Categories
NASIONAL

PAS: Negara Kebajikan Ala-Umno Mufliskan Negara

SHAH ALAM, 5 MAR: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam bahawa negara berkebajikan akan membawa rakyat tidak produktif dan menjadikan negara hilang daya saing dikecam Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut Tuan Ibrahim, negara berkebajikan dalam manifesto yang dilancarkan Pas tidak akan menyebabkan negara ini bankrap sebaliknya kerakusan pemimpin Barisan Nasional (BN) mengkayakan diri sendiri dan kroni-kroni mampu menyebabkan negara bankrap.

“Kalau konsep Negara Berkebajikan dilaksanakan, negara ini akan semakin makmur dan rakyatnya semakin sejahtera.

“Tetapi yang boleh menyebabkan negara bankrap ialah pemimpin BN sekarang yang tamak, lebih utamakan kepentingan sendiri dan kroni-kroni.

“Menolak rasuah, pembaziran,kroni, ketirisan seperti yang dibuat oleh Umno-Bn juga merupakan sebahagian dari konsep negara berkebajikan,” demikian menurut Pesuruhajaya Pas Negeri Pahang, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut Tuan Ibrahim ketika dihubungi TVS hari ini, negara berkebajikan yang digariskan dalam gagasan yang dilancarkan oleh Pas sebelum ini akan membolehkan keadilan termasuk sumber kekayaan negara ini dapat diagihkan kepada semua.

“Tapi negara kebajikan Umno pula, rasuah berleluasa, kroni dan salah guna kuasa juga jadi amalan. Kalau inilah konsep negara kebajikan Umno memanglah negara akan muflis, produktiviti merosot dan rakyat akan menderita.

“Tetapi konsep negara berkebajikan yang kita bawakan dapat mengagihkan kekayaan negara kepada rakyat.

“Melaksanakan konsep negara berkebajikan juga bermakna segala salahlaku seperti rasuah, ketirisan, pembaziran dan sebagainya akan dibendung ke tahap maksima supaya kekayaan negara tidak mengalir ke tempat yang salah,” ujarnya lagi.

Beliau turut menggariskan tiga faktor yang menyebabkan dana negara dapat diuruskan secara efektif.

“Dalam manifesto negara berkebajikan Pas, ada tiga perkara asas yang membolehkan ianya dilaksanakan secara efektif.

“Pertama, hubungan dengan tuhan kerana mampu mendekatkan pemimpin dengan tuhan sekaligus mengelakkan salahlaku.

“Kedua, Jaga kebajikan rakyat khususnya golongan yang memerlukan dengan cara ‘memberi pancing bukannya beri ikan’ sebab kalau kita beri ikan, lepas makan ikan tu, habislah.

“Tetapi kalau beri pancing, mereka boleh terus-menerus dapat ikan dengan menggunakan pancing itu.

“ketiga pula, sumber kekayaan negara tidak boleh berlegar di sekitar golongan tertentu sahaja seperti yang berlaku di kalangan pemimpin Umno-BN,” katanya lagi.

Sementara itu, Tuan Ibrahim turut membidas media-media kawalan kerajaan yang sengaja membesarkan isu remeh dengan tujuan untuk mengalihkan tumpuan rakyat daripada isu lebih besar yang melemakan mereka.

“Media-media Umno-BN ini memang dah tandus isu sebab itulah mereka gemar bangkitkan isu-isu remeh untuk mengalihkan perhatian rakyat dari isu sebenar yang lebih besar mereka hadapi,” ujar Tuan Ibrahim kepada TVS.

 

 

Categories
NASIONAL

Mesyuarat AJK Pusat Malam Ini Untuk Selesai Kemelut Di Kedah

SHAH ALAM, 1 Mac 2012 – Kemelut yang melanda PAS Kedah akan diputuskan selepas perbincangan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pas Pusat yang akan diadakan malam ini.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, ianya akan diputuskan selepas dilihat kemelut terbabit menampakkan kesan positif selepas pertemuan dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan dua exco kerajaan negeri pada Selasa lalu.

Katanya, semua pihak diminta tenang dan tidak membuat sebarang spekulasi negatif sebelum jawatankuasa memutuskan sesuatu keputusan.

“Biarlah kami (jawatankuasa pusat) diberi peluang untuk membuat perbincangan dan keputusan dahulu sebelum keluar sebarang spekulasi.

“Dalam mesyuarat khas itu nanti, kita semua mesti akur dengan sebarang keputusan supaya kepimpinan di Kedah berjalan dengan baik,”katanya ketika dihubungi.

Salahuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pas Pusat itu akan dihadiri oleh semua ahli jawatankuasa termasuk Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Sebelum ini, PAS Pusat pada Isnin memutuskan beliau sebagai pengantara untuk mengadakan pertemuan bagi campur tangan dalam menyelesaikan kemelut dua ahli exco kerajaan negeri Kedah.

Kemelut itu berlaku apabila Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh enggan menerima perlantikan semula Selasa lalu di majlis angkat sumpah jawatan dihadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit.

Azizan sebelum ini mengumumkan hanya lapan exco akan mengangkat sumpah jawatan bagi sesi 2012 walaupun lazimnya exco kerajaan negeri dibarisi 10 anggota.

Mereka adalah Datuk Amiruddin Hamzah, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib, Lim Soo Nee, Abd Ghani Ahmad, Tan Joon Long @ Tan Chow Kang, Datuk Siti Ashah Ghazali dan S. Manikumar,yang masing- masing menerima tawaran pelantikan semula.

Phahrolrazi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga turut meletakkan syarat untuk membolehkannya kembali menjawat jawatan
sebagai Exco.

Kerajaan negeri manakala Dr Ismail Salleh bersedia dengan sebarang keputusan termasuk hilang jawatan Timbalan Pesuruhjaya 2 Pas Kedah dan Yang diPertua Pas Kawasan Alor Star, demi memastikan ahli parti kembali bersatu.

Bagaimanapun, beliau akan mempertimbangkan jika pihak terbabit mematuhi syarat tertentu sekiranya nama beliau disenaraikan semula dalam barisan Exco.

Categories
NASIONAL

Dr Dzulkifly: Lebih Baik Kerjasama Dengan DAP Dari Umno

SHAH ALAM, 29 FEB: “Lebih baik saya minum kopi dengan DAP daripada minum arak dengan Umno,” demikian tempelak Ahli Parlimen Kuala Selangor, YB Dr Dzulkefly Ahmad ketika menjawab soalan Ketua Penerangan Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa), Ruslan Kassim.

Menurut Dr Dzulkefly, meskipun Umno dianggotai oleh orang-orang Melayu, tetapi parti itu mengamalkan budaya yang mampu merosakkan rakyat dan negara ini.

“Walaupun DAP dianggotai majoriti sahabat kita bangsa Cina yang bukan Islam tetapi mereka tak ajak saya edar video lucah, luluskan lesen judi, ambil rasuah, kroni, salah guna kuasa dan macam-macam lagi.

“Tetapi dengan Umno, mereka suruh edar video lucah, rasuah, galakkan rakyat main judi, samseng dan macam-macam budaya lain yang merosakkan rakyat dan negara ini.

“Jadi mana lebih baik? Saya berkawan dengan Melayu Umno atau Cina DAP?,” ujar Dr Zulkefly.

Terdahulu dalam pusingan soal jawab, Ruslan Kassim telah bertanyakan kepada Dr Dzulkefly mengapa Pas memilih untuk berkerjasama dengan DAP yang majoritinya dianggotai orang Cina tetapi bukannya orang Melayu dalam Umno.

Selain Dr Dzulkefly dan Ruslan Kassim, wacana Sinar Siri ke-11 yang membincangkan tajuk ‘Mengapa Undi Melayu Berpecah’ itu turut menampilkan Ahli Parlimen Pandan, Ong Tee Keat dan Pengerusi PKR Johor dan Datuk Chua Jui Meng.

Categories
NASIONAL

Perpecahan Undi Melayu Beri Manfaat Untuk Rakyat, Negara

SHAH ALAM, 29 FEB: Perpecahan undi Melayu yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) lalu dianggap sebagai satu perkembangan yang sihat dalam politik negara.

Senario itu juga berlaku disebabkan masyarakat Melayu mulai sedar bahawa Umno tidak boleh diharapkan untuk membantu masyarakat kaum itu memajukan diri untuk bersaing dengan kaum-kaum lain di negara ini.

Demikian menurut Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad dalam Wacana Sinar Siri Ke 11 yang berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam hari ini.

Menurut beliau yang juga merupakan ahli jawatan kuasa PAS Pusat, pemikiran orang-orang Melayu sebelum alaf baru telah ditanam dengan mitos bahawa Umno merupakan satu-satunya parti yang berjuang untuk orang-orang Melayu.

“Hakikatnya undi Melayu telah berpecah semenjak pilihan raya pertama dahulu tetapi ianya tak ketara seperti sekarang kerana pada masa itu minda orang-orang Melayu telah ditanam dengan mitos bahawa hanya Umno yang perjuangkan nasib Melayu.

“Tetapi zaman sekarang adalah zaman pencerahan, Melayu sudah mula celik politik, semakin bijak, tahu bahawa Umno bukanlah parti yang boleh diharapkan untuk memperjuangkan nasib orang Melayu.

“Maka undi Melayu yang dahulu majoriti sokong Umno dengan cuma sedikit ke parti pembangkang, sekarang dah mula beralih sokongan mereka dalam PRU-12 lalu.

“Sekarang orang Melayu dah nampak dan jelas bahawa perpecahan undi itu adalah sesuatu yang positif dalam mematangkan politik orang-orang Melayu dan banyak beri manfaat kepada rakyat dan negara ini,” beritahu beliau,” katanya dalam siri wacana bertajuk ‘Mengapa Undi Melayu Pecah?’ itu.

Beliau juga menganggap perpecahan undi di kalangan orang Melayu tidak harus dijadikan isu oleh Umno untuk kepentingan politik mereka.

“Sebenarnya perpecahan undi orang Melayu ini tidak menimbulkan pertikaian akademik pun tetapi isu sebenarnya ialah mengapa undi Umno berlaku penguncupan.

“Lalu Umno jadikan isu ini sebagai satu senjata dengan memainkan politik ketakutan terhadap orang-orang Melayu agar terus menyokong Umno supaya Umno terus dapat berkuasa,” ujar Dr Dzulkefli lagi.

Selain Dr Dzulkefli wacana yang dihadiri kira-kira 500 orang itu turut menampilkan panelis Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat, Ketua Penerangan Pertubungan Peribumi Perkasa, Ruslan Kasim dan Pengerusi PKR negeri Johor, Datuk  Chua Jui Meng.

Categories
NASIONAL

BN Perlu Hentikan Sikap Pura-Pura Berhubung Israel

SHAH ALAM, 24 FEB : Kerajaan Barisan Nasional diseru untuk menghentikan sikap hipokrasi dan double standard berhubung isu hubungan dagangan dengan negara haram Israel.

Demikian tegas Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Khalid Samad yang mendakwa penjelasan Kerajaan Pusat berhubung isu kapal Israel yang berlabuh di Pelabuhan Klang tidak boleh diterima sama sekali.

“Lebih-lebih lagi dalam keadaan kononnya negara Malaysia adalah juara memperjuangkan nasib rakyat Palestin dan kononnya Malaysia tidak ada sebarang hubungan diplomatik dengan Israel.

“Jadi kita sangat terkejut dengan pendedahan kapal Israel yang biasa berlabuh di Pelabuhan Klang,” ujar Khalid sambil menambah alasan anak kapal Israel tidak dibenarkan menjejakkan kaki di pelabuhan sebagai penjelasan ‘main-main’ oleh Kerajaan Umno/BN.

Lebih mengejutkan, Malaysia berada di kedudukan bawah 20 bagi negara-negara yang mempunyai hubungan dagangan dengan Israel, beritahu Khalid dalam sidang medianya pagi tadi.

“Rekod ini adalah berdasarkan laporan yang telah didedahkan oleh beberapa pihak dan ia membuktikan bahawa Malaysia merupakan rakan dagangan yang ‘kuat’ dengan Israel.

“Dan antara produk terpenting ialah minyak kelapa sawit. Saya percaya peneroka-peneroka Felda akan merasa dikhianati kerana tanpa disedari hasil mereka menjadi bahan dihantar ke Israel,” jelas Khalid yang juga merupakan Ahli Parlimen Shah Alam.

Sehubungan itu, Khalid mendesak agar BN menghentikan sikap kepura-puraan mereka berhubung isu Israel-Palestin seterusnya melaksanakan tiga perkara sekiranya benar Kerajaan Pusat menghormati aspirasi rakyat Palestin seperti yang selalu dilaungkan mereka.

“Sekiranya kamu benar-benar tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel, maka zahirkanlah dalam tindakan kamu.

“Yang pertama, hentikan kemasukan kapal-kapal Israel melalui perairan Malaysia, kedua hentikan perdagangan dengan Israel dan yang ketiga tamatkan perkhidmatan APCO sebagai penasihat kamu,” tegas beliau

Categories
NASIONAL

Himpunan Hijau 2.0 Pindah Ke MPK 4

KUANTAN, 24 FEB: Himpunan Hijau 2.0 yang mulanya akan diadakan di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 1 (MPK1) akan berpindah ke padang MPKT 4 Kemunting kira-kira setengah kilimeter dari lokasi asal.

Keputusan tersebut dicapai setelah rundingan dilakukan antara Jawatankuasa Himpunan Hijau 2.0 dengan pihak polis.

Jawatankuasa Himpunan Hijau diwakili MP Kuantan, Fuziah Salleh, Mahmud Yaakob, Wong Tak dan Clement Chin.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifudin dan Ketua Polis Kuantan, Tuan Jasmani bersetuju supaya himpunan tersebut dilakukan dilokasi baru yang dicadangkan.

Menurut Harakahdaily kata sepakat itu dicapai dalam perjumpaan yang diadakan di Balai Polis Kuantan jam 10 pagi tadi.

Sejak semalam, kawasan Padang MPK yang terletak di tengah bandar Kuantan telah dipagar oleh pekerja Majlis Perbandaran Kuantan.

Perhimpunan Hijau 2.0 dianjurkan bagi membantah pembinaan kilang Lynas di Gebeng akan diadakan 26 Februari (Ahad ini) mulai jam 9 pagi.

Semua rakyat dari seluruh pelosok negara diseru supaya beramai-ramai hadir dalam himpunan yang telah mendapat kebenaran dari polis ini.

Di bawah akta polis yang baru, kebenaran polis bukan lagi dinamakan permit tetapi kebenaran bertulis polis dengan syarat-syarat yang ditetapkan dari polis.

Padang MPK 4 juga dinamakan Padang Kemunting terletak di depan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan iaitu di Jalan Kuantan – Gambang.

Menurut Yang Dipertua PAS Indera Mahkota, Nasrun Amir, padang ini boleh mengisi sekitar 20,000 orang pada satu masa.

Perhimpunan Hijau 2.0 dijangka akan disertai 100,000 setelah Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa seluruh ahli PAS di Pahang dan negeri-negeri berhampiran menyertai himpunan tersebut.

Sementara itu Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail juga membuat kenyataan yang sama hari ini.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Saifuddin memaklumkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turut menyertai himpunan tersebut pada Ahad ini.

 

Categories
NASIONAL

Anwar Akan Sertai Himpunan Hijau 2.0 Di Kuantan

SHAH ALAM, 24 FEB: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turut serta memberi sokongan penuh kepada Himpunan Hijau 2.0 yang akan diadakan di Kuantan pada 26 Februari 2012 ini.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan medianya menggesa seluruh pimpinan PKR serta seluruh pimpinan parti disemua peringkat untuk turut serta dalam himpunan tersebut.

Sebelum ini Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Kuantan, YB Fuziah Salleh bersama-sama pimpinan Pakatan Rakyat, NGO dan masyarakat setempat telah bersama-sama menentang projek radiaoktif Lynas di Gebeng, Pahang.

Malah, Temurapat Pimpinan PKR pada 24-26 Februari ini yang pada awalnya dijadualkan di Lumut, Perak telah dipindahkan ke Kuantan, Pahang bagi membolehkan semua pimpinan parti diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghadiri Himpunan Hijau 2.0.

“Saya juga telah mengeluarkan arahan kepada semua anggota KEADILAN di Pahang khususnya dan di seluruh Malaysia umumnya untuk turut sama menyokong Himpunan Hijau 2.0 dan kempen Hentikan Lynas.” kata Saifuddin

Dua hari lalu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga membuat gesaan yang sama terhadap PAS supaya semua ahli PAS Pahang serta negeri-negeri berhampiran menyertai himpunan tersebut.

Himpunan Hijau 2.0 pada Ahad ini dijangkakan akan dihadiri lebih 100,000 orang bagi membantah projek radioaktif Lynas tersebut.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Dzulkifly: Malaysia Gadai Maruah Demi Amerika-Israel

SHAH ALAM, 21 FEB: Tindakan Kerajaan Umno-BN menghentikan eksport minyak sawit ke Iran akibat tekanan dari Amerika dan tiga dari empat negara Kesatuan Eropah (EU) meletakkan negara ini dianggap sebagai negara tunggangan kuasa besar.

Selain itu tindakan tersebut turut memberi gambaran bahawa negara ini tunduk kepada kemahuan Israel yang mahu memastikan Iran tidak memiliki senjata nuklear.

Demikian komen Pengarah Pusat Penyelidikan & Pembangunan PAS Dr. Dzulkefly Ahmad yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Selangor.

“Kita patut contohi Turki yang tidak endahkan tekanan dari negara kuasa besar walaupun mereka amat mahu menjadi ahli dalam EU.

“Turki juga tidak ragu-ragu untuk memutuskan hubungan pertahanan dan dagangan dengan Israel dan menghalau keluar duta dan diplomat Israel dari terus berada di Turki beberapa bulan lalu,” kata beliau.

Beliau juga melihat kerajaan BN sanggup menggadai marauh sebagai sebuah negara Islam serta gagal mengamalkan semangat persaudaraan sesama Islam apabila turut mengambil pendirian memberi tekanan terhadap Iran.

“Sebaliknya Malaysia sebagai sebuah negara Islam gagal menunjukan semangat persaudaraan sesama islam apabila tunduk kepada kemahuan barat.

“Tidak membantu saudara Islam di Iran yang sedang ditekan oleh kuasa-kuasa besar,” beritahu beliau kepada TVS ketika dihubungi hari ini.

“Mengapa selain Turki, India dan China sebagai negara berdaulat juga mempertahankan pendirian mereka apabila meneruskan hubungan dagangan mereka dengan Iran, tetapi Malaysia pula menghentikan pengeksportan ke Iran.

Beliau turut membidas Kerajaan BN yang dianggap berlidah bercabang berhubung isu berkaitan Israel.

“Mereka tuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim sokong Israel, tetapi pada masa yang sama kerajaan Umno-BN sendiri jalin hubungan dagangan secara terus dengan Israel.

“Akhirnya keuntungan dari hasil cukai yang dibayar oleh syarikat Malaysia kepada kerajaan Israel mereka beli senjata untuk bunuh umat Islam di negara lain,” ujar beliau lagi.

 

 

Categories
NASIONAL

Salahudin: Saya Ingin Menjadi Sebahagian Dari Sejarah Johor

SHAH ALAM,   10 FEB: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob berkata beliau sanggup menjadi sebahagian dari sejarah Johor sekiranya diberikan peranan oleh kepimpinan tertinggi PAS dan Pakatan Rakyat dalam usaha merampas kubu kuat Umno tersebut.

Katanya adalah tidak mustahil Umno Johor juga akan tumbang sekiranya Pakatan Rakyat menggunakan pelbagai pendekatan dan strategi yang relevan dengan tuntutan pengundi.

Anak kelahiran Johor ini berkata, Johor sudah tidak lagi dianggap sebagai kubu kuat Umno memandangkan PAS telah memenangi dua kerusi DUN.

“Mentera tahyul bahawa Umno di Johor merupakan benteng terkuat Umno telah menjadi sejarah.

“Tidak mustahil Johor sebagaimana berlaku di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Perak dalam Pilihanraya Umum lalu, siapa sangka,” kata beliau ketika di hubungi TV Selangor.

Berhubung saranan beberapa pihak termasuk Mursidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat merelakan beliau berpindah ke Johor, Salahuddin berkata beliau sedia akur dengan segala arahan parti.

“Saya amat hargai kenyataan Tok Guru (Nik Aziz) yang rela melepaskan saya dari genggaman dan pelukan beliau supaya memberikan perkhidmatan dimana sahaja tenaga saya di perlukan.

Ditanya mengenai kepimpinan untuk menerajui PR dalam pilihanraya akan datang beliau berkata Gabungan PR merupakan aset yang besar ke atas usaha menawan negeri di selatan semananjung itu.

“Momentum pengundi sudah berbeza sekarang PR diwakili oleh pelbagai kaum dan banyak kerusi-kerusi di Johor terdiri dari kerusi campuran. Peluang PR dilihat lebih baik.

“Matlamat pakatan adalah untuk merampas dan menguasai Putrajaya dan negeri-negeri, bukan persoalan siapa yang akan menjadi ketua atau pemimpin.

“Kita ada mesyaurat kepimpinan tertinggi PR yang diwakili oleh pemimpin-pemimpin tertinggi parti yang bertemu setiap minggu.

“Segala keputusan adalah keputusan yang dipersetujui bersama. Tidak timbul siapa akan jadi ketua,” ujar beliau

Ditanya mengenai peluang PR di Johor beliau berkata PAS tidak bersendirian sebagaimana pilihanraya sebelum ini kerana telah bersama PR

“Momentum pengundi sudah berbeza sekarang PR diwakili oleh pelbagai kaum dan banyak kerusi-kerusi di Johor terdiri dari kerusi campuran. Peluang PR dilihat lebih baik.” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Krian.

SHAH ALAM, 10 FEB:Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob berkata beliau sanggup menjadi sebahagian dari sejarah Johor sekiranya diberikan peranan oleh kepimpinan tertinggi PAS dan Pakatan Rakyat dalam usaha merampas kubu kuat Umno tersebut.

 

Katanya adalah tidak mustahil Umno Johor juga akan tumbang sekiranya Pakatan Rakyat menggunakan pelbagai pendekatan dan strategi yang relevan dengan tuntutan pengundi.

Anak kelahiran Johor ini berkata, Johor sudah tidak lagi dianggap sebagai kubu kuat Umno memandangkan PAS telah memenangi dua kerusi DUN.

“Mentera tahyul bahawa Umno di Johor merupakan benteng terkuat Umno telah menjadi sejarah.

“Tidak mustahil Johor sebagaimana berlaku di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Perak dalam Pilihanraya Umum lalu, siapa sangka,” kata beliau ketika di hubungi TV Selangor.

Berhubung saranan beberapa pihak termasuk Mursidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat merelakan beliau berpindah ke Johor, Salahuddin berkata beliau sedia akur dengan segala arahan parti.

“Saya amat hargai kenyataan Tok Guru (Nik Aziz) yang rela melepaskan saya dari genggaman dan pelukan beliau supaya memberikan perkhidmatan dimana sahaja tenaga saya di perlukan.

Ditanya mengenai kepimpinan untuk menerajui PR dalam pilihanraya akan datang beliau berkata Gabungan PR merupakan aset yang besar ke atas usaha menawan negeri di selatan semananjung itu.

“Momentum pengundi sudah berbeza sekarang PR diwakili oleh pelbagai kaum dan banyak kerusi-kerusi di Johor terdiri dari kerusi campuran. Peluang PR dilihat lebih baik.

“Matlamat pakatan adalah untuk merampas dan menguasai Putrajaya dan negeri-negeri, bukan persoalan siapa yang akan menjadi ketua atau pemimpin.

“Kita ada mesyaurat kepimpinan tertinggi PR yang diwakili oleh pemimpin-pemimpin tertinggi parti yang bertemu setiap minggu.

“Segala keputusan adalah keputusan yang dipersetujui bersama. Tidak timbul siapa akan jadi ketua,” ujar beliau

Ditanya mengenai peluang PR di Johor beliau berkata PAS tidak bersendirian sebagaimana pilihanraya sebelum ini kerana telah bersama PR

“Momentum pengundi sudah berbeza sekarang PR diwakili oleh pelbagai kaum dan banyak kerusi-kerusi di Johor terdiri dari kerusi campuran. Peluang PR dilihat lebih baik.” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Krian.

 

Categories
NASIONAL

Khalid Samad Sedia Berdebat Dengan Hasan Ali

SHAH ALAM 9 FEB : Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad sedia mengadakan debat terbuka dengan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor yang dipecat , Datuk Hasan Ali sekiranya disiarkan secara langsung di media eletronik.

Ia bertujuan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk memperjelaskan secara adil dan berfakta berhubung ‘parasit’ dalam PAS yang dicetuskan hasan sebelum ini.

Ahli Parlimen Shah Alam itu turut menyifatkan bekas Exco Selangor itu sebagai ‘musuh dalam selimut’ ekoran beberapa kenyataan yang bercanggah dengan parti dan Pakatan Rakyat (Pakatan) sebelum dipecat.

Katanya, keputusan pemecatannya dibuat sendiri oleh pimpinan tertinggi parti yang diketuai oleh Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam mesyuarat khas tanpa pengaruh daripada mana-mana pihak termasuk ‘parasit’ seperti yang di katakan Hasan.

“Saya diberitahu bahawa walaupun majoriti ahli mesyuarat meminta dia pada asalnya tidak dipecat tetapi digantung keahlian dan semua jawatannya, tetapi pimpinan tertinggi telah memutuskan bahawa dia perlu dipecat. Maka setelah berbincang, kehendak pimpinan tertinggi itu diterima semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab kenyataan Datuk Hasan berhubung 9 sebab mengapa beliau tidak akan merayu pemecatannya.

Jelas Khalid, ketika mesyuarat dibuat, beliau berada di Arab Saudi.

Katanya, kenyataan Hasan yang mengatakan peranan parasit begitu menonjol merupakan satu penghinaan sekaligus tidak menghormati keputusan pemilihan yang dibuat ahli dalam Muktamar PAS 2011 dan kepimpinan yang diterajui Presiden PAS yang dilihat tunduk dengan desakan golongan tersebut.

Tambah Khalid, sebelum ini Hasan berulang kali mencadangkan supaya PAS meninggalkan Pakatan walhal keputusan bersama Pakatan diputuskan dalam Muktamar dan pada ketika itu beliau sendiri tidak bersuara untuk mengatakan sebaliknya.

Beliau turut mendedahkan terdapat pertemuan bersama Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah)dan Datuk Seri Khir Toyo bagi membentuk kerajaan di Selangor yang membuka ruang supaya Datuk Hasan Ali dilantik menjadi Menteri Besar Selangor namun usaha itu digagalkan.

“Dalam tempoh sebelum dilantik Menteri Besar, telah diatur satu pertemuan dengan Tun Abdullah Badari dan Datuk Seri Khir Toyo sepatutunya dia (Hasan Ali) pergi tapi digantikan oleh saya atas arahan PAS Pusat. Dalam pertemuan itu Pak Lah telah sebut PAS ada 8 kerusi, PKR ada 15 kerusi (8 Melayu) dan 20 kerusi bukan Melayu(13 DAP). Awak ada minoriti Melayu, bagaimana ingin membentuk kerajaan.

“Saya katakan, penyelesaiannya mudah. Umno ada 18 kerusi, 5 daripadanya dipinjamkan keapda PAS maka kita ada 21 kerusi Melayu dan masalah selesai. Dia (Pak Lah) kata tidak boleh. Dia mahu PAS lompat bersama dia (Umno), 20 kerusi yang ada pada BN dicampur menjadi 28 kerusi. PKR campur dengan DAP juga menjadi 28, maka bertemu dengan Sultan cepat-cepat dan lantik Hasan Ali menjadi Menteri Besar. Kalau Umno tidak sanggup untuk memberikan 5 kerusi terbabit untuk menyelesaikan masalah majoriti atau minoriti itu. Maka habis di situ,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, Hasan sebenarnya menghadapi masalah untuk bekerjasama dengan pihak lain memandangkan beliau dengan dasar Melayu, Islam dan Raja selain latar belakangnya sebagai seorang pakar motivasi sebelum ini.

Dalam konteks berkongsi kuasa katanya, semua pihak sepatutnya mendengar pandangan semua dan bukannya hanya bersandarkan keputusan sendiri semata-mata.

Ujar beliau, Hasan sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Exco Selangor lebih awal memandangkan beliau mengakui mengahadapi kesukaran untuk mendaulatkan Islam dan bangsa Melayu dan bukannya selepas empat tahun mendapat manfaat dan kemudahan sebagai pemimpin negeri.

Dalam pada itu, beliau turut mencabar Datuk Hasan supaya mendedahkan lokasi maksiat seperti dakwaan ‘Shah Alam Kota Maksiat’ dan bukannya ‘cakap ikut sedap mulut’.

“Gambaran sedemikian sebenarnya menempelak Datuk Bandar dan pihak lain seolah-olah hanya dia seorang yang melakukan tugas,” katanya.

Berhubung kemungkinan beliau bertanding dalam Pilihanraya Umum 13 (PRU-13) di Shah Alam dengan Datuk Hasan Ali, katanya, segalanya terserah kepada parti memandangkan semua yang bertanding tidak mengetahui dan diberikan jaminan sama ada mereka akan kekal untuk bertanding.

Katanya, beliau mendapat tawaran debat bersama Hasan melalui sebuah penganjur dan akan bersetuju dengan syarat ianya dilakukan secara ‘Live’.

Categories
NASIONAL

Pas Johor Mahu Polis Ambil Tindakan Serius Tangani Provokasi Kaum

KUALA LUMPUR 8 FEB : PAS Johor menggesa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menubuhkan sebuah unit khas bagi menyiasat usaha untuk mengapikan semangat perkauman ekoran beberapa kejadian provokasi yang menyentuh sensitiviti masyarakat majmuk di Malaysia.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mazlan Aliman berkata, adalah tidak wajar bagi pimpinan negara dan NGO untuk membuat ucapan berbaur perkauman kerana ini akan menyebabkan suasana yang tidak harmoni dalam masyarakat.

“Berdasarkan pengamatan kami tidak ada tindakan susulan yang dibuat oleh pihak polis,” Mazlan berkata, untuk menangani tindakan provokasi tersebut.

Mazlan berkata demikian selepas menyerahkan sebuah memorandum kepada PDRM yang diterima Superitenden Perhubungan Awam Bukit Aman, Norisah Abd Hamid.

Sebelum ini, beberapa kejadian yang menyentuh sentimen keagamaan dan perkauman berlaku seperti pemberian ang pau menggunakan sampul berwarna putih pada majlis makan malam sambutan Tahun Baru Cina yang dianjurkan oleh PERKASA.

Mengikut budaya masyarakat Cina, warna putih digunakan untuk upacara kematian. Sambutan meriah seperti Tahun Baru Cina lazimnya menggunakan warna merah yang dikaitkan dengan kemakmuran.

Manakala komuniti Melayu digemparkan dengan penemuan kepala babi di masjid di Johor Bahru, Johor pada Disember lepas dan terbaru, beberapa minggu lepas, di Rawang, Selangor dan Sentul, Kuala Lumpur.

Mazlan berkata, jika perkara-perkara ini terus berlarutan, dikhuatiri kejadian hitam 13 Mei 1969 tercetus kembali.

Beliau juga menggesa agar polis menganjurkan satu taklimat kepada pimpinan politik dan NGO bagi menangani isu-isu keselamatan negara.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Perhubungan Pas Negeri, Onn Jaafar berkata beliau difahamkan satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi menyiasat kejadian kebakaran di rumah Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor.

“Kita mengaggap ini merupakan kejadian serius memandangkan bukan sahaja melibatkan harta benda bahkan nyawa mereka sekeluarga.

“Kita mengharapkan mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan memandangkan PRU-13 (pilihanraya umum ke-13) semakin dekat dan mungkin provokasi yang lebih teruk akan dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Dalam Kejadian minggu lalu, tingkat bawah rumah dan kereta milik Dzulkefly di Taman Universiti, Johor Bahru, telah hangus terbakar dipercayai akibat sabotaj pihak tertentu.

Ketika kebakaran, beliau sekeluarga berada di dalam rumah tersebut dan berlaku 2 kali letupan yang kuat dari kereta yang terbakar.

Polis menjumpai sebiji tong minyak 5 liter yang terdapat kesan-kesan minyak tanah berhampiran rumah beliau.

Categories
NASIONAL

PAS Selangor Fokus Tawan Semua 20 Kerusi DUN

SHAH ALAM 27 JAN : PAS Selangor komited untuk memenangi kesemua 20 kerusi yang ditandinginya dalam Pilihanraya Umum Ke-13(PRU-13) kelak dengan menjadikan tema ‘PAS ganti Umno’ satu realiti politik dan bukan sekadar cogan kata semata-mata.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Osman turut yakin sokongan mantap daripada pengundi di Selangor walaupun pihak Umno-BN cuba menangguk di air keruh dengan menimbulkan pelbagai tuduhan liar dan fitnah ekoran pemecatan Dr Hasan Ali dan rombakan kecil Exco Selangor baru-baru ini.

“Kita sudah membuat jelajah, dan Alhamdulillah kita merasakan perkara berhubung rombakan exco itu tidak akan mengurangkan sokongan daripada orang Melayu dan sebagainya,” katanya.

Dalam sidang media itu juga, PAS Selangor juga menegaskan rombakan kecil yang dilakukan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mengambil alih Exco Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam dan Dr Ahmad Yunus Hairi dilantik Eco Adat Istiadat Melayu, Belia dan Sukan merupakan persetujuaan bersama.

Ia dipersetujui atas sebab pilihanraya yang begitu hampir dan tugasan sebagai Exco Hal Ehwal Islam, Infrastruktur dan Kemudahan Awam akan memakan masa untuk memahami dan menguasai selok-beloknya yang melibatkan pelbagai jabatan dan agensi.

Sementara itu, menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Samad berkata, tidak timbul masalah bagi PAS walaupun tidak memegang Exco Hal Ehwal Islam sambil menegaskan bahawa Islam itu luas dan relevan itu semua bidang.

“Dengan adanya Exco Belia dan Sukan itu bagi kita ia memberikan ruang yang luas untuk kita terokai dan untuk kita menambahkan sokongan bagi PAS.

“Kita juga boleh menumpukan usaha untuk golongan belia untuk perkemaskan lagi untuk tambah lagi dokongan dalam masyarakat, kita kena faham Islam ini bukan hanya terhad terhadap Exco Hal Ehwal Agama, Islam ini luas untuk belia, kebajikan , pendidikan semuanya mempunyai hubungan dengan Islam,” katanya.