Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 6,000 remaja DUN Sungai Kandis selesai dos pertama vaksin

KLANG, 30 SEPT: Lebih 6,000 remaja berusia 16 dan 17 tahun sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis menerima dos pertama pelalian Covid-19 setakat semalam.

Jumlah berkenaan direkodkan dalam tempoh enam hari sejak minggu lalu di Sekolah Agama Menengah Tinggi Hisamuddin di sini, kata wakil rakyatnya Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

“Dianggarkan seramai 1,000 pelajar divaksin setiap hari dan jumlah sama juga akan menerima suntikan pada hari terakhir hari ini bagi dos pertama,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengedarkan 1,000 pek makanan bersama Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) DUN Sungai Kandis di dewan sekolah berkenaan, hari ini.

Pada 23 September, Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor berkata sebanyak 399 sekolah di negeri ini terlibat dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja.

Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata sekolah yang terlibat meliputi institusi kendalian Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Agama Islam Selangor dan sekolah swasta.

Pada 20 September, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasar 80 peratus remaja lengkap dos vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka tahun depan.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata KKM juga menyasar 60 peratus daripada remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang November.

Categories
ADN SELANGOR

Sukarelawan Sungai Kandis edar 1,000 pek sarapan buat remaja divaksin

KLANG, 30 SEPT: Sebanyak 1,000 pek sarapan diedar Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (Suka) kepada remaja yang menerima vaksin di Sekolah Agama Menengah Tinggi Hisamuddin di sini, pagi tadi.

Inisiatif Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis bagi memastikan golongan itu termasuk ibu bapa mengalas perut sementara menunggu giliran suntikan, kata wakil rakyatnya.

“Hari ini seramai 10 sukarelawan terlibat mengedar 1,000 sarapan pagi yang mengandungi air serta roti kepada pelajar dan ibu bapa,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni ketika ditemui.

Beliau berkata pihaknya juga menyediakan talian khas bagi memudahkan penduduk berhubung dengan Suka untuk mendapatkan bantuan kesihatan khususnya berkaitan Covid-19.

“Khas bagi penduduk Sungai Kandis boleh hubungi 013-2349349 untuk mendapatkan bantuan sama ada memperoleh kit ujian kendiri dan penghantaran ke pusat kuarantin,” katanya.

Pada 5 Ogos, Kerajaan Negeri menubuhkan Suka untuk menjalankan aktiviti kesihatan awam di peringkat komuniti terutama berkaitan pandemik Covid-19.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata penyertaan terbuka kepada warganegara yang menetap di Selangor, berumur 18 tahun ke atas dan sihat tubuh badan.

Sukarelawan terpilih akan dilatih modul bertemakan Covid-19 sebelum digerakkan ke seluruh 56 DUN.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Lebih 8,000 pelajar dapat vaksin di PPV Kuala Selangor

KUALA SELANGOR, 28 SEPT: Lebih 8,000 remaja berumur 16 dan 17 tahun menerima suntikan vaksin di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Kuala Selangor sejak Khamis lalu.

Insiatif membabitkan 21 sekolah turut merangkumi 1,260 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Utama dan 267 pelajar Kolej Vokasional Kuala Selangor hari ini.

Pengerusi pasukan petugas khas imunisasi Covid-19 Kuala Selangor berkata pelajar perlu mendaftar di stadium utama sebelum dibawa ke stadium tertutup untuk mendapat suntikan.

“Lima kaunter vaksin disediakan bagi pelajar mengambil vaksin dan proses pemberian suntikan berjalan lancar serta berpuas hati dengan kehadiran mereka,” kata Mohd Faizal Abdul Raji.

Beliau yang juga pegawai daerah Kuala Selangor menambah pelajar yang tidak hadir atas sebab tertentu akan dirujuk ke pusat kesihatan daerah untuk mengambil suntikan.

Program vaksin Covid-19 remaja berumur 16 dan 17 tahun di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Kuala Selangor bermula sejak 23 September sehingga esok.

Pada 20 September, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasar 80 peratus remaja lengkap dos vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka tahun depan.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata KKM juga menyasar 60 peratus daripada remaja berusia 12 hingga 17 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang November.

Categories
RENCANA

Jelas kepentingan vaksin kepada pelajar, pastikan sistem pembelajaran lancar

Oleh Maizatul Jamny Muhammad Rosli

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Penjelasan mengenai vaksin Covid-19 harus diberikan kepada remaja atau pelajar sekolah secara berterusan supaya mereka lebih prihatin tentang pencegahan penyakit dalam mengekang penularan wabak berkenaan terhadap golongan itu.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) Wang Heng Suan berkata walaupun tiada undang-undang yang mewajibkan pelajar mengambil vaksin, namun kaunselor di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah perlu memainkan peranan memberi kesedaran dan kepentingan vaksinasi kepada pelajar.

“Suntikan vaksin amat penting untuk mengekang penularan jangkitan Covid-19 sekali gus memastikan sistem pembelajaran berfungsi dengan baik. Pemberian vaksin kepada remaja merupakan jalan terbaik bagi mengekang penularan jangkitan itu dalam kalangan remaja.

“Ibu bapa harus memahami situasi pandemik ketika ini dan dapat memberikan kerjasama yang baik dengan mendaftarkan anak mereka untuk mendapatkan vaksin supaya ekosistem pendidikan Malaysia tidak terjejas,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Wang berkata pandemik Covid-19 merupakan satu cabaran kepada golongan pendidik dan pelajar dalam meneruskan pengajaran dan pembelajaran (PdP) kerana wabak itu bukan sahaja melibatkan nyawa seorang pesakit, tetapi satu komuniti atau populasi.

Katanya NUTP percaya sekolah-sekolah akan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan Kementerian Pendidikan mengambil kira langkah mengawal penularan jangkitan Covid-19 ketika pelajar memulakan sesi persekolahan secara berperingkat mulai 3 Okt ini.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja yang bermula secara rasmi pada 20 Sept lepas menyasarkan penglibatan 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun, dengan 60 peratus daripada mereka mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada November ini dan 80 peratus mendapat dos lengkap sebelum sekolah dibuka pada sesi 2022.

Bagaimanapun, program itu telah dimulakan lebih awal di Sarawak pada 8 Sept dan Labuan pada 11 Sept selepas kadar vaksinasi di negeri dan wilayah persekutuan tersebut mencapai 80 peratus, manakala di Sabah pula dimulakan pada 16 Sept kerana sebahagian besar remaja tinggal di kawasan pedalaman dan memerlukan lebih masa bagi aktiviti jangkau luar.

Sementara itu, Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia Sukimin Juki pula berkata pemberian vaksin Covid-19 kepada pelajar sekolah adalah cara terbaik ketika ini memandangkan sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi sekali gus mampu mewujudkan ekosistem yang selamat di sekolah.

Beliau berkata bagi mewujudkan persekitaran yang selamat di sekolah, bukan hanya warga sekolah seperti guru, pihak pengurusan dan petugas sokongan sahaja perlu divaksin, tetapi juga pelajar sekolah bagi mewujudkan gelembung yang lebih selamat sesama mereka.

“Pemberian vaksin adalah yang terbaik buat masa ini. Ya, mungkin tidak 100 peratus, tetapi dalam usaha mewujudkan ekosistem yang selamat, ia adalah antara langkah terbaik pada waktu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Mohd Ariffin Abdul Rahman berkata walaupun warga sekolah dan pelajar telah menerima suntikan vaksin, namun tindakan terbaik adalah mematuhi segala SOP yang telah digariskan.

Beliau berkata ia berikutan sekiranya SOP seperti penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka tidak diterapkan dengan baik, jangkitan masih boleh berlaku biarpun majoriti telah menerima vaksin.

“Kalau sudah divaksin tetapi tidak jaga SOP, kemungkinan jangkitan itu akan ada dan mungkin berada pada tahap satu atau dua. Tapi kita tidak mahu itu berlaku jadi langkah tambahan adalah jaga SOP walau di mana kita berada, dalam atau luar sekolah,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

30.1 peratus daripada 2.53 juta pelajar terima dos pertama vaksin

MELAKA, 26 SEPT: Sebanyak 30.1 peratus daripada keseluruhan 2.53 juta murid berusia 12 hingga 17 tahun di seluruh negara telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 sehingga semalam, kata Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk Dr Mah Hang Soon.

Beliau berkata daripada jumlah itu juga 4.4 peratus murid telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 yang dilaksanakan di 687 pusat pemberian vaksin (PPV) awam, sekolah, institusi pengajian tinggi, klinik kerajaan dan balai polis.

“Sebanyak 63.3 peratus daripada 834,857 murid berusia 16 hingga 17 tahun telah menerima dos pertama manakala 10.9 peratus daripada 1.64 juta murid berusia 12 hingga 15 tahun mendapat dos pertama mereka.

“Secara keseluruhan program pemberian vaksin melibatkan murid dan pelajar sekolah di seluruh negara berjalan lancar dan mendapat sambutan yang baik daripada ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat PPV Encore Melaka sempena Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Kota Syahbandar di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Senator Datuk Lim Ban Hong dan Pengarah Jabatan Pendidikan Melaka Dr Mohd Azam Ahmad.

Mengulas lanjut Mah berkata di Melaka, sebanyak 50.1 peratus daripada 26,683 murid berusia 16 hingga 17 tahun telah mendapat dos pertama manakala bagi murid berusia 12 hingga 15 tahun, sebanyak 11.5 peratus daripada 51,284 murid telah menerima dos pertama di sembilan PPV awam melibatkan 76 sekolah menengah.

Beliau berkata pihaknya menerusi Jabatan Pendidikan Negeri sedang melakukan pelbagai usaha untuk menggalakkan lebih banyak ibu bapa memberi kebenaran kepada anak-anak mereka mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

“Kita masih berada di peringkat awal PICK Remaja ini dan kita sedang memantau pelaksanaan program ini untuk melihat usaha yang boleh dilakukan bagi menggalakkan lebih ramai murid menerima vaksin,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pakar: Utamakan vaksin remaja dengan sejarah masalah kesihatan

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Remaja yang mempunyai sejarah masalah kesihatan atau yang memiliki komorbiditi perlu diutamakan dalam pemberian vaksinasi Covid-19 kerana golongan ini berisiko tinggi mendapat implikasi yang lebih serius akibat jangkitan virus itu.

Pakar kanak-kanak Hospital Raja Perempuan Zainab II Dr Nik Khairulddin Nik Yusoff berkata terdapat laporan dari seluruh dunia mengenai kanak-kanak dan remaja yang mengalami kesan teruk apabila dijangkiti Covid-19, termasuk beberapa kes kematian.

“Kebanyakan mereka sudah mempunyai penyakit kronik yang mendedahkan mereka kepada keadaan yang serius serta lebih cenderung mendapat komplikasi disebabkan Covid-19, termasuklah risiko dijangkiti penyakit yang jarang berlaku tetapi sangat serius, iaitu Sindrom Keradangan Mutilsistem pada kanak-kanak (MIS-C) ,” katanya semasa sesi taklimat ringkas kepada media tentang Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan PICK Remaja, secara dalam talian, hari ini.

Bagaimanapun, katanya majoriti remaja yang dijangkiti virus itu tidak mengalami gejala atau bergejala ringan yang boleh sembuh sendiri.

“Terkini, dilaporkan kadar kanak-kanak dan remaja yang dijangkiti Covid-19 telah meningkat, justeru keputusan untuk memberi vaksin kepada golongan ini adalah tepat pada masanya dan mesti dipercepatkan,” kata Dr Nik Khairulddin.

Sehingga 21 Sept lepas, statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan terdapat trend peningkatan jangkitan Covid-19 terhadap kanak-kanak (individu berumur 18 tahun ke bawah) di Malaysia, iaitu daripada 12,620 kes yang dicatatkan tahun lepas melonjak ke 410,762 kes tahun ini, manakala 75 kes kematian Covid-19 kanak-kanak dilaporkan tahun ini berbanding hanya enam kematian tahun lepas.

Program PICK Remaja bermula secara rasmi Isnin lepas dan menyasarkan vaksinasi Covid-19 kepada 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sebelum pembukaan sekolah bulan depan.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor perluas rebat pengangkutan ke PPV untuk remaja bawah 18 tahun

AMPANG, 23 SEPT: Rebat pengangkutan sebanyak RM20 ke pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negeri diperluas kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

Ketua Tanggungjawab Sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata permohonan dibuka sekarang dan boleh digunakan bermula 1 Oktober hingga 30 November.

“Dato’ Menteri Besar bersetuju untuk tawarkan inisiatif ini kepada penerima vaksin berusia 12 hingga 17 tahun serta memanjangkan tempoh yang sepatutnya tamat hujung bulan ini.

“Ibu bapa yang sudah menggunakan kemudahan ini juga boleh membuat permohonan lagi untuk anak-anak mereka,” katanya ketika menyerahkan derma RM50,000 kepada Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor semalam.

Beliau berkata sejak inisiatif dalam Pakej Kita Selangor 2.0 itu diumumkan pada Jun, seramai 14,000 individu sudah menerima manfaatnya.

“Daripada jumlah berkenaan 10,000 orang sudah menebusnya. Untuk inisiatif ini MBI membelanjakan RM100,000 daripada RM1 juta yang diperuntukkan,” katanya.

Sebelum ini inisiatif itu dikhususkan kepada penduduk negeri ini berusia 50 tahun ke atas.

Bagaimanapun pada Julai, Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan rebat terbabit dibuka kepada semua rakyat Selangor tanpa mengira usia.

Categories
AGENDA NASIONAL

308,000 remaja umur 12 hingga 17 tahun disuntik dos pertama vaksin

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Sekurang-kurangnya 308,000 remaja berumur lingkungan 12 hingga 17 tahun telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 di seluruh negara sehingga semalam, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata Sabah mendahului dengan 118,000 suntikan diikuti Sarawak (88,000), Kedah (19,000), Kelantan (17,000), Johor (16,000) dan Labuan (2,500).

“Meskipun pelancaran program vaksin kepada remaja baru sahaja bermula semalam tetapi ada negeri yang telah memulakan suntikan lebih awal lagi seperti Sarawak pada 8 Sept, Labuan pada 11 Sept dan Sabah pada 19 Sept.

“Angka ini memberi gambaran ketidaksabaran serta semangat remaja yang memang mahu disuntik cepat kerana mereka faham dan sedar kepentingan vaksin tersebut dalam melawan COVID-19,” katanya dalam program Bicara Naratif yang bersiaran secara langsung di RTM1 malam ini.

Dr Noor Azmi berkata Kementerian Kesihatan (KKM) yakin negara dapat mencapai sasaran menyuntik sekurang-kurangnya 80 peratus daripada keseluruhan 3.2 juta remaja dengan dua dos lengkap menjelang hujung tahun ini atau selewat-lewatnya sebelum sesi persekolahan 2022 bermula.

“Jumlah 3.2 juta remaja ini termasuk mereka yang bukan warga dan juga yang tidak bersekolah… kita tidak mahu ada remaja yang ketinggalan atau keciciran,” katanya sambil menambah KKM menyasarkan 60 peratus golongan itu menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan pada akhir November tahun ini.

Beliau berkata program itu akan dilaksana dengan beberapa kaedah iaitu bagi sekolah yang pelajarnya lebih 1,000 orang, suntikan akan dibuat di sekolah tersebut secara berjadual dari 8 pagi hingga 5 petang manakala bagi sekolah dengan pelajar kurang 1,000 orang seperti di luar bandar, pelajar beberapa sekolah berbeza akan menerima suntikan di lokasi sama yang akan ditetapkan.

“Pelajar di asrama harian atau penuh, sebelum balik ke asrama akan diberi janji temu di aplikasi MySejahtera sama ada mereka akan menerima suntikan di klinik perubatan am swasta atau di sekolah yang ditetapkan.

“Bagi yang tidak mempunyai akses untuk keluar seperti pelajar yang terlantar sakit di rumah atau tinggal jauh di pedalaman maka KKM akan membuat ‘outreach’ dan memberikan suntikan di lokasi mereka,” katanya.

Dr Noor Azmi juga berkata kaedah jumpa terus yang akan bermula Khamis ini akan dilaksana secara berjadual dengan pelajar diberi tarikh dan lokasi pusat pemberian vaksin (PPV) oleh pihak sekolah agar tidak berlaku kesesakan di PPV terbabit.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin remaja tanpa janji temu di 156 PPV mulai Khamis

SHAH ALAM, 21 SEPT: Pemberian vaksin untuk remaja (PICK-Remaja) tanpa janji temu dimulakan pada 23 September membabitkan 156 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan di Twitter rasminya memaklumkan program suntikan itu melibatkan semua kategori remaja termasuk yang tidak bersekolah.

“Remaja yang tidak bersekolah dibenarkan hadir terus di PPV berdekatan tempat tinggal sementara yang menuntut di institusi pengajian tinggi bawah 18 tahun boleh ke PPV yang masih beroperasi,” kata KKM.

Kementerian itu turut memaklumkan hanya seorang sahaja sama ada ibu atau bapa atau penjaga dibenarkan menemani remaja untuk vaksinasi bagi mengelak kesesakan di PPV.

Semalam, menteri kesihatan berkata beberapa PPV sedia ada yang sedang beroperasi akan digunakan bagi memberi suntikan vaksin kepada pelajar sekolah.

Khairy Jamaluddin menjelaskan program yang menyasarkan 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun turut menggunakan pendekatan secara jangkau luar di sekolah.

Sehingga 20 September, seramai 308,186 remaja divaksin melalui program berkenaan dengan tiada kesan sampingan serius dilaporkan dalam kalangan mereka.

KKM menyasarkan 60 peratus remaja menerima sekurang-kurangnya satu dos menjelang November dan 80 peratus lengkap dua dos pada Januari tahun depan.

Berikut penerangan lanjut pemberian PICK-Remaja:

  • Secara jangkau luar ke sekolah atau institusi secara berjadual oleh Pasukan Pelaksana Vaksinasi
  • Janji temu dos pertama di klinik atau sekolah berhampiran rumah bagi remaja yang akan menduduki peperiksaan utama di sekolah asrama penuh atau harian, manakala dos kedua di sekolah
  • Remaja komorbid perlu mendapatkan vaksinasi di hospital atau klinik kesihatan yang merawat mereka
  • Remaja yang gagal hadir semasa janji temu di sekolah akan diberi janji temu di klinik kesihatan swasta berdekatan melalui aplikasi MySejahtera

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua remaja ambil program vaksin bergerak untuk belajar bersemuka

SHAH ALAM, 19 SEPT: Dua remaja perempuan berusia 18 tahun memanfaatkan program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak bagi memudahkan sesi pembelajaran secara bersemuka tidak lama lagi.

Wan Nurannatyalea Meor Kamarulzaman yang bakal menyambung pengajian di Kolej Komuniti Hulu Langat dalam jurusan pengoperasian perniagaan minggu depan berkata pihak pengurusan mewajibkan semua pelajar mengambil dua dos vaksin sebelum dibenarkan ke kampus.

Wan Nurannatyalea Meor Kamarulzaman

“Walaupun pembelajaran bersemuka hanya dibenarkan bermula pertengahan bulan depan tetapi saya akan mendaftar sebagai pelajar baru pada 22 September ini dan mungkin akan belajar dalam talian dulu.

“Disebabkan itu, saya perlu ambil vaksin dan secara kebetulan ibu beritahu ada program pemberian vaksin percuma berhampiran rumah hari ini selepas dia melihat status seorang rakannya di Facebook.

“Ibu segera membawa saya ke sini tanpa janji temu (walk-in) untuk mengambil dos pertama,” katanya yang merupakan antara 300 penghuni Pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Seksyen 7 menerima pelalian menerusi Selvax bergerak hari ini.

Anak kedua daripada tiga beradik berkata sebelum ini dia pernah mendaftar melalui sistem MySejahtera, namun tidak menerima sebarang slot janji temu kerana berkemungkinan belum mencapai usia 18 tahun.

“Ketika itu, saya belum cukup 18 tahun, tetapi sekarang sudah. Sepanjang tempoh menunggu memang saya risau sangat sebab tarikh mendaftar belajar semakin hampir.

“Alhamdulillah, akhirnya hari ini saya berpeluang mendapat vaksin. Prosesnya sangat cepat dan yang penting tidak sabar menunggu dos kedua,” katanya.

Sofea Jasmin Puteri Hisham

Sementara itu, Sofea Jasmin Puteri Hisham yang akan memulakan semester kedua pengajian di Kolej Tingkatan Enam Seksyen 24 bulan depan bersyukur kerana diberi peluang menerima vaksin melalui program tersebut.

“Seronok bila sudah vaksin walaupun perlu tunggu tiga minggu lagi untuk dos kedua. Sekurang-kurangnya saya tidak perlu menunggu lebih lama kerana panggilan daripada MySejahtera belum diterima sampai sekarang.

“Selepas ini nak belajar pun rasa selamat sebab saya sudah bosan belajar dalam talian. Saya seorang yang susah untuk fokus dalam kelas, tetapi belajar secara bersemuka lebih selesa,” kata anak keempat daripada lima beradik itu.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM sasar semua remaja divaksin sebelum sesi baharu sekolah dibuka

GEORGE TOWN, 11 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan keseluruhan remaja dalam negara akan menerima vaksin Covid-19 sebelum sesi persekolahan baharu bermula Januari tahun depan.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata proses pemberian vaksin kepada tiga juta remaja akan dimulakan bulan ini di beberapa negeri tertentu terlebih dahulu.

“Kementerian Pendidikan dijangka akan mengumumkan pembukaan sekolah secara berperingkat esok dan kami berharap dapat mencapai sasaran semua remaja divaksin seawal Januari 2022,” katanya pada sidang media bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow di sini hari ini.

Beliau juga berkata proses pemberian vaksin kepada kira-kira 130,000 remaja di Pulau Pinang akan bermula hujung bulan ini dan ia akan dilaksanakan di sekolah masing-masing dengan kehadiran ibu bapa mereka.

“Murid-murid akan dipanggil untuk proses vaksinasi mengikut keutamaan bermula minggu ke empat bulan ini di Pulau Pinang. Saya akan tentukan minggu depan jadual vaksinasi remaja untuk negeri-negeri lain pula,” katanya.

Sementara itu Khairy berkata pihaknya belum membuat keputusan berkenaan proses pemberian vaksin untuk warga asing di Pulau Pinang secara jumpa terus seperti yang dilaksanakan di Lembah Klang sebelum ini.

Beliau seterusnya menggalakkan pesakit di tahap satu dan dua yang berisiko tinggi di Pulau Pinang menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Pusat Kecemerlangan Mara (MEC) Jawi di Nibong Tebal.

Katanya beliau difahamkan kapasiti katil PKRC MEC berjumlah 1,038 namun ketika ini penggunaannya hanya 500 dan KKM menggalakkan pesakit Covid-19 di tahap satu dan dua untuk turut juga kuarantin di situ.

“Kami memerlukan kerjasama wakil komuniti dan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) untuk memujuk pesakit-pesakit yang berisiko untuk menjalani kuarantin di PKRC bagi mengurangkan kadar jangkitan,” katanya.

Beliau berkata KKM juga akan membuka PKRC tambahan di Pusat Latihan Zakat (PULAZA) di Balik Pulau yang menawarkan 190 katil selain meminta pihak swasta membantu dalam penubuhan PKRC swasta memandangkan terdapat pesakit di Pulau Pinang yang memilih untuk menjalani kuarantin di PKRC swasta.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksinasi untuk remaja boleh diperluas ke negeri capai imuniti kelompok

KOTA BHARU, 11 SEPT: Suntikan vaksin Covid-19 terhadap remaja boleh diperluas ke negeri-negeri lain yang telah mencapai imuniti kelompok, kata Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata bagaimanapun tumpuan ketika ini diberikan untuk memastikan golongan dewasa divaksin terlebih dahulu menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Pendirian kita di JKJAV (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19) ialah (sebelum) suntikan kepada remaja, kita selesaikan dahulu PICK, kerana kita perlu capai imuniti kelompok dalam kalangan penduduk dewasa.

“Tetapi ada negeri-negeri tertentu yang boleh kita percepatkan kerana ada keperluan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Dr Adham berkata suntikan vaksin Covid-19 terhadap remaja menggunakan vaksin jenis Pfizer-BioNTech dibuat berdasarkan data klinikal yang selamat, berkesan dan berkualiti.

“Kita tumpukan kepada remaja bermula dengan golongan berumur 16 dan 17 tahun dan remaja yang ada komorbid,” katanya.

Ditanya mengenai suntikan dos ketiga vaksin penggalak, Dr Adham berkata beliau bersama-sama Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang bertindak sebagai pengerusi bersama JKJAV akan membuat keputusan mengenai perkara itu.

Mengulas mengenai pembangunan vaksin sendiri, beliau berkata pihaknya sedang menyediakan pelan hala tuju dan mengumpul saintis di dalam dan luar negara bagi tujuan itu.

-BERNAMA