Categories
SELANGOR

MB: PKNS Perlu Bersaingan Di Pasaran Terbuka

SHAH ALAM, 12 JULAI : Perbandaran Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tetap menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada rakyat menerusi hasil keuntungan diraih dalam pelbagai projek pembangunan dijalankan di seluruh Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini berkata sejak projek penswastaan tidak diteruskan melibatkan pihak swasta, PKNS perlu bersaing di pasaran terbuka dan membuat keuntungan daripada saingan tersebut.

Katanya, Kerajaan Negeri akan menyalurkan hasil diperolehi dari keuntungan itu kepada beberapa projek tertentu mengikut keperluan bagi golongan yang tidak mempunyai tanah atau yang berpendapatan rendah.

“Hasil dari keuntungan itu, kita gunakan bagi projek pembangunan yang tertumpu kepada golongan mereka yang tidak mempunyai tanah atau pendapatan yang sepatutnya. Ia penting untuk kebajikan rakyat contohnya macam projek di Bukit Botak yang telah dijalankan,” katanya.

Menjawab pertanyaan ditimbulkan Sulaiman Abdul Razak (Permatang – BN) yang mempersoalkan tindakan PKNS menjual hasil pembangunannya seperti rumah teres melebihi RM200 ribu hingga lebih RM1 juta yang membelakangkan rakyat berpendapatan rendah.

Abdul Khalid berkata, bersaing di pasaran terbuka maka PKNS perlu menetapkan harga jualan berdasarkan harga pasaran.

“Bila bersaing dalam pasaran biasa, nilainya ditentukan oleh harga pasaran maka itu sangat penting kalau kita mahu bersaing dalam pasaran. Kenapa pihak swasta dapat menjual dengan harga tersebut dan PKNS tidak dapat menjual dengan harga sama.

“Apabila PKNS buat jualan yang ada potongan hingga potongan yang melampau, terdapat beberapa keadaan yang spekulasi dan kata salahgunakan peruntukan tersebut jadi kita buat keputusan biarkan harga itu kekal begitu,” katanya.

Abdul Khalid berkata, sejak lebih 40 tahun lalu, PKNS tidak meraih keuntungan yang tinggi biarpun terlibat serta menjalankan pelbagai projek pombangunan di negeri ini.

Tambahnya, apabila PKNS mula bersaing di pasaran terbuka mengikut harga pasaran yang sepatutnya maka keuntungan diperolehi adalah lebih dari sebelumnya.

“Maka kita boleh buat kedua-duanya sekali iaitu bersaing di pasaran dan juga menolong mereka yang memerlukan bantuan,” katanya.

Categories
NASIONAL

MB: Pusat Tidak Agih Kekayaan Negeri Dengan Adil


SHAH ALAM, 12 JULAI : Kerajaan Persekutuan didakwa tidak mengagihkan peruntukan secara adil terutamanya kepada negeri-negeri Pakatan Rakyat sebaliknya memberikan peruntukan sesuka hati kepada negeri-negeri yang ditadbir oleh BN.

Ketika menjawab pertanyaan Dr Abdul Rani Osman (Meru-Pas) dan Gan Pei Nei (Rawang -PKR), Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, biarpun Selangor menyumbangkan kutipan bayaran cukai tinggi kepada Kerajaan Persekutuan namun bayaran pulangan yang diterima semula adalah rendah dan tidak bebrpatutan.

“Lebih RM10 bilion dikutip daripada rakyat Selangor tetapi jumlah terimaan daripada Kerajaan Persekutuan, kita dapat hanya RM562 juta sahaja.

“Jika dilihat dari kajian Melaka mendapat peruntukan lebih sedikit dari segi peratus berbanding Selangor atau Perak. Semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, Kedah dan Langkawi mendapat peruntukan yang sangat tinggi,” katanya.

Bagi mengatasinya, beliau berkata, cadangan perbincangan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan telah dibangkitkan di Parlimen tetapi belum mendapat maklumbalas.

Tambahnya, sewajarnya negeri yang memperolehi perolehan cukai yang tinggi mendapat bayaran pulangan yang tinggi mengikut keperluan bagi pembangunan negeri tersebut.

“Jadi negeri yang bayar banyak boleh dapat lebih mengikut keperluan dan negeri yang bagi sedikit mungkin dapat kurang. Maka tidak perlulah sesebuah negeri itu tertunggu dan terpaksa melobi.

“Yang Berhormat Batang Kali (Mohd Isa Abu Kasim – BN) pernah menyatakan Kerajaan Persekutuan buat ini buat itu tetapi peruntukan itu tidak dijelaskan dan yang kedua adalah negeri ini bersetuju dengan pembangunan yang maknanya pembangunan itu bergerak selari,” katanya.

Amalan perbincangan itu, katanya, melibatkan Kerajaan Persekutuan dan Negeri telah dilaksanakan di negara Australia dan Kanada bagi pengagihan ke negeri-negeri demi tujuan pembangunan secara adil dan saksama.

Categories
SELANGOR

RM11 Billion Pelaburan Baru Jana 55 Ribu Peluang Pekerjaan


SHAH ALAM, 12 JUL : Sebanyak 431 projek baru diluluskan Kerajaan Negeri dengan jumlah nilai pelaburan tempatan dan asing sebanyak RM11 billion sejak 2010 hingga 2012.

Projek-projek tersebut juga telah menambah 57 ribu peluang pekerjaan di seluruh Selangor dalam dua tahun itu.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok berkata, Selangor berusaha untuk memastikan iklim pelaburan yang kondusif supaya memberi peluang kepada pelabur tempatan dan asing di negeri ini.

“Pelbagai usaha dilakukan seperti menaiktaraf infrastruktur sektor perindustrian, konsep mesra pelabur dan mewujudkan unit pelaburan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya ketika menjawab soalan daripada Datuk Mohd Isa Abu Kasim (Batang Kali-BN).

Katanya, Kerajaan Negeri juga melakukan pemantauan lebih kerap kepada projek-projek perindustrian, mempercepatkan kelulusan sijil layak menduduki (CF) dan kelulusan pelan bangunan bagi menarik lebih pelabur.

Teresa juga berkata, lebih 33 ribu peluang pekerjaan dihasilkan daripada pelaburan baru  dan 24 ribu daripada pembesaran dan pengembangan pelaburan.

 

Categories
NASIONAL

MCA Boleh Terus Pertikai Isu Talam

SHAH ALAM, 11 JUL : MCA boleh terus mengkritik penstrukturan hutang Talam Corporation Bhd (Talam) meskipun Kerajaan Negeri Selangor telah mengeluarkan fakta sebenar.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri akan tetap meneruskan saman terhadap MCA berhubung kes itu.

“MCA boleh teruskan bercakap sekiranya ada isu mengenai Talam. Kerajaan Negeri memang menunggu fakta ‘bernas’ daripada MCA,” katanya pada sidang media selepas persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS).

Dalam sidang media itu, Abdul Khalid secara sinis memerli MCA : “Sekiranya ada RM1 bilion (hutang), baguslah untuk Perbadanan Menteri Besar (MBI)”.

Sebelum ini, Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong mendakwa penstrukturan hutang Talam dan kerajaan Selangor membabitkan transaksi berjumlah RM 1 bilion, sekalipun jumlah hutang hanya RM392 juta.

Akan tetapi sehingga hari ini Tee Yong, tidak kemukan bukti untuk menyokong dakwaan RM 1 billion itu.

Selepas, dibidas DAP dan Pas, Tee Yong pula mendakwa Kerajaan Negeri telah membeli tanah  2,263 ekar di Bestari Jaya daripada Talam dengan harga RM 42 juta lebih tinggi daripada harga pasaran.

Categories
SELANGOR

Adun Permatang Akui Dapat Projek Bina KUIS

SHAH ALAM 11 JULAI : Adun Sulaiman Abdul Razak (Permatang -BN) hari ini mengaku mempunyai 90 peratus saham syarikat konsesi bagi pembinaan asrama Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) sebanyak RM 135 juta.

Dalam Sidang Dewan Negeri (DNS) itu, Sulaiman juga dilihat mempertahankan kontrak yang dianugerahkan kepada beliau untuk pembinaan asrama itu semasa zaman pemerintahan Umno-BN.

Sulaiman sebelum itu berkata kos pembinaan KUIS sebanyak RM135 juta bukannya RM96 juta seperti yang didedahkan oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

“Saya tidak menafikan saya sebagai pemegang saham tetapi saya mendapat kontrak itu kerana kemampuan saya.

“Saya juga menerima kontrak itu sewaktu saya bukan sebagai wakil rakyat dan perjanjian itu diteliti oleh Unit Perancangan Negeri (UPEN) dan pegawai Undang-Undang negeri,” katanya yang mencelah ucapan penggulungan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sementara itu, Azmin Ali (Bukit Antarabangsa-PKR) berkata Sulaiman dilihat cuba menjelaskan bahawa proses penganugerahan kontrak itu dibuat secara terbuka dan telus.

Bagaimanapun, katanya, persoalan yang menjadi perbahasan hari ini ialah perjanjian yang dimeterai itu adalah perjanjian berat sebelah dan tidak memberi manfaat.

“Inilah yang rakyat ingin tahu,  terma perjanjian yang dibuat antara KUIS dengan syarikat milik Adun Permatang ini adalah satu perjanjian yang berat sebelah dan tidak memberi manfaat.

“Contohnya, di dalam perjanjian itu, sekiranya bilik-bilik itu tidak dihuni pelajar, KUIS masih perlu bayar ke syarikat ini, kenapa perkara ini dimasukkan dalam perjanjian, begitu juga dengan yuran penyelenggaraan perlu ditanggung oleh KUIS. Ini tidak adil,” katanya ketika mengulas isu terbabit.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga perlu mendedahkan proses penganugerahan kontrak ini yang sebenarnya dibuat secara tender terhad.

“Kontrak Build Operate Transfer (BOT) ini sebenarnya tidak memberi faedah atau kebaikan kepada KUIS tetapi lebih kepada syarikat itu,” katanya.

Sebelum ini, kontrak itu diberikan kepada syarikat Redha Resources Sdn Bhd (RRSB) untuk membina asrama dan pusat pelajar bagi keperluan 6,000 pelajar KUIS dengan nilai RM125.8 juta.

RRSB disokong sepenuhnya oleh kerajaan Selangor di bawah Umno dan Datuk Seri Khir Toyo menjadi saksi pemeteraian perjanjian pinjaman pada 3 Ogos 2007 untuk membiayai pembinaan asrama pelajar KUIS itu.

Walaubagaimanapun, RRSB hanya menjadi orang tengah dengan memberi kontrak ini kepada Bina Puri Holdings Bhd dengan nilai RM96.1 juta sahaja.

RRSB itu dikuasai oleh Adun Permatang, Sulaiman Abdul Razak yang memiliki 51% pegangan saham manakala isterinya memiliki 6% dan selebihnya dimiliki oleh Bina Puri Holdings Bhd.

Selain itu, Khir Toyo juga menetapkan RRSB diberi konsesi untuk membina dan menyewakan kembali kemudahan itu selama 33 tahun kepada KUIS dengan kadar sewa RM15.4 juta setahun.

Malah, sepanjang tempoh ini, RRSB akan mendapat durian runtuh sebanyak RM508 juta walaupun kesemua urusan hanyalah ?atas angin? dan mendapat keuntungan sebanyak 524%.

Categories
SELANGOR

MB: Syabas tentukan Tarif Air Bukan Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 11 JULAI: Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menentukan kadar tarif air di Selangor berbanding syarikat pemegang konsesi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Ini disebabkan Kerajaan Negeri hanya mempunyai pegangan sebanyak 30 peratus berbanding Syabas sebanyak 70 peratus dalam konsesi air di Selangor

Demikian ujar Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika menyanggah persoalan yang ditimbulkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kubu Baharu, Wong Koon Mun.

“Kalau Kerajaan Negeri ada kuasa, mengapa Syabas mengheret Kerajaan Negeri ke mahkamah apabila Kerajaan Negeri menghalang kenaikan tarif air?” Ujar Abdul Khalid.

Sebelum itu, menurut Koon Mun, Kerajaan Negeri tidak wajar untuk merasa bimbang dengan kenaikan kadar tarif air sekiranya Projek Langat 2 dijalankan kerana Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk menentukan kadar tarif air di Negeri Selangor.

Pada November 2010 Syabas telah memulakan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menuntut RM471,642,916 dari Kerajaan Negeri kerana menghalang kenaikan kadar tarif air di Lembah Klang.

Kerajaan Negeri mempertahankan untuk tidak menaikkan tarif air disebabkan mahu mengekalkan pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu kepada seluruh rakyatnya.

Categories
NASIONAL

Syabas Sabotaj Kerajaan Selangor Menjelang PRU-13

SHAH ALAM, 11 JULAI: Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) didakwa sengaja mensabotaj projek pembangunan di Negeri Selangor menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 bagi mengikis keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Demikian beritahu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali di hari ke tiga Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.
“Nampak dengan jelas ada unsur sabotaj yang berlaku terhadap Kerajaan Selangor oleh Syabas menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 dan kebimbangan saya adalah kepada rakyat yang menderita,” kata Azmin.

Azmin turut memberitahu Dewan, banyak aduan telah dibuat oleh masyarakat perniagaan di Negeri Selangor.

“Banyak aduan yang diterima dari masyarakat perniagaan yang membangunkan kawasan masing-masing tetapi tidak mendapat sijil daripada Syabas atas alasan tekanan air rendah,” katanya lagi.

Azmin memberitahu lagi, tindakan sabotaj oleh pihak Syabas tersebut telah menyebabkan projek yang dibangunkan tidak dapat diduduki kerana gagal memperolehi sijil menduduki.

Selain kegagalan mendapat sijil menduduki, ia turut menyebabkan projek yang sedang dibangunkan tergendala akibat kekurangan bekalan air.

Terdahulu, dalam isu sama, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar pula berkata Syabas dengan sengaja membuat pelbagai gangguan bekalan air di negeri ini sehingga mencecah beberapa kali gangguan dalam tempoh sebulan.

Categories
SELANGOR

Adun Umno-BN Tidak Ikut Tatacara DUN, Panggil Exco “You”.

SHAH ALAM 10 JULAI : Dua Adun Umno-BN ditegur dalam Sidang Dewan Negeri (DNS) hari ini berhubung tindakan mereka yang tidak mengikut tatacara DNS.

Di awal perbahasan, Sulaiman Abdul Razak (Permatang – BN) di tegur Speaker, Datuk Teng Chang Khim kerana tidak meminta izinnya untuk bertanya soalan kepada Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri, Dr. Halimah Ali.

Malah, Sulaiman turut tidak memanggil Teng dengan panggilan ‘Tuan Speaker’ apabila bercakap dengannya di dalam DNS itu.

Teng berkata perbuatan Sulaiman itu seolah-olah membelakangkan peranan Speaker sebagai Ketua Dewan.

“Adun sepatutnya meminta izin (laluan) daripada saya sebelum ingin mencelah atau mengemukakan soalan kepada pembahas. Dalam mana-mana mesyuarat seorang ahli perlu meminta izin pengerusi sebelum bertanyakan soalan.

“Ini tidak, dengan saya pun Yang Berhormat tidak panggil saya ‘Tuan Speaker’, sedangkan bercakap terus kepada saya,” katanya.

Sementara itu, selang beberapa minit kemudian, Mohd Isa Abu Kasim (Batang Kali-BN) turut diberikan teguran yang sama oleh Timbalan Speaker, Haniza Mohamad Talha.

Beliau ditegur kerana bercakap menggunakan panggilan ‘You’ kepada Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar ketika mengajukan soalan.

Bagaimanapun, beliau memberi alasan terpaksa menggunakan panggilan itu kerana Timbalan Speaker lambat bertindak.

“Panggilan yang sepatutnya ialah Yang Berhormat (YB) atau Ahli Dewan bukan ‘You’,” tegur Haniza.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Umno-BN Yang Keluarkan Lesen Rumah Urut

SHAH ALAM 11 JULAI : Semua lesen bagi rumah urut dan pusat hiburan di Selangor dikeluarkan semasa pentadbiran Umno-BN sebelum ini bukan dan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tian Khiew. berkata demikian ketika menjawab soalan Warno Dogol (Sabak Bernam-BN) dalam Sidang Dewan Negeri (DNS) hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri Pakatan tidak mengeluarkan lesen bagi kedua-dua premis itu sejak tahun 2006 dan dasar itu diteruskan sehingga kini.

“Walaubagaimanapun kelulusan dan kawalan bagi sesuatu rumah urut dikeluarkan berdasarkan Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan 2007 yang terdapat di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kelulusan juga diberi kepaaa sesebuah premis selepas semua urusan diterima dari agensi luar seperti Bomba, polis dan Jabatan Kesihatan Daerah,” katanya.

Ronnie menambah, setakat ini sebanyak 571 premis rumah urut dan 775 pusat hiburan yang berlesen di negeri itu.

Pecahan mengikut PBT ialah ; Majlis Bandaraya Shah Alam, rumah urut (32), pusat hiburan (39) ; Majlis Bandaraya Petaling Jaya, rumah urut (77), pusat hiburan (218); Majlis Perbandaran Klang, rumah urut (83), pusat hiburan (89) ; Majlis Perbandaran Ampang, rumah urut ( 54), pusat hiburan (96 ).

Manakala Majlis Bandaraya Subang Jaya, rumah urut (69), pusat hiburan (154) ;Majlis Perbandaran Selayang, rumah urut (80), pusat hiburan (61) ; Majlis Perbandaran Kajang, rumah urut (118), pusat hiburan (35) ; Majlis Daerah Kuala Langat, rumah urut (13), pusat hiburan (23) ; Majlis Daerah Kuala Selangor, rumah urut ( 8), pusat hiburan (13).

Selain itu bagi Majlis Daerah Hulu Selangor, rumah urut (12), pusat hiburan (11)  dan Majlis Daerah Sabak Bernam, rumah urut (11), pusat hiburan (21).

“Bagaimanapun, PBT tidak mempunyai rekod premis tidak sah kerana pemantauan sentiasa dijalankan, banyak lesen sudah ditarik balik,” katanya.

Jelasnya, semua Exco bersedia untuk menyertai operasi bersepadu bersama agensi kerajaan antaranya Imigresen dan Polis.

“Saya minta Umno-BN jangan sesekali menggunakan isu rumah urut, kalau berani nak buat dedahkan rumah urut dan pusat hiburan di negeri yang di tadbir Umno-BN, jangan salahkan Selangor sahaja.

“Juga jangan salahkan hotel bajet sebagai tempat maksiat kerana kita mesti memikirkan hotel bajet sebagai tempat perlancongan dan tidak semua orang kaya untuk tinggal di hotel mewah,” jelasnya.

 

Categories
SELANGOR

162 Projek Tidak Diluluskan, SYABAS Tidak Layak Urus Air Selangor

SHAH ALAM, 10 JULAI : Sebanyak 162 buah projek pembangunan di Selangor tidak diluluskan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) membuktikan syarikat itu tidak layak untuk mengurus air di negeri ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, penswastaan air di Selangor sepatutnya diubah kerana syarikat-syarikat yang dipilih tidak mempunyai kemampuan kewangan dan keupayaan pengurusan yang baik.

“SYABAS perlu meluluskan projek-projek ini seperti mana apa yang dijanjikan mereka ketika mengambil alih pengurusan air ini pada tahun 2004,” katanya ketika menjawab soalan daripada Hannah Yeoh (DAP-Subang Jaya).

Katanya, pada tahun 2006, Kerajaan Pusat telah meluluskan akta bagi menyelesaikan isu pengurusan air di negeri-negeri di Malaysia.

“Kerajaan Negeri diminta untuk mengambil semula pengurusan air dan ini sudah mula dilakukan di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri telah mencadangkan untuk mengambil alih pengurusan air di Selangor supaya lebih teratur dan efektif.

Abdul Khalid berkata, pengambilan pengurusan air di Selangor adalah sangat penting kerana tidak mahu membebankan rakyat.

“Jika tidak diambil alih pengurusan, kita akan membebankan rakyat dengan peningkatan harga air lebih daripada 70 peratus,” katanya.

Namun begitu katanya, pemilik saham SYABAS tidak mempersetujui tawaran Kerajaan Negeri dengan mengatakan keuntungan yang diterima SYABAS masih tidak mencukupi.

“SYABAS mahu keuntungan sebanyak 1.2 billion sedangkan syarikat itu sudah mendapat keuntungan sejak 2004 lagi,” katanya lagi.

 

 

Categories
SELANGOR

Hasil Pasir RM 5 Juta Sepanjang Enam Bulan 2012

SHAH ALAM 19 JULAI : Kerajaan Negeri Selangor berjaya mengutip royalti pasir sebanyak RM5 juta dalam tempoh enam bulan ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata jumlah itu lebih banyak berbanding semasa pentadbiran kerajaan sebelum ini yang hanya mengutip sebanyak tidak lebih dari RM3 juta dalam tempoh setahun.

“Kerajaan Negeri sudah tunjukkan bukan sahaja aktiviti kecurian pasir berkurang tetapi royalti negeri juga bertambah dan operasi Kumpulan Semesta Sendirian Berhad (KSSB) meningkat,” katanya yang menjawab soalan Wong Koon Mun (Kuala Kubu Baharu-BN).

Jelas Abdul Khalid, mengikut statistik laporan bulanan daripada jawatankuasa pemantau Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri menunjukkan penurunan kes kecurian pasir itu.

Katanya, ia melibatkan operasi yang diadakan mengikut daerah, tangkapan dan kompaun.

Bagi tahun 2008 sebanyak 969 operasi dijalankan, 2009 sebanyak 889 operasi, 2010 sebanyak 727 operasi, 2011 sebanyak 653 operasi dan sehingga Jun 2012 sebanyak 350 operasi.

Manakala dari jumlah tangkapan, seramai 974 ditahan pada 2008, 2009 sebanyak 159 orang, 2010 dan sebanyak 91 orang.

“Pada tahun 2011, kita mengadakan Operasi Perampasan Tanah yang terdapat penyalahgunaan tanah sebanyak 37 sahaja dan  sehingga Jun 2012 sebanyak 26 orang.

“Antara kawasan yang teramai dalam kes ini ialah Kuala Langat, Sepang dan Hulu Selangor,” jelasnya.

Tambah Khalid, perangkaan laporan kutipan kompaun pula ialah sebanyak RM1.3 juta pada tahun 2008, 2009 sebanyak RM425,000, 2010 sebanyak RM121,000 dan 2011 sebanyak RM27,000.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Perbekalan Tambahan Selangor Lebih Baik Daripada Kerajaan Pusat

SHAH ALAM, 10 JULAI: Pertambahan perbekalan yang dimohon oleh Kerajaan Selangor sangat berbeza dari pertambahan perbekalan Kerajaan Pusat.

Azmin Ali (Bukit Antarabangsa-PKR) berkata perbekalan tambahan yang diminta Kerajaan Pusat adalah untuk kroni Umno-BN.

Sementara itu bagi Kerajaan Negeri pula, perbekalan tambahan yang dibuat adalah untuk menjana pelaburan ekonomi negeri bagi manfaat rakyat termasuk golongan kakitangan awam.

“Dalam belanjawan 2012, Kerajaan Pusat sudah memperuntukan subsidi gula sebanyak RM200 juta.

“Minggu lepas Kerajaan Pusat mintak lagi subsidi gula sehingga RM360.

“Maka subsidi gula sekarang adalah RM567juta ini untuk siapa?

“Untuk seorang manusia yang bernama Tan Sri Syed Mokhtar (Al Bukhary) dan di mana keadilan dan kesaksamaan?” soal Azmin dalam Sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Beliau berkata demikian di dalam ucapannya semasa membahas pembentangan pertambahan perbekalan Kerajaan Selangor 2012 semalam.

Azmin berkata cara boros Kerajaan Pusat jauh berbeza dari sikap Kerajaan Selangor yang mementingkan penjimatan dan penggunaan dana secara efektif.

Ini dapat dilihat dalam Akaun Hasil Simpanan Disatukan Kerajaan Negeri yang mengalami peningkatan mendadak dari RM674 juta pada tahun 2008, RM732 juta (2010) dan RM913 juta pada 2011.

Pada suku pertama 2012 akaun yang sama telah mencatatkan jumlah simpanan melebihi RM1.9 bilion dan meningkat sehingga RM2.1 bilion pada suku tahun kedua.

Akan tetapi di dalam kes Kerajaan Pusat, dana rakyat terus digunakan untuk kroni mereka, beliau berkata.

Azmin berkata di dalam belanjawan 2012, subsidi kepada syarikat tol RM 343 juta. Dalam sidang parlimen baru-baru ini, subsidi ditambah sebanyak RM 446 juta untuk menjadikannya RM789 juta.

Selain itu, Azmin turut memberitahu subsidi pembekal bahan bakar tenaga bebas (IPP) turut ditambah dalam perbekalan tambahan sebanyak 44 peratus menjadikan jumlah keseluruhan RM7.5 bilion.