Categories
NASIONAL

Lapor KDN penjualan al-Quran resam Majid

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Orang Islam yang mendapati al-Quran resam Majid masih dijual di pasaran hendaklah sentiasa tampil membuat laporan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk diambil tindakan selanjutnya.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan kementerian, Mohd Nawardi Saad berkata, versi al-Quran itu tidak diluluskan KDN kerana cara pembacaan dan pencetakannya tidak sama seperti resam Uthmani yang dipakai, di negara ini.

“Cara pembacaan dan pencetakan adalah menurut sistem lama yang digunakan di Pakistan dan India dan kita dapati al-Quran jenis ini masih ada dengan meluas di negara ini,” katanya kepada BERNAMA.

Beliau berkata, hanya al-Quran al-Karim resam Uthmani dengan kelulusan KDN sahaja boleh digunakan di negara ini, yang mempunyai cop khas dalam Jawi dengan warna biru tertera perkataan ‘Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran memperakui bahawa ayat Al-Quran yang terkandung dalam teks ini adalah betul, dan KDN juga memasukkan ciri baru – kod QR serta hologram.

Katanya, tidak timbul masalah jika seseorang itu mempunyai al-Quran berkenaan untuk kegunaan sendiri, namun menjualnya kepada orang lain adalah satu kesalahan.

“Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 8 (1) (d) Akta Cetak Teks Al-Quran 1986, di mana seseorang yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM20,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata, dalam operasi baru-baru ini di Sungai Petani, Kedah sebanyak 178 naskhah al-Quran dirampas dengan modus operandi mencampurkannya dengan barang lain dan mengisytiharkannya sebagai buku agama.

Pada masa sama, katanya, beliau masih mengawasi penjual yang disyaki menjalankan perniagaan itu secara terbuka di pasaran dan dalam media sosial.

“KDN juga mengendalikan pemeriksaan yang kerap di pejabat pos, kedai dan pintu sempadan untuk menangani isu berkenaan,” katanya.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

KDN tumpu usaha jadikan Malaysia negara paling selamat di dunia

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUTRAJAYA, 22 MEI: Kerajaan Malaysia meneliti pendekatan dasar terbaik yang diamalkan negara luar bagi memastikan pengurusan keselamatan awam negara terjamin.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keperluan itu selaras menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara paling selamat diduduki.

“Kita perlu memikirkan pendekatan baru dengan mencadangkan supaya kementerian merujuk pendekatan dasar dan contoh-contoh negara yang telah mencapai tahap terbaik daripada aspek pengurusan keselamatan awam.

“Contohnya Singapura, Hong Kong dan Jepun. Walaupun negara-negara ini mempunyai faktor geografi yang berbeza dengan Malaysia, tapi pendekatan yang mereka gunakan itu boleh dijadikan contoh.

“Pastinya ada penggunaan teknologi dan sumber manusia serta cara-cara mereka uruskan yang mana jika ia bersesuaian, perkara itu boleh dilaksanakan di Malaysia.

“Ini bagi menjadikan Malaysia sebagai negara paling selamat di dunia,” katanya pada sidang media di Kementerian berkenaan, pagi ini.

Sementara itu Muhyiddin berkata, tumpuan perancangan keselamatan dalam negara turut diperluas ke kawasan perairan Sabah dan Sarawak.

Katanya, ia termasuklah kawalan berterusan operasi ESSCOM dan ESSZONE bagi memastikan kedaulatan pintu masuk perairan negara, tidak bolos.

“Mempertahankan sempadan negara daripada pencerobohan, pemerdagangan orang menjadi antara gerak kerja KDN.

“Justeri, kita akan tingkatkan kawalan keselamatan darat dan laut supaya masalah ini dapat diselesaikan untuk tempoh pentadbiran Pakatan Harapan,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

KDN akui wujud elemen judi dalam PRU

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 5 APR: Kementerian Dalam Negeri mengakui wujud sindiket perjudian yang bergerak aktif setiap kali berlangsung pilihan raya umum (PRU), di negara ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, sindiket itu menjadikan keputusan pilihan raya sebagai pertaruhan dan dipercayai membabitkan jumlah wang yang besar.

“Sindiket perjudian seperti bertaruh keputusan pilihan raya dan memang kementerian sedia maklum.

“Siapa bertaruh, siapa bertanding dan kerusi mana, yang ini baru saya dengar,” katanya pada sesi pagi persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Katanya, pada masa ini, kegiatan perjudian haram itu sudah berada dalam perhatian Polis Diraja Malaysia.

Katanya, polis turut mempunyai pasukan khas bagi membenteras aktiviti perjudian terbabit.

Categories
NASIONAL

KDN digesa jelas status Jho Low

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa menjelaskan status kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Interpool bagi menjejaki ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.

Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menerusi soalan tambahannya, pada sesi jawab lisan Dewan Rakyat, pagi ini.

Ia susulan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan polis masih belum mendapat maklumat terperinci berkenaan perkara itu walaupun sudah mengemukakan permintaan daripada Interpool.

“Kita amat yakin Interpol bertindak secara profesional dan PDRM masih belum memperoleh maklumat terperinci, namun kita yakin apa dilakukan beberapa pihak di peringkat antarabangsa, terutamanya agensi perisikan sudah dimuktamadkan.

“Kita yakin kes itu tidak lagi relevan kecuali dibangkitkan ahli politik yang tidak berpuas hati berkenaannya,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, PDRM boleh mendapatkan bantuan Interpool untuk menahan seseorang dan menyiasat sesuatu kes yang dinyatakan menerusi kerjasasama diwujudkan.

Malah, katanya, perkara itu dibangkitkan beberapa bulan lalu dengan PDRM perlu mendapatkan khidmat Interpol untuk mengenal pasti kedudukan Jho Low yang disebut dalam banyak laporan di peringkat antarabangsa.

“Persoalan saya, di manakah kedudukan PDRM dalam perkara ini?

“Apakah PDRM akan mendapat bantuan Interpol untuk mengenal pasti kedudukan Jho Low dan mendapat kerjasama menahan serta membawa balik individu berkenaan bagi tujuan penyiasatan atas skandal kewangan terbesar dalam negara, pada hari ini,” soalnya.

Categories
NASIONAL

KDN perlu jawab dakwaan ‘surat sokongan’ kelulusan pekerja asing

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu menjelaskan dakwaan wujudnya ‘surat sokongan’ bagi mempercepatkan kelulusan permohonan mendapatkan pekerja migran yang disiarkan menerusi satu dokumentari khas media antarabangsa, Al-Jazeera.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, walaupun Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa dokumentari itu tidak relevan kerana kerajaan sudah melaksanakan sistem pendaftaran pekerja migran secara dalam talian, namun beliau tidak boleh memandang ringan dakwaan itu.

PATI“Laporan Al-Jazeera tersebut menunjukkan seorang individu yang mendakwa beliau mempunyai ‘surat sokongan’ daripada KDN bertujuan untuk mempercepatkan kelulusan permohonan tertentu bagi mendapatkan pekerja migran.

“Jika ‘surat sokongan’ itu didakwa palsu, mengapa kementerian tidak menjawab soalan daripada pemberita Al-Jazeeea untuk memberikan penjelasan berkenaan keadaan sebenar serta merta?

“Saya sendiri ditemuramah sekitar Mac lalu. Jika benar sistem baru sudah dilaksanakan pada April lalu, mengapa masih berlaku kemasukan pekerja tanpa kebenaran misalnya untuk bekerja di Forrest City dan pembangunan syarikat China lain seperti didedahkan di Johor?” katanya.

Pada sidang media di Pusat Media Parlimen, beliau turut membangkitkan persoalan berkenaan keengganan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja Pembaharuan Imigresen bagi menyiasat serta memperbaharui sistem imigresen secara keseluruhan.

Categories
NASIONAL

Majikan wajib mohon pekerja asing secara ‘online’

SHAH ALAM, 6 APRIL: Semua majikan di negara ini wajib membuat permohonan mendapatkan pekerja asing secara dalam talian, berkuatkuasa 1 April lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peraturan itu terpakai bagi permohonan pekerja asing dari semua negara sumber kecuali permohonan pembantu rumah asing.

Beliau berkata, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan majikan tidak tertipu oleh ejen yang mengambil kesempatan dan membayar kos berlebihan.

“Keputusan ini adalah demi kebaikan semua supaya KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan Jabatan Imigresen tidak terus dilemparkan dengan pelbagai tuduhan,” katanya lapor BERNAMA.

Ahmad Zahid berkata, permohonan sebelum ini boleh dibuat secara manual atau melalui ejen yang mengutip bayaran perkhidmatan tidak munasabah kepada bakal pekerja.

ZAHIDPada masa sama, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri turut menyelar ejen yang mengambil kesempatan terhadap kesusahan pekerja asing.

“Yang mahu kerja di sini orang susah, bayar puluhan ribu ringgit, jual rumah, hartanah, ambil pinjaman dengan along di negara mereka.

“Bila (mereka) berlambak di sini, tiada majikan ambil mereka bekerja dan akhirnya harta dilelong, anak isteri yang tinggal susah dikejar along,” katanya.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Parti baru: Zahid perlu ‘gentleman’

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 OGOS: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi digesa supaya bersikap ‘gentleman’ untuk meluluskan permohonan pendaftaran parti baru oleh mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga harus menghormati hak mana-mana pihak untuk menubuhkan parti politik seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini adalah sebahagian hak setiap warganegara Malaysia, justeru Ahmad Zahid perlu ‘gentleman’ meluluskan parti baru pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid memberi jaminan pendaftaran parti baru akan diberi kelulusan segera jika semua syarat dipenuhi.

tian-chua-pc-pkr-01Sementara itu, ketika mengulas kesan penubuhan parti berkenaan terhadap kesepakatan parti pembangkang, Tian Chua berharap parti baru itu mampu memberi nafas baru kepada pembangkang untuk menumbangkan Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Saya harap dengan adanya parti paru ini, pembangkang kembali bersatu mengumpulkan kekuatan yang ada untuk menumbangkan Umno BN,” katanya.

Muhyiddin semalam mengesahkan akan mendaftarkan parti barunya dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS), hari ini.

-AA-

Categories
NASIONAL

Suaram: Hentikan gangguan & tekanan terhadap Zunar

SHAH ALAM 14 NOV: Kerajaan digesa agar menghentikan gangguan dan tekanan terhadap kartunis politik, Zulkifli Anwar Ulhaque atau dikenali sebagai Zunar.

Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Yap Swee Seng berkata, pihaknya menuntut agar polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegakkan hak Zunar seperti yang dijamin dalam Perlembagaan.

zunar pakatan kutip dana 01“Suaram menyeru kerajaan hentikan semua siasatan terhadap Zunar, tiga pembantunya dan tekanan terhadap pengendali laman web beliau.

“Berhenti menakutkan pencetak, penerbit, penjual dan pemilik kedai buku yang bekerjasama dengan Zunar,” katanya dipetik Sinar Harian.

Menurut Yap, Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan setiap warganegara mempunyai hak untuk kebebasan bersuara.

“Sekatan hanya perlu sekiranya sesuatu itu mengancam keselamatan negara, ketenteraman awam atau prinsip moral.

“Untuk itu ia bertentangan dengan logik dan akal untuk menyatakan bahawa kartun politik Zunar boleh dikatakan sebagai memudaratkan ketenteraman awam, moral dan keselamatan negara, sudah tentu tidak,” katanya.

Pada 6 November lalu, pembantu Zunar diambil keterangan kerana menjual buku kartun kontroversi Zunar bertajuk ‘Konspirasi Memenjarakan Anwar’ dan ‘Pirate of the Carry-BN’.

Dalam tangkapan itu, sebanyak 44 buku kartun Zunar telah dirampas oleh polis dan pembantu Zunar telah disiasat di bawah Seksyen 8 (2) Mesin Cetak, Akta Penerbitan 1984 dan Akta Hasutan 1948 serta Kanun Keseksaan.

Kelmarin, pengendali laman web yang menjual buku Zunar telah dipanggil ke balai polis Dang Wangi untuk disoal siasat dan Zunar juga telah dimaklumkan untuk disiasat bawah Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan.

EZY

Categories
NASIONAL

Galak keganasan daripada keharmonian, lebih baik Zahid berundur

SHAH ALAM, 30 JUN: Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkenaan insiden kepala lembu yang diletak di hadapan rumah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang, RSN Rayer seperti menggalakkan keganasan dan membenarkan jenayah.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil, berkata Zahid sebagai seorang menteri tidak perlu mengeluarkan kenyataan itu.

“Kenyataan Zahid menggambarkan beliau tidak melihat kejadian itu sebagai jenayah dan hanya membiarkan saja tindakan terbabit dilakukan. Zahid sebagai menteri bertanggung jawab perlu mengarah polis menjalankan siasatan segera.

ZAHID HAMIDI“Kenapa perlu keluarkan komen yang menggalakkan lagi permusuhan antara rakyat, bahkan menyentuh sensitiviti penganut agama lain,” katanya yang dipetik daripada Keadilan Daily, di sini, hari ini.

Zahid sebelum ini berkata, insiden itu sebagai ‘harga’ yang perlu dibayar Rayer berhubung kenyataan ADUN DAP itu yang menggelar beberapa pemimpin Umno sebagai ‘celaka’ pada sidang DUN bulan lalu.

Kenyataan itu dibuat Zahid susulan kejadian pihak tertentu meletakkan kepala lembu di hadapan rumah Rayer, baru-baru ini.

Zahid sebelum ini juga beberapa kali mengeluarkan kenyataan kontroversi seperti mewajarkan tindakan anggota polis menembak suspek penjenayah yang turut dibidas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

FahmiSehubungan itu, Fahmi berkata, adalah lebih baik Zahid Hamidi meletak jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri jika tidak lagi berminat memastikan keharmonian negara terjamin.

“Lebih baik Zahid meletak jawatan kerana daripada kenyataan yang dilakukan hanya mengambarkan beliau tidak lagi berminat untuk pastikan negara ini aman.

”Banyak komen yang dibuat Menteri Dalam Negeri itu seperti menggalakkan keganasan daripada memupuk keharmonian,” katanya.

Categories
NASIONAL

Beri kenyataan tidak masuk akal, Timbalan Menteri Dalam Negeri ‘jahil’ undang-undang

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 MAC: Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran menyifatkat Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi  Tuanku Jaafar sebagai ‘jahil’ undang-undang kerana tidak memahami peruntukan undang-undang berkenaan larangan masuk ke Sarawak.

Katanya, waalupun kuasa larangan itu diperuntukkan kepada Kerajaan Negeri melalui Perjanjian Malaysia 1963 tetapi ia perlu digunakan  menurut peruntukan Akta Imigresen 1959 palang 63.

“Ini menunjukkan beliau jahil undang-undang. Walaupun kuasa itu diberi tetapi ia perlu digunakan menurut Peruntukan Akta Imigresen 1959 palang 63.

surendran“Menurut Seksyen 67 Akta Imigresen, seseorang daripada Semenanjung tidak boleh dilarang atas sebab politik atau jika mereka hendak pergi (masuk Sarawak) untuk menjalankan aktiviti politik. Seksyen 67 jelas membawa maksud Kerajaan Sarawak dengan jelas melanggar undang-undang,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Surendran berkata, Wan Junaidi harus membaca undang-undang dan meminta nasihat peruntukan Akta Imigresen sebelum mengeluarkan kenyataan akhbar yang tidak masuk akal dan memalukan kerajaan.

Memetik laporan BERNAMA, Wan Junaidi dalam kenyataannya menyatakan Kerajaan Sarawak tidak melanggar sebarang peruntukan undang-undang ketika menghalang tiga pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) memasuki negeri itu.

wan-junaidiHal itu kerana tindakan berkenaan selaras dengan kuasa yang diperuntukkan kepada Kerajaan Negeri menerusi Perjanjian Malaysia 1963 dan Kerajaan Negeri diberi hak mengurus hal ehwal imigresen sendiri.

Pada 25 Mac lalu, tiga pemimpin kanan PKR iaitu Setiausaha Agungnya Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Pengarah Strategi Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dihalang masuk ke Sarawak.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Jenayah rogol : Wan Junaidi hina masyarakat Cina, India

Oleh : G MANIVANAN

Kenyataan angkuh dan dangkal yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkaitan jenayah rogol kanak-kanak jelas menunjukkan beliau bukan sahaja menghina masyarakat Cina dan India tapi tidak sensitif.

Beliau menyatakan mangsa rogol dan keluarga dari kaum Cina dan India hanya menerima jenayah yang berlaku lantas menjadi penyebab mengapa jumlah kes yang dilaporkan adalah rendah.

Kenyataan tidak berfakta dan berbaur perkauman sebegini perlu segera dihentikan. Jenayah rogol terhadap kanak-kanak adalah satu penindasan nyata yang berlaku dan tidak ada kena mengena dengan mana-mana sifat perkauman. Tidak ada ibu bapa yang akan menerima hakikat anak mereka dirogol dan kemudian mendiamkan diri tanpa tindakan lanjut undang-undang.

Fungsi Kementerian Dalam Negeri yang sepatutnya menjaga keharmonian dan keselamatan dalam negara tercemar apabila ditunjangi Timbalan Menteri seperti beliau. Ini bukanlah pemikiran dan jawapan yang waras maka wajarlah dipersoalkan oleh semua rakyat Malaysia. Tuntas, kita merasa gusar dan bimbang dengan kecenderungan perkauman beliau yang menebal disamping bersikap hentam keromo dalam melaksanakan tugas.

Datuk Wan Junaidi dilihat tidak bersedia untuk menggalas tanggungjawab yang berat sebegini. Beliau membuktikan ketidak-mampuan untuk menjadi pemimpin nasional yang bermaruah. Kenyataan beliau bukan sahaja menghina kaum-kaum lain di Malaysia, tetapi amat malang apabila turut memalukan umat Islam yang sentiasa cintakan kedamaian.

Justeru, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak haruslah segera menunjukkan pintu keluar kepada Wan Junaidi dari kabinet Malaysia. Keadaan negara yang mudah terdedah kepada religious and racial tenses, akan bertambah runcing dengan tindakan dan kenyataan perkauman dan tidak sensitif dari seorang Timbalan Menteri.

Jika Najib Tun Razak serius untuk melaksanakan Transformasi 1Malaysia, Wan Junaidi harus diarahkan meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia. Beliau juga perlu dipecat dari kedudukan dan jawatan Timbalan Menteri yang membuktikan beliau sombong, tidak upaya dan berbahaya kepada masa depan Malaysia.

SALAM REFORMASI

 # G Manivanan adalah Ahli Parlimen Kapar

Categories
NASIONAL

Polis ditugas intip harga barang jatuhkan imej

SHAH ALAM 27 JAN: Tindakan terbaru Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Polis mengintip harga barang jelas tidak ada rasional dan menjatuhkan imej mereka.

Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, berkata tindakan itu jelas tersasar jauh daripada polis yang termaktub dalam Akta Polis 1967 Seksyen 3 (3).

POLIS bantuanAkta itu menyatakan polis perlu memelihara undang-undang dan ketenteraman, mengekal keamanan, mencegah, mengesan jenayah, menangkap, mendakwa pesalah dan mengumpul risikan keselamatan.

“Tahun lalu, Ahmad Zahid mengarahkan polis menjadi ‘pak guard’ menjaga kertas dan peti undi pemilihan Majlis Tertinggi UMNO. Kini anggota polis dikerah sebagai pengintip serta pemantau harga barang di pasaran.

“Imej, maruah dan profesionalisme polis jelas semakin tergugat angkara tindakan menteri yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya dalam kenyataan media.

Kata Steven, Kerajaan Umno-BN gagal mentadbir ekonomi dengan baik menyebabkan hutang negara melampau tinggi, pendapatan terbantut, kos sara hidup meningkat dan budaya rasuah pula tidak dapat ditangani.

“Kini, mereka seakan-akan menggunakan taktik ekonomi perang rejim Nazi untuk mengawal harga barang,” katanya.

Beliau berkata, tindakan sedemikian jelas bukannya strategi ekonomi bijak dan adil oleh kerajaan yang kononnya mendahulukan rakyat.

“Langkah kerajaan hanya memberi tekanan perniagaan terutama peniaga kecil manakala syarikat besar yang memonopoli perkhidmatan serta barangan terus bebas mengaut keuntungan,” katanya.

EZY