Categories
AGENSI SELANGOR

Lebih 70 peratus daripada 68 lokaliti terjejas banjir di Klang dibersihkan

SHAH ALAM, 6 JAN: Sebanyak 73.5 peratus daripada 68 lokaliti terjejas banjir di Klang berjaya dibersihkan sepenuhnya Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Perbandaran Klang, setakat semalam.

Pegawai Daerah Klang Mohd Faizal Abd Raji berkata baki 18 kawasan iaitu 15 berada pada tahap 90 peratus manakala tiga lagi 20 peratus.

“Bilik Gerakan Bencana Daerah Klang sentiasa menjalankan pemantauan dan penyelarasan harian bagi memastikan proses pemulihan pascabanjir di daerah ini dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis agihan Bantuan Selangor Bangkit kepada mangsa banjir di Dewan MPKK Kampung Lombong di sini hari ini.

Turut hadir, EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal merangkap Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Mangsa banjir mendaftar kehadiran sebelum menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Lombong, Seksyen 29, Shah Alam pada 6 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Mohd Faizal yang juga pengerusi Jawatankuasa Bencana Klang menjelaskan Pejabat Kesihatan Klang turut menjalankan pemeriksaan dan penilaian terhadap risiko penyakit pascabanjir.

“Pemeriksaan ini dibuat bagi mengenal pasti risiko penyakit seperti denggi, leptospirosis, meliodosis, penyakit bawaan air dan Covid-19 supaya ia dapat dicegah serta dikawal pada peringkat awal,” katanya.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember tahun lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB arah segerakan kerja bersihkan sisa banjir

SHAH ALAM, 25 DIS: Dato’ Menteri Besar mengarahkan agar kerja pembersihan di beberapa kawasan sekitar Klang dan Shah Alam terjejas banjir dipercepatkan.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan proses pembersihan pascabanjir di dua lokasi terbabit mencapai tahap 50 peratus setakat ini.

“Saya arahkan supaya proses ini disegerakan bagi kawasan yang masih belum mencapai tahap memuaskan.

“Kita telah berhubung dengan beberapa pihak untuk tambah jumlah lori. Saya juga memberi arahan agar proses kerjasama dengan sukarelawan dan NGO (badan bukan kerajaan) dipermudahkan,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Beliau menambah Kerajaan Negeri mahu menyelaras aspek berkenaan supaya koordinasi lebih tersusun bagi mengelak pembaziran.

“Koordinasi ini juga penting bagi tujuan keselamatan sukarelawan,” menurutnya.

Terdahulu, Amirudin mempengerusikan mesyuarat penyelarasan pascabanjir di Klang.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180 milimeter mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jumlah mangsa banjir kilat di Klang lebih 1,000 pagi ini

SHAH ALAM, 18 DIS: Jumlah mangsa akibat banjir kilat beberapa kawasan di Klang meningkat kepada 1,011 orang sehingga jam 7 pagi ini.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata semua mangsa ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Gong, Masjid As-Islah dan Masjid Al-Ubudiah, lapor Harian Metro.

“SK Telok Gong merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 681 mangsa, setakat ini. Kawasan itu paling teruk dilanda banjir kilat.

“256 mangsa ditempatkan di PPS Masjid As-Islah dan 74 lagi di Masjid Al-Ubudiah. Operasi masih dijalankan ketika ini,” kata Norazam Khamis ketika dihubungi.

Semalam, sebanyak 20 kawasan di Klang dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan dengan kawasan Telok Gong antara yang paling terkesan.

Norazam berkata, kawasan lain yang terjejas adalah Pulau Indah, Pandamaran, Bandar Botanik, Telok Gadong, Bandar Sultan Suleiman dan Bukit Tinggi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Keadaan di Klang terkawal, hati-hati lalui jalan dilimpahi air pasang

SHAH ALAM, 6 NOV: Fenomena air pasang besar dengan ketinggian maksimum 5.6 meter awal pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan pesisir pantai di Klang dilimpahi air.

Ketua Zon Bomba Klang Hussin Ab Rahman berkata pemantauan dilakukan di beberapa kawasan termasuk Jeti Tok Muda; Pengkalan Sayang DSayang, Jalan Othman Baru; Jalan Pengkalan Nelayan, Rantau Panjang; Jeti Pulau Ketam dan Jalan Pandamaran Jaya.

“Sejak 6.30 pagi tadi keadaan di semua tempat yang dipantau terkawal, seperti di Pandamaran Jaya air pasang naik paling maksimum 5.6 meter, air melepasi jalan namun keadaan masih terkawal, rumah penduduk berdekatan masih selamat diduduki.

“Setakat hari ini tiada lagi laporan penduduk terkesan teruk akibat fenomena ini, cuma ada laman rumah di Kapar dan Rantau Panjang digenangi air, tapi itu keadaan biasa setiap kali air pasang,” katanya.

Pada masa sama beliau mengingatkan pengguna jalan raya berhati-hati ketika melalui kawasan yang dinaiki air selain memperlahankan kenderaan.

“Penduduk yang tinggal berhampiran pantai, diminta sentiasa berhati-hati dan peka dengan keadaan semasa.

“Sentiasa pantau anak-anak, keluarga serta patuh arahan pihak berkuasa supaya berpindah sekiranya berlaku kenaikan air yang mendadak,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Fenomena air pasang besar: 11 kawasan berisiko banjir di Klang

KLANG, 2 NOV: Sebelas kawasan sekitar daerah ini berisiko dilanda banjir susulan fenomena air pasang besar dan monsun timur laut dijangka bermula 4 hingga 7 November.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JBPD) Klang memaklumkan kawasan terbabit di Kampung Tok Muda; Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Pandamaran dan Taman Selat Damai, Pelabuhan Klang.

Kampung Sungai Serdang; Ban Sementa, Ban Sungai Keramat; Kampung Perepat; Pelabuhan Utara; Telok Gong dan Pulau Ketam.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang (JPBD) Mohd Shahrizal Mohd Salleh bercakap kepada media selepas meninjau pintu air Pandamaran 12, Klang pada 2 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Menurut Mohd Shahrizal Mohd Salleh penduduk di kawasan terbabit diminta berhati-hati dan bersedia untuk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

“JBPD Klang turut mengaktifkan pasukan tinjauan di lokasi berisiko diketuai pasukan bomba sepanjang tempoh fenomena air pasang besar,” katanya selepas melawat pintu air Pandamaran 12 di sini, hari ini.

Mohd Shahrizal berkata mengikut ramalan pada 4 November fenomena berkenaan dijangka berlaku jam 5.21 pagi manakala 6.02 pagi pada keesokannya, 6.40 pagi pada 6 November dan 7.18 pagi pada 7 November.

“Paras air dijangka boleh mencecah sehingga 5.6 meter sepanjang tempoh itu,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis nafi laporan portal dakwa Klang bandar tidak selamat

SHAH ALAM, 4 OKT: Polis Selangor menafikan dakwaan sebuah laman sesawang yang menyenaraikan Klang sebagai bandar paling tidak selamat di Asia Tenggara.

Ketua Polis negeri Dato’ Arjunaidi Mohamed menyifatkan laporan portal Numbeo mengelirukan dan tidak benar kerana kesahihan indeks jenayah serta keselamatan disandarkannya tidak dapat disahihkan.

Selain itu, tegasnya, kajian secara kualitatif dan kuantitatif serta bilangan responden juga tidak mewakili keseluruhan masyarakat daerah itu.

Jelasnya, mengikut statistik 1 Januari sehingga 30 September lalu, jenayah harta benda di bawah nilai ambang iaitu 195.44 peratus atau 13 peratus manakala kekerasan melebihi nilai ambang, 31.76 kes atau enam peratus.

“Secara keseluruhan, Klang berada di bawah nilai ambang iaitu sebanyak 163.68 kes atau bersamaan lapan peratus.

“Orang ramai dinasihatkan tidak gusar atau bimbang laporan dikeluarkan laman sesawang itu yang tidak menggambarkan statistik dan fakta sebenar jenayah di Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir kilat, peniaga terpaksa teruskan operasi elak tanggung rugi

KLANG, 27 SEPT: Seorang pengusaha gerai makanan terpaksa meneruskan operasi perniagaan seperti biasa biarpun tempat niaganya dinaiki air akibat kejadian banjir kilat.

Nonarita Mohamed, 39, berkata keputusan itu dibuat bagi mengelak kerugian kerana persiapan sudah dilakukan selain membeli keperluan berniaga.

Nonarita Mohamed, 39

“Saya hanya berserah kepada Allah sahaja kerana berniaga dalam keadaan seperti ini dan pekerja juga terpaksa bekerja walaupun kedai dinaiki air.

“Namun saya risau keadaan banjir semakin buruk jika hujan berterusan dan mungkin memasuki rumah. Saya berharap pihak bertanggungjawab melihat semula sistem perparitan,” katanya kepada SelangorKini.

Pekerja kedai makan Ramlah Nawi, 37, berkata beliau menyedari kejadian banjir pada jam 3 pagi dan ketika itu hujan amat lebat.

“Apabila tersedar saya melihat air sudah mula naik di bahagian hadapan rumah dan kasut semua ditenggelami air.

“Namun saya terpaksa meninggalkan rumah sementara waktu kerana majikan hendak membawa ke Petaling Jaya untuk mengambil vaksin,” katanya.

Pekerja bengkel motosikal mengemas bengkel yang di penuhi air banjir ketika tinjauan SelangorKini di Meru, Klang pada 27 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pemilik bengkel motosikal Mohd Syafiq Sakima, 31, memaklumkan beliau sudah menjangka bengkelnya dinaiki air kerana hujan lebat lebih dua jam tanpa henti.

“Saya datang ke bengkel pada jam 8 pagi dan melihat kedai dinaiki air. Buat masa ini, bengkel mungkin tutup untuk dua hari kerana kerja membersih perlu dijalankan sebelum beroperasi semula.

“Dianggarkan kerugian dialami RM3,000 atau mungkin lebih kerana perlu membuat menilai kerosakan yang dialami,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tampung permintaan vaksin, PPV sederhana dicadang dibuka di Klang

KLANG, 27 SEPT: Sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) bersaiz sederhana dicadang dibuka di daerah itu bagi memastikan lebih ramai penduduknya menerima suntikan pelalian.

Ahli Parlimen Charles Santiago berkata beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada perjumpaan di Parlimen Khamis lalu.

“Saya mencadangkan kawasan besar seperti Klang mesti ada PPV yang berkapasiti sederhana yang dibuka pada Jumaat, Sabtu dan Ahad.

“Cukup dibuka untuk dua, tiga bulan bagi memastikan golongan yang belum segera dapat divaksin. Cadangan ini berdasarkan permintaan yang saya terima dari penduduk,” katanya pada program Selvax bergerak Dewan Kompleks Sukan Pandamaran semalam.

Ditanya respon Khairy mengenai permintaannya itu, beliau berkata menteri kesihatan itu akan memberi maklum balas nanti.

Charles berkata kehadiran orang ramai yang melebihi stok dos vaksin yang ada pada hari ini membuktikan PPV sederhana itu perlu diwujudkan.

“Hari ini kita ada 1,200 dos untuk diberikan tetapi dekat luar dewan ada lebih beratus orang yang mahu disuntik. Mereka bukan tidak mahu disuntik sebelum ini tetapi tidak menerima panggilan dari pihak berkaitan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Walau hanya duduk dirumah, OKU tetap ambil vaksin Covid-19

KLANG, 26 SEPT: Mahu adakan perjumpaan keluarga dengan selamat mendorong seorang wanita membawa kakaknya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan mengambil vaksin Covid-19.

Siti Fitrina Sukerman, 29, berkata hanya kakaknya, Siti Maziah, 49, sahaja yang belum menerima suntikan pelalian itu daripada semua sembilan adik beradiknya.

“Mujur ada program vaksin bergerak ini, jadi hari ini saya bawa kakak daftar dan terus ambil suntikan dos pertama.

“Walaupun dia tak bekerja dan hanya duduk di rumah tapi kami tetap mahu kakak ambil vaksin supaya lebih selamat bila buat perjumpaan keluarga,” katanya ketika ditemui pada program Selangor Vaksin (Selvax) bergerak Dewan Kompleks Sukan Pandamaran di sini.

T. Sandra Suria, 37

Bagi ketua kawalan kualiti, T Sandra Suria, 37 pula, dia membawa ibunya V Yasoday, 64, mengambil vaksin bagi memastikan ibunya dilindungi walaupun hanya duduk di rumah.

“Sebagai anak kita takut sekiranya berlaku perkara tidak diingini memandangkan kami keluar masuk rumah untuk bekerja. Jadi adalah lebih baik dia juga menerima vaksin,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja syarikat perkapalan, Siti Fitrina Sukerman, 29, berkata dia mengambil vaksin bagi memastikan keselamatan diri di tempat kerja.

“Suntikan jadi satu keperluan kerana semua staf bekerja secara berkumpulan, saya hadir bersama 13 rakan lain dan kini semua orang di tempat kerja kami telah divaksin,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

800,000 daripada 1.3 juta penduduk Klang sudah divaksin

KLANG, 26 SEPT: Seramai 800,000 penduduk Klang telah menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat ini, kata Ahli Parlimen, Charles Santiago.

Beliau berkata angka itu diperoleh daripada MySejahtera merangkumi semua program vaksinasi yang diadakan termasuk program Vaksin Selangor (Selvax).

“Walaupun jumlah itu tinggi namun kita mempunyai penduduk sekitar 1.3 juta jadi terdapat 500,000 lagi warga Klang yang belum divaksin.

“Oleh kerana terdapat jurang yang besar kita mengadakan program Selvax seperti hari ini bagi memastikan lebih ramai divaksin,” katanya.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Selvax bergerak Dewan Kompleks Sukan Pandamaran di sini, hari ini.

Menurut Charles Santiago jumlah dos yang disediakan pada hari ini adalah sebanyak 1,200 dos dan beliau mengakui jumlah itu belum mencukupi untuk menampung kehadiran orang ramai.

“Saya akan berbincang dengan Dr Siti Mariah Mahmud (EXCO Kesihatan Awam) untuk mengadakan lagi program seperti ini lagi dalam tempoh terdekat,” katanya.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Inisiatif itu dibuat secara berperingkat antaranya membabitkan DUN Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali dan Hulu Bernam.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pesakit meningkat, hospital Klang alu-alukan sumbangan alat perubatan

SHAH ALAM, 2 OGOS: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang mengalu-alukan orang ramai untuk terus membantu menangani peningkatan jumlah pesakit Covid-19 di hospital itu terutamanya sumbangan pemekat oksigen.

Pengarahnya Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata pihaknya amat berterima kasih atas pelbagai jenis sumbangan diterima HTAR selama ini dan berharap orang ramai terus menghulurkan sumbangan bagi membantu merawat pesakit sekali gus meringankan beban petugas barisan hadapan.

“Jika tiada (sumbangan), memang tidak cukup (untuk menampung keperluan pesakit Covid-19),” katanya yang dihubungi Bernama hari ini.

HTAR menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook Sabtu lepas memaklumkan menerima sumbangan sebuah bas daripada pendakwah bebas Ebit Lew untuk membawa pesakit Covid-19 ke pusat kuarantin.

Sebelum itu, HTAR turut menerima 12 unit pemekat oksigen dan peralatan perubatan sumbangan Pertubuhan Amal Perubatan Ibu Sina Malaysia (Papisma) Selangor dengan kerjasama Yayasan Amal Malaysia serta sebuah kontena penyimpanan mayat daripada MIC.

Dalam pada itu, Dr Zulkarnain berkata pihaknya akan memberi laluan kepada projek pembangunan hospital medan di HTAR yang dibantu oleh MERCY Malaysia, hasil peruntukan sumbangan daripada Maybank yang menempatkan hingga 100 katil tambahan.

HTAR sebelum ini memaklumkan projek itu akan diserahkan untuk penggunaan pada Rabu ini.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PGA rampas arak tidak bercukai lebih RM1 juta di Klang

SHAH ALAM, 8 JULAI: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas hampir 20,000 liter minuman keras pelbagai jenama tidak bercukai dianggarkan bernilai lebih RM1.2 juta dalam serbuan di sebuah gudang di Kampung Sungai Kandis, Klang semalam.

Komander Briged Tengah PGA Cheras SAC Muhammad Abdul Halim berkata serbuan turut menahan tiga lelaki tempatan dan lima lelaki warga Bangladesh berusia antara 25 hingga 57 tahun yang dipercayai ahli sindiket pengedaran minuman keras tidak bercukai di sekitar Lembah Klang.

“Serbuan dilakukan selepas PGA bertindak atas maklumat orang awam. Ketika serbuan, kesemua lelaki berkenaan sedang memunggah arak mengandungi alkohol antara empat hingga 16.3 peratus di dalam gudang itu yang digunakan sebagai stor penyimpanan dan pengedaran arak,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut merampas tiga lori, sebuah van dan sebuah kereta yang menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM1.66 juta.

Menurutnya berdasarkan jumlah rampasan arak, kenderaan dan operasi pengedaran, pihaknya percaya sindiket berkenaan telah lama beroperasi namun siasatan lanjut akan dilakukan untuk mengetahui modus operandi sindiket itu termasuk dari negara mana arak tersebut diseludup.

Kesemua lapan lelaki itu diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dan akan direman selama 14 hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967, katanya.

-BERNAMA