Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Elak penularan Covid-19, Hari Natal dirai sederhana

SUBANG JAYA, 15 DIS: Bimbang penularan jangkitan Covid-19 yang masih tinggi, kebanyakan penganut Kristian memilih untuk meraikan sambutan Krismas secara sederhana.

Paderi Gereja Kota Kemuning Jeffrey Koay berkata meskipun sambutan tidak semeriah dahulu, ia bukan alasan untuk tidak bergembira dan berkumpul bersama keluarga.

Jeffrey Koay

“Tidak buat persediaan sangat, yang penting dapat berkumpul dan mengeratkan silaturahim. Ini hikmah Covid-19 apabila disambut bersama yang tersayang,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, Pengerusi Gereja St Thomas More M Gevanantham akan memanfaatkan cuti perayaan itu termasuk tahun baharu dengan membawa keluarganya bercuti ke Pulau Pinang dan Ipoh.

Beliau juga bercadang mengadakan sambutan secara kecil-kecilan di rumah bersama komuniti setempat selain melaksanakan upacara sembahyang di gereja.

M Gevanantham

“Kita akan pastikan semua aktiviti mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) supaya boleh kekang penularan Covid-19,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein memaklumkan kerajaan sedang memperhalusi SOP sambutan perayaan Krismas dan Thaipusam.

Jelasnya, perincian dibincangkan bersama Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Sadique dan Menteri Sumber Manusia Datuk M Saravanan, Kementerian Kesihatan (KKM) dan beberapa pihak berkaitan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Syarikat langgar SOP boleh dikompaun hingga RM1 juta

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Syarikat, kilang dan agensi kerajaan yang melanggar tatacara operasi piawai (SOP) kawalan wabak Covid-19 boleh dikompaun hingga RM1 juta selepas pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata itu antara inti pati pindaan Akta 342 yang akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat Khamis depan.

Beliau berkata pindaan peningkatan kompaun itu juga berdasarkan penilaian, contohnya jika kesalahan berulang jumlahnya akan menjadi tinggi.

“Peraturan semasa hanya menetapkan jumlah maksimum sebanyak RM50,000 untuk syarikat dan kilang-kilang.

“Untuk individu jumlah maksimum kompaun akan kekal sebanyak RM10,000 tetapi berdasarkan situasi sekarang yang melibatkan pelaksanaan kuarantin di rumah dan sebagainya, pindaan itu juga akan menyentuh perkara seperti pemasangan peranti pengawasan,” katanya dalam program Bicara Naratif Khas: Menilai Ketegasan Kementerian Kesihatan (KKM) terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam tadi.

Khairy berkata pindaan itu juga amat penting dari segi penguatkuasaan kerana perkara itu akan melibatkan penurunan kuasa yang akan membenarkan bukan sahaja penguatkuasaan boleh dijalankan oleh pegawai penguat kuasa KKM tetapi juga oleh pihak berkuasa tempatan untuk mengambil tindakan.

Beliau berkata pindaaan akta itu akan melibatkan garis panduan yang jelas supaya tidak ada isu penyalahgunaan kuasa selain memberi penekanan bahawa perkara itu adalah bertujuan untuk ‘future proofing’ bagi memastikan perubahan tingkah laku dalam kalangan masyarakat.

Katanya pindaan itu juga bagi memperhalusi pelaksanaan kawalan penyakit berjangkit supaya lebih efektif dan efisien.

Khairy menegaskan pihak KKM sentiasa komited dan mengambil pendirian yang tegas untuk memastikan keselamatan semua dalam usaha untuk mengawal pandemik Covid-19 dan turut mengingatkan orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penganjur program hari Keluarga Malaysia dikompaun langgar SOP

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Penganjur program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dikenakan kompaun RM1,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19.

Kompaun itu dikeluarkan kepada Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Jabatan Perdana Menteri iaitu penganjur program itu yang berlangsung bermula Khamis hingga Ahad ini, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan hari ini berkata kompaun tersebut dikeluarkan kepada pihak penganjur bagi kesalahan gagal memastikan penjarakan fizikal dan menyebabkan berlakunya kesesakan, di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Akta 342).

Susulan itu, katanya kaunter diskaun pembayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang disediakan di KLCC ditutup serta-merta bermula petang ini.

“Maklumat lanjut mengenai kaedah pembayaran saman dan tawaran diskaun akan dimaklumkan oleh pihak PDRM. KKM akan terus memantau perjalanan program ini dan tidak akan teragak-agak mengeluarkan lagi kompaun kepada pihak penganjur sekiranya gagal memastikan pematuhan SOP,” katanya.

Susulan pengungkaian Ordinan-Ordinan Darurat di Dewan Negara pada 8 Dis lepas, nilai kompaun maksimum yang boleh dikenakan kepada individu dan pertubuhan ataupun organisasi adalah RM1,000.

Menurut Khairy penganjuran majlis yang sepatutnya mempamerkan pencapaian 100 hari kerajaan serta semua kementerian dan agensi terlibat, telah dicemari dengan kegagalan penganjur memastikan kepatuhan kepada SOP dan kegagalan pengunjung untuk mematuhi SOP yang ditetapkan.

Katanya penganjuran majlis rasmi kerajaan seumpama itu sepatutnya memberikan contoh terbaik dan menjadi teladan serta penanda aras kepada agensi-agensi lain termasuk agensi bukan kerajaan dalam aspek pelaksanaan program, pematuhan SOP dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

“Kejadian yang berlaku amat dikesali dan mengecewakan apabila pihak penganjur sebelum ini telah menyatakan komitmen untuk memastikan program tersebut akan dianjurkan dengan pematuhan SOP yang ketat di samping aktiviti pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan yang berterusan.

“Situasi kesesakan, tiada penjarakan fizikal dan tiada kawalan jumlah pengunjung yang hadir memberi risiko berlakunya penularan jangkitan Covid-19,” katanya.

Sehubungan itu, katanya sebagai sebuah kerajaan, mereka seharusnya menunjukkan teladan serta amalan terbaik kepada seluruh masyarakat di samping berpegang kepada standard sama yang dikenakan ke atas rakyat.

— BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Varian Omicron: Jangan cepat panik, terus patuhi SOP semasa

Oleh Nina Muslim

KUALA LUMPUR, 7 DIS: Ketika seluruh dunia termasuk Malaysia sedang bertatih untuk kembali mengatur langkah selepas tersungkur dek bahana varian Delta yang mendominasi pandemik Covid-19, timbul pula perkhabaran tentang strain baharu yang mungkin lebih berbahaya.

Berita tidak enak itu mencetuskan kebimbangan akan kemungkinan perlu kembali hidup di bawah sekatan pergerakan, selain berlaku lonjakan kes yang menyebabkan kesesakan di hospital dan lebih banyak kematian, sedangkan rakyat baru sahaja menikmati sedikit kebebasan.

Ditambah pula Sarawak bakal menghadapi pilihan raya negeri yang telah tertangguh selama berbulan-bulan.

Dikesan oleh saintis di Afrika Selatan pada 24 November lepas, kemunculan varian Omicron membawa bersama pelbagai persoalan yang sehingga kini belum terjawab.

Penyelidik di Institut Penyelidikan Khazanah, Nazihah Muhamad Noor memberitahu Bernama ada tiga perkara yang perlu diambil kira oleh pihak berkuasa dalam mendepani Omicron.

“Kita perlu tunggu dan lihat jika negara-negara yang merekodkan kes Omicron turut mencatatkan peningkatan kes domestik, pertambahan kemasukan ke hospital dan kematian. Kita juga perlu tunggu dan lihat kesan strain baharu ini terhadap keberkesanan vaksin Covid-19 sedia ada,” katanya.

Bagaimanapun, pakar berpandangan hakikat Omicron diklasifikasikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai varian membimbangkan (VoC) dalam tempoh yang begitu singkat sudah cukup membimbangkan. Ketika laporan analisis ini ditulis, varian itu dikesan di sekurang-kurangnya 38 negara termasuk Malaysia.

Malaysia melaporkan kes Omicron pertamanya pada 2 Disember lepas, iaitu seorang pelajar berusia 19 tahun yang kembali ke negara ini selepas pulang ke kampung halamannya di Afrika Selatan, namun hingga kini tidak ada bukti menunjukkan berlaku jangkitan dalam komuniti.

Sebahagian penumpang dilihat memakai pakaian lengkap (PPE) ketika tinjauan fotoBernama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan pengesanan kes pertama positif Covid-19 varian Omicron pada 3 Disember 2021. Foto BERNAMA


Lebih mudah berjangkit?

Berdasarkan laporan berita, ada petunjuk bahawa Omicron sangat mudah berjangkit. Di Afrika Selatan, jangkitan melonjak empat kali ganda pada minggu lepas, dari 4,373 kes pada 30 November kepada 16,055 pada 3 Disember. Hanya sekitar 24 peratus daripada populasi di negara berkenaan telah lengkap dos vaksinasi setakat ini, kebanyakannya adalah individu berusia 50 tahun ke atas.

Pakar kesihatan bimbang kerana Omicron mempunyai lebih 50 mutasi dengan 30 daripadanya melibatkan spike protein atau protein pepaku. Sesetengah daripada mutasi itu pula meningkatkan kadar transmisi (kebolehpindahan).

Ahli virulogi dan pakar biologi molekul University of Nottingham-Malaysia Prof Dr Sandy Loh Hwei San berkata proses mutasi berkemungkinan menyebabkan varian itu lebih mudah menjangkiti.

“Apa yang kita dapat lihat di Afrika Selatan ialah kes meningkat secara mendadak, justeru ada kemungkinan varian ini sangat mudah menjangkiti berbanding Delta,” katanya.

Menurutnya, sebahagian daripada pakar menjangka kadar transmisi Omicron kira-kira lima kali ganda lebih tinggi berbanding strain asal.

Negara-negara lain juga menunjukkan tanda-tanda serupa.

Di Norway, sekurang-kurangnya 13 orang dijangkiti Omicron selepas menghadiri sambutan Krismas pada 26 November lepas dengan angka itu dijangka disemak semula kepada 60 orang.

Di United Kingdom, jumlah kes meningkat sebanyak 50 peratus dalam tempoh 24 jam, iaitu dari 160 kes pada 4 Disember kepada 246 pada hari berikutnya.

Kebarangkalian strain itu mampu melepasi imuniti yang terhasil daripada vaksin dan seterusnya menjangkiti orang lain, terus meningkat. Contohnya, semua yang dikesan dijangkiti Omicron dalam kluster restoran di Norway itu telah lengkap divaksinasi serta diuji negatif Covid-19 sebelum menghadiri jamuan berkenaan.

Negara-negara lain juga melaporkan jangkitan dalam kalangan individu yang lengkap dos vaksinasi. Kes pertama Omicron di Malaysia, iaitu pelajar dari Afrika Selatan itu juga telah lengkap vaksinasinya.

Imej komputer yang dihasilkan oleh Nexu Science Communication bersama Kolej Trinity College di Dublin menunjukkan struktur model betakoronavirus, yang dikaitkan dengan Covid-19, dikongsi bersama REUTERS pada 18 Februari 2020.


Lebih berbahaya?

Sekalipun jumlah mutasi menunjukkan kadar transmisi yang lebih pantas, tidak ada bukti tentang ia menyebabkan jangkitan yang lebih teruk.

Setakat ini, tidak ada laporan tentang kematian akibat dijangkiti Omicron dan laporan awal menunjukkan jangkitan adalah kurang teruk berbanding Delta.

Laporan awal mengenai pesakit dijangkiti Omicron yang dikeluarkan oleh Majlis Penyelidikan Perubatan Afrika Selatan (SAMRC) pada 4 Disember lepas, menyatakan data klinikal menunjukkan VoC baharu itu menyebabkan jangkitan yang kurang teruk berbanding varian-varian terdahulu.

Hanya sebilangan kecil pesakit memerlukan bantuan oksigen, mengalami pneumonia atau rawatan rapi. Tempoh dirawat di hospital juga lebih pendek berbanding pesakit yang dijangkiti varian-varian terdahulu.

Bagaimanapun, Dr Fareed Abdullah yang menulis laporan itu pantas mengingatkan bahawa lebih banyak penyelidikan serta masa dan jumlah sampel yang diperlukan untuk mengetahui kedudukan sebenar Omicron.

Katanya kebanyakan pesakit pula merupakan golongan yang berusia 40 tahun ke bawah.

Sementara itu, Dr Loh berkata sekalipun virus tersebut mempunyai banyak mutasi, tidak bermakna kesemua mutasi berkenaan akan bergabung dan membentuk satu virus maut. Ringkasnya, mutasi terbabit mungkin saling “membatalkan” kelebihan masing-masing.

“Virus (RNA) bermutasi dengan kerap, namun belum tentu ia boleh meningkatkan virulens atau menyebabkan gejala teruk,” katanya.

Bagaimanapun pakar berpendapat varian itu juga tidak boleh dilabelkan sebagai “lemah” kerana kematian boleh berlaku selepas beberapa minggu dijangkiti COVID-19.

Mereka juga mendapati vaksinasi dan imuniti semula jadi iaitu antibodi yang terhasil daripada jangkitan semula jadi, boleh memberi perlindungan kepada mereka yang dijangkiti Omicron sekalipun boleh menjangkiti orang lain.

Petugas kesihatan membuat persiapan mencucuk bebuli vaksin sebelum memberi suntikan secara pandu lalu kepada kakitangan Sirim di Shah Alam pada 31 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI


Berkesankan vaksin?

Pakar epidemiologi Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud pula berkata jumlah mutasi varian itu luar biasa tinggi dan dilihat menggabungkan mutasi yang ditemukan pada beberapa VoC lain.

“Beberapa mutasi ini telah disimulasikan di dalam makmal sebelum ini dan mutasi terbabit menunjukkan kemungkinan berupaya mengatasi antibodi yang terbentuk dalam tubuh pesakit yang pulih serta mereka yang telah divaksinasi,” katanya.

Masalahnya sekarang ialah mutasi pada pepaku protein.

“Yang membimbangkan kita ialah lebih 30 mutasi ditemukan pada pepaku protein. Kita gunakan pepaku protein untuk menghasilkan antibodi daripada vaksin sedia ada, justeru situasi ini amat membimbangkan, iaitu varian Omicron berkemungkinan dapat melepasi vaksin,” kata Dr Loh pula.

Saintis di seluruh dunia sedang menguji keberkesanan vaksin terhadap varian itu dan keputusannya dijangka diketahui dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Namun, berdasarkan laporan berita berkenaan kes-kes awal, kesemua individu lengkap vaksinasi yang dijangkiti tidak menampilkan sebarang gejala atau hanya bergejala ringan, menunjukkan vaksin masih berkesan dalam melindungi daripada jangkitan teruk dan kematian.

Bagi mereka yang tidak divaksinasi pula dan telah pulih daripada Covid-19, kemungkinan besar mereka akan dijangkiti sekali lagi, kali ini oleh Omicron, kata WHO.

Pakar berharap kemunculan varian baharu itu akan mendorong mereka yang tidak divaksinasi mendapatkan pelalian Covid-19 dan mereka yang telah lengkap dua dos vaksin pula akan mengambil dos penggalak.

Apa yang perlu dilakukan?

WHO menyarankan semua negara agar mengambil langkah-langkah, antaranya memperkukuh sistem pemantauan termasuk pemantauan genom serta sistem pelaporan masing-masing. Badan dunia itu juga menasihati semua negara dan orang awam agar terus mematuhi langkah-langkah pencegahan.

Paling penting ialah vaksin dan dos penggalak, diikuti langkah-langkah farmaseutikal seperti penggunaan dua ubat baharu keluaran Merck dan Pfizer untuk merawat Covid-19, dan langkah bukan farmaseutikal, antaranya pemakaian pelitup muka, menambah baik aliran pengudaraan serta amalan penjarakan fizikal.

Dr Awang Bulgiba yang juga Ketua Jawatankuasa Penasihat Bebas Vaksinasi Covid-19, berkata penduduk lebih bersedia untuk mendepani Omicron kerana ada program vaksinasi, namun menurutnya, masih ada ruang untuk penambahbaikan.

“Dalam menangani pandemik ini, pendekatan yang digunakan oleh pihak berkuasa setakat ini lebih banyak bersifat reaktif, bukan proaktif. Ini menyebabkan kejayaan yang dicapai selepas gelombang kedua terbuang begitu sahaja, namun negara tidak boleh mensia-siakan kejayaan yang diperoleh daripada program vaksinasi,” tegasnya.

Menurut beliau, sebaiknya pihak berkuasa melaksanakan pendekatan “keseluruhan kerajaan” yang merangkumi kerjasama sebenar antara sektor, membabitkan pakar luar, lebih telus dalam data dan memulakan analisis data masa sebenar.

Kakitangan Sutera Globals Muhammad Hakimin Nor Azime, 20, menitiskan sampel air liur pesakit pada kit ujian kendiri ‘Gmate Covid-19 Rapid Antigen Test’ buatan Korea pada 29 Julai 2021. Foto BERNAMA

Pakar kesihatan juga bimbang kit ujian kendiri Covid-19 yang hanya boleh mengesan jika seseorang dijangkiti Covid-19 mungkin “menyembunyikan” kehadiran Omicron di Malaysia.

Dr Loh berkata adalah penting untuk mengesan kes Omicron bagi menghadapi kemungkinan VoC itu benar-benar lebih berbahaya daripada Delta, atau untuk mengekang penularan.

“Jika tempoh transmisi virus itu lebih lama berbanding varian lain, ini bermakna tempoh kuarantin yang lebih panjang. Justeru, ujian rapid sangat-sangat membantu,” katanya.

Buat masa ini, Omicron hanya boleh disahkan melalui penjujukan genom, namun ujian reverse transcription-polymerase chain reaction (RT-PCR) juga boleh menunjukkan sama ada seseorang itu dijangkiti varian tersebut. Sebuah syarikat di Singapura mengeluarkan dua kit ujian yang boleh mengesan Delta dan Omicron.

Nazihah yang merupakan pakar penyelidik dasar kesihatan awam, berkata kerajaan wajar memantau keadaan dan menerima guna kit ujian yang sewajarnya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan pihak berkuasa kesihatan agar tidak terlalu menumpukan perhatian pada Omicron, sebaliknya meneruskan dan menambah baik kesemua langkah pencegahan sedia ada.

“Berdasarkan bukti semasa, kerajaan perlu bertindak balas terhadap semua varian membimbangkan yang sedang menular di Malaysia, bukan sahaja Omicron,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

94 pengunjung pusat hiburan dikompaun RM188,000 langgar SOP PPN

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Seramai 94 pengunjung sebuah pusat hiburan di Bandar Utama, Petaling Jaya, di sini, dikompaun RM2,000 setiap seorang kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Fakhrudin Abdul Hamid berkata dalam serbuan di pusat hiburan berkenaan seramai dua pengunjung turut didapati positif dadah jenis syabu.

Beliau berkata semasa serbuan dilakukan muzik di premis berkenaan dipasang dengan kuat dan pelanggan sedang berhibur.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap semua pengunjung berumur lingkungan 19 hingga 57 tahun berkenaan mendapati dua orang lelaki positif dadah dan mereka telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fakhrudin berkata semua pengunjung pusat hiburan berkenaan yang merupakan warga tempatan dikompaun di bawah peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

“Kompaun sebanyak RM10,000 turut dikeluarkan kepada pemilik premis berkenaan di bawah Peraturan 17(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana telah menjalankan perniagaan pusat hiburan semasa tempoh (Fasa Empat) PPN.

“Pemilik premis berkenaan juga disiasat di bawah Seksyen 76(1) Akta Eksais (menjual minuman keras tanpa lesen) dan Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Selangor (menjalankan perniagaan pusat hiburan tanpa lesen yang sah),” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ahmad Zahid, Ab Rauf dikompaun RM10,000 langgar SOP PRN Melaka

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Umno Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh masing-masing dikenakan kompaun RM10,000 akibat gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dalam tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kedua-dua pemimpin itu didapati menjalankan aktiviti kempen ziarah rumah ke rumah serta tidak memakai pelitup muka.

“Kompaun itu dikeluarkan terhadap Ahmad Zahid dan Ab Rauf susulan siasatan ke atas sebuah rakaman video yang tular di media sosial memaparkan dua individu berkenaan gagal mematuhi SOP di sekitar mukim Masjid Tanah, daerah Alor Gajah, dua hari lepas,” menurut kenyataan itu.

Menurut KKM, kompaun dikeluarkan di bawah Peraturan 16 P.U(A) 293/2021, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Melaka: 16 kompaun dikeluar kepada parti politik langgar SOP

MELAKA, 15 NOV: Sebanyak 16 kompaun bernilai RM198,000 dikeluarkan kepada parti politik dan individu yang dikesan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Pilihan raya negeri (PRN) Melaka sejak 25 Okt hingga hari ini.

Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Razali Abu Samah berkata daripada jumlah itu, 11 kompaun dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (dua) manakala Pasukan Bersepadu (tiga).

Beliau berkata kompaun dikeluarkan antaranya kerana berkempen dari rumah ke rumah bertujuan mengedarkan risalah kempen secara bersemuka, berkempen di kedai makan secara berkumpulan dan membuat siaran media secara terbuka di lokasi melibatkan kehadiran ramai.

“Selain itu, kesalahan yang turut dikesan ialah mengadakan aktiviti parti di bilik mesyuarat yang kecil dan melanggar SOP yang ditetapkan iaitu satu Dewan Undangan Negeri (DUN) satu tempat mesyuarat serta membuat aktiviti melibatkan kehadiran penyokong yang ramai seperti tinjauan mesra.

“Secara keseluruhan, tahap kepatuhan parti politik yang bertanding pada PRN Melaka adalah 95 peratus dan pemantauan akan terus dipertingkatkan agar pematuhan SOP dipatuhi,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka hari ini.

Razali berkata dalam tempoh sama pihaknya membuat 130 laporan polis kerana parti politik melanggar SOP secara bukan kompaun dengan 41 kertas siasatan telah dibuka.

Beliau berkata selain itu, pihaknya meluluskan 62 permit untuk parti politik mengadakan ceramah menggunakan kenderaan bermula 8 Nov hingga hari ini dan kesemua permit berkenaan diluluskan.

Dalam perkembangan lain, Razali berkata pihaknya menjalankan beberapa latihan amali untuk mengelakkan pusat pengundian awal diganggu gugat atau berlaku perkara yang tidak diingini.

-BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Undi awal esok saksikan SOP ketat pada PRN Melaka

MELAKA, 15 NOV: Esok merupakan antara hari penting bagi proses pilihan raya negeri (PRN) Melaka apabila 11,557 pengundi awal akan menunaikan tanggungjawab masing-masing di 31 Pusat Pengundian Awal (PPA).

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jumlah pengundi awal terdiri daripada 9,217 anggota tentera dan pasangan serta 2,340 anggota polis.

PPA membabitkan 24 Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibuka pukul 8 pagi dan akan ditutup 2 petang melibatkan 21 PPA dan 10 PPA lagi akan ditutup pukul 5.30 petang.

Antara lokasi pusat pengundian ialah di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontijen Melaka, Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin, Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, Dewan Sri Beruang Kem Askar Wataniah serta Sekolah Kebangsaan Kem Terendak I dan II.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan di sebelah pagi di satu dua tempat di Daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah manakala Jasin hujan di satu dua tempat di sebelah pagi dan ribut petir di sebelah petang.

Terdapat empat slot waktu kehadiran untuk mengundi dan pengundi boleh menyemaknya di aplikasi mySPR Semak atau Portal Semakan Daftar pemilih SPR.

Waktu yang ditetapkan adalah 8 hingga 10 pagi, 10 pagi hingga 12 tengah hari, 12 tengah hari hingga 2 petang dan 2 hingga 4.30 petang.

Proses pengundian awal akan menyaksikan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mematuhi Garis Panduan Pencegahan Covid-19 di bawah Pelan Pemulihan Negara kerana situasi pandemik yang masih belum terkawal sepenuhnya.

Penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran akan dilaksanakan di pusat-pusat pengundian tersebut selain perlu mengimbas kod respon pantas (QR) MySejahtera sebelum masuk ke PPA.

Menurut garis panduan yang dikeluarkan oleh SPR pengundi perlu menggunakan pensanitasi tangan di tiga stesen dalam pusat mengundi iaitu di pintu masuk pusat mengundi, di pintu masuk saluran dan di hadapan Kerani Pengundian.

Pengundi yang bergejala atau mempunyai suhu badan melebihi 37.5 darjah Celcius, batuk, sakit tekak atau sukar bernafas akan diasingkan serta-merta daripada pengundi yang lain dan mengundi di tempat khas (khemah khas untuk memangkah).

Seterusnya dakwat ditandakan di jari telunjuk kiri pengundi menggunakan berus yang dipakai buang bagi setiap pengundi bergejala.

Pengundi kemudiannya wajib memakai pelitup muka berganda dan sarung tangan getah pakai buang sebelum memegang kertas undi dan ke petak mengundi di dalam khemah khas untuk memangkah undi.

Petugas yang terlibat mengendalikan individu bergejala hendaklah mematuhi prosedur yang telah ditetapkan serta memakai pakaian perlidungan diri (PPE) lengkap dengan penutup hidung dan mulut, apron, pelindung muka dan sarung tangan sepanjang mengendalikan individu berkenaan.

Petugas perlu membuat sanitasi tangan sekerap mungkin (sambil memakai sarung tangan) setiap kali berurusan pengundi bergejala.

Pembersihan dan sanitasi petak mengundi perlu dilakukan setiap kali pengundi yang bergejala selesai menanda kertas undi masing-masing.

Pengundi berkenaan akan diiuruskan dengan bantuan pegawai kesihatan untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut selepas selesai mengundi.

Proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen-ejen calon bertanding dan SPR akan menyiarkan proses pengundian itu secara penstriman langsung menerusi Facebook SPR.

Sementara menunggu proses pengiraan pada 20 Nov ini, kertas undi pengundian awal akan disimpan di lokap-lokap balai polis.

Dengan selesainya proses pengundian awal nanti, tumpuan akan tertumpu pada hari pengundian yang dijadualkan pada 20 Nov ini.

SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov (esok) berikutan pembubaran DUN pada 4 Okt lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

65 pengunjung, seorang penjaga pusat hiburan di Melaka dikompaun

MELAKA, 14 NOV: Sebanyak 65 pengunjung warga tempatan sebuah pusat hiburan dikompaun RM4,000 setiap seorang kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan iaitu terlibat dalam aktiviti pusat hiburan di Jalan Melaka Raya di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata polis turut mengeluarkan kompaun berjumlah RM10,000 kepada penjaga pusat hiburan berkenaan dalam serbuan kira-kira 1.20 pagi semalam.

Beliau berkata serbuan berkenaan dilaksanakan pasukan dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman dan dibantu anggota serta pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka.

“Kompaun dikeluarkan kerana individu berkenaan terlibat dalam aktiviti pusat hiburan yang dilarang pengoperasiannya di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat.

Mereka yang dikompaun merupakan antara 80 individu berusia 17 hingga 62 tahun yang ditahan di pusat hiburan berkenaan termasuk tujuh penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sembilan lelaki dan lima wanita warga asing turut ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 selain Seksyen 15(1)(C) dan Seksyen 6(1)(C) dan Peraturan 39 (b) akta sama.

Katanya ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas semua individu tersebut mendapati seorang lelaki tempatan dan empat wanita warga asing positif dadah jenis amphetamine.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Penggiat sukan dinasihat terus patuh SOP elak wujud kluster baharu

KUALA LUMPUR, 13 NOV: Penggiat serta pemain sektor sukan dinasihatkan terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN), bagi mengelak wujud kluster baharu berpunca daripada aktiviti sukan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker berkata semua pihak, merangkumi individu yang melakukan aktiviti dan pemilik premis perlu bertanggungjawab serta memainkan peranan masing-masing dengan baik, memandangkan negara masih belum memenangi ‘peperangan’ terhadap pandemik Covid-19.

“Memang kita kena berhati-hati kerana kita belum selesai dari segi menangani Covid-19, kita masih mempunyai cabaran di hadapan. Jadi orang ramai perlu memberi perhatian dan lebih bertanggungjawab dengan mematuhi SOP.

“Kalau boleh kita tak nak ada kluster daripada kegiatan sukan supaya segala kegiatan dan aktiviti sukan dapat diteruskan dengan lebih rancak. Jika timbul kluster, akan menjadi masalah nanti,” katanya selepas merasmikan majlis pelancaran semula Kiara Skatepark di Kompleks Sukan Negara Bukit Kiara di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-Naught (Rt) di negara ini meningkat kepada angka 1.0, sekali gus mungkin menjadi tanda awal lonjakan kes positif wabak itu.

Dr Noor Hisham dilaporkan berkata nilai Rt 1.0 bermakna kes akan mendatar dan tidak menurun.

Perkara sama turut dibangkitkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam ciapan menerusi akaun Twitter rasminya pada Khamis lepas, dan menggesa individu yang telah diberi janji temu dos penggalak Covid-19 supaya mengambil dos berkenaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Tangguh PRN Sarawak jika kes Covid-19 terus meningkat

SHAH ALAM, 13 NOV: Ketua pembangkang bersetuju Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ditangguhkan jika kes harian Covid-19 terus meningkat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara berkenaan perlu diteliti mengikut data dan sains kerana ia melibatkan faktor keselamatan dan kesihatan rakyat.

“Jangan ulangi kesilapan seperti di Melaka, Kerajaan UMNO telah menasihat Tuan Yang Terutama (TYT) tetapi tidak diteliti. Kita tengok sekarang tatacara operasi piawai (SOP) tidak tentu arah.

“Apa kaitan lambang dengan kesihatan dan apakah memakai lambang menjejaskan kesihatan? Tindakan tergopoh-gopoh ini menyebabkan orang Melaka menghadapi masalah,”katanya.

Terdahulu, Naib Presiden PKR Sarawak Dr Michael Teo Yu Keng memaklumkan telah menghantar rayuan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menangguhkan PRN negeri ke tahun hadapan susulan peningkatan kes Covid-19.

PRN Sarawak dijadual diadakan awal Disember berdasarkan makluman pembatalan darurat oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg kepada SPR pada 4 November lalu.

Pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari bermula dari tarikh pembatalan darurat 3 November lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kajian: Lebih 90 peratus responden faham, setuju SOP norma baharu

SHAH ALAM, 12 NOV: Kajian Impak Kempen Pembudayaan Norma Baharu oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mendapati lebih 90 peratus daripada kira-kira 12,000 responden memahami tatacara operasi piawai (SOP) norma baharu bagi mendepani pandemik Covid-19.

Ketua Penyelidik Kajian Impak Pembudayaan Norma Baharu Prof Dr Yarina Ahmad berkata rata-rata responden turut bersetuju SOP yang dilaksanakan oleh kerajaan bertepatan dalam mendepani wabak berkenaan.

Beliau berkata kajian ke atas responden daripada pelbagai latar belakang sosial serta ekonomi itu membabitkan kutipan data selama empat bulan bermula bulan Sept tahun lepas, dan kajian mendapati 94 peratus responden menyatakan kepatuhan terhadap pemakaian pelitup muka.

“Sebanyak 91 peratus didapati mematuhi arahan penjarakan fizikal, dan 90 peratus menggunakan cecair pembasmi kuman sebagai alternatif mencuci tangan sekiranya tiada air dan sabun,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengiktirafan Malaysia Book of Records: Kajian Pandemik Covid-19 Pertama Berkaitan Impak Pembudayaan Norma Baharu kepada UiTM hari ini.

Sementara itu Ketua Pengarah Nadma Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata Nadma diberi peranan bagi pengurusan norma baharu itu, dan pihaknya perlu mengkaji keberkesanan sistem pengurusan berkenaan menerusi kerjasama dengan UiTM.

“Sebab itulah kita bekerjasama dengan UiTM untuk memperoleh pendapat daripada rakyat dan orang awam, apa yang mereka rasakan dan ia bukan retorik. Mereka betul-betul amalkan SOP contohnya pemakaian pelitup muka dan cecair pembasmi kuman,” katanya.

-BERNAMA