Categories
AGENSI SELANGOR

Jais: Wanita, kanak-kanak dibenar solat jemaah di masjid

SHAH ALAM, 9 SEPT: Wanita, kanak-kanak dan warga emas dibenar solat berjemaah di masjid dan surau seluruh negeri, kata Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Jabatan itu berkata hanya kanak-kanak yang boleh dikawal sepenuhnya oleh ibu bapa serta mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dibenarkan hadir.

“Bagi jemaah wanita pula, mereka boleh hadir untuk menunaikan solat fardu lima waktu berjemaah serta menghadiri program pengimarahan, namun dengan syarat masjid dan surau mempunyai ruang khas yang dikhususkan untuk muslimat.

“Syarat kedua, ruang jemaah wanita tidak mengganggu jumlah kapasiti ruang solat jemaah lelaki, kemudian, ia mempunyai laluan khas keluar masuk jemaah muslimat serta menyediakan petugas muslimat bagi mengawal jemaah untuk mematuhi SOP,” menurut soalan lazim agensi itu di Facebook.

Ia juga berkata jemaah berusia lebih 60 tahun dibenarkan hadir dengan syarat dalam keadaan sihat, tidak uzur, tidak bergejala dan tidak berpenyakit kronik.

Bermula 3 Julai lalu, Jais membenarkan semua masjid dan surau dibuka untuk solat Jumaat dan fardu.

Namun tindakan tegas akan diambil jika berlaku pelanggaran SOP dan pihaknya tidak teragak-agak untuk menarik semula kelonggaran yang diberi demi menjaga keselamatan dan kemaslahatan jemaah serta imej Islam.

Categories
AGENDA NASIONAL

Budak lelaki maut terkena renjatan elektrik di padang bola

JOHOR BAHRU, 30 OGOS: Seorang kanak-kanak lelaki berumur sembilan tahun maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika berada di padang bola di Jalan Impian Emas, 14, Taman Impian Emas petang semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Mohd Taib Ahmad berkata dalam kejadian pada kira-kira 2.45 petang itu, Musyrif Hakimi Musaffendy dipercayai tidak memakai kasut ketika berada di padang tersebut dan kawasan di mana mangsa berdiri ketika itu basah berikutan hujan.

“Pihak polis menerima panggilan telefon pada kira-kira 3 petang dengan dimaklumkan bahawa terdapat seorang kanak-kanak lelaki terkena renjatan elektrik.

“Difahamkan ketika kejadian, mangsa sempat mengadu kepada seorang rakannya bahawa dia berasa panas dan kemudiannya rebah,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebelum itu, terdapat aktiviti bulan kemerdekaan dan kibaran Jalur Gemilang anjuran sebuah agensi kerajaan di padang bola tersebut yang bermula dari 8.30 pagi hingga 4 petang.

Katanya jenazah mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

1,721 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak setakat 30 Jun

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Sejumlah 1,721 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak direkodkan dalam tempoh Januari hingga 30 Jun tahun ini, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Zailah Mohd Yusoff.

Beliau berkata kes rogol mencatat jumlah paling tinggi dengan 651 kes; cabul 344 kes; sumbang mahram 106 kes; luar tabii 106 kes; dan kesalahan di bawah Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) sebanyak 514 kes.

Bilangan kes itu diperoleh berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), katanya.

“Kajian penanda aras yang dikeluarkan The Economist Intelligence Unit pada tahun 2019 meletakkan Malaysia di tempat ke-23 daripada 60 negara dalam usaha melindungi kanak-kanak dalam jenayah seksual ini.

“…kerajaan telah mengambil pelbagai tindakan untuk menangani isu jenayah seksual pedofilia ini termasuk pada aspek pencegahan, perundangan dan intervensi, sistem sokongan dan juga kajian dan penyelidikan lanjut untuk membantu memantapkan sistem sedia ada,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (PAS-Setiu) mengenai perincian statistik jenayah seksual kanak-kanak yang menjadi mangsa pedofilia serta usaha kerajaan menanganinya.

Siti Zailah berkata antara program yang dilaksanakan ialah advokasi seperti kempen keselamatan kanak-kanak di sekolah (Sahabat Bijak), penggubalan Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 serta penalti yang berat sehingga 30 tahun hukuman penjara dan sebat.

Beliau berkata bagi mempercepatkan proses kehakiman bagi kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak, mahkamah jenayah seksual terhadap kanak-kanak juga ditubuhkan di Putrajaya pada 2017 dan di Kuching pada 2018.

“Kementerian juga mengadakan sesi perbincangan pada 2019 bersama Kementerian Dalam Negeri, PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Luar yang berkaitan dengan pembangunan SOP bagi memperketatkan lagi kemasukan pesalah jenayah seksual ke dalam negara.

“Kerjasama juga dilaksanakan dengan Unicef bagi mengkaji jenayah seksual terhadap kanak-kanak (secara) dalam talian,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster Tawar jangkiti kanak-kanak tiga tahun, petugas kesihatan

SHAH ALAM, 14 OGOS: Seramai 261 individu disaring bagi pengesanan kes positif Covid-19 melibatkan kluster Tawar, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata 156 saringan dilakukan di Kedah manakalala 105 menjalankan ujian di Pulau Pinang.

“Setakat ini 21 positif, 20 di Kedah dan satu di Pulau Pinang. 152 individu disahkan negatif manakala 88 masih belum mendapat keputusan.

“Hari ini 11 kes baharu dikesan dari kluster ini. Ia termasuk kanak-kanak berusia tiga tahun serta lima petugas hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kluster Tawar sebagai kluster baharu.

Kluster berpunca dari kes ke-9,113 iaitu lelaki tempatan yang menghadiri upacara keagamaan dari 31 Julai hingga 1 Ogos lalu.

Categories
AGENDA GLOBAL

Budak empat tahun ikat perjanjian terbit buku puisi

SHAH ALAM, 25 JULAI: Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun menjadi penulis paling muda mengikat perjanjian dengan syarikat penerbitan untuk membukukan koleksi puisinya.

Nadim Shamma-Sourgen disifatkan Eksekutif Walker Books Walker Denise Johnstone-Burt sebagai “menakjubkan kerana pada usia semuda itu mampu menulis ayat dalam isu sensitif”, lapor The Guardian.

“Puisi itu membicarakan perasaan penting seperti kasih sayang dan kesunyian, dan Nadim menemui ungkapan yang sempurna,” katanya lagi.

Syarikat penerbitan buku kanak-kanak berpangkalan di Britain dijadual menerbitkan koleksi itu pada musim panas seterusnya (tahun depan).

Bakat Nadim dikesan penerima anugerah Orwell tahun ini, Kate Clanchy yang menggelarkannya “Penyair Berusia Empat Tahun”. Beliau turut memuat naik petikan sajak kanak-kanak itu ke akaun media sosialnya.

Mengikut Guinness World Records, penulis paling muda menerbitkan karya secara komersial ialah Dorothy Straight menerusi buku How the World Began pada 1964 pada usia enam tahun.

Rekod penulis lelaki termuda pula dipegang kanak-kanak Sri Lanka apabila bukunya Junk Food diterbitkan pada 5 Januari 2017 ketika Lankan Thanuwana Serasinghe berusia empat tahun dan 356 hari.

Berikut antara petikan sajak Nadim berjudul “Baddies”.

Baddies love their baddie friends
Even very baddie ones
Policemen might arrest them
But they’ll still have their love

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu kesihatan mental kanak-kanak perlu diberi perhatian

KUALA LUMPUR, 21 JUN: Isu kesihatan mental kanak-kanak perlu diakui dan ditangani dengan betul kerana mereka juga mampu mengalami masalah yang sama seperti orang dewasa

Penaung Befrienders Kuala Lumpur Tan Sri Lee Lam Thye berkata meskipun terdapat perbincangan intensif mengenai kesihatan mental sejak beberapa tahun lepas, kebanyakannya memfokus kepada kesejahteraan mental orang dewasa.

“Ini sesuatu yang baik memandangkan betapa tabunya subjek penyakit mental…. tetapi inilah masanya untuk kita mengakui kepentingan kesihatan mental bagi kanak-kanak mahupun orang dewasa.

“Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, sejumlah 424,000 kanak-kanak didapati bergelut dengan isu kesihatan mental… Ini adalah sesuatu yang membimbangkan kita semua dan isu ini perlu ditangani dengan betul kerana kanak-kanak adalah masa depan dan harapan kita,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kemampuan untuk menyedari bahawa seorang kanak-kanak memerlukan bantuan adalah penting kerana intervensi awal boleh meningkatkan kesejahteraan mereka, dan dengan penjagaan serta rawatan yang betul, kebanyakan isu kesihatan mental boleh dirawat.

Lee berkata ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan mental anak-anak mereka, termasuk menyediakan persekitaran di rumah yang penuh dengan kasih-sayang dan penjagaan selain menggalakkan perbualan sihat dengan mendengar secara aktif serta membenarkan mereka bercakap tanpa bersikap menghakimi dan kritikal.

“Mereka akan bersikap lebih terbuka untuk bercakap mengenai masalah mereka, termasuk perasaan yang sukar dan tidak selesa, serta meminta bantuan sekiranya mereka berdepan kesulitan pada masa akan datang.

“Jika anda bimbang dengan kesihatan mental anak anda, mintalah bantuan… bercakap dengan orang yang profesional seperti psikiatri atau kaunselor,” katanya sambil menambah Befrienders KL menawarkan sokongan emosi kepada sesiapa yang berasa tertekan atau ingin bunuh diri, dengan menghubungi talian bantuan 24 jam mereka di 03-7627 2929.

Lee berkata persekitaran sihat di sekolah juga amat penting kerana kanak-kanak menghabiskan banyak masa di sekolah setiap hari dan mereka perlu dilengkapi kemahiran bagaimana menangani tekanan secara berkesan, menyelesaikan masalah dan membina ketahanan diri.

Beliau berkata dengan menggabungkan kesemua elemen ini dalam silibus sekolah membantu meningkatkan kesihatan mental kanak-kanak manakala tenaga pengajar boleh membantu menjadikan sekolah tempat lebih selamat dengan mengawasi insiden buli kerana ia boleh menjejaskan kesihatan mental kanak-kanak dan boleh membawa kepada insiden bunuh diri.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: 315 pesakit usia bawah 14 tahun positif Covid-19

PUTRAJAYA, 16 APRIL: Kira-kira enam peratus atau 315 daripada 4,683 pesakit Covid-19 di Malaysia merupakan golongan berusia di bawah 14 tahun, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata seramai 83 pesakit merupakan kanak-kanak di bawah usia empat tahun, dan jumlah sama direkodkan pesakit berusia lingkungan lima hingga sembilan tahun dan baki 149 lagi adalah pesakit berusia antara 10 dan 14 tahun.

“Jika pesakit kanak-kanak ini mendapat jangkitan sekali dengan ibu atau ayah mereka, pesakit akan ditempatkan di dalam wad atau bilik yang sama.

“Kalau kanak-kanak ini dijangkiti, sementara ibu bapa mereka tidak dijangkiti tetapi ibu bapa ingin menjaga anak mereka, kita benarkan,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19, di sini hari ini.

Beliau berkata ibu atau bapa yang ingin menjaga anak mereka yang positif Covid-19, digalakkan untuk memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE).

Mengulas lanjut, beliau berkata golongan usia 20 hingga 24 tahun paling ramai dijangkiti Covid-19, iaitu seramai 526 orang, diikuti mereka berusia 25 hingga 29 tahun (495) dan pesakit berumur 56 hingga 59 tahun sebanyak 453 kes.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kanak-kanak dua tahun pesakit termuda

SHAH ALAM, 26 MAC: Dugaan berat buat kanak-kanak berusia dua tahun empat bulan apabila bukan saja menghidap kanser darah, malah menjadi mangsa termuda positif Covid-19.

Muhammad Fateh Aqil Mohd Nazmee sepatutnya menjalani kimoterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), namun terpaksa menangguhkannya.

Menerusi perkongsian di Facebook Persatuan Sokongan Anak-anak Kanser (Pesona) semalam, mereka memohon doa supaya kanak-kanak itu sembuh.

“Fateh, penghidap kanser darah leukemia sepatutnya menjalani kitaran kimoterapinya mengikut jadual di HUSM Kubang Kerian, namun ujian darah dilakukan mendapati dia dijangkiti Covid-19,” katanya.

Sejak kelmarin, kisah kanak-kanak berkenaan tular di Facebook dan mengundang simpati orang ramai.

Berita Harian yang memetik sumber Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mengesahkan kanak-kanak itu positif Covid-19.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Ingin bebas punca utama kanak-kanak, remaja lari rumah

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Polis mendedahkan antara faktor utama kanak-kanak dan remaja dilaporkan lari dari rumah di negara ini pada 2019 disebabkan ingin bebas daripada kongkongan keluarga atau penjaga.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) ACP Choo Lily berkata itulah penemuan pihaknya dalam 662 kes daripada 1,302 kes kehilangan mereka dalam lingkungan usia 12 hingga 15 tahun.

“Selain keinginan mencari kebebasan, punca yang menyumbang kepada gejala lari dari rumah adalah mengikut rakan sebaya yang mencatatkan 184 kes dan masalah keluarga 170 kes.

“Ada juga yang dilaporkan hilang kerana mengikut kekasih, mengikut sama ada ibu atau bapa bagi ibu bapa yang telah bercerai, selain tidak minat untuk belajar serta mencari kerja pada usia yang muda,” katanya dalam satu wawancara khas bersama Bernama baru-baru ini.

Terdapat juga mangsa yang melarikan diri daripada pusat perlindungan wanita atau kanak-kanak atau dijumpai mati lemas dalam tali air atau longkang.

Jelasnya lagi, terdapat remaja dilaporkan hilang namun apabila ditemukan, mereka enggan pulang ke pangkuan keluarga kerana sudah selesa dengan kehidupan dan pekerjaan mereka.

Menurut statistik, daripada jumlah keseluruhan 1,302 kes yang dilaporkan, 1,186 sudah ditemui manakala yang lain masih berstatus hilang.

Selain itu, Choo berkata Johor mencatatkan kes kanak-kanak dan remaja hilang tertinggi iaitu 193 orang, diikuti Selangor (189), Sabah (182) dan Sarawak (115).

Pelbagai usaha dilakukan bagi mengesan mangsa seperti membuat semakan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau syarikat telekomunikasi kerana kemungkinan mereka untuk mendaftar dengan dua pihak ini adalah tinggi.

“Walaupun jumlah kes dicatatkan untuk mangsa yang masih hilang rendah, kami memandang serius akan perkara itu.

Sementara itu, Choo berkata sistem National Urgent Response Alert atau NUR Alert yang dilancarkan pada 2007 dilihat berkesan dan membantu pasukannya dalam mengenal pasti mangsa yang dilaporkan hilang.

Beliau berkata, polis bekerjasama dengan 48 ahli lain dalam sistem NUR Alert terdiri daripada pelbagai kementerian dan pertubuhan bukan kerajaan bagi mengumpul maklumat dan mencari kanak-kanak hilang berusia bawah 12 tahun.

“Melalui siaran Nur Alert ini, dalam kebanyakan kes kita dapat mengesan mangsa dengan cepat. Orang awam boleh membuat laporan atau tampil untuk membantu mangsa dan tindakan lanjut akan diambil oleh pihak polis,” jelasnya.

Choo berkata, ibu bapa atau penjaga boleh terus melaporkan kehilangan anak mereka tanpa perlu menunggu tempoh 24 jam seperti kes kehilangan orang dewasa.

Mengulas lanjut, terdapat trend penurunan kes kehilangan yang dilaporkan daripada tahun 2017 sehingga tahun lepas.

“Dua tahun lepas (2017), sebanyak 1,505 kes dilaporkan dan menurun kepada 1,318 kes yang dilaporkan pada 2018. Daripada jumlah kes kanak-kanak dan remaja hilang selama tiga tahun sejak 2017 iaitu sebanyak 4,125 kes, 95 peratus atau 3,948 kes sudah dijumpai dan hanya 177 atau lima peratus yang masih hilang,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga kanak-kanak lemas ketika mandi kolam

JOHOR BAHRU, 14 FEB: Tiga kanak-kanak lelaki meninggal dunia akibat lemas semasa bermandi-manda di sebuah kolam berhampiran pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Taman Sri Amar, Majidee, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Shahurinain Jais berkata yang meninggal dunia dalam kejadian itu dikenali sebagai Muhammad Rozie Iskandar Shah Abdullah, 11, Faris Farhan Mohd Sani, 14 dan Muhammad Haziq Nor Kamal, 10, manakala seorang kanak-kanak yang terselamat dalam insiden itu dikenali sebagai Muhammad Faiz Haiqal Abdullah, 13.

“Polis menerima maklumat kejadian daripada Muhammad Faiz Haiqal yang datang ke Balai Polis Majidee pada pukul 7.23 malam.

“Hasil temu bual, Muhammad Faiz Haiqal memberitahu bahawa dia bersama tiga rakannya itu pergi memancing ikan di kolam berkenaan pada kira-kira jam 2.00 petang sebelum mereka bermandi manda,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Beliau berkata ketiga-tiga rakan Muhammad Faiz Haiqal tiba-tiba lemas pada kira-kira pukul 7.00 malam kerana mandi di bahagian tengah kolam itu, dan dia cuba membaling tali bagi membantu, namun, tidak sampai ke arah ketiga-tiga rakannya itu.

Menurutnya pasukan bomba yang melancarkan operasi mencari di kolam itu menemui mayat Muhammad Rozie Iskandar pada pukul 7.47 malam, disusuli Faris Farhan pada pukul 7.49 malam dan Mohd Haziq pada pukul 8.16 malam.

Shahurinain berkata jarak ketiga-tiga mereka ditemui kira-kira lima meter dari tepi kolam, dan menurutnya pihak bomba memberitahu bahawa bahagian dasar kolam sedalam tiga meter itu mempunyai lumpur sedalam kira-kira satu meter.

“Semua mayat dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, di sini, untuk dibedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau Penolong Kanan Penguasa Bomba Saiful Bahri Safar berkata 11 anggota bomba bersama dua jentera bergegas ke tempat kejadian selepas Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Johor menerima panggilan menerusi talian MERS 999 pada pukul 7.22 malam.

Beliau berkata bomba kemudian bertindak membuat operasi pencarian di permukaan kolam itu dan kemudian menemukan ketiga-tiga mereka.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Kajian: Undang-undang larangan merokok selamatkan 15,000 nyawa kanak-kanak

RIO DE JANEIRO, 1 JUN: Satu siri undang-undang mewujudkan ruang khas yang bebas asap rokok, menyumbang kepada pengurangan sebanyak 15,000 dalam jumlah kematian kanak-kanak di Brazil dari 2000 hingga 2016.

Agensi berita Xinhua melaporkan, beberapa negeri di Brazil melaksanakan larangan merokok di kawasan awam yang tertutup mulai 2000 hingga 2012.

Pada 2011, undang-undang persekutuan memperkenalkan peraturan larangan merokok sepenuhnya di kawasan terbabit di seluruh negara dan mula berkuat kuasa 2014.

Menurut kajian diterajui Institut Kanser Kebangsaan Brazil (INCA) yang dikeluarkan pada Jumaat, mendedahkan dari 2000 hingga 2016, undang-undang itu mampu menghalang kematian 15,068 kanak-kanak di bawah umur setahun.

Perokok pasif atau perokok kedua dikenal pasti penyebab utama beberapa penyakit yang dihidapi kanak-kanak, seperti asma, bronkitis, radang paru-paru, otitis akut dan kronik dan juga sindrom kematian mengejut.

“Sebelum undang-undang itu diperkenalkan, bayi dan kanak-kanak sentiasa terdedah kepada asap rokok: di pusat membeli-belah, pasar raya, pengangkutan awam dan restoran,” kata epidemiologi INCA, Liz Almeida.

Katanya, peningkatan kesedaran turut menyumbang kepada pengurangan penggunaan tembakau, termasuk di kalangan wanita hamil.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Laraskan belanjawan untuk pusat jagaan kanak-kanak – Hannah Yeoh

PETALING JAYA 12 OGOS: Agensi kerajaan patut menyemak semula perbelanjaan mereka jika menghadapi masalah untuk menyediakan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja masing-masing seperti yang disasarkan pada tahun hadapan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Beliau berkata ada agensi kerajaan yang mendakwa mereka menghadapi kesukaran untuk menyediakan kemudahan itu kerana kekangan kewangan.

“Mereka akan selalu memberitahu kami bahawa mereka tiada peruntukan, tetapi kami memberitahu mereka untuk meneliti bajet sedia ada, bagaimana mereka boleh melakukan pelarasan bagi memastikan pusat jagaan kanak-kanak menjadi satu keutamaan.

“Jika mereka ada duit untuk menganjurkan rumah terbuka (sambutan perayaan), mereka juga boleh memikirkan untuk menyalurkan duit itu kepada pusat jagaan kanak-kanak,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Anugerah ‘TalentCorp Malaysia’s Life at Work’ 2018 di sini hari .

Beliau berkata kementerian juga sedang melihat kaedah untuk menggalakkan pendaftaran pengasuh bayi bagi menangani isu penjagaan kanak-kanak di dalam negara.

Media mendedahkan kes yang mengejutkan negara mengenai Adam Rayqal Mohd Sufi, bayi lima bulan yang ditemukan mati di dalam sebuah penyejuk beku di rumah pengasuhnya pada 3 Julai lepas.

SUMBER: BERNAMA