Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia belum gagal tangani Covid-19 – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Malaysia masih belum gagal dalam menguruskan pandemik Covid-19, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memperjelaskan mengenai dakwaan sesetengah pihak berhubung perkara tersebut.

Menteri Kanan (Keselamatan) itu berkata walaupun ada yang beranggapan negara gagal susulan peningkatan kes sehingga empat angka setiap hari, hakikatnya adalah sebaliknya.

“Kita pernah berjaya sekali tetapi kita masih belum gagal, melalui hasil kajian yang dilakukan oleh Lowy Institute iaitu sebuah badan pemikir berpusat di Sydney, Australia terhadap Malaysia berkenaan kecekapan menguruskan Covid-19, Malaysia berada di kedudukan ke-16 daripada 98 negara,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Beliau berkata kedudukan tersebut mengatasi beberapa negara terkemuka di Asia antaranya Jepun dan Korea Selatan dengan skor diberikan ialah 71 peratus.

Beliau turut menafikan kerajaan tidak mempunyai pelan strategik bagi menangani Covid-19 seperti dakwaan pihak tertentu.

Ismail Sabri berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) malah menggariskan 15 pelan strategik yang diumumkan oleh beliau sendiri pada Selasa lepas.

Ia termasuk lima strategi di bawah Pelan Strategik melalui KKM iaitu termasuk memutuskan rangkaian transmisi, mengurangkan morbiditi dan kematian, memperkukuhkan diagnostik dan survelan, mencapai imuniti kelompok, meningkatkan tingkatkan kesedaran dan pembudayaan normal baharu.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata pemain industri kreatif perlu menyediakan cadangan tatacara operasi piawai (SOP) bagi membolehkan penggambaran iklan, drama dan filem dibenarkan semula.

“Kita faham, petugas belakang tabir ‘freelance’ amat terkesan. Ada dicadangkan agar sektor ini dibenarkan beroperasi, kita boleh pertimbangkan jika SOP itu dipersetujui KKM dan kita akan putuskan semula,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Individu ingkar PKP berdepan tindakan lebih tegas selepas 4 Februari

KUALA LUMPUR, 1 FEB: Tindakan lebih tegas akan diambil tanpa kompromi selepas 4 Feb ini terhadap mana-mana individu yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ini kerana setiap hari, kes Covid-19 dilaporkan meningkat khususnya melibatkan pekerja tapak pembinaan dan kilang.

“Kedua-dua sektor berkenaan (pembinaan dan kilang) merupakan antara penyumbang tertinggi kes Covid-19 di dalam negara ini.

“Seperti yang semua sedia maklum, kita tidak ada lagi kluster pasar pagi dan kluster gerai tepi jalan kerana kita ada tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan selain mengambil tindakan berdasarkan fakta yang ada,” katanya selepas meninjau sekatan jalan raya di Plaza Tol Gombak hari ini.

Ismail Sabri berkata semua majikan kedua-dua sektor diarah melakukan ujian saringan Covid-19 ke atas pekerja asing mereka mulai hari ini di seluruh negara.

Beliau berkata sebelum ini, hanya pekerja asing di sektor terbabit di enam negeri sahaja diwajibkan berbuat demikian.

“Ia adalah untuk memantau status kesihatan pekerja asing yang berkemungkinan menyebarkan Covid-19 dalam kalangam komuniti tempatan,” katanya.

Ismail Sabri berkata Ordinan Darurat juga akan dipinda dari segi perumahan pekerja asing yang merupakan antara punca peningkatan kes Covid-19.

“Perumahan pekerja asing ini tidak kondusif kerana kebanyakan mereka tinggal di rumah dalam keadaan berhimpit seperti dua atau tiga orang untuk satu rumah.

“Ordinan Darurat akan dipinda untuk memastikan majikan menyediakan tempat tinggal yang baik kepada pekerja asing mereka dan Ordinan Darurat boleh melakukam perkara itu,” katanya.

Beliau juga berkata sudah banyak kilang ditutup kerana melanggar SOP dan terdapat pekerjanya yang positif Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jangan politikkan proklamasi darurat – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Pengisytiharan Proklamasi Darurat bagi mengekang pandemik Covid-19 tidak seharusnya dipolitikkan dan konteks kepentingannya perlu difahami, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, proklamasi itu bagi memudah cara dan memperkasa segala tindakan kerajaan dalam mengawal penularan virus dengan membuat ordinan baharu tanpa perlu melalui proses penggubalan undang-undang di Parlimen yang mengambil masa.

“Bila kita isytihar darurat, kita boleh buat undang-undang di bawah ordinan darurat untuk tingkatkan kompaun. Contohnya, mungkin denda terhadap syarikat yang melanggar peraturan dinaikkan dan perkara itu sedang dikaji oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Undang-undang ini juga bertujuan mencegah berlaku kesalahan yang berulang. Sekiranya dinaikkan jumlah denda, mungkin individu atau syarikat akan berasa takut untuk mengulangi kesalahan sama,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama, baru-baru ini.

Pada 12 Jan lepas, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas darurat pada hari sama menjelaskan jemaah menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan proklamasi darurat bagi seluruh negara menurut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan, berkuat kuasa 11 Jan 2021 hingga 1 Ogos 2021.

Perkara 150(1) itu antara lainnya memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat jika baginda berpuas hati suatu darurat besar sedang berlaku menyebabkan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam persekutuan sedang terancam.

Kerajaan awam akan terus berfungsi seperti biasa di peringkat persekutuan dan negeri sepanjang tempoh pelaksanaan darurat, malah jentera pentadbiran Kerajaan Persekutuan serta negeri tidak akan terganggu dengan pengisytiharan proklamasi darurat.

Ismail Sabri berkata penyediaan draf ordinan oleh AGC berjalan lancar dan dijangka diumumkan dalam masa terdekat dan sebaik diumumkan, penguatkuasaan ordinan berkenaan adalah muktamad dan serta-merta.

“Peguam Negara akan draf cadangan (undang-undang) dan dibentang kepada Majlis Keselamatan Negara (khas untuk darurat). Kalau ordinan itu dipersetujui, ia akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Sejurus diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ia akan menjadi undang-undang,” katanya menjelaskan mengenai proses draf ordinan tersebut.

Ordinan membolehkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dipinda bagi membendung, meningkatkan keberkesanan termasuk meningkatkan penalti atau hukuman ke atas sesiapa yang melanggar undang-undang dan peraturan berkaitan, dan ia berkuat kuasa sepanjang tempoh darurat sahaja.

Ismail Sabri berkata AGC juga sedang mengkaji pelaksanaan undang-undang di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) iaitu bagi menyediakan penginapan kepada pekerja asing dengan mematuhi spesifikasi yang ditetapkan.

“Banyak kes Covid-19 dilaporkan berlaku dalam kalangan pekerja kilang akibat isu perumahan yang sesak dan jangkitan mudah berlaku. Syarikat mahu untung besar namun kebajikan pekerja tidak dititikberatkan. Di bawah ordinan ini, kami mungkin akan berikan syarat atau arahan menyediakan perumahan selesa dan tindakan akan diambil sekiranya ingkar,” katanya.

Ketika ini, sebagai langkah mengurangkan jangkitan Covid-19, kerajaan juga mewajibkan majikan untuk memastikan pekerja asing yang digajikan mereka menjalani ujian saringan Covid-19 bermula 1 Jan.

“Setakat ini, lebih 100,000 pekerja asing di sektor perkilangan menjalani ujian saringan dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) menyasarkan 880,000 pekerja asing di sektor ini selesai menjalani ujian saringan,” katanya.

Ismail Sabri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing sebelum ini dilaporkan berkata Perakuan Penginapan akan menjadi prasyarat kepada majikan yang berhasrat mengambil pekerja asing baharu berkuat kuasa 1 Julai 2021.

Katanya sebelum majikan membuat permohonan membawa masuk pekerja asing, majikan perlu mendapatkan Perakuan Penginapan daripada KSM bagi membolehkan Jabatan Imigresen mengeluarkan visa.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perlu imbangi aspek ekonomi, kesihatan ketika PKP – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Keputusan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kali kedua dengan memberikan kelonggaran tertentu terutama bagi sektor ekonomi adalah sesuatu yang sukar, namun perlu dibuat bagi mengimbangi aspek kesihatan rakyat dan juga ekonomi.

Bagi Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, PKP kali ini melihat kepada kepentingan ekonomi tidak kira melalui syarikat gergasi mahupun peniaga kecil-kecilan, dan pada masa sama perlu menumpukan kepada kesihatan rakyat.

“Kita tidak mahu rakyat mati akibat Covid-19, dan kita juga tidak mahu mereka mati kerana tidak makan,” katanya dalam satu temu bual eksklusif dengan Bernama, baru-baru ini.

Katanya, ada pihak mempertikaikan pelaksanaan PKP kali kedua yang dikatakan lebih longgar, tapi daripada konteks lebih luas, negara boleh bangkrap kalau PKP dilaksanakan bertahun-tahun.

“Waktu PKP dulu, negara rugi RM2.4 bilion setiap hari. Kerajaan juga perlu fokus kepada rakyat yang bergantung kepada pendapatan seharian bagi menampung hidup. Sebab itu ketika PKP 2.0 ini, kita benarkan sebahagian besar sektor ekonomi untuk beroperasi. Kita fikir kebajikan rakyat dan keselamatan mereka juga sama penting,” katanya.

Ismail Sabri menjelaskan biarpun pelbagai bantuan disalurkan kepada rakyat, namun kerajaan tidak boleh memberi bantuan selama-lamanya dengan mengambil kira kesan jangka panjang.

“Bantuan one-off diberikan hanya RM3,000 bagi perusahaan kecil dan sederhana. Dengan membenarkan sesetengah sektor untuk beroperasi, peniaga kecil-kecilan sebagai contohnya yang mempunyai gerai tepi jalan juga boleh berniaga bagi menampung keperluan seharian,” katanya.

Beliau menjelaskan sektor perkilangan pula dibuka bukan bagi menjaga hati ‘tauke besar’ tetapi kerana rantaian ekonomi yang melibatkan operasi syarikat dan nasib pekerja harus diutamakan.

“Netizen kata kita jaga tauke besar, tapi ia adalah berkaitan pekerja mereka. Kalau tauke besar rugi akibat kilangnya tidak beroperasi, akhirnya mangsa adalah pekerja yang bergantung kepada pendapatan itu,” katanya.

Hari ini, genaplah setahun negara dibadai pandemik Covid-19, apabila kes pertama membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura, dilaporkan pada 25 Jan 2020. Ketika gelombang pertama, ia melibatkan majoriti kes import dan bukan rakyat Malaysia, manakala gelombang kedua jangkitan pula berlaku melibatkan penularan tempatan, dengan kes pertama Covid-19 dilaporkan pada 4 Feb 2020.

Susulan gelombang kedua, kerajaan melaksanakan PKP sejak 18 Mac tahun lepas dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat, dan setelah beberapa bulan apabila jangkitan menunjukkan penurunan, kerajaan mula melonggarkan sedikit SOP dengan pengenalan PKP Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei, diikuti lebih banyak kelonggaran menerusi PKP Pemulihan (PKPP) mulai 10 Jun.

Ketika gelombang ketiga melanda, kerajaan terpaksa melaksanakan PKPB di kebanyakan negeri mulai Oktober, dan apabila kes semakin meningkat tahun ini kerajaan terpaksa melakukan semula PKP bermula dengan enam negeri dan kemudian di seluruh negara kecuali Sarawak.

Ketika ditanya sama ada Malaysia akan berjaya melandaikan keluk Covid-19 selepas PKP ini, Ismail Sabri yang juga menteri pertahanan berkata jumlah kes akan menurun namun akan mengambil sedikit masa.

“Cara terbaik untuk putuskan rantaian Covid-19 ialah dengan tiada pergerakan langsung, namun buat masa ini ia (pergerakan orang ramai) masih berlaku. Sektor penting diberi kebenaran untuk beroperasi atas dasar kepentingan ekonomi. Walaupun PKP ini tidak ‘lockdown’ sepenuhnya, tapi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah percaya (kes) akan berkurangan tapi mengambil masa sedikit,” kata Ismail Sabri.

Dr Noor Hisham sebelum ini dilaporkan berkata negara memerlukan sekurang-kurangnya empat minggu untuk mengurangkan kes jangkitan Covid-19 harian kepada antara 500 hingga 1,000 kes sehari.

Kata Dr Noor Hisham, usaha melandaikan semula lengkungan graf jangkitan Covid-19 di negara ini dijangka berhasil pada Mei atau Jun dan pada masa sama, PKP tidak boleh terlalu lama kerana memberi impak negatif kepada ekonomi negara.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menolak dakwaan wujudnya dwistandard antara ahli politik dan rakyat biasa dalam tindakan penguatkuasaan SOP PKP, contohnya dalam isu pergerakan secara bebas seperti rentas negeri.

“Kerja ahli politik atau Ahli Parlimen, kita ada kawasan masing-masing. Apabila rakyat ditimpa bencana, wakil rakyat perlu jalankan tanggungjawab kepada mereka.

“Sama seperti perkhidmatan kerajaan, sektor swasta iaitu khidmat diberikan kepada orang lain. Tugas ahli politik adalah berjumpa dengan rakyat. Ini adalah tugas seorang ahli politik. Kalau seseorang wakil rakyat tiada di lapangan ketika rakyat susah, maka ahli politik itu gagal laksanakan tugasnya,” jelas beliau.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD di Penjara Bentong, kuarters kakitangan mulai esok

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Bentong dan kuarters kakitangannya bermula esok (25 Januari) sehingga 8 Februari, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan tersebut dibuat susulan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak dalam kalangan tahanan di penjara terletak di Pahang itu dengan sebanyak 615 kes positif direkodkan melibatkan 574 tahanan, 34 kakitangan serta lima ahli keluarga.

“Tatacara operasi piawai (SOP) PKPD di penjara ini juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan,” katanya menerusi kenyataan mengenai PKP hari ini.

Sementara itu, beliau berkata seramai 550 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 499 individu dikompaun, 42 direman manakala sembilan dijamin.

Kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (130), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (112), tiada penjarakan fizikal (68), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (54), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (44) dan lain-lain (142).

Menerusi Op Benteng melibatkan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia, beliau berkata seramai 54 pendatang tanpa izin ditahan selain dua bot/kapal serta lima kenderaan darat dirampas.

Ismail Sabri turut memaklumkan 6,894 pekerja warga asing menjalani ujian saringan semalam dan daripada jumlah itu, 154 orang disahkan positif Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Individu sudah beli tiket dibenar teruskan perjalanan

SHAH ALAM, 12 JAN: Individu yang sudah membeli tiket bas, kereta api dan kapal terbang dibenar meneruskan perjalanan walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa tengah malam ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata kelonggaran diberikan sehingga Jumaat ini bagi kes tertentu.

“Kita tidak minta mereka batalkan (tiket) tetapi boleh teruskan perjalanan dan penerbangan tersebut. Kelonggaran ini hanya untuk mereka yang mempunyai sebab tertentu.

“Saya sudah bincangkan kes tertentu untuk dibenarkan kerana difahamkan ada yang masih berada di kampung kerana melawat keluarga sakit di hospital.

“Jadi, jangan bimbang kalau mereka terperangkap di kampung. Seperti PKP dahulu kita terpaksa buat program khusus untuk membenarkan mereka yang terpisah dengan keluarga,” katanya pada sidang media hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan tidak boleh berterusan sekat pergerakan rakyat – Ismail Sabri

ARAU, 12 DIS: Kerajaan tidak boleh menyekat kebebasan pergerakan orang ramai untuk selama-lamanya ekoran pandemik Covid-19 dan menyeru rakyat mematuhi setiap tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata rakyat perlu mengawal diri dan elak daripada dijangkiti virus tersebut.

Beliau berkata banyak negara yang tiada kawalan pergerakan, misalnya, Taiwan, tetapi rakyatnya berdisiplin dan mengawal diri mereka sendiri sehingga kes Covid-19 tidak merebak di negara berkenaan.

“Akhirnya kita perlu biarkan mereka (rakyat) bebas juga kerana Covid-19 akan sentiasa ada di sekeliling kita seperti penyakit denggi dan sebagainya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima menghadap Ismail Sabri di Istana Arau.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man, Panglima Tentera Darat (PTD) Jeneral Datuk Zamrose Mohd Zain dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz.

Mengulas mengenai peningkatan kes Covid-19 sejak beberapa hari kebelakangan ini, Ismail Sabri berkata jumlah tersebut dikesan meningkat setelah kerajaan mewajibkan saringan terhadap semua pekerja asing di negara ini.

“Pekerja warga asing di negara ini berjumlah 888,000.. bayangkan kalau lima peratus positif, berapa jumlahnya. Apa yang saya ingin tekankan di sini adalah selagi ia tidak merebak dalam komuniti maka kita boleh kawal,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata kerajaan akan menambah dua pos kawalan baharu di sempadan Malaysia-Thailand selain menambah pembelian peralatan baharu seperti dron bagi meningkatkan kawalan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

311 individu ditahan ingkar arahan PKP

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Seramai 311 individu ditahan polis semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 306 daripadanya dikompaun manakala lima individu direman.

“Antara kesalahan ialah tidak memakai pelitup muka (97), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (75), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (69), rentas negeri/daerah PKP Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (30), aktiviti pusat hiburan (26) dan lain-lain (14),” katanya dalam satu kenyataan berkaitan PKP dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Beliau berkata Operasi Benteng semalam menahan 14 pendatang tanpa izin serta merampas tiga bot dan satu kenderaan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata sejak 24 Julai lepas sehingga semalam seramai 79,128 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 78 hotel serta 17 Institut Latihan Awam (ILA) dan institut pengajian tinggi swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 11,270 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 502 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 67,356 individu dibenarkan pulang,” katanya sambil menambah kesemua mereka pulang dari 36 negara.

Mengenai Op Sanitasi Awam Covid-19 semalam, katanya sebanyak 40 operasi sanitasi meliputi 11 zon merah, empat zon jingga, sembilan zon kuning dan empat zon hijau membabitkan 12 negeri.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

NTF pertimbang tambah anggota di sempadan

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) yang melaksanakan Op Benteng mempertimbangkan untuk menambah bilangan anggota di kawasan sempadan Malaysia-Thailand dengan melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan lain, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjaga sempadan negara di bahagian utara dibahagikan tugasan mengikut kawasan-kawasan tertentu.

“Berikutan insiden berbalas tembakan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand sehingga menyebabkan kematian seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) semalam, Op Benteng akan melibatkan kerjasama bersepadu secara menyeluruh dan tidak lagi membahagikan kawasan.

“Selain itu, dalam meningkatkan lagi kawalan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, kita juga perlu menambah bilangan keanggotaan sama ada daripada pihak ATM atau PDRM,” katanya dalam sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Kementerian Pertahanan, di sini.

Ismail Sabri berkata kementeriannya akan berbincang bersama NTF supaya apa yang dilaksanakan di kawasan Op Benteng Sabah termasuk di Semenanjung, pantai barat sebagainya dapat digemblengkan di Op Benteng di kawasan utara.

Beliau berkata bagaimanapun, perkara ini akan dibincangkan di bawah NTF terdahulu kerana melibatkan pelbagai unit beruniform yang memerlukan penyelarasan selepas ini.

Semalam, Bernama melaporkan dalam insiden awal pagi itu, dua anggota Pasukan Gerakan Am mendiang Baharuddin Ramli, 54, terbunuh manakala rakannya Norihan a/l Tari, 39, cedera parah semasa berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dilapor berkata insiden berbalas tembakan itu merupakan kali pertama berlaku di sempadan berkenaan.

Sebelum ini, hanya mendengar bunyi tembakan yang dihalakan ke arah pos kawalan Tembok Sempadan TS9 di Padang Besar, Perlis dari sebelah negara jiran itu. Bunyi tembakan didengar pada 12 dan 15 Nov lepas.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, diminta mengulas mengenai kos kuarantin sekiranya anggota Batalion Malaysia (MALBATT) pulang bercuti ke tanah air, Ismail Sabri berkata kerajaan akan membiayai kos kuarantin mereka.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Top Glove diarah saring, kuarantin 2,263 pekerja tinggal luar kawasan PKPD

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) diarah melakukan saringan Covid-19 ke atas 2,263 pekerjanya yang tinggal di luar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan perlu menjalani kuarantin selama 14 hari.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah bergerak bagi mengelak penularan wabak tersebut di kawasan komuniti.

“Sebelum ini, mereka ada asrama pekerja lelaki serta perempuan dan rumah yang disewa di kawasan yang dikenakan PKPD tetapi ramai juga pekerja tinggal di tempat lain. Jadi kita sudah arahkan syarikat buat saringan kepada pekerja ini dan dikuarantin.

Penduduk di kawasan sekitar tidak perlu bimbang sebab pekerja Top Glove disaring dan ditempatkan di pusat kuarantin,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata kesemua pekerja Top Glove yang positif Covid-19 dihantar ke hospital manakala yang negatif dikuarantin di hotel ditetapkan iaitu Hotel Gold Coast, Kelang Sentral dan stadium di Pandamaran.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata sebuah pasukan petugas diwujudkan bagi menyelaras gerak kerja melibatkan proses saringan, kuarantin dan penutupan kilang Top Glove dianggotai Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat Selangor, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Pejabat Dearah Klang, Majlis Perbandaran Klang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang.

“Pihak kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dan pasukan Task Force khas yang ditubuhkan akan sentiasa memantau dan membuat penilaian dari semasa ke semasa.

Kerajaan juga mengarahkan 28 kilang syarikat itu ditutup secara berperingkat bagi membolehkan pekerja menjalani saringan serta proses kuarantin dan sehingga semalam 20 kilang ditutup, tujuh kilang ditutup hari ini dan satu lagi kilang akan menyusul (ditutup),” katanya.

Beliau berkata sehingga 24 November, sebanyak 5,795 ujian saringan dilakukan daripada 11,215 jumlah keseluruhan pekerja dan seramai 2,684 kes positif di kawasan PKPD direkodkan.

“Semalam, jumlah kumulatif kes di seluruh negara adalah sebanyak 2,188 dan daripada jumlah itu, 1,623 kes direkodkan di Selangor dan sebanyak 1,511 merupakan kes positif Covid-19 daripada kluster yang melibatkan kilang Top Glove.

Jumlah kes di kilang Top Glove merupakan penyumbang jumlah tertinggi kes Covid-19 di Selangor dan seluruh negara,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kerajaan timbang saring pekerja asing setiap dua minggu

KUALA LUMPUR, 25 NOV: Kerajaan mempertimbangkan keperluan untuk mewajibkan semua pekerja asing menjalani saringan Covid-19 setiap dua minggu, kata kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keutamaan kerajaan pada masa ini adalah kepada saringan kesihatan yang diwajibkan bagi pekerja asing di negeri-negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Setakat ini, kita akan mulakan ujian calitan kepada semua pekerja asing (di negeri dikenakan PKPB), kalau mereka negatif kita akan kuarantin dan jika positif kita hantar ke hospital.

“Kalau ada keperluan untuk ujian calitan setiap dua minggu kita akan bincangkan, untuk pusingan pertama ini (melibatkan) 1.7 juta (pekerja asing) kita selesai saring mereka ini dulu,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ismail Sabri mengumumkan supaya saringan kesihatan diwajibkan bagi semua pekerja asing di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Kuala Lumpur dan Labuan, melalui kaedah RTK Antigen.

Jelasnya, ia penting bagi mengurangkan risiko kebolehjangkitan Covid-19 dalam kalangan mereka.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ops Benteng fokus usir berbanding tangkapan – menteri

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Ops Benteng kini memberi fokus kepada pendekatan pengusiran terhadap pendatang tanpa izin yang melepasi kawasan sempadan negara berbanding tangkapan sebelum ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pihak berkuasa mengambil pendekatan tersebut memandangkan antara punca peningkatan kes Covid-19 dalam negara terutamanya di pantai timur Sabah adalah disebabkan tahanan yang positif menjangkiti tahanan lain.

“Kita tahu salah satu punca meningkatnya Covid-19 di negara khususnya di pantai timur Sabah apabila pendatang tanpa izin ditahan dan bercampur dengan tahanan lain, akhirnya menjangkiti tahanan lain sehingga virus itu merebak sampai ke luar (tahanan).

“Jadi sekarang, kita membuat keputusan dari segi Ops Benteng, kita halau dan usir mereka sebelum memasuki kawasan sempadan negara kita. Apabila mereka melepasi kawasan sempadan, kita tahan mereka dan begitu juga bagi tahanan di sekatan jalan raya,” katanya pada sidang media perkembangan PKP Pemulihan di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Beliau berkata menerusi Ops Benteng, sejumlah 27 pendatang tanpa izin ditahan dan lapan kenderaan darat dirampas, semalam.

-BERNAMA