MB :Pelajar Yayasan Selangor Perlu Utamakan Ilmu

KUALA KUBU BHARU, 20 MEI : Menteri Besar,Tan Sri Abdul Khalid mengesa pelajar Yayasan Selangor agar terus berusaha mempertingkatkan mutu pendidikan kerana hanya mengutamakan ilmu akan membawa kecemerlangan dalam kehidupan.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Yayasan Selangor 2011 yang diadakan Kem Bina Semangat Ampang Pecah di sini semalam.

Abdul Khalid juga menyarankan Yayasan Selangor memberi tumpuan kepada golongan pelajar yang tercicir dan kurang cemerlang dalam pencapaian pendidikan bagi memastikan golongan ini mendapat tempat dan mampu mencapai kecemerlangan.

“Anak Selangor adalah aset negeri Selangor yang penting, oleh itu pendidikan di negeri ini seharusnya melibatkan semua golongan secara menyeluruh tanpa ada yang tercicir,”kata beliau.

Oleh itu, Abdul Khalid turut  menyokong dan menyarankan agar semua pelajar  Yayasan Selangor melanjutkan pelaran hingga ke peringkat doktor falsafah.

Dalam ucapan yang sama Abdul Khalid menasihatkan pengurusan Yayasan Selangor agar memantapkan aspek  pengurusan aset  sehingga mampu berdikari sendiri tanpa mengharapkan bantuan kerajaan negeri dan bersedia dalam dunia persaingan.

Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki dalam ucapannya berkata Yayasan Selangor  meluaskan peranannya dengan menempatkan pelajar tajaan Yayasan Selangor di 50 buah sekolah kawalan di samping dua buah asrama pusat.

Ilham juga berkata, Yayasan Selangor pada tahun ini mengambil inisiatif membantu pelajar generasi tercicir yang kurang cemerlang dalam pencapaian akademik melalui pemberian pinjaman pelajaran.

“Yayasan Selangor memperuntukkan sebanyak RM1.1 juta bagi melaksanakan program-program tahun 2011,” katanya.

Ilham menjelaskan,Yayasan Selangor memperuntukkan RM3 juta untuk pemberian biasiswa bagi 2,513 orang pelajar yang ditawarkan tempat sebagai pelajar khas pendidikan Yayasan Selangor.

Bagi pinjaman pelajaran,Yayasan Selangor memperuntukkan sebanyak RM8.7 juta bagi membiayai pengajian 1,250 pelajar institusi pengajian tinggi di peringkat diploma dan ijazah.

Tambah Ilham,sebanyak RM350,000 diperuntukkan sebagai biasiswa kepada 50 pelajar peringkat pengajian asas.

“Sebanyak RM504,000 diperuntukkan bagi membiayai pinjaman 81 pelajar di peringkat diploma dan ijazah untuk 2012,”ujarnya.

Turut hadir, Exco Pendidkan,Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Insan, Dr Halimah Ali.

Categories
SELANGOR

Seksyen 5 Shah Alam Aplikasi Model Pembangunan Makkah

SHAH ALAM, 8 MEI : Kawasan Seksyen 5 Shah Alam akan dibangunkan oleh kerajaan negeri sebagai kawasan Bandaraya Islam yang mengambil model pembangunan Bandaraya Makkah dengan menjadikan masjid sebagai pusat aktiviti masyarakat sekitarnya.

Menteri Besar,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata,  projek ini yang masih dalam peringkat perancangan akan membabitkan kawasan kira-kira 50 ekar dengan kos pembangunan bernilai kira-kira RM2 bilion sehingga RM3 bilion.

Dalam Islam konsep yang paling penting ialah semuanya berpaksikan masjid, oleh itu di Shah Alam Masjid Negeri menjadi kepada paksi pusat kepada pembangunan bandaraya Islam.

Abdul Khalid berkata, pembangunan Bandaraya Islam itu nanti akan menjadikan Shah Alam kawasan tarikan baru sekaligus meningkatkan taraf ekonomi setempat.

“Dijangka apabila projek ini dilaksanakan ia akan menghidupkan lagi Shah Alam yang akan mempunyai akademi pendidikan, pusat kewangan, pusat kesihatan dan penempatan yang akan menjadi sebuah bandaraya bercirikan Islam yang lengkap,” kata Abdul Khalid dalam sidang media selepas merasmikan Bengkel Pembangunan Bandaraya Islam (Islamic City) Kawasan Seksyen 5 Shah Alam.

Tambahnya, konsep Bandaraya Islam ini ialah sebuah bandaraya yang diduduki oleh masyarakat Islam yang mempunyai pelbagai fungsi dengan menekankan kepada pembangunan keseluruhan yang melibatkan fizikal, infrastruktur dan insan.

“Projek ini apabila berjalan ia akan menjadi nafas baru kepada Shah Alam, apa yang penting ialah kita dapat mengembalikan kegemilangan tamadun Islam,” jelas Abdul Khalid.

Seksyen 5 dipilih kerana terdapat Masjid Negeri yang mempunyai potensi untuk dibangunkan kawasan sekitarnya yang juga mempunyai pusat pentadbiran, komersil, pendidikan dan kesihatan.

Kira-kira 80 orang peserta hadir pada kursus yang diadakan di Hotel Saujana, Seksyen U2 di sini dan disertai Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar yang merupakan Pengerusi Perbadanan Adat Istiadat Melayu (PADAT).

Sebanyak lima kertas kerja dibentangkan dalam bengkel itu yang juga menampilkan pembentangan kertas kerja bertajuk “Perancangan dan Pembangunan Makkah Al-Mukarramah” yang disampaikan oleh Dr Ismawi Zen daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang mempunyai pengalaman dalam perancangan dan pembangunan Bandaraya Makkah.

Sementara itu menurut Datuk Bandar Shah Alam,Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan dalam ucapannya berkata pembangunan Bandaraya Islam itu merupakan pembangunan sejagat yang berpaksikan kepada tiga perkara asas.

Menurut peserta bengkel, Tan Ah Kow, yang juga Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam menyambut baik usaha dan idea itu di mana pembangunan tersebut akan menjadi mercu tanda baru di Selangor.

Menurut Penolong Mufti Kanan di Jabatan Mufti Selangor, Hadri Idris, cadangan pembangunan Bandaraya Islam itu merupakan idea amat baik yang menampilkan konsep unik.

“Saya amat tertarik dengan konsep di mana di Makkah dan Madinah apabila waktu untuk menunaikan solat perniagaannya ditutup hanya dengan menggunakan kain tanpa sebarang gangguan kekacauan daripada jenayah kecurian yang mana orang ramai yakin dengan tahap keselamatannya,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pakatan Tunaikan Manifesto 2008, Tambah Kebajikan Rakyat

Sebagai pengenalan, teks ini dihasilkan dan disebarkan  untuk menafikan tohmahan kalangan pemimpin Umno?BN semasa bercakap dalam setiap perhimpunan bersama rakyat di negeri Selangor khususnya. Mereka sepatutnya lebih berhemah dan bersopan apabila berucap di hadapan rakyat Selangor yang rata-rata lebih bermaklumat, bijak dan matang untuk menerima atau menolak antara ucapan yang dipenuhi fakta yang benar dengan ucapan merapu dan dipenuhi fitnah serta rasa dengki kesumat. Semoga penyebaran teks yang ringkas tetapi dipenuhi fakta dan angka ini kepada semua pihak, dapat segera menjawab segala tohmahan dan kebohongan kalangan pemimpin Umno-BN yang mengatakan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor  gagal menunaikan janji-janji dalam Manifesto Pilihan Raya Ke-12 lalu.

Tujuan manifesto dirangka pada setiap Pilihan Raya Umum ( PRU ) adalah untuk memberi gambaran kepada rakyat apakah model pentadbiran yang akan dilaksanakan oleh sesebuah parti politik atau gabungan parti-parti politik jika mereka diberi mandat memerintah. Manifesto merupakan iltizam pemimpin dan kepemimpinannya mentadbir negeri jika berjaya membentuk kerajaan. Dalam bahasa mudah manifesto adalah janji-janji pilihan raya.

Walau apapun yang terdapat  dalam manifesto, setiap parti politik yang bertanding  dalam PRU, rata-rata rakyat mahukan sebuah kerajaan yang mengamalkan amalan bersih, tidak rasuah dan berhemat berbelanja. Hanya program yang memberi kepentingan rakyat akan menjadikan bayaran cukai yang mereka bayar, mempunyai nilai sebenar. Sebuah kerajaan yang baik pula ialah kerajaan yang berjaya mengutip cukai dengan efisien dan menggunakan cukai tersebut untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat termasuk meningkatkan tahap ekonomi negeri agar pembangunan dapat dilakukan.

Begitulah yang ditekankan PR apabila menerajui negeri Selangor pada 2008. Pertumbuhan ekonomi negeri menjadi tumpuan agar semua janji  dalam Manifesto dapat dilaksanakan sebaik mungkin dan hasil pembangunan negeri dapat dirasai oleh setiap rakyat negeri ini.

Draf di bawah adalah data yang menunjukkan pencapaian ekonomi negeri Selangor semenjak 2008.

Setelah meletakkan kedudukan kewangan negeri dalam keadaan yang kukuh maka barulah janji-janji manifesto dapat direalisasikan kerajaan. Saya galurkan di sini 23 janji utama Pakatan Rakyat (PR) ketika PRU12 yang lalu yang kebanyakan daripadanya berjaya dilaksanakan.

Selama empat tahun memerintah Selangor, dengan tema Selangor Negeri Idaman, Maju, Sejahtera dan Berkebajikan Kerajaan PR telah melaksanakan hampir semua janji dalam Manifesto PRU 2008. Memandangkan Selangor adalah nadi pembangunan dan pemacu utama ekonomi Negara atau lebih tepat lagi penyumbang 23% kepada KDNK negara maka rakyat Selangor berhak mendapat bahagian yang besar dari kemajuan negeri dan Negara.

Justeru itu, Kerajaan PR telah melakar pembangunan negeri melalui program yang memberi kesan langsung kepada kebajikan rakyat di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dan tidak hanya tertakluk pada Manifesto 2008. Di bawah adalah data yang menunjukkan janji dan perlaksanaan oleh kerajaan PR di bawah MES;

Program MES telah dilebarkan menerusi program-program Hasil Negeri Untuk Rakyat kerana menyedari bahawa sekian lamanya hasil negeri terkaya ini dikutip namun pengagihannya tidak menitikberatkan kebajikan rakyat marhaen; hanya berlegar dalam kalangan pemimpin dan suku sakat mereka. Pelbagai program telah dilaksanakan di bawah Hasil Negeri Untuk Rakyat ini, antaranya;

  • Jom shopping bagi warga emas,
  • Pembiayaan pendidikan kepada warga kerja Selangor yang mahu melanjutkan pelajaran.
  • Program Pendidikan – SPIES, GEMS, Tuisyen Rakyat
  • Skim Perumahan Pekerja Ladang
  • Bantuan pengurusan bangunan, lif & pusat komuniti
  • Bonus Selangorku- Jom Shopping anak YAWAS yang berusia 4 tahun (lahir 2008)

Selama empat tahun mengamalkan pentadbiran reformasi; bersih telus dan berhemah PR telah berjaya mengutip hasil negeri tanpa berlaku ketirisan. Menyedari bahawa selama 50 tahun pentadbiran terdahulu; tanpa adanya proses semak dan imbang yang berkesan, pastinya terlalu banyak kepincangan dan ketirisan yang berlaku. Justeru, kehadiran PR tepat pada masanya. Ini terbukti apabila banyak lubang ketirisan berjaya dibendung. Hutang lapuk syarikat kroni yang mencecah hampir RM400juta dan berusia sedekad lamanya telah berjaya dikesan dan dikutip. Sejumlah wang yang mengikut kelaziman pemerintah terdahulu akan masuk ke dalam poket pemimpin, kini berjaya disalurkan semula kepada rakyat melalui Geran Selangorku. Satu dana besar berupa bonus kepada rakyat Selangor.

Terdapat 17 program yang telah dirancang dan sebahagian besarnya sedang berjalan lancar. 17 program tersebut menyentuh setiap segmen rakyat di Selangor; golongan pekerja, belia, wanita, warga emas, anak kecil, OKU, di bandar mahupun di desa. Bonus RM300 juta ini merupakan julung-julung kali diterima rakyat negeri ini melalui program berikut;

Melihat kepada program-program MES, Hasil Negeri Untuk Rakyat dan Geran Selangorku di atas rakyat dapat melihat meskipun ada di antara Manifesto 2008 yang belum dilaksanakan antaranya penurunan cukai pintu, pemberian wang masuk tadika dan wang saku suri rumah, namun program-program tambahan yang dilaksanakan jauh lebih memberi manfaat kepada rakyat. Umpamanya program Pemerkasaan Wanita berjumlah RM30 juta bakal menyediakan prasarana dan peluang yang jauh lebih cerah kepada golongan wanita dan suri rumah.

Begitu juga dengan Program Daripada Pejabat Kepada Rakyat dengan peruntukan sejumlah RM20 juta di bawah Geran Selangorku, adalah satu projek penyediaan data digital geran-geran tanah di seluruh Selangor dengan tujuan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat bagi jangka panjang. Rakyat tidak perlu lagi mengunjungi pejabat tanah untuk berurusan kerana semua urusan boleh dilakukan melalui teknologi internet. Secara langsung program ini dapat mengurangi kos yang ditanggung rakyat. Projek ini merupakan projek pertama yang pernah diadakan di Asia.

Jika mahu dibongkar dan diungkit perkara yang dilakukan pemerintah terdahulu maka terlalu banyak yang boleh diperkatakan. Namun kerajaan PR mengambil pendekatan bahawa rakyat Selangor sesungguhnya maklum perkara tersebut  lantas rakyat memilih untuk menolak mereka pada PRU yang lalu. Justeru itu, PR tidak menoleh ke belakang dengan menonjolkan perlakuan mereka sejak 50 tahun lalu. Sebaliknya PR melaksanakan pentadbiran maju ke hadapan dengan melakukan perubahan dan reformasi pada setiap segmen pentadbiran; politik, ekonomi dan sosial.

Puluhan program telah dilaksanakan hanya dalam tempoh 4 tahun memerintah. Selain menghalang kenaikan tarif air hingga mencecah 71%, PR berjaya memberikan air percuma 20 meter padu kepada setiap isi rumah sejak 2008 yang lalu. Usaha giat dijalankan untuk menyelamatkan air Selangor daripada terus diancam kroni pemerintah Persekutuan. Setelah PR memerintah, barulah rakyat Selangor mengetahui bahawa aset air negeri Selangor yang selama ini digunakan secara percuma oleh syarikat kroni, bernilai RM12 billion apabila Kerajaan Negeri melakukan audit besar-besaran terhadap aset-aset tersebut. Dengan penemuan nilai aset yang setinggi itu ia mampu menambah iltizam kita untuk terus mempertahankan air Selangor.

PR yakin dengan semua program kebajikan di atas, rakyat Selangor akan terus memberikan mandat kepada PR untuk memerintah negeri ini. Pentadbiran secara telus, bersih dan bebas rasuah adalah yang didambakan oleh rakyat. Konsep ?Value For Money? yang diperkenalkan oleh pentadbiran PR kini benar-benar mendapat tempat di negeri termaju dan terkaya di Malaysia ini. Selangor adalah model terbaik jika PR diberi peluang oleh rakyat Malaysia untuk memerintah Putrajaya.

FAEKAH HUSIN

SETIAUSAHA POLITIK

KEPADA MENTERI BESAR SELANGOR Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

 

 

 

 

Categories
SELANGOR

Apa Khabar Selangor – Episod 9:Harum 2012,Rumah Mampu Milik,Turun Kawasan DUN Kota Damansara dan Pengurusan Kewangan

Apa Khabar Selangor EPISOD 9 (Bahagian 1)

Sinopsis:

Rancangan ini telah disiarkan secara langsung pada 11 April 2012, Rabu, jam 12tghari-2 petang melalui http://www.selangorkini.net

Apa Khabar Selangor memaparkan 4 segmen utama dan di pecahkan kepada 2 tajuk kecil.

Segmen 1: Harum 2012:Karnival Himpunan Kekeluargaan Rumpun Nusantara
Segmen 2: Rumah Mampu Milik bersama YB Iskandar Abdul Samad

 

Apa Khabar Selangor EPISOD 9 (Bahagian 2)

Segmen 3: Turun Kawasan YB Tuan Dr Mohd Nasir Hashim
Segmen 4: Anak Muda & Hutang (Pengurusan Kewangan)

Categories
SELANGOR

Pelaburan Selangor Meningkat Dari RM8b Kepada RM35b

SHAH ALAM, 6 APR : Anak syarikat milik Menteri Besar Incorporated (MBI), Selangor State Investment Centre (SSIC) berjaya meningkatkan ekonomi dengan hasil pelaburan meningkat daripada 8 billion kepada 35 billion pada tahun 2011.

Nilai tersebut telah menjadikan Selangor sebagai negeri penyumbang pelaburan terbesar di Malaysia.

Sehubungan itu, SSIC ditugaskan untuk menarik pelabur untuk melabur di pelbagai sektor di Selangor seperti
sektor elektrik dan elektronik, getah, kayu, pengangkutan dan lain-lain sektor.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kebanyakan pelaburan di Selangor adalah untuk pelaburan eksport di serata dunia.

Abdul Khalid turut memberitahu, 80% daripada keluaran eksport negeri Selangor digunakan oleh serata dunia.

Malah, menurut beliau, pelaburan di Selangor telah sampai ke peringkat matang kerana pelaburan yang bertambah setiap tahun.

“Kerajaan Negeri pada tahun 2008 mempunyai simpanan tunai sebanyak 400 juta dan pada tahun 2011 direkodkan simpanan tunai kerajaan meningkat menjadi RM1.9 billion.” jelas Abdul Khalid.

Ini adalah hasil daripada sistem pelaburan yang dikendalikan oleh SSIC dan telah mendatangkan kejayaan buat rakyat dan Kerajaan Negeri,” ujar Abdul Khalid ketika memberi ucapan pembukaan sempena majlis minum petang bagi meraikan lawatan rasmi mantan Menteri Koperasi Indonesia di Hotel Concorde Shah Alam hari ini.

Sementara itu, Abdul Khalid hadir bersama barisan Exco-Exco Selangor yang menggotai SSIC bagi meraikan lawatan rasmi mantan Menteri Koperasi Indonesia, Bapak Adi Sasono dan rombongan di majlis minum petang di Hotel Concorde Shah Alam.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Projek Lantikan Terus Era BN Tinggi

SHAH ALAM, 27 MAC: Era pentadbiran Barisan Nasional (BN) negeri Selangor mencatatkan kelulusan lantikan terus kontraktor sehingga RM396 juta pada tahun 2007 berbanding di era pentadbiran Pakatan Rakyat sebanyak RM60 juta pada tahun 2008.

Demikian menurut Laporan Penuh Kelulusan Lantikan Terus Bagi Tahun 2005-2011 yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini.

Menurut laporan yang turut disentuh oleh Khalid ketika menggulung perbahasan BN telah memperuntukan sebanyak RM190,734,179 untuk projek-projek lantikan terus pada tahun 2005.

Manakala sebanyak RM171,869,262 pula diperuntukan pada tahun 2006 dan yang tertinggi pada 2007 yang telah mencatatkan sebanyak RM396,360,381.

Pakatan Rakyat yang mengambil alih pentadbiran Negeri Selangor setelah memenangi Pilihan Raya Umum peringkat DUN Selangor pada Mac 2008 pula telah menunjukan penyusutan yang amat ketara berbanding sebelumnya.

Pakatan Rakyat telah memperuntukan sebanyak RM60,031,002 pada 2008 termasuk yang diluluskan oleh kerajaan BN sebelum 8 Mac tahun yang sama.

Pada 2009, sebanyak RM24,306,530 telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat dan diikuti RM27,136,284 bagi tahun 2010.

Manakala bagi 2011 pula, sebanyak RM4,753,175 sahaja peruntukan yang diluluskan bagi projek lantikan terus kepada kontraktor terpilih.

Sebelum ini, di Dewan Undangan Negeri Selangor, Khalid telah memberitahu dewan, Kerajaan Negeri sentiasa berhati-hati dalam memberi projek rundingan terus kepada mana-mana kontraktor di negeri ini.

Menurutnya peruntukan untuk projek rundingan terus hanya dikeluarkan apabila keadaan memerlukan peruntukan segera seperti ketika berlaku bencana banjir dan sebagainya.

“Saya tak ada masa nak bahaskan samada betul atau tak betul semua ini, saya cuma berikan fakta.

“Sebagai contoh, kita perlu bina jambatan bagi orang-orang yang terjejas banjir.

“Jika kita gunakan kaedah normal, ia mengambil masa tiga bulan untuk menamatkan projek.

“Jadi kami pilih kontraktor, kami tidak akan berbuat demikian dalam keadaan biasa,” ujar beliau.

Categories
SELANGOR

Pelaburan Industri Selangor Tertinggi

SHAH ALAM, 26 MAC: Tuduhan pembangkang BN bahawa jumlah pelaburan perindustrian Negeri Selangor jatuh setelah Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri pada 2008 disanggah Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Selangor, Teresa Kok hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Usul Menyembah Ucapan Terima Kasih Serta Menjunjung Kasih Ke Atas Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor hari ini.

“Sebagai rumusan saya ingin memberitahu ahli-ahli yang berhormat di dewan yang mulia ini bahawa Negeri Selangor mencapai jumlah projek, peluang pekerjaan dan pelaburan perindustrian paling tinggi di seluruh Malaysia.

“Tidak seperti apa yang dituduh ahli-ahli YB pembangkang bahawa pelaburan di Selangor telah pun jatuh selepas Pakatan menjadi kerajaan di Selangor,” ujar beliau.

Jumlah projek perkilangan yang diluluskan oleh Malaysia Investment  Development Authority (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di Selangor dari 2008 hingga 2011 sebanyak 1,168 projek dengan peluang pekerjaan sebanyak 100,348.

Negeri Selangor turut berjaya merekodkan jumlah pelaburan tempatan yang bernilai RM15.61 juta dan pelaburan antarabangsa sebanyak RM22.39 juta dalam tempoh yang sama.

Teresa turut memberitahu persidangan DUN bahawa Negeri Selangor telah menyumbang 15 peratus daripada jumlah keseluruhan modal pelaburan pada 2011.

“Daripada jumlah keseluruhan modal pelaburan yang diluluskan di Malaysia iaitu sebanyak RM56,806 bilion, sebanyak RM8,741 bilion iaitu 15.3 peratus daripada jumlah modal yang diluluskan oleh MIDA dan MITI di Malaysia adalah di negeri Selangor.

“Selangor mencatatkan jumlah pelaburan di tempat kedua tertinggi selepas Pulau Pinang yang mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi sebanyak RM9.106 bilion daripada 109 projek perkilangan yang diluluskan,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Permatang Kuarza Genting Klang Dijadikan Tapak Warisan Dunia

SHAH ALAM, 26 MAC: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa kerja peringkat negeri untuk mengkaji Permatang Kuarza Genting Klang (PKGK) sebagai Tapak Warisan Negara dan Dunia.

Menurut kenyataan media Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong hari ini Kerajaan Selangor telah meluluskan penubuhan sebuah Jawatankuasa Kerja Peringkat Negeri pada 14 Disember 2011.

“Jawatankuasa ini bertujuan untuk mengkaji Permatang Kuarza Genting Klang (PKGK) sebagai Tapak Warisan Negara dan Dunia,” demikian menurut kenyataan media

Jawatankuasa yang ditubuhkan itu turut membabitkan pelbagai agensi-agensi kerajaan.

“Jawatankuasa ini terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Pejabat Tanah Gombak dan Jabatan Perhutanan Selangor.

“Agensi lain yang terlibat dalam jawatankuasa itu ialah Lembaga Urus Air Selangor, Perhilitan, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor dan lain-lain,” menurutnya.

“Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah mewartakan TNS untuk fasa 1 seluas 91,144.5 hektar mengikut seksyen 10(1)(1) Akta Perhutanan Negara 1984.

“Pada mesyuarat pada 15 Disember 2011, jawatankuasa tersebut telah bersetuju supaya pencalonan PKGK sebagai Tapak Warisan Dunia perlu dimulakan dengan saintifik bagi mengenalpasti fakta-fakta saintifik atau ‘Outstanding Universal Value” di kawasan PKGK.

Selain itu menurut kenyataan itu lagi, beberapa agensi kerajaan lain juga didapati telah mewartakan kawasan PKGK di dalam bidang kuasa masing-masing.

“Jabatan Perhutanan Negeri Selangor telah mewartakan TNS untuk fasa 1 seluas 91,144.5 hektar mengikut seksyen 10(1)(1) Akta Perhutanan Negara 1984.

“Terdapat juga pelbagai warta lain di PKGK dan kawasan sekelilingnya termasuk warta di bawah Lembaga Urus Air Selangor dan Jabatan Perhilitan,” menurut kenyataan itu lagi.

Categories
SELANGOR

Satu Lagi Program MES Untuk Suri Rumah, Warga Emas dan Kanak Kanak

KUALA SELANGOR 25 MAC : Sambutan yang menggalakkan daripada lebih 70,000 pengunjung ke Karnival ?Terima Kasih Rakyat? sempena empat tahun Pakatan Rakyat (PR) di Kuala Selangor semalam merupakan satu petanda baik bagi Kerajaan Negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sambutan itu menunjukkan sokongan rakyat kepada Kerajaan Selangor datang daripada berbilang kaum.

Khalid dalam ucapannya turut mengumumkan program baru yang dirancang Kerajaan Negeri dibawah dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) untuk semua golongan.

Katanya, program yang akan diberikan kepada isi rumah, suri rumah, kanak-kanak, warga emas dan golongan belia akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Untuk merealisasikan program ini, kita harus bekerja bersama-sama seperti satu keluarga, jangan wujudkan perbezaan seperti yang diamalkan sebelum 2008.

“Banyak program mereka (pentabiran Selangor lama) tidak membawa rakyat bersama antaranya warga emas, biasiswa dan bantuan orang miskin.

?Tetapi MES tidak meninggalkan sesiapa kerana di negeri yang kaya ini kita salurkan kepada rakyat,? Khalid berkata.

Khalid berkata program MES kini sudah merentasi lebih empat juta penduduk negeri.

Karnival yang berlangsung selama satu hari di Stadium Kuala Selangor itu di adakan sempena ulang tahun ke-empat pentadbiran Pakatan di Selangor.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Teng Chang Khim, ke semua barisan Exco Kerajaan Selangor, termasuk ADUN dan  MP Pakatan.

Tambahnya, pentadbiran Pakatan mampu menjana ekonomi ke tahap yang lebih tinggi daripada sebelum 2008.

“Banyak dakwaan sebelum ini yang mengatakan Kerajaan Negeri akan bangkrup jika melaksanakan program MES lebih lagi dengan bantuan air percuma tetapi dakwaan itu tidak benar dan kita bertambah maju,” katanya.

Jelasnya lagi, dalam rekod pembangunan negeri, Selangor muncul sebagai negeri unggul dan menyumbangkan lebih 20 peratus keluaran negara kasar (KDNK).

“Lonjakkan ini adalah lebih baik daripada sebelum 2008, bukan satu cerita tetapi kenyataan dan angka-angka ini bertambah berbanding negeri-negeri lain,” katanya.

Categories
SELANGOR

Selangor Penyumbang Ekonomi Terbesar Malaysia

SHAH ALAM 21 MAC :Selangor menyumbang sekurang-kurangnya 22 peratus atau lebih 1/5 daripada ekonomi negara. Manakala negeri-negeri lain sekadar menyumbang kurang daripada 10 peratus.

Kenyataan tersebut dinyatakan oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi membuktikan kerajaan negeri lebihbersikap berdikari dan komitmen dalam membangunkan negeri.

Katanya, amalan tata kelola dan pengurusan yang berintegriti, Kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat (Pakatan) berjaya mencatatkan simpanan tunai sebanyak RM1.9 billion sepanjang tahun 2011.

“Walaupun kita adalah negeri penyumbang terbesar kepada ekonomi negara, tetapi Kerajaan Pusat hanya mengembalikan dua peratus sahaja daripada jumlah sumbangan itu.

“Ini menyebabkan kita perlu untuk memiliki rezab simpanan tunai yang besar untuk berdikari membangunkan negeri tanpa perlu mencari sumber lain iaitu termasuk membuat pinjaman daripada Kerajaan Pusat,”jelas Abdul Khalid dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DNS) di sini hari ini.

Sebagai rekod, simpanan tunai Kerajaan Negeri sepanjang tahun 2011 ialah RM1.9 billion iaitu peningkatan lebih 26 peratus berbanding di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang hanya merekodkan  kurang RM500 juta sebelum 2008.

“Walaupun begitu, tidak kesemua simpanan tetap itu boleh dibelanjakan memandangkan ia adalah juga sebahagian daripada Akaun Amanah Disatukan,”katanya.

Categories
SELANGOR

Automotive Belt Jana Pertumbuhan di Hulu Selangor

SHAH ALAM 20 MAC : Beberapa kawasan sekitar Hulu Selangor seperti Serendah dan Kuala Kubu Baru telah mengalami pembangunan
komersil yang memberangsangkan hasil daripada pelan Kerajaan Selangor untuk membangunkan Automotive Belt di daerah itu.

Pelan Automotive Belt ini telah menyebabkan wujudnya transformasi pembangunan tanah dari tanah pertanian ke perbandaran.

Ini melahirkan pusat pertumbuhan baru seperti Bandar Baru Bukit Beruntung, Bukit Sentosa, Lembah Beringin dan Sungai Buaya.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok Suh Sim berkata kerajaan negeri sentiasa mempertingkatkan
insfrastruktur kawasan-kawasan perindustrian yang berpotensi bagi menggalakkan pertumbuhan sektor tersebut sekaligus
menarik minat pelabur.

“Sebagai rekod, pada tahun 2011, sebanyak RM 2.02 billion diperuntukkan untuk pembangunan sektor perindustrian ini.

“Peruntukkan ini ditambah lagi (RM 4.95 juta) untuk membesarkan kilang-kilang dan kursus-kursus kepada golongan belia,
penuntut di kolej dan universiti dalam bidang automotif, mekanikal dan kejuruteraan sebagai usaha menjana modal insan
dalam sektor ini,” jelas Teresa bagi menjawab soalan dari ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali.

Selain merupakan pelengkap kepada Proton City di Tanjung Malim, lokasi ini menjadi tumpuan syarikat-syarikat pembuatan
barangan peralatan kenderaan yang merupakan vendor kepada Perodua, Nissan dan Proton.

Bagi mengalakkan lagi perkembangan dan pertumbuhan pesat sektor ini, Teresa berkata Kerajaan Negeri melalui SSIC Berhad
sedang giat mempromosikan kawasan-kawasan tersebut kepada pelabur yang berpotensi.

“Kerajaan negeri menggunakan beberapa pendekatan dalam membangunkan kawasan ini antaranya mewujudkan corak pembangunan
berpusat selain meningkatkan kelengkapan insfratruktur.”

Categories
NASIONAL SELANGOR

Abdul Khalid : Selangor Penyumbang Terbesar Kemajuan Malaysia

SHAH ALAM, 4 MAC : Kemajuan secara konsisten yang dikecapi Selangor sejak 2008 baik dari sudut pentadbiran mahupun ekonomi antara penyumbang utama kepada pembangunan pesat di Malaysia sehingga menjadikan negara ini semakin gah di mata dunia.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Selangor menyumbang 23 peratus kepada keluaran negara kasar, jumlah yang paling besar daripada 13 buah negeri di Malaysia.

Menurutnya, pembangunan di Selangor bertambah baik dan pesat sejak negeri itu ditadbir Pakatan Rakyat (Pakatan), dan ini tidak dapat dinafikan pentadbiran Umno-BN (BN) yang memerintah sebelum ini.

“Itulah sebabnya Umno dan Barisan Nasional (BN) sangat berminat dengan Selangor kerana mereka merasakan suatu kehilangan kepada negeri yang memberi sumbangan melebihi 23 peratus daripada keluaran negara kasar.

?Ini bermakna, tanpa kemajuan di Selangor, kuranglah pembangunan di Malaysia. Selangor telah memberi satu peluang kepada negara ini untuk mempercepatkan pembangunannya,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian di hadapan lebih 1,000 penyokong PKR sempena Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin Cabang Shah Alam yang bertemakan “Pertahankan Shah Alam, Tawan Putrajaya” di Dewan Kompleks Belia Seksyen 7, di sini malam tadi.

Hadir sama, Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari dan Adun Bangi Dr Shafie Abu Bakar dan ADUN Sri Muda Suhaimi Shafiei.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut mengingatkan barisan pimpinan Pakatan untuk menguatkan jentera dan bersiap sedia sebelum menghadapi gelombang PRU-13 yang dijangka berlangsung sedikit masa lagi.

Ini kerana tegasnya, kerajaan Umno-BN akan menggunakan apa sahaja cara untuk menawan semula negeri Selangor.

“Saya ingin berterima kasih kepada Dr Yaakob kerana menunjukkan kepada saya kepimpinan beliau yang dapat mengumpulkan begitu ramai penyokong untuk memastikan kemenangan di Shah Alam dapat dikekalkan pada PRU-13 nanti.

Kalau ini usaha yang dilakukan, saya pasti Pakatan Rakyat akan mengecapi kemenangan yang lebih besar berbanding PRU ke-12 pada tahun 2008,” katanya.

ends