Categories
SELANGOR

Timbalan Speaker baharu dilantik pada sidang DUN akan datang

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama): Timbalan Speakar Dewan Undangan Negeri Selangor yang baharu akan dilantik pada persidangan dewan undangan negeri akan datang 24 Nov tahun ini, kata Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor Hannah Yeoh.

Proses pencalonan telah bermula apabila kesemua 11 anggota dewan undangan negeri (ADUN) menerima surat meminta mereka mencalonkan timbalan speaker baharu, katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia di Bangunan Parlimen, Rabu.

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali mengumumkan jawatan timbalan speaker akan diisi Adun PAS setelah timbalan speaker sebelum ini Nik Nazmi Nik Ahmad dilantik sebagai anggota exco.

Yeoh juga berkata ADUN Morib Hasnul Baharuddin dan ADUN Hulu Kelang Saari Sungib, yang digantung daripada PAS, akan kekal sebagai ADUN parti itu pada persidangan dewan undangan negeri akan datang kerana beliau tidak menerima sebarang surat rasmi daripada PAS tentang kedudukan mereka.

“Sepanjang yang melibatkan kami, saya tidak menerima sebarang surat rasmi daripada PAS dan oleh itu, mereka kekal sebagai Adun PAS di dalam dewan,” katanya.

Hasnul dan Saari digantung daripada PAS kerana menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor dalam krisis baru-baru ini, yang bercanggah dengan pendirian PAS.

Categories
SELANGOR

PAS pertimbang tolak Timb Speaker, keputusan sebelum sidang DUN

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 SEPT: PAS masih belum memutuskan sama ada akan menerima perlantikan jawatan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu.

Perkara ini dibincangkan dalam pertemuan ahli-ahli Exco PAS bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berlangsung malam tadi di kediaman salah seorang exco PAS yang baru dilantik itu.

“Memang belum diputuskan sama ada PAS akan menerima tawaran agar seorang ADUN PAS dilantik sebagai Timbalan Speaker atau tidak.

“Satu keputusan akan dibuat sebelum sidang DNS bermula dan jika PAS menolak adalah kerana PAS mahukan kesemua ADUN PAS yang tidak dilantik menjadi Exco dapat berperanan sepenuhnya sebagai ADUN di dalam DNS dan tidak disibukkan dengan tugas sebagai Timbalan Speaker,” kata Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad ketika dihubungi Selangor Kini di sini, hari ini.

Tambah Iskandar, pertemuan yang berlangsung selama dua jam setengah itu merupakan pertemuan pertama di antara Exco baru dan mantan Exco bersama Presiden PAS selepas istiadat mengangkat sumpah Exco.

“Presiden telah memberikan banyak nasihat kepada mereka dan antara yang dibincangkan adalah peranan Exco-Exco PAS di dalam kerajaan,” ujar Iskandar lagi.

Selain tiga Exco, Iskandar, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdulb Talib turut sama dalam pertemuan terbabit, Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman.

HM

Categories
NASIONAL SELANGOR

Enakmen SELESA Agenda Reformasi Dewan Negeri Selangor

Speaker Hannah Yeoh

SHAH ALAM 21 JUN : Gandingan Speaker dan Timbalannya yang baru, Hannah Yeoh dan Nik Nazmi Nik Ahmad, optimis bahawa Enakmen Dewan Perkhidmatan Dewan Negeri Selangor (SELESA) akan berjaya direalisasikan pada penggal kali ini.

Hannah berkata, perlaksanaan Rang Undang-Undang tersebut merupakan antara agenda reformasi yang dijangka mampu membawa perubahan serta meningkatkan lagi mutu persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS).

“Kita jangkakan apabila enakmen tersebut diluluskan, kita akan membekalkan lebih banyak fasiliti kepada sidang DNS.

“Ini termasuk menyediakan lebih banyak pembantu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk mereka melakukan kajian-kajian dengan lebih baik sebelum sesuatu isu dibahaskan.

“Perkara ini semestinya akan menjadikan mutu perbahasan itu lebih berkualiti, seterusnya memberi manfaat kepada rakyat,” jelas Hannah yang juga Adun Subang Jaya.

Beliau bercakap demikian dalam satu sidang media di Bangunan Annex, SUK di sini sejurus selesai Majlis Mengangkat Sumpah Adun pagi tadi.

Nik Nazmi yang turut hadir dalam sidang media pula menjelaskan enakmen SELESA penting untuk dilaksanakan agar satu pasukan pentadbiran yang bebas dan profesional di bawah arahan Speaker dapat diwujudkan.

Timb Speaker Nik Nazmi

Enakmen tersebut akan menjadikan kuasa kerajaan kepada tiga bahagian iaitu, kuasa eksekutif di bawah Menteri Besar; badan kehakiman di bawah kuasa Persekutuan dan undang-undang negeri;  kuasa perundangan/legislatif terletak penuh di bawah DNS.

“Apabila DNS bebas daripada pengaruh eksekutif kelak, pemantauan dan semakan pentadbiran dapat dilakukan dengan menyeluruh tanpa sebarang sekatan dan birokrasi yang melampau,” ujar Nik Nazmi.

Katanya lagi, Rang Undang-Undang ini bukan satu amalan baru kerana sebelum dimansuhkan pada 1992, di peringkat Parlimen juga mempunyai Akta Perkhidmatan Parlimen yang menguruskan perjalanan kerja-kerja harian dan pengurusan kewangan Dewan Rakyat tanpa campur tangan kuasa eksekutif.

Draf Enakmen SELESA yang mula digubal sejak tahun 2009 kini sedang dikaji secara terperinci oleh barisan Exco Kerajaan Negeri serta penasihat undang-undang Negeri Selangor.

Categories
NASIONAL SELANGOR

56 Adun Negeri Selangor Angkat Sumpah

Angkat Sumpah

SHAH ALAM, 21 JUN : Seramai 56 anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk 12 wakil daripada BN hari ini secara rasminya mengangkat sumpah sebelum bermulanya persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) sesi ke-13, Jumaat depan.

Kesemua 56 Adun itu mengangkat sumpah taat setia dalam memelihara, melindungi serta mempertahankan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor di hadapan Speaker DNS yang baru dilantik, Hannah Yeoh.

Majlis itu bermula dengan upacara mengangkat sumpah oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diikuti tiga Exco Negeri Selangor iaitu Datuk Teng Chang Khim, Iskandar Samad dan Rodziah Ismail.

Ia kemudiannya disusuli dengan tujuh Exco Selangor yang lain dan kemudiannya diikuti oleh anggota dewan Pakatan Rakyat (PR) serta BN.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan cadangan Menteri Besar mengemukakan nama Hannah Yeoh sebagai Speaker DNS yang baru dan diikuti Teng yang mencadangkan Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Timbalan Speaker.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu, PR menang  di Selangor dengan memperoleh majoriti lebih dua pertiga apabila menguasai 44 daripada 56 kerusi DUN.