Categories
NASIONAL

JAKIM sedia bantu KKM perluas perkhidmatan kesihatan

PUTRAJAYA, 20 FEB: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersedia menjadi pemudah cara kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memperluaskan program perkhidmatan kesihatan kepada sekolah agama berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, program itu memberi manfaat kepada 83,252 murid di 92 Sekolah Agama Negeri dan 135 Sekolah Agama Rakyat di seluruh negara.

“Mereka bakal menerima perkhidmatan pendidikan kesihatan, imunisasi, pemeriksaan kesihatan, rawatan dan rujukan sekiranya diperlukan mengikut tahap umur persekolahan seperti yang diterima murid di sekolah yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan.

“Ini adalah suatu perkhidmatan yang cukup berharga bagi murid-murid sekolah agama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, KKM membentangkan cadangan pelaksanaan program itu pada Persidangan Ketua-Ketua Jabatan/ Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia (PKJ) kali ke-108 yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, semalam.

Mohamad Nordin berkata, antara objektif program itu adalah untuk memastikan sekolah berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri diklasifikasikan sebagai sekolah berjadual.

Ia bagi membolehkan sekolah tersebut mendapat perkhidmatan kesihatan sekolah tanpa dikenakan caj fi.

Katanya, buat masa ini belum ada badan khusus yang menyelaras dan mengurus penyampaian perkhidmatan kesihatan untuk murid di sekolah agama sekali gus menimbulkan kesukaran kepada KKM untuk mengenal pasti sekolah agama yang berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Mohamad Nordin berkata, sebuah Jawatankuasa Bersama Kesihatan di peringkat kebangsaan dan negeri perlu ditubuhkan bagi membincangkan dengan teliti peranan pelbagai pihak yang terlibat.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Skim PeKa B40 masih dalam fasa projek perintis

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Kementerian Kesihatan memaklumkan Skim Peduli Kesihatan (PeKa B40) masih dalam fasa projek perintis dan belum lagi dilancarkan sepenuhnya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pelancaran diadakan pada 28 Januari lalu adalah sesi pelancaran media yang bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap skim PeKa B40.

“Kementerian Kesihatan buat masa ini mahu mengkaji penerimaan rakyat serta pemegang taruh lain terhadap skim ini.

“Pembabitan dan sokongan setiap pemegang taruh adalah amat penting bagi memastikan kejayaan skim PeKa B40 iaitu satu inisiatif memberi fokus kepada jalinan kerjasama awam dan swasta melalui pembiayaan daripada dana kerajaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini, lapor BERNAMA.

PeKa B40 yang dibiayai sepenuhnya kerajaan dengan peruntukan permulaan RM100 juta dijangka mampu memanfaatkan 800,000 penerima.

Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) serta pasangannya berumur 50 tahun ke atas, layak menyertai skim itu secara automatik dan tiada pendaftaran diperlukan.

Dr Dzulkefly berkata, bagi fasa projek perintis skim PeKa B40, pemegang taruh swasta yang akan terbabit dalam proses pemberian manfaat saringan kesihatan kepada pesakit adalah pemilik klinik perubatan am swasta dan syarikat makmal perubatan swasta.

“Selari dengan matlamat saya untuk memperkasakan perkhidmatan kesihatan primier di negara ini, skim PeKa B40 secara langsung akan mempertingkatkan kerjasama antara pengamal perubatan di klinik perubatan am swasta dengan pengamal perubatan di fasiliti perubatan kerajaan.

“Skim PeKa B40 diuruskan sendiri oleh Kementerian Kesihatan melalui ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (PHCorp), sebuah syarikat 100 peratus milik kerajaan dan telah ditubuhkan sebagai syarikat yang tidak berasaskan keuntungan di bawah Kementerian Kesihatan.

“PHCorp bukan sebuah Managed Care Organisation (MCO) atau Third Party Administrator (TPA). Tujuan penubuhannya bagi meluaskan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti dengan mengoptimakan penggunaan ekosistem pembekal kesihatan awam dan swasta sedia ada,” katanya.

Katanya, mulai Februari ini kementerian akan mengadakan beberapa siri pertemuan bersama pihak pemegang taruh yang berkenaan untuk membincangkan pembabitan mereka dalam skim itu.

Beliau berkata, skim PeKa B40 akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kejayaan setiap fasa pelaksanaan serta membina asas skim PeKa B40 yang kukuh sebelum ia diperkembangkan kelak.

“Pelaksanaan skim PeKa B40 adalah komitmen kerajaan Persekutuan untuk memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang diperlukan, mengurangkan beban kos sara hidup serta meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Categories
NASIONAL

Saman RM500 buat perokok langgar arahan pertama

CAMERON HIGHLANDS, 4 JAN: Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan saman RM500 terhadap pelanggan melakukan kesalahan pertama dengan merokok di kawasan larangan merokok di premis makanan.

Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, saman itu dikeluarkan terhadap perokok masih berdegil selepas pendekatan memberi amaran secara lisan terlebih dahulu kepada golongan berkenaan berakhir.

“Bagi kesalahan kali pertama, perokok akan dikenakan saman oleh pegawai penguat kuasa Pejabat Kesihatan Daerah di kawasan terbabit dan perlu membayar saman dalam tempoh dua minggu.

“Sekiranya ia tidak dijelaskan dalam tempoh ditetapkan atau perokok didapati mengulangi kesalahan sama, mereka akan dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan kerja di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di sini, hari ini.

Pada 6 November tahun lalu, Dr Lee berkata, pihaknya menggunakan pendekatan memberi amaran terlebih dahulu kepada perokok dalam tempoh enam bulan selepas larangan merokok di semua premis makanan dikuatkuasakan sejak 1 Januari lalu.

Sementara itu, Dr Lee berkata, pihaknya kesal dengan insiden seorang pelayan restoran ditampar seorang pelanggan hanya disebabkan menegur sekumpulan lelaki merokok di dalam sebuah restoran di Shah Alam, Selangor, Selasa lalu.

Beliau menyifatkan tindakan pelanggan berkenaan yang menampar pelayan restoran berusia 25 tahun itu sebagai tidak bertamadun hanya kerana ditegur supaya tidak merokok di kawasan larangan.

“Kami serahkan (kes itu) kepada pihak polis untuk melakukan siasatan dan tindakan lanjut terhadap individu terbabit kerana perkara seperti itu tidak seharusnya berlaku,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Lee berkata, air paip yang telah diproses menerusi loji rawatan air di Cameron Highlands selamat digunakan dan Bahagian Kejuruteraan Kementerian Kesihatan melakukan pemeriksaan secara berkala di setiap loji rawatan air di sini dan ia mematuhi standard kesihatan ditetapkan.

“Ada penduduk di sini yang mengadu air di sini keruh, namun air itu keruh disebabkan rangkaian pengedaran saluran paip air yang tidak dijamin kebersihannya dan bukan dari loji rawatan air.

“Pensampelan rutin unit kawalan kualiti air minum mendapati tiada pelanggaran racun perosak dicatatkan di rangkaian air awam selama lima tahun di Cameron Highlands sejak 2014,” katanya dan menambah air paip perlu dimasak terlebih dahulu sebelum selamat untuk diminum.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kementerian Kesihatan kaji Skim Peduli Sihat Nasional

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 6 JUN: Mesyuarat kabinet yang berlangsung hari ini memutuskan beberapa perkara bagi melancarkan lagi urusan pentadbiran negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, antara keputusan penting dibuat pada mesyuarat kali ini adalah Kementerian Kesihatan akan mengkaji skim “peduli sihat nasional” dan insurans Takaful bagi golongan miskin.

Selain itu, Mahathir juga mengumumkan bahawa Akta Antiberita Tidak Benar dan Akta GST dimansuhkan serta masa depan Majlis Penasihat Kerajan yang belum dimuktamadkan.

Perkara lain yang dibangkitkan dalam mesyuarat tadi adalah peletakkan jawatan Muhammad Ibrahim sebagai Gabenor Bank Negara (BNM).

Isu lain dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet:

Peguam Negara dan Kementerian Luar Negeri akan memulakan tindakan susulan ke atas MH17.

– PM akan melengkapkan kabinetnya menjelang akhir minggu ini

– Kerajaan mengkaji semula Jabatan Kemajuan Islam (Jakim).

– Skim kawalan harga musim perayaan akan dilaksanakan mulai 8 hingga 22 Jun

– Kerajaan akan kaji semula pautan dagangan antara Bursa Malaysia dan Singapura

– Bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Khas Isu-isu Tadbir Urus Perolehan dan Kewangan

– Jawatankuasa meliputi pakar bukan kerajaan akan diwujud untuk tambah baik kurikulum pendidikan dari peringkat taska sehingga universiti

– Kerajaan berpendapat adalah baik jika tidak ada kapal perang ditempatkan di Selat Melaka, Laut China Selatan

– Syarat pinjaman bank yang ketat akan dikaji semula untuk membantu usahawan kecil

Categories
NASIONAL

Pembatalan subsidi rawatan, menteri perlu beri penjelasan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 FEB: Kementerian Kesihatan diminta memberi perjelasan berhubung pembatalan subsidi untuk caj rawatan dialisis di hospital awam kepada orang ramai khususnya Orang Kelainan Upaya (OKU).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Balakong, Ng Tien Chee, berkata menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam, harus memberi penjelasan berhubung perkara itu bagi mengelak kekeliruan awam.

Ini kerana, katanya, kementerian menerima kenaikan peruntukan 9.5 peratus atau RM1.7 bilion dari RM26.58 bilion ke RM27 bilion tahun ini.

“Ini berikutan pekeliling daripada sebuah hospital memaklumkan tatacara perlaksanaan ketetapan kadar caj dialisis dan unit nefrologi telah dipinda dengan pembayaran dikenakan bagi semua kategori pesakit sama ada pesakit dalam atau luar kecuali pegawai perkhidmatan awam masih berkhidmat.

“Sebelum ini, penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pemegang kad OKU adalah diberi pengecualian bayaran bagi kategori berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat, antara lain mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.5 bilion bagi bekalan ubat-ubatan dan RM1.6 bilion untuk barangan “consumable” serta sokongan perubatan.

Bagaimanapun, katanya, dengan kenyataan pekeliling itu ia amat bercanggah.

“Kerajaan sepatutnya membantu meringankan beban rakyat tetapi kini apa yang berlaku adakah sebaliknya.

“Mana RM42 bilion dikutip melalui Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)?

“Subramaniam didesak memandang serius perkara ini dan memperbetulkan keadaan dengan serta merta agar rakyat tidak menderita,” katanya.

Tien Chee berkata demikian mengenai aduan seorang pesakit OKU 29 tahun tidak diberikan pengecualian caj rawatan ‘plasmapheresis + variants’ bernilai RM1,500 setiap sesi di sebuah hospital universiti mulai 1 Februari lalu.

Katanya, pesakit terbabit perlu menjalani sekali rawatan seminggu dan ia adalah beban sangat berat.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Wabak jangkitan MERS-CoV tamat

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 23 JAN: Wabak jangkitan Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV) membabitkan jemaah berusia 55 tahun dari Selangor, yang dilaporkan pada 1 Januari lalu, diisytiharkan tamat oleh Kementerian Kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata, ia ekoran tiada kes baharu jangkitan MERS-CoV dikesan dari seluruh negara dan tiada kejadian kluster jangkitan MERS-CoV dilaporkan dalam kalangan kontak rapat jemaah terbabit.

“Pemantauan tempoh jangkitan MERS-CoV yang dijalankan kementerian selama dua tempoh inkubasi penyakit, iaitu 28 hari dari hari pertama kes (24 Disember 2017) menunjukkan gejala dan tempoh pemantauan wabak berakhir, pada 20 Januari lalu.

“Ia membabitkan 75 kontak kes yang berjaya dikesan iaitu ahli keluarga serumah, saudara-mara, sahabat handai dan ahli kumpulan pakej umrah disertai jemaah.

“Pengesanan juga membabitkan petugas kesihatan mengendalikan kes di klinik swasta dan hospital kerajaan termasuk penumpang yang duduk berhampiran jemaah berkenaan bagi perjalanan pulang ke Malaysia, pada 23 Disember 2017,” katanya.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 59 orang kontak rapat diletakkan di bawah pengawasan di rumah selama 14 hari bermula dari hari terakhir kontak bertemu dengan kes.

“Semua sampel diambil dalam kalangan kontak rapat kes diuji dan dilaporkan negatif jangkitan MERS-CoV, menjadikan hanya satu kes MERS-CoV dilaporkan di negara kita.

“Malaysia masih berisiko mendapat jangkitan penyakit MERS-CoV dan langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi jangkitan penyakit itu perlu dijalankan secara berterusan.

“Selain itu, agensi pelancongan khususnya yang menguruskan jemaah umrah dan haji diminta memaklumkan jangkitan MERS-CoV kepada jemaah mereka secara berterusan, terutama ketika berada di Tanah Suci,” katanya.

Katanya, agensi pelancongan diminta merujuk pekeliling terkini Kementerian Pelancongan membabitkan Pekeliling Pesuruhjaya Pelancongan Bil. 1/2018 – Larangan Menganjurkan Lawatan ke Ladang Ternakan Bagi mencegah Jangkitan Penyakit MERS-CoV dan nasihat kesihatan berkaitan MERS-CoV.

Noor Hisham berkata, belum ada penemuan vaksin khusus untuk memberi perlindungan kepada jangkitan MERS-CoV selain tiada ubat khusus merawat penyakit itu.

“Oleh itu, jemaah amat digalakkan mengambil vaksin influenza bermusim dan pneumococcal bagi membantu merangsang imuniti, khususnya membabitkan sistem pernafasan mereka.

“Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi kejadian penyakit MERS-CoV dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Categories
NASIONAL

Najib digesa kembalikan peruntukan kesihatan

SHAH ALAM, 27 OKT: Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak digesa mengembalikan semula dan meningkatkan peruntukan kepada Kementerian Kesihatan supaya kesihatan rakyat terjamin dalam Belanjawan 2018 yang akan dibentangkan hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail berkata, Kerajaan sepatutnya menggunakan hasil kutipan cukai untuk menampung kos perubatan di negara ini, bukannya disalahgunakan dengan membina projek mega yang tidak memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat.

“Semua permasalahan ini akibat pemotongan peruntukan kesihatan oleh kerajaan di mana tahun lalu lebih kurang RM1 bilion telah dipotong.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi kesihatan merupakan hak kemanusiaan rakyat di bawah tanggungjawab kerajaan,”katanya dalam kenyataan.

Merujuk kepada beberapa laporan media, Dr Azman berkata terdapat beberapa hospital kerajaan menggunakan semula alat perubatan pakai-buang.

Katanya, ia termasuk peralatan pembedahan saraf kardiologi, pembedahan am seperti alat kateter jantung yang digunakan dalam saluran darah disebabkan kekurangan dana.

“Meskipun telah ada penjelasan dari Ketua Pengarah Kesihatan bahawa alat yang digunakan kembali itu di sterilkan sebelum digunakan kembali, praktik ini masih lagi bukan praktik yang paling selamat dari sudut pencegahan penyakit berjangkit.

“Ini sesuatu yang amat serius dan membimbangkan kerana ia melibatkan risiko nyawa kepada pesakit. Tugas doktor adalah merawat dan menyelamatkan pesakit tetapi bagaimana ingin dilakukan semua itu tanpa peralatan yang mencukupi?” katanya.

Dr Azman menambah, kebanyakan hospital kerajaan juga berdepan masalah membekalkan ubat kepada pesakit sehingga memaksa mereka membeli ubat di luar dan perkara tersebut diakui Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

“Bayangkan pesakit yang datang daripada keluarga susah dan tidak mampu membeli ubatan sendiri. Bagaimana?,” soalnya.

 

Categories
NASIONAL

KKM: Kes denggi turun 15%

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 2 SEPT: Kes denggi mencatatkan penurunan pada minggu ke-34 dengan jumlah 1,420 kes iaitu penurunan sebanyak 252 kes (15.1 peratus) berbanding 1,672 kes pada minggu sebelumnnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, secara keseluruhannya, jumlah kumulatif kes Denggi yang direkodkan sehingga 26 Ogos lalu sebanyak 64,512 kes berbanding 73,839 kes bagi tempoh sama pada 2016 iaitu penurunan sebanyak 12.6 peratus.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 147 kematian dilaporkan dalam tempoh minggu pertama hingga ke minggu 34 dengan penuruan sebanyak 19 kematian berbanding tahun lalu.
“Namun terdapat lima negeri yang yang menunjukkan peningkatan kes iaitu Sarawak lapan kes, Kuala Lumpur dan Putrajaya tujuh kes, Negeri Sembilan empat kes, Perlis dua kes, Sabah kes kes dan Terengganu satu kes.

DENGGI-GRAFIK“566 lokaliti wabak demam denggi masih aktif dilaporkan di 13 negeri di mana daripada jumlah tersebut terdapat 91 lokaliti hotspot semasa yang melibatkan tujuh buah negeri,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, KKM turut mengesahkan dua kes Chikungunya dilaporkan dari daerah Kuala Muda dan Sik.

Hisham berkata, jumlah kes Chikungunya sejak Januari hingga 26 Ogos adalah sebanyak 251 kes iaitu 188 kes dari Kedah, 33 kes dari Selangor, 24 kes dari Johor, empat dari Kelantan dan dua dari Perak.

Selain itu, tiada kes Zika baru dilaporkan tahun ini dengan keputusan ujian bagi 1,234 sampel darah dan 29 sampel air kencing di kalangan pesakit suspek zika yang dijalankan oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (MRI).

=EZY=

Categories
NASIONAL

Kes denggi meningkat sehingga hujung tahun

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 29 JUN: Kes denggi di seluruh negara terus menunjukkan peningkatan daripada 1,400 kes seminggu pada April lalu kepada purata 2,200 kes untuk tempoh sama bulan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya menjangkakan tren peningkatan kes denggi akan berterusan sehingga hujung tahun ini.

hishamabdullahKatanya, andaian itu berdasarkan kepada perubahan serotype denggi (serotype shift) yang berlaku pada April lalu dan mengikut cyclical pattern, tahun lalu.

“Jumlah kumulatif kes denggi dari Januari hingga 20 Jun lalu adalah 53,823 berbanding 40,208 dilaporkan bagi sama tahun 2014 yang menunjukkan peningkatan 34 peratus (13,615 kes).

“Manakala, terdapat 158 kematian dilaporkan berbanding 78 kematian bagi tempoh sama tahun 2014 iaitu meningkat sebanyak 80 kematian (103%),” katanya.

-NFN-

Lima kolam takungan patuhi piawai Kementerian Kesihatan

http://tv.selangorku.com

Categories
SELANGOR

Laporan Audit persoal kementerian belanja RM320,000 untuk FB, Twitter

laporan 1KUALA LUMPUR 1 OKT: Ketua Audit Negara mempersoal bayaran RM320,000 oleh kementerian kesihatan kepada dua syarikat untuk dua kempen dalam talian menerusi Facebook dan Twitter.

Perbelanjaan itu yang dibuat sewaktu kementerian itu diterajui Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Mengikut Malaysia Kini, sebahagiannya ialah bayaran RM199,068 kepada Eficaz Media Sdn Bhd untuk laman Facebook kempen ‘Tak Nak Merokok’.

laporan 2Laman Facebook kedua dan akaun Twitter yang dibangunkan Astonish View Sdn Bhd untuk ‘Kempen intervensi penyakit tidak berjangkit’ pula menelan belanja RM120,500.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 itu mengulas skop dua tugas yang hampir sama itu tetapi menyaksikan Astonish View dibayar RM120,500 untuk membangunkan akaun Facebook dan Twitter itu.

Sementara, Eficaz Media pula dibayar jumlah yang lebih tinggi hanya untuk membangunkan satu laman Facebook.

Laporan itu maklum bahawa Eficaz Media dilantik untuk tempoh Julai sehingga Disember 2011 dan bayaran penuh dibuat berdasarkan jumlah ‘Likes’ yang diperolehi laman itu, yang ditetapkan sebanyak 100,000.

– Malaysia Kini

Categories
NASIONAL

SPR patut belajar cara guna dakwat kekal dari Indonesia

spr on black 01

SUBANG JAYA 20 SEPT: Seorang pakar kimia mendedahkan dakwat kekal yang digunakan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) hanya mengandungi satu peratus argentum nitrat (silver nitrate).

Steven Ng berkata, dakwat kekal yang digunakan dalam pilihan raya lazimnya mengandungi antara 10 hingga 18 peratus argentum nitrat larut bagi meninggalkan tanda kehitaman dan bertahan beberapa hari.

“Pelbagai isu ditimbulkan orang ramai berhubung penggunaan dakwat kekal termasuk dakwaan mengatakan ia kekal dan ada tidak kekal.

“Tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri mengesahkan dakwat itu bersifat tidak kekal,” katanya ketika memberi keterangan sebagai saksi Tribunal Rakyat di Hotel Empire, hari ini.

Menolak dakwaan Kementerian Kesihatan kononnya argentum nitrat menyebabkan kanser sebagai tidak sahih, Stevan berkata, dakwat kekal yang dipalit di jari mengambil masa kira-kira 30 hingga 40 saat untuk benar-benar kering.

“SPR dakwa ia kering di jari pengundi dalam kurang dua saat sedangkan dakwat kekal perlu sekurang-kurangnya lebih 30 saat untuk lekat pada jari,” katanya.

Sementara itu, panel Tribunal Rakyat PRU-13, Profesor Ramlan Surbakti mencadangkan SPR mempelajari pengalaman Indonesia dalam penggunaan dakwat kekal.

Ia ekoran penggunaan dakwat kekal pada PRU 13 menimbulkan kontroversi kerana mudah tanggal.

“Saya sudah dua kali mengunjungi Malaysia untuk berkongsi pengalaman bersama SPR tentang kemahiran Indonesia menggunakan dakwat kekal.

“Saya tertanya-tanya mengapa SPR tidak mahu bertanya kepada negara lain cara penggunaan sebenar dakwat kekal,” katanya.