Categories
SELANGOR

KKM kesan kluster Rantau Semarak di Gombak

SHAH ALAM, 1 JAN: Satu lagi kluster Covid-19 direkodkan di Selangor membabitkan daerah Gombak, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata seramai 18 kes dikesan positif dari kluster Rantau Semarak selepas 69 individu disaring setakat hari ini.

“Kluster ini juga melibatkan daerah Maran, Pahang. Kes indeks dilaporkan positif pada 28 Disember lalu melalui saringan individu bergejala,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata dua lagi kluster baharu direkodkan iaitu kluster Jalan Perindustrian di Kulai Johor dan kluster Rawa Akasia di Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang.

Bagi kluster Jalan Perindustrian, katanya, sejumlah 95 individu disaring dan 20 kes dikesan positif. Sementara, Kluster Rawa Akasia merekod 117 kes positif daripada 322 individu disaring.

Semalam, satu kluster baharu dikesan di Selangor iaitu kluster Jalan Datuk melibatkan Hulu Langat dan Klang, selain Titiwangsa, Kepong, Lembah Pantai di Kuala Lumpur.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Peluang kerja di Taman Gombak, Saujana Utama hujung minggu ini

SHAH ALAM, 20 NOV: Program Jelajah Selangor Bekerja 2020 diteruskan lagi hujung minggu ini di Taman Gombak dan Saujana Utama.

Program di Gombak berlangsung esok di Dewan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Taman Gombak manakala Ahad di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Saujana Utama.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Mohd Khairuddin Othman dijangka hadir di kedua-dua lokasi berkenaan.

“Program ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat terutama di kawasan luar bandar yang hilang pekerjaan akibat penularan Covid-19,” kata pejabat EXCO.

Kelmarin, Khairuddin memaklumkan sebanyak 6,567 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi dua program itu selepas 37 majikan menyertainya. Gombak menyediakan 3,260 peluang pekerjaan manakala 3,307 ditawarkan di Saujana Utama.

Program Jelajah Selangor Bekerja 2020 menerima 9,969 permohonan sejak pendaftaran dibuka pada 15 September.

Ahad lalu, seramai 20 daripada 100 peserta yang menghadiri temuduga program di Stadium Tertutup Kuala Selangor terus diterima bekerja. Ia akan diteruskan di Hulu Langat pada 29 November dan Shah Alam (5 dan 6 Disember).

Pemohon perlu membuat pendaftaran awal menerusi:

  • http://nfdot.com/ereg/views/jobfair
  • Facebook Pusat Jobs Malaysia Selangor
  • Instagram Jobs Malaysia Selangor
  • 03-5524 7740 dan 03-5523 1309
Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rentas negeri: Mohon jika perlu, usah beri alasan remeh – polis

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Orang ramai yang ingin membuat permohonan rentas negeri diingatkan supaya tidak memberi alasan remeh dan hanya melakukannya jika ada keperluan mendesak.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata dalam tempoh empat hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 14 Okt, sebanyak 1,587 permohonan rentas negeri diterima dan daripada jumlah itu, 1,555 permohonan diluluskan manakala bakinya ditolak.

“Kebanyakan permohonan merentas negeri untuk tujuan perubatan, kematian, urusan kecemasan dan keperluan lain yang kita rasa perlu dibenarkan.

“Bagi permohonan yang ditolak kerana mereka mengemukakan alasan remeh seperti ingin bercuti atau melancong di negeri lain, menghadiri kenduri kahwin selain menggunakan alasan mahu menghantar anak pulang ke kampung tanpa tujuan atau bukan kecemasan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas operasi khas pematuhan PKPB di kawasan Selayang Baru dan Sri Gombak, dengan tujuh individu dikompaun serta dua warga asing ditahan dekat sini, tengah malam tadi.

Arifai, bagaimanapun berkata pihaknya akan mempertimbangkan permohonan rentas negeri yang membabitkan ahli keluarga yang sakit tenat dan alasan lain yang dianggap munasabah.

Khamis lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata borang permohonan permit pergerakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dilaksanakan PKPB boleh diperoleh di balai polis atau dimuat turun melalui Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Borang yang lengkap diisi perlu diserahkan kepada balai polis berdekatan bagi mendapatkan tanda tangan ketua balai dan dicap bagi kegunaan sewaktu melalui sekatan jalan raya.

Pada 12 Oktober, Ismail Sabri mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 14 hingga 27 Oktober, selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan dan mengambil kira peningkatan kes dan penularan Covid-19 seperti di Klang, Daerah Petaling serta Gombak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Naik taraf MRR2 siap, kurangkan sesak ke pantai timur

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Kesesakan di laluan keluar masuk ke pantai timur khasnya sewaktu musim perayaan dijangka dapat dikurangkan apabila projek menaik taraf Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Persimpangan Taman Melati, Gombak kini siap sepenuhnya untuk kegunaan pengguna jalan raya bermula hari ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata projek bernilai RM106.83 juta itu membabitkan pelebaran laluan daripada tiga kepada lima lorong di persimpangan berkenaan.

“Pada hari biasa, laluan keluar masuk menghala ke Plaza Tol Gombak menerima jumlah kenderaan sekitar 80,000 hingga 120,000 dan ia bertambah teruk sewaktu musim balik kampung semasa perayaan sehingga mencecah 180,000 kenderaan sekali gus menyebabkan kesesakan yang agak kritikal.

“Diharap projek ini dapat memberikan manfaat kepada pengguna jalan raya dalam membantu mengurangkan kesesakan di MRR2 dan juga Terminal Bersepadu Gombak yang masih dalam pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikan pada sidang media selepas majlis penyerahan dan merasmikan projek menaik taraf MRR2 Persimpangan Taman Melati, Gombak di sini hari ini.

Projek menaik taraf jalan MRR2 ini telah dilaksanakan secara kontrak reka dan bina dan peruntukannya diperoleh menerusi Dana Mudahcara Kerjasama Awam Swasta (PPP) yang disalurkan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri.

Ia dimulakan pada 13 September 2016 dan telah siap sepenuhnya pada 2 Ogos tahun lepas dengan tempoh tanggungan kecacatan adalah selama dua tahun sehingga 2 Ogos 2021.

Fadillah berkata projek itu juga bakal memudahkan laluan masuk ke pusat Terminal Bersepadu Gombak, menyuraikan kesesakan lalu lintas dan memendekkan masa perjalanan selain mewujudkan rantaian perkhidmatan awam yang lebih selesa untuk ke Lembah Klang dan pusat bandar raya.

“Dijangkakan terminal itu akan siap sepenuhnya pada April atau Mei tahun depan sebelum Aidilfitri,” katanya.

Menurut siaran media yang diedarkan, terminal ini bakal menampung perkhidmatan bas ekspres ke koridor timur dan utara serta membolehkan pengalihan lebih daripada 700 bas ekspres daripada memasuki kawasan pusat perdagangan selepas terminal ini dibuka.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

20 kawasan di Gombak alami gangguan air mulai 11 Ogos

SHAH ALAM, 3 OGOS: Sebanyak 20 kawasan di wilayah Gombak mengalami gangguan bekalan air berjadual untuk tempoh 25 jam mulai 11 hingga 12 Ogos ini, menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua komunikasi korporatnya berkata gangguan itu disebabkan kerja tambah baik dan penggantian aset kritikal di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Gombak yang dihenti tugas mulai jam 8.30 pagi pada 11 Ogos.

“Kerja ini bertujuan melancarkan loji agar dapat beroperasi dengan lebih cekap dan memastikan semua peralatan berada dalam keadaan baik,” kata Elina Baseri dalam kenyataan hari ini.

Kawasan terlibat ialah Batu 8, 9, 10 Jalan Gombak; Taman Permai Jaya Gombak; Kampung Sungai Salak; British Malaysian Institute; Sekolah Al Amin; International Islamic School dan Kolej Vokasional Gombak.

Turut terjejas, Sekolah Integrasi Gombak; Taman Mutiara; Kampung Sungai Cincin; Kampung Tengah Gombak; Kampung Sungai Pusu; Villa Bistari; Desa Gemilang; Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA); Pangsapuri UIA; Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan Hospital JHEOA.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakannya secara berhemah sepanjang tempoh gangguan yang dijangka pulih pada 12 Ogos jam 9.30 pagi.

Pelanggan boleh merujuk semua saluran rasmi Air Selangor (Facebook, Instagram, Twitter) termasuk laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com, aplikasi telefon pintar atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air Gombak pulih 6 petang ini, bantuan disalur

SHAH ALAM, 27 JULAI: Bekalan air di 16 kawasan di Gombak dijangka pulih sepenuhnya pada jam 6 petang hari ini, kata ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Elina Baseri berkata pada masa ini, bekalan air ke kawasan terjejas sudah disalurkan secara berperingkat setelah kerja baik pulih sistem rumah pam Taman Melawati siap pada jam 1 pagi tadi.

“Segala usaha sedang diambil oleh Air Selangor bagi mempercepatkan proses pemulihan bekalan serta meminimumkan impak gangguan kepada pelanggan.

“Bantuan bekalan air menerusi lori tangki terus digerakkan ke kawasan yang masih belum mendapat bekalan air,” katanya dalam kenyataan.

Orang ramai boleh menghubungi talian 15300 dan Whatsapp ke talian 0192800919 atau 0192816793 untuk memohon bantuan bekalan air kecemasan.

Semalam, dilaporkan sebanyak 16 lokasi di Gombak mengalami gangguan bekalan air akibat kejadian paip pecah di Rumah Pam Melawati, dekat sini.

Senarai kawasan yang terjejas adalah :

1. Taman Melawati
2. Kemensah Residensi
3. Saujana Melawati
4. Sunway Kayangan
5. Sunway Melawati
6. Tiara Kemensah
7. Tropika Kemensah
8. Twin Palm Kemensah
9. Ukay Prima
10. Bukit Melawati
11. Nadayu Melawati
12. Amber Hill
13. Kampung Klang Gate
14. 203 Melawati
15. Zoo Negara
16. Kemensah Heights

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis nafi bayi 12 bulan diculik di Jalan Gombak

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Polis menafikan berlaku kes culik melibatkan bayi berusia 12 bulan di Batu 7, Jalan Gombak dekat sini yang tular melalui media sosial sejak beberapa hari lepas.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata mesej sama pernah tular di Kluang pada Januari tahun lepas, namun telah dinafikan oleh polis daerah itu.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihati agar tidak tularkan perkara tidak disahkan kebenarannya, katanya dalam kenyataan hari ini.

Sambil menasihati masyarakat umum menyemak kebenaran berita terlebih dahulu sebelum menularkannya, Arifai berkata mereka yang menyebarkan berita palsu boleh diambil tindakan menurut Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, satu tangkapan layar mendakwa seorang bayi berusia 12 bulan diculik individu menaiki Proton Satria berwarna merah di Batu 7 Jalan Gombak dekat sini.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Amirudin puas hati lawatan kerja ke Gombak

OLEH NADIAH ZAMLUS

GOMBAK, 27 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari meluahkan rasa puas hatinya dengan lawatan kerja Program Jelajah Maju Bersama bagi Daerah Gombak.

Katanya, beliau turut gembira apabila menerima reaksi positif daripada masyarakat setempat dan juga agensi berkaitan ketika melakukan kerja turun padang berkenaan.

“Saya akan meneruskan pendekatan sebegini dan menumpukan lebih banyak program bersama orang ramai, namun ingin diingatkan, amalan sebegini perlu diterapkan bukan sahaja di kalangan pimpinan Kerajaan Negeri tetapi juga kepada penjawat awam lain.

“Ini membolehkan mereka melihat sendiri masalah dan mencari penyelesaian segera terhadap isu yang dibangkitkan penduduk setempat,” katanya kepada SelangorKini.

Melalui Program Jelajah Maju bersama bagi kawasan Gombak, Amirudin terlebih dahulu mengadakan pertemuan bersama kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta menghadiri jamuan rakyat di Masjid Al-Amaniah Batu Caves pada sebelah pagi.

Kemudiannya pada sebelah tengah hari, beliau dibawa menaiki bas Smart Selangor menyusuri Jalan Sungai Tua sekali gus mengadakan lawatan ke Hospital Selayang.

Program penutup Amirudin disudahi dengan lawatan ke tapak lokasi banjir kilat di Jalan B27 berdekatan AEON Rawang.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kekalkan rentak kejayaan Selangor, Azmin yakin pertahan Gombak

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 28 APR: Penyandang kerusi Parlimen P0.98 Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali optimis dapat mengekalkan kerusi berkenaan yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum (PRU13,) lalu.

Beliau berkata, kejayaan siri pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) menjadi elemen terpenting kepadanya untuk terus kekal menerajui kepimpinan tertinggi di Selangor.

Katanya, kejayaan itu juga menjadi rujukan terpenting kepada rakyat untuk terus mengekalkan kepimpinan PAKATAN di negeri berkebajikan itu.

“Ada banyak kejayaan cemerlang pentadbiran Selangor yang boleh dikongsi kepada rakyat di negeri ini.

“Rakyat telah banyak melihat pembaharuan dasar bermanfaat yang dilaksanakan pentadbiran PAKATAN di Selangor.

“Kejayaan inilah yang menjadi bukti apabila mandat yang diserahkan rakyat itu dilaksanakan secara bertanggungjawab untuk kekal membangunkan Selangor,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas hadir menyerahkan borang permohonan penamaan calon di Pusat Penamaan Calon P0.98, SMK Sungai Pusu, pagi ini.

Di bawah legasi kepimpinan beliau, pelbagai dasar berkebajikan dan peduli rakyat terus dilaksanakan di negeri paling maju itu.

Ia termasuklah pelaksanaan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dan Dasar Smart State yang mengangkat Selangor sebagai Negeri Pintar menjelang, 2025.

=EZY=

Categories
AGAMA SELANGOR

Bekas Pegawai Tadbir Agama Daerah Gombak dirai dalam majlis perpisahan

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 16 MAC: Bekas Pegawai Tadbir Agama Daerah Gombak, Zainal Abidin Sulaiman, yang berpindah ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diraikan, dalam satu majlis perpisahan.

Beliau yang dinaikkan pangkat ke gred S52 itu diraikan pada majlis yang turut dihadiri Orang Besar Daerah Gombak, Tan Sri Dato’ Paduka Raja Dato’ Wan Mahmood Pa’wan Teh; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim dan beberapa kenamaan lain serta warga kerja Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Gombak.

Ketika menyampaikan ucapannya, Zainal Abidin berkata, walaupun sayu meninggalkan rakan lama di PAID Gombak, namun tetap berazam meningkatkan lagi mutu perkhidmatan, di tempat baru nanti.

“Sayu kerana saya jangka hendak bersara di Gombak, namun saya diberi tanggungjawab di tempat baru pula dan akan terus bekerja untuk memberi manfaat kepada semua pihak.

“Sepanjang saya bertugas di sini, saya bersyukur dengan pencapaian peribadi, pencapaian jabatan dan semua warga kerja di PAID Gombak,” katanya pada majlis yang diadakan di Dewan Haji Wan Mahmood, Kompleks Agama Islam Daerah Gombak, semalam.

Sementara itu, Wan Mahmood menyifatkan, Zainal Abidin sebagai seorang pegawai yang lemah lembut dan sentiasa menghormati semua pihak tanpa mengira kedudukan.

“Ketika di mula bertugas di sini, mulanya saya sangka dia ‘tersalah jabatan’ kerana saya rasa seharusnya dia seorang diplomat bukan pegawai agama disebabkan sangat berdiplomasi,” katanya.

Haris pula menyifatkan, Zainal Abidin bukan sahaja pegawai yang mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan cekap dan berkesan, malahan penceramah agama yang dikagumi.

“Ceramah atau tazkirah yang beliau sampaikan sangat menarik perhatian pendengar,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Peningkatan denggi dipantau

Dr Daroyah Alwi_01

KAPAR, 13 OKTOBER: Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memantau peningkatan wabak denggi yang semakin meningkat di Selangor.

Exco Kesihatan Selangor, Dr Daroyah Alwi berkata, setakat ini Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) terlibat dalam usaha memerangi wabak ini yang melibatkan beberapa kawasan tumpuan.

“Kita faham peningkatan kes denggi di Selangor dan sekarang ini di PBT yang terlibat antaranya MBSA dan MPKj.

“Mungkin disebabkan oleh sampah dan kawasan yang tidak bersih, longkang yang tersumbat dan keadaan cuaca.

“Jadi pihak Jabatan Kesihatan dan PBT sentiasa memantau tempat-tempat tumpuan kejadian denggi kita pantau dan kenalpasti,” katanya kepada TV Selangor.

Menurut Adun Sementa ini lagi, jawatankuasa penduduk setempat turut dipanggil untuk berbincang mengenai perkara ini supaya mereka mengendalikan program gotong-royong pembersihan kawasan kediaman selain melakukan pemeriksaan di premis perniagaan.

“Pertama akan memanggil jawatankuasa penduduk untuk melaksanakan gotong-royong pembersihan.

“Selain itu pihak PBT akan memberikan kompaun premis-premis yang mempunyai jentik-jentik,” katanya lagi.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor melaporkan, terdapat 11,498 kes dilaporkan setakat 5 Oktober lepas iaitu peningkatan 61.74% berbanding 7,109 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Sebanyak 14 kematian akibat denggi dicatatkan tahun ini berbanding 11 kes bagi tempoh sama pada 2012.

Dalam pada itu, sebanyak 230 lokaliti wabak dilaporkan di seluruh Selangor dengan 75 lokaliti (32.6%) daripadanya di daerah Petaling, 71 lokaliti (30.9%) di Hulu Langat dan 44 lokaliti (19.1%) di daerah Gombak.

Jabatan itu dalam kenyataan menyatakan terdapat 16 lokaliti wabak tidak terkawal dan 22 lokaliti ‘hotspot’ atau wabak berlarutan di Selangor.

Secara keseluruhan, kes denggi di seluruh negara menunjukkan peningkatan apabila 23,829 kes dilaporkan tahun ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PKR: Seorang anggota Pesuruhjaya Panel EAIC peguambela tertuduh kes Dharmendran – BULETIN 13

Sinopsis

Buletin 13 Untuk 10062013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT . Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Seorang anggota Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) merupakan peguambela salah-seorang tertuduh dalam kes pembunuhan N Dharmendran, yang maut dalam tahanan polis.

2. Meskipun ada permintaan lumayan untuk kuartza dalam perusahaan barangan elektronik global, namun Kerajaan Selangor tidak akan membenarkan perlombongan di Permatang Kuartza, Gombak.

3. Pemeliharaan alam sekitar bermula dari rumah. Semua pihak dari pihak kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, persatuan penduduk dan individu harus bersama berganding bahu melaksanakan tanggungjawab ini.