kepasrahan Nabi Ibrahim yang patuh perintah Allah untuk mengorbankan anaknya, Nabi Ismail.

“Semarak takbir Aidiladha juga mengingatkan kita bagaimana Nabi Ibrahim memaknai dua kata mulia Allahu Akbar lewat amal nyata iaitu Allah Maha Besar, tidak ada yang lebih besar daripada Allah, perintah-Nya dan ajaran-Nya.

“Peristiwa itu mencerminkan ketauhidan Nabi Ibrahim kepada keesaan Allah ketimbang (berbanding) perasaan peribadi mahu menyelamatkan anaknya sendiri,” katanya dalam perutusan sempena sambutan itu.

Anwar berkata peristiwa itu menjelmakan ibadah korban bagi meraikan pengorbanan besar seorang bapa dan anaknya sekali gus menjadi kunci kepatuhan umat Islam, bukannya mengikut nafsu.

“Mengorbankan haiwan ternakan itu juga bermakna mengorbankan segala sikap lama dan usang, mula menjalani kehidupan baru dan segar yang semestinya ditopangkan kepada kejujuran, keadilan dan rasa peduli kepada yang miskin dan melarat,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Patuhi SOP sambut Aidiladha – Dr Zulkifli

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Umat Islam di negara ini diingatkan agar tidak mengambil mudah pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, apatah lagi di saat petugas barisan hadapan masih berjuang untuk menangani penularan pandemik Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata umat Islam perlu sentiasa peka dan mengamalkan penjarakan sosial, menjaga kebersihan, bertatasusila dan memakai pelitup muka sepanjang Aidiladha terutama ketika melaksanakan ibadah korban.

“Untuk ini (ibadah korban) kita mempunyai SOP yang digabungkan dengan semua pihak termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia serta Majlis Keselamatan Negara justeru berharap orang ramai boleh merujuk dan mematuhinya.

Segala bentuk maklumat berkaitan SOP ini akan disiarkan di laman sesawang kami (mira.gov.my) serta laman sosial Facebook dan Instagram (Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri) untuk rujukan dan fahaman orang ramai,” katanya ketika ditemui Bernama.

Umat Islam di negara ini akan menyambut Hari Raya Aidiladha Jumaat ini, menurut pengumuman Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja Mohd Aseral Jusman.

Dr Zulkifli berkata SOP yang digariskan kerajaan bertujuan membendung penularan wabak Covid-19 dan umat Islam wajib mematuhi perintah kerajaan selagi mana ia mempunyai tujuan yang baik.

“Statistik kes Covid-19 di seluruh dunia semakin meningkat setiap hari, jadi ia merupakan tanggungjawab setiap individu untuk berusaha mematuhi segala arahan dan nasihat pihak kerajaan demi kebaikan seluruh masyarakat.

“Saya juga telah berinteraksi dengan ramai ulama dari seluruh dunia, dan semuanya sependapat agar masyarakat perlu mematuhi segala arahan kerajaan dalam usaha menjauhi jangkitan wabak Covid-19,” katanya lagi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Trafik perlahan di lebuh raya utama malam ini

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama didapati perlahan malam ini, berikutan orang ramai mula pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidiladha Jumaat ini.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad ketika dihubungi berkata bagi perjalanan ke utara, aliran trafik dilaporkan perlahan dari Slim River menuju Sungkai serta Sungkai ke Gopeng berikutan pertambahan jumlah kenderaan di lebuh raya.

“Trafik juga perlahan sejauh 11 km dari Terowong Menora ke Kuala Kangsar berikutan terdapat sebuah lori rosak,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata aliran trafik menuju Pantai Timur perlahan di Plaza Tol Gombak ke Bukit Tinggi serta dari Lentang ke Plaza Tol Bentong.

Bagaimanapun, katanya aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 lancar di kedua-dua arah setakat ini.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

SOP ketat, ibadah korban tetap dilaksanakan – MB

SHAH ALAM, 29 JULAI: Umat Islam di negara ini masih berpeluang melaksanakan ibadah korban walaupun berdepan tatacara operasi piawai (SOP) ketat ketika pandemik Covid-19 melanda dunia, kata Dato’ Menteri Besar.

“Alhamdulillah ibadah korban tetap dapat dijalankan tahun ini di bumi Malaysia. Dapatlah kita menyantuni mereka kurang bernasib baik dan berkongsi kegembiraan bersama di hari kebesaran umat Muhammad ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam perutusan Aidiladha hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mengajak umat Islam bersama-sama ‘berkorban’ menahan lapar dan dahaga dengan menjalani ibadah puasa esok sempena Hari Arafah sebagai simbolik rasa kerinduan pada tanah suci, Mekah dan Madinah.

“Akhir sekali, saya mengucapkan selamat Aidiladha buat semua warga Selangor. Izinkan saya menzahirkan sekali lagi rasa terima kasih yang tak terhingga kepada petugas barisan hadapan atas pengorbanan mereka semenjak fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan sehingga kini,” katanya.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan SOP Aidiladha diperketatkan iaitu haiwan korban tidak boleh melebihi 10 ekor manakala bilangan kehadiran terhad kepada 20 orang untuk setiap ekor haiwan.

Pada masa sama, jamuan di rumah sempena hari raya korban terhad kepada 20 orang pada satu-satu masa dan individu yang masih dalam proses kuarantin pula dilarang keluar rumah mahupun menunaikan solat sunat Aidiladha.

Categories
AGENDA NASIONAL

Aidiladha: Dua juta kenderaan dijangka bergerak hari ini hingga Ahad

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Polis menjangkakan pergerakan kira-kira dua juta kenderaan mulai hari ini sehingga Ahad ini sempena Hari Raya Aidiladha, Jumaat.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata susulan itu, seramai 1,450 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan untuk mengawal lalu lintas di seluruh negara dalam Op Lancar sepanjang tempoh empat hari berkenaan.

Beliau berkata pegawai dan anggota polis akan ditempatkan untuk memantau aliran trafik di kawasan “hot spot’ dan lebuh raya yang dikenal pasti akan mengalami kesesakan.

Mengulas mengenai aliran trafik di lebuh raya, Azisman berkata aliran trafik bergerak perlahan menuju pantai timur di Plaza Tol Gombak pada kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

“Terdapat kesesakan berlaku kira-kira enam kilometer di sepanjang jalan berkenaan. Saya ingin menasihatkan kepada semua yang memandu supaya bersabar dan berhati-hati,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sebelum ini, Bernama melaporkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tiada sekatan perjalanan dan orang ramai boleh pulang ke kampung masing-masing bagi menyambut Hari Raya Aidiladha.

– BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Elak tempat sesak, bersentuhan ketika Aidiladha – EXCO

SHAH ALAM, 28 JULAI: Orang ramai dinasihat tidak mengunjungi dan membawa kanak-kanak ke tempat sesak ketika sambutan Aidiladha bagi mengelak penularan Covid-19.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) juga penting ketika berkumpul bersama keluarga dengan mengelak sentuhan di muka dan tangan.

“Elakkan tempat sesak, saya risau ibu bapa sudah mula bawa anak ke pusat membeli belah. Orang tua (lebih) lagi perlu dijaga.

“Beringat dan berwaspada pulang. Elakkan berpeluk cium di kawasan muka walaupun pakai pelitup muka,” katanya pada majlis Pelancaran dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Selangor 2020 di Dewan Jubli Perak, hari ini.

Beliau berkata pemakaian pelitup muka ketika berinteraksi juga penting sebagai langkah keselamatan dan menjadi tanggungjawab semua untuk mematuhi SOP ditetapkan.

Tambahnya, sikap alpa segelintir pihak mencetuskan kebimbangan kerana gelombang wabak yang lebih besar boleh menyerang bila-bila masa.

Majlis Keselamatan Negara sebelum ini membenarkan pergerakan rentas daerah dan negeri sempena Aidiladha selain mengetatkan beberapa garis panduan aktiviti korban.

Bagaimanapun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh dilaksanakan semula sekiranya kes baharu Covid-19 kembali meningkat kepada tiga angka.