Categories
NASIONAL SELANGOR

Sultan Selangor Perkenaan Terima Dana Wakaf Untuk Bina Universiti Islam Malaysia

SHAH ALAM 7 SEPT : Sesuai dengan kedudukannya sebagai pihak yang menjaga kepetingan Islam di negara ini, Majlis Raja-raja Melayu berkenaan menubuhkan Universiti Islam Malaysia(UIM) yang bertaraf Institut Pengajian Tinggi Awam(IPTA).

Lebih istimewa ia dibina berteraskan dana dan harta wakaf bagi menyambung tradisi yang diperkenalkan pada tahun 1955 sebagai Kolej Islam Malaya.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan untuk menerima sumbangan wakaf daripada tujuh wakil dalam satu Majlis Penerimaan dan Penyerahan Dana Wakaf yang diadakan di Istana Kayangan di sini pagi tadi.

Pengerusi Majlis Universiti Islam Malaysia (MUIM), Tan Sri Mohd Yusof Noor berkata, pemilihan Sultan Selangor untuk menerima dana adalah atas dasar menghormati jasa dan perkenan nenda baginda suatu waktu dahulu.

“Ini adalah penghormatan MUIM kepada Kerabat Diraja Selangor bagi pihak Almarhum Sultan Hisamuddin yang berkenan memakafkan tanah dan istana baginda di Kampung Jawa, Klang bagi pembinaan kampus pertama Kolej Islam Malaya pada tahun 1955,” jelas beliau dalam satu sidang media selepas majlis tersebut.

Penyumbang dana wakaf terbesar ialah Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan dana sejumlah RM5 juta yang disampaikan wakilnya, Tun Ahmad Sarji.

Selain itu, dana wakaf juga disumbangkan Shahpadu Corporation Sdn Bhd dengan RM100, 000 diwakili Shafiz Shahrani, bekas pelajar Kolej Islam Malaya berjumlah RM30, 675 diwakili Datuk Dr Haron Din serta Waris dan Warga Petaling Jaya sebanyak RM17, 000 diwakili Rashadah Khamis.

Turut memberi sumbangan ialah Alumni Kolej Islam (ALKIS) dengan jumlah sebanyak RM11, 000 diwakili Datuk Sallehuddin Ishak, Persatuan Bekas Pelajar Kolej Islam Malaya (PBSKIM) dengan RM10, 000 disampaikan wakilnya, Datuk Abdul Manaf Ahmad serta bekas Ketua Pelajar Tahun 1975 diwakili Puzi Dahman dengan jumlah RM 10, 000.

Sementara itu, Mohd Yusuf dalam kenyataannya turut memberitahu UIM akan menggunakan model pentadbiran di bawah Majlis Raja-raja Melayu sepertimana yang dipersetujui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Kampus yang menelan belanja sekitar RM 300 juta ini bertempat di Cyberjaya dan dijangka memulakan sesi akademik pertama pada tahun hadapan.

“Jika kampus tidak dapat disiapkan, kita sudah mempunyai rancangan untuk menyewa bangunan berhampiran tapak untuk sesi pengajian pelajar.

“Kursus pengajian yang ditawarkan bagaimanapun terhad kepada kursus di peringkat Sarjana dan PHD (Doktor Falsafah) sahaja, jadi kita jangkakan pelajar hanya sekitar 1, 000 orang, bergantung kepada permohonan kelak,” jelasnya.

Categories
SELANGOR

Prof Dr Anuar-UNISEL Bakal Menjadi Sebuah Universiti Terkemuka Di Malaysia

SHAH ALAM, 4 JULAI : Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Profesor Dr Anuar Ahmad memberi jaminan bahawa institusi tersebut bakal menjadi sebuah universiti terkemuka di Malaysia dalam tempoh empat tahun akan datang.

Menurutnya, pelbagai rancangan sedang diatur bagi menaiktaraf dan meningkatkan kemudahan prasarana di UNISEL seiring dengan peningkatan jumlah pelajarnya tahun ini.

“Pada permulaannya, bulan Februari 2011 lalu, nama universiti ini ditukar dari Universiti Industri Selangor kepada Universiti Selangor bagi menjadikan ia lebih umum dengan menyediakan pelbagai program dan kursus kepada pelajarnya,” katanya ketika ditemubual di pejabat TVSelangor hari ini.

Beliau berkata, UNISEL sedang mempertimbangkan untuk mengadakan kursus Undang-Undang Perniagaan yang di letakkan di bawah Fakulti Perniagaan di universiti ini.

“Saya akan menghantar cadangan ini kepada Kementerian Pengajian Tinggi berkaitan kursus ini kerana keperluan di dalam bidang ini tinggi,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata, tahun ini UNISEL berjaya menempa nama apabila berjaya melahirkan dua pelajar terbaik bidang kejuruteraan dan perakaunan yang mendapat pengiktirafan dari Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA).

“Ini membuktikan pelajar di UNISEL mampu bersaing bersama pelajar-pelajar dari Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang lain seterusnya menangkis dakwaan bahawa graduan universiti ini tidak berkualiti,” katanya.

Katanya, UNISEL sentiasa peka dan mengambil kira faktor ?kebolehpasaran? graduannya kerana turut menyediakan kursus kejururawatan di universiti ini.

“Kita sedar bahawa industri perkhidmatan dapat memberikan pulangan hasil kepada negara seperti perkhidmatan kesihatan yang mampu mengubati penyakit tertentu seterusnya menarik orang asing ke negara ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri menyalurkan RM 2.65 juta bagi meningkatkan prasarana IT apabila UNISEL dipilih untuk menyediakan pengajian jarak jauh kursus Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua(TESL).

“Saya mewakili UNISEL mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberikan dana ini bagi meningkatkan kemudahan dan prasarana di universiti ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Tahap Pendidikan Rendah Penyumbang Kepada Kemiskinan

SUBANG JAYA, 3 JUL : Tahap pendidikan rendah di beberapa lapisan masyarakat merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kemiskinan di kawasan bandar dan luar bandar di Selangor.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, kemiskinan berlaku kerana kekangan wang seperti pendapatan keluarga kurang daripada RM1,500 sebulan dan saiz keluarga yang besar.

Beliau berkata, peluang pendidikan yang ditawarkan kerajaan pusat juga hanya tertumpu kepada golongan cerdik pandai dan yang berada, manakala golongan kurang berkemampuan seolah-olah diabaikan.

“Situasi yang dapat kita lihat sekarang ialah kalau seseorang pelajar itu mendapat keputusan cemerlang, secara automatiknya dia akan menerima pendidikan di peringkat yang lebih tinggi, secara percuma (kemasukan ke asrama penuh dan IPTA).

?Manakala anak-anak yang tidak mendapat keputusan cemerlang dipinggirkan.

?Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan memulakan usaha untuk membantu pelajar lemah ini supaya mereka juga dapat menerima pendidikan yang setaraf dengan pelajar-pelajar lain.

?Bagaimanapun ia hanya dapat dilaksanakan pada tahun depan,” katanya.

Dr Xavier berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja “Kemiskinan Isi Rumah Bandar dan Luar Bandar Negeri Selangor” sempena Dialog Bajet Selangor 2013 di Hotel Grand Dorsett di sini pagi tadi.

Dialog yang berlangsung selama dua hari ini bertujuan mendapatkan pandangan awam bagi menetapkan hala tuju Bajet Selangor 2013.

Thema Bajet Selangor 2013 adalah ke arah melestarikan Selangor sebagai negeri maju yang terus menerajui ekonomi Malaysia.

Sementara itu, pensyarah Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nor Ghani Md Nor menambah, insiden kemiskinan turut dipengaruhi faktor seperti pekerjaan makan gaji berproduktiviti rendah, ketua isi rumah atau ibu tunggal yang tidak berupaya bekerja.

“Kebanyakan mereka bergantung kepada bantuan yang diberikan oleh pihak luar, namun hanya sebilangan kecil yang menerima bantuan.

?Ekoran daripada ini, mereka akan menghadapi tekanan kewangan dan menjejaskan hubungan kekeluargaan dalam jangka masa pendek,” ujarnya.

Categories
NASIONAL

Pendidikan Percuma Mahasiswa Gempur Kampus

SHAH ALAM 5 JUN : Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) dan Aksi Mahasiswa Peduli (AKSI) akan menjelajah ke seluruh kampus Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) berhubung isu pendidikan percuma dan pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Siri jelajah ini turut menampilkan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli.

Program tersebut yang juga dinamakan Gempur Kampus : Mansuh PTPTN dan Tuntut Pendidikan Percuma diadakan khusus untuk memberi penerangan mengenai polisi pemansuhan PTPTN dan dasar pendidikan percuma yang dibawa kumpulan mahasiswa dan Pakatan Rakyat.

Presiden KAMI, Haziq Abdul Aziz dalam satu kenyataan medianya berkata, usaha ini bukan sahaja disasarkan kepada golongan mahasiswa tetapi juga rakyat secara keseluruhannya dalam memahami dasar pendidikan percuma yang diperjuangkan.

“Kami menerima banyak respon yang baik setelah debat Rafizi Ramli – Khairi Jamaluddin diadakan. Majoriti cenderung kepada idea untuk mansuh PTPTN dan mansuh sahaja caj pentadbiran 1 peratus dan positif terhadap idea pendidikan percuma.

“Namun kempen harus diperhebatkan supaya masyarakat, anak muda dan mahasiswa betul-betul faham mekanisme pemansuhan dan pelan pendidikan percuma,” jelas Haziq.

Program Gempur Kampus ini akan berlangsung dalam bentuk dialog antara anak muda dan mahasiswa bersama Rafizi Ramli dan program pertama akan diadakan di Seksyen 7, Shah Alam melibatkan mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Program gempur kampus ini akan diteruskan di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Putra Malaysia dan kampus-kampus UiTM seluruh Negara.

Kes hutang pelajar dan tuntutan pendidikan percuma bukan berlaku hanya di Malaysia tetapi turut berlaku di Kanada, New Zealand, Amerika Syarikat dan beberapa buah negara lain.

Categories
NASIONAL

Rafizi : Kerajaan Sebenarnya Mampu Beri Pendidikan Percuma

SHAH ALAM 25 APRIL : Cadangan agar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditukarkan kepada biasiswa khusus untuk penuntut di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menunjukkan pendidikan percuma mampu dilaksanakan di negara ini.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata tindakan itu menunjukkan Umno-BN secara diam yakin dengan cadangan yang dibuat oleh Pakatan Rakyat (PR).

“Macam mana pun Umno-BN menidakkan tentang isu PTPTN dalam pendidikan percuma ini, mereka tidak boleh lari daripada kehendak dan sentimen rakyat.

“Sebenarnya pendidikan percuma boleh dibuat dalam tahun 60-an lagi sebelum mereka mengkorporatkan pendidikan.

“Oleh kerana itu cadangan itu melambangkan dalam pentadbiran Umno-BN sendiri mereka secara diam-diam yakin dengan cadangan yang dibuat oleh PR,” katanya ketika dihubungi.

Tambah Rafizi, isu-isu yang dibawa oleh PR mengenai pendidikan percuma itu merupakan isu yang sangat rapat dengan rakyat.

“Jadi soal boleh atau tidak boleh dilaksanakan itu sudah kita buktikan dengan nombor tetapi sampai sekarang Umno-BN masih belum menjawab, cuma mereka hanya pandai bermain sentimen dan menyerang secara retorik tanpa menunjukkan bukti,” katanya.

Semalam, Senator Noriah Mahat mencadangkan kerajaan supaya memberi pengurangan bayaran balik pinjaman PTPTN sehingga 30 peratus daripada jumlah pinjaman kepada penuntut yang berjaya mendapat ijazah Kelas Kedua Atas.

Noriah berpendapat adalah wajar jika penukaran daripada pinjaman kepada biasiswa hanya diberi kepada penuntut di IPTA manakala penuntut IPTS yang mendapat ijazah Kelas Pertama diberi diskaun 50 peratus daripada jumlah pinjaman.

Rafizi juga mengulangi sokongan PKR terhadap perkhemahan aktivis mahasiswa di Dataran Merdeka yang sudah berlangsung lebih dari satu minggu selepas himpunan mansuhkan PTPTN pada Apr 14.

Katanya, perjuangan aktivis tersebut sama dengan PKR iaitu menhapuskan PTPTN dan memberi pendidikan percuma.

Categories
NASIONAL

Rafizi: Yuran Percuma, Elaun Untuk Pelajar Yang Layak

SHAH ALAM, 20 APR: Yuran percuma akan diberikan kepada semua pelajar Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) tanpa mengira latar belakang keluarga pelajar berdasarkan prinsip pendidikan percuma adalah tanggungjawab kerajaan dalam memenohi hak rakyat.

Sebaliknya biasiswa untuk elaun sara hidup pelajar pula akan bergantung kepada kemampuan keluarga pelajar terbabit.

Demikian menurut Pengarah Startegi Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli ketika mengulas pandangan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Dr Maszlee Malik dalam satu wawancara dengan TVS baru-baru ini.

“Kita percaya bahawa pendidikan ini adalah hak kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah kecualilah dalam keadaan-keadaan tertentu di mana latar belakang keluarga itu betul-betul kaya memang tidak memerlukan langsung.

“Model yang kita pertimbangkan sekarang, kerajaan akan menanggung yuran di IPTA dan kerajaan juga akan berikan elaun sara hidup kepada mereka yang layak berdasarkan latar belakang ekonomi keluarga dan pencapaian, yang ini mereka akan dapat elaun sara hidup seperti mana sebelum ini kita panggil biasiswa.

“Kecuali mereka yang tidak layak kerana latar belakang keluarga mereka kaya, mereka boleh memilih membayar sendiri elaun sara hidup atau mengambil pinjaman, itu terpulang kepada mereka.

“Jadi ia tidak begitu berbeza dengan apa yang disebut oleh Dr Maszlee,” beritahu Rafizi ketika dihubungi TVS hari ini.

Menurut Rafizi, meskipun terdapat golongan pelajar yang perlu menanggung sendiri elaun sara hidup mereka, beban tersebut menjadi lebih ringan setelah yuran pengajian di IPTA dibiyai oleh kerajaan.

“Memang akan ada segolongan pelajar negara ini yang kena membayar, cuma bayaran itu untuk elaun sara hidup.

“Oleh kerana perbelanjaan paling besar adalah yuran, walau ada yang kena bayar sendiri elaun sara hidup tetapi ia tidaklah membebankan  sehingga menyebabkan ada orang yang tak dapat ke universiti kerana faktor kewangan,” ujarnya lagi.

Rafizi turut menyambut baik cadangan Dr Maszlee agar sistem wakaf dan ‘endowment’ (pembiyaan) dipraktikan di negara ini bagi membolehkan IPTA memiliki autonomi sekaligus mampu menjana pendapatannya sendiri.

Bagaimanapun menurut Rafizi, mutu pendidikan IPTA di negara ini haruslah dipertingkatkan bagi menarik minat pihak korporat dan individu untuk membiyai program-program di IPTA.

Sebelum ini dalam wawancara oleh TVS, Dr Maszlee yang merupakan Pensyarah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan menyatakan bahawa pendidikan percuma bukanlah bermakna rakyat tidak perlu mengeluarkan sebarang kos untuk melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi.

Menurut Dr Maszlee suatu bayaran minima yang lebih munasabah terpaksa dikenakan terhadap pelajar seperti yang berlaku di negara Jerman.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Nga : Kerajaan Pusat Didesak Untuk Tidak Mendiskriminasi Antara Graduan Kelas Pertama

KUALA LUMPUR, 17 APR : Kerajaan Pusat harus adil dalam penukaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada biasiswa bagi pelajar yang memperoleh ijazah kelas pertama.

MP Taiping, Nga Kor Ming mendakwa kerajaan pusat bersikap tidak adil kepada graduan dari kumpulan tersebut berdasarkan aduan diterima dari lebih 50 graduan dari seluruh negara.

“Kementerian Pengajian Tinggi pernah membuat pengumuman bahawa mulai 2010, semua mahasiswa yang berjaya memperoleh ijazah kelas pertama akan dikecualikan bayaran pinjaman PTPTN kerana ianya akan dianugerahkan menjadi biasiswa.

“Bagaimanapun, golongan yang tamat pengajian dari 1 Julai 2005 hingga 2010 tidak layak menikmati layanan tersebut.

?Adalah dianggarkan kepentingan lebih kurang 8,000 graduan ijazah kelas pertama telah terjejas akibat diskriminasi itu,” katanya dalam sidang media di Parlimen di sini hari ini.

Kerajaaan Pusat menurutnya, diharap mempertimbangkan suara graduan dari Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) berkaitan isu itu.

Nga berkata satu memorandum berkenaan isu itu akan dihantar kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin.

Beliau juga meminta kerajaan pusat mempertimbangkan permohonan graduan di mana faedah tiga peratus pinjaman itu dimansuhkan bagi meringankan beban lepasan universiti.

“Perbalahan yang timbul kini adalah kesan dari dasar kerajaan untuk memkorporatkan Institusi Pengajian Tinggi khususnya universiti awam.

?Akibatnya jumlah yuran dan kos sampingan lain telah melambung tinggi mengakibatkan majoriti graduan lepasan universiti terpaksa menanggung beban hutang PTPTN dan pelbagai hutang pinjaman lain.

“Disebabkan pendapatan lepasan graduan universiti di pasaran tempatan jauh lebih rendah maka negara kehilangan pelbagai modal insan berkelayakan dan berbakat kerana golongan ini terpaksa mencari mata pencarian di luar negara dan mengejar kerjaya yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Nga turut mengesa Khaled mengadakan lawatan ke Dataran Merdeka untuk berjumpa dengan mahasiswa yang berkhemah di situ untuk memnuntuut pemansuhan PTPTN.

Lebih 500 mahasiswa telah membuat rapat umum di Dataran Merdeka pada Sabtu bagi menuntut pemansuhan pinjaman itu dan sistem pendidikan percuma di negara ini.