Categories
SELANGOR

Selangor lancar SITEC & SDCC rangsang e-dagang

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 22 MEI: Kerajaan Negeri mengambil langkah menubuhkan Majlis Tekonologi Informasi dan E-dagang Selangor (SITEC) dalam usaha menyokong perdagangan elektronik (e-dagang) secara meluas,

Pada masa sama, inisiatif Pusat Kreatif Digital Selangor (SDCC) turut dilancarkan sebagai projek utama stanco pelaburan untuk menjadikan negeri itu sebagai hab perdagangan antarabangsa.

Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS) & Perdagangan dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata, ia adalah landasan bagi menghimpunkan pakar teknologi, wakil peniaga dan ahli akademik untuk merumuskan model perniagaan e-dagang yang sesuai bagi Selangor.

teng chang kim“SITEC akan menggalakkan gerakan pencipta di Selangor dan memberi rundingan nasihat kepada Pelaburan Selangor Berhad yang menjadi agensi pelaburan di negeri ini.

“Selain itu, unit eksekutif SITEC juga akan menjalankan kursus untuk membantu usahawan dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS) sebagai permulaan kepada aktiviti e-dagang,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini.

Chang Khim berkata, SITEC akan melaksanakan projek ‘Selangor Online 100’ membabitkan unit eksekutif yang akan membantu usahawan IKS memulakan perniagaan secara talian dalam tempoh setahun sebagai permulaan.

Katanya, ‘Selangor Apps 100’ bakal dilancarkan merangkumi pelbagai sektor di Selangor antaranya pelancongan, jabatan kerajaan dan pelbagai cabang perniagaan.

“Manakala, SDCC akan menyediakan perkongsian tempat kerja untuk usahawan baru bagi membantu mereka memulakan kerjaya dan memperluaskan rangkaian perniagaan.

“Kita jangka dalam tempoh 12 bulan akan datang, kelas bulanan dilaksanakan untuk usahawan berkaitan e-dagang di samping persidangan tahunan bagi mendapatkan pelabur dalam inovasi yang dilatih di SDCC,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

33 rumah ibadat bukan Islam terima peruntukan RM363,700

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 17 APR : Kebajikan rumah ibadat bukan Islam di Selangor terus mendapat perhatian Kerajaan Negeri melalui peruntukan kewangan kepada institusi itu.

Terbaru, Kerajaan Selangor menyerahkan cek sejumlah RM363,700 kepada 33 rumah ibadat Cina (tokong) untuk fasa pertama bagi pelaksanaan proses baik pulih dan kebajikan persatuan.

YB Teng sampaikan cek sumbangan kepada pengerusi persatuan tokong (3)Majlis penyerahan cek disempurnakan Exco Pelaburan, Perindustrian IKS serta Perdagangan dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Khim di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) hari ini.

Sementara itu, Teng berkata sumbangan itu sebahagian peruntukan tahunan kepada rumah ibadat bukan Islam berjumlah RM6 juta.

Katanya peruntukan tahunan itu ditingkatkan sekali ganda mengatasi jumlah peruntukan sebelum ini iaitu RM3 juta.

“Untuk tahun ini, peruntukan diberikan kepada rumah ibadat mengikut peratusan penduduk di Selangor.

“Pemohon hendaklah mematuhi peraturan permohonan dengan mengisi borang yang disediakan dan kita buat pemilihan kepada keperluan sesebuah persatuan itu,” katanya.

Katanya bantuan ditawarkan itu menerima sambutan menggalakkan dari rumah ibadat bukan Islam seluruh negeri berikutan mendapat liputan meluas di media massa.

“Bagaimanapun, setiap persatuan layak memohon sekali sahaja dalam tempoh tahun sama untuk mendapatkan bantuan.

“Sekiranya mereka ingin memohon lagi (bantuan), mereka perlu tunggu tahun berikutnya,” katanya lagi.

EZY

Categories
SELANGOR

Selangor bina model e-perdagangan, bantu peniaga luaskan pasaran

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 NOV: Kerajaan Selangor bakal membangunkan model pembangunan e-perdagangan bagi membantu peniaga atas talian di negeri itu mengembangkan perniagaan masing-masing.

Exco Pelaburan, Perindustrian (IKS) & Perdagangan dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Khim berkata, langkah ini diambil berikutan perniagaan atas talian yang semakin pesat berkembang itu masih tidak diberikan perhatian mana-mana pihak bertanggungjawab.

perniagaan-internet1“Sudah jadi satu trend masa ini suatu pasaran baru dibuka di mana pengguna bergantung kepada internet untuk membeli barang dan ini suatu perniagaan besar dengan pergantungan dan aspek ini tidak pernah diberi perhatian sebelum ini kerana agak baru.

“Saya lihat e-perdagangan ada potensi besar khususnya dalam keadaan Selangor ingin jadi pusat perdagangan antarabangsa.

“Sudah tentu aspek e-perdagangan tidak boleh diabaikan dan disebabkan itu saya tubuhkan satu majlis internet dan e-perdagangan Selangor supaya dapat mengumpulkan mereka dalam bidang teknologi, industri kecil sederhana (IKS) dan pendidikan supaya dapat membincangkan model e-perdagangan yang sesuai untuk Selangor,” kata Chang Khim.

Chang Khim berkata demikian dalam wawancara eksklusif bersama Selangor Kini di Pejabat Exco Negeri Selangor, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini.

yb teng 1Chang Khim turut melahirkan keyakinan bidang perniagaan online dapat berkembang dengan sihat sekiranya diberi perhatian khusus oleh kerajaan.

Jelas beliau lagi, kertas kerja usaha itu sudah dibentangkan dalam mesyuarat exco sebelum diumumkan dalam Belanjawan 2015 nanti.

Perniagaan online semakin mendapat perhatian masyarakat peniaga di negara ini berikutan perniagaan itu menawarkan perniagaan modal rendah berbanding perniagaan konvensional.

Selain itu perniagaan online turut menawarkan pasaran luar berdasarkan liputan internet yang boleh dicapai di kebanyakkan tempat di negara ini.

EZY

Categories
SELANGOR

Cadangan pelaksanaan enakmen baru hukuman berat pelaku kotor kawasan

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 10 APRIL: Enakmen baru untuk menguatkuasakan undang-undang bagi mengenakan hukuman berat terhadap pelaku yang didapati mengotorkan kawasan sekitar akan dibentangkan pada Dewan Negeri Selangor (DNS) untuk mendapat kelulusan.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim, berkata enakmen itu sudah digubal jawatankuasa yang dianggotai Penasihat Undang-undang membabitkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu dalam tempoh tiga bulan lalu.

Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan kini sedang membuat semakan akhir bersama Penasihat Undang-undang Negeri untuk memastikan ia boleh dikuatkuasakan.

01“Bukan masalah penguatkuasaan yang dihadapi, tetapi kekangan undang-undang apabila kini kita hanya boleh kuatkuasakan undang-undang kecil di bawah Akta Kerajaan Tempatan iaitu denda maksimum RM2,000 sahaja untuk sesiapa yang didapati membuang sampah di tempat terlarang.

“Jawatankuasa sedang menyemak dengan Penasihat Undang-undang Negeri untuk pastikan ia boleh dilaksanakan dan undang-undang ini antara lainnya mencadangkan supaya vandalisme dianggap sebagai perbuatan jenayah yang akan dikenakan hukuman penjara dan denda antara RM50,000 hingga RM100,000,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

GAMBAR SAMPAH KOTORTeng berkata, beliau menjangkakan enakmen terbabit akan mendapat bantahan daripada sesetengah pihak, namun semakan serta pandangan terperinci daripada pihak berkenaan akan dibuat terlebih dahulu.

“Saya jangka ada bantahan daripada sesetengah pihak bila kita cadangkan enakmen ini kerana kesalahan mengotorkan kawasan dianggap sebagai jenayah dan perlu dipenjarakan. Tetapi, kita akan dapatkan pandangan daripada pelbagai pihak terlebih dahulu,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Selangor bangun pelan Pembangunan Berorientasi Transit (TOD)

Oleh : Lizawati Madfa

PETALING JAYA 3 DIS : Kerajaan negeri melalui Jabatan Pembangunan Bandar dan Desa Selangor (JPBDS) sedang menyediakan pelan Pembangunan Berorientasi Transit (TOD) bagi mengurangkan pergerakan bandar, kesesakan lalulintas dan pencemaran udara di Selangor.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim, berkata sesuatu kawasan akan diwujudkan dengan berpaksikan kepada perhentian transit; Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) dalam lingkungan 400 meter daripada terminal transit dengan berpandukan sistem TOD.

10aKatanya, setiap kawasan dalam lingkungan yang sama akan turut dilengkapi infrastruktur seperti laluan pejalan kaki, basikal serta kemudahan lain selain membenarkan ratio kepadatan yang tinggi.

“Ini bukan sistem yang kita cipta, sebaliknya mengambil model daripada negara luar seperti Hong Kong, Melbourne dan Rio De Janeiro yang berjaya dengan sistem TOD.

“Sama juga seperti inisiatif yang diambil Pulau Pinang untuk mengatasi masalah kesesakan, namun kita tidak boleh ambil secara menyeluruh dan turut memerlukan perubahan dalam perancangan.

“Perancangan mengambil masa dan kita jangkakan dalam masa setahun pelan induk dapat dibentangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Urban Transportation In PJ yang diadakan di Dewan Banquet, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini, hari ini.

03aChang Khim berkata, MBPJ akan menjadi perintis kepada pembangunan berasaskan TOD di Selangor kerana kepadatan penduduknya yang tinggi selain faktor sistem transit sedia ada di bandar itu.

“Kepadatan adalah isu sensitif di Petaling Jaya dan kita juga tidak mampu mengawal pertambahan penduduk. Jadi kita perlu melakukan anjakan paradigma untuk mengatasi masalah ini, bukan untuk tempoh terdekat tetapi lebih penting untuk menghadapi masa hadapan,” katanya.

Mengikut laman web MBPJ, rekod Mesyuarat Majlis Penuh MBPJ pada Mac lalu menyatakan projek TOD di PJ yang dimulakan awal tahun ini menelan peruntukan kira-kira RM9 juta dan dijangka siap dua tahun lagi.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Pasar pagi Taman Sri Muda akan berpindah ke lokasi baru

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 24 NOV : Kira-kira 164 penjaja pasar pagi di Taman Sri Muda akan di pindahkan ke pasar baru yang akan dibina Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), dalam masa terdekat.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim, berkata setakat ini MBSA sudah siap merangka pelan bangunan dan sedang berunding dengan pihak pemaju swasta bagi kerja pembinaan.

teng-chang-khimKatanya, pembinaan pasar baru di atas tanah berkeluasan 0,44 hektar itu akan dilaksanakan mengikut standard Build Operate Transfer (BOT) dan MBSA akan membina pasar itu sendiri jika tidak berjaya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan melihat kos pembinaan secara ‘value for money’ atau nilai untuk wang supaya tidak membebankan penyewa pasar berkenaan.

“Saya memahami dengan mendalam keadaan penjaja ini yang sudah lama beroperasi iaitu kira-kira 25 tahun lalu. Mereka ini dipindahkan kerana pemilik tanah pasar sementara ini sudah mendapat perintah mahkamah untuk mengeluarkan penjaja, sebelum 31 Mei 2014.

“Jadi, kerajaan negeri mengambil berat akan keadaan mereka dan bersedia membantu. Kita berharap masalah ini akan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Chang Khim berkata demikian pada sidang media selepas melawat tapak sementara penjaja pasar pagi itu yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei, di sini, hari ini..

shuhaimi isu lompat partiSementara itu, Shuhaimi berharap nanti masalah peniaga asing dapat diatasi dengan adanya pasar baru itu dan selepas kerja pembinaan itu siap, MBSA perlu mensyaratkan permohonan perniagaan dengan tidak memberikan warga asing menyewa tapak daripada peniaga tempatan.

“Ini dapat mengelakkan berlakunya masalah sosial di kawasan ini kerana jika dibiarkan orang asing berniaga akan menimbulkan keresahan warga tempatan di sini,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Rizab negeri hanya untuk projek penting dan kritikal

teng chang kimOleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM 9 NOV : Rizab negeri yang dianggarkan berjumlah RM2.6 bilion hanya akan digunakan untuk melaksanakan projek penting dan kritikal serta tidak akan dibelanjakan sesuka hati.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim, berkata rizab simpanan sedia ada mempunyai jumlah yang besar secara relatif, namun hanya akan digunakan jika berlaku kecemasan seperti pembinaan jambatan ketiga Klang untuk mengurangkan kesesakan di kawasan itu yang menelan kos kira-kira RM600 juta.

Beliau berkata, menjadi amalan biasa bagi kerajaan di seluruh dunia menyimpan rizab yang tinggi supaya dapat menampung perbelanjaan jika berlaku kegawatan ekonomi.

“Melihat kepada belanjawan negeri pada kadar RM1.6 bilion untuk tahun 2013, jelas menunjukkan rizab kita bukan besar sangat. Berkemungkinan belanjawan untuk tahun hadapan lebih tinggi memandangkan kos pentadbiran dan pembangunan perlu dipertingkatkan.

“Simpanan tidak bererti kita kena gunakan. Andai kata ekonomi Selangor teruk pada tahun depan, maka dengan adanya rizab ini kita boleh bertahan,” katanya.

Chang Kim berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan sesetengah pihak yang mempersoalkan keengganan kerajaan negeri menggunakan rizab walaupun nilainya kini mencecah berbilion ringgit.

Isu itu timbul selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seharusnya mengimbangi perbelanjaan dengan simpanan kewangan kerajaan negeri dalam satu forum, di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Sebaliknya, Anwar menyukai cara Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang berjaya menguruskan belanjawan seimbang dan sebagai menjawab pandangan Anwar itu, Abdul Khalid berkata, usaha mengumpulkan dana adalah jauh lebih sukar berbanding membelanjakan dana sedia ada.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor sasar 30 peratus kerja pembersihan dilakukan PBT

teng PBT bersih

SHAH ALAM 8 SEPT : Kerajaan Negeri mensasarkan sebanyak 30 peratus kerja-kerja pembersihan dalam kawasan perbandaran akan dilakukan oleh pihak dalaman pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Hasrat kerajaan negeri melihat dasar ini untuk melihat pembandaran yang bersih, kondusif dan terurus melalui pelan tindakan yang menyeluruh melalui kerjasama semua pihak lapisan masyarakat,” kata Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pelancaran Program Zon Bersih di Dewan Bola Tampar MBSA Seksyen 4 di sini.

teng PBT bersih 01

Teng berkata, usaha untuk menjadikan kawasan yang bersih perlu menjadi agenda utama semua PBT dengan peranannya bertanggungjawab menjaga kebersihan pada tahap tertinggi.

Kata beliau lagi sudah tiba masanya warga Shah Alam untuk menjalankan kitar semula barangan dengan berkesan yang dapat membantu mengurangkan tapak pelupusan sampah bagi memelihara alam sekitar.

“Kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan dan korporat perlu diperkasakan dan diberi nafas baru dengan melaksanakan program berterusan.

“Jika inisiatif ini diteruskan ia dapat mengurangkan masalah-masalah berhubung kait dengan sosio-ekonomi, alam sekitar dan penghijauan bandar,” kata Teng.

Turut dihadiri dalam majlis itu Datuk Bandar Shah Alam,Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan dan Adun Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Syaratkan 30% Wanita Sebagai Ahli Majlis Di Setiap PBT

Datuk Teng Chang Khim 30persen Wanita Sebagai Ahli Majlis Di Setiap PBT

SHAH ALAM 24 JULAI : Kerajaan Negeri mensyaratkan setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus Ahli Majlis di kalangan wanita untuk penggal akan datang.

Ia merupakan salah satu kriteria yang diperlukan pada pemilihan Ahli Majlis PBT yang akan bermula pada 1 Januari 2014.

Selain itu, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata, tempoh perkhidmatan Ahli Majlis juga tidak boleh melebihi daripada empat tahun atau dua penggal berturut-turut.

Katanya, antara syarat minimum adalah mesti berumur 21 tahun ke atas, dan memiliki kelayakan minimum akademik sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dan menetap sekurang-kurangnya lima tahun di bawah PBT berkenaan.

Pembahagian kuota juga hendaklah 75 peratus merupakan calon daripada parti politik, manakala 25 peratus daripada calon Badan Bukan Kerajaan (NGO).

“Calon NGO hendaklah daripada organisasi berdaftar dan namanya hendaklah dicadangkan oleh organisasi berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Premis Urut Haram Berdepan Tindakan Rampas Dan Lelong ? – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 24072013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Jabatan Peguam Negara membayar kos RM1,000 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menangguhkan pendengaran kes saman beliau terhadap bekas menteri dalam negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar.

2. Kerajaan Negeri menubuhkan satu jawatankuasa Task Force bagi membuat keputusan mengatasi masalah pelupusan sampah di Selangor.

3. Tindakan merampas dan melelong premis akan digunakan bagi menimbulkan rasa gerun kepada pengusaha dan pemilik premis pusat urut haram.

4. Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tiada kaitan dengan sebuah laman web yang menerima pembayaran zakat, wakaf dan sedekah secara on-line seperti dilapor media baru-baru ini.

Categories
SELANGOR

Chang Khim : Kuatkuasa Undang-Undang Struktur Tambahan Tanpa Izin

teng chang kim

SEPANG 15 JULAI : Mulai tahun depan, individu yang terlibat dalam aktiviti pembuangan sampah haram, pengusaha kafe siber dan rumah urut serta pemilik bangunan yang terlibat dengan penyambungan struktur tambahan tanpa izin bakal berdepan dengan tindakan undang-undang yang lebih berat oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata langkah itu diambil secara serius oleh Kerajaan Negeri bagi membanteras kegiatan-kegiatan yang melanggari peraturan.

“Saya berikan peringatan ini kepada semua pihak bahawa tindakan tegas akan dikenakan ke atas mereka yang menyalahi undang-undang dan peraturan.

“Perkara ini sudah dibincangkan ke semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negeri dan kita sedang mengkaji undang-undang yang sesuai dengannya,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Majlis Perbandaran Sepang (MPSp), di sini.

Antara tindakan yang akan diambil terhadap aktiviti pembuangan sampah haram, pihaknya akan mendakwa individu yang terlibat dan pemilik tanah ke mahkamah selain menaikkan kompaun.

Manakala bagi kegiatan kafe siber, tindakan penyitaan harta termasuk rampasan premis akan dilakukan.

Selain itu, katanya, beliau memberikan tempoh enam bulan kepada pemilik bangunan termasuk restoran dan kilang untuk merobohkan struktur tambahan yang tidak mendapat kelulusan PBT.

“Kita berikan masa kepada mereka sehingga akhir tahun ini dan jika berdegil kita akan merobohkan struktur itu dan berdepan dengan undang-undang kerana kegiatan ini menyebabkan kerosakan jalan dan insfrastruktur lain,” katanya.

Dalam sidang Dewan Negeri Selangor baru-baru ini, Teng Chang Khim mengakui hukuman sedia ada kurang berkesan kepada pesalah menyebabkan kegiatan itu berterusan.

Oleh itu, pihaknya mahu membuat kajian terperinci untuk memberikan hukuman yang lebih keras kepada pesalah.

Categories
SELANGOR

Tambah Anggota Penguatkuasa di PBT Tingkatkan Pantau Keselamatan Awam

logo PBT

SHAH ALAM, 15 JUN : Bagi meningkatkan keselamatan awam, Kerajaan Negeri berhasrat untuk menambah anggota penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi melaksanakan kerja-kerja meronda.

Meskipun ia adalah tanggungjawab pihak polis dan di luar bidang kuasa negeri, namun menurut Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim, langkah ini diyakini mampu mengatasi kelemahan sistem keselamatan sedia ada.

“Ini adalah sebagai langkah sementara iaitu menggunakan tenaga kerja PBT di peringkat Majlis.

?Kita mahu memastikan keselamatan orang ramai adalah lebih terjamin,” katanya ketika menerangkan Pelan Tindakan Lima Tahun Jawatankuasa Tetap PBT Negeri Selangor (Rangka Pertama) di sini semalam.

Jelas beliau lagi, Kerajaan Negeri akan menambah lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) terutama di kawasan tumpuan awam seperti bank.

Katanya, penambahan sistem CCTV itu adalah untuk memudahkan pihak berkuasa membuat pengecaman sekiranya berlaku jenayah.

“Setakat ini, Kerajaan Negeri berhasrat untuk memasang sebanyak 414 buah CCTV di seluruh negeri. Namun kita dapati ia tidak mencukupi untuk memastikan sistem ini benar-benar berkesan.

“Kita akan cuba libatkan pihak swasta iaitu berjumpa dengan pihak bank untuk memasang kamera di luar bangunan bank untuk mengenalpasti masalah jenayah yang berlaku.

“Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menjadi PBT pertama yang mengambil inisiatif untuk berjumpa dengan pihak bank dan peniaga swasta berhubung perkara ini,” jelasnya lagi.